Archive for March 2010
Memahami dan mematuhi ketetapan Tuhan (masjidillah) melalui sains adalah dituntut tetapi mematuhi ketetapan (masjid) palsu adalah dilarang sama sekali
Sebelum ini saya telah menulis tentang perkataan masjid yang pada pendapat saya bukan bermaksud rumah Allah atau bangunan untuk melakukan ibadat. Saya percaya konsep membina bangunan khas untuk melakukan amalan ritual kepada Tuhan sebagaimana yang menjadi kebiasaan dalam struktur agama umat penyekutu Tuhan tidak terdapat di dalam Al-Quran.
Seperti mana yang telah saya kemukakan di dalam artikel ini, perkataan “masjid” sepatutnya bermaksud “ketetapan yang direstui” – iaitu apabila kita merujuk perkataan masjid itu kepada suatu ketetapan Tuhan yang Dia telah beri restu secara khusus atau secara umum melalui Al-Quran. Bagaimanapun jika kita tidak merujuk perkataan masjid untuk dimaksudkan kepada suatu ketetapan Tuhan maka ia bolehlah ditafsirkan sebagai sekadar “ketetapan”.
Dalam usaha mendalami keyakinan saya terhadap perkataan “masjid” sebagai “ketetapan”, saya dapati ayat-ayat 9:107-110 memberi kita satu perspektif yang amat menarik.
9:107 Dan ada di kalangan mereka yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk membuat kejahatan dan keingkaran, dan untuk memecahbelahkan di antara mereka yang percaya dan menjadi bahan untuk mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini. Mereka akan bersumpah bahawa mereka hanya mahu melakukan kebaikan dan Tuhan menyaksikan mereka itu adalah penipu.
Dalam ayat di atas Tuhan memberitahu kita bahawa ada di kalangan manusia yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk menyesatkan atau memecahbelahkan umat serta menjadi penyebab kepada mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini.
Dan oleh kerana ketetapan (masjidan) yang mereka ambil itu Tuhan kata telah turut menjadi alasan kepada mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya, maka ia bolehlah kita sifatkan sebagai satu indikasi bahawa ketetapan (masjidan) yang telah mereka ambil atau gunapakai itu bukanlah ketetapan (masjidan) dari Tuhan. Ia bukan dalam kategori “ketetapan yang direstui”. Ia boleh jadi ketetapan yang mereka olah sendiri atau mungkin juga diambil dari sumber-sumber yang tidak memiliki sebarang authoriti dari Tuhan.
Bagaimanapun “seperti biasa” golongan ini akan sentiasa berkeras mengatakan bahawa amalan-amalan mereka – walaupun sebenarnya langsung tidak disandarkan kepada ketetapan yang direstui Tuhan – adalah demi kebaikan semata-mata. Di dalam blog ini misalnya, ada yang menggunakan ayat seperti “apa salahnya jika ritual itu sesuatu yang baik” atau “saya tidak nampak apa-apa yang buruk dalam ritual itu” – dan seumpamanya. Melalui 9:107 – Tuhan kata orang seperti ini sebenarnya adalah penipu.
Hakikatnya amalan-amalan mereka itu langsung tidak mempunyai faedah kecuali mencanai kejahatan dan perpecahan kepada bangsa manusia.
9:108 Jangan sekali-kali terlibat di dalamnya. Sesungguhnya ketetapan-ketetapan yang diasaskan di atas kepatuhan kepada kebenaran sejak hari pertama adalah lebih bernilai untuk kamu ambil bahagian di dalamnya. Di dalamnya adalah mereka yang ingin membersihkan diri mereka. Dan Tuhan menyukai mereka yang membersihkan diri mereka.
Selaras dengan itu, dalam 9:108 – Tuhan tidak benarkan kita terlibat dalam sebarang ketetapan yang tidak direstuiNya. Dengan kata lain, Tuhan larang kita dari terlibat dengan sebarang amalan yang tidak mendapat authoriti dariNya. Kata Tuhan – jangan sekali-kali! Sebaliknya Tuhan suruh kita ambil bahagian dalam ketetapan-ketetapan yang diasaskan dari kepatuhan kepada kebenaran sejak hari pertama.
Apa maknanya?
Saya berpendapat, maknanya begini:- Ketetapan-ketetapan Tuhan (masjidillah) sebenarnya telah dipatuhi sejak hari pertama alam ini dicipta. Tuhan telah menetapkan bagaimana alam ini akan terbentuk dan segala-gala ciptaanNya patuh kepada hukum-hukum yang telah Dia tetapkan sejak hari pertama lagi. Letusan Besar (Big Bang), pembentukan kosmos, galaksi, bintang-bintang, planet-planet sehingga kepada tumbuhan, haiwan dan segala sifat mereka merupakan bukti kepada kepatuhan kepada kebenaran Tuhan sejak hari pertama.
Saya berpendapat, ayat 9:108 sebenarnya merupakan satu perintah supaya kita mengambil bahagian dalam bidang sains supaya kita dapat memahami rahsia alam ini dari hari pertama Tuhan menciptakannya.
Kefahaman berdasarkan kepada kaedah sains yang sistematik penting kerana melaluinya kita dapat mengetahui pelbagai ketetapan Tuhan yang benar sifatnya di mana semuanya telah pun dipatuhi oleh setiap yang dicipta sehingga membolehkan alam ini terbentuk seperti mana yang kita kenali sekarang. Dan kefahaman kita kepada ketetapan-ketetapan Tuhan yang benar ini akan membersihkan diri kita dari ketetapan-ketetapan palsu yang langsung tidak memberi sebarang manfaat.
9:109 Adakah seseorang yang mengasaskan bangunannya melalui kepatuhan kepada kebenaran dari Tuhan serta restuNya lebih baik, atau seseorang yang mengasaskan bangunannya di tebing sebuah jurang yang hampir runtuh, yang akan runtuh bersama-samanya ke dalam api Jahanam? Dan Tuhan tidak akan memberi pedoman kepada orang-orang yang membuat salah.
Sememangnya menarik apabila Tuhan turut menggunakan perumpamaan yang berasaskan prinsip sains sebagai pengukuh maksud ayat 9:108 dalam 9:109. Adakah sama seseorang yang membina bangunan berasaskan prinsip-prinsip kejuruteraan dan pengetahuan saintifik – iaitu kepatuhan kepada kebenaran dari Tuhan berbanding dengan seseorang yang membina bangunan tanpa mengambilkira apa jua faktor yang boleh menjadi risiko? – Begitulah Tuhan membuka minda kita.
