Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘sains

Sains atau agama?

with 3 comments

Jika kita fahami mesej Al-Quran betul-betul, sebenarnya Tuhan mahu manusia hidup sebagai saintis dan bukannya mendapatkan status sebagai sekutu Tuhan dan kemudian mengajak pula manusia lain mempersekutukan Dia dengan bermacam-macam benda.

Untuk kita mulakan kefahaman ini, saya ingin mengajak para pembaca budiman kembali membincangkan ayat-ayat 2:31-34. Sebelum ini saya telah bincangkan perihal ayat-ayat yang sama di sini. Baiklah. Mari kita perhatikan semula perkara pertama yang Tuhan ajar kepada Adam:

2:31 Dan Dia mengajar Adam sifat semua benda; kemudian Dia membawanya ke hadapan para malaikat dan berkata: “Beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

2:32 Mereka berkata: Pujian kepada Engkau, kami langsung tidak mempunyai pengetahuan seperti itu kecuali apa yang Engkau telah ajar kepada kami: Sesungguhnya Engkaulah yang sempurna dengan pengetahuan dan bijak.

2:33 Dia berkata: Wahai Adam! Beritahu mereka (para malaikat) sifat-sifat mereka (benda-benda). “Apabila dia sudah memberitahu mereka, Tuhan berkata: Tidakkah Aku telah memberitahu kamu bahawa Aku mengetahui rahsia-rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?

2:34 Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat: Bersetujulah kepada Adam dan mereka bersetuju tetapi tidak Iblis. Dia menolak dan sombong. Dia adalah dari kalangan yang kafir.

Dari kisah pengkomisyenan Adam di hadapan para malaikat yang diceritakan Tuhan dalam ayat-ayat di atas, kita mendapat tahu bahawa pelajaran pertama yang diajar oleh Tuhan kepada manusia adalah sifat benda-benda.

Sebenarnya sampai hari ini pelajaran kita itu belum habis. Kita masih mempelajari sifat benda-benda. Tuhan masih mengajar manusia perkara yang diajarkan kepada Adam dulu. Mungkin bezanya melalui kaedah saja. Kalau dulu Tuhan mengajar Adam secara terus, hari ini kita belajar menggunakan kaedah yang dikenali sebagai sains. Terus atau sains – siapakah yang mengajar manusia kalau bukan Tuhan?

Dan itulah latar sebenar antara mesej utama yang Tuhan sampaikan kepada kita melalui Al-Quran – iaitu supaya kita tidak meninggalkan ajaran pertamaNya. Supaya kita terus mempelajari sifat benda-benda kerana hanya melalui pengetahuan itulah kita dapat membangunkan pelbagai manfaat dari kurniaan Tuhan yang tidak terhitung baik yang berada di langit mahupun di bumi.

Itulah jalan hidup yang sebenarnya. Jalan kemakmuran. Jalan yang selamat dan aman untuk seluruh umat manusia. Di dunia mereka akan dapat menikmatinya dan di akhirat mereka bakal dibalas dengan kebaikan yang berganda-ganda.

Sebab itulah juga di sebaliknya, Tuhan larang kita ikut mereka yang mengajak percaya kepada ajaran-ajaran palsu yang tidak bersandar kepada sunnah Tuhan. Mengerjakan amalan-amalan dari kepercayaan seperti itu bukan saja tidak mendatangkan faedah tetapi ia juga tidak sebarang membawa mudarat kalau tidak dilakukan.

Pendek kata, semua itu kerja buang masa. Lebih buruk lagi kepercayaan dan amalan seperti itu biasanya menjadi menarik kerana ia dihiasi dengan unsur-unsur penyekutuan kepada Tuhan. Langsung Tuhan laknat dan bakal menjadi penghuni neraka yang kekal abadi. Sudahlah hidup di dunia susah, di akhirat pula cuma layak jadi bahan api neraka saja. Teruknya!

Jadi, mahu belajar sains atau agama?

Written by tolokminda

February 8, 2011 at 10:52 pm

Posted in Agama

Tagged with

Memahami dan mematuhi ketetapan Tuhan (masjidillah) melalui sains adalah dituntut tetapi mematuhi ketetapan (masjid) palsu adalah dilarang sama sekali

with 33 comments

Sebelum ini saya telah menulis tentang perkataan masjid yang pada pendapat saya bukan bermaksud rumah Allah atau bangunan untuk melakukan ibadat. Saya percaya konsep membina bangunan khas untuk melakukan amalan ritual kepada Tuhan sebagaimana yang menjadi kebiasaan dalam struktur agama umat penyekutu Tuhan tidak terdapat di dalam Al-Quran.

