Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for the ‘Solaa | Solat’ Category

Menguji pandangan Kassim Ahmad tentang sembahyang

with 18 comments

Saya harap entri ini akan diterima dan dilayan sebagai satu wacana ilmiah dan aman oleh para pembaca budiman.

Dalam bukunya “Hadis: Satu Penilaian Semula”, Kassim Ahmad ada mengutarakan satu bahagian yang diberi tajuk “Kaedah Sembahyang”. Mari kita sama-sama uji pandangan-pandangan Kassim Ahmad dalam perkara ini. Bahagian yang diquote dan diboldkan adalah salinan dari pandangan Kassim Ahmad yang dimaksudkan.

Kaedah Sembahyang

Pendukung-pendukung Hadis bertanya: Jika kita menolak Hadis, bagaimana kita bersembahyang? Sebenarnya, jawapannya ada di dalam Quran sendiri. Sesiapa yang mengkaji Quran mengetahui bahawa ibadah-ibadah agama, salat, puasa, zakat dan haji telah diajar oleh Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya dan diperturunkan daripada mereka, generasi, kepada Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya.

Tuhan kami, jadikanlah kami Muslim (tunduk) kepadaMu, dan daripada keturunan kami biarlah lahir suatu bangsa Muslim (yang tunduk) kepadaMu. Ajarkanlah kami bagaimana hendak mengamalkan ibadah-ibadah agama kami, dan ampunilah kami; Kau maha pengampun, maha penyayang. (2:128)

Komen Saya:

Saya tidak nampak bagaimana ayat 2:128 boleh dijadikan bukti atau dalil bahawa Tuhan telah mengajar Nabi Ibrahim ibadah-ibadah agama seperti salat, puasa, zakat dan haji sebagaimana salat, puasa, zakat dan haji yang diamalkan oleh orang Islam hari ini. Saya berpendapat Kassim Ahmad terlalu klise dan dangkal apabila hanya mampu menyebut, “sebenarnya, jawapannya ada di dalam Quran sendiri. Sesiapa yang mengkaji Quran mengetahui bahawa ibadah-ibadah agama, salat, puasa, zakat dan haji telah diajar oleh Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya..”, tanpa mengutarakan dan menghujahkan dengan jelas bukti-buktinya.

Quran juga memberitahu kepada kami bahawa orang-orang Arab sebelum Muhammad sudah mengamalkan salat:

Salat mereka di rumah suci tidak lain daripada penipuan dan kesesatan. (8:35);

Komen Saya:

Tuhan telah membuat satu penjelasan mudah melalui ayat 8:35, iaitu solaa orang-orang Arab kaum Nabi hanyalah siulan dan bertepuk tangan – iaitu amalan yang tidak membawa apa-apa faedah. Jadi apa kena-mengena dengan solaa Nabi Ibrahim? Bukan Nabi Ibrahim yang mengajar mereka solaa seperti itu dan sudah tentu Tuhan juga tidak mengajarnya.

dan wahyu-wahyu Quran yang paling awal sudah menyebut salat dan zakat, membukttikan bahawa ibadah-ibadah ini sudah terkenal di kalangan orang Arab. Wahyu ketiga, Surah Al-Muzzammil (73) ayat 20, menyatakan:

Oleh yang demikian bacalah apa yang mampu olehmu darinya (Quran), dan amalkanlah salat dan berikanlah zakat, dan pinjamkanlah Tuhan satu pinjaman kebajikan.

Komen Saya:

Saya ada membincangkan Surah Al-Muzzammil di sini.

Dan berikut adalah terjemahan dan tafsiran saya untuk ayat 73:20

Sesungguhnya Tuhanmu tahu bagaimana kamu berjaga kadangkala dua pertiga dari waktu malam, atau kadangkala separuh atau sepertiga seperti yang dilakukan juga oleh segolongan yang bersama kamu. Tuhan menetapkan siang dan malam. Dia tahu kamu tidak mengiranya dan membalas untukmu dengan belas kasihan. Jadi bacalah Al-Quran yang mudah kepada kamu. Dia tahu ada di antara kamu yang tidak sihat, sebahagian pula sedang mengembara di atas muka bumi untuk mencari anugerah pemberian Tuhan, dan yang lain sedang berjuang demi Tuhan. Jadi bacalah (Al-Quran) seberapa banyak kerana ia mudah, dan jadikan ia satu komitmen dan jagalah sentiasa kemurniannya, dan belanjakan untuk Tuhanmu pelaburan yang baik-baik. Apa saja yang baik kamu berikan untuk diri kamu nescaya kamu akan temuinya di sisi Tuhan, malah lebih baik lagi sebagai balasannya. Dan minta keampunan dari Tuhan. Sesungguhnya Tuhan Pengampun dan Mengasihani.

Saya melihat kefahaman Kassim Ahmad terhadap apa yang dimaksudkan sebagai “solat” dan “zakat” dalam 73:20 tidak kena dengan konteks ayat mahupun Surah 73 secara keseluruhannya tidak kiralah samada Surah itu telah diturunkan awal atau lewat. Melalui Surah 73, Tuhan menyuruh kita menjadikan tabiat membaca Al-Quran pada waktu malam sebagai satu komitmen (solaa). Semudah itu saja. Ia tidak ada kena mengena dengan suruhan supaya mengerjakan ritual yang berbentuk sembah menyembah.

Periwayat Nabi yang pertama, Ibn Ishaq, mencatat dalam sirahnya bahawa sebelum beliau diangkat menjadi rasul, Muhammad mengunjungi Gua Hira’ tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadan untuk berhening cipta dan bersembahyang, dan memberi makan kepada orang-orang miskin yang datang kepadanya.19 Ibn Ishaq juga mencatat bahawa sebelum Nabi israk dan mikraj pada malam bersejarah itu, Nabi bersembahyang isyak’ di rumah Umm Hani.20 Kesemua fakta ini menafikan laporan-laporan Hadis yang menyatakan bahawa ibadah sembahyang diperintahkan oleh Tuhan kepada Nabi pada malam israk dan mikraj.

Komen Saya:

Dalam para di atas, Kassim Ahmad menolak hadis-hadis yang mengaitkan Nabi dengan peristiwa Israk & Mikraj kerana berpandangan catatan periwayat Nabi yang pertama, Ibn Ishaq, bahawa Nabi telah bersembahyang sebelum berlakunya peristiwa berkenaan lebih dipercayai beliau. Maknanya, sandaran Kassim Ahmad untuk menolak riwayat Israk & Mikraj adalah dengan riwayat juga – bukan dengan Al-Quran.

Berhubung dengan kaedah-kaedah salat (waktu, rakaat dan gerak-gerinya), tidak syak lagi bahawa amalan yang dilakukan oleh umat Islam sekarang, pada dasarnya, berpunca daripada amalan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, dan kaedah-kaedah ini diperturunkan, generasi demi generasi, hingga kepada Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya.

Dipaparkan di bawah ini adalah petikan para yang sama dalam buku versi Bahasa Inggeris.

A moment’s thought will also make us realize that we do not learn how to pray from the hadith. We learn to do so from our parents and teachers who inherit the practice through the generations from the first source, that is Prophet Abraham.

Komen Saya:

Melalui kedua-dua petikan di atas (dari versi buku Bahasa Melayu & versi Bahasa Inggeris) kita dapat melihat dengan jelas pandangan Kassim Ahmad terhadap asal-usul ritual sembahyang yang beliau amalkan. Beliau mendakwa beliau tidak belajar melalui hadis. Dan di dalam para-para seterusnya nanti, para membaca budiman akan turut menemui pengakuan beliau bahawa “Tuhan tidak memperincikan bentuk dan kaedah salat dalam Quran”.

Maka – pendek kata, Kassim Ahmad tidak mempelajari bentuk dan kaedah sembahyangnya melalui hadis mahupun Al-Quran. Beliau berpandangan ritual sembahyang sebenarnya diajar melalui proses pengamalan secara turun temurun dari generasi ke generasi oleh ibubapa dan guru-guru sejak dari sumber pertama, iaitu Nabi Ibrahim. (Untuk melihat dengan lebih jelas pandangannya itu, perhatikan petikan dari versi Bahasa Inggeris).

Kassim Ahmad nampak seperti serba tidak kena dalam usahanya mempertahankan kepercayaan terhadap ritual sembahyang. Beliau tahu Al-Quran tidak memperincikan bentuk dan kaedahnya. Tetapi dalam masa yang sama beliau tidak mahu menerima jika dikatakan yang ia adalah sesuatu yang bersumberkan hadis. Lalu beliau menyandarkannya terus kepada Nabi Ibrahim, ibubapa dan nenek moyangnya sendiri. Sekali pandang, jalannya nampak macam lurus. Tetapi adakah ritual sembahyang itu benar-benar selari dengan kepercayaan dan legasi Ibrahim?

Mari kita periksa apa kata Ibrahim tentang amalan yang melibatkan perbuatan menyekutukan Tuhan dengan sesuatu sebagaimana yang direkodkan oleh Tuhan melalui Al-Quran.

21:66 Dia berkata: Kamu mengabdi di samping Tuhan sesuatu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kamu dan tidak juga mendatangkan mudarat?

21:67 Aku jijik dengan kamu dan apa yang kamu abdikan di samping Tuhan! Tidakkah kamu mempunyai akal?

Dan berikut pula adalah apa kata Ibrahim tentang perbuatan menuruti kepercayaan dan amalan ibubapa secara membuta tuli.

21:52 Apabila dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Patung-patung apakah ini yang kamu sembah?

21:53 Mereka berkata: Kami dapati bapa-bapa kami mengabdi kepadanya (AAabideena).

21:54 Dia berkata: Kamu dan bapa-bapa kamu sesungguhnya dalam kesesatan yang nyata.

Berdasar dari ayat-ayat di atas, saya melihat percubaan Kassim Ahmad menyandarkan ritual sembahyang terus kepada Nabi Ibrahim tidak boleh disokong. Kepercayaan dan legasi Ibrahim jelas menolak sebarang amalan yang mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu. Ia juga tidak memberi merit kepada amalan yang diikuti secara membuta tuli secara turun temurun. Selain itu kita tidak boleh lupa bahawa Nabi Ibrahim merupakan seorang nabi yang kepercayaan dan legasinya bukan sahaja dituntut oleh “orang Islam” bahkan oleh Yahudi, Kristian dan mungkin oleh yang lain-lain.

3:65 Wahai pengikut-pengikut Al-Kitab! Mengapa kamu bertelagah mengenai Ibrahim, sedangkan Taurat dan Injil tidak diwahyukan sehingga selepas dia; kenapa kamu tidak boleh faham?

Maka jika benar dakwaan Kassim Ahmad bahawa bentuk dan kaedah sembahyang yang diamalkannya merupakan warisan langsung dari Nabi Ibrahim tentulah bentuk dan kaedah ritual yang sama dapat dilihat diamalkan oleh para pengikut Al-Kitab yang lain. Tidak perlulah mereka bertelagah tentang kepercayaan dan legasi Ibrahim.