Tuhan beri contoh orang yang membina bangunan di tebing sebuah jurang yang hampir runtuh sebagai seseorang yang tidak patuh (observe) kepada ketetapan-ketetapanNya. Dan dikiaskan pula sebagai satu peringatan keras di mana andainya bangunan yang dibinanya itu runtuh maka ia akan runtuh bersama pembinannya sekali terus ke dalam neraka Jahanam.
Saya berpendapat ayat ini secara tidak langsung turut menjadi satu peringatan umum kepada para pembina bangunan supaya menumpukan komitmen mereka untuk membina bangunan yang lebih baik dan selamat dengan mengambilkira semua faktor risiko yang berkaitan.
Misalnya, kalau bina bangunan di kawasan gempa bumi – patuhi juga ketetapan-ketetapan Tuhan berkaitan risiko gempa bumi. Kalau bina bangunan di kawasan pantai – jangan abaikan ketetapan-ketetapan Tuhan tentang elemen-elemen yang boleh mempengaruhi di persekitaran itu. Semua elemen-elemen semulajadi termasuk bencana alam sebenarnya merupakan manifestasi kepatuhan ciptaan kepada kebenaran yang Tuhan telah tetapkan sejak hari pertama penciptaan.
Namun kejahilan dan kesombongan manusia membina bangunan-bangunan mereka tanpa mengambilkira atau memahami elemen-elemen asas ini bukanlah perkara baru. Sudah berapa ramai manusia yang maut akibat kegagalan mereka patuh kepada ketetapan-ketetapan Tuhan dalam hubungan tersebut sejak dulu sehingga ke hari ini. Jadi tidak hairanlah Tuhan menyebut perkara itu sebagai satu contoh bagaimana mematuhi ketetapan Tuhan melalui kefahaman sains adalah lebih baik dari sibuk menuruti ketetapan palsu yang hanya menyesatkan kita dari manfaat dan kebaikan.
Hari ini pun kita dapat melihat siapa yang mampu membina bangunan yang lebih baik dan selamat untuk diri mereka. Sudah tentulah mereka bukan dari kalangan kaum yang mengabaikan ketetapan-ketetapan Allah. Tidak seperti kaum-kaum yang leka bertuhankan pelbagai ketetapan bodoh di mana apabila sesuatu bencana menimpa mereka, mereka hanya mampu mengucapkan – oh sudah takdir!
9:110 Bangunan-bangunan yang mereka bina menyebabkan keraguan di hati-hati mereka sehingga hati-hati mereka terpenggal. Dan Tuhan Mengetahui, Bijaksana.
Seterusnya ayat 9:110 merupakan satu pernyataan yang memerlukan keinsafan yang mendalam dari lubuk hati kita. Tuhan memberitahu kita bagaimana bangunan yang dibina tidak mengikut ketetapan Tuhan boleh menyebabkan keraguan kepada pembinanya sehingga ke mati. Maknanya mereka sedar mereka tidak melakukan sesuatu dengan betul tetapi mereka tidak berusaha untuk mengubah kepada yang lebih baik iaitu melalui kepatuhan terhadap ketetapan Tuhan.
Maka adakah selepas kefahaman kepada ayat 9:107-110 ini kita tetap mahu mengabaikan ketetapan-ketetapan Tuhan dan kekal menjadi bangsa yang mengutamakan ketetapan-ketetapan palsu yang bukan saja tidak bermanfaat tetapi turut membawa pelbagai kerosakan dalam masyarakat?
9:107 Dan ada di kalangan mereka yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk membuat kejahatan dan keingkaran, dan untuk memecahbelahkan di antara mereka yang percaya dan menjadi bahan untuk mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini. Mereka akan bersumpah bahawa mereka hanya mahu melakukan kebaikan dan Tuhan menyaksikan mereka itu adalah penipu.
Adakah ritual kematian dan pengasingan kawasan kubur mengikut agama anutan dapat membantu si mati?
Kali ini saya mahu mengajak para pembaca budiman melihat satu topik yang mungkin agak menakutkan – iaitu tentang kubur dan pengurusan mayat. Takut atau tidak kita tidak akan dapat lari dari hakikat yang sememangnya berada di hadapan kita. Jadi saya berpendapat ia adalah satu topik yang wajar kita bincangkan.
Kita semua tahu bahawa Tuhan menghidupkan kita dan Dia juga akan mematikan kita.
23:12 Dan sesungguhnya Kami telah cipta manusia dari ekstrak tanah liat,
23:13 Dan Kami jadikan dia dari benih yang halus di dalam ruang bergantung yang kukuh,
23:14 Kemudian benih itu Kami jadikan embrio, kemudian Kami jadikan embrio itu fetus, kemudian Kami jadikan fetus itu tulang, kemudian Kami salut tulang itu dengan daging, kemudian Kami membesarkannya sebagai satu makhluk baru. Jadi pujian kepada Allah, Pencipta yang terbaik.
23:15 Kemudian selepas itu kamu pasti akan mati.
Kemudian Dia akan menghidupkan kita kembali dari kubur masing-masing untuk dihakimi dan diberi balasan yang setimpal di akhirat kelak.
36:51 Dan sangkakala akan ditiup, bilamana dari kubur-kubur mereka mereka akan bergegas ke hadapan Tuhan mereka.
Ayat 36:51 menggambarkan kepada kita bagaimana proses menghidupkan semula setiap manusia yang telah mati akan dilakukan pada hari kiamat nanti. Selepas Sangkakala ditiup kita semua akan bangkit dari kubur masing-masing dan bergegas ke hadapan Tuhan untuk menerima penghakiman.
Tidak ada sesiapa yang akan terlepas dari proses ini. Tidak ada pengecualian. Tidak ada perbezaan. Tidak ada keistimewaan. Dan setiap orang akan bangkit dari kubur dan terus bergegas menuju ke hadapan Tuhan.
