Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Lebih elegan jika masjid bermaksud “ketetapan yang dipersetujui” dan masjidilharam bermaksud “ketetapan dipersetujui yang direstui”

with 21 comments

Dalam entri yang bertajuk Masjidilharam, masjid, “amal soleh” dan melampaui batas erti yang wajar bagi perkataan “masjid” telah dibincangkan di ruangan komen. Jika pembaca budiman telah mengikuti laman ini sejak beberapa lama tentu sedar bahawa saya telah menterjemahkan perkataan “masjid” sebagai “ketetapan yang direstui” dan “masjidilharam” sebagai “batasan ketetapan yang direstui”. Dan untuk membantu kita sama-sama melihat konsep masjid dan masjidilharam yang dimaksudkan dengan mudah, saya telah kemukakan satu ilustrasi grafik dalam entri di atas.

Saya melihat konsep masjid dan masjidilharam yang saya ilustrasikan itu masih boleh diterima untuk memudahkan kefahaman khususnya bagi mereka yang masih belum tahu bahawa masjid bukanlah merujuk kepada “rumah Tuhan”. Pada dasarnya konsep yang saya telah kemukakan itu tidak salah, sekurang-kurangnya ia tidak akan menyebabkan orang menyekutukan Tuhan. Tetapi ia telah diasaskan melalui tafsiran perkataan yang kurang tepat. Maka walaupun logik tetapi ia tidak cukup elegan. Saya telah menemui kefahaman yang lebih elegan. Dan saya ingin berkongsi kefahaman baru saya dengan para pembaca semua.

Sekarang saya mahu membuat pembetulan tafsiran terhadap perkataan “masjid” dan “masjidilharam”. Saya yakin dan percaya bahawa perkataan masjid wajar ditafsir atau diterjemahkan sebagai “ketetapan yang dipersetujui” dan masjidilharam pula sebagai “ketetapan dipersetujui yang direstui”. Begini;

Perkataan “masjid” merupakan satu derivatif dari perkataan “sajada”. Sajada pada dasarnya bermaksud “setuju”. “Sujud” juga merupakan satu derivatif dari perkataan “sajada’ dan ia bermaksud “mempersetujui” dan bukannya perbuatan menonggengkan diri mencecahkan dahi ke lantai. Bagaimana pula masjid boleh jadi “ketetapan yang dipersetujui’? Dalam hal ini, saya berpendapat Aidid Safar telah memberi satu penjelasan yang baik.

Dan oleh kerana saya tidak ada masa yang cukup untuk menterjemahkan penjelasan Aidid Safar apatah lagi menulis kembali menggunakan kata-kata saya sendiri, maka sesiapa yang mahu membaca penjelasan beliau boleh klik di sini.

Saya harap para pembaca budiman puashati dengan penjelasan Aidid Safar berkenaan perkataan masjid dan mengapa maksudnya wajar begitu. Dan untuk mengetahui bagaimana saya boleh membuat kesimpulan bahawa perkataan “haram” dalam masjidilharam sebagai “yang direstui”, saya salin pandangan yang saya mengenai perkara itu dalam perbincangan saya dengan Tuan Simpang Lawin di entri yang saya sebut di atas.

Saya nampak ada beza di antara perkataan setuju dengan restu. Saya berasakan tafsiran saya yang asal untuk masjidilharam iaitu “ketetapan dipersetujui yang direstui” lebih tepat maksudnya berbanding “batasan ketetapan yang direstui”.

Perkataan masjid memang jelas membawa maksud ketetapan yang dipersetujui. Bagaimanapun perkataan haram apabila ia diterjemahkan sebagai sanctioned tidak semestinya bermaksud sekatan. Sebaliknya sanctioned juga boleh bermaksud direstui.

Di dalam Quran kita dapat melihat 2 jenis masjid atau, ketetapan yang dipersetujui. Pertama, masjid yang direstui Tuhan dan yang kedua, masjid yang tidak direstui. Pada dasarnya memang sangat banyak ketetapan yang dipersetujui atau masjid yang telah sampai kepada kita.

Misalnya, ketetapan-ketetapan dalam agama Hindu ramai yang bersetuju. Ketetapan-ketetapan dalam agama Kristian pun ramai juga setuju. Ketetapan-ketetapan agama orang Arab pun sama – berduyun-duyun orang bersetuju.

