Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for February 2011

Apa yang berlaku apabila kita mati

with 131 comments

Kali ini saya ingin berkongsi kefahaman saya mengenai kematian selepas memikirkannya melalui petunjuk Al-Quran. Sebelum ini saya pernah menulis tentang ritual kematian dan kubur. Ia boleh dibaca di sini. Jadi, apakah yang sebenarnya berlaku apabila kita mati? Adakah akan berlaku perkara-perkara sepertimana yang digambarkan oleh para ustaz misalnya?

Benarkah roh kita akan dikembalikan ke jasad sebaik saja orang terakhir meninggalkan kubur kita sejauh 7 langkah? Adakah kita akan didatangi malaikat yang bernama Munkar dan Nankir? Adakah kubur kita akan berubah menjadi ruang yang selesa jika kita seorang yang baik? Atau adakah kita akan dipukul dan kubur kita akan disempitkan jika kita seorang yang jahat?

Selepas memikirkan tentang mati menurut petunjuk yang ada di dalam Al-Quran, saya berasa yakin dan tenteram mengenainya. Jika para pembaca budiman ingin tahu apakah yang berlaku apabila kita mati, saya berpendapat caranya mudah saja. Bayangkan tidur. Pada pendapat saya itulah sebenarnya yang akan kita lalui. Blank. Shut off. Total black out. Bagaimana keadaannya apabila kita tidur atau malah sewaktu kita belum lahir, begitulah juga keadaannya apabila kita mati. Tidak ada apa-apa!

Petunjuk bahawa keadaan mati adalah sama dengan keadaan di waktu tidur boleh difahami dari ayat berikut.

39:42  Tuhan mengambil jiwa-jiwa apabila tiba masa kematian mereka dan juga mereka yang belum mati semasa mereka tidur. Justeru Dia menahan mereka yang telah ditetapkan kematiannya dan mengembalikan yang lain sehingga tiba waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda kepada mereka yang memikirkannya.

Saya berpendapat tidak ada bezanya keadaan jiwa ketika diambil Tuhan apabila seseorang itu mati atau tidur. Perbezaan hanya berlaku di peringkat badan. Badan fizikal mereka yang mati akan berhenti berfungsi sedangkan badan fizikal mereka yang tidur terus berfungsi seperti biasa walaupun buat sementara waktu jiwa mereka tiada di situ. Maka apabila jiwa mereka yang tidur itu dikembalikan, mereka akan mendapat kembali kesedaran dan kesinambungan hidup diteruskan.

Ini bermakna kesedaran memanifestasikan kehidupan. Sewaktu tidur kita tidak memiliki kesedaran. Dan melalui petunjuk 39:42, saya percaya keadaan yang sama berlaku apabila kita mati. Dalam kedua-dua keadaan, dunia tiga dimensi tidak wujud. Dengan kata lain, dimensi ruang-waktu tidak memberi sebarang impresi kepada mereka. Jiwa yang sedang tidur atau mati tidak tahu samada dia telah melaluinya selama 10 minit atau 10 jam. Malah kalau 10 juta tahun atau 10 billion tahun pun tempohnya, ia tetap tidak memberi sebarang makna.

Tuhan ada menggambarkan keadaan ini melalui reaksi sekumpulan lelaki yang dibangkitkan semula oleh Tuhan selepas tidur di dalam sebuah gua selama beratus tahun.

18:19  Begitulah, Kami bangkitkan mereka supaya mereka tertanya-tanya di antara satu sama lain. Kata seorang dari mereka: Berapa lama kita telah berada di sini? Mereka berkata: Kita mungkin telah berada di sini selama sehari atau kurang dari sehari. Berkata: Pemeliharamu lebih tahu berapa lama kamu telah berada di sini. Sekarang suruhlah seorang dari kamu dengan syiling yang kamu miliki ke bandar, supaya dia mendapatkan makanan yang elok dan membawa bekalan untuk kamu. Dan suruh dia berhati-hati dan jangan beritahu sesiapa tentang kamu.

Pendek kata, kesedaran memerlukan jiwa digabungkan dengan badan fizikalnya. Dan dengan adanya kesedaran barulah dimensi ruang-waktu memberi impresi dan nilai yang kita panggil realiti.