Di bawah adalah beberapa para seterusnya. Bagaimanapun saya akan memberhentikan komentari saya setakat ini dan saya buka ruang kepada para pembaca budiman untuk terus menguji pandangan Kassim Ahmad dalam hal sembahyang menurut kefahaman masing-masing. Silakan.

Namun demikian, Quran telah juga menyatakan beberapa perincian kaedah salat: umpamanya, semua lima waktunya (11:114, 17:78, 24:58, 2:238, 30:17-18 dan 20:130); perbuatan rukuk dan sujud (22:77); meringkaskan sembahyang dalam perjalanan (4:101); bentuk yang boleh disesuaikan dalam keadaan perang dan keadaan luar biasa (2:239); berpakaian elok (7:31); cara bacaan yang sederhana (17:110); jangan menyerukan selain Allah dalam sembahyang (72:18) dan cara-cara wuduk (5:6 dan 4:43). Jadi, walaupun perincian gerak-geri salat tidak diberi dalam Quran, banyak perincian kaedah ada diberikan.

Juga Quran mengajar kita supaya jangan mempertikai bentuk dan kaedah. Bentuk dan kaedah tidak begitu penting jika dibandingkan dengan tujuan. Apa yang penting ialah kebaikan dan kejujuran untuk melakukan kebaikan.

Kebaikan bukanlah berpaling ke Timur atau ke Barat. Kebaikan ialah beriman kepada Tuhan, hari kiamat, malaikat-malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi; dan mendermakan wang yang kita sayangi kepada kaum keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang asing, pengemis-pengemis, dan membebaskan hamba-abdi, dan melaksanakan salat dan zakat, dan menunaikan janji-janji yang dibuat, dan tetap teguh menghadapi bencana, kesusahan dan peperangan. Inilah mereka yang benar; inilah mereka yang baik. (2:177)

Tahukah engkau siapa yang menolak keimanan? Dia yang mengabaikan anak-anak yatim. Dan tidak pernah menganjurkan diberi makanan kepada orang-orang miskin. Oleh itu, celakalah mereka yang melaksanakan salat. Sedangkan mereka lalai tentang salat mereka. Mereka hanya menunjuk. Dan enggan bersedekah. (107:1-7)

Ada hikmahnya yang besar mengapa Tuhan tidak memperincikan bentuk dan kaedah salat dalam Quran. Pertama, kerana bentuk dan kaedah ini telah diajar kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, dan disahkan untuk diikut oleh umat Muhammad. Kedua, kerana bentuk dan kaedah tidak begitu penting, dan Tuhan ingin memberi kelonggaran kepada umat Muhammad supaya mereka boleh melakukan salat mereka dalam keadaan apa juga, seperti dalam perjalanan jauh, dalam peperangan, di Kutub Utara, atau di angkasa lepas, mengikut cara yang sesuai. Peristiwa Putera sultan Salman dari Arab Saudi yang turut serta dalam kapal angkasa Amerika, Discovery pada Jun 1985 meminta perunjuk daripada tokoh-tokoh agama negaranya bagaimana hendak bersembahyang di dalam kapal angkasa itu bukan saja telah menimbulkan pertentangan di kalangan ulama yang jumud dan anti-sains, tetapi adalah satu peringatan yang amat baik kepada umat Islam supaya kembali dan berpegang kepada Quran dan jangan mempertikai bentuk dan kaedah.

Sumber Salinan Yang DiPerbincangkan Dalam Entri Ini:
Bahasa Malaysia

Bahasa Inggeris

Written by tolokminda

June 9, 2011 at 2:05 am

Posted in Komentar, Solaa | Solat

Memahami dan mematuhi ketetapan Tuhan (masjidillah) melalui sains adalah dituntut tetapi mematuhi ketetapan (masjid) palsu adalah dilarang sama sekali

with 33 comments

Sebelum ini saya telah menulis tentang perkataan masjid yang pada pendapat saya bukan bermaksud rumah Allah atau bangunan untuk melakukan ibadat. Saya percaya konsep membina bangunan khas untuk melakukan amalan ritual kepada Tuhan sebagaimana yang menjadi kebiasaan dalam struktur agama umat penyekutu Tuhan tidak terdapat di dalam Al-Quran.

Seperti mana yang telah saya kemukakan di dalam artikel ini, perkataan “masjid” sepatutnya bermaksud “ketetapan yang direstui” – iaitu apabila kita merujuk perkataan masjid itu kepada suatu ketetapan Tuhan yang Dia telah beri restu secara khusus atau secara umum melalui Al-Quran. Bagaimanapun jika kita tidak merujuk perkataan masjid untuk dimaksudkan kepada suatu ketetapan Tuhan maka ia bolehlah ditafsirkan sebagai sekadar “ketetapan”.

Dalam usaha mendalami keyakinan saya terhadap perkataan “masjid” sebagai “ketetapan”, saya dapati ayat-ayat 9:107-110 memberi kita satu perspektif yang amat menarik.

9:107  Dan ada di kalangan mereka yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk membuat kejahatan dan keingkaran, dan untuk memecahbelahkan di antara mereka yang percaya dan menjadi bahan untuk mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini. Mereka akan bersumpah bahawa mereka hanya mahu melakukan kebaikan dan Tuhan menyaksikan mereka itu adalah penipu.

Dalam ayat di atas Tuhan memberitahu kita bahawa ada di kalangan manusia yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk menyesatkan atau memecahbelahkan umat serta menjadi penyebab kepada mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini.

Dan oleh kerana ketetapan (masjidan) yang mereka ambil itu Tuhan kata telah turut menjadi alasan kepada mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya, maka ia bolehlah kita sifatkan sebagai satu indikasi bahawa ketetapan (masjidan) yang telah mereka ambil atau gunapakai itu bukanlah ketetapan (masjidan) dari Tuhan. Ia bukan dalam kategori “ketetapan yang direstui”. Ia boleh jadi ketetapan yang mereka olah sendiri atau mungkin juga diambil dari sumber-sumber yang tidak memiliki sebarang authoriti dari Tuhan.

Bagaimanapun “seperti biasa” golongan ini akan sentiasa berkeras mengatakan bahawa amalan-amalan mereka – walaupun sebenarnya langsung tidak disandarkan kepada ketetapan yang direstui Tuhan – adalah demi kebaikan semata-mata. Di dalam blog ini misalnya, ada yang menggunakan ayat seperti “apa salahnya jika ritual itu sesuatu yang baik” atau “saya tidak nampak apa-apa yang buruk dalam ritual itu” – dan seumpamanya. Melalui 9:107 – Tuhan kata orang seperti ini sebenarnya adalah penipu.

Hakikatnya amalan-amalan mereka itu langsung tidak mempunyai faedah kecuali mencanai kejahatan dan perpecahan kepada bangsa manusia.

9:108  Jangan sekali-kali terlibat di dalamnya. Sesungguhnya ketetapan-ketetapan yang diasaskan di atas kepatuhan kepada kebenaran sejak hari pertama adalah lebih bernilai untuk kamu ambil bahagian di dalamnya. Di dalamnya adalah mereka yang ingin membersihkan diri mereka. Dan Tuhan menyukai mereka yang membersihkan diri mereka.

Selaras dengan itu, dalam 9:108 – Tuhan tidak benarkan kita terlibat dalam sebarang ketetapan yang tidak direstuiNya. Dengan kata lain, Tuhan larang kita dari terlibat dengan sebarang amalan yang tidak mendapat authoriti dariNya. Kata Tuhan – jangan sekali-kali! Sebaliknya Tuhan suruh kita ambil bahagian dalam ketetapan-ketetapan yang diasaskan dari kepatuhan kepada kebenaran sejak hari pertama.

Apa maknanya?

Saya berpendapat, maknanya begini:- Ketetapan-ketetapan Tuhan (masjidillah) sebenarnya telah dipatuhi sejak hari pertama alam ini dicipta. Tuhan telah menetapkan bagaimana alam ini akan terbentuk dan segala-gala ciptaanNya patuh kepada hukum-hukum yang telah Dia tetapkan sejak hari pertama lagi.  Letusan Besar (Big Bang), pembentukan kosmos, galaksi, bintang-bintang, planet-planet sehingga kepada tumbuhan, haiwan dan segala sifat mereka merupakan bukti kepada kepatuhan kepada kebenaran Tuhan sejak hari pertama.

Saya berpendapat, ayat 9:108 sebenarnya merupakan satu perintah supaya kita mengambil bahagian dalam bidang sains supaya kita dapat memahami rahsia alam ini dari hari pertama Tuhan menciptakannya.

Kefahaman berdasarkan kepada kaedah sains yang sistematik penting kerana melaluinya kita dapat mengetahui pelbagai ketetapan Tuhan yang benar sifatnya di mana semuanya telah pun dipatuhi oleh setiap yang dicipta sehingga membolehkan alam ini terbentuk seperti mana yang kita kenali sekarang. Dan kefahaman kita kepada ketetapan-ketetapan Tuhan yang benar ini akan membersihkan diri kita dari ketetapan-ketetapan palsu yang langsung tidak memberi sebarang manfaat.

9:109  Adakah seseorang yang mengasaskan bangunannya melalui kepatuhan kepada kebenaran dari Tuhan serta restuNya lebih baik, atau seseorang yang mengasaskan bangunannya di tebing sebuah jurang yang hampir runtuh, yang akan runtuh bersama-samanya ke dalam api Jahanam? Dan Tuhan tidak akan memberi pedoman kepada orang-orang yang membuat salah.

Sememangnya menarik apabila Tuhan turut menggunakan perumpamaan yang berasaskan prinsip sains sebagai pengukuh maksud ayat 9:108 dalam 9:109. Adakah sama seseorang yang membina bangunan berasaskan prinsip-prinsip kejuruteraan dan pengetahuan saintifik – iaitu kepatuhan kepada kebenaran dari Tuhan berbanding dengan seseorang yang membina bangunan tanpa mengambilkira apa jua faktor yang boleh menjadi risiko? – Begitulah Tuhan membuka minda kita.

Tuhan beri contoh orang yang membina bangunan di tebing sebuah jurang yang hampir runtuh sebagai seseorang yang tidak patuh (observe) kepada ketetapan-ketetapanNya. Dan dikiaskan pula sebagai satu peringatan keras di mana andainya bangunan yang dibinanya itu runtuh  maka ia akan runtuh bersama pembinannya sekali terus ke dalam neraka Jahanam.

Saya berpendapat ayat ini secara tidak langsung turut menjadi satu peringatan umum kepada para pembina bangunan supaya menumpukan komitmen mereka untuk membina bangunan yang lebih baik dan selamat dengan mengambilkira semua faktor risiko yang berkaitan.

