Posts Tagged ‘Rasul’
Ibrahim memurnikan kepercayaan kepada Tuhan
Saya ada menulis tentang Nabi Ibrahim sebelum ini. Tentang mengapa beliau Tuhan jadikan contoh untuk seluruh manusia. Bagaimanapun tidak sehingga masa terdekat ini saya memahami apakah pencapaian sebenar Ibrahim. Sekarang saya berasa semakin jelas tentang Ibrahim dan apakah pencapaian-pencapaian beliau dalam hidup sehingga beliau layak mencapai status yang begitu tinggi.
Salah satu pencapaian Ibrahim adalah beliau memurnikan kepercayaanNya kepada Tuhan. Jika kita mahu memurnikan kepercayaan kepada Tuhan, contohilah Ibrahim.
Tuhan telah menetapkan supaya manusia memurnikan kepercayaan mereka kepadaNya. Bagaimana mereka boleh memurnikan, Tuhan menjelaskannya kepada kita di dalam Al-Quran. Berikut adalah penjelasan Tuhan mengenainya.
18:51. Aku tidak menjadikan mereka saksi kepada ciptaan yang ada di langit dan di bumi. Tidak juga saksi kepada ciptaan mereka sendiri dan tidak juga Aku mengambil mereka yang sesat sebagai pembantu.
Dari ayat di atas, saya membuat kesimpulan bahawa:-
- Tuhan tidak mahu manusia memberhalakan ciptaanNya yang ada di langit mahupun di bumi – misalnya bulan, bintang, matahari, gunung, bukit, pokok dan sebagainya.
- Tuhan tidak mahu manusia memberhalakan ciptaan mereka sendiri – misalnya patung, bangunan, mesin dan sebagainya.
- Dan Tuhan tidak mengambil sesiapa yang sesat sebagai pembantu.
Sekarang kita dapat lihat kaitan Ibrahim dengan ayat di atas. Walaupun beliau lahir dan hidup di tengah-tengah masyarakat yang serba sesat, Ibrahim mampu menonjol sebagai seorang yang berjaya memurnikan kepercayaannya kepada Tuhan mengikut standard yang Tuhan telah tetapkan.
Kejayaan beliau mengelak dari memberhalakan ciptaan Tuhan ada direkodkan di dalam Al-Quran.
6:76 Apabila malam menyelubunginya, Dia melihat sebuah bintang. Dia berkata: Inilah Pemeliharaku. Tetapi apabila ia hilang, dia berkata: Aku tidak suka apa yang boleh hilang.
6:77 Apabila dia melihat bulan terbit, dia berkata: Inilah Pemeliharaku. Tetapi apabila ia hilang dia berkata: Jika Pemeliharaku tidak memberiku petunjuk, tentu aku akan termasuk dari kalangan mereka yang sesat.
6:78 Apabila dia melihat keindahan matahari terbit, dia berkata: Inilah Tuhanku, inilah yang paling hebat. Tetapi apabila matahari terbenam dia berkata, Wahai kaumku! Aku sesungguhnya berlepas diri dari menyekutukan Tuhan seperti kamu.
Begitu juga kejayaan Ibrahim mengelak dari memberhalakan ciptaan manusia juga direkodkan. Berikut adalah dialog Ibrahim dengan kaumnya selepas beliau memusnahkan patung-patung yang mereka jadikan berhala.
21:66 Dia berkata: Kamu mengabdi di samping Tuhan sesuatu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kamu dan tidak juga mendatangkan mudarat?
21:67 Aku jijik dengan kamu dan apa yang kamu abdikan di samping Tuhan! Tidakkah kamu mempunyai akal?
Dan kejayaan Ibrahim melepaskan diri dari pengaruh orang-orang yang meletakkan diri mereka sebagai pembantu Tuhan – yang mana walaupun mereka dihormati mengikut standard masyarakatnya – biarpun antara orang itu adalah bapanya sendiri. Ibrahim tidak ragu-ragu untuk melontarkan ketidakpercayaannya kepada mereka. Ini juga direkodkan di dalam Al-Quran.
21:52 Apabila dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Patung-patung apakah ini yang kamu sembah?
21:53 Mereka berkata: Kami dapati bapa-bapa kami menyembah mereka.
21:54 Dia berkata: Kamu dan bapa-bapa kamu sesungguhnya telah sesat.
21:55 Mereka berkata: Adakah kamu datang kepada kami dengan sesuatu yang benar atau kamu cuma main-main?
21:56 Dia berkata: Tidak, Pemelihara kamu yang sebenar adalah Pemelihara apa yang di langit dan di bumi, Yang Satu yang telah mencipta mereka. Aku bersaksi seperti itu.
Begitulah Ibrahim – contoh yang Tuhan paparkan bagi sesiapa saja yang ingin tahu bagaimana carannya untuk memurnikan kepercayaan kepada Tuhan Yang Satu.
Al-hikmah, Al-Mizan & Al-Hakim
Al-Hikmah
Para pencinta riwayat sipolan sangat berpegang kepada hadis. Dan mereka mendakwa apa yang dimaksudkan dengan hadis itu adalah seperti berikut;
Hadith atau hadis (bahasa Arab: alhadīth “الحديث” mufrad, ahādīth “أحاديث” jamak); adalah perkara yang berkisar tentang Sunnah Rasul s.a.w. dan apa yang disandarkan kepada Rasul s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya.
Untuk menegakkan dan mengukuhkan kepercayaan mereka terhadap hadis atau riwayat sipolan, mereka kemudiannya mendakwa perkataan al-hikmah yang terdapat di dalam Al-Quran merujuk kepada hadis atau sunnah Nabi Muhamad. Misalnya ramai di antara mereka menggunakan ayat 3:164 sebagai dalil melalui kaedah penterjemahan yang licik.
3:164 Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
Bagaimanapun, selepas membuat semakan mudah terhadap perkataan al-hikmah di dalam Al-Quran, saya dapati perkataan itu sebenarnya tidak ada kaitan langsung dengan apa yang didakwa sebagai hadis atau sunnah Nabi Muhamad kerana al-hikmah bukan saja diperolehi oleh Nabi Muhamad atau sesiapa yang mempercayai Al-Quran, tetapi ia juga telah sampai kepada nabi-nabi sebelum Muhamad.
Selain itu saya juga mendapati perkataan al-hikmah yang sebelum ini saya cenderung menterjemahkannya sebagai “kebijaksanaan” sebenarnya lebih sesuai jika diterjemahkan sebagai common sense. Mari kita lihat antara nabi atau mereka yang telah diberikan al-hikmah atau common sense sebelum Nabi Muhamad.
