Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

2 billion yang lebih teruk dari binatang ternak?

with 6 comments

Walaupun Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, saya percaya ia boleh difahami menggunakan bahasa-bahasa lain. Ia hanya soal terjemahan atau tafsiran. Jika kita terjemahkan atau tafsirkan Al-Quran dengan amanah di mana setiap perkataan diberi maksud yang sepatutnya, saya yakin kebanyakan orang tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk memahami mesej-mesej yang terkandung di dalamnya.

Saya percaya pada dasarnya proses penterjemahan Al-Quran di seluruh dunia dikawalselia oleh pihak tertentu. Sebarang bentuk penerbitan terjemahan perlu melalui proses pentauliahan oleh mereka. Jika apa yang diterjemahkan tidak selari dengan apa yang dimahukan oleh pihak yang menyelia, maka terjemahan itu tidak akan diluluskan untuk sebaran. Sebab itulah kita dapati terjemahan-terjemahan Al-Quran yang berjaya diterbitkan dan dianggap terjemahan standard, semuanya membawa kepada satu tafsiran yang sehala.

Masalahnya, adakah pihak yang mengawalselia penterjemahan Al-Quran itu benar-benar amanah? Adakah pihak yang mengawalselia penterjemahan Al-Quran itu benar-benar mahukan umat memahami mesej-mesej Al-Quran dengan sejernih-jernihnya? Saya berpendapat soalan-soalan seperti ini adalah valid. Kerana apa yang kita pertaruhkan adalah besar. Tuhan telah memberikan kita gambarannya.

7:179 Dan sesungguhnya Kami telah ciptakan untuk Jahanam ramai dari jin dan manusia, yang mana mereka diberi hati – mereka tidak faham, diberi untuk mereka mata – mereka tidak melihat dengannya, dan diberi untuk mereka telinga – mereka tidak mendengar dengannya. Mereka seperti binatang ternak. Tak – malah lebih teruk sesat – kerana mereka langsung tidak peduli.

Adakah kita mahu termasuk ke dalam golongan mereka yang lebih teruk dari binatang ternak dan menjadi penghuni Jahanam akibat langsung tidak mahu ambil peduli? Kalau tidak mahu, maka kita perlu ambil peduli. Kita mesti berusaha untuk faham apabila kita membaca Al-Quran. Kita perlu gunakan hati dengan sebaik-baiknya untuk menilai dengan common sense setiap informasi yang kita ada. Kita mesti gunakan mata untuk meneliti, supaya yang kabur menjadi jelas. Dan kita perlu gunakan telinga untuk mendengar semua pendapat supaya kita boleh memilih yang terbaik.

Melalui laman ini saya telah berkongsi banyak penemuan terjemahan atau tafsiran yang tidak sepatutnya. Misalnya penyelewengan maksud perkataan solaa dan zakaa, perkataan kaaba, perkataan haj dan umra, perkataan saum, perkataan khinzir, perkataan safa dan marwa dan sebagainya. Dan saya percaya jika kita terus mengkaji Al-Quran, kita akan menemui lebih banyak lagi penyelewengan dan percanggahan.

Mungkin perlu dijelaskan bahawa saya sebenarnya berpegang kepada pandangan bahawa ruang untuk membuat kesilapan dalam menterjemah atau mentafsir sentiasa wujud. Sebab itulah saya tidak takut untuk mengemukakan terjemahan saya sendiri kerana saya percaya, tidak ada terjemahan atau tafsiran yang boleh sempurna seratus peratus. Kelemahan boleh datang dari pelbagai aspek. Misalnya dari kefahaman individu, dari pemilihan perkataan atau mungkin juga dari keterbatasan perbendaharaan kata dalam sesuatu bahasa.

Jadi kita tidak perlu risau sangat. Yang penting kita harus utarakan apa yang kita faham. Kalau salah, betulkan sajalah. Saya fikir ia lebih baik dari menurut buta sesuatu yang dah terang-terang nampak tak kena. Lagi pun bila percanggahan terjemahan atau tafsiran untuk sesuatu perkataan itu terlalu teruk, saya tidak fikir ia suatu yang tidak disengajakan. Mana boleh satu perkataan yang jelas sama tetapi diberi makna yang amat jauh berbeza.

Sebagai satu contoh, saya bawa ayat 22:40. Berikut adalah terjemahan yang disalin dari IIU.edu.my berserta transliterasinya.