Misalnya, kalau bina bangunan di kawasan gempa bumi – patuhi juga ketetapan-ketetapan Tuhan berkaitan risiko gempa bumi. Kalau bina bangunan di kawasan pantai – jangan abaikan ketetapan-ketetapan Tuhan tentang elemen-elemen yang boleh mempengaruhi di persekitaran itu. Semua elemen-elemen semulajadi termasuk bencana alam sebenarnya merupakan manifestasi kepatuhan ciptaan kepada kebenaran yang Tuhan telah tetapkan sejak hari pertama penciptaan.

Namun kejahilan dan kesombongan manusia membina bangunan-bangunan mereka tanpa mengambilkira atau memahami elemen-elemen asas ini bukanlah perkara baru. Sudah berapa ramai manusia yang maut akibat kegagalan mereka patuh kepada ketetapan-ketetapan Tuhan dalam hubungan tersebut sejak dulu sehingga ke hari ini. Jadi tidak hairanlah Tuhan menyebut perkara itu sebagai satu contoh bagaimana mematuhi ketetapan Tuhan melalui kefahaman sains adalah lebih baik dari sibuk menuruti ketetapan palsu yang hanya menyesatkan kita dari manfaat dan kebaikan.

Hari ini pun kita dapat melihat siapa yang mampu membina bangunan yang lebih baik dan selamat untuk diri mereka. Sudah tentulah mereka bukan dari kalangan kaum yang mengabaikan ketetapan-ketetapan Allah. Tidak seperti kaum-kaum yang leka bertuhankan pelbagai ketetapan bodoh di mana apabila sesuatu bencana menimpa mereka, mereka hanya mampu mengucapkan – oh sudah takdir!

9:110  Bangunan-bangunan yang mereka bina menyebabkan keraguan di hati-hati mereka sehingga hati-hati mereka terpenggal. Dan Tuhan Mengetahui, Bijaksana.

Seterusnya ayat 9:110 merupakan satu pernyataan yang memerlukan keinsafan yang mendalam dari lubuk hati kita. Tuhan memberitahu kita bagaimana bangunan yang dibina tidak mengikut ketetapan Tuhan boleh menyebabkan keraguan kepada pembinanya sehingga ke mati.  Maknanya mereka sedar mereka tidak melakukan sesuatu dengan betul tetapi mereka tidak berusaha untuk mengubah kepada yang lebih baik iaitu melalui kepatuhan terhadap ketetapan Tuhan.

Maka adakah selepas kefahaman kepada ayat 9:107-110 ini kita tetap mahu mengabaikan ketetapan-ketetapan Tuhan dan kekal menjadi bangsa yang mengutamakan ketetapan-ketetapan palsu yang bukan saja tidak bermanfaat tetapi turut membawa pelbagai kerosakan dalam masyarakat?

9:107  Dan ada di kalangan mereka yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk membuat kejahatan dan keingkaran, dan untuk memecahbelahkan di antara mereka yang percaya dan menjadi bahan untuk mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini. Mereka akan bersumpah bahawa mereka hanya mahu melakukan kebaikan dan Tuhan menyaksikan mereka itu adalah penipu.

Written by tolokminda

March 29, 2010 at 3:18 am

Corat-Coret: Tentang solaa @ komitmen

with 455 comments

1.  Solaa @ komitmen adalah aktiviti seharian – sepanjang hidup

Pada kefahaman saya, saya berpendapat – di dalam Al-Quran – secara umumnya Tuhan membahagikan satu hari kepada empat (4) bahagian iaitu;

  • Pagi
  • Petang
  • Awal malam, dan
  • Malam

Kita lihat malam dulu.  Pada dasarnya malam dimaksudkan oleh Allah sebagai waktu tidur atau waktu untuk berehat. Ini dinyatakan dengan jelas dalam ayat-ayat berikut:

6:96  “Dia menyebabkan matahari terbit dan dia telah menjadikan malam untuk berehat…”

10:67  “Dia yang telah menjadikan untukmu malam supaya kamu boleh berehat di dalamnya…”

27:86  “Tidakkah mereka memikirkan yang kami telah menjadikan malam supaya mereka boleh berehat di dalamnya…”

Di bahagian hari yang ini – iaitu malam – kita berehat, kita tidur – jadi ia bukanlah waktu untuk apa-apa komitmen. Kalau boleh dikatakan, komitmen kita di waktu malam adalah berehat iaitu tidur.

Bagaimanapun pada bahagian-bahagian hari yang lain – pagi, petang dan awal malam – iaitu sebelum waktu tidur, Tuhan suruh kita penuhi waktu-waktu itu dengan menunaikan komitmen atau dengan kata lain, Tuhan suruh kita buat kerja – selesaikan semua urusan dan tanggungjawab. Ini dijelaskan dalam ayat berikut.

11:114 “Dan tunaikanlah komitmen-komitmen di dua bahagian siang, dan beberapa jam dari malam, sesungguhnya kerja-kerja yang baik menjauhkan amalan kerja-kerja buruk; ini adalah peringatan kepada mereka yang mahu berfikir”.

Kesimpulan saya:

–> Dua bahagian siang – pagi dan petang

–> Beberapa jam dari malam – awal malam

Kita kena faham bahawa apa yang dimaksudkan dengan solaa @ komitmen bukan saja perkara yang berkaitan ketetapan-ketetapan yang telah direstui Tuhan (masjidillah) secara khusus tetapi turut melibatkan semua komitmen yang berada dalam batasan ketetapan yang direstui (masjidilharam) seperti yang melibatkan kerjaya, perniagaan, mencari ilmu, menguruskan rumahtangga, bersukan, melayan anak-anak dan seribu satu macam hal lagi.

Oleh itu tidak hairanlah Tuhan memperuntukan supaya kita melaksanakan komitmen-komitmen itu dari waktu pagi, sehingga ke petang dan membawa ke awal malam – iaitu sebelum kita tidur di waktu malam. Dengan kata lain Tuhan suruh kita tunaikan solaa @ komitmen sepanjang hari dari awal pagi sehinggalah kita masuk tidur semula di waktu malam.

2.  Solaa @ komitmen menjauhkan perbuatan buruk dan sia-sia

Solaa atau komitmen yang baik – sebarang kerja atau usaha yang dilaksanakan dalam ketetapan dipersetujui yang direstui (masjidilharam) akan dapat menghindarkan kita dari melakukan kerja-kerja buruk atau tidak berfaedah. Jika jadual harian kita penuh dengan aktiviti positif kita tidak akan ada masa untuk terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti penagihan dadah, merempit siang-malam, kepit kekasih ke hulu ke hilir, berdangdut sampai ke pagi dan sebagainya.

Peranan komitmen sebagai penghindar dari perbuatan atau amalan buruk yang sia-sia juga dijelaskan melalui ayat ini.

11:114 “Dan tunaikanlah komitmen-komitmen di dua bahagian siang, dan beberapa jam dari malam, sesungguhnya kerja-kerja yang baik menjauhkan kerja-kerja buruk; ini adalah peringatan kepada mereka yang mahu berfikir”.

3.  Solaa @ komitmen perlu dilaksanakan mengikut keutamaan – first thing first

Selain mengingatkan kita supaya memenuhkan jadual seharian dengan pelbagai komitmen, Tuhan turut menasihatkan kita supaya melaksanakannya mengikut susunan keutamaan atau dalam istilah moden – first thing first.

2:238  “Sentiasalah tunaikan komitmen-komitmen kamu dan lebih-lebih lagi komitmen yang menjadi keutamaan/prioriti (alwusta) dan berdirilah di atas kepatuhan kepada Allah”.

Mungkin ada yang akan bertanya dari mana saya dapat mentafsirkan perkataan wusta sebagai keutamaan atau prioriti. Saya fikir. Dan saya dapati ia sangat sesuai dengan konteks ayat. Malah sesetengah penterjemah telah menterjemahkan perkataan wusta sebagai “midmost” dan ramai yang menggunakan perkataan “middle”. Midmost lebih menggambarkan perkataan yang saya cari, iaitu yang paling penting atau yang menjadi prioriti. Secara kasarnya, apa yang kita letak di tengah tentulah lebih diutamakan dari yang kita letakkan di tepi.

Sebagai menguatkan lagi pendapat saya, mari kita  lihat satu lagi ayat yang mengandungi perkataan dari akar huruf yang sama dengan wusta.

2:143  Dan begitulah kami menjadikan kamu umat yang diutamakan (wasatan) supaya kamu menjadi saksi kepada orang lain dan supaya rasul bersama kamu sebagai saksi. Dan Kami tidak menjadikan arah tumpuan yang kamu sendiri di atasnya – tetapi Kami tahu siapa yang akan menuruti rasul – dari mereka yang berpaling di atas tumit mereka. Sesungguhnya ia adalah berat kecuali kepada mereka yang telah diberi petunjuk oleh Tuhan. Dan Tuhan tidak akan mensia-siakan kepercayaan kamu. Sesungguhnya Tuhan Penyayang, Mengasihani manusia.

Saya rasa cukup yakin. Maka itu ketetapan Allah supaya kita mendahulukan yang lebih utama apabila melaksanakan solaa @ komitmen dapat dibuktikan apabila secara universal ia adalah selaras dengan tabiat orang-orang yang berjaya di dunia ini.

4.  Solaa @ komitmen perlu dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan.

Satu lagi aspek yang penting tentang perlaksanaan sesuatu komitmen adalah penjadualan masa atau penetapan tempoh atau dateline. Kita buat janjitemu dengan orang, kita tetapkan masa dan kita mesti tunaikan komitmen kita itu tepat pada masanya. Janji pukul 3.00 datanglah pukul 3.00.

Selain dari aspek penjadualan masa, aspek tempoh dan dateline juga berkaitan. Misalnya jika kita telah berjanji untuk menyiapkan projek dalam masa sebulan, kita kena siap sebulan – bukan 3 bulan atau 4 bulan atau tak siap langsung. Begitu juga dengan dateline. Jika kita diarahkan untuk menghantar assignment sebelum pukul 12.00 tengah hari, maka kita perlu siapkan dan hantar assignment kita sebelum pukul 12.00 tengah hari pada tarikh yang berkenaan.

4:103 Dan apabila kamu selesai dengan komitmen tersebut (berperang ), ingatlah Allah sambil berdiri, duduk atau bersandar; tetapi apabila kamu telah benar-benar selamat; tunaikanlah komitmen-komitmen yang rutin, sesungguhnya setiap komitmen mempunyai garismasa (dateline) kepada orang-orang yang percaya.

5.  Solaa @ komitmen perlu dilakukan bersama sifat tekun dan sabar

Satu lagi aspek yang penting untuk menjayakan sesuatu komitmen, kita mestilah tekun dan sabar. Tidak ada kerja yang mudah tetapi biasanya orang-orang yang tekun dan sabar dalam usaha mereka  akan lebih berjaya dari mereka yang tidak cekal hati dan cepat mengalah.

2:153  Wahai kamu yang percaya! Mintalah pertolongan melalui kesabaran dan komitmen, sesungguhnya Tuhan bersama-sama mereka yang sabar.

