Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Tuhan suruh kita tekun dan sabar mengerjakan komitmen dari pagi sehinggalah waktu tidur

with 23 comments

Kita semua sedia maklum umat Islam majoritinya percaya mereka diwajibkan melakukan ritual solat lima kali sehari. Bagaimanapun ada sebahagian kecil berpendapat mereka hanya diwajibkan melakukannya tiga kali sehari. Kesimpulan mereka (yang percaya wajib solat tiga kali sehari) dirujuk kepada ayat ke 114, Surah Hud.

11:114 “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”. (Klik Rujukan)

Saya percaya ayat ke 114 Surah Hud itu sebenarnya langsung tidak ada kena mengena dengan ritual solat. Sebaliknya melalui ayat itu Tuhan suruh kita tekun melaksanakan komitmen-komitmen seharian kita, iaitu samada komitmen kepada diri sendiri, komitmen kepada keluarga, komitmen kepada kerja (karier), komitmen kepada masyarakat dan 1001 macam komitmen lain. Tidak ada siapa yang lebih tahu apa komitmen kita selain dari diri kita sendiri.

Apa yang penting semua komitmen berkenaan perlu kita tunaikan dalam ruang lingkup kepercayaan, nilai-nilai,  aturan-peraturan, batasan-batasan mahupun kelonggaran-kelonggaran yang telah Tuhan gariskan dalam satu sistem yang lengkap dan bersifat universal. Kepada sesiapa yang percaya, inilah jalan hidup yang telah dipreskripsi oleh Tuhan kepada mereka. Jalan hidup yang lurus ke arah kejayaan di dunia dan akhirat.

Apa yang dimaksudkan dengan dua bahagian siang iaitu pagi dan petang dan sebahagian dari malam yang disebut dalam ayat ke 114, Surah Hud sebenarnya hanya memerlukan common sense untuk mentafsirnya. Ia adalah tempoh produktif yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian seseorang. Maknanya Tuhan suruh kita tunaikan komitmen kita atau dengan kata lain kerja-kerja kita ataupun tanggungjawab-tanggungjawab seharian kita pada waktu siang, iaitu pagi dan petang dan sebahagian dari malam iaitu sebelum kita masuk tidur.

Tanpa Tuhan memberi penjelasan lanjut pun kita dapat melihat betapa benarnya kenyataan ini. Kecuali bagi mereka yang terlibat dalam kerja membabitkan syif malam, secara umumnya manusia sememangnya aktif bekerja (menunaikan komitmen) dari pagi sehingga petang sehingga sebahagian dari malam. Kemudian kita perlu berehat iaitu tidur. Tuhan kata malam adalah masa untuk kita berehat.

6:96 “Dia menerbitkan siang; dan Dia telah menjadikan malam untuk berehat, dan matahari dan bulan  untuk direnungkan; ini adalah penyusunan Yang Berkuasa, Yang Mengetahui”.

Kesimpulannya, ayat ke 114 Surah Hud itu Tuhan menyuruh kita jangan membuang masa dalam kehidupan seharian. Sebaliknya kita harus tekun menunaikan tanggungjawab harian kita dari pagi sehinggalah kita masuk tidur. Tuhan kata jika kita mempunyai komitmen dan kita tekun menunaikannya, ia akan menjauhkan kita dari melakukan kerja-kerja yang mungkar iaitu kerja yang sia-sia, merosakkan atau merugikan.

Ini pun mudah dibuktikan. Lihatlah siapa yang menjadi mat rempit, penagih dadah atau lain-lain golongan manusia gagal, mereka tidak lain adalah orang-orang yang tidak ada komitmen dalam hidup. Mereka tidak komited kepada diri sendiri, mereka tidak komited kepada Tuhan, mereka tidak komited kepada keluarga, mereka tidak komited kepada masyarakat.