Al-hikmah dan Nabi Isa:
43:63 Apabila Isa telah datang dengan ayat-ayat yang jelas, dia berkata: Sekarang aku telah datang kepada kamu dengan common sense yang banyak dan untuk menjelaskan kepada kamu apa yang kamu perselisihkan maka takutilah Tuhan dan ambil perhatian kepadaku.
Transliterasi 43:63 Walamma jaa AAeesa albayyinati qala qad jitukum bibialhikmati waliobayyina lakum baAAda allathee takhtalifoona feehi faittaqoo Allaha waateeAAooni
Al-hikmah dan Lokman:
31:12 Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan Lokman common sense: “Tunjukkan penghargaan kepada Tuhan. Sesiapa yang menghargai melakukannya untuk keuntungan dirinya sendiri tetapi sesiapa yang tidak menghargai, sesungguhnya Tuhan tidak memerlukan apa-apa, memiliki segala pujian.
Transliterasi 31:12 Walaqad atayna luqmana alhikmata ani oshkur lillahi waman yashkur fainnama yashkuru linafsihi waman kafara fainna Allaha ghaniyyun hameedun
Al-hikmah dan Nabi Daud:
38:20 Kami telah menguatkan kerajaannya dan Kami telah berikannya common sense dan berwibawa dalam ucapan dan keputusan.
Transliterasi 38:20 Washadadna mulkahu waataynahu alhikmata wafasla alkhitabi
Selain dari itu, Tuhan juga memberi beberapa contoh atau petunjuk untuk kita memahami apa yang dimaksudkan perkataan al-hikmah. Dan yang jelas ia langsung tidak sesuai dengan dakwaan-dakwaan para pencinta riwayat sipolan yang kononnya al-hikmah itu riwayat sipolan. Antara contoh-contoh yang Tuhan beri tentang al-hikmah boleh kita renungkan melalui ayat-ayat berikut.
17:39 Ini adalah antara common sense yang banyak yang Pemeliharamu telah inspirasikan kepada kamu. Dan jangan sekutukan Tuhan dengan apa-apa objek/berhala kecuali kamu mahu dicampak ke neraka, bersalah dan ditolak.
Transliterasi 17:39 Thalika mimma awha ilayka rabbuka mina alhikmati wala tajAAal maAAa Allahi ilahan akhara fatulqa fee jahannama malooman madhooran
16:125 Ajaklah kepada jalan Tuhan dengan common sense yang banyak dan ucapan yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan jalan yang terbaik dan paling sopan. Sesungguhnya Pemeliharamu amat mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan siapa yang mendapat petunjuk.
Transliterasi 16:125 OdAAu ila sabeeli rabbika bialhikmati waalmawAAithati alhasanati wajadilhum biallatee hiya ahsanu inna rabbaka huwa aAAlamu biman dalla AAan sabeelihi wahuwa aAAlamu bialmuhtadeena
2:269 Dia kurniakan common sense kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan kepada sesiapa yang dikurniakan common sense sesungguhnya menerima manfaat yang melimpah-ruah, tetapi tiada siapa yang menyedarinya kecuali mereka yang berkefahaman.
Transliterasi 2:269 Yutee alhikmata man yashao waman yuta alhikmata faqad ootiya khayran katheeran wama yaththakkaru illa oloo alalbabi
Al-Mizan
Ada satu lagi perkataan yang digandingkan dengan Al-Kitab selain dari Al-Hikmah. Perkataan itu adalah Al-Mizan. Al-Mizan bermaksud penimbang. Berikut adalah contoh ayat:
57:25 Dan Kami telah mengutuskan sebelum ini para utusan Kami dengan tanda-tanda yang jelas dan menurunkan bersama mereka Kitab dan Penimbang supaya manusia menegakkan keadilan dan Kami menurunkan besi yang di dalamnya terkandung kehebatan dan pelbagai manfaat untuk manusia, supaya Tuhan dapat menguji siapa yang akan membantu Tuhan dan rasulNya walaupun tidak melihatnya. Sesungguhnya Tuhan Kuat Berkuasa ke atas segala-galanya.
Transliterasi 57:25 Laqad arsalna rusulana bialbayyinati waanzalna maAAahumu alkitaba waalmeezana liyaqooma alnnasu bialqisti waanzalna alhadeeda feehi basun shadeedun wamanafiAAu lilnnasi waliyaAAlama Allahu man yansuruhu warusulahu bialghaybi inna Allaha qawiyyun AAazeezun
Pada pendapat saya perkataan Al-Mizan atau penimbang pada dasarnya merujuk kepada salah satu sifat Al-Kitab. Kitab Tuhan – seperti Al-Quran – mengandungi ketetapan-ketetapan atau hukum-hukum khusus untuk mereka yang percaya dan nilai-nilai keadilan umum yang universal – yang pasti dapat diterima oleh sesiapapun tanpa mengira faktor yang mewarnai latarnya. Pendek kata, jika kita mahu berpegang kepada nilai keadilan yang dapat diterima secara universal – Kitab Tuhan akan menjadi sumber rujukan yang sempurna.
Al-Hakim
Selain dari Al-Hikmah dan Al-Mizan, satu lagi perkataan yang mungkin relevan dalam perbincangan ini adalah Al-Hakim. Al-hakim mempunyai akar huruf yang sama dengan al-hikmah tetapi ia banyak dirujuk kepada Tuhan dan Kitab. Tuhan atau Kitab tidak memerlukan “common sense” ataupun “penimbang” sebagaimana manusia. Tetapi Tuhan dan KitabNya memiliki dan mengandungi “sense” yang sempurna. Oleh itu perkataan al-hakim saya percaya membawa maksud “yang memiliki sense”. Berikut adalah antara contoh-contoh ayat yang merujuk kepada Tuhan dan KitabNya sebagai Al-Hakim.
33:1 Wahai Nabi! Takutilah Tuhan dan jangan dengar mereka yang tidak percaya dan yang hipokrit – sesungguhnya Tuhan memiliki pengetahuan dan memiliki “sense”.
Transliterasi: Ya ayyuha alnnabiyyu ittaqi Allaha wala tutiAAi alkafireena waalmunafiqeena inna Allaha kana AAaleeman hakeeman
36:2 Dan Bacaan-Bacaan ini “mengandungi banyak sense”.
Transliterasi: Waalqurani alhakeemi
Saya harap para pembaca budiman dapat berkongsi pandangan.