Dan sebagai penutup, saya harap corat-coret mengenai solaa @ komitmen ini akan menjana perbincangan yang sihat dari para pembaca semua.

Written by tolokminda

February 24, 2010 at 5:33 pm

Kebergantungan mutlak kepada ulama mungkin menyesatkan kita terus ke neraka

with 156 comments

Dalam artikel sebelum ini saya menulis tentang Al-Quran sebagai dokumen perjanjian di antara kita, orang yang percaya, dengan Tuhan dan Tuhan dengan kita. Oleh itu, saya berpendapat setiap Muslim yang mengaku percaya, perlulah membaca dan memahami Al-Quran kerana bagaimana mungkin kita boleh menunaikan semua komitmen yang terkandung dalam dokumen perjanjian kita itu jika kita tidak berinisiatif langsung untuk mengetahuinya. Perkara paling asas apabila kita memasuki sesebuah perjanjian sudah tentulah membaca, mengetahui dan memahami isi kandungan perjanjian berkenaan.

Malangnya idea membaca perjanjian seperti tidak laku di kalangan masyarakat Islam. Majoriti orang Islam langsung tidak peduli isi kandungan Al-Quran. Mereka sudah berpuashati jika dapat ‘mengaji Al-Quran sehingga khatam’ dan mampu menghafal beberapa surah ringkas. Itu pun kerana ia diperlukan dalam bacaan sembahyang mereka. Mereka bukan saja tidak merasa perlu untuk memahami Al-Quran walaupun melalui naskah terjemahan, tetapi turut percaya sesiapa yang mencubanya secara sendirian berkemungkinan akan disesatkan Syaitan berbanding mendapat hidayah Tuhan. Akibatnya, dalam masyarakat Islam jarang sekali kita jumpa mereka yang berani menyentuh terjemahan Al-Quran dalam bahasa masing-masing.

Sebenarnya, jika ada yang berani pun usaha mereka belum tentu dapat membawa mereka ke jalan yang lurus. Kepercayaan yang mengatakan mereka akan bertambah sesat mungkin ada betulnya. Ini kerana terjemahan yang disogokkan kepada umat tidaklah bebas dari tangan para ulama yang mengepalai kepercayaan mereka. Para ulama nampaknya telah mengambilkira semua sudut supaya usaha menggembala umat mematuhi Islam versi mereka tidak dapat dihidu. Selepas berjaya menyakinkan orang-orang Islam bahawa Al-Quran dalam bahasa Arab cukup sekadar menjadi kitab untuk dinyanyi-nyanyikan, mereka kemudiannya menggodam terjemahan dan tafsirannya supaya selaras dengan kitab-kitab ciptaan mereka sendiri.

Kalau para pembaca budiman tidak percaya, mari kita lihat satu contoh. Dan saya sangat berharap pembaca budiman boleh bersabar sedikit untuk membaca dengan teliti apa yang saya mahu kongsi dalam artikel ini kerana sesungguhnya ia amat penting. Kita mulakan dengan terjemahan Surah An-Najm, ayat 1-18 dari sumber ini.

[1] Demi bintang semasa ia menjunam, –

[2] Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).

[3] Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.

[4] Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

[5] wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, –

[6] Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, –

[7] Sedang ia berada di arah yang tinggi (di langit);

[8] Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit,

[9] Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi;

[10] Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukanNya.

[11] Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.

[12] Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?

[13] Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi,

[14] Di sisi “Sidratul-Muntaha”;

[15] Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.

[16] (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.

[17] Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas.

[18] Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.

Mari kita semak satu persatu.

1.  Melalui petikan terjemahan di atas, kita melihat ayat 1 – 18, Surah An-Najm itu dirujuk kepada Nabi Muhamad. Lihat ayat 2, kononnya ayat ini ditujukan kepada para sahabat Nabi dan “rakan kamu” yang dimaksudkan oleh ayat berkenaan adalah Nabi Muhamad sendiri.

2. Melalui ayat 4 – 10, Nabi Muhamad dikatakan menerima wahyu dari Jibril yang turun ke bumi. Dan wahyu yang disampaikan kepada Muhamad kononnya bukan sekadar Al-Quran, bahkan hadis juga (ayat 4).

3. Melalui ayat 11 – 12 kononnya Nabi Muhamad melihat Jibril dalam bentuk asalnya.

4. Melalui ayat 13  Nabi dikatakan bertemu Jibril buat kali kedua dan ayat 14 – 18 hanya Tuhan saja yang tahu apa yang cuba disampaikan oleh penterjemah.

Kepada mereka yang tidak berhati-hati, terjemahan di atas tiada cacat celanya. Malangnya ia tidak semudah itu. Terjemahan di atas sebenarnya telah memesongkan ayat-ayat Allah pada kadar di luar jangkaan. Selepas habis membaca artikel ini saya yakin pembaca budiman tentu tidak menyangka sebuah terjemahan rasmi Al-Quran boleh menjadi seburuk itu.

Ayat-ayat di atas sebenarnya bukan dirujuk kepada Nabi Muhamad. Ia adalah rujukan kepada Nabi Musa. “Rakan kamu” yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat 2 adalah Nabi Musa. Dalam konteks hubungan antara rasul, Allah sifatkan Nabi Musa sebagai rakan atau sahabat kepada Nabi Muhamad. Kita kena ingat, ayat ini diturunkan kepada Nabi Muhamad dan bukan kepada para sahabat sebagaimana yang cuba diajukan oleh penterjemah iiu.edu.my.

Di bawah adalah bagaimana terjemahan Surah An-Najm, ayat 1 – 18 sepatutnya dibaca. Sebagai makluman terjemahan ini adalah terjemahan semula oleh saya dari terjemahan bahasa Inggeris oleh Syakir.

53:1 “Demi bintang apabila ia jatuh”

53:2 “Sahabatmu tidak salah dan tidak juga dia sesat”

53:3 “Tidak juga dia bercakap dengan nafsu”

53:4 “Ia bukan kecuali wahyu yang telah diwahyukan”

53:5 “Tuhan yang Maha Berkuasa yang telah mengajarnya”

53:6 ” Tuhan yang Memberi Kekuatan, supaya dia berjaya melaksanakan”

53:7 “Dan Dia berada tinggi di kaki langit”

53:8 “Kemudian Dia semakin hampir dan merendahkan diriNya”

53:9 “Dia hanya berjarak 2 panahan panah atau lebih dekat”

53:10 “Dan Dia mewahyukan kepada hambaNya apa yang Dia wahyukan”

53:11 “Hatinya seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya”

53:12 “Apa? Kamu pertikaikan apa yang dia lihat?”

53:13 “Dan sesungguhnya dia telah melihatNya di penurunan yang satu lagi”

53:14 “Di sisi Sidratul Muntaha”

53:15 “Yang hampir kepadanya syurga, tempat yang dituju”

53:16 “Sidratul Muntaha yang dilitupi”

53:17 “Matanya tidak berkelip, namun ia tidak salah”

53:18 “Sesungguhnya dia melihat mukjizat-mukjizat terbesar dari Tuhannya”

Dalam sejarah Nabi-Nabi, hanya seorang Nabi saja yang telah menerima mukjizat dan wahyu dari Tuhan secara terus, di mana Tuhan turun ke bumi menemuinya. Dan Nabi itu adalah Nabi Musa. Tuhan telah turun ke bumi dalam dua peristiwa untuk menemui Nabi Musa. Peristiwa pertama adalah apabila Tuhan memperlihatkan dan memberi Nabi Musa mukjizat untuk beliau berdepan dengan Firaun dan peristiwa kedua adalah apabila Tuhan menyampaikan wahyunya kepada Nabi Musa. Dan ayat-ayat surah An-Najm menepati gambaran tentang pengalaman yang telah dilalui oleh Nabi Musa.

Nabi Muhamad tidak pernah menerima mukjizat selain dari Al-Quran dan tidak menerima wahyu secara terus dari Tuhan sebaliknya melalui perantaraan Jibril. Oleh itu mengatakan ayat 1 – 18, Surah An-Najm sebagai merujuk kepada Nabi Muhamad adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan keterlaluan.

Pertemuan pertama Nabi Musa dengan Tuhan diceritakan di dalam Al-Quran dengan jelas melalui Surah Ta-Ha (Surah ke 20).

20:9    “Dan sudahkan cerita tentang Musa sampai kepada kamu?”

20:10   “Apabila dia melihat api dan dia berkata kepada keluarganya, “Berhenti! Sesungguhnya aku melihat api, mungkin aku dapat membawa bara kepada kamu atau mendapatkan panduan di api itu”.

20:11   “Jadi apabila dia datang kepadanya, satu suara kedengaran: “Wahai Musa:

20:12  “Sesungguhnya akuTuhanmu, oleh itu bukalah kasutmu, sesungguhnya kamu berada di lembah suci, Tuwa”.

20:13   “Dan Aku telah memilihmu, jadi dengarlah apa yang akan diwahyukan”.

20:14   “Sesungguhnya Aku Allah, tidak ada Tuhan lain selain Aku, oleh itu berbaktilah kepadaKu dan tunaikan komitmen sebagai ingatan kepadaKu”.

20:15   “Sesungguhnya masanya akan tiba – Aku akan memperlihatkannya – supaya setiap jiwa akan diberi ganjaran atas usahanya”.

20:16   “Oleh itu jangan biarkan sesiapa yang tidak percayakannya dan menurut nafsu dangkalnya memalingkan kamu daripadanya supaya kamu gagal”.

20:17   “Dan apakah yang ada di tangan kanan kamu, wahai Musa?”

20:18   “Dia berkata; Ini tongkatku. Aku bersandar kepadanya dan aku menggunakannya untuk memukul daun-daun supaya jatuh sebagai makanan biri-biriku, aku juga menggunakanya untuk tujuan lain”.

20:19   “Dia berkata: Campakkannya, wahai Musa!”

20:20  “Jadi dia mencampakkannya, dan lo! Ia menjadi ular yang menjalar”.

20:21   “Dia berkata: Peganglah ia dan jangan takut, Kami akan kembalikan ia kepada bentuk asalnya”.

20:22   “Dan tekan tangan kamu ke sisi kamu, ia akan menjadi putih bersih: satu lagi mukjizat”.

20:23   “Semoga Kami akan tunjukkan mukjizat yang lebih hebat kepada kamu”.

20:24   “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas”.

20:25   “Dia (Musa) berkata; Wahai Tuhanku! Lapangkanlah dadaku”.

20:26   “Dan mudahkanlah urusanku”.

20:27   “Dan bebaskan kelu lidahku…”

Kisah mengenai Nabi Musa yang terpukau pada satu malam di mana dia telah bertemu Tuhan yang memperlihatkan kepadanya mukjizat-mukjizat dalam 20:9 – 27 di atas selaras dengan konteks ayat-ayat 53:13 – 18.

