Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for December 2009

Keperluan menjaga tatasusila dan kesopanan dalam sesebuah keluarga

with 8 comments

Satu lagi ayat yang menjadi dalil ulama untuk mengukuhkan dakwaan mereka tentang waktu solat adalah ayat ke 58, Surah An-Nur. Ayat ini dikatakan menyebut tentang sembahyang Subuh dan sembahyang Ishak.

24:58 “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (Rujukan di sini)

Bagaimanapun jika kita periksa maksud ayat berkenaan, Tuhan sebenarnya tidak merujuk kepada mana-mana waktu solat. Ayat ini menggariskan salah satu disiplin yang perlu kita amalkan dalam konteks tatasusila dan kesopanan di antara ahli keluarga. Disiplin ini menetapkan anak-anak atau sesiapa saja ahli keluarga supaya meminta kebenaran sebelum berinteraksi dengan kita dalam tiga waktu yang khusus. Selain dari tiga waktu ini, anak-anak kita atau ahli keluarga kita boleh berinteraksi dengan bebas tanpa perlu meminta kebenaran.

Mari kita lihat terjemahan ayat 24:58 seringkas maksud yang asal tanpa melibatkan sebarang konotasi berkaitan ritual solat.

24:58 “Wahai orang-orang yang percaya, hendaklah sesiapa yang berada di bawah tanggungan kamu dan yang belum baligh di kalangan kamu, meminta izin kepada kamu dalam tiga situasi: sebelum melakukan komitmen di waktu pagi, ketika kamu menanggalkan pakaian di tengah hari yang panas dan selepas selesai menunaikan komitmen di waktu malam; inilah tiga waktu privasi bagi kamu. Selain dari tiga waktu ini tidak ada kesalahan bagi kamu berinteraksi di antara satu sama lain. Demikianlah Allah menjelaskan wahyu-Nya. Dan Allah Mengetahui, Bijaksana”.

Dari Ayat di atas, ahli keluarga kita perlu menghormati waktu-waktu privasi yang telah Tuhan tetapkan kepada kita iaitu;

Waktu yang pertama: sebelum kita memulakan sebarang komitmen di waktu pagi. Dengan kata lain, sebelum kita keluar dari bilik tidur bagi memulakan sebarang tugas atau kerja.

Waktu yang kedua:  pada waktu rehat tengah hari di mana kita mungkin perlu membuka pakaian untuk menyelesakan diri, berehat atau tidur ketika waktu rehat sebelum menyambung kerja iaitu melaksanakan komitmen di sebelah petang.

Waktu yang ketiga:  apabila tiba waktu tidur iaitu selepas kita selesai menunaikan semua bentuk komitmen yang perlu diselesaikan pada malam itu, yang mungkin termasuk juga melayan atau mengajar anak-anak.

Melihat kepada tiga waktu privasi yang dikhususkan oleh Tuhan itu, dalam konteks kehidupan harian, ketiga-tiganya bolehlah kita simpulkan sebagai waktu di mana kita berada di bilik dalam keadaan yang tidak lengkap berpakaian atau tidak sopan atau kita menggunakan waktu itu untuk bersama pasangan dan oleh yang demikian, tidak sesuai jika dilihat oleh anak-anak atau sesiapa saja selain dari pasangan kita, isteri atau suami. Meminta kebenaran bermakna, anak-anak atau ahli keluarga kita perlu mengetuk pintu atau bertanya terlebih dulu dan tidak terus masuk ke dalam bilik sebelum kita memberi kebenaran.

Jika kita ikut kata para ulama yang mentafsirkan perkataan “salati” dalam ayat di atas sebagai solat ritual maknanya anak-anak atau ahli keluarga kita terpaksa meminta kebenaran jika mahu bersama kita sebelum kita solat Subuh dan selepas solat Isyak. Tidak mungkin ianya bermaksud sedemikian. Apa kaitan di antara ahli keluarga kita dengan keadaan kita sebelum solat Subuh atau selepas solat Ishak?

Melalui ayat ini, suruhan Tuhan supaya ahli keluarga menghormati masa-masa privasi kita adalah jelas. Tetapi apabila masa-masa privasi itu dikaitkan dengan tempoh sebelum solat subuh dan tempoh selepas solat Ishak, idea pengamalannya menjadi janggal – tiada justifikasi. Mungkin sebab itulah kita tidak pernah melihat amalan ini dipatuhi dalam mana-mana keluarga Islam. (Bagaimanapun, kalau saya salah tentang perkara ini, saya amat alu-alukan pencerahan dari para pembaca).

Konotasi bahawa ayat 24:58 bercakap mengenai disiplin yang berkaitan dengan tatasusila dan kesopanan dalam sesebuah keluarga yang tidak ada kaitan dengan sebarang bentuk ritual sebenarnya dijelaskan secara tidak langsung apabila Tuhan menyebut, “ketika kamu menanggalkan pakaian di tengah hari yang panas” sebagai salah satu dari tiga waktu privasi yang ditetapkan. Melaluinya kita terus ‘dapat tangkap’ justifikasi perlunya disiplin berkenaan. Dan kaitan ketiga-tiga masa privasi itu turut menjadi jelas kepada kita.

Kemudian, ayat seterusnya menetapkan anak-anak atau ahli keluarga lain yang sudah baligh juga tertakluk kepada peraturan yang sama.

24:59 “Dan apabila di antara kamu anak-anak yang sudah baligh, biar mereka minta kebenaran sepertimana mereka yang sebelumnya minta kebenaran; begitulah Allah menjelaskan wahyu-wahyunya, dan Allah Mengetahui, Bijak”.