Nabi, rasul dan mereka yang percaya tidak menjana sebarang pendapatan dari wahyu-wahyu Tuhan
Tuhan telah melantik ramai nabi dan rasul di kalangan umat manusia untuk menyampaikan peringatan, pedoman dan berita baik dalam bentuk wahyu dan Al-Kitab supaya mereka mengamalkan cara hidup yang direstui Tuhan. Sebahagian darinya kita ketahui nama, bangsa dan pekerjaan mereka. Dan sebahagian pula hanya Allah yang mengetahui siapa mereka.
Dan dari semua nabi dan rasul yang diceritakan kepada kita oleh Tuhan, tidak ada seorang pun dari mereka menyara hidup dengan apa yang mereka sampaikan. Nabi dan rasul tidak menerima sebarang upah atau ganjaran dari sebarang “majikan dunia” untuk menjalankan tugas mereka menyampaikan wahyu Tuhan. Sebagai contoh mari kita lihat apa kata para nabi mengenai upah atau ganjaran mereka.
Nabi Nuh:
26:109 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.
Nabi Hud:
26:127 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.
Nabi Saleh:
26:145 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.
Nabi Luth:
26:164 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.
Nabi Syuib:
26:180 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.
Keadaan ini berlawanan dengan pembesar-pembesar agama golongan penyekutu Tuhan yang biasanya merupakan individu-individu yang mendapat upah atau ganjaran di atas kedudukan mereka. Dari zaman Firaun sehinggalah ke era abad ke 21 – para pembesar agama merupakan golongan yang dinaungi pemerintah dan mereka menjana sumber pendapatan dalam bentuk upah, gaji, elaun dan sebagainya kerana peranan mereka “menjaga” agama masyarakat.
Tetapi cuba kita lihat apa yang Tuhan suruh Nabi katakan dalam hal ini.
38:86 Katakan: Aku tidak meminta kamu sebarang ganjaran untuknya; tidak juga aku dari kalangan yang mengada-adakan.
38:87 Ia tidak lain adalah satu Peringatan kepada semua yang berpengetahuan.
38:88 Dan sesungguhnya kamu akan mengetahuinya apabila masanya tiba.
Jelas sekali Nabi juga menuruti jejak nabi-nabi terdahulu – ganjaran untuk dirinya di atas tugas sebagai rasul yang menyampaikan wahyu Tuhan hanya disandarkan kepada Allah semata-mata. Untuk menyara kehidupan, Nabi bekerja sebagaimana orang lain.
6:135 Katakan: Wahai kaumku, kerjakanlah pekerjaan yang sesuai, kerana aku juga bekerja. Nanti Kamu akan mengetahui siapakah yang akan mendapat hasilnya. Sesungguhnya tidak akan berjaya mereka yang membuat salah.
Begitu juga Tuhan menggambarkan kepada kita berkenaan orang-orang yang percaya – mereka tidak mengambil apa-apa keuntungan dari wahyu Tuhan yang telah sampai kepada mereka.
3:199 Dan sesungguhnya di kalangan ahli Kitab, yang percaya kepada Allah dan apa yang telah didedahkan kepada kamu dan yang telah didedahkan kepada mereka – mereka merendah diri terhadap Allah – mereka tidak menukar ayat-ayat Tuhan dengan harga yang sedikit; kepada mereka ganjaran mereka adalah dari Pemelihara mereka – sudah tentu Allah sangat cepat membuat perkiraan.
Bagaimana pula pendapat para pembaca semua mengenai perkara ini? Wajarkah kita mengambilnya sebagai satu petunjuk untuk kita membuat penilaian siapa yang patuh kepada Allah – yang mengikuti jejak para nabi dan rasul – dan siapa yang sebaliknya?
Tidak ada manusia berhak menjadi pelindung di samping Allah
Secara umumnya orang Islam percaya bahawa Nabi Muhamad akan memberi syafaat kepada mereka di hari kiamat kelak.
Sebahagian dari kepercayaan tentang syafaat Nabi itu adalah apabila Nabi dikatakan boleh berunding dengan Tuhan supaya membatalkan atau meringankan hukuman terhadap umatnya di akhirat nanti. Orang Islam percaya bahawa sejahat mana pun mereka di dunia ini, di akhirat nanti mereka tidak akan tinggal kekal di dalam neraka. Idea seperti ini tidak disebut di dalam Al-Quran. Tetapi akibat terlalu mempercayainya, umat Islam cenderung mengampu Nabi dan menyekutukan beliau dengan Tuhan di mana dan bila saja ada peluang.
Apa saja yang disandarkan ke atas Nabi sangat mudah diterima oleh masyarakat Islam. Teks-teks yang didakwa sebagai hadis dan sunnah Nabi menjadi rujukan utama mereka. Orang-orang yang menjaja hadis atau sunnah Nabi diberi tempat yang istimewa dalam kepercayaan dan masyarakat. Walaupun mereka sendiri tidak pernah mengenali mana-mana individu yang menjadi penulis asal hadis-hadis atau sunnah-sunnah itu – dan Tuhan juga tidak pernah mengesahkan tentang peranan atau kedudukan mereka – umat Islam tidak peduli.
Akibat kepercayaan membuta-tuli kepada manusia-manusia yang menjanjikan mereka syurga di atas nama Nabi, maka lahirlah pelbagai amalan ritual, sistem perundangan dan hukum-hakam fekah yang hampir semuanya diolah dari hadis dan sunnah. Jika kita periksa di dalam Al-Quran, ritual-ritual yang mereka amalkan bukanlah sesuatu yang Tuhan suruh kita amalkan, undang-undang yang mereka tegakkan seringkali bersifat bersifat cacamarba walaupun dikatakan undang-undang Tuhan, hukum-hakam fekahnya pula menyempitkan minda dan kehidupan umat.
Saya tahu topik ini bakal menggamit kuat sensitiviti para pembaca. Tetapi ia satu topik yang amat penting – yang kita mesti berani hadapi, selidik dan bincangkan supaya kita tidak menjadi di antara mereka yang menjadikan manusia lain sebagai pelindung (menyekutukan Tuhan) – yang akibatnya semua usaha dan amalan kita di dunia ini menjadi sia-sia – dan di akhirat nanti hanya layak menjadi penghuni neraka sebagaimana yang Tuhan nyatakan dalam ayat-ayat ini.
18.102 Adakah mereka yang tidak percaya fikir mereka boleh mengambil hamba-hambaKu sebagai pelindung di samping Aku? Sesungguhnya kami telah menyediakan neraka sebagai hiburan untuk mereka yang tidak percaya.
18.103 Katakan: Patutkah Kami beritahu mereka siapa yang rugi besar dalam amalan mereka?
18.104 “Mereka yang usahanya sia-sia ketika hidup dunia ini, sedangkan mereka fikir mereka mendapat kebaikan dari kerja-kerja mereka.