Pertemuan seterusnya pula berlaku apabila Tuhan turun ke bumi untuk menyampaikan wahyu kepada Musa.  Kisah mengenai pertemuan ini  diceritakan dalam Surah Al-A’raf ayat142-145.

7:142 “Dan kami menetapkan pertemuan dengan Musa selama 30 malam dan menyudahkannya dengan 10 lagi, jadi tempoh pertemuan dengan Tuhannya selesai dalam 40 malam, dan Musa berkata kepada adiknya Harun: Ambil tempatku di kalangan orang-orangku dan uruskan dengan baik dan jangan ikut cara mereka yang membuat kerosakan”.

7:143 “Dan apabila Musa datang pada masa yang telah ditetapkan dan Tuhannya menegurnya dan beliau berkata:  Tuhanku! Tunjukkanlah, supaya aku dapat melihat Dirimu. Dia (Tuhan) berkata: Kamu tidak akan mampu melihat Aku tetapi lihatlah gunung itu, jika ia kekal di tempatnya, maka kamu akan melihat Aku, tetapi apabila Tuhan menzahirkan kebesarannya kepada gunung itu Dia membuatnya runtuh dan Musa jatuh pengsan; kemudian bila dia kembali pulih, dia berkata: Keagungan untukMu, aku patuh kepadaMu dan akulah di antara mereka yang percaya”.

7:144 “Dia berkata: Wahai Musa! Sesungguhnya aku telah memilih kamu di atas yang lain untuk menyampaikan pesanan-pesanan dan perkataan-perkataanKu, oleh itu peganglah apa yang Aku berikan kepadamu dan jadilah antara mereka yang menghargai”.

7:145 “Dan kami perintahkan untuk dia dalam bentuk senarai peringatan yang pelbagai dan penjelasan dalam semua perkara; jadi peganglah semuanya dengan teguh dan ajaklah orang-orang kamu untuk berpegang kepada apa yang terbaik, aku akan tunjukkan kepadamu tempat tinggal yang kekal untuk mereka yang melampaui batas.”

Kisah yang diceritakan melalui ayat 7:142 – 145 di atas selaras dengan konteks ayat 53:2 -12.

Kesimpulan

Selepas melihat semua rujukan ayat 20:9 – 27 dan 7:142 – 145, maka bukti yang jelas telah kita lihat sendiri bahawa Surah An-Najm, ayat 1 – 18 tidak syak sememangnya merujuk kepada Nabi Musa dan bukan Nabi Muhamad sebagaimana yang cuba dipesongkan oleh penterjemah  iiu.edu.my dan penterjemah “bertauliah” yang lain.

Jika pembaca budiman fikir pemesongan tentang Nabi Musa ini berakhir di sini, bersedialah untuk terkejut. Ia tidak berakhir di sini. Tetapi ia berakhir di tikar sembahyang  orang-orang Islam.

Para ulama memberitahu umat Islam bahawa sembahyang merupakan satu ibadat yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada Nabi Muhamad secara terus, di mana Nabi telah diterbangkan dari Mekah ke Baitul Muqqaddis dan kemudian menemui Tuhan di langit ke tujuh dalam peristiwa ajaib yang diberi nama Israk dan Mikraj. Saya rasa tidak perlu saya bercerita panjang tentang perjalanan “adventure” ala hikayat 1001 Malam Nabi itu kerana saya yakin para pembaca budiman tentu lebih maklum mengenainya.

Untuk cerita mereka itu, para ulama hanya menggunakan dalil ayat 1, Surah Al-Israa.

17:1  “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Sekali lagi terjemahan oleh iiu.edu.my)

Bayangkan hanya melalui satu ayat ini, para ulama mampu mencipta sebuah cerita yang memukau jutaan manusia di serata dunia dan memastikan penganut Islam  sembahyang 5 kali sehari dengan cara yang mereka (ulama) sendiri tetapkan. Kalau ini bukan pencapaian yang menakjubkan, apa lagi? Memang hebat!

Tetapi betulkah ayat 1, Surah Al-Israa itu merujuk kepada Nabi Muhamad? Mari kita lihat, periksa dan teliti baik-baik. Dari terjemahan Syakir, saya terjemahkan semula begini:

17:1 “Pujian adalah untuk Yang Satu yang telah memperjalankan hambaNya pada satu malam daripada persetujuan yang direstui kepada persetujuan yang jauh, yang Kami telah berkati, supaya Kami perlihatkan dia tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia Mendengar dan Melihat”.

17:2 “Dan kami berikan Musa Kitab dan dijadikan ia Petunjuk untuk bani Israel. Kamu tidak patut mengambil selain dari aku sebagai penaung”.

17:3 “Keturunan seseorang yang telah Kami bawa bersama Nuh, sesungguhnya dia adalah hamba yang berterima kasih”.

Baca betul-betul ayat 17:1: Yang Satu (Tuhan) telah memperjalankan hambaNya pada satu malam untuk memperlihatkan mukjizat-mukjizatnya dan meletakkan status hambaNya itu dari seorang biasa ke arah menjadi seorang rasul.

Selepas jelas maksud ayat 17:1 kepada kita mari kita sama-sama jawab persoalan-persoalan ini:

  • Adakah Nabi Muhamad pernah berjalan pada satu malam dan Tuhan memperlihatkan mukjizat-mukjizatnya? Tidak.
  • Adakah Nabi Muhamad pernah menerima apa-apa mukjizat selain Al-Quran? Tidak.
  • Adakah Tuhan pernah turun ke bumi untuk menemui Nabi Muhamad secara terus? Tidak.
  • Adakah Nabi Musa pernah terpukau pada satu malam kerana Tuhan memperlihatkan mukjizat-mukjizatnya? Ya.
  • Adakah kedua-dua (bangunan) masjid Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa (Nabi dikatakan sembahyang 2 rakaat di situ sebelum terbang ke langit) telah wujud ketika peristiwa Israk & Mikraj Nabi Muhamad? Tidak.
  • Adakah kedua-dua (bangunan) masjid Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa telah wujud ketika zaman Nabi Musa? Tidak.
  • Adakah konteks ayat 17:2 – 3 selaras atau harmoni dengan ayat 17:1 jika ia dirujuk kepada Nabi Musa? Ya.

Oleh itu ayat 17:1 terbukti merujuk kepada Nabi Musa dan bukan Nabi Muhamad seperti mana yang dikatakan oleh para ulama. Dengan kesimpulan ini, maka peristiwa Israk & Mikraj sebenarnya tidak pernah berlaku. Dan kalau begitu bagaimana dengan sembahyang lima waktu yang kononnya diperintahkan Tuhan melalui peristiwa itu?

Saya berpendapat kita perlu renungkan ayat di bawah supaya tidak kekal menjadi umat yang sesat.

7:146 “Aku akan palingkan dari wahyu-wahyuku mereka yang sombong tidak bertempat di bumi ini dan jika mereka melihat setiap petunjuk mereka tidak akan mempercayainya dan jika melihat jalan yang baik mereka tidak mengambilnya sebagai jalan mereka tetapi jika melihat jalan yang salah, mereka mengambilnya sebagai jalan mereka, ini kerana mereka menolak wahyu-wahyu kami dan langsung tidak peduli akannya”.

Written by tolokminda

January 11, 2010 at 5:47 pm

Apakah komitmen Nabi atau kita apabila berhadapan dengan musuh ketika perang?

with 10 comments

Dalam artikel yang bertajuk “Takkanlah Tuhan suruh Nabi jadi imam solat bersama musuh yang diperanginya” saya membincangkan ayat 4:101  hingga 4:104.

Ayat-ayat berkenaan, iaitu ayat 4:102 khususnya telah dianggap oleh kebanyakan umat Islam sebagai ayat yang menjelaskan cara-cara melakukan solat atau sembahyang ketika dalam peperangan. Dan mereka menganggap ayat 4:101 tidak ada kena mengena dengan ayat 4:102 dan berpendapat “mereka” dalam ayat 4:102 sebagai merujuk kepada para sahabat dan bukan merujuk kepada orang-orang kafir (musuh) yang disebut di bahagian akhir ayat 4:101.

Saya rasa anggapan mereka itu tidak lebih dari helah cetek untuk menenggelamkan keraguan dalam hati sendiri. Bagi akal yang waras, tidak mungkin konteks ayat 4:101 dan 4:102 tidak dapat difahami. Oleh itu sebagai hamba Tuhan kita bertanggungjawab untuk mencari jawapan yang sebenarnya supaya tidak terus berada dalam kejahilan mahupun kepalsuan.

Oleh itu saya kemukakan sekali lagi ayat 4:101 dan 4:102 dalam terjemahan “yang standard” dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk kita ulang kaji dan teliti.

4:101 “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu”.

4:102 “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina”.

Rujukan terjemahan di sini

Ini pula terjemahan bahasa Inggeris oleh Syakir.

4:101 “And when you journey in the earth, there is no blame on you if you shorten the prayer, if you fear that those who disbelieve will cause you distress, surely the unbelievers are your open enemy”.

4:102 “And when you are among them and keep up the prayer for them, let a party of them stand up with you, and let them take their arms; then when they have prostrated themselves let them go to your rear, and let another party who have not prayed come forward and pray with you, and let them take their precautions and their arms; (for) those who disbelieve desire that you may be careless of your arms and your luggage, so that they may then turn upon you with a sudden united attack, and there is no blame on you, if you are annoyed with rain or if you are sick, that you lay down your arms, and take your precautions; surely Allah has prepared a disgraceful chastisement for the unbelievers”.

Saya pula menampilkan idea yang berbeza. Saya berpendapat kedua-dua ayat itu saling melengkapi dan sempurna dari segi konteksnya. Oleh itu “mereka” tidak boleh membawa maksud para sahabat tetapi sebaliknya mestilah pihak musuh, iaitu orang-orang kafir. Mustahil Tuhan menyuruh Nabi menjadi imam solat bersama musuh apatah lagi mereka bukan orang Islam. Jadi keyakinan saya bahawa perkataan solat itu sebenarnya membawa maksud komitmen dapat diuji melalui ayat ini. Kita tengok sejauh mana keyakinan saya itu mampu melepasi ujian:

4:101 “Dan apabila kamu mengembara di bumi, tidak menjadi kesalahan jika kamu ringkaskan komitmen-komitmen kamu, jika kamu bimbang mereka yang tidak percaya akan menggugat kamu, sesungguhnya mereka adalah musuh yang terbuka”.

4:102 “Dan apabila kamu berada di antara mereka, berpeganglah kepada komitmen kamu terhadap mereka, biarkan sebahagian dari mereka berhadapan dengan kamu, dan biarkan mereka mengambil senjata mereka, kemudian jika mereka bersetuju, biarkan mereka berlindung di belakang kamu, dan biarkan sebahagian mereka yang lain, yang tidak komited untuk bersama kamu berdepan dengan kamu pula, biar mereka bersiap sedia dengan senjata mereka; mereka yang tidak percaya ingin kamu cuai dengan senjata dan peralatan kamu, jadi mereka boleh bersatu menyerang kamu secara tiba-tiba, (bagaimanapun) tidak menjadi kesalahan ke atas kamu jika kamu dihalangi hujan atau jika kamu jatuh sakit, maka kamu letakkan senjata kamu dan ambillah langkah berjaga-jaga; sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang memalukan kepada mereka yang tidak percaya”.