Peraturan tentang tatasusila dan kesopanan dalam sebuah kehidupan berkeluarga ini terus disambung dalam ayat selepasnya yang merujuk kepada anggota keluarga dari kalangan wanita yang sudah tua pula.

24:60 “Dan wanita-wanita tua yang telah melepasi kehendak berkahwin, tidak menjadi kesalahan ke atas mereka jika mereka membuka pakaian luar tanpa memperlihatkan perhiasan mereka; jika mereka menahan diri (dari melakukan sedemikian) adalah lebih baik bagi mereka; dan Allah Mendengar, Mengetahui”.

Written by tolokminda

December 29, 2009 at 7:13 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with ,

Tuhan suruh kita tekun dan sabar mengerjakan komitmen dari pagi sehinggalah waktu tidur

with 23 comments

Kita semua sedia maklum umat Islam majoritinya percaya mereka diwajibkan melakukan ritual solat lima kali sehari. Bagaimanapun ada sebahagian kecil berpendapat mereka hanya diwajibkan melakukannya tiga kali sehari. Kesimpulan mereka (yang percaya wajib solat tiga kali sehari) dirujuk kepada ayat ke 114, Surah Hud.

11:114 “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”. (Klik Rujukan)

Saya percaya ayat ke 114 Surah Hud itu sebenarnya langsung tidak ada kena mengena dengan ritual solat. Sebaliknya melalui ayat itu Tuhan suruh kita tekun melaksanakan komitmen-komitmen seharian kita, iaitu samada komitmen kepada diri sendiri, komitmen kepada keluarga, komitmen kepada kerja (karier), komitmen kepada masyarakat dan 1001 macam komitmen lain. Tidak ada siapa yang lebih tahu apa komitmen kita selain dari diri kita sendiri.

Apa yang penting semua komitmen berkenaan perlu kita tunaikan dalam ruang lingkup kepercayaan, nilai-nilai,  aturan-peraturan, batasan-batasan mahupun kelonggaran-kelonggaran yang telah Tuhan gariskan dalam satu sistem yang lengkap dan bersifat universal. Kepada sesiapa yang percaya, inilah jalan hidup yang telah dipreskripsi oleh Tuhan kepada mereka. Jalan hidup yang lurus ke arah kejayaan di dunia dan akhirat.

Apa yang dimaksudkan dengan dua bahagian siang iaitu pagi dan petang dan sebahagian dari malam yang disebut dalam ayat ke 114, Surah Hud sebenarnya hanya memerlukan common sense untuk mentafsirnya. Ia adalah tempoh produktif yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian seseorang. Maknanya Tuhan suruh kita tunaikan komitmen kita atau dengan kata lain kerja-kerja kita ataupun tanggungjawab-tanggungjawab seharian kita pada waktu siang, iaitu pagi dan petang dan sebahagian dari malam iaitu sebelum kita masuk tidur.

Tanpa Tuhan memberi penjelasan lanjut pun kita dapat melihat betapa benarnya kenyataan ini. Kecuali bagi mereka yang terlibat dalam kerja membabitkan syif malam, secara umumnya manusia sememangnya aktif bekerja (menunaikan komitmen) dari pagi sehingga petang sehingga sebahagian dari malam. Kemudian kita perlu berehat iaitu tidur. Tuhan kata malam adalah masa untuk kita berehat.

6:96 “Dia menerbitkan siang; dan Dia telah menjadikan malam untuk berehat, dan matahari dan bulan  untuk direnungkan; ini adalah penyusunan Yang Berkuasa, Yang Mengetahui”.

Kesimpulannya, ayat ke 114 Surah Hud itu Tuhan menyuruh kita jangan membuang masa dalam kehidupan seharian. Sebaliknya kita harus tekun menunaikan tanggungjawab harian kita dari pagi sehinggalah kita masuk tidur. Tuhan kata jika kita mempunyai komitmen dan kita tekun menunaikannya, ia akan menjauhkan kita dari melakukan kerja-kerja yang mungkar iaitu kerja yang sia-sia, merosakkan atau merugikan.

Ini pun mudah dibuktikan. Lihatlah siapa yang menjadi mat rempit, penagih dadah atau lain-lain golongan manusia gagal, mereka tidak lain adalah orang-orang yang tidak ada komitmen dalam hidup. Mereka tidak komited kepada diri sendiri, mereka tidak komited kepada Tuhan, mereka tidak komited kepada keluarga, mereka tidak komited kepada masyarakat.

Sebagai penutup posting ini, mari kita lihat ayat 112 hingga ayat 115 Surah Hud. Perhatikan ayat 115. Ia menjelaskan apa yang Tuhan perintahkan dalam ayat 114, iaitu perintah yang Tuhan suruh kita tunaikan “pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam”.

Apa yang sebenarnya Tuhan suruh?

Tidak lain adalah membuat kebaikan atau dengan kata lain, melakukan kerja-kerja yang baik. Apa saja kebaikan yang kita lakukan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, kerjaya, masyarakat dan sebagainya merupakan satu komitmen yang Tuhan suruh kita tunaikan setiap hari dari pagi sampailah tiba waktu tidur.

11:112 “Teruskan berada di jalan yang benar seperti yang telah diperintahkan ke atas kamu, sepertimana sesiapa yang telah menyertai kamu, dan jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu lakukan”.