Apabila kita faham konsep tidur/mati yang sebenar, maka kita akan faham hakikat kehidupan dan kematian dengan mudah. Dalam perspektif setiap jiwa manusia yang Tuhan beri peluang hidup di dunia ini secara silih berganti sejak generasi pertama sehinggalah ke generasi terakhir – sebelum tibanya kiamat – satu-satunya pengalaman hidup yang akan dikenali dan dilalui oleh seseorang hanyalah hidupnya yang bermula dari saat dilahirkan sehinggalah saat dia dimatikan. Itulah realiti baginya. Itulah tempoh kewujudan yang mempunyai makna kepadanya.

Selain tempoh berkenaan setiap jiwa, tidak mempunyai kesedaran terhadap sebarang bentuk kehidupan atau kewujudan lain sehinggalah apabila mereka dibangkitkan kembali di akhirat nanti – di mana pada ketika itu jiwa dikembalikan semula kepada badan fizikalnya. Sebab itulah menurut Tuhan, kita akan mendengar dialog seperti ini dalam kesibukan kebangkitan semula di akhirat nanti.

36:52  Celakalah ke atas kami! Siapakah yang telah membangkitkan kami dari tempat tidur? Inilah yang telah dijanjikan oleh Yang Pemurah dan para rasul telah berkata benar.

Saya bina satu analogi melalui satu watak yang saya namakan Abdullah.

Jika Abdullah lahir di kalangan generasi pertama manusia dan dia mati pada umur 50 tahun, apabila dia dibangkitkan semula oleh Tuhan selepas kiamat nanti, dia sebenarnya tidak akan berasa yang dia telah menunggu lebih lama berbanding dengan orang lain yang lebih kemudian – misalnya berbanding dengan orang yang lahir 100 tahun sebelum kiamat. Walaupun pada skala masa yang diukur oleh mereka yang sedang melalui realiti kehidupan di dunia Abdullah mungkin telah mati selama sejuta tahun, tapi kepada jiwa Abdullah realiti itu tidak wujud.

Malahan jika pada skala masa mereka yang hidup kiamat berlaku 10 billion tahun selepas Abdullah mati sekalipun, apabila dia dibangkitkan semula bersama-sama seluruh manusia lain di akhirat, Abdullah sebenarnya tetap akan merasakan bahawa dia baru saja dibangkitkan dari tidur sebagaimana orang lain – hatta jika dibandingkan dengan mereka yang baru mati akibat trauma kiamat itu sendiri.

Begitu juga sebaliknya jika Abdullah adalah orang yang lahir 100 tahun sebelum kiamat. Dia juga tidak akan berasa telah menunggu lama sebelum dilahirkan walaupun jarak masa di antara dia dengan anak-anak generasi pertama manusia adalah 10 billion tahun. Ini kerana di sepanjang tempoh Abdullah belum dilahirkan, Tuhan tidak memberinya sebarang kesedaran – iaitu keadaan yang sama apabila kita tidur ataupun mati.

Sebagai kesimpulan, sekarang kita nampak bahawa sesungguhnya setiap manusia tidak mempunyai kesedaran di kedua-dua sisi kehidupan mereka di dunia samada sebelumnya atau sebaik saja mati. Kepada setiap orang yang tiba-tiba merasai hidup pasti akan merasai mati dan apabila tiba-tiba sedar kembali mereka sudah pun berada di akhirat. Oleh itu jarak masa di antara setiap orang dengan pengadilan Tuhan sebenarnya amatlah dekat walaupun pada perspektif mereka yang telah hidup jauh lebih awal dari kita.

Dengan ertikata lain, kebangkitan semula di akhirat akan dirasai oleh setiap orang sebagai “effectively immediately” selepas kematian mereka. Berikut adalah laluan perjalanan kehidupan setiap jiwa manusia secara ringkas.

2:28 Bagaimana kamu boleh tidak percaya kepada Tuhan sedangkan kamu telah mati (Mati 1) kemudian Dia menghidupkan (Hidup 1) kamu kemudian Dia matikan (Mati 2) kamu kemudian Dia menghidupkan kamu kemudian kepadaNya kamu akan kembali (Hidup 2).