70:43 Pada hari di mana mereka akan datang dari kubur-kubur mereka dengan tergesa-gesa seperti mereka sedang bergegas ke arah suatu matlamat,
Jika begitulah keadaannya maknanya di mana pun kita dikuburkan sebenarnya tidak penting. Samada kita dikuburkan di Amerika atau di Malaysia – tidak ada beza. Samada kita dikuburkan di halaman rumah atau di tanah perkuburan yang direzabkan – kita akan dibangkitkan juga.
Oleh itu soalan cepu emas saya dalam perkara ini – apakah relevannya pengkhususan kawasan perkuburan mengikut agama yang diamalkan oleh masyarakat manusia selama ini? Jika semasa hidup kita boleh tinggal dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama dalam satu bangunan atau kawasan – mengapa bila mati tak boleh pula?
Kemudian, tentang amalan-amalan ritual kematian atau pengkebumian. Setiap bangsa atau umat memiliki kaedah ritual kematian dan pengkebumian masing-masing. Dan amalan ritual ini boleh dianggap antara amalan yang paling diambilberat dan sentiasa dipatuhi dalam sesebuah masyarakat – kebiasaannya ia berkait rapat dengan kepercayaan agama mereka.
Umat Islam hari ini juga tidak terlepas dari memiliki set ritual berkaitan kematian. Bermula dari pengurusan mayat sehingga kepada pengkebumian – semua telah ditetapkan syarat dan caranya. Tetapi benarkah ritual-ritual kematian ini benar-benar perlu? Kita lihat bagaimana Tuhan mengajar kita menguruskan mayat.
5:31 Maka Tuhan menghantar seekor gagak untuk menggali tanah dan menunjukkan kepadanya bagaimana dia harus menguruskan mayat adiknya. Dia berkata: Celakalah aku! Aku tidak mampu walaupun untuk menjadi seperti gagak ini dan menguruskan mayat adikku? Maka dia menjadi antara mereka yang menyesal.
Melalui ayat 5:31 di atas Tuhan menjadikan anak Adam yang pertama mati di atas mukabumi ini sebagai contohnya. Si abang telah membunuh si adik dan dia tidak tahu bagaimana mahu menguruskan mayat adiknya. Lalu Tuhan hantar seekor burung gagak untuk mengajar caranya – dipendekkan cerita – caranya adalah korek lubang dan tanam. Semudah itu saja.
Bagaimanapun saya yakin ramai yang tidak akan dapat menerima kaedah yang Tuhan ajar melalui ayat 5:31. Ini kerana mereka sudah terbiasa dengan ritual kematian yang diajar oleh para ulama sejak turun temurun. Tetapi bukankah Tuhan telah menjelaskan status si mati melalui ayat berikut.
6:94 Dan kamu telah datang kepada Kami secara bersendirian sama seperti ketika Kami mencipta kamu pada kali pertama; dan kamu telah meninggalkan di belakang kamu semua yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak nampak semua pengantara yang selama ini kamu dakwa sebagai sekutu-sekutu kamu; semuanya telah terpisah di antara kamu dan segala yang kamu dakwa telah meninggalkan kamu.
Mari kita bincangkan.
Nabi, rasul dan mereka yang percaya tidak menjana sebarang pendapatan dari wahyu-wahyu Tuhan
Tuhan telah melantik ramai nabi dan rasul di kalangan umat manusia untuk menyampaikan peringatan, pedoman dan berita baik dalam bentuk wahyu dan Al-Kitab supaya mereka mengamalkan cara hidup yang direstui Tuhan. Sebahagian darinya kita ketahui nama, bangsa dan pekerjaan mereka. Dan sebahagian pula hanya Allah yang mengetahui siapa mereka.
Dan dari semua nabi dan rasul yang diceritakan kepada kita oleh Tuhan, tidak ada seorang pun dari mereka menyara hidup dengan apa yang mereka sampaikan. Nabi dan rasul tidak menerima sebarang upah atau ganjaran dari sebarang “majikan dunia” untuk menjalankan tugas mereka menyampaikan wahyu Tuhan. Sebagai contoh mari kita lihat apa kata para nabi mengenai upah atau ganjaran mereka.
Nabi Nuh:
26:109 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.
Nabi Hud:
26:127 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.
Nabi Saleh:
26:145 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.
Nabi Luth:
26:164 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.
Nabi Syuib:
26:180 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.
Keadaan ini berlawanan dengan pembesar-pembesar agama golongan penyekutu Tuhan yang biasanya merupakan individu-individu yang mendapat upah atau ganjaran di atas kedudukan mereka. Dari zaman Firaun sehinggalah ke era abad ke 21 – para pembesar agama merupakan golongan yang dinaungi pemerintah dan mereka menjana sumber pendapatan dalam bentuk upah, gaji, elaun dan sebagainya kerana peranan mereka “menjaga” agama masyarakat.
Tetapi cuba kita lihat apa yang Tuhan suruh Nabi katakan dalam hal ini.
38:86 Katakan: Aku tidak meminta kamu sebarang ganjaran untuknya; tidak juga aku dari kalangan yang mengada-adakan.
38:87 Ia tidak lain adalah satu Peringatan kepada semua yang berpengetahuan.
38:88 Dan sesungguhnya kamu akan mengetahuinya apabila masanya tiba.
Jelas sekali Nabi juga menuruti jejak nabi-nabi terdahulu – ganjaran untuk dirinya di atas tugas sebagai rasul yang menyampaikan wahyu Tuhan hanya disandarkan kepada Allah semata-mata. Untuk menyara kehidupan, Nabi bekerja sebagaimana orang lain.
6:135 Katakan: Wahai kaumku, kerjakanlah pekerjaan yang sesuai, kerana aku juga bekerja. Nanti Kamu akan mengetahui siapakah yang akan mendapat hasilnya. Sesungguhnya tidak akan berjaya mereka yang membuat salah.
Begitu juga Tuhan menggambarkan kepada kita berkenaan orang-orang yang percaya – mereka tidak mengambil apa-apa keuntungan dari wahyu Tuhan yang telah sampai kepada mereka.
3:199 Dan sesungguhnya di kalangan ahli Kitab, yang percaya kepada Allah dan apa yang telah didedahkan kepada kamu dan yang telah didedahkan kepada mereka – mereka merendah diri terhadap Allah – mereka tidak menukar ayat-ayat Tuhan dengan harga yang sedikit; kepada mereka ganjaran mereka adalah dari Pemelihara mereka – sudah tentu Allah sangat cepat membuat perkiraan.