Atas hakikat itu maka soalan yang wajar ditanya kepada diri kita sendiri adalah, dalam banyak-banyak ketetapan yang dipersetujui itu yang mana satukah yang direstui Tuhan? Kalau setakat ramai yang setuju tetapi Tuhan tidak “haramkan” atau sanction atau restu, maka tidak wajarlah kita menurutinya.

– Tolokminda

Baiklah, sekarang kita kembali kepada mengapa “sujud” dengan maksud “ketetapan yang dipersetujui” dan masjidilharam dengan maksud “ketetapan dipersetujui yang direstui” lebih elegan berbanding apa yang telah saya kemukakan dalam entri berilustrasi itu. Kuncinya adalah perkataan “haram” dalam “masjidilharam”.

Tuan Simpang Lawin dalam jawapan beliau kepada pendapat yang saya pastekan di atas, tidak bersetuju kerana beliau melihat “haram” bermaksud “sekatan”. Jika ditimbang-teliti pandangan Tuan Simpang Lawin tentang konsep masjid dan masjidilharam tidak berbeza dengan konsep yang saya utarakan melalui ilustrasi grafik itu walaupun menterjemahkan perkataan “haram” sebagai “sekatan”.

Oleh itu samada perkataan yang digunakan “batasan” atau “sekatan”, konsepnya tetap sama dan bagi saya ia kurang elegan berbanding jika perkataan “haram” itu diterjemahkan sebagai “yang direstui”. Setelah menilai dari pelbagai sudut, saya yakin “haram” dalam “masjidilharam” bermaksud “yang direstui”.

Saya melihat apa yang berlaku di sini serupa dengan apa yang berlaku kepada Newton dan Einstein apabila mereka menterjemahkan graviti. Newton menterjemahkan graviti sebagai daya (force) yang dihasilkan oleh sesuatu “badan” yang berjisim. Bagaimanapun Einstein berpendapat graviti bukan disebabkan oleh daya (force) sesuatu “badan” yang berjisim, sebaliknya ia adalah akibat dari lenturan fabrik ruang-waktu yang terhasil dari kewujudan “badan” berkenaan.

Kita semua tahu hari ini konsep graviti Einstein lebih elegan dan pada dasarnya telah menggantikan konsep graviti Newton. Begitupun, konsep graviti Newton tidak dibuang sepenuhnya kerana di sebalik ketidaktepatan terjemahan beliau, matematiknya masih berguna. Jadi apa yang menyebabkan konsep graviti Einstein lebih elegan dan lebih tepat berbanding dengan konsep graviti Newton?

Saya berpendapat petunjuknya terletak di perkataan “daya” atau “force”. Konsep graviti Newton mencadangkan graviti berfungsi kerana wujud “daya” atau “force” yang dikenakan oleh sesuatu “badan” berjisim ke atas “badan” berjisim yang lain. Tetapi konsep graviti Einstein mencadangkan graviti terjadi kerana Tuhan telah merestui satu peraturan – iaitu apabila wujud sesuatu “badan berjisim” di sesuatu lokasi dalam dimensi ruang-waktu, maka fabrik ruang-waktu itu akan melentur atau dengan kata lain, ia memberi ruang.

Melalui prinsip ini, kita dapati tidak ada mana-mana “badan” memiliki hak untuk mengenakan daya (force) kepada “badan” lain. Sebaliknya mereka hanya bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan ke atas satu sama lain dan masing-masing memberi ruang kepada kewujudan masing-masing dan akhirnya lahirlah sebuah sistem yang aman dan teratur – sistem yang kita kenali sebagai alam semesta.

55:5-8 Matahari dan bulan bergerak dengan perkiraan tepat. Dan bintang-bintang dan pokok-pokok semuanya saling bersetuju (yasjudan). Dan langit yang Dia tinggikan ditentukan timbangannya. Supaya kamu tidak melanggar timbangan-timbangan itu.

Bayangkan apa akan jadi kalau pada suatu hari, salah satu elemen yang membentuk alam semesta membuat keputusan untuk tidak lagi bersetuju dengan ketetapan-ketetapan yang telah direstui Tuhan ke atasnya – misalnya, bayangkan elektron berhenti bersifat seperti elektron – sudah tentu apa saja yang selama ini menjadi tulang dan daging kepada kewujudan alam semesta sepertimana yang kita dapat lihat dan nikmati sekarang akan lenyap.