11:113 “Dan jangan kamu cenderung kepada mereka yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api, dan kamu tidak mempunyai pelindung selain Allah, dan kamu tidak akan beroleh pertolongan”.

11:114 “Dan tunaikanlah komitmen-komitmen di dua bahagian siang (pagi dan petang), dan beberapa jam dari malam, sesungguhnya amalan (kerja-kerja) yang baik menjauhkan amalan (kerja-kerja) buruk; ini adalah peringatan kepada mereka yang mahu berfikir”.

11:115 “Dan bersabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan melupakan ganjaran kepada mereka yang membuat kebaikan”.

Written by tolokminda

December 28, 2009 at 7:56 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with

Membaca Al-Quran di waktu malam merupakan satu komitmen

with 2 comments

Surah Al-Muzzammil

73:1 Wahai orang-orang yang berselimut

73:2 Berjagalah di waktu malam kecuali sedikit

73:3 Separuh daripadanya atau kurang sedikit lagi

73:4 Atau tambah sedikit – dan bacalah Quran seperti mana ia harus dibaca

73:5 Sudah tentu Kami akan memperjelaskan kepada kamu perkataan sarat berisi

73:6 Sesungguhnya berjaga malam suasananya lebih ideal dan perkataan menjadi lebih jelas

73:7 Sesungguhnya di waktu siang kamu sibuk dengan pelbagai urusan

73:8 Jadi ingatilah Tuhan mu dan dedikasikan dirimu dengan sepenuh dedikasi

73:9 Pemilik yang di timur dan yang di barat, tiada Tuhan selain Dia, jadi kamu pilihlah Dia sahaja sebagai Penaungmu

73:10 Dan bersabarlah dengan apa yang mereka ucapkan, dan tinggalkan mereka dengan harga diri

73:11 Serahkan kepadaKu urusan mereka yang berkesenangan dan berkeselesaan, yang menafikan kebenaran, dan biarkan mereka bebas seketika

71:12 Sesungguhnya bersama Kami adalah rantai-rantai berat dan api yang marak membakar

73:13 Serta makanan yang mencekik, dan hukuman yang amat menyakitkan

73:14 Di hari di mana tanah dan gunung-ganang, dan bukit-bukau menjadi longgokan pasir yang mengalir

73:15 Sesungguhnya Kami telah menghantar kepada kamu seorang utusan sebagai saksi ke atas kamu, malah Kami telah menghantar kepada firaun seorang utusan.

73:16 Namun Firaun menolak utusan tersebut, lalu Kami sentap dia dengan cengkaman yang kuat

73:17 Jadi bagaimana, jika kamu tidak percaya adakah kamu boleh melindungi diri di hari yang menyebabkan kanak-kanak beruban?

73:18 Alam semesta hancur musnah. Janji-Nya pasti akan dikotakan

73:19 Sesungguhnya ini adalah Peringatan. Biar siapa saja yang mahu, memilih jalan kepada Tuhannya.

73:20 Sesungguhnya Tuhanmu tahu bagaimana kamu berjaga kadangkala dua pertiga dari waktu malam, atau kadangkala separuh atau sepertiga seperti yang dilakukan juga oleh segolongan yang bersama kamu. Tuhan menetapkankan siang dan malam. Dia tahu kamu tidak mengiranya dan membalas untukmu dengan belas kasihan. Jadi bacalah Al-Quran yang mudah kepada kamu. Dia tahu ada di antara kamu yang tidak sihat, sebahagian pula sedang mengembara di atas muka bumi untuk mencari anugerah pemberian Allah, dan yang lain sedang berjuang demi Tuhan. Jadi bacalah (Al-Quran) seberapa banyak kerana ia mudah, dan jadikan ia satu komitmen dan jagalah sentiasa kemurniannya, dan tawarkan kepada Allah tawaran yang baik-baik. Apa saja yang baik kamu berikan untuk diri kamu nescaya kamu akan temuinya di sisi Allah, malah lebih baik lagi sebagai balasannya. Dan minta keampunan dari Allah. Sesungguhnya Allah Pengampun dan Mengasihani.

Komen dan Tafsiran Saya

Surah Al-Muzzammil yang ditampilkan di atas biasanya dijadikan dalil oleh ulama Islam supaya umat islam bangun bersolat malam atau solat tahajjud. Bagaimanapun selepas meneliti keseluruhan surah ini saya dapati ia tidak ada kaitan langsung dengan ritual solat.

Dalam surah ini Tuhan memberitahu kita masa yang sesuai untuk membaca Al-Quran. Waktu yang sesuai itu adalah di waktu malam kerana Tuhan tahu di waktu siang kita sibuk dengan pelbagai urusan. Di samping itu membaca Quran di waktu malam lebih baik kerana suasananya lebih ideal dan kita boleh memahami perkataan-perkataannya dengan lebih baik.  Tuhan kata jika kita baca dengan kaedah yang betul, Dia akan memperjelaskan kepada kita kandungan Al-Quran yang sarat berisi

73:4 Atau tambah sedikit – dan bacalah Quran seperti mana ia harus dibaca

73:5 Sudah tentu Kami akan memperjelaskan kepada kamu perkataan sarat berisi

73:6 Sesungguhnya berjaga malam suasananya lebih ideal dan perkataan menjadi lebih jelas

73:7 Sesungguhnya di waktu siang kamu sibuk dengan pelbagai urusan

Oleh itu memang sewajarnyalah kita luangkan masa berjaga di waktu malam untuk membaca Al-Quran. Berapa lama kita perlu peruntukkan untuk tujuan berkenaan terpulanglah kepada kita. Boleh jadi separuh malam atau sepertiga malam atau kurang sedikit atau lebih sedikit. Begitulah Tuhan menyampaikan nasihat kepada kita.