Mati 1 : Kematian pertama – sebelum lahir
Hidup 1 : Kehidupan pertama – lahir ke dunia
Mati 2 : Kematian kedua – akhir usia kehidupan dunia
Hidup 2 : Kehidupan kedua – dibangkitkan di akhirat/kembali kepada Allah dan hidup berkekalan

Written by tolokminda

February 19, 2011 at 12:52 am

Posted in Kehidupan Harian, Quran

Tagged with , ,

Ibrahim memurnikan kepercayaan kepada Tuhan

with 2 comments

Saya ada menulis tentang Nabi Ibrahim sebelum ini. Tentang mengapa beliau Tuhan jadikan contoh untuk seluruh manusia. Bagaimanapun tidak sehingga masa terdekat ini saya memahami apakah pencapaian sebenar Ibrahim. Sekarang saya berasa semakin jelas tentang Ibrahim dan apakah pencapaian-pencapaian beliau dalam hidup sehingga beliau layak mencapai status yang begitu tinggi.

Salah satu pencapaian Ibrahim adalah beliau memurnikan kepercayaanNya kepada Tuhan. Jika kita mahu memurnikan kepercayaan kepada Tuhan, contohilah Ibrahim.

Tuhan telah menetapkan supaya manusia memurnikan kepercayaan mereka kepadaNya. Bagaimana mereka boleh memurnikan, Tuhan menjelaskannya kepada kita di dalam Al-Quran. Berikut adalah penjelasan Tuhan mengenainya.

18:51. Aku tidak menjadikan mereka saksi kepada ciptaan yang ada di langit dan di bumi. Tidak juga saksi kepada ciptaan mereka sendiri dan tidak juga Aku mengambil mereka yang sesat sebagai pembantu.

Dari ayat di atas, saya membuat kesimpulan bahawa:-

  1. Tuhan tidak mahu manusia memberhalakan ciptaanNya yang ada di langit mahupun di bumi – misalnya bulan, bintang, matahari, gunung, bukit, pokok dan sebagainya.
  2. Tuhan tidak mahu manusia memberhalakan ciptaan mereka sendiri – misalnya patung, bangunan, mesin dan sebagainya.
  3. Dan Tuhan tidak mengambil sesiapa yang sesat sebagai pembantu.

Sekarang kita dapat lihat kaitan Ibrahim dengan ayat di atas. Walaupun beliau lahir dan hidup di tengah-tengah masyarakat yang serba sesat, Ibrahim mampu menonjol sebagai seorang yang berjaya memurnikan kepercayaannya kepada Tuhan mengikut standard yang Tuhan telah tetapkan.

Kejayaan beliau mengelak dari memberhalakan ciptaan Tuhan ada direkodkan di dalam Al-Quran.

6:76 Apabila malam menyelubunginya, Dia melihat sebuah bintang. Dia berkata: Inilah Pemeliharaku. Tetapi apabila ia hilang, dia berkata: Aku tidak suka apa yang boleh hilang.

6:77 Apabila dia melihat bulan terbit, dia berkata: Inilah Pemeliharaku. Tetapi apabila ia hilang dia berkata: Jika Pemeliharaku tidak memberiku petunjuk, tentu aku akan termasuk dari kalangan mereka yang sesat.

6:78 Apabila dia melihat keindahan matahari terbit, dia berkata: Inilah Tuhanku, inilah yang paling hebat. Tetapi apabila matahari terbenam dia berkata, Wahai kaumku! Aku sesungguhnya berlepas diri dari menyekutukan Tuhan seperti kamu.

Begitu juga kejayaan Ibrahim mengelak dari memberhalakan ciptaan manusia juga direkodkan. Berikut adalah dialog Ibrahim dengan kaumnya selepas beliau memusnahkan patung-patung yang mereka jadikan berhala.

21:66 Dia berkata: Kamu mengabdi di samping Tuhan sesuatu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kamu dan tidak juga mendatangkan mudarat?

21:67 Aku jijik dengan kamu dan apa yang kamu abdikan di samping Tuhan! Tidakkah kamu mempunyai akal?