18.105 Mereka adalah orang-orang yang menafikan Pedoman-Pedoman Tuhan mereka dan hakikat mereka akan menemui Dia – sia-sia sajalah amalan mereka – tidak juga Kami di hari kiamat akan memberi sebarang pertimbangan.
18.106 Itulah ganjaran untuk mereka – neraka – kerana mereka menolak kepercayaan dan mengambil Pedoman-PedomanKu dan rasul-rasulKu sebagai olok-olokan.
Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan memperolok-olokkan Pedoman Tuhan dan rasulNya? Saya berpendapat salah satu daripadanya adalah apabila kita mengambil teks-teks yang ditulis oleh orang lain dan kemudian percaya apa yang mereka tulis itu merupakan pelengkap dan penjelas kepada ayat-ayat Allah atas alasan ia adalah hadis dan sunnah rasulullah.
Kerana – bagaimana jika bukan? Bagaimana jika Nabi tidak pernah sebut apa yang kononnya beliau telah sebut? Bagaimana jika Nabi tidak pernah melakukan apa yang kononnya beliau telah lakukan? Siapa yang akan memikul tanggungjawab untuk menjadi saksi ke atas semua dakwaan mereka? Si polan atas si polan atas si polan? Tak payah mahkamah Tuhan, mahkamah manusia pun pasti tak akan terima persaksian seperti ini! Inilah yang dikatakan olok-olokan.
Selain itu patutkah kita memberi gambaran bahawa Tuhan – Pencipta segala apa yang ada di langit dan di bumi – yang nyata dan yang ghaib – mewahyukan sebuah Kitab yang tidak lengkap, tidak jelas atau tidak boleh difahami oleh makhluk yang menerimanya – iaitu manusia? Tuhan yang bodoh atau hanya manusia yang ada sifat itu?
Saya berpandangan kita patut tanya diri kita sendiri sampai lebam sebelum berasa begitu seronok memperolok-olokkan ayat-ayat Tuhan atas nama rasul. Tuhan wahyukan Al-Quran kerana belas kasihanNya kepada kita. Jadi di mana kewajarannya untuk kita bersifat dangkal dan sombong kepada Tuhan? Sudahkah kita membaca KitabNya? Sudahkah kita membuat penyelidikan untuk memahami KitabNya? Sudahkah kita bertekun dan berpuasa sebagaimana yang Tuhan nasihatkan sebelum kita berkata itu dan ini?
Adakah ilmu Tuhan sempit atau adakah Tuhan tidak cukup kaya dengan perbendaharaan kata untuk menyampaikan sebuah Kitab yang lengkap sehingga kita terpaksa merujuk kepada cerita-cerita turun temurun untuk melengkapkan isikandungannya? Mungkin kita patut renung dalam-dalam mengapa Tuhan menyuruh Nabi berkata seperti berikut.
18.109 Katakan: Jika lautan itu dakwat untuk perkataan-perkataan Tuhanku – ia akan habis berbanding perkataan-perkataan Tuhanku – walaupun jika kamu adakan lagi lautan sepertinya sebagai tambahan.
18.110 Katakan: Aku hanyalah seorang lelaki seperti kamu, tetapi inspirasi itu telah sampai kepada aku – bahawa Tuhanmu adalah Tuhan yang Satu – sesiapa saja yang menjangka untuk bertemu Empunyanya, kerjakanlah amalan-amalan yang benar dan dalam berbakti kepada Tuhan, jangan sertakan sebarang sekutu.
Adakah Tuhan melantik Nabi sebagai sekutuNya? Atau adakah Nabi telah menjadikan dirinya sekutu kepada Tuhan? Tidak bolehkah kita faham nasihat Tuhan dan nasihat Nabi yang ringkas dan mudah itu?
Nampaknya kita ada begitu banyak soalan yang perlukan jawapan.
Kaum yang degil, hipokrit dan sesat
Jika artikel sebelum ini mengulas mengenai konsep ketuhanan orang Arab, kali ini kita tumpukan kepada kaum itu sendiri. Bagi mereka yang percaya kepada kisah-kisah riwayat yang tidak mempunyai authority dari Al-Quran, orang-orang Arab dikatakan telah menerima Islam dan Al-Quran secara total. Kaum yang mereka kagum dan sanjung. Apa saja tentang Arab adalah jalan ke syurga.
Kononnya walaupun pada peringkat awal kaum nabi dikatakan bersikap kritikal, defensif dan dalam masa yang sama agresif kepada nabi di mana mereka telah berusaha membunuhnya dan memeranginya beberapa kali, namun setelah asyik gagal dalam usaha mereka itu dan akhirnya mereka menerima sepenuhnya apa yang nabi sampaikan sehinggalah nabi meninggal dunia.
Bagaimanapun jika kita lihat bukti-bukti dari Al-Quran, tidak ada satu ayat pun yang menyokong keadaan yang sedemikian. Seperti kaum-kaum nabi sebelum Muhamad, Tuhan memberitahu kita kaum Muhamad juga tidak kurang keingkarannya. Mereka degil, hipokrit dan menolak apa yang telah disampaikan kepada mereka. Mereka tidak menerima Muhamad dan apa yang diwahyukan kepadanya kecuali sebahagian kecil.
Hakikat itu dapat kita lihat sehingga hari ini apabila mereka masih lagi mempersekutukan Tuhan dengan bangunan ciptaan mereka sendiri yang dilengkapi dengan pelbagai elemen dan simbol suci yang pada dasarnya hanya mereka sahaja yang tahu rasional di sebaliknya (jika ada). Begitu juga semua amalan ritual yang dipersabitkan kepada apa yang mereka persekutukan itu, adakah benar-benar direstui Tuhan?
Mari kita lihat kedudukan mereka dari kacamata Al-Quran.
25:1 Penuh berkat Dia Yang menurunkan Al-Quran ke atas hambaNya supaya dia menjadi pemberi amaran kepada umat manusia.
25:2 Dia, Yang Memiliki Kerajaan di langit dan di bumi, dan Dia yang tidak memiliki anak, dan Dia tidak memiliki sekutu dalam kerajaanNya, dan Dia yang telah mencipta segala-galanya dan menetapkan pengiraannya.
25:3 Dan mereka telah mengambil selainNya tuhan-tuhan, yang tidak mencipta apa pun sedangkan mereka sendiri dicipta, dan mereka tidak berkuasa untuk memberi diri mereka sendiri kerugian atau keuntungan, dan mereka tidak berkuasa menentukan mati atau hidup, tidak juga menghidupkan kembali.