Sebagai penutup posting ini, mari kita lihat ayat 112 hingga ayat 115 Surah Hud. Perhatikan ayat 115. Ia menjelaskan apa yang Tuhan perintahkan dalam ayat 114, iaitu perintah yang Tuhan suruh kita tunaikan “pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam”.

Apa yang sebenarnya Tuhan suruh?

Tidak lain adalah membuat kebaikan atau dengan kata lain, melakukan kerja-kerja yang baik. Apa saja kebaikan yang kita lakukan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, kerjaya, masyarakat dan sebagainya merupakan satu komitmen yang Tuhan suruh kita tunaikan setiap hari dari pagi sampailah tiba waktu tidur.

11:112 “Teruskan berada di jalan yang benar seperti yang telah diperintahkan ke atas kamu, sepertimana sesiapa yang telah menyertai kamu, dan jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu lakukan”.

11:113 “Dan jangan kamu cenderung kepada mereka yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api, dan kamu tidak mempunyai pelindung selain Allah, dan kamu tidak akan beroleh pertolongan”.

11:114 “Dan tunaikanlah komitmen-komitmen di dua bahagian siang (pagi dan petang), dan beberapa jam dari malam, sesungguhnya amalan (kerja-kerja) yang baik menjauhkan amalan (kerja-kerja) buruk; ini adalah peringatan kepada mereka yang mahu berfikir”.

11:115 “Dan bersabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan melupakan ganjaran kepada mereka yang membuat kebaikan”.

Written by tolokminda

December 28, 2009 at 7:56 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with

23 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam,

    Saya kurang bersetuju dengan pendapat tuan dalam hal ini. Antara komitmen dan solat adalah dua perkara yang berbeza pada saya. Sudah jelas, Tuhan menyuruh kita melakukan solat pada dua tepi siang dan awal malam. Bukannya pada keseluruhan waktu siang. Kalau komitmen, mungkin kita melakukan sepanjang masa, hatta masa tidur sekalipun.

    Pada saya kita disuruh melakukan solat pada awal pagi(fajar), lewat petang(maghrib sekarang) dan awal malam iaitu sebelum tidur(isyak). Lagipun solat itu mesti dilakukan pada masa yang ditetapkan seperti ayat tuhan,”Sesungguhnya solat adalah satu waktu yang dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin.” (4:103).Dan apabila kita bercakap pasal solat, sudah semestinya ada dia punya tata tertibnya seperti berdiri tunduk dan sujud, lainlah dalam keadaan ketakutan atau sebagainya.

    so, kesimpulan pada saya ialah ayat ini merujuk kepada solat atau dengan lebih tepat lagi ritual solat. Maaf kalau saya silap.

    Penulis

    December 31, 2009 at 4:40 pm

  2. Saya terima yang solat itu termasuk dalam komitmen, tetapi lebih menjurus kepada komitmen mencari ilmu. Ini kerana kalau kita lihat dari kisah Nabi Adam, dia diangkat martabatnya kerana berilmu tinggi berbanding para malaikat. Dan jika kita lihat para Nabi2 lain pun, mereka ada ilmu2 dalam bidang tertentu.

    Sebab itu ada ayat pasal memendekkan waktu solat, iaitu memendekkan waktu kita belajar, mengkaji, bereksperimen atau berlatih sesuatu ilmu.

    Dan jika kita perhatikan waktu solat pula, ia adalah waktu yang terbaik untuk manusia mengkaji sesuatu bidang ilmu yang dia minati. Ini kerana tidak semua manusia bekerja dalam bidang ilmu yang diminati. Jadi, pada waktu malam itu, gunakanlah masa untuk belajar apa jua ilmu yang diminati.

    Apabila masa2 lapang digunakan untuk aktiviti keilmuan, bila masa nak pergi merempit dan buat aktiviti yang berfaedah?