Dan kejayaan Ibrahim melepaskan diri dari pengaruh orang-orang yang meletakkan diri mereka sebagai pembantu Tuhan – yang mana walaupun mereka dihormati mengikut standard masyarakatnya  – biarpun antara orang itu adalah bapanya sendiri. Ibrahim tidak ragu-ragu untuk melontarkan ketidakpercayaannya kepada mereka. Ini juga direkodkan di dalam Al-Quran.

21:52 Apabila dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Patung-patung apakah ini yang kamu sembah?

21:53 Mereka berkata: Kami dapati bapa-bapa kami menyembah mereka.

21:54 Dia berkata: Kamu dan bapa-bapa kamu sesungguhnya telah sesat.

21:55 Mereka berkata: Adakah kamu datang kepada kami dengan sesuatu yang benar atau kamu cuma main-main?

21:56 Dia berkata: Tidak, Pemelihara kamu yang sebenar adalah Pemelihara apa yang di langit dan di bumi, Yang Satu yang telah mencipta mereka. Aku bersaksi seperti itu.

Begitulah Ibrahim – contoh yang Tuhan paparkan bagi sesiapa saja yang ingin tahu bagaimana carannya untuk memurnikan kepercayaan kepada Tuhan Yang Satu.

Written by tolokminda

February 11, 2011 at 6:10 pm

Posted in Nabi | Rasul

Tagged with ,

Tolokminda marah Kassim Ahmad

with 34 comments

Saya tertarik dengan artikel Kassim Ahmad yang bertajuk “Tragedi Bernama Islam” di blognya. Dan saya telah mengambil bahagian dalam perbincangan di ruangan komen. Tidak ada niat buruk, kecuali mahu berkongsi pandangan saya dengan beliau mahupun orang lain. Bagaimanapun komen-komen saya kelihatan mengundang keresahan kepada beberapa peserta dan Kassim Ahmad sendiri.

Apabila komen akhir saya tidak disiarkan oleh Kassim Ahmad, saya menulis email kepada beliau bertanyakan mengapa berlaku begitu sambil saya meminta beliau emailkan kepada saya komen yang telah saya hantar. Sebenarnya saya telah menulis komen yang agak panjang lebar yang disandarkan kepada ayat 5:41. Saya telah mengambil masa untuk menulisnya tetapi saya tidak membuat salinan.

Apa yang telah saya telah tulis mungkin boleh saya gunakan sebagai rujukan di masa lain atau mungkin boleh saya sunting untuk menjadi entry di blog ini pada masa depan. Apabila ia tidak disiarkan saya kehilangan hasil kerja saya itu. Bagaimanapun saya cuma beritahu Kassim Ahmad saya perlukan komen saya semula untuk melihat kemungkinan ia telah menyinggung beliau.

Ini email saya itu.

Saya tidak marah beliau pun. Paling lebih saya minta beliau jelaskan saja. Apa-apa pun – blognya, haknya.

Tetapi apabila saya layari blog beliau, saya dapati beliau telah menulis di ruangan komen yang mengatakan saya telah memarahi beliau melalui email. Ini komennya.

Dan ini pula email jawapan beliau yang beliau katakan dalam komennya itu.

Saya agak terkejut membaca komen Kassim Ahmad yang kononnya saya telah memarahi beliau melalui email kerana tidak menyiarkan komen. Ia sungguh tidak adil kerana tidak ada sesiapa pun tahu tentang komen saya itu kecuali beliau. Dan tidak ada siapa juga tahu apa yang telah saya tulis di dalam komen itu kecuali beliau. Jadi apa perlunya cerita pasal email saya marah beliau tak siar komen itu?

Saya fikir saya telah melakukan yang betul apabila memilih menggunakan saluran email untuk bertanya apa yang berlaku. Email saluran peribadi. Tetapi apabila beliau mewar-warkan kononnya saya telah marah beliau di ruangan komen terbuka di blognya – yang beliau sendiri tahu saya tidak mungkin akan mendapat peluang membela diri di situ – tidak kenalah. Tidak adil dan tidak profesional. Tidak sesuailah dengan status diri beliau sebagai “Malaysia’s foremost thinker and philosopher”.

Jadi saya balas email beliau begini.

Yang kemudian beliau jawab begini.

Saya bukan mahu bertelagah dengan sesiapa. Tetapi entry ini adalah satu-satunya cara yang saya ada untuk mengemukakan cerita di pihak saya. Saya berpendapat penyiaran email-email berkenaan adalah wajar dan adil bagi kedua-dua pihak. Salam.