Mungkin ada yang tidak dapat menggarap bagaimana sebuah sistem sehebat dan sekompleks alam semesta yang luasnya tidak terjangkau dek kita menyandarkan kewujudannya hanya di atas komitmen setiap elemen untuk mempersetujui segala ketetapan yang Tuhan telah restu untuk mereka. Tetapi melalui fakta yang kita ketahui, memang itulah hakikatnya. Sungguh menakjubkan!

Baiklah, mungkin para pembaca budiman sudah mula tertanya-tanya bagaimana menterjemahkan “haram” dalam masjidilharam sebagai “yang direstui” lebih elegan berbanding jika ia diterjemahkan sebagai “sekatan” atau “batasan”?

Jawapannya boleh difikirkan melalui kefahaman kita mengenai kewujudan alam semesta serta dari konsep graviti Einstein. Di manakah wujudnya sekatan atau batasan sehingga alam semesta boleh terbentuk? Dan di manakah wujudnya sekatan atau batasan sehingga fabrik ruang-waktu melentur untuk “badan berjisim” yang melaluinya? Tidak ada. Oleh itu bukanlah sekatan atau batasan yang manusia harus cari untuk mencapai keamanan dan keteraturan. Sebaliknya mereka hanya perlu faham dan bersetuju dengan setiap ketetapan yang Tuhan telah restu ke atas mereka dan ke atas yang lain.

Elegan bukan?

Written by tolokminda

July 6, 2011 at 11:58 pm

21 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam TM, nampak gaya usaha kita sudah hampir sampai ke destinasinya. Sebelum ini kita tidak mempunyai peluang untuk membincangkan perkara-perkara seperti ini dan mengkaji mesej Al Quran secara kritikal.

    Tetapi hari ini kita berjaya membuka sikit demi sedikit khazanah yang disembunyikan selama ini. Saya percaya kesemua ini bermula apabila kita mempunyai kecenderungan mencari kebenaran Allah. Dan saya juga percaya Dia akan menguatkan minat kita dan mendorong kita kejalan yang kita pilih.

    Simpang Lawin

    July 7, 2011 at 1:18 am

  2. Salam,
    Saya bersetuju dengan pandangan Tuan, saya berharap kefahaman yang saya perolehi ini direstui Tuhan.

    SeekTruth

    July 7, 2011 at 2:49 am

  3. Salam TM

    Kalau saya tak silap faham selepas mengikuti perbincangan ini, saya rasa TM kena ubah gambarajah yg dikemukan dulu sebab tidak semestinya “ketetapan yg dipersetujui” berada dlm linkungan “ketetapan dipersetujui yang direstui”. Secara logiknya, “ketetapan yg dipersetujui” adalah ciptaan manusia walhal “ketetapan dipersetujui yang direstui” adalah batasan-batasan Allah. Amal soleh pula semestinya berada dlm linkungan “ketetapan dipersetujui yang direstui” kerana kalau ia terkeluar maka bukanlah amal soleh lagi. Oleh itu saya berpendapat, selepas mendapat hikmah AlQuran, hendaklah kita tinggalkan “ketetapan yg dipersetujui” yg berada diluar “ketetapan dipersetujui yang direstui”. Sebagai contoh kasar hadis yg tak konsisten dengan AlQuran hendaklah ditinggalkan, akhirnya hanya AlQuran menjadi rujukan.

    Bagi diri saya yg ingin memudahkan diri saya berhadapan dengan Allah, hanya batasan-batasan Allah yg difahami dengan terang menjadi ikutan saya. Jikalau batasan-batasan itu tak terang ataupun menjadi kemushkilan saya tak pening-pening mengikutnya sebab tidak diberi perhitungan diatas sesuatu yg tidak difahami.

    Kesimpulannya, saya diberi otak, diberi qudrat berusaha mendapatkan kebenaran sejauh mana Allah izinkan. Dimana batasannya terang, saya ikuti, dimana batasannya samar (tak pasti samada ianya betul-betul satu batasan) saya hanya memperakui adanya dlm Quran. Yg paling saya takut ialah batasan pertama yg tidak boleh diampunkan iaitu menduakan Allah dengan diri sendiri, rasul, imam2 dan sebagainya.

    Oleh itu medium tolokminda ini adalah sangat baik untuk memperkembangkan kefahaman mengenai kebenaran yg telah diturunkan (macam gelanggang haji?). Jikalau boleh, hendaklah perbincangan dan kesimpulannya tak terlalu akademik kerana kebenaran Al-Quran yg elegan terletak kepada simplicity rasional bukannya permainan kata-kata, jargon-jargon dan hukum-hakam.

