Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for the ‘Hidupan Liar & Eko-Sistem’ Category

Ketetapan Tuhan mengenai pemeliharaan hidupan liar dan eko-sistem diseleweng

with 42 comments

Jika artikel sebelum ini saya membincangkan tentang penyelewengan terjemahan dan tafsiran Al-Quran yang melibatkan Nabi Musa, Nabi Muhamad, Tuhan, Jibril dan peristiwa Israk Mikraj, kali ini saya mahu mengajak para pembaca budiman melihat satu lagi penyelewengan terjemahan dan tafsiran ayat-ayat 1 dan 2, Surah Al-Maidah. Sekali lagi saya menggunakan terjemahan iiu.edu.my sebagai contoh.

Beginilah terjemahan dan tafsiran mereka:

5:1 “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki”.

5:2 “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.

Ayat-ayat di atas (5:1-2) berkait rapat dengan makluman ketetapan berkenaan makanan yang Tuhan restui untuk kita, yang disebut secara terperinci dalam ayat ke 5:3. Intipati ayat 5:1-2 adalah kita dibenarkan makan semua jenis haiwan termasuk haiwan liar yang kita perolehi dari aktiviti memburu. Yang penting kita mesti patuh kepada beberapa syarat dan peraturan berburu yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Bagaimanapun para penterjemah iiu.edu.my nampaknya gagal menonjolkan intipati ayat-ayat berkenaan, sebaliknya mereka membuat pelbagai penyelewengan terjemahan dan tafsiran dengan memasukkan elemen-elemen ritual haji atau umrah ke dalamnya. Ia juga memasukkan elemen-elemen ritual korban yang mirip kepada ritual korban golongan penyembah berhala, misalnya bila ia menyebut tentang binatang korban yang memakai kalung di leher.

Kita lihat kembali 5:1 menurut iiu.edu.my. Mari kita semak satu persatu.

5:1 “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki”.

Penyelewengan-penyelewengan ayat 5:1

1. Binatang ternak saja boleh dimakan

Haiwan yang dihalalkan di dalam ayat ini bukan merujuk kepada haiwan ternakan sahaja, tetapi semua haiwan termasuklah yang hidup liar. Sebab itulah Tuhan bercakap tentang larangan memburu. Haiwan ternakan tidak perlu diburu untuk kita makan.

6:142 “Dan binatang yang perlu diburu dan yang diternak, makanlah apa yang telah Tuhan berikan kepada kamu dan jangan menurut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya ia musuh yang jelas”.

2. Larangan berburu kononnya berkaitan dengan ritual Haji dan Umrah di Mekah saja

Larangan berburu dalam 5:1 bukan berkaitan dengan ritual Haji atau Umrah di Mekah. Ia sebenarnya merujuk kepada bulan-bulan atau tempoh larangan memburu haiwan liar yang perlu kita kuatkuasakan walau di mana pun kita hidup di atas muka bumi ini.

Sekarang mari kita periksa pula ayat 5:2 menurut iiu.edu.my dan lihat bagaimana penyelewengan mereka.

5:2 “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.

Penyelewengan-penyelewengan ayat 5:2

1.  Tafsiran yang mempromosikan ritual korban jahiliah

Terjemahan dan tafsiran di atas kata, kita tak boleh buat sesuka hati syiar-syiar agama Allah berkenaan dengan bulan-bulan yang dihormati, binatang-binatang yang dihadiahkan untuk korban di Mekah dan begitu juga dengan kalung-kalung binatang berkenaan. Apa?!! Binatang korban kena siap pakai kalung? Betulkah begini syiar agama Allah? Mengapa bunyinya terlalu “jahiliah”?

2.  Ketetapan Tuhan demi kelestarian hidupan liar sedunia hilang begitu saja

Bagaimanakah aktiviti memburu relevan dengan ritual Haji atau Umrah? Apakah mereka yang pergi ke Mekah melakukan ritual Haji atau Umrah begitu teruja untuk memburu binatang di sana? Okaylah. Kalau senarionya di zaman dahulu, jemaah yang datang mungkin serba kekurangan, tidak cukup makan dan mungkin ada yang terpaksa memburu untuk hidup. Katalah kita terima kemungkinan seperti itu.

Tetapi bagaimanakah dengan senario hari ini? Adakah kemungkinan seperti itu masih wujud? Dan masih adakah haiwan-haiwan liar yang boleh diburu di sekitar Mekah pada hari ini? Jelas sekali penterjemah iiu.edu.my telah menyempitkan tafsiran ayat 5:2 yang sepatutya bersifat universal dan relevan sepanjang zaman.