Bagaimana pula pendapat para pembaca semua mengenai perkara ini? Wajarkah kita mengambilnya sebagai satu petunjuk untuk kita membuat penilaian siapa yang patuh kepada Allah – yang mengikuti jejak para nabi dan rasul – dan siapa yang sebaliknya?
Setiap umat Al-Kitab menyelewengkan Kitab Tuhan yang telah disampaikan kepada mereka oleh para rasul
Pada umumnya umat Islam beranggapan mereka merupakan satu-satunya umat yang berada di atas jalan yang lurus berbanding dengan umat-umat agama lain. Mereka kata semua umat agama lain telah menyelewengkan Kitab-Kitab Allah yang mereka terima dan Al-Quran diturunkan untuk menggantikan atau memansuhkan semua Kitab-Kitab terdahulu.
Dan oleh kerana umat-umat Al-Kitab terdahulu itu tidak mahu menerima Al-Quran, maka umat Islam menyifatkan mereka sebagai orang-orang yang ingkar – kafir. Tetapi benarkah umat-umat terdahulu menjadi kafir kerana mereka enggan percaya kepada Al-Quran atau sebenarnya mereka sememangnya enggan percaya kepada Kitab-Kitab dan rasul-rasul Allah?
Jika mereka percaya kepada wahyu Tuhan yang telah disampaikan kepada mereka tentu mereka telah menemui perintah yang seumpama ini.
3:84 Katakan: Kami percaya kepada Allah dan apa yang telah diwahyukan kepada kami dan apa yang telah diwahyukan kepada Ibrahim dan Ismail dan Ishak dan Yakob dan yang terdahulu dan apa yang telah diberikan kepada Musa dan Isa dan kepada nabi-nabi dari Tuhan mereka – kami tidak tidak membeza-bezakan di antara mana-mana mereka, dan kepada Dia kami berserah.
Ayat di atas menyuruh kita mengakui bahawa semua Kitab Tuhan sama saja isikandungannya dan nabi-nabi yang menyampaikannya juga sama saja status mereka. Ini bermakna setiap umat Al-Kitab – termasuk kita – hanya perlu mematuhi Al-Kitab masing-masing untuk mendapat petunjuk ke jalan yang lurus. Kitab Tuhan tidak menyesatkan umatnya baik dulu mahupun sekarang. Umat Al-Kitab sepatutnya saling menerima dan mengesahkan antara satu sama lain.
Jadi apakah sebenarnya faktor yang telah menyesatkan setiap umat Al-Kitab?
2:113 Dan orang-orang Yahudi berkata: Orang-orang Nasrani tidak berasas. Dan orang Nasrani berkata: Orang-orang Yahudi tidak berasas sedangkan kedua-duanya membaca Al-Kitab. Samalah juga, mereka yang tidak berpengetahuan bercakap perkara yang sama. Tuhan akan menghakimi apa yang mereka perselisihkan di hari akhirat kelak.
Dari ayat di atas kita dapat melihat punca perselisihan antara umat Al-Kitab – puncanya adalah kerana kejahilan dan ketidakpercayaan mereka. Perhatikan selain dari Yahudi dan Nasrani, Tuhan turut menyatakan bahawa golongan-golongan lain yang tidak berpengetahuan juga bercakap mengenai perkara yang sama. Mereka kata mereka saja yang betul sedangkan orang lain tidak. Bukankah ini turut boleh dirujuk kepada anggapan umat Islam yang saya sebut di awal tadi?
Tidak boleh dinafikan lagi – nampaknya umat Islam juga telah mengubah cara hidup yang ditetapkan oleh Tuhan untuk seluruh manusia – yang bersifat universal – menjadi agama sempit bersifat kepuakan sepertimana Yahudi dan Kristian.
Hakikat bahawa semua Kitab Tuhan adalah sama dan Tuhan tidak pernah membatalkan mana-mana KitabNya walaupun selepas turunnya Al-Quran adalah suatu perkara yang amat penting untuk kita fahami kerana hanya dengan kefahaman tersebut sahajalah kita akan dapat membuka perspektif terhadap kesejagatan (universality) wahyu-wahyu Tuhan dari yang terdahulu sehinggalah Al-Quran.
Semua umat Al-Kitab adalah sama taraf dan kedudukannya di sisi Tuhan sebagaimana sama taraf dan kedudukan nabi-nabi mereka. Semua umat Al-Kitab sepatutnya mengamalkan cara hidup yang sama.
Jika hari ini kita melihat sempadan dan perbezaan di antara umat-umat Al-Kitab, ia bukanlah kerana Tuhan telah menurunkan Kitab yang berbeza-beza . Sebaliknya ia adalah akibat penyelewengan tafsiran terhadap Kitab-Kitab Allah yang dilakukan oleh setiap umatnya. Jika setiap umat Al-Kitab kembali kepada Kitab-Kitab mereka dan memurnikannya dari segala bentuk penyelewengan yang telah dimulakan oleh generasi-generasi yang terdahulu, saya percaya bumi ini akan menjadi sebuah kediaman yang aman untuk semua.
Adakah dua kalimah syahadah satu korupsi pewaris golongan munafik zaman Nabi?
Dalam blog ini kita telah membincangkan semua rukun Islam, iaitu rukun yang melibatkan ritual-ritual yang disifatkan wajib ke atas orang-orang Islam – sembahyang, puasa, zakat, haji – kecuali satu – mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam perbincangan-perbincangan yang dimaksudkan, kita telah melihat bagaimana ritual sembahyang (solat), puasa, haji dan zakat sebenarnya tidak wujud di dalam Al-Quran. Tuhan tidak pernah mengajar kita apa-apa ritual melalui Al-Quran. Yang ada cuma perkataan-perkataan yang disalahtafsirkan. Samada para pembaca budiman mahu percaya atau tidak, hujah-hujah mengenainya telah dikemukakan di atas nas-nas Al-Quran. Maka terpulanglah kepada diri masing-masing untuk membuat kesimpulan.