    Hanya pendapat saya. Salam

    one

    July 7, 2011 at 10:38 am

  4. Salam One,

    Seperti yang saya katakan, ilustrasi yang saya kemukakan sebelum ini, masih boleh digunakan sekurang-kurangnya untuk membantu membuka mata mereka yang belum pernah tahu. Bagi sesiapa yang sudah faham, tidak ada masalah untuk mereka menganjak ke kefahaman yang lebih baru, lebih elegan. Saya fikir elok saya biarkan saja semua entri saya sebelum ini, kerana jika saya mahu ubah satu, saya perlu ubah semua. Ia akan memakan masa.

    Jadi mungkin lebih baik saya biarkan saja sekurang-kurangnya ia boleh juga jadi rujukan bagaimana perbincangan dan kefahaman dalam laman ini berkembang. Inikan laman belajar. Ia seperti memahami konsep graviti Newton dan Einstein juga. Oleh kerana kita telah terdedah kepada konsep graviti Einstein yang lebih elegan, tidak semestinya konsep graviti Newton tidak mempunyai sebarang nilai jika difahami.

    Apapun saya setuju dengan tuan bahawa apabila kita sudah faham sesuatu perkara dengan benar, maka perkara yang salah perlu kita tinggalkan. Atau jika kebenaran itu masih belum putus sekalipun, sekurang-kurangnya kita pilihlah dari yang terbaik yang boleh diperolehi.

    Sebab itulah misalnya, saya sentiasa mengemukakan terjemahan ayat-ayat Al-Quran saya sendiri dalam sesuatu perbincangan kerana begitulah yang saya faham tentang ayat-ayat berkenaan selepas membaca dan menelitinya dengan mata kepala saya sendiri. Tetapi jika pada satu masa, saya dapati kefahaman saya itu kurang tepat, maka saya bersedia untuk mengubahnya. Saya rasa begitulah sepatutnya kaedah belajar yang harus kita jadikan pegangan.

    Tentang elegan. Mengapa “ketetapan dipersetujui yang direstui” lebih elegan berbanding “batasan/sekatan ketetapan yang direstui/dipersetujui”? Kerana sepertimana yang saya cuba jelas di atas, ia lebih simple dan rasional. Tidak ada hukum-hakam. Tidak ada sekatan. Tidak ada batasan. Yang perlu ada hanya kefahaman dan persetujuan.

    Tentang jargon dan permainan kata-kata pula, saya minta maaflah kalau bahasa saya bersifat begitu. Ambillah apa yang manis, sepahnya tuan boleh buang.

    tolokminda

    July 7, 2011 at 11:18 am

  5. Salam

    Pada sy ok-ok saja asalkan jangan tolokminda tidak tafsirkan al-Quran seperti begini,

    Klik link untuk lihat, http://indonesian.alisina.org/?p=591

    Jebon

    July 7, 2011 at 12:47 pm

  6. Salam,

    Pada pendapat saya, lebih sesuai jika kita adakan ujikaji mencari maksud “masjid” dan “masjidilharam” dengan lebih terperinci dengan merujuk ayat pertama surah Al-Israq (17).

    Dalam Al-Quran terjemahan bahasa Melayu yang saya rujuk, perkataan “israq” (اسراء) diterjemahkan sebagai “memperjalankan”.

    Aidid Safar berpendapat perkataan (اسراء) bermaksud “captivated” atau “charmed”. Saya berpendapat bahawa kata akar (اسراء) iaitu ASRA bermaksud ‘persona’.

    ASRI pula bermaksud ‘yang persona’- seperti nama seorang bekas mufti.

    ISRAQ pula bermaksud ‘mempersonakan’. Kita semua setuju bahawa hamba Tuhan yang dimaksudkan dalam (17:1) sebenarnya merujuk kepada Nabi Musa.

    Jika “masjidilharam” diterjemahkan sebagai “ketetapan dipersetujui yang direstui” apakah yang membuatkan Nabi Musa terpersona? Apakah “ketetapan dipersetujui yang direstui” antara Nabi Musa dan Tuhan?

    Bagaimana kalau saya gantikan “ketetapan dipersetujui” kepada “persefahaman” atau “masjidilharam” kepada “persefahaman yang direstui”.