Di tangan mereka ketetapan Tuhan berkaitan pemburuan haiwan liar bagi memastikan kelestarian hidupan liar sedunia menjadi sekadar larangan memburu di sekitar Mekah pada musim Haji dan Umrah.

Ketetapan Aktiviti Pemburuan Yang Direstui Tuhan Didedahkan Semula

Saya percaya terjemahan dan tafsiran ayat-ayat 1 dan 2, Surah Al-Maidah sepatutnya berbunyi begini:

5:1 “Wahai orang yang percaya! Tunaikanlah perjanjianmu. Dibenarkan (makan) ke atas kamu semua haiwan kecuali yang dimaklumkan kepada kamu; Jangan benarkan pemburuan bila kamu berada dalam tempoh larangan; sesungguhnya Allah memerintahkan apa yang dikehendakiNya”.

5:2 “Wahai orang yang percaya! Jangan melanggar ketetapan Allah, atau bulan-bulan yang dilarang (memburu), atau panduan-panduan (memburu), atau indikasi-indikasi (pada binatang buruan), atau batasan-batasan keharmonian di dalam sistem apabila mencari kemurahan dan keredhaan Tuhan, tetapi apabila kamu telah dibenarkan, berburulah, dan jangan termakan provokasi oleh kebencian mereka yang menghalang kamu dari mematuhi batasan ketetapan yang telah direstui supaya kamu melampauinya, dan menolong antara satu sama lain dalam membuat kebajikan dan berendah diri, dan tidak menolong satu sama lain dalam kejahatan dan keganasan, dan takutilah Allah, sesungguhnya hukuman Tuhan amatlah berat”.

Kita teliti ayat 5:1

5:1 “Wahai orang yang percaya! Tunaikanlah perjanjianmu. Dibenarkan (makan) ke atas kamu semua haiwan kecuali yang dimaklumkan kepada kamu; Jangan benarkan pemburuan bila kamu berada dalam tempoh larangan; sesungguhnya Allah memerintahkan apa yang dikehendakiNya”.

Seperti yang kita dapat lihat sebenarnya 5:1 tidak mengandungi sebarang elemen berkaitan ritual haji atau umrah atau berpakaian ihram. Perkataan huruman (dari akar huruf H-R-M) yang ditafsirkan sebagai pakaian ihram sebenarnya satu derivatif dari perkataan haram, yang semua orang tahu membawa maksud dilarang dan bukan pakaian ihram. Pakaian ihram tidak wujud dalam Al-Quran kecuali dalam naskah terjemahan.

Ayat 5:1 Tuhan memaklumkan kepada kita semua haiwan di atas darat boleh dimakan samada yang diternak mahupun yang liar. Cuma, kita tidak dibenarkan memburu haiwan liar dalam tempoh tertentu yang diharamkan kepada kita memburu mereka. Bilakah tempoh pengharaman memburu itu?

5:1 “Wahai orang yang percaya! Tunaikanlah perjanjianmu. Dibenarkan (makan) ke atas kamu semua haiwan kecuali yang dimaklumkan kepada kamu; Jangan benarkan pemburuan bila kamu berada dalam tempoh larangan; sesungguhnya Allah memerintahkan apa yang dikehendakiNya”.

Nampaknya Tuhan tidak tentukan bila atau tempohnya. Oleh itu ia tertakluk kepada budibicara kita khususnya melalui pihak penguasa atau pentadbir yang telah dilantik, misalnya Jabatan Perhilitan, mengikut kesesuaian kepada keadaan. Yang penting matlamat tempoh larangan berburu adalah supaya haiwan-haiwan liar mempunyai peluang untuk membiak dan tidak pupus.

Pendek kata suruhan larangan itu adalah supaya kita mewujudkan sistem pemburuan bermusim sebagai mekanisma untuk melindungi kelestarian hidupan liar. Sudah tentu ia perlu dilaksanakan di seluruh dunia dan bukan di sekitar Mekah saja. Lagi pun kalau melihat kepada senario sekarang, apalah sangat yang boleh diburu di sekitar Mekah tu.

Jika para pembaca budiman fikir sistem pemburuan bermusim atau akta-akta anti kepupusan yang diamalkan oleh pihak berkuasa perlindungan hidupan liar sedunia hari ini datang dari akal manusia semata-mata, pandangan simplistik ini mungkin berubah selepas kita mengetahui bahawa Tuhan sebenarnya telah membuat ketetapan khusus mengenainya di dalam Al-Quran.