    Saya suka mencari jawapan dengan melihat fitrah kejadian diri kita sebagai manusia. Hanya manusia sahaja yang mempunyai akal yang melayakkan dia mencipta pelbagai teknologi di muka bumi ini. Sudah pasti segala suruhan Allah itu ada kaitannya dengan kemampuan manusia itu.

    Kalau kita lihat amalan solat ritual yang diamalkan oleh rata2 orang Islam, tidak menjurus kepada pembangunan minda. Malah bila ditanya kenapa buat macam itu, mereka sekadar jawapan, “sebab Nabi buat macam itu”. Itu menunjukkan mereka tidak tahu ke mana hala tuju amalan mereka, melainkan atas dasar ikut2an.

    Jadi, pada pendapat saya, solat adalah komitmen untuk membangunkan minda kita, sebab makhluk2 lain tidak berupaya membangunkan minda mereka kerana terbatas.

    Juang

    January 1, 2010 at 3:52 am

  3. Salam Penulis,

    Ya memang Tuhan suruh kita tunaikan komitmen kita sepanjang hari kecuali di waktu tidur kerana semasa tidur diri kita berada di bawah lindungan Tuhan.

    Jika tuan percaya ritual solat adalah perintah yang sahih, itu hak adalah hak tuan.

    tolokminda

    January 1, 2010 at 1:53 pm

  4. Salam Juang,

    Kepada saya mencari ilmu adalah sebahagian dari komitmen kita kepada Tuhan. Komitmen utama kita sebenarnya adalah untuk menjadi khalifah Tuhan yang berjaya. Dan untuk berjaya kita mestilah mencari ilmu. Jadi benarlah mencari ilmu itu wajar menjadi komitmen kita.

    Bagaimanapun selain dari ilmu kita juga perlu patuh kepada nilai dan aturan peraturan yang telah Tuhan tetapkan untuk kita. Inilah yang dimaksudkan dengan jalan hidup yang lurus. Untuk mengetahui nilai dan aturan peraturan ini, Tuhan berikan kita Al-Kitab sebagai rujukan. Ia bolehlah diibaratkan sebagai sebuah manual dari Pencipta kita sendiri.

    Menjalani hidup dalam kerangka Al-Quran adalah satu komitmen kepada kita.

    tolokminda

    January 1, 2010 at 2:01 pm

  5. Dengan menjadikan Al Quran sebagai corak hidup kita, manusia tidak akan berbalah pasal ibadat ritual. Sebab semua orang ada komitmen masing2. Yang penting kena selalu pertingkatkan mutu komitmen masing2 agar hari ini lebih baik daripada semalam.

    Tak wujud sah tak sah dalam ibadat. Tuan punya diri kena nilai komitmen mereka itu sendiri sejauh mana pencapaian untuk diri mereka sendiri.

    Bila semakin ramai faham perkara ini, tidak akan wujud puak2 atau golongan2 atas nama sesuatu ideologi. Tidak wujud manusia yg menurut tanpa berfikir ketetapan2 yang diada2kan oleh golongan esklusif dalam agama.

    Juang

    January 1, 2010 at 4:18 pm

  6. Salam Juang,

    Memang betul. Hidup kita sentiasa di kelilingi komitmen. Kalau kita tidak mempunyai sebarang komitmen maknanya lebih baik kita jangan jadi manusia.

    Kita ada komitmen yang berkaitan diri kita sendiri, keluarga, masyarakat, negara, malah terhadap musuh pun Tuhan gariskan komitmen tertentu kepada kita.

    Apa yang penting, semua komitmen itu perlu kita sandarkan kepada Tuhan. Kita kena laksanakannya di atas landasan-landasan atau sistem yang telah Tuhan tetapkan. Inilah ertinya memurnikan komitmen kita. Seluruh hidup kita adalah semata-mata untuk berbakti kepada Tuhan.

    Tuhan kata, “Ageemussolaatawaatuzzakaa”. Tunaikanlah semua komitmen dan murnikanlah ia.