Sekarang tibalah masanya untuk kita periksa pula kedudukan satu-satunya rukun Islam yang belum kita sentuh – iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Kita semua telah sedia maklum apakah yang dimaksudkan dengan mengucap dua kalimah syahadah. Dilafazkan begini:
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah”
Saya telah cuba mencari kalau-kalau ungkapan ini sesungguhnya telah diwajibkan oleh Allah sebagai pra-syarat kepada sesiapa yang mahu menjadi seorang Muslim. Dan sesungguhnya saya tidak menemui apa-apa yang seumpamanya. Sebaliknya saya menemui ayat-ayat berikut.
63:1 Apabila mereka yang munafik datang kepadamu mereka berkata: Kami bersaksi bahawa sesungguhnya kamu adalah utusan Allah. Dan Tuhan tahu bahawa kamu adalah utusanNya dan Tuhan bersaksi bahawa mereka yang munafik adalah penipu.
63:2 Mereka telah menjadikan sumpah mereka itu sebagai topeng, dengan cara itu mereka menjauhkan jalan Allah. Jahat sungguh apa yang mereka lakukan.
63:3 Itu kerana mereka telah percaya, kemudian tidak percaya. Akibatnya, hati mereka tertutup – mereka tidak faham.
Surah 63 – “Yang Munafik,” memberikan kita gambaran siapakah mereka itu di zaman Nabi. Dan sebagaimana yang kita sama-sama dapat baca melalui tampalan terjemahan di atas, saya fikir ayat pertama surah ini agak memeranjatkan. Ia mendedahkan kepada kita bahawa ungkapan kedua dalam kalimah syahadah iaitu “aku bersaksi Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah” sebenarnya adalah ungkapan orang-orang munafik di zaman Nabi.
Kenyataan Allah dalam 63:1 terlalu jelas untuk kita nafikan.
Soalannya, bagaimana ungkapan orang-orang munafik zaman Nabi boleh menjadi sebahagian dari ungkapan yang diwajibkan ke atas kita? Siapakah yang sebenarnya telah mewajibkannya? Tuhan sudah tentu tidak. Jadi adakah orang-orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah pada hari ini sebenarnya pewaris golongan munafik zaman Nabi?
Jangan kata soalan ini tidak berasas. Saya berpendapat, kita tidak ada pilihan kecuali mendapatkan kepastian mengenainya!
Budaya saintifik Vs kisah-kisah hikayat
Kali ini saya mengajak para pembaca budiman meneliti beberapa ayat awal dari Surah 45, Surah Al-Jatsiyah – maka eloklah kita sama-sama berpesan-pesan tentang kebenaran yang telah sampai kepada kita. Tuhan membuka Surah ini dengan membuat pengisytiharan mengenai status Al-Quran. Sebuah Kitab yang diwahyukan oleh Tuhan yang Terpuji dan Bijaksana.
45:1 Ha Mim
45:2 Wahyu Kitab ini adalah dari Tuhan, Yang Terpuji, Yang Bijaksana.
Kemudian ia diikuti dengan satu pesanan yang cukup ringkas tetapi amat jelas maksudnya – iaitu Tuhan mahu kita menjadi individu atau masyarakat yang menjadikan budaya saintifik sebagai cara hidup. Tuhan kata – jika kita percaya, jika kita yakin dan jika kita faham – semua yang ada di sekeliling kita: isi alam, fenomena alam, segala makhluk termasuklah diri kita sendiri – sebenarnya mengandungi petunjuk-petunjuk Tuhan.
45:3 Apa yang di langit dan di bumi adalah petunjuk-petunjuk kepada mereka yang percaya.
45:4 Dalam dalam penciptaan kamu, dan apa jua makhluk yang Dia adakan adalah petunjuk-petunjuk untuk mereka yang yakin.
45:5 Dan di pertukaran malam dan siang, dan apa yang Tuhan turunkan dari langit sebagai kurnia untuk menyuburkan tanah selepas kematiannya dan perolakan angin – merupakan petunjuk-petunjuk kepada mereka yang faham.
Pendek kata, Tuhan tidak mahu kita menjadi manusia atau umat yang hidup berteraskan kejahilan. Kita tidak boleh mendirikan kepercayaan di atas andaian atau anggapan semata-mata. Ia mestilah mampu disokong dengan bukti-bukti. Melalui 45:3-5, Tuhan maklumkan kepada kita bahawa semua ciptaanNya mengandungi kebenaran Tuhan yang boleh dibuktikan jika kita menyelidik dan mempelajari petunjuk-petunjuknya.
Saya ambil satu contoh.
Entah sejak bila, secara umumnya bangsa manusia telah melalui satu zaman di mana mereka percaya bahawa bumi ini leper. Boleh dikatakan setiap bangsa mempunyai mitos tersendiri berkenaan kepercayaan bumi leper mereka. Ada yang percaya bumi ini berada di atas sebuah pangkin, ada yang percaya ia diletakkan di atas seekor kura-kura, ada pula yang kata bukan kura-kura tetapi gajah. Ada juga yang kata ia terletak di hujung tanduk. Kepada setiap bangsa – mereka mempercayai sifat bumi mereka berdasarkan kepada cerita-cerita hikayat yang telah diwariskan dari generasi ke generasi.
Bagaimanapun hari ini kita tahu – tidak ada satu pun cerita mereka betul. Bumi tidak leper dan tidak terletak di atas pangkin atau kura-kura atau gajah atau tanduk. Tetapi ia bulat seperti bola dan bergerak di dalam orbit sebuah sistem cakerawala yang elegan. Tetapi kepada tindanan generasi yang telah menjadikan cerita-cerita hikayat bangsa mereka sebagai asas kepercayaan, mereka tidak menyedari kesilapan mereka. Bahawa kebenaran yang mereka sangka hanyalah pada anggapan mereka saja. Mereka hidup tanpa berusaha mendapatkan bukti sendiri dan akibatnya mereka mati membawa kepercayaan palsu.
Adakah Tuhan tidak memberikan sebarang petunjuk kepada mereka?
Sebenarnya petunjuk-petunjuk tentang bulatnya bumi ini telah sedia ada untuk sesiapa saja menyelidikinya tanpa mengira zaman. Antaranya – bentuk objek-objek cakerawala berhampiran seperti bulan dan matahari yang bulat. Kejadian gerhana. Perubahan musim. Siang dan malam. Perolakan angin. Pemerhatian terhadap kapal di laut – semua ini adalah petunjuk Tuhan yang boleh membawa kepada kesimpulan bahawa bumi ini bulat. Jika sekarang petunjuk-petunjuk yang sama boleh digunakan untuk membuktikan hakikat itu mengapa hujah yang sama tidak boleh digunapakai dalam masyarakat 2000, 3000, 4000 tahun dulu?