Jika para ulama Islam fikir mereka boleh menyembunyikan ketetapan Tuhan dengan menyelewengkan maksud ayat-ayatNya, Tuhan mempunyai cara lain untuk membantu makhluk-makhlukNya. Kepada para penyeleweng, mereka akan terus tenggelam dalam kejahilan dan kesesatan yang mereka cipta sendiri.

Sekarang kita teruskan dengan ayat 5:2

“Wahai orang yang percaya! Jangan melanggar ketetapan Allah, atau bulan-bulan yang dilarang (memburu), atau panduan-panduan (memburu), atau indikasi-indikasi (pada binatang buruan), atau batasan-batasan keharmonian di dalam sistem apabila mencari kemurahan dan keredhaan Tuhan, tetapi apabila kamu telah dibenarkan, berburulah, dan jangan termakan provokasi oleh kebencian mereka yang menghalang kamu dari mematuhi batasan ketetapan yang telah direstui supaya kamu melampauinya, dan menolong antara satu sama lain dalam membuat kebajikan dan berendah diri, dan tidak menolong satu sama lain dalam kejahatan dan keganasan, dan takutilah Allah, sesungguhnya hukuman Tuhan amatlah berat”.

Ayat 5:2 menyambung ayat sebelumnya. Ia menggariskan ketetapan berkaitan aktiviti memburu secara lebih spesifik. Secara ringkasnya ketetapan-ketetapan berkenaan adalah mengenai:

  1. Penguatkuasaan tempoh larangan memburu
  2. Panduan-panduan memburu
  3. Indikasi berkaitan kematangan haiwan yang boleh diburu
  4. Mengambilberat batasan-batasan keharmonian sistem melalui sikap tidak tamak

1. Penguatkuasaan tempoh larangan memburu

Sebagaimana yang saya telah katakan di atas mengenai perkara ini, penguatkuasaan larangan memburu bergantung kepada keadaan. Tuhan tidak menetapkan tempohnya mahu pun species haiwannya. Oleh itu sebagai hambaNya yang bertanggungjawab dan komited kepada ketetapan Tuhan kita kena fikir bagaimana peraturan yang kita gubal boleh memenuhi komitmen yang dimaksudkan.

Yang penting tempoh yang kita peruntukan mestilah selaras dengan keperluan  membiak sesuatu species supaya ia tidak pupus akibat aktiviti pemburuan yang tidak terkawal atau berlebihan. Ada haiwan mungkin memerlukan tempoh larangan memburu selama 3 bulan, atau 3 tahun atau mungkin perintah larangan yang berkekalan, dan sebagainya.

22:34 “Kepada setiap bangsa kami tetapkan kaedah mereka sendiri untuk mengingati nama Tuhan di atas kurnia dari haiwan liar…”

2. Panduan-panduan memburu

Antara panduan-panduan memburu yang diajar oleh Allah adalah kita boleh menangkap binatang buruan dengan menggunakan tangan, peralatan (seperti panah, senapang, perangkap dan sebagainya) atau anjing yang telah kita ajar. Dan kita perlu mengingati Allah ke atas haiwan buruan ketika kita membidiknya sebagai sasaran dan ketika haiwan tersebut jatuh selepas terkena tembakan atau ditangkap anjing pemburu yang kita lepaskan.

5.4 “Mereka bertanya kamu apakah yang dibenarkan kepada mereka. Katakan: Semua benda yang baik adalah dibenarkan kepada kamu dan apa yang telah ditangkap oleh anjing-anjing yang telah kamu ajar sebagaimana Tuhan telah mengajar kamu. Dan sebutlah nama Allah ke atasnya. Kamu harus patuh kepada Tuhan, hukuman Tuhan sangatlah keras”.

5:94 “Wahai kamu yang percaya, Tuhan mahu menguji kamu melalui aktiviti memburu yang mampu kamu lakukan menggunakan tangan atau peralatan kamu. Tuhan mahu memastikan mereka di antara kamu yang takut kepada Tuhan walaupun Dia tidak kelihatan. Sesiapa yang melanggar batasan selepas ini layak menerima hukuman yang menyakitkan”.

22:36 “Ingati nama Tuhan ke atasnya semasa kamu mensasarkannya dan apabila ia jatuh dari kejauhan…” (sebahagian ayat).

3. Indikasi berkaitan kematangan haiwan yang boleh diburu

Tuhan menetapkan bahawa haiwan yang cukup matang saja boleh diburu walaupun dalam tempoh aktiviti pemburuan dibenarkan. Untuk membezakan antara haiwan yang matang dan belum matang, Tuhan menetapkan buku lali haiwan berkenaan sebagai indikasinya. Gaya berjalan haiwan yang belum matang berbeza dengan yang sudah matang kerana sifat atau struktur buku lali mereka.