    Jika kita komited terhadap sesuatu, pastinya kejayaan akan dapat kita capai. Kejayaan itu akan membawa manfaat kepada kita, keluarga kita, masyarakat kita dan dunia secara keseluruhannya. Maka dengan itu barulah matlamat kita sebagai khalifah di atas muka bumi, sebagaimana dihehendaki oleh Allah, tercapai.

    tolokminda

    January 3, 2010 at 10:04 am

  7. Salam,

    Kalau kita renungkan, semua makhluk2 di langit dan di bumi pun komited dengan tugas2 yang Allah telah berikan kepada mereka. Contohnya matahari akan komited untuk memancarkan sinarnya sepanjang hayatnya. Tidak pula matahari tiba2 padam kerana saja2 nak padam. Jadi, jika manusia pun tidak mahu komited kepada peraturan alam ini, baik mereka cari alam semesta lain (kalau adalah).

    Pentingnya komitmen manusia pada peraturan alam adalah agar kehidupan jadi manusia jadi bersistematik (teratur). Bila hidup secara sistematik, kenalah berlandaskan logik. Mana boleh buat ketetapan tak logik ikut hawa nafsu.

    Kalau makhluk2 lain pun takut nak lawan peraturan alam hatta bayang2 kita sendiri pun patuh pada peraturan alam, di mana nilai manusia yang buat peraturan yang tidak logik itu yang menyebabkan kehidupan mereka tidak bersistematik (penuh perpecahan sesama sendiri kerana nak tegakkan ajaran tak logik masing2)?

    Bayangkan sebuah syarikat memiliki para pekerja yang tidak komited dengan tugas masing2 yang syarikat itu sudah aturkan, pasti syarikat itu akan runtuh. Begitulah dengan muka bumi ini, jika penuh dengan manusia yang tiada komitmen dan melakukan di luar peraturan alam, pasti akan merosakkan muka bumi.

    Sebab itu sebelum kerosakan itu merebak, Allah timpakan bencana pada sesuatu kaum agar menjadi peringatkan kepada orang2 di sekeliling tempat itu agar jangan hidup menolak peraturan alam. Buruk padahnya nanti.

    Juang

    January 3, 2010 at 10:38 am

  8. TErdapat dalam satu surah…dimana , jika manusia
    bertanyakan kepada Allah apakah pilihan komitment
    yg.terbaik pilihan Allah.

    (Allah menjawab: Sesunggunya IA memileh komitment
    untuk hidup akhirat.

    Dalam surah lain…Allah meyatakan bahawa ciptaan dunia
    itu adalah banyak kelalaian dan tipu daya.

    Sebelum ini,..Allah telah memberi pelbagai contoh
    kehidupan manusia.Zaman2 kegemilangan,bijak pandai
    dan macam2 komitment.Segalanya adalah bertambah lalai.

    Maka sebab itu Allah kaitkan komitment hidup yg.baik
    adalah dengan adanya ingat Allah melalui konsep
    solat yg.sebenar.Dengan adanya waktu2 solat 5 kali,…manusia akan diputuskan secara wajib demi
    mengelakkan terus lalai.

    Orang putih kata…brek time.Happy hour bersama Allah.
    Samada rela atau mentaati hukum syarak.Soal ia
    kyusuk atau tidak…sekurangnya ia tidak lalai dalam
    komitment kerja dunia.

    Kalau sekadar buat amal baik2 sedangkan hati lalai
    pun tak guna.Orang tak bertuhan pun terdapat yg.
    baik2 amalnya tapi,…hatinya ingat dunia saja.

    Tok Syam

    January 9, 2010 at 1:18 pm

  9. Selain dari manusia rasa letih,penat,mengantuk,sakit,
    malas,bosan,keciwa putus asa,tidak tau….
    apakah yg.dapat menghentikan seketika kerja dunia manusia itu….dalam mengikhlaskan urusan hidupnya
    kpd.Allah.