    Saya tak bermaksud Nabi Musa mengadakan perbincangan atau tawar-menawar dengan Tuhan. Apa yang saya faham dari kisah Nabi Musa bertemu Tuhan ialah beliau meminta Tuhan menguatkan hatinya dengan menjadikan Harun sebagai pembantunya dan permintaannya itu dimakbulkan Tuhan.

    Kunci pemahaman kita kepada perkataan مسجد dan المسجد الحرام perlu dihuraikan dengan perkataan اسراء dalam konteks (17:1).

    Jika ada sesiapa yang pandai bahasa Arab, sila perbetulkan jika saya silap.

    -Mat Guyver-

    Mat Guyver

    July 7, 2011 at 1:01 pm

  7. Salam MG,

    Saya telah membincangkan ayat 17:1 dan ayat-ayat lain yang berkaitan di https://tolokminda.wordpress.com/2010/01/11/kebergantungan-mutlak-kepada-ulama-mungkin-menyesatkan-kita-terus-ke-neraka/

    Saya harap tuan membaca dan berkongsi pandangan tuan mengenai apa yang telah saya utarakan melalui entri itu.

    tolokminda

    July 7, 2011 at 3:06 pm

  8. Pada sy ok-ok saja asalkan jangan tolokminda tidak tafsirkan al-Quran seperti begini,

    Klik link untuk lihat, http://indonesian.alisina.org/?p=591

    Salam Jebon,

    Argument mengenai suruhan berperang itu sebenarnya boleh dijelaskan melalui ayat-ayat Quran juga. Saya berpendapat orang yang ikhlas mencari kebenaran akan faham apa yang sebenarnya dimaksudkan dalam suruhan berperang jika mereka membaca Al-Quran dengan teliti. Bagaimanapun orang yang tidak percaya tetap tidak akan percaya. Sebagai contoh saya telah cuba melakukan penjelasan dalam hal ini di satu forum yang melibatkan seorang Kristian dan seorang Hindu. Tetapi akhirnya yang mengaku muslim pun masuk campur dan tidak menyokong saya.

    Tuan boleh baca thread berikut
    –> http://mforum1.cari.com.my/viewthread.php?tid=529658&extra=page%3D4&page=1
    dari mula sampai habis. Dan nilailah sendiri. Cilijeruk adalah saya.

    tolokminda

    July 7, 2011 at 5:56 pm

  9. Salam,
    An-Nisa 43
    O you who believe! Approach not As-Salat (commitment) when you are in a drunken state until you know (the meaning) of what you utter, nor when you are in a state of Janaba, (i.e. in a state of sexual impurity and have not yet taken a bath) except when travelling on the road (without enough water, or just passing through a mosque), till you wash your whole body. And if you are ill, or on a journey, or one of you comes after answering the call of nature, or you have been in contact with women (by sexual relations) and you find no water, perform Tayammum with clean earth and rub therewith your faces and hands (Tayammum) . Truly, Allah is Ever Oft-Pardoning, Oft-Forgiving.

    Menurut sahabat,adakah tepat terjemahan di atas?

    Jika masjid adalah ketetapan yg dipersetujui…apakah ketetapan yg dipersetujui dikaitkan dgn janaba( junub( state of being impure= state of containing something unclean,satu keadaan dimana telah berlaku campuran dgn unsur luaran yang tidak dikehendaki).

    Cik Bunge berhasrat mahu meneliti maksud masjid sebagai ketetapan yg dipersetujui dan masjidilharam pula sebagai ketetapan yang dipersetujui dan direstui.

    Tapi kemudian terfikir apa kaitan junub dgn ketetapan yg dipersetujui.

    Junub tu bukankah lebih kurang mandi junub,orang buat bila…. yang tu kan…

    Adakah ini bermakna junub itu bukan seperti yg masyarakat kita faham?

    Jika saya terjemahkan janaba ( impure) sebagai seperti yg telah diterjemahkan dalam kurungan di atas,barulah lebih terang maksud ayat di atas.Kerana bagaimana satu ketetapan boleh dipersetujui jika ada unsur2 yg tidak baik dan tidak diperlukan oleh mana2 unsur( yg terbabit dlm ketetapan itu?) dan jika semua pihak masih bersetuju( sebagai contoh ritual dlm beribadat,tetapi dgn kemasukkan unsur2 luar dan tidak diperlukan dan tidak diperintahkan oleh Allah,maka ianya tidak akan direstui olehNya.

    Ini bermakna dalam melaksanakan commitment kita perlu jelas ketetapan mana yang direstui tuhan sebenarnya.