Melalui terjemahan semula yang saya buat, kita dapat lihat ayat 4:101 dan 4:102 saling harmoni dalam satu konteks. Dalam ayat 4:102 Tuhan menyuruh Nabi menunaikan komitmennya terhadap musuh apabila berhadapan dengan mereka dalam peperangan. Bagaimanapun dalam artikel sebelum ini saya tidak menjelaskan apakah komitmen yang perlu Nabi lunaskan terhadap pihak musuh. Jadi saya akan jelaskan melalui artikel ini.

Mari kita lihat semula bahagian awal ayat 4:102.

4:102 “Dan apabila kamu berada di antara mereka, berpeganglah kepada komitmen kamu terhadap mereka, biarkan sebahagian dari mereka berhadapan dengan kamu, dan biarkan mereka mengambil senjata mereka…”

Apakah komitmen Nabi, iaitu komitmen kita juga sebagai orang-orang yang percaya apabila berhadapan dengan musuh ketika berperang? Jawapannya terdapat dalam ayat-ayat berikut:

2:190 “Berperanglah demi Tuhan mereka yang memerangi kamu, tetapi jangan melampaui batas kerana Allah tidak suka mereka yang melampaui batas”.

2:191 “Dan bunuh mereka bilamana kamu berdepan dengan mereka dan halau mereka dari mana mereka telah menghalau kamu, kerana penindasan adalah lebih teruk dari pembunuhan, tetapi jangan perangi mereka ketika berada dalam peraturan sekatan yang telah dipersetujui kecuali mereka memerangi kamu pada masa itu, tetapi jika mereka memerangi kamu, bunuhlah mereka. Begitulah balasan kepada mereka yang tidak mahu percaya”.

2:192 “Tetapi jika mereka menyerah, Tuhan Pengampun dan Mengasihani”.

2:193 “Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi penindasan, dan kemenangan kepada keadilan dan kepercayaan kepada Tuhan; tetapi jika mereka menyerah, janganlah ada permusuhan kecuali mereka yang berbuat kezaliman”.

Sekarang kita lihat bagaimana ayat-ayat 2:190-193 menjadi penjelas kepada ayat-ayat 4:102.

Dalam ayat 4:102, Tuhan kata bila musuh ada di hadapan Nabi atau kita dan mereka bersedia dengan senjata mereka, maka Nabi atau kita mesti berpegang kepada komitmen sebagaimana permulaan ayat 2:191, iaitu bunuhlah mereka dan halau mereka jika mereka telah menghalau Nabi atau kita dari tempat yang sama sebelum ini.

2:191 “Dan bunuh mereka bilamana kamu berdepan dengan mereka dan halau mereka dari mana mereka telah menghalau kamu…”

Tetapi dalam ayat 4:102 seterusnya Tuhan kata,

“…kemudian jika mereka bersetuju, biarkan mereka berlindung di belakang kamu…”

Maknanya kalau musuh yang berhadapan dengan Nabi atau kita itu menyerah,  musuh yang menyerah diri perlu dilindungi di belakang garisan pertempuran. Ini selaras dengan ayat;

2:192 “Tetapi jika mereka menyerah, Tuhan Pengampun dan Mengasihani”.

Kemudian dalam ayat 4:102, Tuhan menambah lagi..

“..dan biarkan sebahagian mereka yang lain, yang tidak komited untuk bersama kamu berdepan dengan kamu pula, biar mereka bersiap sedia dengan senjata mereka…”

Maknanya walaupun sebahagian dari musuh mungkin telah , sebahagian lain mungkin berkeras mahu terus berperang. Oleh itu Nabi atau kita juga perlu teruskan komitmen terhadap mereka yang memerangi Nabi atau kita sebagaimana yang telah Tuhan perintahkan sehinggalah semua musuh itu ditewaskan sepenuhnya. Ini jelas dinyatakan Allah melalui ayat ini.

2:193 “Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi penindasan, dan kemenangan kepada keadilan dan kepercayaan kepada Tuhan; tetapi jika mereka menyerah, janganlah ada permusuhan kecuali mereka yang berbuat kezaliman”.

Dari terjemahan yang mentafsirkan perkataan solat sebagai komitmen dalam ayat 4:101-102, kita dapati ia menepati konteks dengan tepat dan tidak lagi mengelirukan. Tuhan telah membuat ketetapan bagaimana kita perlu bertindak terhadap musuh ketika perang. Ketetapan tersebut perlu kita terima sebagai satu komitmen atau solaa kita kepada Tuhan sebagaimana juga ketetapan-ketetapan lain yang turut Tuhan gariskan di dalam Al-Quran.

Begitulah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya di dalam Al-Quran. Adakah kita masih tak mahu percaya?

Written by tolokminda

January 8, 2010 at 12:48 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with , , ,

Takkanlah Tuhan suruh Nabi jadi imam solat bersama musuh yang sedang diperangi?

with 37 comments

Ayat ke 102 dan 103 Surah An-Nisa memang popular di kalangan ulama agama dalam usaha mereka menanam doktrin ritual solat kepada umat. Tetapi mari kita lihat bagaimana mereka menterjemah dan mentafsirkan ayat-ayat ini yang saya kira agak lintang pukang akibat usaha mereka meletakkan maksud perkataan tidak kena pada tempatnya.

Terjemahan dalam Bahasa Malaysia terjejas teruk dan terpesong jauh dari apa yang Tuhan hendak sampaikan. Oleh itu saya akan sertakan satu terjemahan dalam bahasa Inggeris oleh Syakir untuk memberi sedikit imbangan. Dan untuk memahami konteks ayat 102 dan 103 itu, ayat sebelumnya, iaitu ayat 101 dan 104 juga perlu dibaca bersama. Oleh itu saya turut sertakan kedua-duanya.

[4:101] Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

[4:102] Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.

[4: 103] Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

[104] Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Rujukan di sini

Di bawah pula adalah terjemahan oleh Syakir. Juga meletakkan makna perkataan tidak kena tempat, tetapi maksud ayat keseluruhannya masih boleh digapai minda dan saya membuat terjemahan semula dari terjemahan ini.

4:101 And when you journey in the earth, there is no blame on you if you shorten the prayer, if you fear that those who disbelieve will cause you distress, surely the unbelievers are your open enemy.

4:102 And when you are among them and keep up the prayer for them, let a party of them stand up with you, and let them take their arms; then when they have prostrated themselves let them go to your rear, and let another party who have not prayed come forward and pray with you, and let them take their precautions and their arms; (for) those who disbelieve desire that you may be careless of your arms and your luggage, so that they may then turn upon you with a sudden united attack, and there is no blame on you, if you are annoyed with rain or if you are sick, that you lay down your arms, and take your precautions; surely Allah has prepared a disgraceful chastisement for the unbelievers.

4:103 Then when you have finished the prayer, remember Allah standing and sitting and reclining; but when you are secure (from danger) keep up prayer; surely prayer is a timed ordinance for the believers.

4:104 And be not weak hearted in pursuit of the enemy; if you suffer pain, then surely they (too) suffer pain as you suffer pain, and you hope from Allah what they do not hope; and Allah is Knowing, Wise.

Saya berpendapat siapa pun yang menterjemah ayat-ayat dalam Bahasa Melayu di atas, beliau nampaknya terpaksa bekerja keras menokok tafsiran bagi membolehkan konteks ayat diolah selaras dengan ajaran ulama, tetapi bukan ajaran Tuhan.

[4:102] Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu..

Dalam terjemahan Bahasa Melayu, penterjemah cuba memberi konotasi bahawa “mereka” itu adalah para sahabat. Konotasi ini tidak kena dengan ayat sebelumnya. Jika dibawa dari konteks ayat 101, “mereka” sepatutnya membawa maksud orang-orang yang tidak percaya. Baca..

[4:101] Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

[4:102] Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka…

Mana mungkin Tuhan suruh Nabi menjadi imam sembahyang kepada orang-orang yang tidak percaya sambil mereka menyandang senjata di dalam situasi Nabi sedang berperang dengan mereka? Saya amat yakin bagi kebanyakan kita terjemahan Bahasa Melayu ayat 102 surah An-Nisa di atas amat mengelirukan dan mustahil untuk difahami intipatinya. Ia tidak sesuai dengan sifat wahyu Tuhan yang sepatutnya jelas.

Ayat 103 juga masih mengelirukan. Selama ini kita diajar bahawa sembahyang adalah amalan yang ultimate untuk mengingati Tuhan, tetapi dalam ayat tersebut Tuhan dikatakan suruh kita mengingati Dia selepas sembahyang. Adakah sembahyang tidak cukup untuk mengingati Tuhan atau orang-orang yang sembahyang sememangnya kurang mengingati Tuhan sehingga Tuhan suruh lagi mereka ingatkan Dia lepas sembahyang?

Hanya mereka yang sembahyang dapat menjawabnya.

Baiklah kita kembali kepada ayat 101-104, Surah An-Nisa. Bagaimana terjemahan dan tafsiran yang sepatutnya? Saya berpendapat ia begini:

4:101 Dan apabila kamu mengembara di bumi, tidak menjadi kesalahan jika kamu ringkaskan komitmen-komitmen kamu, jika kamu bimbang mereka yang tidak percaya akan menggugat kamu, sesungguhnya mereka adalah musuh yang terbuka.

4:102 Dan apabila kamu berada di antara mereka, berpeganglah kepada komitmen kamu terhadap mereka, biarkan sebahagian dari mereka berhadapan dengan kamu, dan biarkan mereka mengambil senjata mereka, kemudian jika mereka bersetuju, biarkan mereka berlindung di belakang kamu, dan biarkan sebahagian mereka yang lain, yang tidak komited untuk bersama kamu berdepan dengan kamu pula, biar mereka bersiap sedia dengan senjata mereka; mereka yang tidak percaya ingin kamu cuai dengan senjata dan peralatan kamu, jadi mereka boleh bersatu menyerang kamu secara tiba-tiba, (bagaimanapun) tidak menjadi kesalahan ke atas kamu jika kamu dihalangi hujan atau jika kamu jatuh sakit, maka kamu letakkan senjata kamu dan ambillah langkah berjaga-jaga; sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang memalukan kepada mereka yang tidak percaya.

4:103 Dan apabila kamu selesai dengan komitmen tersebut (berperang ), ingatlah Allah sambil berdiri, duduk atau bersandar; tetapi apabila kamu telah benar-benar selamat; tunaikanlah komitmen-komitmen yang rutin, sesungguhnya setiap komitmen mempunyai garismasa (dateline) kepada orang-orang yang percaya.