22:40 Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; –

Transliterasi: Allatheena okhrijoo min diyarihim bighayri haqqin illa an yaqooloo rabbuna Allahu walawla dafAAu Allahi alnnasa baAAdahum bibaAAdin lahuddimat sawamiAAu wabiyaAAun wasalawatun wamasajidu yuthkaru feeha ismu Allahi katheeran walayansuranna Allahu man yansuruhu inna Allaha laqawiyyun AAazeezun

Melalui ayat ini saya ingin para pembaca budiman perhatikan kepada bahagian yang saya tonjolkan, iaitu – “dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi)“. Mengapa saya pilih bahagian berkenaan? Sebab saya percaya perkataan “waṣalawātun” atau وَصَلَوَاتٌ yang diterjemahkan sebagai “dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi)” itu amat mudah dikenalpasti oleh sesiapa saja yang mengaku Muslim. Tidak ada orang mengaku Muslim yang tidak pernah mendengar perkataan “salawat”. Mereka “bersalawat” berkali-kali setiap hari. Tetapi kenapa dalam 22:40 ia diterjemahkan sebagai “tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi)”?

Tidak percaya perkataan “salawatun” telah diterjemahkan sebagai “tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi)”? Mari kita semak melalui Corpus.

(22:40:21)
waṣalawātun
and synagogues

Sebenarnya perkataan “salawatun” bukan disebut sekali di dalam Quran. Ada lagi, misalnya di dalam 2:157. Tetapi di dalam 2:157 perkataan yang sama diterjemahkan oleh Corpus begini:

(2:157:3)
ṣalawātun
(are) blessings

Perbezaan di antara 22:40 dan 2:157 cuma perkataan “wa” di depan “salawatun” 22:40. Perkataan “wa” hanyalah satu sendi nama yang bermaksud “dan”. Ia tidak sepatutnya mengubah maksud perkataan “salawatun”. Tetapi kenapa kita nampak 2 terjemahan yang begitu jauh berbeza dari satu perkataan yang sama? Kita lihat bagaimana IIU.edu.my menterjemahkan ayat 2:157.

2:157 Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Transliterasi: Olaika AAalayhim salawatun min rabbihim warahmatun waolaika humu almuhtadoona

Kenapa IIU.edu.my tidak menterjemahkan 2:157 begini?

2:157 Mereka itu ialah orang-orang yang “tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi)” dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Adakah para pembaca budiman percaya percanggahan maksud seperti yang berlaku ke atas perkataan “salawatun” ini berlaku secara tidak sengaja? Kalau tidak sengaja bagaimana ia boleh berlaku di dalam semua “terjemahan standard”? Lebih teruk lagi, bagaimana hampir 2 billion manusia di atas muka bumi ini yang mengaku sebagai Muslim dan mendakwa percaya, membaca dan berpegang kepada Al-Quran tidak ada yang perasan percanggahan tersebut? Atau mereka semua sebenarnya tidak pernah ambil peduli pun? Fikir-fikirkanlah.

Sebelum menutup entri ini saya kemukakan terjemahan saya untuk 22:40 dan 2:157. Saya buka terjemahan saya kepada kritik dan pembetulan. Jangan takut untuk mengkritik, bertanya atau membetulkan terjemahan saya kerana ia tidak sekali-kali bermaksud menghina Al-Quran. Al-Quran sentiasa kekal sifatnya sebagai petunjuk untuk seluruh manusia. Tetapi terjemahan saya atau sesiapapun sentiasa boleh diperbaiki.

22:40 Mereka yang telah dihalau dari rumah mereka secara tidak adil hanya kerana mereka berkata: Pemelihara kami adalah Tuhan. Dan jika tidak kerana Tuhan menghapuskan sebahagian manusia melalui yang lain, pengecualian-pengecualian dan urusan-urusan perniagaan dan jamiman-jaminan (salawatun) dan ketetapan-ketetapan yang dipersetujui di mana nama Tuhan sering disebut di dalamnya tentu tidak berguna. Tuhan akan memberi kemenangan kepada mereka yang menyokongNya. Tuhan Berkuasa, Terhormat.

2:157 Begitulah mereka yang mendapat jaminan-jaminan (salawatun) dari Pemelihara mereka dan belas kasihan. Dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Written by tolokminda

July 9, 2011 at 12:50 am

6 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam,

    Perasan tak, jika sesuatu perkataan dalam Al Quran itu cuba diubah kepada bentuk-bentuk fizikal yang melambangkan amalan/tempat ritual penyembahan, pasti akan berlaku percanggahan sesama ayat-ayat Al Quran. Sedangkan sesuatu yang datang daripada Allah itu, pasti tidak bercanggah di antara satu sama lain. Ini menguatkan lagi unsur-unsur ritual itu bukannya datang daripada Allah melainkan diada-adakan oleh orang-orang yang mahu mengawal pemikiran manusia menurut kehendak hawa nafsu mereka.