25:4 Dan mereka yang tidak percaya berkata: Ini (Al-Quran) hanyalah penipuan semata-mata yang dipalsukan dan orang lain telah membantu dia melakukannya – maka sesungguhnya mereka telah berlaku tidak adil dan berbohong.
25:5 Dan mereka berkata: Ini kisah-kisah purbakala – yang dia telah menulisnya – yang telah dibacakan kepadanya pagi dan petang.
25:6 Katakan: Dia yang telah mewahyukannya Dia tahu rahsia di langit dan di bumi – sesungguhnya Dia sentiasa memberi keampunan dan Mengasihani.
25:7 Dan mereka berkata: Apa kena dengan rasul ini yang makan makanan dan berjalan-jalan di pasar, mengapa tidak dihantar seorang malaikat kepadanya supaya dia memberi nasihat kepadanya?
25:8 Atau harta yang banyak dihantar kepadanya atau jadikannya memiliki kebun dari mana dia boleh makan? Dan yang tidak rasional berkata: Kamu jangan ikut kerana dia tidak siuman.
25:9 Lihatlah apa yang mereka persamakan ke atasmu, jadi mereka telah sesat, maka mereka tidak akan dapat mencari jalan kebenaran.
Kesimpulan yang dapat kita perolehi dari ayat-ayat di atas adalah:
- Orang-orang Arab memilih untuk terus menyekutukan Tuhan dengan tuhan-tuhan mereka walaupun telah disampaikan kepada mereka Al-Quran.
- Mereka mengatakan Al-Quran itu satu penipuan yang ditulis oleh Muhamad dengan bantuan orang-orang lain.
- Mereka mengejek dan tidak percaya bahawa Muhamad seorang rasul kerana dirinya yang serba biasa dan tidak termasuk dalam golongan yang mereka anggap layak dihormati.
- Tuhan menegaskan bahawa mereka adalah kaum yang sesat.
Melalui ayat-ayat serta kesimpulan yang dapat saya fikirkan di atas, adakah wajar kita memberi kepercayaan penuh kepada kaum yang terang-terang telah menolak rasul dan wahyu yang disampaikan kepada mereka sebagaimana dimaklumkan sendiri oleh Tuhan kepada kita?
9:97 Orang-orang Arab adalah paling teruk ketidakpercayaannya dan hipokrit – dan sangat dangkal dengan yang telah diwahyukan oleh Tuhan melalui rasulNya – dan Tuhan Mengetahui dan Menghakimi.
Kebergantungan mutlak kepada ulama mungkin menyesatkan kita terus ke neraka
Dalam artikel sebelum ini saya menulis tentang Al-Quran sebagai dokumen perjanjian di antara kita, orang yang percaya, dengan Tuhan dan Tuhan dengan kita. Oleh itu, saya berpendapat setiap Muslim yang mengaku percaya, perlulah membaca dan memahami Al-Quran kerana bagaimana mungkin kita boleh menunaikan semua komitmen yang terkandung dalam dokumen perjanjian kita itu jika kita tidak berinisiatif langsung untuk mengetahuinya. Perkara paling asas apabila kita memasuki sesebuah perjanjian sudah tentulah membaca, mengetahui dan memahami isi kandungan perjanjian berkenaan.
Malangnya idea membaca perjanjian seperti tidak laku di kalangan masyarakat Islam. Majoriti orang Islam langsung tidak peduli isi kandungan Al-Quran. Mereka sudah berpuashati jika dapat ‘mengaji Al-Quran sehingga khatam’ dan mampu menghafal beberapa surah ringkas. Itu pun kerana ia diperlukan dalam bacaan sembahyang mereka. Mereka bukan saja tidak merasa perlu untuk memahami Al-Quran walaupun melalui naskah terjemahan, tetapi turut percaya sesiapa yang mencubanya secara sendirian berkemungkinan akan disesatkan Syaitan berbanding mendapat hidayah Tuhan. Akibatnya, dalam masyarakat Islam jarang sekali kita jumpa mereka yang berani menyentuh terjemahan Al-Quran dalam bahasa masing-masing.
Sebenarnya, jika ada yang berani pun usaha mereka belum tentu dapat membawa mereka ke jalan yang lurus. Kepercayaan yang mengatakan mereka akan bertambah sesat mungkin ada betulnya. Ini kerana terjemahan yang disogokkan kepada umat tidaklah bebas dari tangan para ulama yang mengepalai kepercayaan mereka. Para ulama nampaknya telah mengambilkira semua sudut supaya usaha menggembala umat mematuhi Islam versi mereka tidak dapat dihidu. Selepas berjaya menyakinkan orang-orang Islam bahawa Al-Quran dalam bahasa Arab cukup sekadar menjadi kitab untuk dinyanyi-nyanyikan, mereka kemudiannya menggodam terjemahan dan tafsirannya supaya selaras dengan kitab-kitab ciptaan mereka sendiri.
Kalau para pembaca budiman tidak percaya, mari kita lihat satu contoh. Dan saya sangat berharap pembaca budiman boleh bersabar sedikit untuk membaca dengan teliti apa yang saya mahu kongsi dalam artikel ini kerana sesungguhnya ia amat penting. Kita mulakan dengan terjemahan Surah An-Najm, ayat 1-18 dari sumber ini.
[1] Demi bintang semasa ia menjunam, –
[2] Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).
[3] Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.
[4] Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
[5] wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, –
[6] Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, –
[7] Sedang ia berada di arah yang tinggi (di langit);
[8] Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit,
[9] Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi;
[10] Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukanNya.
[11] Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.
[12] Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?
[13] Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi,
[14] Di sisi “Sidratul-Muntaha”;
[15] Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.
[16] (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.
[17] Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas.
[18] Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.
Mari kita semak satu persatu.
1. Melalui petikan terjemahan di atas, kita melihat ayat 1 – 18, Surah An-Najm itu dirujuk kepada Nabi Muhamad. Lihat ayat 2, kononnya ayat ini ditujukan kepada para sahabat Nabi dan “rakan kamu” yang dimaksudkan oleh ayat berkenaan adalah Nabi Muhamad sendiri.
2. Melalui ayat 4 – 10, Nabi Muhamad dikatakan menerima wahyu dari Jibril yang turun ke bumi. Dan wahyu yang disampaikan kepada Muhamad kononnya bukan sekadar Al-Quran, bahkan hadis juga (ayat 4).
3. Melalui ayat 11 – 12 kononnya Nabi Muhamad melihat Jibril dalam bentuk asalnya.
4. Melalui ayat 13 Nabi dikatakan bertemu Jibril buat kali kedua dan ayat 14 – 18 hanya Tuhan saja yang tahu apa yang cuba disampaikan oleh penterjemah.
