Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for the ‘Agama’ Category

Sains atau agama?

with 3 comments

Jika kita fahami mesej Al-Quran betul-betul, sebenarnya Tuhan mahu manusia hidup sebagai saintis dan bukannya mendapatkan status sebagai sekutu Tuhan dan kemudian mengajak pula manusia lain mempersekutukan Dia dengan bermacam-macam benda.

Untuk kita mulakan kefahaman ini, saya ingin mengajak para pembaca budiman kembali membincangkan ayat-ayat 2:31-34. Sebelum ini saya telah bincangkan perihal ayat-ayat yang sama di sini. Baiklah. Mari kita perhatikan semula perkara pertama yang Tuhan ajar kepada Adam:

2:31 Dan Dia mengajar Adam sifat semua benda; kemudian Dia membawanya ke hadapan para malaikat dan berkata: “Beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

2:32 Mereka berkata: Pujian kepada Engkau, kami langsung tidak mempunyai pengetahuan seperti itu kecuali apa yang Engkau telah ajar kepada kami: Sesungguhnya Engkaulah yang sempurna dengan pengetahuan dan bijak.

2:33 Dia berkata: Wahai Adam! Beritahu mereka (para malaikat) sifat-sifat mereka (benda-benda). “Apabila dia sudah memberitahu mereka, Tuhan berkata: Tidakkah Aku telah memberitahu kamu bahawa Aku mengetahui rahsia-rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?

2:34 Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat: Bersetujulah kepada Adam dan mereka bersetuju tetapi tidak Iblis. Dia menolak dan sombong. Dia adalah dari kalangan yang kafir.

Dari kisah pengkomisyenan Adam di hadapan para malaikat yang diceritakan Tuhan dalam ayat-ayat di atas, kita mendapat tahu bahawa pelajaran pertama yang diajar oleh Tuhan kepada manusia adalah sifat benda-benda.

Sebenarnya sampai hari ini pelajaran kita itu belum habis. Kita masih mempelajari sifat benda-benda. Tuhan masih mengajar manusia perkara yang diajarkan kepada Adam dulu. Mungkin bezanya melalui kaedah saja. Kalau dulu Tuhan mengajar Adam secara terus, hari ini kita belajar menggunakan kaedah yang dikenali sebagai sains. Terus atau sains – siapakah yang mengajar manusia kalau bukan Tuhan?

Dan itulah latar sebenar antara mesej utama yang Tuhan sampaikan kepada kita melalui Al-Quran – iaitu supaya kita tidak meninggalkan ajaran pertamaNya. Supaya kita terus mempelajari sifat benda-benda kerana hanya melalui pengetahuan itulah kita dapat membangunkan pelbagai manfaat dari kurniaan Tuhan yang tidak terhitung baik yang berada di langit mahupun di bumi.

Itulah jalan hidup yang sebenarnya. Jalan kemakmuran. Jalan yang selamat dan aman untuk seluruh umat manusia. Di dunia mereka akan dapat menikmatinya dan di akhirat mereka bakal dibalas dengan kebaikan yang berganda-ganda.

Sebab itulah juga di sebaliknya, Tuhan larang kita ikut mereka yang mengajak percaya kepada ajaran-ajaran palsu yang tidak bersandar kepada sunnah Tuhan. Mengerjakan amalan-amalan dari kepercayaan seperti itu bukan saja tidak mendatangkan faedah tetapi ia juga tidak sebarang membawa mudarat kalau tidak dilakukan.

Pendek kata, semua itu kerja buang masa. Lebih buruk lagi kepercayaan dan amalan seperti itu biasanya menjadi menarik kerana ia dihiasi dengan unsur-unsur penyekutuan kepada Tuhan. Langsung Tuhan laknat dan bakal menjadi penghuni neraka yang kekal abadi. Sudahlah hidup di dunia susah, di akhirat pula cuma layak jadi bahan api neraka saja. Teruknya!

Jadi, mahu belajar sains atau agama?

Written by tolokminda

February 8, 2011 at 10:52 pm

Posted in Agama

Tagged with

Sains dan pengabdian diri kepada Tuhan

with 5 comments

Saya melihat kisah Adam pada peringkat awal penciptaannya mengandungi petunjuk yang amat penting untuk kita memahami apakah sebenarnya faktor yang melayakkan kita menjadi khalifah di bumi berbanding makhluk lain. Setelah mengetahui kemampuan kita yang sebenarnya, barulah mudah untuk kita memahami apakah bentuk pengabdian yang Tuhan ingin lihat dari kita. Mari kita periksa satu persatu apa yang Tuhan telah ceritakan.