Jawapannya kita semua dah tahu. Kerana majoriti manusia sememangnya cenderung mengambil mudah dan take for granted – menerima cerita-cerita hikayat yang kononnya telah disampaikan oleh golongan manusia yang mereka sifatkan lebih pandai tanpa soal. Jika mereka ada inisiatif untuk minta bukti tentang wujudnya pangkin atau kura-kura atau gajah atau tanduk yang dikatakan menyokong bumi, saya fikir tentu mereka dapat mengesan penipuan dan kepalsuan yang telah disampaikan kepada mereka. Tetapi mereka tidak pernah merasa ingin bertanya. Sebaliknya mereka mewariskan kepalsuan itu kepada anak-anak mereka pula.
Bagaimanapun sekarang kita tidak boleh lagi meneruskan budaya jahil itu kerana Tuhan telah membuka jalan kepada kita untuk menerima Al-Quran. Jika kita kata kita percaya kepada Al-Quran – kita tidak ada pilihan selain membuang budaya hidup berlandaskan cerita-cerita hikayat yang pada hakikatnya hanyalah berteraskan kepada andaian dan anggapan semata-mata. Kita mesti memilih cara hidup yang berteraskan budaya saintifik yang sentiasa menjadikan proses pembuktian sebagai kriteria utama dalam menetapkan sesuatu kepercayaan. Tuhan telah menunjukkan kita jalan ke arah kebenaran jadi tidak ada sebab untuk kita terus menjadi manusia yang bukan saja jahil tetapi turut dilaknat Tuhan.
45:6 Ini adalah wahyu-wahyu Tuhan, Kami membacakannya kepada kamu dengan kebenaran. Jadi dalam hikayat (hadis) yang manakah selepas Tuhan dan wahyu-wahyuNya yang mereka percaya?
45:7 Celakalah kepada setiap pencipta kepalsuan yang penuh dosa.
Sebagai tambahan kepada ayat-ayat 45:1-7, saya fikir ayat berikut juga amat relevan untuk dikepilkan.
6:116 Dan jika kamu ikut majoriti manusia di bumi ini, mereka akan memimpin kamu sesat dari jalan Allah – mereka hanya menuruti andaian dan mereka hanya berdusta.
Baiklah. Mari kita sama-sama perhalusi.
Pendapat kita tanggungjawab kita
Saya mohon kepada sesiapa yang berpendapat saya menyampaikan “ajaran baru” melalui blog ini, janganlah beranggapan begitu. Saya tidak menyampaikan apa-apa ajaran baru. Saya hanya menyampaikan pandangan berkenaan isu-isu berkaitan kepercayaan saya yang berlandaskan cara hidup Islam mengikut perspektif Al-Quran.
Akan ada salah dan silap dalam tafsiran saya. Akan ada pandangan yang boleh diperdebatkan atau mungkin ada yang wajar ditolak terus. Saya tidak boleh anggap pandangan atau tafsiran saya akan sentiasa betul walaupun secara prinsipnya itulah yang saya sentiasa cuba pastikan. Di pihak pembaca, gunakanlah kebijaksanaan masing-masing dalam membuat penilaian.
Jika para pembaca budiman tidak pasti atau tidak bersetuju dengan saya dalam apa-apa hal, tuan/puan boleh memeriksa sendiri apa-apa hujah dan nas-nas yang saya kemukakan. Malah kalau ingin bersetuju pun, bersetujulah selepas membuat pengesahan dengan pengetahuan sendiri. Setiap seorang dari kita bertanggungjawab ke atas pendapat masing-masing. Kita sama-sama suburkan budaya itu di sini.
Siapa saja boleh menawarkan syafaat tetapi syaratnya…
Secara umumnya umat Islam mentafsirkan perkataan syafaat sebagai pertolongan atau favour. Khususnya pertolongan atau favour dari Nabi kepada umatnya. Dan dalam artikel saya sebelum ini yang bertajuk “Tidak ada manusia berhak menjadi pelindung di samping Allah” saya masih berpandangan yang sama dan dari pandangan saya itu saya telah membuat kesimpulan bahawa tidak ada siapa – walaupun Nabi Muhamad – yang boleh memberi pertolongan kepada orang lain di akhirat kelak.
Bagaimanapun selepas para peserta perbincangan mengemukakan beberapa ayat yang berkaitan, saya berasa agak keliru kerana pendapat saya mengenai syafaat rasul itu tidak selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Tuhan melalui ayat-ayatNya. Namun selepas membaca berulang-ulang kali, akhirnya saya dapat membuat kesimpulan bahawa maksud perkataan syafaat yang sebenarnya bukanlah bermaksud pertolongan atau favour.
Sebaliknya ia membawa maksud “pengantaraan”. Pendek kata jika kita dengar orang kata Nabi memberi syafaat, kita perlu mentafsirkannya sebagai Nabi menawarkan pengantaraan – dan bukan Nabi memberi favour atau pertolongan bagi pihak kita.
Mari kita lihat semula beberapa ayat yang berkenaan. Dan selepas saya mentafsirkan perkataan syafaat dengan perkataan pengantaraan, barulah mesej Tuhan menjadi jelas dan mudah.
20:109 Pada hari itu tiada pengantaraan yang bermanfaat kecuali sesiapa yang dibenarkan oleh Tuhan Yang Pemurah dan mereka yang perkataannya Dia restui.
53:26 Dan berapa ramai malaikat di langit yang pengantaraan mereka tidak memberi manfaat langsung kecuali selepas Tuhan memberi kebenaran kepada sesiapa yang Dia restui dan pilih.
2:254 Wahai kamu yang percaya! Berbelanjalah dari apa yang Kami telah berikan kepadamu sebelum hari itu datang di mana tiada tawar menawar, juga tiada sekutu, juga tiada pengantaraan dan mereka yang tidak percaya – merekalah orang-orang yang zalim.