73:1 Wahai orang-orang yang berselimut

73:2 Berjagalah di waktu malam kecuali sedikit

73:3 Separuh daripadanya atau kurang sedikit lagi

73:4 Atau tambah sedikit – dan bacalah Quran seperti mana ia harus dibaca

Kemudian seperti biasa dalam kebanyakan surah Al-Quran, selain dari topik yang spesifik Tuhan akan turut menyelitkan nasihat, panduan, amaran atau peringatan yang bersifat lebih umum. Dalam surah ini Tuhan menasihatkan supaya kita sentiasa mengingati dan berdedikasi kepada-Nya. Hanya Tuhan sajalah yang layak menjadi penaung dan jika kita berdepan dengan mereka yang tidak percaya, bersabar dan elakkan diri dari mereka.

73:8 Jadi ingatilah Tuhan kamu dan dedikasikan dirimu dengan sepenuh dedikasi

73:9 Pemilik yang di timur dan yang di barat, tiada Tuhan selain Dia, jadi kamu pilihlah Dia sahaja sebagai Penaungmu

73:10 Dan bersabarlah dengan apa yang mereka ucapkan, dan tinggalkan mereka dengan harga diri

Seterusnya Tuhan memberi amaran kepada mereka yang tidak bersyukur dan tidak percaya tentang betapa dahsyatnya hari kiamat yang pasti akan tiba dan seterusnya hukuman yang bakal mereka terima di akhirat nanti. Malah Tuhan turut menjadikan Firaun sebagai contoh bagaimana Tuhan tidak akan melepaskan mereka yang tidak mahu memilih jalan Tuhan.

73:11 Serahkan kepadaKu urusan mereka yang berkesenangan dan berkeselesaan, yang menafikan kebenaran, dan biarkan mereka bebas seketika

71:12 Sesungguhnya bersama Kami adalah rantai-rantai berat dan api yang marak membakar

73:13 Serta makanan yang mencekik, dan hukuman yang amat menyakitkan

73:14 Di hari di mana tanah dan gunung-ganang, dan bukit-bukau menjadi longgokan pasir yang mengalir

73:15 Sesungguhnya Kami telah menghantar kepada kamu seorang utusan sebagai saksi ke atas kamu, malah Kami telah menghantar kepada firaun seorang utusan.

73:16 Namun Firaun menolak utusan tersebut, lalu Kami sentap dia dengan cengkaman yang kuat.

73:17 Jadi bagaimana, jika kamu tidak percaya adakah kamu boleh melindungi diri di hari yang menyebabkan kanak-kanak beruban?

73:18 Alam semesta hancur musnah. Janji-Nya pasti akan dikotakan

73:19 Sesungguhnya ini adalah Peringatan. Biar siapa saja yang mahu, memilih jalan kepada Tuhannya.

Dalam ayat terakhir Tuhan kembali kepada topik asal surah, iaitu tentang membaca Al-Quran di waktu malam. Sekali lagi kita diingatkan supaya memperuntukan jumlah waktu yang sesuai untuk tujuan berkenaan. Tuhan kata, golongan yang percaya melakukan perkara yang sama sepertimana yang kita lakukan.

Tuhan menambah, Al-Quran bukanlah susah dibaca dan kita masih boleh memperuntukan masa untuk membacanya walaupun sedang sakit atau dalam perjalanan malahan ketika kita sedang berjuang sekalipun. Tuhan akan balas masa yang kita luangkan itu dengan belas kasihan atau dengan kata lain Dia akan memberi kita pedoman ke arah jalan hidup yang lurus dan terlepas dari balasan yang dahsyat tak tertanggung.

Tuhan kemudian membuat ketetapan supaya kita menjadikan amalan berjaga malam untuk membaca Al-Quran sebagai satu komitmen. Seperti komitmen-komitmen kita yang lain, komitmen berjaga malam untuk membaca Al-Quran ini turut perlu kita murnikan matlamatnya hanya kepada-Nya. Dan akhir sekali Tuhan turut menasihatkan kita supaya sentiasa berbuat baik dan memohon keampunan dari Tuhan yang Mengampun dan Mengasihani kita.

73:20 Sesungguhnya Tuhanmu tahu bagaimana kamu berjaga kadangkala dua pertiga dari waktu malam, atau kadangkala separuh atau sepertiga seperti yang dilakukan juga oleh segolongan yang bersama kamu. Tuhan menetapkankan siang dan malam. Dia tahu kamu tidak mengiranya dan membalas untukmu dengan belas kasihan. Jadi bacalah Al-Quran yang mudah kepada kamu. Dia tahu ada di antara kamu yang tidak sihat, sebahagian pula sedang mengembara di atas muka bumi untuk mencari anugerah pemberian Allah, dan yang lain sedang berjuang demi Tuhan. Jadi bacalah (Al-Quran) seberapa banyak kerana ia mudah, dan jadikan ia satu komitmen dan jagalah sentiasa kemurniannya, dan tawarkan kepada Allah tawaran yang baik-baik. Apa saja yang baik kamu berikan untuk diri kamu nescaya kamu akan temuinya di sisi Allah, malah lebih baik lagi sebagai balasannya. Dan minta keampunan dari Allah. Sesungguhnya Allah Pengampun dan Mengasihani.