Kepada mereka yang tidak berhati-hati, terjemahan di atas tiada cacat celanya. Malangnya ia tidak semudah itu. Terjemahan di atas sebenarnya telah memesongkan ayat-ayat Allah pada kadar di luar jangkaan. Selepas habis membaca artikel ini saya yakin pembaca budiman tentu tidak menyangka sebuah terjemahan rasmi Al-Quran boleh menjadi seburuk itu.
Ayat-ayat di atas sebenarnya bukan dirujuk kepada Nabi Muhamad. Ia adalah rujukan kepada Nabi Musa. “Rakan kamu” yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat 2 adalah Nabi Musa. Dalam konteks hubungan antara rasul, Allah sifatkan Nabi Musa sebagai rakan atau sahabat kepada Nabi Muhamad. Kita kena ingat, ayat ini diturunkan kepada Nabi Muhamad dan bukan kepada para sahabat sebagaimana yang cuba diajukan oleh penterjemah iiu.edu.my.
Di bawah adalah bagaimana terjemahan Surah An-Najm, ayat 1 – 18 sepatutnya dibaca. Sebagai makluman terjemahan ini adalah terjemahan semula oleh saya dari terjemahan bahasa Inggeris oleh Syakir.
53:1 “Demi bintang apabila ia jatuh”
53:2 “Sahabatmu tidak salah dan tidak juga dia sesat”
53:3 “Tidak juga dia bercakap dengan nafsu”
53:4 “Ia bukan kecuali wahyu yang telah diwahyukan”
53:5 “Tuhan yang Maha Berkuasa yang telah mengajarnya”
53:6 ” Tuhan yang Memberi Kekuatan, supaya dia berjaya melaksanakan”
53:7 “Dan Dia berada tinggi di kaki langit”
53:8 “Kemudian Dia semakin hampir dan merendahkan diriNya”
53:9 “Dia hanya berjarak 2 panahan panah atau lebih dekat”
53:10 “Dan Dia mewahyukan kepada hambaNya apa yang Dia wahyukan”
53:11 “Hatinya seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya”
53:12 “Apa? Kamu pertikaikan apa yang dia lihat?”
53:13 “Dan sesungguhnya dia telah melihatNya di penurunan yang satu lagi”
53:14 “Di sisi Sidratul Muntaha”
53:15 “Yang hampir kepadanya syurga, tempat yang dituju”
53:16 “Sidratul Muntaha yang dilitupi”
53:17 “Matanya tidak berkelip, namun ia tidak salah”
53:18 “Sesungguhnya dia melihat mukjizat-mukjizat terbesar dari Tuhannya”
Dalam sejarah Nabi-Nabi, hanya seorang Nabi saja yang telah menerima mukjizat dan wahyu dari Tuhan secara terus, di mana Tuhan turun ke bumi menemuinya. Dan Nabi itu adalah Nabi Musa. Tuhan telah turun ke bumi dalam dua peristiwa untuk menemui Nabi Musa. Peristiwa pertama adalah apabila Tuhan memperlihatkan dan memberi Nabi Musa mukjizat untuk beliau berdepan dengan Firaun dan peristiwa kedua adalah apabila Tuhan menyampaikan wahyunya kepada Nabi Musa. Dan ayat-ayat surah An-Najm menepati gambaran tentang pengalaman yang telah dilalui oleh Nabi Musa.
Nabi Muhamad tidak pernah menerima mukjizat selain dari Al-Quran dan tidak menerima wahyu secara terus dari Tuhan sebaliknya melalui perantaraan Jibril. Oleh itu mengatakan ayat 1 – 18, Surah An-Najm sebagai merujuk kepada Nabi Muhamad adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan keterlaluan.
Pertemuan pertama Nabi Musa dengan Tuhan diceritakan di dalam Al-Quran dengan jelas melalui Surah Ta-Ha (Surah ke 20).
20:9 “Dan sudahkan cerita tentang Musa sampai kepada kamu?”
20:10 “Apabila dia melihat api dan dia berkata kepada keluarganya, “Berhenti! Sesungguhnya aku melihat api, mungkin aku dapat membawa bara kepada kamu atau mendapatkan panduan di api itu”.
20:11 “Jadi apabila dia datang kepadanya, satu suara kedengaran: “Wahai Musa:
20:12 “Sesungguhnya akuTuhanmu, oleh itu bukalah kasutmu, sesungguhnya kamu berada di lembah suci, Tuwa”.
20:13 “Dan Aku telah memilihmu, jadi dengarlah apa yang akan diwahyukan”.
20:14 “Sesungguhnya Aku Allah, tidak ada Tuhan lain selain Aku, oleh itu berbaktilah kepadaKu dan tunaikan komitmen sebagai ingatan kepadaKu”.
20:15 “Sesungguhnya masanya akan tiba – Aku akan memperlihatkannya – supaya setiap jiwa akan diberi ganjaran atas usahanya”.
20:16 “Oleh itu jangan biarkan sesiapa yang tidak percayakannya dan menurut nafsu dangkalnya memalingkan kamu daripadanya supaya kamu gagal”.
20:17 “Dan apakah yang ada di tangan kanan kamu, wahai Musa?”
20:18 “Dia berkata; Ini tongkatku. Aku bersandar kepadanya dan aku menggunakannya untuk memukul daun-daun supaya jatuh sebagai makanan biri-biriku, aku juga menggunakanya untuk tujuan lain”.
20:19 “Dia berkata: Campakkannya, wahai Musa!”
20:20 “Jadi dia mencampakkannya, dan lo! Ia menjadi ular yang menjalar”.
20:21 “Dia berkata: Peganglah ia dan jangan takut, Kami akan kembalikan ia kepada bentuk asalnya”.
20:22 “Dan tekan tangan kamu ke sisi kamu, ia akan menjadi putih bersih: satu lagi mukjizat”.
20:23 “Semoga Kami akan tunjukkan mukjizat yang lebih hebat kepada kamu”.
20:24 “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas”.
20:25 “Dia (Musa) berkata; Wahai Tuhanku! Lapangkanlah dadaku”.
20:26 “Dan mudahkanlah urusanku”.
20:27 “Dan bebaskan kelu lidahku…”
Kisah mengenai Nabi Musa yang terpukau pada satu malam di mana dia telah bertemu Tuhan yang memperlihatkan kepadanya mukjizat-mukjizat dalam 20:9 – 27 di atas selaras dengan konteks ayat-ayat 53:13 – 18.