    Segala sebab diatas,..tidak akan menjadi suatu yg.
    ikhlas kerana ia berhenti bedasarkan asbab2.Jika tak
    penat dan dapat untuk lumayan,…pasti ia akan teruskan
    kerja niaganya sampai terasa penat.

    Tok Syam

    January 9, 2010 at 1:24 pm

  10. Salam Tok Syam,

    Matlamat saya menerbitkan blog ini adalah untuk memahami ayat-ayat Quran sebagaimana ia sepatutnya difahami. Oleh itu apabila saya merujuk kepada sesuatu ayat atau surah, saya akan nyatakan ayat atau surah berkenaan supaya semua orang boleh memeriksanya sendiri.

    Saya harap tuan juga akan mengamalkan kaedah yang sama. Membuat rujukan kepada sesuatu surah atau ayat secara umum tanpa membuat sebarang rujukan spesifik menyebabkan orang lain tidak berpeluang mendapatkan kepastian. Ia tidak adil. Dan tidak adil adalah satu sifat yang tidak harus ada dalam diri seorang Muslim.

    tolokminda

    January 9, 2010 at 1:38 pm

  11. Salam…
    Keterangan dari sudut urusan manusia seharian mengikut
    maksud ayat2 yg.sdr. nyatakan….

    ialah:
    Urusan biasa hidup manusia bermula dari bangun tidur
    sampai tidur…perlulah mengikut garis panduan adab
    dan akhlak yg.betul,dispelin2 yg.diajarkan agar ia
    kelihatan sempurna dan baik.

    Semuanya mendapat hasil baik untuk diri pelakunya dan
    sebaliknya akan berlaku jika tidak ikut.

    Disamping itu Allah kaitkan diantara masa2 yg.dinyatakan itu perlu mendirikan solat.Kerana melalui solat Allah akan membersihkan kesilapan
    yg.dilakukan diantara waktu2 itu.

    Itulah cara manusia menebus kelalaian dan dosa2
    kecil yg.sengaja atau tidak diantara waktu2 itu.

    Kesilapan berkaitan urusan hidup yg.berlaku telah
    nyata akibatnya.Namun kesalahan itu telah bermakna
    lalai dan berbuat kesalahan bertentangan kehendak
    Allah.

    Maka cara Allah mengampunkan kelalaian itu adalah
    dengan solat sebagai syarat,..bukan dengan berkata
    dengan perkataan sahaja.

    Jika demikian,…manusia akan mudah saja minta maaf
    ketelanjuran pada hukum tuhan dengan kata…”Maaf”
    Terdapat juga denda2 lain seperti memberi makan
    fakir miskin,fidyah dan lain2.
    Maka itulah ketetapan yg.tak boleh diubah.

    20;14
    [14]
    “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

    Perlu difahami tentang solat sebelum nabi terima
    perintah solat waktu dan selepas dikurniakan solat
    mengikut waktu.

    Solat sebelumnya hanyalah sebagaimana solat nabi
    ibrahim as.dan nabi2 lain.Yang mana dimaksudkan
    dalam ayat2 11;114 dan lain2 surah.

    Setiap urusan hidup manusia dalam semua keadaan
    waktu hendaklah ingat Allah melalui perbuatan solat.
    Itulah ketetapan yg.tak boleh diubah.

    Kemudian Allah mengajar ingat kepadanya diluar
    solat dengan menyebut nama2nya atau zikir dalam
    apa jua keadaan.

    Tok Syam

    January 9, 2010 at 5:01 pm

  12. Sebab itu solat yg.nabi lakukan adalah atas dasar
    kenal Allah dan kenal dunia.Nabi melakukan solat
    yg.bermacam2 kerana ia faham hikmah dan rahsia solat…

    Perbuatan itu diperhatikan sahabat dan pengikut…
    sedangkan nabi tidak mewajibkan.