2:31 Dan Dia mengajar Adam sifat semua benda; kemudian Dia membawanya ke hadapan para malaikat dan berkata: “Beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

Melalui 2:31 kita dapat tahu bahawa Tuhan telah mengajar Adam tentang sifat/nature semua benda sebelum membawa Adam ke hadapan para malaikat supaya mereka melihat sendiri kemampuan dirinya sebagai calon khalifah. Dan sebelum menguji Adam, Tuhan mulakan dengan menguji para malaikat dengan berkata, “beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

Mengapa Tuhan menyebut “jika kamu benar” kepada malaikat? Kerana sebagaimana yang kita semua tahu sebelum itu para malaikat telah mempertikaikan rancangan Tuhan untuk menjadikan Adam khalifah di bumi kerana beranggapan mereka adalah makhluk yang lebih baik dari Adam. Bagaimanapun malaikat gagal memberi jawapan yang diminta oleh Tuhan sebaliknya mengakui kelemahan mereka. Mereka hanya tahu tentang sesuatu jika Tuhan mengajar mereka.

[Nota: Sebelum ini saya beranggapan bahawa proses demonstrasi Adam di hadapan para malaikat telah membuktikan bahawa Adam merupakan makhluk yang lebih baik berbanding para malaikat kerana dia dapat menjawab apa yang malaikat tidak dapat jawab. Tetapi melalui penulisan artikel ini saya dapati anggapan itu tidak benar. Sebenarnya Adam tahu menjawab kerana Tuhan mengajar perkara yang ditanya sedangkan para malaikat tidak berpeluang mempelajarinya. Ini dijelaskan melalui kenyataan para malaikat, “kami langsung tidak mempunyai pengetahuan seperti itu kecuali apa yang Engkau telah ajar kepada kami”.]

2:32 Mereka berkata: Pujian kepada Engkau, kami langsung tidak mempunyai pengetahuan seperti itu kecuali apa yang Engkau telah ajar kepada kami: Sesungguhnya Engkaulah yang sempurna dengan pengetahuan dan bijak.

Lalu Tuhan kembali kepada Adam dan bertanya kepadanya soalan yang berkaitan. Dan Adam berjaya menunjukkan kemampuannya dengan menjawab soalan yang dikemukakan. Ini membuktikan bahawa Adam juga mampu belajar seperti para malaikat jika dia diajar. Jadi tiada kurangnya Adam berbanding para malaikat. Anggapan para malaikat bahawa mereka lebih baik dari Adam tertangkis dan Tuhan menekankan kepada mereka bahawa Dia mengetahui segala-galanya sedangkan makhluknya tidak begitu.

2:33 Dia berkata: Wahai Adam! Beritahu mereka (para malaikat) sifat-sifat mereka (benda-benda). “Apabila dia sudah memberitahu mereka, Tuhan berkata: Tidakkah Aku telah memberitahu kamu bahawa Aku mengetahui rahsia-rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?

Apabila sudah jelas kemampuan Adam yang diuji di hadapan mereka, Tuhan meminta para malaikat merendah diri kepada Adam (tidak meneruskan anggapan salah mereka sebelum itu). Para malaikat terus patuh kepada suruhan Tuhan dan mereka merendah diri kepada Adam kecuali Iblis. Iblis – menurut Tuhan – menolak untuk merendah diri kepada Adam dan terus bersikap sombong. Dan dengan penolakan dan sifat sombongnya itu Tuhan menyatakan Iblis telah menempatkan dirinya di kalangan mereka yang kafir.

2:34 Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat: Bersetujulah kepada Adam dan mereka bersetuju tetapi tidak Iblis. Dia menolak dan sombong. Dia adalah dari kalangan yang kafir.

Sebagai kesimpulan, saya berpendapat melalui ayat 2:31-34 di atas, kita dapat melihat dengan jelas apakah sebenarnya faktor yang menjadikan Adam/manusia layak dan wajar menjadi khalifah di bumi.

Faktor itu adalah kemampuan Adam/manusia belajar dan memahami semua elemen yang berada di persekitarannya. Walaupun kita tidak tahu secara terperinci bagaimana Tuhan telah mengajar Adam tentang sifat-sifat benda atau nature of things itu, tetapi hari ini kita tahu hanya satu cara kita dapat mempelajari perkara yang sama iaitu melalui kaedah saintifik.

