Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘bilangan rakaat

Corat-Coret: Tentang solaa @ komitmen

with 455 comments

1.  Solaa @ komitmen adalah aktiviti seharian – sepanjang hidup

Pada kefahaman saya, saya berpendapat – di dalam Al-Quran – secara umumnya Tuhan membahagikan satu hari kepada empat (4) bahagian iaitu;

  • Pagi
  • Petang
  • Awal malam, dan
  • Malam

Kita lihat malam dulu.  Pada dasarnya malam dimaksudkan oleh Allah sebagai waktu tidur atau waktu untuk berehat. Ini dinyatakan dengan jelas dalam ayat-ayat berikut:

6:96  “Dia menyebabkan matahari terbit dan dia telah menjadikan malam untuk berehat…”

10:67  “Dia yang telah menjadikan untukmu malam supaya kamu boleh berehat di dalamnya…”

27:86  “Tidakkah mereka memikirkan yang kami telah menjadikan malam supaya mereka boleh berehat di dalamnya…”

Di bahagian hari yang ini – iaitu malam – kita berehat, kita tidur – jadi ia bukanlah waktu untuk apa-apa komitmen. Kalau boleh dikatakan, komitmen kita di waktu malam adalah berehat iaitu tidur.

Bagaimanapun pada bahagian-bahagian hari yang lain – pagi, petang dan awal malam – iaitu sebelum waktu tidur, Tuhan suruh kita penuhi waktu-waktu itu dengan menunaikan komitmen atau dengan kata lain, Tuhan suruh kita buat kerja – selesaikan semua urusan dan tanggungjawab. Ini dijelaskan dalam ayat berikut.

11:114 “Dan tunaikanlah komitmen-komitmen di dua bahagian siang, dan beberapa jam dari malam, sesungguhnya kerja-kerja yang baik menjauhkan amalan kerja-kerja buruk; ini adalah peringatan kepada mereka yang mahu berfikir”.

Kesimpulan saya:

–> Dua bahagian siang – pagi dan petang

–> Beberapa jam dari malam – awal malam

Kita kena faham bahawa apa yang dimaksudkan dengan solaa @ komitmen bukan saja perkara yang berkaitan ketetapan-ketetapan yang telah direstui Tuhan (masjidillah) secara khusus tetapi turut melibatkan semua komitmen yang berada dalam batasan ketetapan yang direstui (masjidilharam) seperti yang melibatkan kerjaya, perniagaan, mencari ilmu, menguruskan rumahtangga, bersukan, melayan anak-anak dan seribu satu macam hal lagi.

Oleh itu tidak hairanlah Tuhan memperuntukan supaya kita melaksanakan komitmen-komitmen itu dari waktu pagi, sehingga ke petang dan membawa ke awal malam – iaitu sebelum kita tidur di waktu malam. Dengan kata lain Tuhan suruh kita tunaikan solaa @ komitmen sepanjang hari dari awal pagi sehinggalah kita masuk tidur semula di waktu malam.

2.  Solaa @ komitmen menjauhkan perbuatan buruk dan sia-sia

Solaa atau komitmen yang baik – sebarang kerja atau usaha yang dilaksanakan dalam ketetapan dipersetujui yang direstui (masjidilharam) akan dapat menghindarkan kita dari melakukan kerja-kerja buruk atau tidak berfaedah. Jika jadual harian kita penuh dengan aktiviti positif kita tidak akan ada masa untuk terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti penagihan dadah, merempit siang-malam, kepit kekasih ke hulu ke hilir, berdangdut sampai ke pagi dan sebagainya.

Peranan komitmen sebagai penghindar dari perbuatan atau amalan buruk yang sia-sia juga dijelaskan melalui ayat ini.

11:114 “Dan tunaikanlah komitmen-komitmen di dua bahagian siang, dan beberapa jam dari malam, sesungguhnya kerja-kerja yang baik menjauhkan kerja-kerja buruk; ini adalah peringatan kepada mereka yang mahu berfikir”.

3.  Solaa @ komitmen perlu dilaksanakan mengikut keutamaan – first thing first

Selain mengingatkan kita supaya memenuhkan jadual seharian dengan pelbagai komitmen, Tuhan turut menasihatkan kita supaya melaksanakannya mengikut susunan keutamaan atau dalam istilah moden – first thing first.

2:238  “Sentiasalah tunaikan komitmen-komitmen kamu dan lebih-lebih lagi komitmen yang menjadi keutamaan/prioriti (alwusta) dan berdirilah di atas kepatuhan kepada Allah”.

Mungkin ada yang akan bertanya dari mana saya dapat mentafsirkan perkataan wusta sebagai keutamaan atau prioriti. Saya fikir. Dan saya dapati ia sangat sesuai dengan konteks ayat. Malah sesetengah penterjemah telah menterjemahkan perkataan wusta sebagai “midmost” dan ramai yang menggunakan perkataan “middle”. Midmost lebih menggambarkan perkataan yang saya cari, iaitu yang paling penting atau yang menjadi prioriti. Secara kasarnya, apa yang kita letak di tengah tentulah lebih diutamakan dari yang kita letakkan di tepi.

Sebagai menguatkan lagi pendapat saya, mari kita  lihat satu lagi ayat yang mengandungi perkataan dari akar huruf yang sama dengan wusta.