    Zaman nabi….pengikut adalah taat dan mengikut apa
    saja amalan nabi.Kerana mereka yakin akan adanya
    rahsia.

    Sebagai contoh anak baginda yg.mengikut cara banyaknya solat nabi.Lalu nabi melarangnya.

    Maka untuk tidak jadi kesusahan umat akhir zaman
    tentang solat yg.sepatutnya dilakukan….di ajarkan
    solat ikut waktu.Selain nya adalah sunat.

    Tok Syam

    January 9, 2010 at 5:11 pm

  13. Salam Tok Syam,

    Keyakinan saya bahwa solat itu bukan ritual sembahyang adalah berdasarkan kepada banyak faktor. Blog ini adalah satu usaha saya menjelaskan faktor-faktor berkenaan dan ia baru saja saya mulakan. Saya akan cuba kupas faktor-faktor lain jika ada kesempatan di masa depan.

    Tuan boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan pendapat saya. Dan tuan dialu-alukan untuk menyampaikan pendapat tuan supaya orang lain boleh membuat penilaian masing-masing.

    tolokminda

    January 10, 2010 at 1:55 am

  14. Salam,

    Ya, dengan membuka blog ini kepada pelbagai pendapat, mudah orang lain nak menilai dan mengikut yang paling baik. Masing2 boleh bawa hujah masing, dan terpulanglah untuk dinilai.

    Pada saya, saya hanya akan mengikut sesuatu yang paling baik yang ada hujah-hujah jelas dan nyata. Maksudnya, yang saya nampak bukti2nya dalam diri saya sendiri dan pada alam semesta ini.

    Contohnya dalam membuktikan Keesaan Allah, Rasulullah bawa bukti yang wujud di alam semesta ini. Rasulullah tidak mengatakan “Allah itu Esa kerana masa Nabi Adam berkata2 dengan Allah dahulu, Nabi Adam nampak Allah itu Esa”.

    Begitulah juga dalam beramal, saya hanya mencari sesuatu yang ada hujah yang kukuh, bukannya bersandarkan kata-kata “sebab para sahabat nampak Nabi buat seperti itu”. Seolah-olah kita beramal kerana manusia, bukan kerana Allah yang tunjuk-ajar.

    Juang

    January 10, 2010 at 5:53 am

  15. Salam…
    Saya juga bermula dengan cara yg.anda lakukan.Mencari
    kebenaran dengan pelbagai cara yg.diajarkan Alquran.

    Kita tidak mampu menterjemahkan bahasa atau nahu yg.
    dituliskan oleh kitab.Tapi kita hanya berserah akan
    kaedah bahasa terjemahan yg.dituliskan oleh ahli
    terjemah.

    Berdasarkan terjemahan bahasa dengan bandingan ayat
    tulisan ARAB,…memang terdapat percanggahan.

    Sebagai contoh….TERJEMAHAN menyebut SOLAT tapi
    dalam ayat Quran tiada atau bermaksud lain.

    Kebanyakan terjemahan memberi satu makna untuk pelbagai maksud.Maka inilah sebabnya kekeliruan
    berlaku dalam memahami.

    Solat selain AMAL SEMBAHYANG RESMI ia juga ada
    bermaksud amal mengingati ALLAH dalam pelbagai jalan
    ibadah.

    Perkatan amal soleh,amal solat,amal kebajikan dan
    macam2 istilah yg.perlu dilihat kembali pada ayat
    asal tulisan ARAB.

    Tok Syam

    January 10, 2010 at 7:52 am

  16. Salam,

    Kalau untuk mengingati Allah, sudah pasti ia tidak perlu dibataskan dengan gerakan badan. Ini kerana mengingati Allah itu terletak pada akal dan dicerna oleh hati.

    Jadi di sini kita nampak hikmah kenapa Al Quran tidak tetapkan pergerakan badan dalam bersolat itu. Dan Al Quran tidak sebut secara nyata, “dalam bersolat, carilah cara perbuatan Nabi”.