Written by tolokminda

December 26, 2009 at 4:14 pm

Posted in Quran

Tagged with , ,

Solat Jumaat: Apa sebenarnya kata Tuhan?

with 28 comments

Surah Al-Jumuah

62:1 Segala yang di langit dan segala yang di bumi mengakui keagungan Tuhan, Yang Berdiri Sendiri, Yang Suci, Yang Berkuasa, Yang Bijaksana.

62:2 Dialah yang telah mengutuskan di kalangan orang-orang yang belum pernah mengenal Tuhan seorang rasul dari kalangan mereka sendiri untuk membacakan wahyu Tuhan dan memurnikan mereka dan mengajar mereka Al-Kitab dan kebijaksanaan, sesungguhnya mereka dulu dalam kesesatan.

62:3 Dan begitu juga dari kalangan mereka yang lain, yang belum menyertai mereka, dan Dialah Yang Berkuasa, Yang Bijaksana.

62:4 Begitulah Kemurahan Allah. Dia memberi kurnia kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah adalah Tuhan Yang Amat Pemurah.

62:5 Perbandingan mereka yang telah disampaikan Taurat, kemudian mereka tidak mematuhinya adalah seperti kaldai mendapat buku, zalim adalah persamaan bagi orang-orang yang tidak mahu menerima wahyu-wahyu Allah dan Allah tidak memberi pedoman kepada orang yang zalim.

62:6 Katakan: Wahai orang-orang Yahudi, jika kamu fikir kamu disayangi Allah dan tidak orang-orang lain, mohonlah kematian jika kamu berkata benar.

62:7 Dan mereka tidak akan memohonnya kerana apa yang telah tangan mereka lakukan, dan Allah tahu siapa yang zalim.

62:8 Katakan: Kematian yang kamu elakkan akan tetap mengatasi kamu, kemudian kamu akan dibawa ke hadapan Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, dan Dia akan memberitahu kamu apa yang telah kamu lakukan.

62:9 Wahai orang-orang yang percaya! Apabila diminta komitmen kamu di hari berkumpul, maka segeralah kepada Peringatan Allah dan tinggalkan urusan kamu, itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui.

62:10 Kemudian selepas komitmen itu selesai, bersurailah mencari kemurahan Tuhan di atas mukabumi, dan banyakkanlah mengingati Tuhan, semoga kamu mendapat kejayaan.

62:11 Dan apabila mereka melihat barangan atau hiburan mereka berbondong ke arahnya, dan meninggalkan kamu berdiri berseorangan. Katakan: Apa yang bersama Allah adalah lebih baik dari hiburan atau barangan, dan Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.

Surah Al-Jumuah terkenal kerana di dalamnya mengandungi ayat yang dikatakan dalil kepada perintah mengerjakan solat Jumaat. Bagaimanapun apabila saya lihat dengan lebih dekat, notasi mengenai solat Jumaat itu sebenarnya tidak meyakinkan langsung. Apa yang Tuhan nyatakan bukanlah perintah supaya kita solat Jumaat.

Dengan kandungan ayat yang sedikit, iaitu 11 ayat sahaja, Surah Al-Jumuah tidak begitu sukar untuk difahami.

Secara spesifik, melalui surah ini Tuhan memerintahkan masyarakat Nabi supaya mendengar apa yang disampaikan oleh rasul-Nya itu apabila mereka diajak berkumpul untuk tujuan berkenaan. Pergi mendengar apa yang Nabi sampaikan merupakan satu komitmen kepada mereka yang percaya kepada Al-Quran. Tuhan kata Al-Quran itu merupakan manifestasi kemurahan-Nya kepada manusia. Ia memurnikan jiwa, memupuk kebijaksanaan dan menyuluh jalan keluar dari kesesatan.

Atas sebab itu, Tuhan berpesan supaya umat Al-Quran jangan menjadi seperti pengikut Nabi Musa yang diibaratkan Tuhan seperti kaldai mendapat kitab, mereka dikurniakan Taurat tapi tidak mematuhi kandungannya. Kata Tuhan sikap seperti itu merupakan satu kezaliman dan Tuhan tidak memberi pedoman kepada orang-orang yang zalim.

Begitu juga Tuhan berpesan supaya umat Al-Quran tidak menjadi orang yang sombong seperti Yahudi yang mendabik dada kononnya mereka saja yang disayangi Tuhan sehinggakan Tuhan mencabar mereka supaya memohon untuk mati kalau mereka benar-benar yakin  dengan apa yang mereka dakwa. Tuhan kata mereka tidak mungkin berani berbuat demikian kerana orang-orang Yahudi tahu perbuatan-perbuatan jahat yang telah mereka lakukan. Bagaimanapun Tuhan menegaskankan bahawa orang-orang Yahudi tetap tidak akan terlepas dengan perbuatan mereka.

Selepas memperingatkan masyarakat Nabi (yang percaya kepada Al-Quran) mengenai perilaku buruk kaum Nabi Musa dan orang Yahudi, maka dalam ayat ke 9 Tuhan menyeru mereka supaya datang apabila diajak berkumpul pada hari-hari di mana Nabi mahu menyampaikan wahyu Tuhan kepada mereka. Tuhan suruh mereka tinggalkan urusan harian mereka untuk tujuan berkenaan kerana ia merupakan satu komitmen bagi mereka. Mereka boleh kembali meneruskan urusan harian mereka selepas menunaikan komitmen tersebut dan Tuhan kata mereka akan menjadi orang-orang yang berjaya apabila banyak mengingati Tuhan.