Jadi petunjuknya sudah jelas. Sains adalah satu keperluan dalam memperlengkapkan pengabdian diri kita kepada Tuhan. Sudah tentu kerana sains dapat membantu kita menjana pekerjaan (dalam bahasa Arab – amalan) dan manfaat yang banyak dari kurniaan Tuhan yang tidak terbatas. Bagaimana pula pengabdian kepada Tuhan itu berlaku? Sudah tentu melalui keinsafan dan penghargaan kita terhadap keagungan dan kemurahan Tuhan yang dimanifestasikan melalui segala ciptaanNya. Hanya yang berpengetahuan akan menghargai hakikat ini.

Pendek kata, mengabdikan diri kepada Tuhan bukan meletakkan diri dalam kebodohan dan kemunduran dan mengada-adakan amalan karut marut. Mengabdikan diri kepada Tuhan adalah memenuhkan diri dengan pengetahuan saintifik supaya kita dapat memanfaatkan dan membangunkan kurniaan Tuhan dengan sebaik-baiknya demi penghargaan kepada Tuhan yang memberi dan umat manusia yang memerlukannya.

Rujukan terjemahan asal Yusuf Ali:

  • 2:31 (Y. Ali) And He taught Adam the nature of all things; then He placed them before the angels, and said: “Tell me the nature of these if ye are right.” 

  • 2:32 (Y. Ali) They said: “Glory to Thee, of knowledge We have none, save what Thou Hast taught us: In truth it is Thou Who art perfect in knowledge and wisdom.” 

  • 2:33 (Y. Ali) He said: “O Adam! Tell them their natures.” When he had told them, Allah said: “Did I not tell you that I know the secrets of heaven and earth, and I know what ye reveal and what ye conceal?” 

  • 2:34 (Y. Ali) And behold, We said to the angels: “Bow down to Adam” and they bowed down. Not so Iblis: he refused and was haughty: He was of those who reject Faith.
  •  

    Written by tolokminda

    January 27, 2011 at 2:46 am

    Jangan ikut tabiat orang Yahudi atau Kristian

    with 155 comments

    2:120 Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu – rujukan di sini.

    Saya percaya ayat yang dikemukakan di atas adalah antara ayat Quran yang paling sering kita dengari. Melalui ayat di atas kita diberitahu kononnya orang-orang Yahudi ataupun Nasrani (Kristian) tidak akan gembira dengan kita selagi kita tidak ikut “agama” mereka. Maka kita melihat tentang perbezaan agama. Tentang jangan masuk Yahudi atau Kristian, atau tentang orang Yahudi atau Kristian cuba mempengaruhi kita supaya percaya kepada ajaran-ajaran agama mereka. Pendek kata ia berkenaan usaha meyahudikan atau mengkristiankan orang Islam. Ia berkisar tentang persaingan antara “agama”.

    Sebenarnya ayat di atas langsung tidak membawa maksud yang sedemikian. Ayat di atas adalah tentang supaya kita jangan ikut tabiat orang Yahudi atau Kristian – bukan jangan ikut agama mereka. Tuhan tidak pernah menurunkan agama kepada manusia. Tuhan hanya menurunkan Petunjuk supaya manusia hidup mengikut peraturan, program atau cara hidup -deen – yang sepatutnya untuk mereka. Sebaliknya agama adalah suatu sistem kepercayaan ciptaan manusia.

    Mari kita kembali kepada ayat 2:120 dan lihat mesej Tuhan yang sebenarnya.

    Transliterasi 2:120: Walan tarda AAanka alyahoodu wala alnnasara hatta **tattabiAAa millatahum qul inna huda Allahi huwa alhuda wala-ini **ittabaAAta ahwaahum baAAda allathee jaaka mina alAAilmi ma laka mina Allahi min waliyyin wala naseerin

    2:120 Dan Yahudi tidak akan gembira dengan kamu, begitu juga Kristian sehinggalah kamu menurut **tabiat mereka. Katakan: Sesungguhnya Petunjuk Tuhan, itulah panduan yang sebenar. Dan jika kamu menurut **tabiat mereka selepas pengetahuan yang sampai kepada kamu, kamu tidak akan mendapat petunjuk dari Tuhan dan tidak juga sebarang pertolongan.

    Perhatikan perkataan yang digunakan dalam teks asal. Ia tidak menyebut “agama” tetapi ia menyebut tabiat atau perangai. Seperti yang telah saya katakan tadi, mesej Tuhan melalui 2:120 bukanlah supaya kita jangan masuk Yahudi atau Kristian atau mengadaptasikan “agama” mereka ke dalam “agama” kita. Tuhan hanya berpesan supaya kita jangan ikut tabiat atau perangai mereka dalam menegakkan peraturan atau cara hidup yang benar. Tuhan kata, ikut KitabNya dan bukan ikut tabiat atau perangai orang Yahudi atau Kristian.