    Dalam kita berbincang pasal erti sujud dan masjid yang masuk akal, Allah tunjukkan wujudnya percanggahan bagi perkataan salawat. Begitulah tanda-tanda bagaimana Allah membuka hijab yang menutup kebenaran selama ini. Ia akan dibuka sedikit demi sedikit sehingga kita dapat mesej Al Quran yang sebenar yang mana ayat-ayatnya saling membenarkan di antara satu sama lain.

    Bayangkanlah, sedangkan Al Quran itu membenarkan Taurat dan Injil (Kitab Allah sebelumnya), tak masuk akal-lah jika wujud ayat Al Quran mencanggahi sesama ayat Al Quran. Bila wujud percanggahan begitu, pasti kerana ia telah dimasuki unsur-unsur menyekutukan Tuhan.

    Sama-sama kita terus membersihkan Al Quran daripada terjemahan yang menyebabkan ayat-ayat Al Quran bercanggahan antara satu sama lain.

    Juang

    July 9, 2011 at 8:07 am

  2. Salam Juang,

    Memang benar. Sebenarnya kejayaan menemui atau memahami perkara lain pada ketika sedang menyelidik perkara lain adalah kebiasaan dalam dunia sains. Ramai saintis telah melalui keadaan seperti itu dari dulu sehinggalah sekarang. Misalnya penemuan radar, penemuan radioaktiviti, penemuan peninsilin dan sebagainya, semuanya ditemui secara tidak sengaja.

    Dalam usaha manusia menjelajah angkasa lepas pula misalnya, kita lihat banyak sub-sub produk yang sebahagiannya telah menjadi mainstream dapat dimanfaatkan hasil dari perkembangan ilmu dan teknologi yang dibangunkan ke arah menjayakan usaha penjelajahan tersebut walaupun matlamat yang asal itu belum pun dicapai sepenuhnya.

    Samalah apabila kita berusaha memahami Al-Quran. Dalam kita mahu memahami satu perkara Tuhan dedahkan beberapa perkara lain. Itulah seronoknya melakukan penyelidikan.

    tolokminda

    July 9, 2011 at 8:26 am

  3. Salam,

    Sejak membaca buku Aidid Safar, saya mula mengkaji terjemahan Al-Quran yang saya gunakan. Setakat ini sudah 3 kal saya ‘khatam’. Semakin banyak penyelewengan terjemahan yang saya jumpa. Contohnya, bagaimana 3 perkataan Arab iaitu “syiya’an”, “ad-din”, dan “millat” diterjemahkan sebagai agama.

    Sepatutnya 3 perkataan ini membawa maksud yang berlainan. Begitu juga dengan perkataan ” ‘abudu” yang sepatutnya dterjemahkan sebagai mengabdikan. Contoh:-

    “Mereka menjawab: ‘ Kami akan tetap menyembah patung anak lembu ini sehingga Musa kembali kepada kami.’ ”
    (20:19)

    Sedangkan jika kita perhatikan dalam huruf Arab dalam (20;19), tidak ditemui satu pun perkataan ‘abudu. Terjemahan Al-Quran yang diterbitkan tidak konsisten jika kita perhatikan dengan teliti.

    Dari (21:5) apa yang saya faham ialah Muhammad tidak mempunyai mukjizat melainkan Al-Quran sahaja. Mesti ada sebab mengapa Muhammad wafat di Yathrib bukannya di kota Mekah. Ramai pengikutnya terdiri dari golongan munafik. Golongan munafik ini masih wujud dari generasi ke generasi.

    Saya ada lihat satu video di youtube di mana apabila raja saudi masuk ke bangunan batu 4 segi itu, ramai jemaah di sekitarnya menjerit “king abdulllah, king abdullah, king abdullah” dan “allahuakbar, allahuakbar, allhuakbar”. Padahal raja saudi dan kerabatnya masuk utk melawat dewi-dewi sembahan nenek moyang mereka sejak dahulu lagi.

    Itulah sebab mengapa hanya orang yang betul2 taksub dengan batu 4 segi itu sahaja yg layak masuk. Seorang pakar agama Melayu pernah menceritakan bagaimana beliau mendapat peluang masuk ke dalam batu 4 segi itu. Tetapi beliau “tidak nampak” dewi-dewi pujaan Arab yang terdapat di dalamnya kerana buta hati.

    Setiap kali saya tengok video ni, rasa macam nak bakar pulak batu tu. Ianya menyakitkan hati saya sejak dulu lagi. Kenapa masih ramai yang buta hati untuk untuk sedar bahawa apa yang mereka puja selama ini ialah berhala.