Seperti mana yang telah saya kemukakan di dalam artikel ini, perkataan “masjid” sepatutnya bermaksud “ketetapan yang direstui” – iaitu apabila kita merujuk perkataan masjid itu kepada suatu ketetapan Tuhan yang Dia telah beri restu secara khusus atau secara umum melalui Al-Quran. Bagaimanapun jika kita tidak merujuk perkataan masjid untuk dimaksudkan kepada suatu ketetapan Tuhan maka ia bolehlah ditafsirkan sebagai sekadar “ketetapan”.

Dalam usaha mendalami keyakinan saya terhadap perkataan “masjid” sebagai “ketetapan”, saya dapati ayat-ayat 9:107-110 memberi kita satu perspektif yang amat menarik.

9:107  Dan ada di kalangan mereka yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk membuat kejahatan dan keingkaran, dan untuk memecahbelahkan di antara mereka yang percaya dan menjadi bahan untuk mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini. Mereka akan bersumpah bahawa mereka hanya mahu melakukan kebaikan dan Tuhan menyaksikan mereka itu adalah penipu.

Dalam ayat di atas Tuhan memberitahu kita bahawa ada di kalangan manusia yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk menyesatkan atau memecahbelahkan umat serta menjadi penyebab kepada mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini.

Dan oleh kerana ketetapan (masjidan) yang mereka ambil itu Tuhan kata telah turut menjadi alasan kepada mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya, maka ia bolehlah kita sifatkan sebagai satu indikasi bahawa ketetapan (masjidan) yang telah mereka ambil atau gunapakai itu bukanlah ketetapan (masjidan) dari Tuhan. Ia bukan dalam kategori “ketetapan yang direstui”. Ia boleh jadi ketetapan yang mereka olah sendiri atau mungkin juga diambil dari sumber-sumber yang tidak memiliki sebarang authoriti dari Tuhan.

Bagaimanapun “seperti biasa” golongan ini akan sentiasa berkeras mengatakan bahawa amalan-amalan mereka – walaupun sebenarnya langsung tidak disandarkan kepada ketetapan yang direstui Tuhan – adalah demi kebaikan semata-mata. Di dalam blog ini misalnya, ada yang menggunakan ayat seperti “apa salahnya jika ritual itu sesuatu yang baik” atau “saya tidak nampak apa-apa yang buruk dalam ritual itu” – dan seumpamanya. Melalui 9:107 – Tuhan kata orang seperti ini sebenarnya adalah penipu.

Hakikatnya amalan-amalan mereka itu langsung tidak mempunyai faedah kecuali mencanai kejahatan dan perpecahan kepada bangsa manusia.

9:108  Jangan sekali-kali terlibat di dalamnya. Sesungguhnya ketetapan-ketetapan yang diasaskan di atas kepatuhan kepada kebenaran sejak hari pertama adalah lebih bernilai untuk kamu ambil bahagian di dalamnya. Di dalamnya adalah mereka yang ingin membersihkan diri mereka. Dan Tuhan menyukai mereka yang membersihkan diri mereka.

Selaras dengan itu, dalam 9:108 – Tuhan tidak benarkan kita terlibat dalam sebarang ketetapan yang tidak direstuiNya. Dengan kata lain, Tuhan larang kita dari terlibat dengan sebarang amalan yang tidak mendapat authoriti dariNya. Kata Tuhan – jangan sekali-kali! Sebaliknya Tuhan suruh kita ambil bahagian dalam ketetapan-ketetapan yang diasaskan dari kepatuhan kepada kebenaran sejak hari pertama.

Apa maknanya?

Saya berpendapat, maknanya begini:- Ketetapan-ketetapan Tuhan (masjidillah) sebenarnya telah dipatuhi sejak hari pertama alam ini dicipta. Tuhan telah menetapkan bagaimana alam ini akan terbentuk dan segala-gala ciptaanNya patuh kepada hukum-hukum yang telah Dia tetapkan sejak hari pertama lagi.  Letusan Besar (Big Bang), pembentukan kosmos, galaksi, bintang-bintang, planet-planet sehingga kepada tumbuhan, haiwan dan segala sifat mereka merupakan bukti kepada kepatuhan kepada kebenaran Tuhan sejak hari pertama.

Saya berpendapat, ayat 9:108 sebenarnya merupakan satu perintah supaya kita mengambil bahagian dalam bidang sains supaya kita dapat memahami rahsia alam ini dari hari pertama Tuhan menciptakannya.

Kefahaman berdasarkan kepada kaedah sains yang sistematik penting kerana melaluinya kita dapat mengetahui pelbagai ketetapan Tuhan yang benar sifatnya di mana semuanya telah pun dipatuhi oleh setiap yang dicipta sehingga membolehkan alam ini terbentuk seperti mana yang kita kenali sekarang. Dan kefahaman kita kepada ketetapan-ketetapan Tuhan yang benar ini akan membersihkan diri kita dari ketetapan-ketetapan palsu yang langsung tidak memberi sebarang manfaat.