    Apakah hikmahnya Allah tidak tetapkan? Supaya Islam itu agama yang lapang dan manusia tidak jadikan amalan mereka untuk berbangga diri atas nama agama Allah. Bayangkan orang yang beramal sebagai pemain bolasepak, mengatakan cara amalan dia sahaja benar. Sudah pasti ia tidak adil kepada orang yang tidak meminati bolasepak. Begitulah dalam beragama, kita jangan sesuka hati buat ketetapan tanpa memikirkan fitrah2 manusia yang berbeza2.

    Selagi kita buat tanpa memahami hikmah, kita hanya buat atas dasar persangkaan sahaja.

    Sedangkan Al Quran suruh kita jangan ikut persangkaan. Maka perlulah kita melakukan sesuatu atas dasar bukti yang jelas dan nyata.

    Sesuatu ketetapan perbuatan itu perlu ada sebab musababnya yang rasional difikirkan. Bukan semudah berkata “kerana para sahabat Nabi nampak Nabi buat macam itu”.

    Sedangkan diharamkan arak itu pun dijelaskan sebab musababnya. Tidak pula Nabi Muhammad berkata, “sebab para sahabat Nabi Isa nampak Nabi Isa tidak minum arak, maka kita pun tak boleh minum arak”. Itu bukan kata2 yang berilmiah.

    Saya mencari jawapan2 berilmiah untuk mengikuti yang paling baik supaya di hadapan Allah nanti senang saya nak menjawab tanpa bersandarkan atas nama sesiapa.

    Sebab itu nak fahami blog saudara TM ini memerlukan saya banyak berfikir kerana ada juga yang berbeza dengan penemuan2 saya selama ini. Namun perbezaan itu bukan alasan untuk saya wujudkan puak2 yang berbangga diri.

    Juang

    January 10, 2010 at 8:14 am

  17. Salam..Juang

    Apakah benar GERAKAN BADAN tiada kaitan dengan ROHANI.
    Saya ingin tau keputusan pemikiran sdr.yg.terakhir.

    Disini akan saya hujahkan pendapat saya…setelah
    nyata sdr.menggunakan sehabis akal fikiran
    memahami sudut hakikat ajaran Allah…sebelum
    menetapkan kenyataan Allah.

    Adalah bahaya menulis kenyataan dari fahaman alquran
    jika tidak memahami HIKMAH sesuatu perumpamaan.

    Ingatlah…bahawa Allah menciptakan setiap apa jua
    berpasang pasang.
    Demikian juga ilmu…terdapat zahir dan batin.

    Tok Syam

    January 11, 2010 at 2:19 am

  18. Salam Tok Syam,

    Saya katakan yang batin itu adalah prinsip, nilai dan kepercayaan kita terhadap sesuatu perkara. Yang zahir pula adalah sikap dan perilaku kita yang dibentuk mengikut acuan prinsip, nilai dan kepercayaan yang kita pegang terhadap perkara-perkara berkenaan.

    tolokminda

    January 11, 2010 at 2:39 am

  19. Salam…..
    Benar…Perinsip adalah dalaman sebagai TERAS PERJALANAN
    HIDUP BERTUHAN.

    Kita telah sedia maklum,..bahawa sifat2 kerohanian
    dalam diri sebagai Allah nyatakan,…disebut sebagai
    NAFSU , AKAL , HATI.

    Ketiga unsur batin ini adalah mempunyai perinsip
    yg.berbeda komitmentnya dan mereka2 lah yg.mengerakkan alat2 sebagai simbol untuk berinteraksi sesama makhluk.

    Sebagai keterangan,…Sifat kesedihan,gembira,marah dan apa jua tidak dapat dibuktikan pada UNSUR ZAT2
    tersebut…melainkan melalui ALAT TUBUH.