    Adakah betul pemahaman saya ini mengenai sebahagian ayat di atas?

    Cik Bunge NiaSarah

    August 24, 2011 at 1:45 am

  10. apa akar kata bagi “junub” ? dan apa makna2 yang dapat diperoleh selain kata junub? mungkin kita dapat memilih perkataan yang sesuai dengan konteks ayat, sebelum atau selepas. Dan yang penting, dapatkah ia menjadi petunjuk kepada kita.

    Ai Su La

    August 25, 2011 at 9:54 pm

  11. Salam ASL,

    Thanks! 🙂

    Dengan saranan mencari kata akar jim nun ba bagi junub,Cik Bunge mungkin lah kot…kot…dapat faham maksud Quran 4:43.Cuba yea…

    O you who believe! Approach not As-Salat (commitment) when you are in a drunken state until you know (the meaning) of what you utter, nor when you are in a state of Janaba, (i.e. in a state of sexual impurity and have not yet taken a bath) except when travelling on the road (without enough water, or just passing through a mosque), till you wash your whole body. And if you are ill, or on a journey, or one of you comes after answering the call of nature, or you have been in contact with women (by sexual relations) and you find no water, perform Tayammum with clean earth and rub therewith your faces and hands (Tayammum) . Truly, Allah is Ever Oft-Pardoning, Oft-Forgiving.

    Ini bermakna ayat di atas menerangkan lebih daripada satu hal.

    Pertama mengenai perintah Allah yang mengatakan apabila manusia berada dalam keadaan mabuk,di mana langsung tidak dapat memahami percakapan sendiri apatah lagi utk mengawalnya supaya menjauhi dari melakukan sebarang kerja atau commitment.keadaan mabuk ini dinamakan state of impure.Di mana unsur yang boleh memabukkan manusia ialah spt arak,dadah)

    Dalam keadaan imbalance ini sudah tentu kita sukar melakukan commitment mengikut ketetapan yang dipersetujui dan direstui.Katakan seorang doktor yang beberapa jam sebelum melakukan pembedahan meminum arak berlebihan,berkemungkinan doktor tersebut tidak boleh melakukan pembedahan dgn lancar malahan berkemungkinan besar akan membuat kesalahan dan cuai.

    TAPI saya masib keliru,jikalau mabuk kemudian mandi bolehkah mabuk itu hilang?Dan ada yang mengatakan jika minum arak tidak berlebihan ianya tidak mengganggu sistem kawalan mental fizikal.Memandangkan saya tidak pernah ada pengalaman tersebut,benarkah begitu?Minum segelas tidak memabukkan tapi jika lebih…namun sahabat pernah beritahu,iti tergantung pada kebiasaan seseorang.Katakan tidak pernah minum arak,walau setengah gelas pun pasti mabuk.

    Perintah seterusnya Allah mengajarkan pada manusia utk membersihkan diri mereka selepas melakukan hubungan seks supaya mandi membersihkan diri.Tetapi jika sedang di dalam perjalanan,sakit dan tak boleh terkena air,tidak boleh mandi atau bersuci kerana tiada air…maka kita bolehlah membersihkan badan dgn debu tanah.

    Cuma Cik Bunge kurang pasti ,apakah yang dimaksudkan dengan ” answering the call of nature/ menyahut panggilan alam” adakah ianya bermaksud aktiviti penerokaaan/ research atau nature call seperti yang kita fahami berkaitan kelua masuk tandas itu?

    Teringat cerita seorang ustaz,katanya ada seorang hamba Allah yang mengadu keletihan kerana mandi junub setiap kali buang air.Adakah hamba Allah itu tersilap dalam memahami ayat ini?

    Cik Bunge NiaSarah

    August 28, 2011 at 1:04 am

  12. Salam,

    Saya telah menilai semula tafsiran/terjemahan saya terhadap perkataan masjid/masjidilharam seperti berikut:

    Masjid – yang telah dipersetujui
    Masjidilharam – yang telah dipersetujui yang direstui

    tolokminda

    August 28, 2011 at 1:59 am

  13. Salam TM,

    Bolehkah masjid itu diringkaskan menjadi persetujuan?

    Juang

    August 28, 2011 at 6:53 am

  14. Salam,

    Selalu kita dengar orang kata “mendirikan masjid” kepada mereka yang mahu berkahwin. Perkahwinan adalah persetujuan di antara si lelaki dan si wanita untuk hidup bersama-sama. Maka logiklah jika perkahwinan itu dikatakan “mendirikan masjid” atau dengan maksud lain adalah membina persetujuan.