9:109  Adakah seseorang yang mengasaskan bangunannya melalui kepatuhan kepada kebenaran dari Tuhan serta restuNya lebih baik, atau seseorang yang mengasaskan bangunannya di tebing sebuah jurang yang hampir runtuh, yang akan runtuh bersama-samanya ke dalam api Jahanam? Dan Tuhan tidak akan memberi pedoman kepada orang-orang yang membuat salah.

Sememangnya menarik apabila Tuhan turut menggunakan perumpamaan yang berasaskan prinsip sains sebagai pengukuh maksud ayat 9:108 dalam 9:109. Adakah sama seseorang yang membina bangunan berasaskan prinsip-prinsip kejuruteraan dan pengetahuan saintifik – iaitu kepatuhan kepada kebenaran dari Tuhan berbanding dengan seseorang yang membina bangunan tanpa mengambilkira apa jua faktor yang boleh menjadi risiko? – Begitulah Tuhan membuka minda kita.

Tuhan beri contoh orang yang membina bangunan di tebing sebuah jurang yang hampir runtuh sebagai seseorang yang tidak patuh (observe) kepada ketetapan-ketetapanNya. Dan dikiaskan pula sebagai satu peringatan keras di mana andainya bangunan yang dibinanya itu runtuh  maka ia akan runtuh bersama pembinannya sekali terus ke dalam neraka Jahanam.

Saya berpendapat ayat ini secara tidak langsung turut menjadi satu peringatan umum kepada para pembina bangunan supaya menumpukan komitmen mereka untuk membina bangunan yang lebih baik dan selamat dengan mengambilkira semua faktor risiko yang berkaitan.

Misalnya, kalau bina bangunan di kawasan gempa bumi – patuhi juga ketetapan-ketetapan Tuhan berkaitan risiko gempa bumi. Kalau bina bangunan di kawasan pantai – jangan abaikan ketetapan-ketetapan Tuhan tentang elemen-elemen yang boleh mempengaruhi di persekitaran itu. Semua elemen-elemen semulajadi termasuk bencana alam sebenarnya merupakan manifestasi kepatuhan ciptaan kepada kebenaran yang Tuhan telah tetapkan sejak hari pertama penciptaan.

Namun kejahilan dan kesombongan manusia membina bangunan-bangunan mereka tanpa mengambilkira atau memahami elemen-elemen asas ini bukanlah perkara baru. Sudah berapa ramai manusia yang maut akibat kegagalan mereka patuh kepada ketetapan-ketetapan Tuhan dalam hubungan tersebut sejak dulu sehingga ke hari ini. Jadi tidak hairanlah Tuhan menyebut perkara itu sebagai satu contoh bagaimana mematuhi ketetapan Tuhan melalui kefahaman sains adalah lebih baik dari sibuk menuruti ketetapan palsu yang hanya menyesatkan kita dari manfaat dan kebaikan.

Hari ini pun kita dapat melihat siapa yang mampu membina bangunan yang lebih baik dan selamat untuk diri mereka. Sudah tentulah mereka bukan dari kalangan kaum yang mengabaikan ketetapan-ketetapan Allah. Tidak seperti kaum-kaum yang leka bertuhankan pelbagai ketetapan bodoh di mana apabila sesuatu bencana menimpa mereka, mereka hanya mampu mengucapkan – oh sudah takdir!

9:110  Bangunan-bangunan yang mereka bina menyebabkan keraguan di hati-hati mereka sehingga hati-hati mereka terpenggal. Dan Tuhan Mengetahui, Bijaksana.

Seterusnya ayat 9:110 merupakan satu pernyataan yang memerlukan keinsafan yang mendalam dari lubuk hati kita. Tuhan memberitahu kita bagaimana bangunan yang dibina tidak mengikut ketetapan Tuhan boleh menyebabkan keraguan kepada pembinanya sehingga ke mati.  Maknanya mereka sedar mereka tidak melakukan sesuatu dengan betul tetapi mereka tidak berusaha untuk mengubah kepada yang lebih baik iaitu melalui kepatuhan terhadap ketetapan Tuhan.

Maka adakah selepas kefahaman kepada ayat 9:107-110 ini kita tetap mahu mengabaikan ketetapan-ketetapan Tuhan dan kekal menjadi bangsa yang mengutamakan ketetapan-ketetapan palsu yang bukan saja tidak bermanfaat tetapi turut membawa pelbagai kerosakan dalam masyarakat?

9:107  Dan ada di kalangan mereka yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk membuat kejahatan dan keingkaran, dan untuk memecahbelahkan di antara mereka yang percaya dan menjadi bahan untuk mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini. Mereka akan bersumpah bahawa mereka hanya mahu melakukan kebaikan dan Tuhan menyaksikan mereka itu adalah penipu.

Written by tolokminda

March 29, 2010 at 3:18 am