4:104 Dan janganlah kamu berhati lembut dalam menghadapi musuh, jika kamu mengalami kesakitan, maka mereka juga mengalaminya sebagaimana kamu, dan kamu mengharap dari Allah apa yang mereka tidak harapkan; dan Allah Mengetahui, Bijaksana.

Saya tidak kata ia satu terjemahan yang sempurna. Seperti yang saya telah katakan ia hanyalah terjemahan semula oleh saya dari terjemahan Syakir dalam bahasa Inggeris tetapi niat saya adalah untuk memahami maksud ayat-ayat Tuhan sebagaimana ia patut difahami. Sekurang-kurangnya untuk diri saya sendiri.

Posting ini saya usahakan khusus untuk menjawab persoalan seorang pembaca dengan nick Penulis di sini. Saya harap Penulis dan para pembaca lain boleh sama-sama memberi pendapat atau pandangan demi kepentingan bersama.

Written by tolokminda

January 1, 2010 at 1:12 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with , , , ,

Keperluan menjaga tatasusila dan kesopanan dalam sesebuah keluarga

with 8 comments

Satu lagi ayat yang menjadi dalil ulama untuk mengukuhkan dakwaan mereka tentang waktu solat adalah ayat ke 58, Surah An-Nur. Ayat ini dikatakan menyebut tentang sembahyang Subuh dan sembahyang Ishak.

24:58 “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (Rujukan di sini)

Bagaimanapun jika kita periksa maksud ayat berkenaan, Tuhan sebenarnya tidak merujuk kepada mana-mana waktu solat. Ayat ini menggariskan salah satu disiplin yang perlu kita amalkan dalam konteks tatasusila dan kesopanan di antara ahli keluarga. Disiplin ini menetapkan anak-anak atau sesiapa saja ahli keluarga supaya meminta kebenaran sebelum berinteraksi dengan kita dalam tiga waktu yang khusus. Selain dari tiga waktu ini, anak-anak kita atau ahli keluarga kita boleh berinteraksi dengan bebas tanpa perlu meminta kebenaran.

Mari kita lihat terjemahan ayat 24:58 seringkas maksud yang asal tanpa melibatkan sebarang konotasi berkaitan ritual solat.

24:58 “Wahai orang-orang yang percaya, hendaklah sesiapa yang berada di bawah tanggungan kamu dan yang belum baligh di kalangan kamu, meminta izin kepada kamu dalam tiga situasi: sebelum melakukan komitmen di waktu pagi, ketika kamu menanggalkan pakaian di tengah hari yang panas dan selepas selesai menunaikan komitmen di waktu malam; inilah tiga waktu privasi bagi kamu. Selain dari tiga waktu ini tidak ada kesalahan bagi kamu berinteraksi di antara satu sama lain. Demikianlah Allah menjelaskan wahyu-Nya. Dan Allah Mengetahui, Bijaksana”.

Dari Ayat di atas, ahli keluarga kita perlu menghormati waktu-waktu privasi yang telah Tuhan tetapkan kepada kita iaitu;

Waktu yang pertama: sebelum kita memulakan sebarang komitmen di waktu pagi. Dengan kata lain, sebelum kita keluar dari bilik tidur bagi memulakan sebarang tugas atau kerja.

Waktu yang kedua:  pada waktu rehat tengah hari di mana kita mungkin perlu membuka pakaian untuk menyelesakan diri, berehat atau tidur ketika waktu rehat sebelum menyambung kerja iaitu melaksanakan komitmen di sebelah petang.

Waktu yang ketiga:  apabila tiba waktu tidur iaitu selepas kita selesai menunaikan semua bentuk komitmen yang perlu diselesaikan pada malam itu, yang mungkin termasuk juga melayan atau mengajar anak-anak.

Melihat kepada tiga waktu privasi yang dikhususkan oleh Tuhan itu, dalam konteks kehidupan harian, ketiga-tiganya bolehlah kita simpulkan sebagai waktu di mana kita berada di bilik dalam keadaan yang tidak lengkap berpakaian atau tidak sopan atau kita menggunakan waktu itu untuk bersama pasangan dan oleh yang demikian, tidak sesuai jika dilihat oleh anak-anak atau sesiapa saja selain dari pasangan kita, isteri atau suami. Meminta kebenaran bermakna, anak-anak atau ahli keluarga kita perlu mengetuk pintu atau bertanya terlebih dulu dan tidak terus masuk ke dalam bilik sebelum kita memberi kebenaran.

Jika kita ikut kata para ulama yang mentafsirkan perkataan “salati” dalam ayat di atas sebagai solat ritual maknanya anak-anak atau ahli keluarga kita terpaksa meminta kebenaran jika mahu bersama kita sebelum kita solat Subuh dan selepas solat Isyak. Tidak mungkin ianya bermaksud sedemikian. Apa kaitan di antara ahli keluarga kita dengan keadaan kita sebelum solat Subuh atau selepas solat Ishak?

Melalui ayat ini, suruhan Tuhan supaya ahli keluarga menghormati masa-masa privasi kita adalah jelas. Tetapi apabila masa-masa privasi itu dikaitkan dengan tempoh sebelum solat subuh dan tempoh selepas solat Ishak, idea pengamalannya menjadi janggal – tiada justifikasi. Mungkin sebab itulah kita tidak pernah melihat amalan ini dipatuhi dalam mana-mana keluarga Islam. (Bagaimanapun, kalau saya salah tentang perkara ini, saya amat alu-alukan pencerahan dari para pembaca).

Konotasi bahawa ayat 24:58 bercakap mengenai disiplin yang berkaitan dengan tatasusila dan kesopanan dalam sesebuah keluarga yang tidak ada kaitan dengan sebarang bentuk ritual sebenarnya dijelaskan secara tidak langsung apabila Tuhan menyebut, “ketika kamu menanggalkan pakaian di tengah hari yang panas” sebagai salah satu dari tiga waktu privasi yang ditetapkan. Melaluinya kita terus ‘dapat tangkap’ justifikasi perlunya disiplin berkenaan. Dan kaitan ketiga-tiga masa privasi itu turut menjadi jelas kepada kita.

Kemudian, ayat seterusnya menetapkan anak-anak atau ahli keluarga lain yang sudah baligh juga tertakluk kepada peraturan yang sama.

24:59 “Dan apabila di antara kamu anak-anak yang sudah baligh, biar mereka minta kebenaran sepertimana mereka yang sebelumnya minta kebenaran; begitulah Allah menjelaskan wahyu-wahyunya, dan Allah Mengetahui, Bijak”.

Peraturan tentang tatasusila dan kesopanan dalam sebuah kehidupan berkeluarga ini terus disambung dalam ayat selepasnya yang merujuk kepada anggota keluarga dari kalangan wanita yang sudah tua pula.

24:60 “Dan wanita-wanita tua yang telah melepasi kehendak berkahwin, tidak menjadi kesalahan ke atas mereka jika mereka membuka pakaian luar tanpa memperlihatkan perhiasan mereka; jika mereka menahan diri (dari melakukan sedemikian) adalah lebih baik bagi mereka; dan Allah Mendengar, Mengetahui”.

Written by tolokminda

December 29, 2009 at 7:13 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with ,

Tuhan suruh kita tekun dan sabar mengerjakan komitmen dari pagi sehinggalah waktu tidur

with 23 comments

Kita semua sedia maklum umat Islam majoritinya percaya mereka diwajibkan melakukan ritual solat lima kali sehari. Bagaimanapun ada sebahagian kecil berpendapat mereka hanya diwajibkan melakukannya tiga kali sehari. Kesimpulan mereka (yang percaya wajib solat tiga kali sehari) dirujuk kepada ayat ke 114, Surah Hud.

11:114 “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”. (Klik Rujukan)

Saya percaya ayat ke 114 Surah Hud itu sebenarnya langsung tidak ada kena mengena dengan ritual solat. Sebaliknya melalui ayat itu Tuhan suruh kita tekun melaksanakan komitmen-komitmen seharian kita, iaitu samada komitmen kepada diri sendiri, komitmen kepada keluarga, komitmen kepada kerja (karier), komitmen kepada masyarakat dan 1001 macam komitmen lain. Tidak ada siapa yang lebih tahu apa komitmen kita selain dari diri kita sendiri.

Apa yang penting semua komitmen berkenaan perlu kita tunaikan dalam ruang lingkup kepercayaan, nilai-nilai,  aturan-peraturan, batasan-batasan mahupun kelonggaran-kelonggaran yang telah Tuhan gariskan dalam satu sistem yang lengkap dan bersifat universal. Kepada sesiapa yang percaya, inilah jalan hidup yang telah dipreskripsi oleh Tuhan kepada mereka. Jalan hidup yang lurus ke arah kejayaan di dunia dan akhirat.

Apa yang dimaksudkan dengan dua bahagian siang iaitu pagi dan petang dan sebahagian dari malam yang disebut dalam ayat ke 114, Surah Hud sebenarnya hanya memerlukan common sense untuk mentafsirnya. Ia adalah tempoh produktif yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian seseorang. Maknanya Tuhan suruh kita tunaikan komitmen kita atau dengan kata lain kerja-kerja kita ataupun tanggungjawab-tanggungjawab seharian kita pada waktu siang, iaitu pagi dan petang dan sebahagian dari malam iaitu sebelum kita masuk tidur.

Tanpa Tuhan memberi penjelasan lanjut pun kita dapat melihat betapa benarnya kenyataan ini. Kecuali bagi mereka yang terlibat dalam kerja membabitkan syif malam, secara umumnya manusia sememangnya aktif bekerja (menunaikan komitmen) dari pagi sehingga petang sehingga sebahagian dari malam. Kemudian kita perlu berehat iaitu tidur. Tuhan kata malam adalah masa untuk kita berehat.

6:96 “Dia menerbitkan siang; dan Dia telah menjadikan malam untuk berehat, dan matahari dan bulan  untuk direnungkan; ini adalah penyusunan Yang Berkuasa, Yang Mengetahui”.

Kesimpulannya, ayat ke 114 Surah Hud itu Tuhan menyuruh kita jangan membuang masa dalam kehidupan seharian. Sebaliknya kita harus tekun menunaikan tanggungjawab harian kita dari pagi sehinggalah kita masuk tidur. Tuhan kata jika kita mempunyai komitmen dan kita tekun menunaikannya, ia akan menjauhkan kita dari melakukan kerja-kerja yang mungkar iaitu kerja yang sia-sia, merosakkan atau merugikan.

Ini pun mudah dibuktikan. Lihatlah siapa yang menjadi mat rempit, penagih dadah atau lain-lain golongan manusia gagal, mereka tidak lain adalah orang-orang yang tidak ada komitmen dalam hidup. Mereka tidak komited kepada diri sendiri, mereka tidak komited kepada Tuhan, mereka tidak komited kepada keluarga, mereka tidak komited kepada masyarakat.