2:143  Dan begitulah kami menjadikan kamu umat yang diutamakan (wasatan) supaya kamu menjadi saksi kepada orang lain dan supaya rasul bersama kamu sebagai saksi. Dan Kami tidak menjadikan arah tumpuan yang kamu sendiri di atasnya – tetapi Kami tahu siapa yang akan menuruti rasul – dari mereka yang berpaling di atas tumit mereka. Sesungguhnya ia adalah berat kecuali kepada mereka yang telah diberi petunjuk oleh Tuhan. Dan Tuhan tidak akan mensia-siakan kepercayaan kamu. Sesungguhnya Tuhan Penyayang, Mengasihani manusia.

Saya rasa cukup yakin. Maka itu ketetapan Allah supaya kita mendahulukan yang lebih utama apabila melaksanakan solaa @ komitmen dapat dibuktikan apabila secara universal ia adalah selaras dengan tabiat orang-orang yang berjaya di dunia ini.

4.  Solaa @ komitmen perlu dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan.

Satu lagi aspek yang penting tentang perlaksanaan sesuatu komitmen adalah penjadualan masa atau penetapan tempoh atau dateline. Kita buat janjitemu dengan orang, kita tetapkan masa dan kita mesti tunaikan komitmen kita itu tepat pada masanya. Janji pukul 3.00 datanglah pukul 3.00.

Selain dari aspek penjadualan masa, aspek tempoh dan dateline juga berkaitan. Misalnya jika kita telah berjanji untuk menyiapkan projek dalam masa sebulan, kita kena siap sebulan – bukan 3 bulan atau 4 bulan atau tak siap langsung. Begitu juga dengan dateline. Jika kita diarahkan untuk menghantar assignment sebelum pukul 12.00 tengah hari, maka kita perlu siapkan dan hantar assignment kita sebelum pukul 12.00 tengah hari pada tarikh yang berkenaan.

4:103 Dan apabila kamu selesai dengan komitmen tersebut (berperang ), ingatlah Allah sambil berdiri, duduk atau bersandar; tetapi apabila kamu telah benar-benar selamat; tunaikanlah komitmen-komitmen yang rutin, sesungguhnya setiap komitmen mempunyai garismasa (dateline) kepada orang-orang yang percaya.

5.  Solaa @ komitmen perlu dilakukan bersama sifat tekun dan sabar

Satu lagi aspek yang penting untuk menjayakan sesuatu komitmen, kita mestilah tekun dan sabar. Tidak ada kerja yang mudah tetapi biasanya orang-orang yang tekun dan sabar dalam usaha mereka  akan lebih berjaya dari mereka yang tidak cekal hati dan cepat mengalah.

2:153  Wahai kamu yang percaya! Mintalah pertolongan melalui kesabaran dan komitmen, sesungguhnya Tuhan bersama-sama mereka yang sabar.

Dan sebagai penutup, saya harap corat-coret mengenai solaa @ komitmen ini akan menjana perbincangan yang sihat dari para pembaca semua.

Written by tolokminda

February 24, 2010 at 5:33 pm

Mengapa wujud polemik dalam menentukan bilangan rakaat solat?

with 15 comments

Solat atau sembahyang 5 waktu yang menjadi amalan umat Islam hari ini dikatakan mula diajar oleh Nabi kepada para sahabat sejak menerima perintah mengenainya dalam satu peristiwa popular, Israk Mikraj. Hari ini umat Islam menyifatkan solat sebagai amalan tunggak. Segala amalan baik tidak bermakna apa-apa jika seseorang tidak solat.

Dulu, Nabi dan para sahabat dikatakan tidak lekang dari menunaikan solat berjemaah bersama-sama. Hanya kadang-kala sahaja Nabi dikatakan solat bersendirian. Menurut cerita, para sahabat dan generasi mereka yang seterusnya tidak pernah sedikit pun mengabaikan amalan solat walaupun selepas kewafatan Nabi.

Kalau begitu keadaannya, bagaimana mungkin kita berdepan dengan polemik berkaitan dengan bilangan rakaat solat?  Bagaimana satu amalan yang dilakukan 5 kali sehari tanpa gagal sejak Nabi sendiri dikatakan mengajarnya, sentiasa berjemaah bersama-sama dan amalannya berterusan dari generasi ke generasi tiba-tiba boleh menjadi kabur pada bahagian yang paling asas seperti bilangan rakaat?

Saya fikir ini satu persoalan yang wajar kita cari jawapannya. Mengapa bilangan rakaat solat yang ada pada hari ini terpaksa disandarkan kepada riwayat-riwayat hadis? Sepatutnya jika benar ritual solat diamalkan sejak zaman Nabi oleh umat Islam, sekerap 5 kali sehari, tentulah soal bilangan rakaat untuk setiap solat sudah menjadi suatu yang jelas muktamadnya. Polemik mengenai bilangan rakaat solat tidak sepatutnya timbul.

Tetapi  itulah yang berlaku. Ulama terpaksa berpolemik untuk menetapkan bilangan rakaat solat. Sehingga hari ini, polemik ini masih tidak dapat dikekang sepenuhnya. Para ulama terpaksa korek dan tampal hadis di sana-sini untuk meyakinkan umat tentang bilangan rakaat solat mereka.

Jika apa yang disampaikan kepada kita betul, solat sepatutnya menjadi amalan rutin yang lahir lebih dulu dari kitab hadis. Hadis hanya mula dikumpul dan direkodkan di sekitar 200 tahun selepas kewafatan Nabi. Jadi, adakah dalam tempoh 200 tahun selepas ketiadaan Nabi itu umat Islam sudah lupa tentang solat sehingga terpaksa menunggu dam merujuk kitab hadis untuk mengingatkan semula perihal bilangan rakaat setiap solat yang Nabi buat?

Jelas sekali. Ada yang tidak berapa kena di sini.

Written by tolokminda

December 25, 2009 at 4:04 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with , ,