Kefahaman saya kemudian dibantu oleh ayat 21:27-28. Dalam ayat 21:27 Tuhan menggambarkan kepada kita sikap para rasul apabila mereka berhadapan dengan Tuhan. Mereka adalah individu-individu yang takut, hormat dan patuh sepenuhnya kepada Tuhan. Dan dalam 21:28 – barulah satu clue mengenai kebolehan para rasul menawarkan pengantaraan menjadi benar-benar jelas dan muktamad.
21:27 Mereka (para rasul) tidak bercakap sebelum Dia bercakap, dan mereka bertindak hanya dengan perintah Dia.
21:28 Dia tahu apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka, dan mereka tidak menawarkan pengantaraan kecuali kepada mereka yang direstui dan kerana perasaan takut kepadaNya mereka menggigil.
Perhatikan ayat 21:28 yang menyebut para rasul tidak menawarkan pengantaraan KECUALI kepada mereka yang direstui Tuhan. Inilah cluenya. Nampaknya memang benar para rasul memiliki kelebihan untuk menjadi pengantara bagi menolong kepada orang lain – iaitu orang-orang yang Tuhan restui. Tetapi siapakah orang-orang yang direstui Tuhan dan Tuhan benarkan ke atas mereka pertolongan dari rasul-rasul?
Selepas mencari, saya percaya jawapannya ada dalam ayat ini.
4:69 Dan sesiapa yang patuh kepada Allah dan rasul, mereka akan bersama dengan kalangan yang Allah telah anugerahkan dengan pertolongan dari rasul-rasul dan mereka yang berpegang kepada kebenaran dan para syahid dan mereka yang membuat kebaikan. Betapa indahnya gabungan mereka!
Sekarang terlerailah kekeliruan saya.
Ayat 4:69 memberitahu kita dengan jelas siapakah mereka yang Tuhan restui dan layak mendapat pertolongan dari pengantaraan rasul-rasul. Mereka adalah orang-orang yang patuh kepada Allah dan rasul. Bagaimanapun penemuan fakta yang lebih menarik adalah apabila kita turut diberitahu bahawa kelebihan melakukan pengantaraan bukan hanya eksklusif kepada para rasul, tetapi turut boleh dilakukan oleh orang-orang yang berpegang kepada kebenaran dan orang-orang yang syahid dan orang-orang yang membuat kebaikan.
Pendek kata, bukan rasul saja yang boleh menawarkan pengantaraan, tetapi orang-orang dari kelompok yang Tuhan sebut secara khusus itu juga memiliki kelebihan untuk menawarkan pengantaraan. Jika kita renungkan mereka yang dimaksudkan itu semuanya merupakan individu-individu yang mendapat restu Tuhan – maknanya siapa pun yang diterima Tuhan untuk menyertai kelompok manusia terpilih berkenaan sebenarnya mempunyai kemampuan untuk saling tolong menolong dan saling menjadi pengantara di antara satu sama lain. Dan Tuhan menyifatkan gabungan mereka itu sebagai satu gabungan yang indah, hebat, cantik!
Dengan kata lain, saya berpendapat mereka adalah gabungan orang-orang yang berhak menjadi saksi sesama mereka. Iaitu menjadi saksi kepada kebenaran yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan Yang Satu.
3:81 Dan apabila Allah membuat satu perjanjian di antara nabi-nabi: Sesungguhnya apa yang Aku berikan dari Al-Kitab dan kebijaksanaan – kemudian datang kepada kamu seorang rasul mengesahkan apa yang ada pada kamu, kamu mesti percaya kepadanya, dan kamu mesti membantunya. Dia berkata: Adakah kamu setuju dan terima syaratKu mengenai ini? Mereka berkata: Kami setuju. Dia berkata: Oleh itu bersaksilah, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.
3:53 Wahai Tuhan kami! Kami percaya di dalam apa yang telah Engkau wahyukan dan kami menuruti rasul, oleh itu senaraikanlah kami bersama mereka yang menjadi saksi.
2:143 Dan maka kami telah menjadikan kamu umat yang diutamakan yang kamu akan menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi ke atas kamu…
Akhir kata, dengan tersiarnya artikel ini maka saya mengakui pandangan saya dalam artikel yang bertajuk “Tidak ada manusia berhak menjadi pelindung di samping Allah” bahawa Nabi tidak boleh menawarkan pengantaraan untuk orang lain adalah kurang tepat. Sekarang saya percaya bukan saja Nabi Muhamad, bahkan semua rasul lain dan semua individu yang Tuhan telah restui dan beri kebenaran boleh menawarkan pengantaraan di antara di antara satu sama lain. Ini kerana persaksian mereka diterima Allah begitu juga perkataan-perkataan mereka.
20:109 Pada hari itu tiada pengantaraan yang bermanfaat kecuali sesiapa yang dibenarkan oleh Tuhan Yang Pemurah dan mereka yang perkataannya Dia restui.
Bagaimanapun saya masih berpegang kepada kepercayaan bahawa kita tidak boleh mengambil sesiapa pun sebagai pelindung. Untuk melayakkan diri menjadi individu yang diterima persaksian dan percakapan kita di sisi Tuhan, kita tidak boleh menggunakan jalan mudah. Kita tidak boleh menumpang atau meminta perlindungan dari sesiapa. Amalan mengampu Nabi dan menyekutukan beliau dengan Tuhan adalah sia-sia.
21:29 Jika ada sesiapa dari mereka (para rasul) berkata, “aku tuhan di samping Dia”, yang begitu kami akan balas dengan neraka. Begitulah kami membalas mereka yang membuat salah.
Saya harap para pembaca budiman boleh terus bincangkan topik ini melalui perspektif yang baru ini. Sama-sama kita mencari kebenarannya.
Tidak ada manusia berhak menjadi pelindung di samping Allah
Secara umumnya orang Islam percaya bahawa Nabi Muhamad akan memberi syafaat kepada mereka di hari kiamat kelak.
Sebahagian dari kepercayaan tentang syafaat Nabi itu adalah apabila Nabi dikatakan boleh berunding dengan Tuhan supaya membatalkan atau meringankan hukuman terhadap umatnya di akhirat nanti. Orang Islam percaya bahawa sejahat mana pun mereka di dunia ini, di akhirat nanti mereka tidak akan tinggal kekal di dalam neraka. Idea seperti ini tidak disebut di dalam Al-Quran. Tetapi akibat terlalu mempercayainya, umat Islam cenderung mengampu Nabi dan menyekutukan beliau dengan Tuhan di mana dan bila saja ada peluang.