    Pada pendapat saya, berbincang, berdebat dan berhujah tidak mampu menyedarkan mereka semua melainkan kita akan dituduh sebagai orientalis, anti-hadis, munafik dan paling teruk boleh dimasukkan ke dalam ISA. Kalau parti taliban melayu yg memerintah Malaysia, pasti kita akan dihukum bunuh.

    Apa saya nampak ialah senjata paling kuat untuk menumbangkan penipuan terbesar pihak tertentu berkenaan terjemahan Al-Quran ialah dengan sains dan teknologi. Contohnya jika manusia mampu mengakses angkasa lepas secara besar-besaran, agama Arab akan musnah secara drastik.

    -Mat Guyver-

    Mat Guyver

    July 9, 2011 at 12:03 pm

  4. Maksud saya, apabila manusia boleh naik ke orbit dan pergi ke Bulan seperti KL pergi London hari ini, pasti akan mendatangkan masalah besar kepada semua penganut agama Arab yang mahu bersembahyang tunggang-tunggeng sebanyak 5 kali setiap kali matahari terbit.

    Kita sama-sama tunggu dan lihat.

    Mat Guyver

    July 9, 2011 at 12:11 pm

  5. Salam TM, kita semua tahu dalam Al Quran Allah memberitahu kita “Mereka mebuat perancangan, tetapi Allah juga merancang, dan sesungguhnya Allah adalah perancang yang terbaik (3:54). Mereka boleh membuat rancangan menterjemahkan sesuatu perkataan itu untuk menyesuaikan kepercayaan agama yang mereka ada-adakan, tetapi sebagai Pencipta, Allah akan dedahkan tipu-helah mereka kepada orang-orang yang mengambil berat tentang mesejnya. Allah juga tidak lupa memberitahu kita:

    “Dan mereka tidak datang kepada dengan suatu perumpaan melainkan Kami datangkan kepada kamu dengan kebenaran dan sebaik-baik (taf-see-ran)”Tafsir.” (25:33)

    Pendedahan TM tentang membandingkan perkataan “salawatun” dalam 22:40 dan 2:157 adalah satu contoh diantara banyak lagi penyelewengan yang dilakukan oleh pentejemah-pentejemah. Kalau kita tidak berwaspada, kita akan termasuk orang-orang yang lalai.

    Dari kecil kita diasakkan dengan “Berselawat” atas Nabi dan ustaz-ustaz kata ini adalah perintah Allah dalam surah 33 ayet 56. Mereka kata Allah dan malaikat-malaikat semua “Selawat” atas Nabi, jadi kita juga kena selawat atas Nabi. Perkataan Arab “Yu-sol-luu” dan “Yu-sol-lee” dalam ayat tersebut yang dijadikan sebagai ortoriti. Saya tidak pasti apa perasaan orang lain, tetapi dalam hati kecil saya, wah…… memang handal betul Nabi Muhammad sampaikan Allah sendiri kena “Berselawat” atas dia.

    Bila saya mula baca Quran saya terperanjat perkataan “Yu-sol-lee” dalam ayat 4:103 diterjemah sebagai “Sembahyang”. Saya pun bertanya-tanya. Tak kan Allah “Sembahyang atas Nabi”? Selainnya menjadi sejarah kepada saya.

    Simpang Lawin

    July 11, 2011 at 3:36 am

  6. Salam SL,

    Saya percaya kita semua mempunyai cerita sendiri sebelum berada dalam kedudukan sekarang. Saya berminat untuk memahami Al-Quran sejak sekian lama. Saya beli terjemahan Quran dalam bahasa Melayu dan cuba memahaminya. Tetapi saya tidak faham. Kemudian saya beli terjemahan dalam bahasa Inggeris, pun tidak faham juga. Bukan tak faham macamana, tetapi semakin diteliti terasa semakin banyak pula percanggahan. Kemudian saya ditemukan dengan Mental Bondage Aidid Safar, dan ia ibarat lampu di dalam gua.

    Apa yang dikemukakan oleh Aidid Safar sedondon dengan jawapan yang saya cari-cari. Bagi saya pendedahan Aidid mengenai konsep “akar huruf” dalam pembinaan perkataan bahasa Arab sangat membantu. Selepas itu saya tidak lagi bimbang tidak faham mana-mana terjemahan kerana saya boleh sentiasa cuba memahaminya melalui penelitian saya sendiri. Kalau tafsiran saya salah sekalipun saya tahu ia sentiasa boleh dibetulkan. Yang penting saya harus sentiasa berusaha untuk faham dan tidak takut mengemukakannya untuk diperbincangkan.

    tolokminda

    July 11, 2011 at 10:22 pm


Leave a comment