Dalam ayat akhir Surah Al-Jumuah (62:11) Tuhan menggambarkan kepada kita suasana yang biasa berlaku di hari berkumpul itu.  Tuhan kata mereka yang datang mudah tertarik kepada benda-benda lain seperti tawar-menawar barangan atau hiburan yang terdapat di sekitar lokasi mereka berhimpun sehinggakan Nabi ditinggal keseorangan tidak dipedulikan. Berikutan itu, Tuhan berpesan kepada Nabi supaya memberitahu kaumnya bahawa memilih untuk bersama Allah adalah lebih baik daripada tawar-menawar barang atau hiburan yang mereka sukai.

Jadi, fikir-fikirkanlah. Jika benar seruan berkumpul yang dimaksudkan oleh Tuhan dalam Surah Al-Jumuah merupakan solat Jumaat sebagaimana amalan umat Islam hari ini, adakah mungkin Nabi boleh ditinggalkan berkhutbah sendirian sedangkan kaumnya sibuk dengan tawar-menawar barangan dan berseronok dengan hiburan?

62:11 Dan apabila mereka melihat barangan atau hiburan mereka berbondong ke arahnya, dan meninggalkan kamu berdiri berseorangan. Katakan: Apa yang bersama Allah adalah lebih baik dari hiburan atau barangan, dan Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.

Written by tolokminda

December 25, 2009 at 6:34 pm

Mengapa wujud polemik dalam menentukan bilangan rakaat solat?

with 15 comments

Solat atau sembahyang 5 waktu yang menjadi amalan umat Islam hari ini dikatakan mula diajar oleh Nabi kepada para sahabat sejak menerima perintah mengenainya dalam satu peristiwa popular, Israk Mikraj. Hari ini umat Islam menyifatkan solat sebagai amalan tunggak. Segala amalan baik tidak bermakna apa-apa jika seseorang tidak solat.

Dulu, Nabi dan para sahabat dikatakan tidak lekang dari menunaikan solat berjemaah bersama-sama. Hanya kadang-kala sahaja Nabi dikatakan solat bersendirian. Menurut cerita, para sahabat dan generasi mereka yang seterusnya tidak pernah sedikit pun mengabaikan amalan solat walaupun selepas kewafatan Nabi.

Kalau begitu keadaannya, bagaimana mungkin kita berdepan dengan polemik berkaitan dengan bilangan rakaat solat?  Bagaimana satu amalan yang dilakukan 5 kali sehari tanpa gagal sejak Nabi sendiri dikatakan mengajarnya, sentiasa berjemaah bersama-sama dan amalannya berterusan dari generasi ke generasi tiba-tiba boleh menjadi kabur pada bahagian yang paling asas seperti bilangan rakaat?

Saya fikir ini satu persoalan yang wajar kita cari jawapannya. Mengapa bilangan rakaat solat yang ada pada hari ini terpaksa disandarkan kepada riwayat-riwayat hadis? Sepatutnya jika benar ritual solat diamalkan sejak zaman Nabi oleh umat Islam, sekerap 5 kali sehari, tentulah soal bilangan rakaat untuk setiap solat sudah menjadi suatu yang jelas muktamadnya. Polemik mengenai bilangan rakaat solat tidak sepatutnya timbul.

Tetapi  itulah yang berlaku. Ulama terpaksa berpolemik untuk menetapkan bilangan rakaat solat. Sehingga hari ini, polemik ini masih tidak dapat dikekang sepenuhnya. Para ulama terpaksa korek dan tampal hadis di sana-sini untuk meyakinkan umat tentang bilangan rakaat solat mereka.

Jika apa yang disampaikan kepada kita betul, solat sepatutnya menjadi amalan rutin yang lahir lebih dulu dari kitab hadis. Hadis hanya mula dikumpul dan direkodkan di sekitar 200 tahun selepas kewafatan Nabi. Jadi, adakah dalam tempoh 200 tahun selepas ketiadaan Nabi itu umat Islam sudah lupa tentang solat sehingga terpaksa menunggu dam merujuk kitab hadis untuk mengingatkan semula perihal bilangan rakaat setiap solat yang Nabi buat?

Jelas sekali. Ada yang tidak berapa kena di sini.

Written by tolokminda

December 25, 2009 at 4:04 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with , ,

Nabi Muhamad tidak buta huruf

with 96 comments

Ulama mengatakan Nabi sebagai seorang yang buta huruf dengan berdalil ayat 62:2. Mereka mentafsirkan perkataan ummiyyin sebagai buta huruf dan menyandarkannya kepada Nabi. Sedangkan maksud sebenar perkataan ummiyyin itu adalah yang tidak kenal Tuhan – Al-Kitab/Nabi/Rasul tak pernah sampai kepada mereka (gentiles). Jom periksa 62:2

huwal-lazi ba’asha – Dialah yang telah mengutuskan

fil-ummyin  – di kalangan yang tidak mengenal Tuhan (among the gentiles)

rosulan min-hum – seorang rasul dari mereka

yatlu a’laihem – untuk membacakan kepada mereka wahyu Tuhan

wa-yuzak-kihem – dan memurnikan mereka

wa-yua’limuhumul – dan mengajar mereka

kitaba – Al-Kitab

wal-Hikmata – dan kebijaksanaan

wa-ainkanu – sesungguhnya mereka

min-qoblu – dari dulu

lafi-thola-lin mubin – dalam kesesatan

Ayat di atas menjelaskan bahawa Nabi adalah rasul pertama di kalangan orang Arab. Tidak pernah sampai kepada mereka sebarang Nabi atau Rasul atau Kitab Tuhan sebelum Muhamad. Dan dalam konteks perbincangan, ayat 62:2 jelas tidak mengatakan atau menggambarkan bahawa Nabi seorang yang buta huruf. Ia hanya menjelaskan bahawa Nabi dan kaumnya merupakan mereka yang tidak pernah diutuskan di kalangan mereka rasul mahu pun mereka pernah membaca mana-mana Al-Kitab.