Pertemuan seterusnya pula berlaku apabila Tuhan turun ke bumi untuk menyampaikan wahyu kepada Musa. Kisah mengenai pertemuan ini diceritakan dalam Surah Al-A’raf ayat142-145.
7:142 “Dan kami menetapkan pertemuan dengan Musa selama 30 malam dan menyudahkannya dengan 10 lagi, jadi tempoh pertemuan dengan Tuhannya selesai dalam 40 malam, dan Musa berkata kepada adiknya Harun: Ambil tempatku di kalangan orang-orangku dan uruskan dengan baik dan jangan ikut cara mereka yang membuat kerosakan”.
7:143 “Dan apabila Musa datang pada masa yang telah ditetapkan dan Tuhannya menegurnya dan beliau berkata: Tuhanku! Tunjukkanlah, supaya aku dapat melihat Dirimu. Dia (Tuhan) berkata: Kamu tidak akan mampu melihat Aku tetapi lihatlah gunung itu, jika ia kekal di tempatnya, maka kamu akan melihat Aku, tetapi apabila Tuhan menzahirkan kebesarannya kepada gunung itu Dia membuatnya runtuh dan Musa jatuh pengsan; kemudian bila dia kembali pulih, dia berkata: Keagungan untukMu, aku patuh kepadaMu dan akulah di antara mereka yang percaya”.
7:144 “Dia berkata: Wahai Musa! Sesungguhnya aku telah memilih kamu di atas yang lain untuk menyampaikan pesanan-pesanan dan perkataan-perkataanKu, oleh itu peganglah apa yang Aku berikan kepadamu dan jadilah antara mereka yang menghargai”.
7:145 “Dan kami perintahkan untuk dia dalam bentuk senarai peringatan yang pelbagai dan penjelasan dalam semua perkara; jadi peganglah semuanya dengan teguh dan ajaklah orang-orang kamu untuk berpegang kepada apa yang terbaik, aku akan tunjukkan kepadamu tempat tinggal yang kekal untuk mereka yang melampaui batas.”
Kisah yang diceritakan melalui ayat 7:142 – 145 di atas selaras dengan konteks ayat 53:2 -12.
Kesimpulan
Selepas melihat semua rujukan ayat 20:9 – 27 dan 7:142 – 145, maka bukti yang jelas telah kita lihat sendiri bahawa Surah An-Najm, ayat 1 – 18 tidak syak sememangnya merujuk kepada Nabi Musa dan bukan Nabi Muhamad sebagaimana yang cuba dipesongkan oleh penterjemah iiu.edu.my dan penterjemah “bertauliah” yang lain.
Jika pembaca budiman fikir pemesongan tentang Nabi Musa ini berakhir di sini, bersedialah untuk terkejut. Ia tidak berakhir di sini. Tetapi ia berakhir di tikar sembahyang orang-orang Islam.
Para ulama memberitahu umat Islam bahawa sembahyang merupakan satu ibadat yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada Nabi Muhamad secara terus, di mana Nabi telah diterbangkan dari Mekah ke Baitul Muqqaddis dan kemudian menemui Tuhan di langit ke tujuh dalam peristiwa ajaib yang diberi nama Israk dan Mikraj. Saya rasa tidak perlu saya bercerita panjang tentang perjalanan “adventure” ala hikayat 1001 Malam Nabi itu kerana saya yakin para pembaca budiman tentu lebih maklum mengenainya.
Untuk cerita mereka itu, para ulama hanya menggunakan dalil ayat 1, Surah Al-Israa.
17:1 “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Sekali lagi terjemahan oleh iiu.edu.my)
Bayangkan hanya melalui satu ayat ini, para ulama mampu mencipta sebuah cerita yang memukau jutaan manusia di serata dunia dan memastikan penganut Islam sembahyang 5 kali sehari dengan cara yang mereka (ulama) sendiri tetapkan. Kalau ini bukan pencapaian yang menakjubkan, apa lagi? Memang hebat!
Tetapi betulkah ayat 1, Surah Al-Israa itu merujuk kepada Nabi Muhamad? Mari kita lihat, periksa dan teliti baik-baik. Dari terjemahan Syakir, saya terjemahkan semula begini:
17:1 “Pujian adalah untuk Yang Satu yang telah memperjalankan hambaNya pada satu malam daripada persetujuan yang direstui kepada persetujuan yang jauh, yang Kami telah berkati, supaya Kami perlihatkan dia tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia Mendengar dan Melihat”.
17:2 “Dan kami berikan Musa Kitab dan dijadikan ia Petunjuk untuk bani Israel. Kamu tidak patut mengambil selain dari aku sebagai penaung”.
17:3 “Keturunan seseorang yang telah Kami bawa bersama Nuh, sesungguhnya dia adalah hamba yang berterima kasih”.
Baca betul-betul ayat 17:1: Yang Satu (Tuhan) telah memperjalankan hambaNya pada satu malam untuk memperlihatkan mukjizat-mukjizatnya dan meletakkan status hambaNya itu dari seorang biasa ke arah menjadi seorang rasul.
Selepas jelas maksud ayat 17:1 kepada kita mari kita sama-sama jawab persoalan-persoalan ini:
- Adakah Nabi Muhamad pernah berjalan pada satu malam dan Tuhan memperlihatkan mukjizat-mukjizatnya? Tidak.
- Adakah Nabi Muhamad pernah menerima apa-apa mukjizat selain Al-Quran? Tidak.
- Adakah Tuhan pernah turun ke bumi untuk menemui Nabi Muhamad secara terus? Tidak.
- Adakah Nabi Musa pernah terpukau pada satu malam kerana Tuhan memperlihatkan mukjizat-mukjizatnya? Ya.
- Adakah kedua-dua (bangunan) masjid Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa (Nabi dikatakan sembahyang 2 rakaat di situ sebelum terbang ke langit) telah wujud ketika peristiwa Israk & Mikraj Nabi Muhamad? Tidak.
- Adakah kedua-dua (bangunan) masjid Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa telah wujud ketika zaman Nabi Musa? Tidak.
- Adakah konteks ayat 17:2 – 3 selaras atau harmoni dengan ayat 17:1 jika ia dirujuk kepada Nabi Musa? Ya.
Oleh itu ayat 17:1 terbukti merujuk kepada Nabi Musa dan bukan Nabi Muhamad seperti mana yang dikatakan oleh para ulama. Dengan kesimpulan ini, maka peristiwa Israk & Mikraj sebenarnya tidak pernah berlaku. Dan kalau begitu bagaimana dengan sembahyang lima waktu yang kononnya diperintahkan Tuhan melalui peristiwa itu?