Sebagai penutup posting ini, mari kita lihat ayat 112 hingga ayat 115 Surah Hud. Perhatikan ayat 115. Ia menjelaskan apa yang Tuhan perintahkan dalam ayat 114, iaitu perintah yang Tuhan suruh kita tunaikan “pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam”.

Apa yang sebenarnya Tuhan suruh?

Tidak lain adalah membuat kebaikan atau dengan kata lain, melakukan kerja-kerja yang baik. Apa saja kebaikan yang kita lakukan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, kerjaya, masyarakat dan sebagainya merupakan satu komitmen yang Tuhan suruh kita tunaikan setiap hari dari pagi sampailah tiba waktu tidur.

11:112 “Teruskan berada di jalan yang benar seperti yang telah diperintahkan ke atas kamu, sepertimana sesiapa yang telah menyertai kamu, dan jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu lakukan”.

11:113 “Dan jangan kamu cenderung kepada mereka yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api, dan kamu tidak mempunyai pelindung selain Allah, dan kamu tidak akan beroleh pertolongan”.

11:114 “Dan tunaikanlah komitmen-komitmen di dua bahagian siang (pagi dan petang), dan beberapa jam dari malam, sesungguhnya amalan (kerja-kerja) yang baik menjauhkan amalan (kerja-kerja) buruk; ini adalah peringatan kepada mereka yang mahu berfikir”.

11:115 “Dan bersabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan melupakan ganjaran kepada mereka yang membuat kebaikan”.

Written by tolokminda

December 28, 2009 at 7:56 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with

Solat Jumaat: Apa sebenarnya kata Tuhan?

with 28 comments

Surah Al-Jumuah

62:1 Segala yang di langit dan segala yang di bumi mengakui keagungan Tuhan, Yang Berdiri Sendiri, Yang Suci, Yang Berkuasa, Yang Bijaksana.

62:2 Dialah yang telah mengutuskan di kalangan orang-orang yang belum pernah mengenal Tuhan seorang rasul dari kalangan mereka sendiri untuk membacakan wahyu Tuhan dan memurnikan mereka dan mengajar mereka Al-Kitab dan kebijaksanaan, sesungguhnya mereka dulu dalam kesesatan.

62:3 Dan begitu juga dari kalangan mereka yang lain, yang belum menyertai mereka, dan Dialah Yang Berkuasa, Yang Bijaksana.

62:4 Begitulah Kemurahan Allah. Dia memberi kurnia kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah adalah Tuhan Yang Amat Pemurah.

62:5 Perbandingan mereka yang telah disampaikan Taurat, kemudian mereka tidak mematuhinya adalah seperti kaldai mendapat buku, zalim adalah persamaan bagi orang-orang yang tidak mahu menerima wahyu-wahyu Allah dan Allah tidak memberi pedoman kepada orang yang zalim.

62:6 Katakan: Wahai orang-orang Yahudi, jika kamu fikir kamu disayangi Allah dan tidak orang-orang lain, mohonlah kematian jika kamu berkata benar.

62:7 Dan mereka tidak akan memohonnya kerana apa yang telah tangan mereka lakukan, dan Allah tahu siapa yang zalim.

62:8 Katakan: Kematian yang kamu elakkan akan tetap mengatasi kamu, kemudian kamu akan dibawa ke hadapan Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, dan Dia akan memberitahu kamu apa yang telah kamu lakukan.

62:9 Wahai orang-orang yang percaya! Apabila diminta komitmen kamu di hari berkumpul, maka segeralah kepada Peringatan Allah dan tinggalkan urusan kamu, itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui.

62:10 Kemudian selepas komitmen itu selesai, bersurailah mencari kemurahan Tuhan di atas mukabumi, dan banyakkanlah mengingati Tuhan, semoga kamu mendapat kejayaan.

62:11 Dan apabila mereka melihat barangan atau hiburan mereka berbondong ke arahnya, dan meninggalkan kamu berdiri berseorangan. Katakan: Apa yang bersama Allah adalah lebih baik dari hiburan atau barangan, dan Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.

Surah Al-Jumuah terkenal kerana di dalamnya mengandungi ayat yang dikatakan dalil kepada perintah mengerjakan solat Jumaat. Bagaimanapun apabila saya lihat dengan lebih dekat, notasi mengenai solat Jumaat itu sebenarnya tidak meyakinkan langsung. Apa yang Tuhan nyatakan bukanlah perintah supaya kita solat Jumaat.

Dengan kandungan ayat yang sedikit, iaitu 11 ayat sahaja, Surah Al-Jumuah tidak begitu sukar untuk difahami.

Secara spesifik, melalui surah ini Tuhan memerintahkan masyarakat Nabi supaya mendengar apa yang disampaikan oleh rasul-Nya itu apabila mereka diajak berkumpul untuk tujuan berkenaan. Pergi mendengar apa yang Nabi sampaikan merupakan satu komitmen kepada mereka yang percaya kepada Al-Quran. Tuhan kata Al-Quran itu merupakan manifestasi kemurahan-Nya kepada manusia. Ia memurnikan jiwa, memupuk kebijaksanaan dan menyuluh jalan keluar dari kesesatan.

Atas sebab itu, Tuhan berpesan supaya umat Al-Quran jangan menjadi seperti pengikut Nabi Musa yang diibaratkan Tuhan seperti kaldai mendapat kitab, mereka dikurniakan Taurat tapi tidak mematuhi kandungannya. Kata Tuhan sikap seperti itu merupakan satu kezaliman dan Tuhan tidak memberi pedoman kepada orang-orang yang zalim.

Begitu juga Tuhan berpesan supaya umat Al-Quran tidak menjadi orang yang sombong seperti Yahudi yang mendabik dada kononnya mereka saja yang disayangi Tuhan sehinggakan Tuhan mencabar mereka supaya memohon untuk mati kalau mereka benar-benar yakin  dengan apa yang mereka dakwa. Tuhan kata mereka tidak mungkin berani berbuat demikian kerana orang-orang Yahudi tahu perbuatan-perbuatan jahat yang telah mereka lakukan. Bagaimanapun Tuhan menegaskankan bahawa orang-orang Yahudi tetap tidak akan terlepas dengan perbuatan mereka.

Selepas memperingatkan masyarakat Nabi (yang percaya kepada Al-Quran) mengenai perilaku buruk kaum Nabi Musa dan orang Yahudi, maka dalam ayat ke 9 Tuhan menyeru mereka supaya datang apabila diajak berkumpul pada hari-hari di mana Nabi mahu menyampaikan wahyu Tuhan kepada mereka. Tuhan suruh mereka tinggalkan urusan harian mereka untuk tujuan berkenaan kerana ia merupakan satu komitmen bagi mereka. Mereka boleh kembali meneruskan urusan harian mereka selepas menunaikan komitmen tersebut dan Tuhan kata mereka akan menjadi orang-orang yang berjaya apabila banyak mengingati Tuhan.

Dalam ayat akhir Surah Al-Jumuah (62:11) Tuhan menggambarkan kepada kita suasana yang biasa berlaku di hari berkumpul itu.  Tuhan kata mereka yang datang mudah tertarik kepada benda-benda lain seperti tawar-menawar barangan atau hiburan yang terdapat di sekitar lokasi mereka berhimpun sehinggakan Nabi ditinggal keseorangan tidak dipedulikan. Berikutan itu, Tuhan berpesan kepada Nabi supaya memberitahu kaumnya bahawa memilih untuk bersama Allah adalah lebih baik daripada tawar-menawar barang atau hiburan yang mereka sukai.

Jadi, fikir-fikirkanlah. Jika benar seruan berkumpul yang dimaksudkan oleh Tuhan dalam Surah Al-Jumuah merupakan solat Jumaat sebagaimana amalan umat Islam hari ini, adakah mungkin Nabi boleh ditinggalkan berkhutbah sendirian sedangkan kaumnya sibuk dengan tawar-menawar barangan dan berseronok dengan hiburan?

62:11 Dan apabila mereka melihat barangan atau hiburan mereka berbondong ke arahnya, dan meninggalkan kamu berdiri berseorangan. Katakan: Apa yang bersama Allah adalah lebih baik dari hiburan atau barangan, dan Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.

Written by tolokminda

December 25, 2009 at 6:34 pm

Mengapa wujud polemik dalam menentukan bilangan rakaat solat?

with 15 comments

Solat atau sembahyang 5 waktu yang menjadi amalan umat Islam hari ini dikatakan mula diajar oleh Nabi kepada para sahabat sejak menerima perintah mengenainya dalam satu peristiwa popular, Israk Mikraj. Hari ini umat Islam menyifatkan solat sebagai amalan tunggak. Segala amalan baik tidak bermakna apa-apa jika seseorang tidak solat.

Dulu, Nabi dan para sahabat dikatakan tidak lekang dari menunaikan solat berjemaah bersama-sama. Hanya kadang-kala sahaja Nabi dikatakan solat bersendirian. Menurut cerita, para sahabat dan generasi mereka yang seterusnya tidak pernah sedikit pun mengabaikan amalan solat walaupun selepas kewafatan Nabi.

Kalau begitu keadaannya, bagaimana mungkin kita berdepan dengan polemik berkaitan dengan bilangan rakaat solat?  Bagaimana satu amalan yang dilakukan 5 kali sehari tanpa gagal sejak Nabi sendiri dikatakan mengajarnya, sentiasa berjemaah bersama-sama dan amalannya berterusan dari generasi ke generasi tiba-tiba boleh menjadi kabur pada bahagian yang paling asas seperti bilangan rakaat?

Saya fikir ini satu persoalan yang wajar kita cari jawapannya. Mengapa bilangan rakaat solat yang ada pada hari ini terpaksa disandarkan kepada riwayat-riwayat hadis? Sepatutnya jika benar ritual solat diamalkan sejak zaman Nabi oleh umat Islam, sekerap 5 kali sehari, tentulah soal bilangan rakaat untuk setiap solat sudah menjadi suatu yang jelas muktamadnya. Polemik mengenai bilangan rakaat solat tidak sepatutnya timbul.

Tetapi  itulah yang berlaku. Ulama terpaksa berpolemik untuk menetapkan bilangan rakaat solat. Sehingga hari ini, polemik ini masih tidak dapat dikekang sepenuhnya. Para ulama terpaksa korek dan tampal hadis di sana-sini untuk meyakinkan umat tentang bilangan rakaat solat mereka.

Jika apa yang disampaikan kepada kita betul, solat sepatutnya menjadi amalan rutin yang lahir lebih dulu dari kitab hadis. Hadis hanya mula dikumpul dan direkodkan di sekitar 200 tahun selepas kewafatan Nabi. Jadi, adakah dalam tempoh 200 tahun selepas ketiadaan Nabi itu umat Islam sudah lupa tentang solat sehingga terpaksa menunggu dam merujuk kitab hadis untuk mengingatkan semula perihal bilangan rakaat setiap solat yang Nabi buat?

Jelas sekali. Ada yang tidak berapa kena di sini.

Written by tolokminda

December 25, 2009 at 4:04 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with , ,