Untuk mengesahkan lagi bahawa orang Arab tidak pernah menerima pedoman Tuhan sebelum Nabi, kita boleh rujuk satu lagi ayat.

34:44 “Dan kami tidak pernah memberi mereka apa-apa Al-Kitab untuk mereka baca dan tidak juga kami telah mengutuskan mereka seorang pemberi amaran”.

Dengan pencerahan ini, sekarang kita tahu perkara yang sebenar mengenai kedudukan orang Arab sebelum Muhamad. Satu persoalan timbul dari pengetahuan baru ini, kalau begitu keadaannya, maknanya cerita bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pernah menjejak kaki di Mekah adalah tidak benar.

Tuhan kata tidak pernah sampai kepada orang Arab walau seorang Nabi/Rasul/Kitab dari kalangan mereka. Oleh itu perkara tentang Kaabah dan sebagainya mungkin perlu kita periksa semula. Dengan serius. Tapi ini sudah topik lain. Kembali kepada perbincangan asal, adakah benar Nabi buta huruf?

Menurut Al-Quran, tidak. Nabi bukan seorang yang buta huruf. Malah Nabi telah menulis Al-Quran apabila ayat-ayatnya diwahyukan kepadanya. Baca surah Al-Furqan dengan teliti. Misalnya;

25:4-5  “Mereka yang tidak percaya (orang-orang Arab) berkata; Ini adalah rekaan yang dibuat dengan bantuan beberapa orang. Sesungguhnya mereka telah mengucapkan kejahatan dan penipuan. Dan mereka juga berkata; Dia (Muhamad) menulis cerita-cerita dongeng dahulu kala yang dibacakan kepadanya pagi dan petang”.

Ayat di atas secara tidak langsung menyatakan Nabi menulis apa yang disampaikannya, iaitu Al-Quran. Sebenarnya orang Arab zaman Nabi sendiri pun menyifatkan Nabi seorang yang terpelajar (learned – mu-a’lamun). Ini boleh kita lihat melalui ayat 44:13-14.

44:13-14 “Bagaimanakah mereka menyambut peringatan itu? Dan sesungguhnya telah seorang yang jelas Rasul, dan mereka menafikannya dan berkata, “dia terpelajar (mua’lamun – learned), (tetapi) gila”.

Melalui dalil-dalil yang terkandung dalam Al-Quran adalah jelas Nabi bukanlah seorang buta huruf. Beliau adalah seorang rasul Tuhan yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada tugasan yang diamanahkan iaitu menerima wahyu, menulis wahyu yang diterima dan menyampaikannya sebagaimana Tuhan nak dia sampaikan.

Sudah jelas dalam dalil-dalil itu bagaimana orang Arab kaum Nabi sebenarnya menolak dan memperlekeh Nabi. Sekarang mereka kata Nabi seorang buta huruf, jadi patutkah kita percaya bulat-bulat apa yang mereka kata tanpa terasa sedikit pun untuk membuat semakan?

Jika kita fikir-fikirkan, tentulah tidak munasabah Allah melantik seorang rasul yang tidak tahu membaca dan menulis sehingga rasul-Nya terpaksa bergantung kepada orang lain untuk menuliskan wahyu yang diterimanya. Dengan kata lain, jika itu keadaannya maka Nabi Muhamad bukanlah seorang rasul yang telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna.

Perlantikan seseorang rasul merupakan suatu yang eksklusif dan setiap rasul berdiri di atas keupayaannya sendiri dalam melaksanakan amanah yang disandarkan Allah kepadanya. Tidak ada seorang pun rasul sebelum Muhamad yang kita tahu bergantung kepada orang lain untuk menyempurnakan tugas mereka, iaitu menerima wahyu dan menyampaikannya kepada kaum mereka.

Sudah tentu, Nabi Muhamad juga telah menyempurnakan kerasulannya beliau tanpa bergantung kepada orang lain. Dan itu termasuk menulis sendiri wahyu yang sampai kepada beliau sesuai dengan apa yang telah dijelaskan oleh Tuhan bahawa Dia mengajar rasul-Nya dan kita semua melalui pena.

96:1-5  “Bacalah dengan nama Tuhan kamu yang mencipta. Dia mencipta manusia dari segumpal darah. Baca dan Tuhanmu yang Pemurah. Dia mengajar dengan pena. Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Written by tolokminda

December 25, 2009 at 12:42 pm

Posted in Nabi | Rasul

Tagged with , ,

Solat: Sembahyang atau Komitmen?

with 20 comments

Ulama-ulama Islam berkata “solat” merupakan tiang agama, diwajibkan oleh Tuhan secara khusus kepada umat Al-Quran. Sebab itulah pada hari ini kita lihat hanya umat Islam yang solat sedangkan umat-umat Al-Kitab terdahulu tidak, kata mereka.