Dan ini boleh difahami atau ditentukan oleh mereka yang pakar. Jika seseorang membunuh haiwan yang belum matang, dia perlu menebus kesalahan dengan penalti yang telah Tuhan tetapkan.

5:95 “Wahai kamu yang percaya! Jangan membunuh hidupan liar yang telah dilarang kepada kamu. Jika sesiapa membunuh dengan sengaja, dia perlu menebus dengan haiwan yang setara dihakimi dua orang yang adil di kalangan kamu untuk memastikan kematangan buku lali (haiwan yang dibunuh). Atau tebus dengan memberi makan orang miskin atau berpuasa, supaya dia merasai akibat dari perbuatannya. Tuhan telah memaafkan kesalahan terdahulu (sebelum peraturan ini ditetapkan). Barang sesiapa mengulangi kesalahannya, Tuhan akan menghukumnya. Tuhan Berkuasa, Pemberi Hukuman”

5:97 “Tuhan telah menetapkan buku lali sebagai satu larangan (dalam) sistem untuk dipatuhi oleh manusia, dan bulan-bulan larangan, dan panduan-panduan, dan indikasi-indikasi. Ini untuk memberitahu kamu bahawa Tuhan, Dia tahu apa yang di langit dan di bumi dan apa yang di bawah bumi. Dan sesungguhnya Tuhan mengetahui semua perkara”.

Nota: Perkataan Arab bagi buku lali adalah Ka’aba. Berbeza dengan kepercayaan umat Islam hari ini yang percaya perkataan Ka’aba adalah bangunan batu empat persegi yang terletak di Mekah, maksud sebenar perkataan itu adalah buku lali. Perkataan Ka’aba hanya disebut 3 kali di dalam Al-Quran iaitu dalam ayat 5:6, 5:95 dan 5:97. Dalam ayat 5:95 dan 5:97 ia ditafsirkan sebagai Ka’abah di Mekah tetapi dalam 5:6 mereka terpaksa mengekalkan maksud asalnya iaitu buku lali. Beginilah caranya Tuhan mengalahkan tipudaya mereka yang menyelewengkan perkataan-perkataan Tuhan. Saya harap pembaca budiman meluangkan sedikit masa untuk berusaha sendiri memeriksa perkara ini.

4. Mengekalkan keharmonian sistem melalui sikap tidak tamak

Dalam usaha kita memelihara dan mengekalkan keharmonian sistem (dalam hal ini, eko-sistem) selain mematuhi larangan, panduan dan indikasi yang telah ditetapkan dalam hal memburu haiwan liar kita juga perlu bersikap tidak tamak. Hasil buruan harus dikongsi dengan orang lain dan tidak boleh menjadi komoditi yang diperdagangkan. Maknanya Tuhan benarkan kita berburu haiwan liar dan memakannya. Tapi kita tidak boleh menjual hasil buruan kita.

22:34-37 “Kepada setiap bangsa kami tetapkan kaedah mereka sendiri untuk mengingati nama Tuhan di atas kurnia dari haiwan liar dan haiwan peliharaan. Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Satu, oleh itu kamu mesti bersetuju untuk komited kepadaNya dan menyebarkan berita baik kepada mereka yang taat yang hati mereka mengecil apabila teringat Tuhan. Mereka kekal sabar pada saat kesukaran dan mereka memegang teguh komitmen mereka dan memberi sedekah dari kurniaanKu kepada mereka. Haiwan liar telah dimaklumkan sebagai ketetapan Tuhan yang baik kepada kamu. Ingati nama Tuhan di atasnya semasa kamu mensasarkannya dan apabila ia jatuh dari kejauhan. Oleh itu, makan dan berikan secara sukarela kepada orang lain, dan mereka yang meminta. Itulah apa yang telah kami ciptakan untuk kamu, supaya kamu berterima kasih. Daging dan darah tidak akan sampai kepadaNya tetapi kepatuhan (kepada ketetapan) dari kamu pasti akan sampai kepadaNya”.

Saya melihat rasional ketetapan Tuhan mengenai perkara ini mudah sahaja. Bila ia tidak boleh dijual dan perlu dikongsi, pasaran untuk memperdagangkan haiwan liar tidak boleh wujud  dan oleh itu kegiatan pemburuan tidak boleh berkembang menjadi aktiviti yang berfokuskan komersial. Keadaan ini membolehkan aktiviti pemburuan lebih mudah dikawal dan oleh itu keharmonian eko-sistem hidupan liar akan dapat dipelihara dan dikekalkan.