    Bagaimanakah tabiat atau perangai orang Yahudi atau Kristian yang Tuhan suruh kita jangan ikut? Sebenarnya banyak petunjuk yang telah Tuhan berikan tentang mereka di dalam Al-Quran. Apa yang perlu kita lakukan adalah baca Kitab Tuhan dan kenalpasti apakah tabiat-tabiat mereka itu. Sebagai permulaan, berikut saya bawakan beberapa contohnya;

    2:113  Dan yang Yahudi kata yang Kristian tidak mempunyai asas dan yang Kristian kata yang Yahudi tidak mempunyai asas sedangkan kedua-duanya membaca Kitab. Serupalah, mereka yang tidak berpengetahuan bercakap perkara yang sama. Tuhan akan mengadili di antara mereka pada hari Kiamat apa yang mereka perselisihkan.

    Tabiat yang disebut dalam 2:113 adalah Yahudi dan Kristian saling menuduh satu sama lain tidak berasas atau tidak betul. Maknanya jika kita pun ada tabiat seperti itu terhadap penganut “agama” lain atau mungkin juga sesama “agama” sendiri maka itu adalah tabiat Yahudi dan Kristian yang kita ikut. Tuhan kata, jangan ikut tabiat seperti itu.

    2:135 Dan mereka berkata; Jadilah Yahudi atau Kristian, kamu akan berada di jalan yang benar. Katakan: Tidak! Sebenarnya kami menuruti kepercayaan Ibrahim yang berpendirian, dan dia bukanlah seorang yang menyekutukan.

    Tabiat Yahudi dan Kristian yang disebut dalam 2:135 adalah mereka menyuruh orang masuk agama mereka kalau mahu berada dalam jalan yang lurus. Sebaliknya Tuhan suruh kita jangan ikut tabiat mereka itu. Cukuplah kita menjadi seorang yang berpendirian dan tidak menjadi seorang yang menyekutukan Tuhan sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Ibrahim.

    2:140  Tidak! Adakah kamu kata Ibrahim dan Ismail dan Yaakub dan keturunan mereka itu Yahudi atau Kristian? Katakan: Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Tuhan? Dan siapa yang lebih zalim dari mereka yang menyembunyikan keterangan dari Tuhan yang ada padanya? Dan Tuhan langsung tidak leka dari apa yang kamu kerjakan.

    Tabiat orang Yahudi dan Kristian yang disebut dalam 2:140 adalah mereka mendakwa para nabi dan rasul menganuti “agama” mereka padahal mereka sebenarnya menyembunyikan kebenaran yang Tuhan telah sampaikan kepada mereka. Para nabi dan rasul tidak menganut sebarang agama baik ia dinamakan Yahudi atau Kristian atau pun dalam konteks kita – Islam. Tuhan  menyifatkan perbuatan menggunakan nama-nama nabi untuk menyokong kepercayaan palsu dan menutup kebenaran adalah perbuatan orang-orang yang zalim. Jadi masihkah kita mahu ikut tabiat orang Yahudi atau Kristian?

    Sebagai mengakhiri artikel kali ini, saya percaya kita boleh mendapat lebih banyak petunjuk tentang tabiat-tabiat buruk dan sesat orang-orang Yahudi atau Kristian dan kaum-kaum seumpamanya di dalam Al-Quran. Saya fikir tiga contoh yang saya kemukakan di atas mampu mengundang inisiatif para pembaca budiman untuk mengenalpasti lebih banyak tabiat mereka supaya kita dapat menghindari dari terjerumus ke dalam lubang yang sama. Renungkanlah nasihat Tuhan tentang peri pentingnya membaca KitabNya dengan kefahaman.

    2:121 Mereka yang telah Kami berikan Kitab membacanya sebagaimana ia sepatutnya dibaca, mereka inilah mereka yang mempercayainya. Dan sesiapa yang tidak mempercayainya mereka adalah orang-orang yang rugi.

    **Pencerahan:

    TattabiAAa/IttabiaaAAa bukan bermaksud tabiat. Salah faham telah berlaku di pihak saya. Para pembaca budiman boleh menyemak ruangan komen untuk mendapatkan pencerahan kepada perkataan yang dimaksudkan. Terima kasih kepada semua yang telah membincangkan kesilapan ini dan berkongsi pengetahuan – Tolokminda.

    Written by tolokminda

    October 6, 2010 at 10:14 am

    Posted in Agama, Nabi | Rasul, Quran

    Tagged with , ,