    Apabila perkahwinan itu didirikan dengan jalan yang direstui Tuhan seperti perlulah dilakukan secara rela, bukannya paksaan dan membayar sejumlah wang kepada si wanita, maka perkahwinan itu akan menjadi “masjidilharam” (persetujuan yang direstui).

    Allah menyuruh kita memandang kepada masjidilharam di mana jua kita berada. Jika semua lelaki dan wanita meletakkan pandangannya hanya pada persetujuan yang direstui (perkahwinan), pastilah masalah zina dapat dibendung. Tetapi oleh kerana erti masjidilharam itu telah ditukar menjadi “kiub batu” di Mekkah, maka tidak hairanlah mengapa Pak Arab dan penjaja agama mereka serta pengikut-pengikut mereka terlibat dengan zina kerana tidak fokus untuk membina persetujuan yang direstui itu.

    Juang

    August 28, 2011 at 7:35 am

  15. Salam Juang,

    Saya berpendapat perkataan al-masjid (seperti dalam al-masjid al-harami) bermaksud “yang telah dipersetujui” kerana jika dilihat ayat-ayat yang disebut perkataan itu ia menunjukkan apa yang telah dipersetujui itu bukan merujuk kepada sesuatu yang bersifat spesifik tetapi ia bersifat umum.

    Jika disebut persetujuan, maknanya ia adalah suatu subjek yang bersifat spesifik.

    Bagaimanapun itu tidak bermakna tidak ada perkataan yang sesuai untuk ditafsir atau diterjemahkan sebagai “persetujuan” di dalam Quran. Saya berpendapat perkataan itu adalah “masajid atau al-masajid.

    Mungkin tuan Juang boleh semak semua ayat yang mengandungi perkataan-perkataan berkenaan dan kongsikan pandangan tuan pula.

    Tolokminda

    August 28, 2011 at 10:47 am

  16. Salam TM,

    Bagaimana jika dikatakan “masajid” itu adalah untuk banyak (iaitu persetujuan-persetujuan) seperti dalam ayat di bawah?:

    22:40 Mereka yang telah dihalau dari rumah mereka secara tidak adil hanya kerana mereka berkata: Pemelihara kami adalah Tuhan. Dan jika tidak kerana Tuhan menghapuskan sebahagian manusia melalui yang lain, pengecualian-pengecualian dan urusan-urusan perniagaan dan jamiman-jaminan (salawatun) dan ketetapan-ketetapan yang dipersetujui di mana nama Tuhan sering disebut di dalamnya tentu tidak berguna. Tuhan akan memberi kemenangan kepada mereka yang menyokongNya. Tuhan Berkuasa, Terhormat

    .

    Lagi satu, boleh tak TM tolong terjemahkan ayat 9:19? Terjemahan yang saya ada tidak memuaskan hati.

    Juang

    August 28, 2011 at 11:33 am

  17. Salam Juang,

    Boleh jadi juga. Sama-samalah kita cari jawapan yang terbaik.

    Kalau saya terjemahkan 9:19 saya akan terjemahkan begini:

    9:19 Sudahkah kamu menyuburkan penyelidikan-penyelidikan dan membangunkan yang telah dipersetujui yang direstui sepertimana sesiapa yang percaya dengan Tuhan dan hari akhir dan berusaha di jalan Tuhan? Tidak mereka sama di sisi Tuhan dan Tuhan tidak memberi petunjuk kepada bangsa orang-orang yang jahat.

    –> AjaAAaltum siqayata alhajji waAAimarata almasjidi alharami kaman amana biAllahi waalyawmi alakhiri wajahada fee sabeeli Allahi la yastawoona AAinda Allahi waAllahu la yahdee alqawma alththalimeena

    Saya berpendapat perkataan “siqayata” yang diberi maksud menyediakan air atau menyirami dalam konteks objeknya iaitu penyelidikan dan pembangunan sesuai ditafsir sebagai “menyuburkan”. Apa pandangan tuan?

    tolokminda

    August 28, 2011 at 11:57 am

  18. Salam TM,

    Terjemahan “siqayata” sebagai menyediakan air itulah yang tidak memuaskan. Saya setuju dengan pendapat TM yang menterjemahkan ia sebagai “menyuburkan”. Jadi ayat tersebut lebih jelas mesejnya iaitu ke arah mengalakkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D). Maknanya orang-orang yang rajin berR&D ini dinilai tinggi oleh Tuhan berbanding orang-orang yang pemalas (membazirkan waktu).