Saya berpendapat kita perlu renungkan ayat di bawah supaya tidak kekal menjadi umat yang sesat.
7:146 “Aku akan palingkan dari wahyu-wahyuku mereka yang sombong tidak bertempat di bumi ini dan jika mereka melihat setiap petunjuk mereka tidak akan mempercayainya dan jika melihat jalan yang baik mereka tidak mengambilnya sebagai jalan mereka tetapi jika melihat jalan yang salah, mereka mengambilnya sebagai jalan mereka, ini kerana mereka menolak wahyu-wahyu kami dan langsung tidak peduli akannya”.
Nabi Muhamad tidak buta huruf
Ulama mengatakan Nabi sebagai seorang yang buta huruf dengan berdalil ayat 62:2. Mereka mentafsirkan perkataan ummiyyin sebagai buta huruf dan menyandarkannya kepada Nabi. Sedangkan maksud sebenar perkataan ummiyyin itu adalah yang tidak kenal Tuhan – Al-Kitab/Nabi/Rasul tak pernah sampai kepada mereka (gentiles). Jom periksa 62:2
huwal-lazi ba’asha – Dialah yang telah mengutuskan
fil-ummyin – di kalangan yang tidak mengenal Tuhan (among the gentiles)
rosulan min-hum – seorang rasul dari mereka
yatlu a’laihem – untuk membacakan kepada mereka wahyu Tuhan
wa-yuzak-kihem – dan memurnikan mereka
wa-yua’limuhumul – dan mengajar mereka
kitaba – Al-Kitab
wal-Hikmata – dan kebijaksanaan
wa-ainkanu – sesungguhnya mereka
min-qoblu – dari dulu
lafi-thola-lin mubin – dalam kesesatan
Ayat di atas menjelaskan bahawa Nabi adalah rasul pertama di kalangan orang Arab. Tidak pernah sampai kepada mereka sebarang Nabi atau Rasul atau Kitab Tuhan sebelum Muhamad. Dan dalam konteks perbincangan, ayat 62:2 jelas tidak mengatakan atau menggambarkan bahawa Nabi seorang yang buta huruf. Ia hanya menjelaskan bahawa Nabi dan kaumnya merupakan mereka yang tidak pernah diutuskan di kalangan mereka rasul mahu pun mereka pernah membaca mana-mana Al-Kitab.
Untuk mengesahkan lagi bahawa orang Arab tidak pernah menerima pedoman Tuhan sebelum Nabi, kita boleh rujuk satu lagi ayat.
34:44 “Dan kami tidak pernah memberi mereka apa-apa Al-Kitab untuk mereka baca dan tidak juga kami telah mengutuskan mereka seorang pemberi amaran”.
Dengan pencerahan ini, sekarang kita tahu perkara yang sebenar mengenai kedudukan orang Arab sebelum Muhamad. Satu persoalan timbul dari pengetahuan baru ini, kalau begitu keadaannya, maknanya cerita bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pernah menjejak kaki di Mekah adalah tidak benar.
Tuhan kata tidak pernah sampai kepada orang Arab walau seorang Nabi/Rasul/Kitab dari kalangan mereka. Oleh itu perkara tentang Kaabah dan sebagainya mungkin perlu kita periksa semula. Dengan serius. Tapi ini sudah topik lain. Kembali kepada perbincangan asal, adakah benar Nabi buta huruf?
Menurut Al-Quran, tidak. Nabi bukan seorang yang buta huruf. Malah Nabi telah menulis Al-Quran apabila ayat-ayatnya diwahyukan kepadanya. Baca surah Al-Furqan dengan teliti. Misalnya;
25:4-5 “Mereka yang tidak percaya (orang-orang Arab) berkata; Ini adalah rekaan yang dibuat dengan bantuan beberapa orang. Sesungguhnya mereka telah mengucapkan kejahatan dan penipuan. Dan mereka juga berkata; Dia (Muhamad) menulis cerita-cerita dongeng dahulu kala yang dibacakan kepadanya pagi dan petang”.
Ayat di atas secara tidak langsung menyatakan Nabi menulis apa yang disampaikannya, iaitu Al-Quran. Sebenarnya orang Arab zaman Nabi sendiri pun menyifatkan Nabi seorang yang terpelajar (learned – mu-a’lamun). Ini boleh kita lihat melalui ayat 44:13-14.
44:13-14 “Bagaimanakah mereka menyambut peringatan itu? Dan sesungguhnya telah seorang yang jelas Rasul, dan mereka menafikannya dan berkata, “dia terpelajar (mua’lamun – learned), (tetapi) gila”.
Melalui dalil-dalil yang terkandung dalam Al-Quran adalah jelas Nabi bukanlah seorang buta huruf. Beliau adalah seorang rasul Tuhan yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada tugasan yang diamanahkan iaitu menerima wahyu, menulis wahyu yang diterima dan menyampaikannya sebagaimana Tuhan nak dia sampaikan.
Sudah jelas dalam dalil-dalil itu bagaimana orang Arab kaum Nabi sebenarnya menolak dan memperlekeh Nabi. Sekarang mereka kata Nabi seorang buta huruf, jadi patutkah kita percaya bulat-bulat apa yang mereka kata tanpa terasa sedikit pun untuk membuat semakan?
Jika kita fikir-fikirkan, tentulah tidak munasabah Allah melantik seorang rasul yang tidak tahu membaca dan menulis sehingga rasul-Nya terpaksa bergantung kepada orang lain untuk menuliskan wahyu yang diterimanya. Dengan kata lain, jika itu keadaannya maka Nabi Muhamad bukanlah seorang rasul yang telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna.
Perlantikan seseorang rasul merupakan suatu yang eksklusif dan setiap rasul berdiri di atas keupayaannya sendiri dalam melaksanakan amanah yang disandarkan Allah kepadanya. Tidak ada seorang pun rasul sebelum Muhamad yang kita tahu bergantung kepada orang lain untuk menyempurnakan tugas mereka, iaitu menerima wahyu dan menyampaikannya kepada kaum mereka.
Sudah tentu, Nabi Muhamad juga telah menyempurnakan kerasulannya beliau tanpa bergantung kepada orang lain. Dan itu termasuk menulis sendiri wahyu yang sampai kepada beliau sesuai dengan apa yang telah dijelaskan oleh Tuhan bahawa Dia mengajar rasul-Nya dan kita semua melalui pena.
96:1-5 “Bacalah dengan nama Tuhan kamu yang mencipta. Dia mencipta manusia dari segumpal darah. Baca dan Tuhanmu yang Pemurah. Dia mengajar dengan pena. Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”.