Sebenarnya ulama-ulama Islam telah menipu umat Islam. Jika kita teliti semua rasul terdahulu juga “solat” dan mereka, sama seperti Nabi Muhamad, mengajak umat mereka “solat”. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam Al-Quran. Tidak ada beza “solat” Nabi Muhamad dengan “solat” Nabi Ibrahim, dengan “solat” Nabi Isa, “solat” Nabi Musa, Nabi Ayub dan sebagainya.

Mari kita lihat contoh umat dan Nabi terdahulu dengan “solat” mereka mengikut tafsiran ulama-ulama Islam.

“Solat” Bani Israel

2:83 “Dan, ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil: “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat“. Kemudian kamu berpaling membelakangkannya kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”.

“Solat” Nabi Isa

19:31 “Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup“.

Dua contoh di atas sebenarnya sudah cukup untuk menjelaskan bahawa Nabi-Nabi dan kaum-kaum Al-Kitab terdahulu juga diperintahkan supaya “solat” oleh Tuhan. Tidak ada bezanya perintah “solat” kepada mereka dengan “solat’ yang ditperintahkan ke atas Nabi Muhamad dan kita semua. Periksalah semua ayat-ayat yang mengandungi perkataan “solat” atau sembahyang di dalam Al-Quran dan kita akan dapati “solat” semua Nabi termasuk Nabi Muhamad dan pengikut mereka yang percaya merujuk kepada perkara atau perintah yang sama.

Tetapi mengapa ulama-ulama kata “solat” diperintahkan kepada umat Islam sahaja? Dalam keadaan seperti ini tentulah ada pihak yang tidak bercakap benar. Siapakah agaknya yang tidak bercakap benar? Tuhan atau ulama-ulama ini? Saya percaya ulama-ulama inilah yang telah berbohong. Dan saya memilih untuk percaya kepada Al-Quran.

Sebenarnya perkataan “solat” tidak wujud di dalam Al-Quran. Perkataan yang sebenarnya adalah solaa. Begitulah perkataan itu dibaca di dalam Al-Quran. Bagaimanapun apabila mereka meninggalkan Al-Quran, umat Islam mengubah perkataan berkenaan menjadi “solat” yang membawa maksud sembahyang ritual. Maksud sebenar perkataan solaa adalah komitmen.

Tuhan mahu kita, manusia, menunaikan semua komitmen (solaa) kita. Semua komitmen berkenaan terkandung di dalam Al-Kitab-Nya yang diutuskan melalui rasul-rasul. Apa saja yang diperintahkan, ditetapkan, dibenarkan dan dibataskan oleh Tuhan melalui Al-Kitab perlu menjadi komitmen kepada kita. Nabi-nabi, rasul-rasul dan umat mereka yang percaya kepada Al-Kitab menyerahkan sepenuhnya hidup mereka kepada Tuhan. Mereka komited kepada jalan hidup yang telah dihamparkan oleh Tuhan. Jalan yang lurus untuk kita berkhidmat kepada Tuhan dan seterusnya menjadi khalifah yang berjaya.

6:162 “Katakanlah: “Sesungguhnya komitmenku dan pengorbananku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

Mari kita lihat kembali contoh ayat-ayat yang telah saya kemukakan di atas. Kali ini kita kembalikan maksud yang hak, iaitu solaa sebagai komitmen.

Komitmen Bani Israel

2:83 “Dan, ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil: “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan tunaikanlah setiap komitmen dan murnikanlah ia (uphold commitments and keep them pure)“. Kemudian kamu berpaling membelakangkannya kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”.

Tidakkah apa yang diperintahkan oleh Tuhan kepada Bani Israel seperti jangan menyekutukan Allah, berbuat baik kepada ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan bercakap perkara-perkara baik itu semuanya sama dengan apa yang Tuhan perintahkan ke atas kita? Semua perkara itulah yang dimaksudkan Tuhan sebagai solaa (komitmen) kita, dan solaa (komitmen) Bani Israel dan solaa (komitmen) semua orang yang percaya, yang Tuhan nak kita tunaikan.

Sementara itu cuba kita tengok siapakah orang yang tidak solaa atau tidak komited kepada apa yang telah Tuhan gariskan.

107: 1-7 Tidakkah kamu lihat orang-orang yang mendustakan deen (cara hidup yang telah ditetapkan Allah)? Mereka mengabaikan anak-anak yatim. Mereka tidak memberi makan orang miskin. Oleh itu celakalah mereka yang telah berjanji tetapi tidak mengambil berat komitmen mereka. Mereka cuma menunjuk-nunjuk dan baghkil.

Komitmen Nabi Isa

19:31 Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku menunaikan setiap komitmen dan memurnikan ia (uphold commitments and keep them pure) selagi aku hidup.

Apakah komitmen-komitmen Nabi Isa? Tidakkah semuanya sama dengan komitmen-komitmen yang telah ditetapkan Tuhan kepada Nabi-Nabi lain juga? Melalui Al-Quran cuba kita periksa apa yang telah diwahyukan oleh Tuhan kepada Nabi Isa.

Dalam posting yang ringkas ini saya yakin apa yang cuba saya sampaikan telah saya sampaikan dengan agak jelas. Dan saya amat berharap supaya sesiapa yang tidak percaya mengambil langkah positif untuk membuat pemeriksaan sendiri.

2:2-3 Al-Kitab ini tiada sebarang keraguan, pedoman kepada mereka yang meneliti, mereka percaya kepada yang ghaib dan memegang teguh komitmen-komitmen mereka dan mereka memberi dari apa yang Kami bekalkan.

Written by tolokminda

December 25, 2009 at 12:24 pm

Posted in Solaa | Solat

Tagged with , ,