    Bila kita nampak mesej Al Quran ke arah melahirkan masyarakat yang berpengetahuan mendalam dan rajin membuat penyelidikan dan pembangunan, maka sesiapa yang selama ini sudah berada di jalan berR&D akan mudah menerimanya (berita baik bagi mereka). Tetapi kepada yang hidup hanya tahu melepak dan membuang masa dengan amalan/kepercayaan karut marut, sebarang usaha menjelaskan mesej Al Quran adalah beritu buruk bagi mereka.

    Juang

    August 28, 2011 at 1:33 pm

  19. Salam TM,
    Boleh tak sdr terjemah/tafsir ayat-ayat 22:40, 17:107-109.

    terimakasih

    Salam.

    Mr. Mister

    September 22, 2011 at 4:03 pm

  20. Salam MM,

    Saya terjemahkan 22:40 begini,

    22:40 Yang telah dihalau dari tanahair mereka dengan tanpa kebenaran kecuali kerana mereka berkata: Pemelihara kami adalah Tuhan. Jika tidak kerana dibendung Tuhan – manusia – sebahagian mereka melalui sebahagian yang lain, pasti telah dihapuskan pengecualian-pengecualian dan urusan-urusan perniagaan dan jaminan-jaminan dan persetujuan-persetujuan yang disebut di dalamnya sifat-sifat Tuhan yang banyak. Dan pasti disokong Tuhan sesiapa yang menyokongNya. Sesungguhnya Tuhan pasti kuat, perkasa.

    Saya berpendapat ayat ini menjelaskan kepada kita jika tidak kerana Tuhan mengawal atau membendung nafsu jahat manusia melalui hubungan mereka dengan manusia-manusia lain tentulah mereka tidak akan mengambilkira norma-norma kemanusiaan dan ketamadunan seperti menetapkan pengecualian-pengecualian dalam hal-hal tertentu, melakukan proses urusniaga sesama mereka atau menawarkan jaminan-jaminan tertentu dalam pelbagai aspek kehidupan sesama mereka dan juga memberi ruang kepada persetujuan-persetujuan di antara mereka.

    Semua ini membezakan di antara kehidupan manusia dan kehidupan haiwan, misalnya. Haiwan yang menjadi dominan dalam sesuatu kawasan biasanya akan menghalau begitu saja haiwan lain melalui instinctnya. Tetapi manusia perlu menyelesaikan masalah mereka melalui kaedah yang bertamadun sebagaimana yang Tuhan jelaskan melalui 22:40. Sebagai manusia kita tidak boleh bersifat kuku besi, merampas hak orang lain, berniat jahat dan sombong. Kita mesti menimbangkan pengecualian-pengecualian, mendapatkan sesuatu melalui kaedah perniagaan, memberi dan menerima jaminan-jaminan serta berurusan berasaskan persetujuan-persetujuan.

    tolokminda

    September 23, 2011 at 2:15 am

  21. Salam MM,

    Saya terjemahkan 17:107-109 begini,

    17:107 Katakan: Percayalah dengannya atau tidak percaya. Sesungguhnya yang telah diberi pengetahuan dari sebelumnya apabila ia dibacakan kepada mereka, mereka rebah ke muka mereka sebagai orang yang bersetuju.

    17:108 Dan mereka berkata: Sanjungan untuk Pemelihara kami, sememangnya janji Pemelihara kami pasti ditunaikan.

    17:109 Dan mereka rebah ke muka mereka menangis. Dan ia menambahkan mereka tunduk.

    Saya berpendapat ayat di atas dapat membantu kita melihat bahawa perkataan sujud bukan bererti menundukkan muka ke lantai seperti yang kebanyakan kita fahami sekarang. Perkataan “mereka rebah ke muka mereka” menunjukkan satu perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang yang bersetuju (sujaddan) bahawa mesej/isikandungan Al-Quran yang dibacakan kepada mereka adalah sama dengan apa yang telah sampai kepada mereka sebelumnya. “Rebah ke muka” adalah cara mereka mengekpresikan perasaan mereka dalam situasi berkenaan. Ia bukan satu ritual.

    tolokminda

    September 23, 2011 at 2:56 am


Leave a comment