Jika kita perhatikan di dalam alam haiwan sendiri, mereka mengekalkan eko-sistem mereka dengan cara yang sama. Haiwan pemangsa, misalnya seekor singa yang berjaya memburu mangsa hanya makan sebahagian untuk mengenyangkan diri dan yang selebihnya turut dikongsi oleh anggota kumpulannya dan lain-lain pembangkai lain. Pendek kata, apa yang dikurniakan oleh Tuhan secara semulajadi tidak boleh dianggap sebagai hak sendiri.

Sebenarnya ketetapan Tuhan bahawa hasil buruan tidak boleh diperdagangkan sedikit pun tidak merugikan manusia. Ini kerana Tuhan telah memperuntukan pelbagai haiwan yang boleh diternak. Malah peluang sentiasa terbuka untuk kita belajar dan mengkaji kaedah penternakan haiwan-haiwan lain yang mungkin belum pernah diternak sesiapa sebelum ini. Atau kita boleh melakukan kacukan-kacukan baru.

Semuanya terpulang kepada kita untuk mengusahakannya. Kita boleh jadi kaya dengan melibatkan diri dalam bidang ternakan haiwan serta pelbagai aktiviti hiliran yang datang bersamanya. Jadi kita tidak perlu menjual sesuatu yang dikurniakan oleh Tuhan untuk semua.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, melalui Al-Quran Tuhan telah mengemukakan satu ketetapan yang jelas supaya kita memelihara keharmonian eko-sistem hidupan liar melalui aktiviti pemburuan berhemah. Kita dibenarkan makan semua haiwan liar hasil buruan asalkan kita menuruti syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu:

  • Menguatkuasakan tempoh larangan memburu supaya haiwan liar mempunyai peluang untuk membiak dan tidak menyebabkan kepupusan.
  • Menuruti panduan-panduan memburu yang telah Tuhan ajar supaya hasil buruan itu menjadi makanan yang direstui oleh Tuhan.
  • Mematuhi indikasi berkaitan kematangan haiwan yang boleh diburu supaya kita beretika dan tidak melakukan pemburuan secara sembrono seperti membunuh anak-anak haiwan kerana ia boleh menyebabkan perkembangan speciesnya terbantut.
  • Mengambilberat batasan-batasan keharmonian sistem melalui sikap tidak tamak supaya aktiviti pemburuan haiwan liar tidak bertukar menjadi aktiviti komersial yang boleh membawa kepada kepupusan.

Malangnya ketetapan Allah mengenai kaedah pemeliharaan hidupan liar ini tidak disedari oleh umat kerana para ulama telah menenggelamkan ketetapan yang amat penting dan indah ini melalui penyelewengan tafsiran dan terjemahan Al-Quran. Lebih teruk dari itu penyelewengan dan tafsiran tersebut bukan saja menyebabkan umat Islam tidak menghiraukan kepentingan menjaga eko-sistem hidupan liar seperti yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka malah ada yang turut terlibat dalam aktiviti pemburuan untuk tujuan komersial.

Dalam sisi lain pula penyelewengan tafsiran dan terjemahan ayat-ayat 5:1-2 telah mempromosikan amalan-amalan ritual jahiliah yang menyekutukan Tuhan iaitu ritual Haji dan Umrah. Kita tahu ritual Haji khususnya berkait rapat dengan amalan pengorbanan haiwan yang kononnya sebagai persembahan kepada Tuhan sedangkan Tuhan kata amalan seperti  itu tidak wajar.  Tuhan kata daging dan darah tidak akan sampai kepadaNya, tetapi kepatuhan kita kepada setiap ketetapanNyalah yang akan diambilkira.

22:34-37 “Daging dan darah tidak akan sampai kepadaNya tetapi kepatuhan (kepada ketetapan) dari kamu pasti akan sampai kepadaNya”.

Para pembaca budiman, sekarang mari kita sama-sama renungkan betapa buruknya perbuatan para ulama kita. Mereka menyembunyikan ketetapan Tuhan yang menyebabkan kita gagal mematuhinya tetapi dalam masa yang sama mempromosikan amalan mempersembahkan daging dan darah kepada Tuhan yang langsung tidak mempunyai rasional selain menjadi jalan ke arah mempersekutukanNya.

Kejahilan ini perlu dihentikan.

Written by tolokminda

January 16, 2010 at 5:10 am