Written by tolokminda

February 10, 2011 at 5:13 pm

Posted in Isu Semasa

Tagged with

Sains atau agama?

with 3 comments

Jika kita fahami mesej Al-Quran betul-betul, sebenarnya Tuhan mahu manusia hidup sebagai saintis dan bukannya mendapatkan status sebagai sekutu Tuhan dan kemudian mengajak pula manusia lain mempersekutukan Dia dengan bermacam-macam benda.

Untuk kita mulakan kefahaman ini, saya ingin mengajak para pembaca budiman kembali membincangkan ayat-ayat 2:31-34. Sebelum ini saya telah bincangkan perihal ayat-ayat yang sama di sini. Baiklah. Mari kita perhatikan semula perkara pertama yang Tuhan ajar kepada Adam:

2:31 Dan Dia mengajar Adam sifat semua benda; kemudian Dia membawanya ke hadapan para malaikat dan berkata: “Beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

2:32 Mereka berkata: Pujian kepada Engkau, kami langsung tidak mempunyai pengetahuan seperti itu kecuali apa yang Engkau telah ajar kepada kami: Sesungguhnya Engkaulah yang sempurna dengan pengetahuan dan bijak.

2:33 Dia berkata: Wahai Adam! Beritahu mereka (para malaikat) sifat-sifat mereka (benda-benda). “Apabila dia sudah memberitahu mereka, Tuhan berkata: Tidakkah Aku telah memberitahu kamu bahawa Aku mengetahui rahsia-rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?

2:34 Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat: Bersetujulah kepada Adam dan mereka bersetuju tetapi tidak Iblis. Dia menolak dan sombong. Dia adalah dari kalangan yang kafir.

Dari kisah pengkomisyenan Adam di hadapan para malaikat yang diceritakan Tuhan dalam ayat-ayat di atas, kita mendapat tahu bahawa pelajaran pertama yang diajar oleh Tuhan kepada manusia adalah sifat benda-benda.

Sebenarnya sampai hari ini pelajaran kita itu belum habis. Kita masih mempelajari sifat benda-benda. Tuhan masih mengajar manusia perkara yang diajarkan kepada Adam dulu. Mungkin bezanya melalui kaedah saja. Kalau dulu Tuhan mengajar Adam secara terus, hari ini kita belajar menggunakan kaedah yang dikenali sebagai sains. Terus atau sains – siapakah yang mengajar manusia kalau bukan Tuhan?

Dan itulah latar sebenar antara mesej utama yang Tuhan sampaikan kepada kita melalui Al-Quran – iaitu supaya kita tidak meninggalkan ajaran pertamaNya. Supaya kita terus mempelajari sifat benda-benda kerana hanya melalui pengetahuan itulah kita dapat membangunkan pelbagai manfaat dari kurniaan Tuhan yang tidak terhitung baik yang berada di langit mahupun di bumi.

Itulah jalan hidup yang sebenarnya. Jalan kemakmuran. Jalan yang selamat dan aman untuk seluruh umat manusia. Di dunia mereka akan dapat menikmatinya dan di akhirat mereka bakal dibalas dengan kebaikan yang berganda-ganda.

Sebab itulah juga di sebaliknya, Tuhan larang kita ikut mereka yang mengajak percaya kepada ajaran-ajaran palsu yang tidak bersandar kepada sunnah Tuhan. Mengerjakan amalan-amalan dari kepercayaan seperti itu bukan saja tidak mendatangkan faedah tetapi ia juga tidak sebarang membawa mudarat kalau tidak dilakukan.

Pendek kata, semua itu kerja buang masa. Lebih buruk lagi kepercayaan dan amalan seperti itu biasanya menjadi menarik kerana ia dihiasi dengan unsur-unsur penyekutuan kepada Tuhan. Langsung Tuhan laknat dan bakal menjadi penghuni neraka yang kekal abadi. Sudahlah hidup di dunia susah, di akhirat pula cuma layak jadi bahan api neraka saja. Teruknya!

Jadi, mahu belajar sains atau agama?

Written by tolokminda

February 8, 2011 at 10:52 pm

Posted in Agama

Tagged with