Apa saja yang disandarkan ke atas Nabi sangat mudah diterima oleh masyarakat Islam. Teks-teks yang didakwa sebagai hadis dan sunnah Nabi menjadi rujukan utama mereka. Orang-orang yang menjaja hadis atau sunnah Nabi diberi tempat yang istimewa dalam kepercayaan dan masyarakat. Walaupun mereka sendiri tidak pernah mengenali mana-mana individu yang menjadi penulis asal hadis-hadis atau sunnah-sunnah itu – dan Tuhan juga tidak pernah mengesahkan tentang peranan atau kedudukan mereka – umat Islam tidak peduli.
Akibat kepercayaan membuta-tuli kepada manusia-manusia yang menjanjikan mereka syurga di atas nama Nabi, maka lahirlah pelbagai amalan ritual, sistem perundangan dan hukum-hakam fekah yang hampir semuanya diolah dari hadis dan sunnah. Jika kita periksa di dalam Al-Quran, ritual-ritual yang mereka amalkan bukanlah sesuatu yang Tuhan suruh kita amalkan, undang-undang yang mereka tegakkan seringkali bersifat bersifat cacamarba walaupun dikatakan undang-undang Tuhan, hukum-hakam fekahnya pula menyempitkan minda dan kehidupan umat.
Saya tahu topik ini bakal menggamit kuat sensitiviti para pembaca. Tetapi ia satu topik yang amat penting – yang kita mesti berani hadapi, selidik dan bincangkan supaya kita tidak menjadi di antara mereka yang menjadikan manusia lain sebagai pelindung (menyekutukan Tuhan) – yang akibatnya semua usaha dan amalan kita di dunia ini menjadi sia-sia – dan di akhirat nanti hanya layak menjadi penghuni neraka sebagaimana yang Tuhan nyatakan dalam ayat-ayat ini.
18.102 Adakah mereka yang tidak percaya fikir mereka boleh mengambil hamba-hambaKu sebagai pelindung di samping Aku? Sesungguhnya kami telah menyediakan neraka sebagai hiburan untuk mereka yang tidak percaya.
18.103 Katakan: Patutkah Kami beritahu mereka siapa yang rugi besar dalam amalan mereka?
18.104 “Mereka yang usahanya sia-sia ketika hidup dunia ini, sedangkan mereka fikir mereka mendapat kebaikan dari kerja-kerja mereka.
18.105 Mereka adalah orang-orang yang menafikan Pedoman-Pedoman Tuhan mereka dan hakikat mereka akan menemui Dia – sia-sia sajalah amalan mereka – tidak juga Kami di hari kiamat akan memberi sebarang pertimbangan.
18.106 Itulah ganjaran untuk mereka – neraka – kerana mereka menolak kepercayaan dan mengambil Pedoman-PedomanKu dan rasul-rasulKu sebagai olok-olokan.
Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan memperolok-olokkan Pedoman Tuhan dan rasulNya? Saya berpendapat salah satu daripadanya adalah apabila kita mengambil teks-teks yang ditulis oleh orang lain dan kemudian percaya apa yang mereka tulis itu merupakan pelengkap dan penjelas kepada ayat-ayat Allah atas alasan ia adalah hadis dan sunnah rasulullah.
Kerana – bagaimana jika bukan? Bagaimana jika Nabi tidak pernah sebut apa yang kononnya beliau telah sebut? Bagaimana jika Nabi tidak pernah melakukan apa yang kononnya beliau telah lakukan? Siapa yang akan memikul tanggungjawab untuk menjadi saksi ke atas semua dakwaan mereka? Si polan atas si polan atas si polan? Tak payah mahkamah Tuhan, mahkamah manusia pun pasti tak akan terima persaksian seperti ini! Inilah yang dikatakan olok-olokan.
Selain itu patutkah kita memberi gambaran bahawa Tuhan – Pencipta segala apa yang ada di langit dan di bumi – yang nyata dan yang ghaib – mewahyukan sebuah Kitab yang tidak lengkap, tidak jelas atau tidak boleh difahami oleh makhluk yang menerimanya – iaitu manusia? Tuhan yang bodoh atau hanya manusia yang ada sifat itu?
Saya berpandangan kita patut tanya diri kita sendiri sampai lebam sebelum berasa begitu seronok memperolok-olokkan ayat-ayat Tuhan atas nama rasul. Tuhan wahyukan Al-Quran kerana belas kasihanNya kepada kita. Jadi di mana kewajarannya untuk kita bersifat dangkal dan sombong kepada Tuhan? Sudahkah kita membaca KitabNya? Sudahkah kita membuat penyelidikan untuk memahami KitabNya? Sudahkah kita bertekun dan berpuasa sebagaimana yang Tuhan nasihatkan sebelum kita berkata itu dan ini?
Adakah ilmu Tuhan sempit atau adakah Tuhan tidak cukup kaya dengan perbendaharaan kata untuk menyampaikan sebuah Kitab yang lengkap sehingga kita terpaksa merujuk kepada cerita-cerita turun temurun untuk melengkapkan isikandungannya? Mungkin kita patut renung dalam-dalam mengapa Tuhan menyuruh Nabi berkata seperti berikut.
18.109 Katakan: Jika lautan itu dakwat untuk perkataan-perkataan Tuhanku – ia akan habis berbanding perkataan-perkataan Tuhanku – walaupun jika kamu adakan lagi lautan sepertinya sebagai tambahan.
18.110 Katakan: Aku hanyalah seorang lelaki seperti kamu, tetapi inspirasi itu telah sampai kepada aku – bahawa Tuhanmu adalah Tuhan yang Satu – sesiapa saja yang menjangka untuk bertemu Empunyanya, kerjakanlah amalan-amalan yang benar dan dalam berbakti kepada Tuhan, jangan sertakan sebarang sekutu.
Adakah Tuhan melantik Nabi sebagai sekutuNya? Atau adakah Nabi telah menjadikan dirinya sekutu kepada Tuhan? Tidak bolehkah kita faham nasihat Tuhan dan nasihat Nabi yang ringkas dan mudah itu?
Nampaknya kita ada begitu banyak soalan yang perlukan jawapan.