    Dalam keadaan terbaik sekali…jika ia tidak melahirkan sifat2 itu.Bermakna ia boleh marah,suka,
    duka,takut,sayang dan sebagainya hanya dalam hati.

    Bukti ZAHIR menguasai ROHANI saya akan jelaskan
    setelah JUANG mengulas pendapat kenyataannya.

    Tok Syam

    January 11, 2010 at 2:52 am

  20. Salam Tok Syam,

    Kerja simbol menyimbol dalam agama ni biasanya kerja orang-orang menyekutukan Tuhan. Seseorang Muslim bergerak di atas landasan fakta.

    tolokminda

    January 11, 2010 at 3:00 am

  21. Salam Tok Syam,

    Saya tidak mengatakan GERAKAN BADAN tiada kaitan dengan ROHANI. Apa yang saya tekankan, tiada ketetapan khusus dalam pergerakan badan untuk mencapai matlamat pada rohani kita.

    Contohnya, untuk capai kesabaran, berapa banyak perbuatan boleh kita lakukan untuk mendidik kesabaran. Ia tidak dihadkan pada satu-satu cara sahaja.

    Oleh kerana banyak perbuatan boleh kita lakukan untuk rohani kita, maka tidak perlu bentuk2 ritual dalam perbuatan kita itu. Lakukanlah seikhlas mungkin bila kita fikirkan perlu untuk rohani kita.

    Kita beramal untuk diri kita sendiri, bukan untuk orang lain sebab kesannya kepada jiwa kita sendiri. Jadi kenapa ditetapkan cara amalan itu untuk orang lain? Belum tentu kalau kita tetapkan sesuatu cara kepada orang lain, mereka akan rasa sama seperti kita rasa.

    Contohnya orang yang meminati bermain muzik, kalau ditetapkan untuk dirinya praktis 5 jam sehari, dia tidak rasa sukar. Tetapi orang yang tidak minat muzik, dan disuruh beramal macam pemain muzik itu, pasti kesannya tidak sama pada jiwanya.

    Jika solat bermaksud mengingati Allah, kenapa ditetapkan gerakan badan sedemikian rupa? Apakah orang2 yang buat pergerakan badan yang lain tidak mampu mengingati Allah? Apa buktinya cara lain itu tidak mencapai maksud mengingati Allah?

    Definasi “mengingati Allah” itu pun manusia berbeza pendapat. Ada manusia anggap mengingati Allah itu setakat mengingat kalimah “Allah”. Tetapi ada manusia nampak dengan rajin mengkaji alam Allah itu pun sudah bermakna mengingati Allah kerana dengan memahami hukum2 yang Dia tetapkan pada alam ini, semakin terasa KehebatanNya.

    Juang

    January 11, 2010 at 1:55 pm

  22. (Salam Tok Syam,

    Kerja simbol menyimbol dalam agama ni biasanya kerja orang-orang menyekutukan Tuhan. Seseorang Muslim bergerak di atas landasan fakta.)

    Salam,
    boleh tuan huraiankan lagi mengapa simbol menyimbol itu kerja org yg menyengutukan Tuhan? Ade x ayat2 Quran yg boleh dikaitkan dengan perilaku ini.

    Usaha

    November 2, 2010 at 8:36 am

  23. Salam,

    “Usaha: boleh tuan huraiankan lagi mengapa simbol menyimbol itu kerja org yg menyengutukan Tuhan? Ade x ayat2 Quran yg boleh dikaitkan dengan perilaku ini.”

    Ada manusia jadikan patung sebagai simbol ketuhanan (kisah kaum Nabi Ibrahim). Itu bukan kerja orang yang menyekutukan Allah?

    Ada manusia jadikan Uzair atau Al Masih sebagai simbol ketuhanan (kisah Yahudi dan Nasrani). Itu bukan kerja orang yang menyekutukan Allah?

    Juang

    November 22, 2010 at 8:48 pm


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: