Archive for the ‘Quran’ Category
Al-Islama bermaksud “yang telah dialu-alukan”
Salam bukan bermaksud sejahtera atau aman dan sebagainya. Tetapi ia bermaksud alu-aluan. Oleh itu Al-Islama bermaksud “yang telah dialu-alukan”. Berikut adalah sebahagian ayat 5:3 yang mengandungi perkataan Al-Islama.
5:3 (sebahagian)
….Hari ini telah patah semangat yang menafikan dari perisytiharan kamu. Maka jangan takutkan mereka dan takutilah Aku. Hari ini telah disempurna kepada kamu perisytiharan kamu, telah Aku sempurnakan bagi kamu nikmatKu @ My favor dan Aku restui ke atas kamu semua yang telah dialu-alukan (al-islama) sebagai suatu perisytiharan. Kepada sesiapa terpaksa dalam kelaparan selain orang-orang yang bias kepada perbuatan salah maka sesungguhnya Tuhan Pengampun, Penyayang.
alyawma — hari ini
yaisa — telah patah semangat
allatheena — yang
kafaroo — menafikan
min — dari
deenikum — perisytiharan kamu
fala — maka jangan
takhshawhum — takutkan mereka
waikhshawni — dan takutilah Aku
alyawma — hari ini
akmaltu – telah disempurna
lakum — kepada kamu
deenakum — perisytiharan kamu
waatmamtu — telah Aku sempurnakan
AAalaykum — ke atas kamu
niAAmatee — nikmatKu @ My favor
waradeetu — dan Aku restui
lakumu — bagi kamu semua
alislama — yang telah dialu-alukan
deenan — sebagai suatu perisytiharan
famani — kepada sesiapa
idturra — terpaksa
fee — dalam
makhmasatin — kelaparan
ghayra — selain
mutajanifin — orang-orang yang bias
liithmin — kepada perbuatan salah
fainna — maka sesungguhnya
Allaha — Tuhan
ghafoorun — Pengampun
raheemun — Penyayang
Secara ringkas ayat 5:3 menjelaskan bahawa perisytiharan berkenaan makanan telah disempurnakan oleh Tuhan dan merupakan suatu nikmati @ favor dari Tuhan dan yang direstui sebagai perisytiharan untuk “yang dialu-alukan” @ al-islami. Di dalam Quran antara yang dialu-alukan adalah nabi-nabi, orang yang percaya dan sebagainya.
Dengan ini saya cadangkan para pembaca budiman membuat semakan terhadap semua ayat Quran yang mengandungi perkataan dari akar huruf “sin-lam-mim” untuk menguji dan melihat sendiri samada penemuan saya ini boleh dipertimbangkan atau tidak.
Jangan Beri Rasuah Untuk Menang Tender
2:188 Dan jangan makan harta kamu di antara kamu dengan kepalsuan. Dan jangan mengumpan dengannya kepada pembuat-pembuat keputusan (the decision makers) – alhukkami – supaya kamu dapat makan sebahagian dari harta manusia dengan kesalahan sedangkan kamu telah diberitahu.
Wala — Dan jangan
takuloo — makan
amwalakum — kekayaan/harta kamu
baynakum — di antara kamu
bialbatili — dengan kepalsuan
watudloo — Dan jangan mengumpan (merasuah)
biha — dengannya
ila — kepada
alhukkami — pembuat keputusan @ the decision makers
litakuloo — supaya kamu dapat makan
fareeqan — sebahagian
min — dari
amwali — kekayaan/harta-harta
alnnasi — manusia
bialithmi — dengan kesalahan
waantum — sedangkan kamu
taAAlamoona — telah diberitahu
Ayat di atas memberitahu kita supaya tidak makan harta yang kita perolehi melalui cara yang palsu atau menipu atau jalan yang tidak betul. Misalnya Tuhan melarang menggunakan harta kita untuk merasuah para pembuat keputusan seperti menteri, ketua pengarah, pengarah, ketua jurutera atau buyer atau jawatankuasa tender dan sebagainya untuk memenangi sebarang tender projek atau pembekalan.
Manusia, jin dan syaitan
Apabila saya membuat semakan ke atas ayat-ayat Al-Quran yang relevan dengan topik “sihir” dalam entri sebelum ini, saya menemui suatu yang baru. Selama ini kita diberitahu oleh golongan agamawan bahawa Iblis adalah ketua malaikat yang menolak untuk bersetuju dengan Adam. Tetapi melalui petunjuk yang diberikan oleh Tuhan di dalam Al-Quran, Iblis bukan malaikat atau ketua malaikat. Tetapi Iblis adalah dari kalangan jin.
18:50 Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat: Bersetujulah kepada Adam! Mereka bersetuju kecuali Iblis. Dia adalah salah satu dari kalangan jin dan dia engkar perintah Pemeliharanya. Adakah kamu akan mengambil dia dan keturunannya sebagai pelindung berbanding dengan Aku? Dan mereka adalah musuh kepada kamu. Musibah sebagai pertukaran untuk mereka yang membuat salah (zalim).
Jelas sekali dari ayat di atas, Iblis sebenarnya jin dan bukannya malaikat. Oleh itu keturunan jinlah yang perlu kita beri perhatian dan hindarkan kerana mereka mungkin keturunan Iblis. Perhatikan persoalan dan amaran yang Tuhan lontarkan kepada kita melalui ayat yang sama.
…Adakah kamu akan mengambil dia dan keturunannya sebagai pelindung berbanding dengan Aku? Dan mereka adalah musuh kepada kamu. Musibah sebagai pertukaran untuk mereka yang membuat salah (zalim).
Sebelum saya pergi lebih jauh, saya akan bawakan beberapa ayat lagi sebagai bukti bahawa Iblis adalah jin supaya kita tidak akan berasa ragu-ragu lagi mengenainya.
15:27 Dan jin, Kami telah cipta sebelumnya dari api yang marak.
55:15 Dan dia mencipta jin dari nyalaan api yang tidak berasap.
Dari dua ayat di atas kita mendapat tahu bahawa Tuhan telah mencipta bangsa jin sebelum mencipta manusia. Dan jin dijadikan dari nyalaan api yang marak tetapi tidak berasap. Dan Iblis sendiri pun mengaku bahawa dia telah dicipta dari api seperti yang diceritakan oleh Tuhan melalui ayat 8:76.
38:76 Berkata: “Aku lebih baik dari dia. Engkau telah cipta aku dari api dan dia Engkau telah cipta dari tanah.”
Maka sekarang jelaslah kepada kita siapa itu Iblis. Iblis bukan dari jenis malaikat seperti dakwaan agamawan tetapi ia adalah dari kalangan jin. Maka jika kita setuju bahawa Iblis adalah musuh kita, maka yang kita perlu beri perhatian adalah jin. Apa-apa yang melibatkan hubungan manusia dengan jin, kita wajar berhati-hati. Ini kerana Iblis – jin ini dan keturunannya – telah diberi peluang oleh Tuhan untuk menyesatkan manusia sehingga akhir zaman. Perkara ini telah diceritakan dengan jelas oleh Tuhan melalui ayat-ayat berikut.
38:79 Dia (Iblis) berkata: Pemeliharaku, beri aku peluang sehingga hari mereka dihidupkan kembali.
38:80 Dia (Tuhan) berkata: Maka sesungguhnya kamu diberi peluang.
38:81 Sehingga hari yang telah dimaklumkan.
38:82 Dia (Iblis) berkata: Dengan kuasa Engkau, aku akan menyesatkan mereka semua.
38:83 Kecuali di kalangan hamba-hambaMu yang terpilih.
38:84 Dia (Tuhan) berkata: Maka ia kebenaran dan kebenaran adalah apa yang Aku katakan.
38:85 Sesungguhnya aku akan mengisi neraka dengan kamu dan mereka dari kalangan yang mengikut kamu.
Nampaknya keadaan menjadi bertambah jelas. Sekarang barulah kita benar-benar faham mengapa dan bagaimana penglibatan jin boleh jadi begitu berleluasa dalam masyarakat manusia. Mana tidaknya, rupanya yang telah berjanji untuk menyesatkan manusia sehingga akhir zaman tidak lain adalah dari kalangan keturunan jin yang bernama Iblis. Patutlah melalui agama misalnya, ramai manusia telah menyekutukan jin dengan Tuhan tanpa mereka mengetahui atau memahami kedudukan sebenar.
6:100 Tetapi mereka menjadikan jin sebagai sekutu dengan Tuhan walaupun Tuhan yang mencipta jin-jin itu. Dan mereka mengada-adakan kepada Tuhan anak-anak lelaki dan perempuan tanpa sebarang pengetahuan. Segala puji dan sanjungan kepada Dia mengatasi apa yang mereka ada-adakan untukNya.
Dan ketaksuban luarbiasa manusia kepada jin sehingga mereka mencipta perhubungan keluarga di antara Tuhan dengan jin-jin sepertimana yang disebut dalam ayat 6:100 itu pula bukanlah sesuatu yang tidak dianticipate oleh jin-jin itu. Jin-jin itu sebenarnya tahu ke mana manusia akan membawa mereka. Begitulah bodohnya manusia yang terpedaya.
37:158 Dan mereka telah mencipta di antara Dia dan jin-jin itu satu perhubungan. Tetapi sudah tentu jin-jin itu tahu bahawa mereka pasti akan dibawa.
Akibatnya ramai manusia menjadi hamba (yaʿbudūna) kepada jin dan bukannya kepada Tuhan.
34:41 Mereka akan berkata: Segala puji kepada Engkau! Engkau pelindung kami, bukan mereka. Tidak. Sebaliknya mereka menjadi hamba (yaʿbudūna) jin; kebanyakan mereka percaya kepada mereka (jin).
Tuhan juga menyebut bagaimana kerjasama di antara manusia dan jin juga telah mendorong mereka menyelewengkan mesej-mesej Tuhan yang telah disampaikan melalui setiap nabi. Perhatikan betul-betul ayat berikut.
6:112 Dan maka kami jadikan untuk setiap nabi, musuh – syaitan-syaitan jin dan manusia – menginspirasikan di antara satu sama lain kata-kata indah yang menyeleweng. Jika dikehendaki Pemeliharamu, mereka tentu tidak akan dapat melakukannya. Maka tinggalkan mereka dan apa yang mereka ada-adakan.
Lihat bagaimana 6:112 menjelaskan kepada kita siapa itu syaitan. Mereka adalah musuh nabi-nabi dari kalangan jin dan manusia. Dengan kata lain, mana-mana manusia atau jin yang menghasut atau membisikkan kepada manusia lain perkara-perkara yang boleh menyebabkan mereka menafikan apa yang Tuhan telah wahyukan kepada mereka melalui nabi-nabi – manusia atau jin seperti itulah yang dimaksudkan sebagai syaitan.
Jadi selepas ini tidak perlulah kita gambarkan syaitan itu makhluk berwarna merah yang bertanduk dan berekor sambil memegang tombak bermata tiga. Makhluk itu hanyalah ciptaan syaitan-syaitan yang terdiri dari manusia dan jin untuk mengalih pandangan kita dari mengenali mereka – syaitan yang sebenar.
Jadi selepas kita faham siapa sebenarnya mereka, maka wajarlah kita mengambil jaminan Tuhan bahawa jika Dia mengkehendaki tentulah syaitan-syaitan ini tidak akan dapat menyesatkan kita. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah meninggalkan segala apa yang mereka ada-adakan. Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata mereka yang kelihatan indah-indah belaka itu.
Kemudian Tuhan juga memberitahu kita tentang adanya manusia yang mungkin tidak “menyembah” jin per se tetapi mereka mencari pertolongan dari mereka. Dan akhirnya jin-jin itu bukan membantu mereka bahkan menjadikan masalah mereka bertambah teruk.
72:6 Dan ada di antara mereka di kalangan manusia yang mendapatkan pertolongan dari kalangan jin dan mereka (jin-jin itu) telah menambah masalah mereka (manusia yang meminta pertolongan).
Saya melihat ayat 72:6 sangat sesuai untuk menggambarkan apa yang berlaku dalam hal perbomohan, pawang dan sebagainya. Golongan ini, selain dari golongan agama yang saya bincangkan dalam ayat-ayat sebelum ini, juga adalah golongan yang amat bergantung kepada jin. Memang jelas bagaimana jin-jin mereka telah menyebabkan masalah manusia bertambah kronik.
Cuba bayang seorang penduduk sebuah kampung yang mundur terkena penyakit taun lalu pergi berjumpa bomoh. Bomoh itu kemudiannya meminta bantuan jin beliau untuk membantu. Jin itu memberitahu bomoh bahawa orang itu terkena buatan orang dan perlu diberi tangkal pendinding. Orang itu mengambil tangkal pendinding dengan yakin dan memakainya. Dalam masa yang sama beliau akan berkira-kira tentang siapa yang mungkin telah membuat kejahatan kepadanya. Lalu timbul banyak spekulasi dalam masyarakat dan permusuhan bercambah. Orang yang sakit itu pula tidak bertambah baik dan akhirnya mati kerana tidak mendapat sebarang rawatan. Selepas kematian beliau, keadaan tidak bertambah baik tetapi permusuhan mungkin melarat dan penyakit taun yang tidak dibendung pula berkembang menjadi wabak.
Saya percaya memang begitulah bermulanya kepercayaan kepada perkara-perkara karut yang merosakkan masyarakat. Ia dibawa oleh mereka yang mencari pertolongan dari jin-jin yang besar kemungkinan merupakan keturunan Iblis. Cerita pasal hantu, “sihir-menyihir”, buat membuat orang dan sebagainya tidak akan wujud dalam fikiran manusia jika tidak ada syaitan dari kalangan manusia dan jin ini.
Selepas pencerahan ini, saya akan menolak secara total segala kepercayaan atau amalan yang boleh dihubungkaitkan dengan jin. Termasuklah orang-orang yang membawanya. Apa kata para pembaca budiman?
Sihir bermaksud tipudaya
Entry kali ini adalah respon kepada pertanyaan Niasarah mengenai sihir di sini. Mula-mula saya ingat nak respon pendek saja. Tetapi apabila membuat semakan ayat-ayat Quran yang berkaitan, rupanya ia telah mendedahkan sesuatu yang saya fikir amat menarik. Jadi saya ambil keputusan untuk menjadikan jawapan kepada Niasarah ini sebagai entry utama untuk kita sama-sama fikirkan.
Baiklah. Saya berpendapat, “sihir” sebenarnya tidak wujud. Ia sama seperti hantu yang juga sebenarnya tidak wujud. Ramai orang percaya hantu wujud tetapi jika kita teliti tidak ada orang yang pernah dapat tengok hantu sepertimana orang dapat tengok lembu melintas jalan. Maksudnya tidak ada seorang pun yang pernah nampak hantu secara jelas dan nyata di depan mereka. Kepercayaan bahawa hantu wujud hanya berlegar dalam fantasi yang berakar dari amalan dengar-cakap saja.
Masyarakat kita ada banyak hantu. Ada hantu golek, hantu pocong, hantu kum-kum, hantu kopek, hantu penanggal dan sebagainya. Tapi siapa yang benar-benar pernah nampak hantu-hantu itu? Tidak ada. Kita cuma dengar sipolan dari kampung sana nampak. Adik dia nampak, Jiran dia nampak. Tapi tuan badan sendiri tidak pernah nampak. Kalau mereka kata mereka nampak pun, mereka tidak akan berani mengesahkan bahawa mereka telah nampak hantu itu seperti mereka boleh nampak lembu melintas jalan. Kesimpulannya, hantu memang tidak wujud.
Sama juga seperti sihir. Sebenarnya tidak ada tukang sihir yang benar-benar memiliki kelebihan atau kuasa atau mentara yang hebat sehingga mereka boleh terbang dengan penyapu atau bertukar-tukar rupa atau boleh menentukan nasib orang lain. Kisah tukang sihir terbang pakai penyapu dalam masyarakat barat sebenarnya sama dengan kepercayaan masyarakat kita kepada hantu. Tiada siapa pun di kalangan mat saleh pernah nampak tukang sihir terbang naik penyapu sebagaimana orang kita tidak pernah nampak hantu penanggal terbang hanya dengan kepala dan isi perut.
Saya percaya kebanyakan tukang sihir barat dahulu menggunakan “kaedah silap mata” yang diolah dari kefahaman dan aplikasi sains yang disembunyikan atau yang belum diketahui umum. Mereka menggunakan helah yang memanipulasi elemen mekanikal, elektrikal, kimia dan sebagainya. Kepada masyarakat yang rata-rata jahil, kesan tindakbalas kimia yang berlaku di antara 2 bahan pun boleh menyebabkan mereka berasa takjub. Sampai hari ini pun ramai bomoh masih lagi menggunakan kaedah-kaedah silap mata untuk menipu pelanggan mereka yang tidak ada akal.
Contohnya seperti yang boleh kita lihat dalam video ini.
Ahli-ahli sihir Firaun yang disebut di dalam Al-Quran pun sebenarnya sama. Mereka juga menggunakan kaedah silap mata. Apabila mereka menukar tongkat mereka menjadi ular, ia bukanlah apa yang sebenarnya berlaku. Ia trick saja. Sebab itulah apabila tongkat Musa benar-benar menjadi ular dan telan semua peralatan mereka, mereka terus mengaku kalah dan percaya kepada Musa. Mereka tahu sampai mati pun mereka tidak akan dapat buat apa yang Musa buat. Ini dapat kita bayangkan melalui ayat-ayat berikut.
7:113-121 Maka datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun. Mereka berkata: Sesungguhnya kami mahukan ganjaran jika kami menang. Dia berkata: Sudah tentu dan kamu akan menjadi orang yang rapat denganku. Mereka berkata: Wahai Musa! Kamu lempar dulu atau kami lempar dulu? Dia kata: Kamu lemparlah. Maka mereka melempar, mereka menakjubkan mata-mata manusia dan menimbulkan ketakutan kepada mereka dan mereka membawa sihir yang hebat. Kami menginspirasi Musa: Lemparkan tongkatmu dan tiba-tiba ia menelan semua yang mereka cipta. Maka kebenaran terbukti dan sia-sia apa yang telah mereka usahakan. Jadi mereka tewas di sana dan pada ketika itu dengan rasa malu. Dan ahli-ahli sihir itu berasa takjub dan menjadi orang-orang yang bersetuju. Mereka berkata: Kami percaya kepada Pemelihara sekalian alam.
Dari semua petunjuk tentang “sihir”, saya berpendapat perkataan sihir sebenarnya bermaksud tipudaya. Misalnya, mari kita teliti betul-betul ayat 2:102. Oleh kerana ia ayat yang agak panjang, saya letak dalam kurungan siapa yang dimaksudkan sebagai “mereka” supaya lebih mudah kita memahaminya.
2:102 Dan mereka (manusia) menurut apa yang syaitan telah ceritakan berkenaan kerajaan Sulaiman. Sulaiman bukanlah seorang yang menafikan tetapi syaitanlah yang menafikan. Mereka (syaitan) mengajar manusia “sihir” dan mengajar mereka apa yang telah diturunkan kepada dua malaikat di Babil – Harut dan Marut. Mereka (Harut & Marut) tidak mengajar sesiapa kecuali mereka telah berkata; Kami hanya melakukan ujian, oleh itu jangan jadi orang yang menafikan. Tetapi mereka (manusia) belajar dari keduanya apa yang boleh memisahkan seseorang dengan pasangannya tetapi mereka tidak boleh menyebabkan musibah dengannya kepada sesiapa kecuali dengan izin Tuhan. Dan mereka (manusia) belajar apa yang menyebabkan musibah kepada mereka dan bukan yang membawa manfaat kepada mereka. Dan mereka mengetahui sesiapa yang melanggan perkara seperti itu tidak mempunyai tempat di akhirat. Teruk sungguh apa yang mereka jual dengan jiwa mereka jika mereka tahu.
Perhatikan bahawa Harut dan Marut sebenarnya adalah malaikat yang ditugaskan untuk melakukan ujian dan bukan mengajar sihir kepada sesiapa. Sebab itulah sebelum mereka menjalankan tugasan mereka, mereka memaklumkan bahawa mereka hanya melakukan ujian dan berpesan supaya jangan menjadi orang yang menafikan. Pendek kata, malaikat-malaikat itu tidak melakukan sebarang kesalahan pun.
Malangnya, dari mulut agamawan kedua-dua malaikat itu telah mendapat reputasi yang amat buruk. Kononnya mereka telah mengajar sihir kepada manusia. Sedangkan yang mengajar “sihir” adalah syaitan iaitu mereka yang telah memilih untuk mempelajari aspek yang tidak elok dari ujian yang telah dilakukan oleh Harut dan Marut dan menyampaikannya pula kepada orang lain untuk menipudaya mereka. Dan melihat kepada konteks ayat inilah, saya berpendapat apa yang dimaksudkan dengan “sihir” dalam 2:102 sebenarnya adalah “tipudaya” dan bukannya sihir yang boleh dikaitkan dengan mentera dan jampi serapah.
Sebagaimana yang saya katakan tadi, ujian yang dilakukan oleh Harut dan Marut bukanlah bertujuan supaya manusia menjadi golongan yang menafikan atau untuk menyebabkan mereka berpecah-belah. Malangnya apa yang manusia pilih untuk pelajari dari mereka hanyalah sesuatu yang boleh memisahkan seseorang dengan pasangannya. Saya berpendapat apa yang dimaksudkan dengan “memisahkan seseorang dengan pasangannya” tidak boleh kita tafsirkan secara lateral. Sebaliknya ia adalah untuk menggambarkan betapa mendalam dan berkesannya apa yang mereka pilih untuk pelajari itu dalam memecahbelahkan masyarakat manusia sehingga ke peringkat unit yang paling kecil.
Banyak perkara boleh menyebabkan seseorang berpisah dengan pasangannya atau manusia berpecah sesama mereka. Tetapi saya melihat yang paling relevan dan yang paling jelas untuk kita kaitkan dengan ayat 2:102 adalah, kepercayaan agama. Tidak ada suatu kaedah yang lebih mendalam dan berkesan untuk memecah-belahkan manusia selain kepercayaan agama masing-masing. Kita boleh nampak dengan jelas bagaimana kepercayaan-kepercayaan agama yang wujud di dunia hari ini telah menyebabkan perpecahan masyarakat manusia berlaku di setiap peringkat dari sekecil-kecil unit keluarga sehinggalah kepada unit negara.
Pendek kata, 2:102 bukanlah menceritakan asal usul ilmu sihir berasaskan jampi mentera. Ia bukan tentang malaikat sesat. Tetapi ia merupakan satu peringatan supaya kita tidak ikut ajaran syaitan, iaitu manusia yang mengambil pelajaran yang buruk dari ujian Harut & Marut dan kemudian mengajar manusia lain apa yang mereka pelajari itu dengan cara “sihir” iaitu tipudaya. Kita harus fahamkan betul-betul apabila Tuhan menyatakan “…dan mereka (manusia) belajar apa yang menyebabkan musibah kepada mereka dan bukan yang membawa manfaat kepada mereka. Dan mereka mengetahui sesiapa yang melanggan perkara seperti itu tidak mempunyai tempat di akhirat. Teruk sungguh apa yang mereka jual dengan jiwa mereka jika mereka tahu”.
Saya berterima kasih kepada Niasarah yang bertanya tentang sihir. Di atas pertanyaan itu saya mendapat banyak pengetahuan baru hari ini. Misalnya, sihir bermaksud tipudaya. Harut & Marut bukan malaikat sesat. Fitna bermaksud ujian. Dan kufur bermaksud menafikan.
Puasa adalah Mengecualikan diri
Tidak berapa lama lagi orang Islam akan menyambut bulan puasa. Entri kali ini sekali lagi tentang “puasa” tetapi bukanlah kerana saya berasa tidak sabar mahu berlapar dan dahaga di siang hari selama sebulan. Sebaliknya saya hanya mahu berkongsi pemahaman baru saya terhadap perkataan saum atau puasa. Sebelum ini saya menterjemah atau mentafsirkan saum atau puasa sebagai membendung diri dari berinteraksi atau bercakap dengan orang lain. Bagaimanapun sekarang saya yakin telah menemui perkataan yang lebih baik untuk menterjemah atau mentafsirkan saum atau puasa.
Perkataannya adalah “mengecualikan diri”. Saya tidak akan menulis artikel baru bagi menjelaskan terjemahan atau tafsiran ini kerana berpendapat artikel saya mengenainya sebelum ini sudah cukup sesuai untuk menjelaskan apakah saum/puasa dan bagaimanakah ia harus diaplikasikan dalam kehidupan seseorang manusia.
Klik link artikel yang dimaksudkan untuk ulangkaji. Dan berikut adalah kemaskini artikel berkenaan berdasarkan terjemahan atau tafsiran saum/puasa kepada mengecualikan diri. Para pembaca budiman akan melihat pembaikan terhadap isikandungan artikel dan terjemahan ayat-ayat Al-Quran selaras dengan kefahaman yang lebih baik tentang saum/puasa.
TAJUK: PUASA – MENGECUALIKAN DIRI – ADALAH HAK INDIVIDU DEMI KESEJAHTERAAN SEMUA
Saya ada menulis tentang puasa sebelum ini. Artikel dan perbincangan mengenainya boleh di baca di sini. Artikel lain yang berkaitan boleh dibaca di sini. Pada dasarnya puasa menurut petunjuk Al-Quran adalah satu praktis mengecualikan diri – dan bukannya tentang tidak makan dan minum di waktu siang.
Seperti yang telah diperbincangkan sebelum ini, puasa tidak bersifat ritual dan ia juga tidak ada kena mengena dengan bulan atau hari yang khusus. Oleh itu, selepas kita memahami apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan puasa maka wajarlah kita fahami pula apakah sebenarnya fungsi atau peranan puasa kepada seseorang.
Saya berpendapat puasa sebagaimana yang dianjurkan Al-Quran – iaitu mengecualikan diri – dapat membantu seseorang manusia sekurang-kurangnya dalam tiga situasi. Ketiga-tiga situasi ini sebenarnya telah dijelaskan di dalam Al-Quran. Situasi pertama boleh kita fahami dari puasa yang perintahkan oleh Isa ke atas Maryam.
Situasi 1 : Situasi Maryam – Mengecualikan Diri Sebagai Mekanisma Untuk Mengatasi Ketegangan Emosi
19:22 Jadi dia melahirkannya; kemudian dia membawanya ke suatu tempat yang tersorok.
19:23 Dan kesakitan memaksanya (Maryam) berehat di bawah sepohon kurma; dia berkata: Oh, kalaulah aku mati sebelum ini, tentulah ia akan dilupakan!
19:24 Kemudian bersuara dari bawahnya: Janganlah bersedih, sesungguhnya Tuhanmu telah menyediakan air yang mengalir di bawahmu;
19:25 Dan goncangkanlah pohon kurma ini, ia akan menjatuhkan buah-buah kurma segar;
19:26 Jadi makan dan minum dan segarkan diri. Kemudian jika kamu bertemu dengan seseorang, kata; Sesungguhnya aku sedang “mengecualikan diri” untuk Tuhan yang Pemurah, jadi aku tidak akan bercakap dengan sesiapa pada hari ini.
19:27 Dan dia kembali kepada kaumnya, membawa bersama bayinya. Mereka berkata; Wahai Maryam! Sesungguhnya kamu telah membuat sesuatu yang pelik.
19:28 Wahai adik Harun, ayah kamu bukan seorang yang jahat dan bukan pula ibu kamu seorang yang kotor.
19:29 Tetapi dia (Maryam) menuding kepada bayinya. Mereka berkata: Bagaimana kami nak bercakap dengan seorang bayi di dalam buaian?
19:30 Dia (iaitu bayinya, Isa) berkata; Sesungguhnya aku adalah hamba Allah; Dia telah memberikan aku Al-Kitab dan menjadikan aku seorang nabi;
Dari kisah Maryam yang diceritakan dalam ayat-ayat di atas, Maryam tidak disuruh berpuasa kerana ketika itu “bulan puasa”. Maryam juga tidak disuruh mulakan puasanya dari waktu sebelum subuh sehingga ke senja. Maryam juga tidak disuruh berlapar malah disuruh makan, minum dan segarkan diri. Tetapi apa yang disuruh Isa kepada Maryam adalah supaya ibunya mengecualikan diri dari berinteraksi dengan orang lain.
Saya berpendapat tujuan Maryam disuruh mengecualikan diri adalah untuk membendung tekanan emosi yang sedang dihadapi oleh beliau pada ketika itu. Ayat 19:22-24 memberikan kita satu gambaran jelas tentang keadaan emosi Maryam seperti sedih, bingung, takut sehingga merasakan lebih baik mati dari menghadapi masyarakat. Dengan mengecualikan diri dari sebarang interaksi dengan orang ramai, Maryam dapat meredakan segala kebimbangannya dan seterusnya membina kekuatan diri untuk menghadapi kenyataan sebagai persediaan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
Oleh itu jika kita menghadapi tekanan emosi, sepertimana yang telah dialami oleh Maryam, dan tidak kiralah apa sebabnya, maka eloklah kita mengecualikan diri. Bendung interaksi dengan orang lain dan ambil masa untuk menyembuh dan membina kekuatan diri. Dengan kata lain, mengecualikan diri boleh menjadi satu mekanisme pemulihan kepada seseorang yang berada dalam tekanan. Jadi selepas ini, jika kita mendengar seseorang mengatakan bahawa dia sedang mengecualikan diri, maka kita harus memahami dan menghormati bahawa beliau memerlukan masa untuk diri sendiri dan wajarlah kita berikan haknya itu dengan tidak mengganggu sehinggalah dia bersedia untuk kembali berinteraksi seperti biasa.
Situasi 2: Situasi Menyelidik Atau Belajar – Mengecualikan Diri Sebagai Mekanisma Untuk Memperkukuhkan Minda Dan Memberi Sepenuh Tumpuan
Di dalam Al-Quran, pengecualian diri turut disarankan dalam usaha menyelidik dan membangunkan penyelidikan.
2:183 Wahai kamu yang percaya! Pengecualian diri ditetapkan ke atas kamu, sebagaimana ia telah ditetapkan kepada mereka sebelum kamu, supaya kamu menumpukan perhatian.
2:184 Untuk beberapa hari yang tertentu, tetapi bagi yang sakit atau dalam perjalanan, gantikannya dengan hari-hari lain. Dan bagi sesiapa yang tidak dapat melakukannya, gantikan dengan memberi makan seorang fakir, yang demikian sesiapa yang berbuat baik, ia mendatangkan kebaikan kepadanya dan mengecualikan diri adalah lebih baik jika kamu faham.
2:185 Berbulan-bulan beraspirasi yang diinspirasikan di dalamnya Al-Quran, Petunjuk kepada manusia, Penjelasan-Penjelasan kepada Petunjuk, dan Pembeza. Oleh itu, sesiapa di kalangan kamu yang menyaksikan aspirasi itu wajar mengecualikan diri. Dan bagi yang sakit di antara kamu, atau sedang dalam perjalanan, gantikan dengan hari yang lain, Allah mahu memudahkan kamu, dan Dia tidak mahu menyukarkan kamu, dan supaya kamu dapat memenuhinya, dan supaya kamu mengagungkan Tuhan kerana memberi kamu pedoman, supaya kamu menghargai.
2:186 Dan jika hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, Aku sentiasa hampir, Aku menerima panggilan dari sesiapa yang memanggilKu. Oleh itu, mereka harus menerima Aku, dan patuh kepadaKu, semoga mereka mendapat pedoman.
2:187 Pada malam pengecualian diri, kamu dibenarkan bermesra dengan isteri-isteri kamu. Mereka adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian mereka. Tuhan tahu kamu juga membuat kesilapan, dan Dia telah menebus kamu dan mengampunkan kamu; sekarang khabarkan kepada mereka berita baik ini dan teruskan mendalami apa yang Tuhan telah tuliskan (kataba Allahu) untuk kamu dan cernakanlah ia sehingga jelas kepada kamu sebagaimana benang putih boleh dibezakan dengan benang hitam di waktu subuh, kemudian teruskan mengecualikan diri sehingga ke malam. Dan jangan kamu bergaul dengan mereka (isteri-isteri) ketika kamu sedang mengerjakan ketetapan yang telah dipersetujui ke atas kamu. Inilah batasan-batasan Tuhan, jadi jangan dekati mereka. Begitulah Tuhan menjelaskan wahyu-wahyuNya kepada manusia supaya mereka memberi perhatian.
Melalui ayat 2:184-187 Tuhan mengajar kita secara khusus supaya mengecualikan diri untuk beberapa hari tertentu apabila kita menyaksikan sebarang aspirasi yang diinspirasikan di dalamnya Al-Quran, seperti yang Tuhan nyatakan dalam ayat 2:184. Walaupun begitu pengecualian diri itu bukanlah satu pengasingan penuh. Sebaliknya kita dibenarkan mengauli pasangan pada waktu malam – 2:187. Kita cuma perlu mengecualikan diri dari mereka sewaktu kita sedang giat melakukan penyelidikan (haj) terhadap sesuatu bahan yang mungkin telah dihasilkan melalui proses pemikiran selama berbulan-bulan oleh seseorang atau mungkin juga sekumpulan orang.
Ini bermakna apa yang perlu kita selidik itu tidak semestinya Al-Quran per se. Bahkan ia adalah apa saja bahan yang pada dasarnya lahir dari aspirasi seseorang atau diri kita sendiri yang boleh dirujuk kembali kepada Al-Quran – samada dalam bentuk buku, artikel, jurnal, idea dan sebagainya. Sebagai contoh, sebelum menulis artikel ini saya telah memikirkan tentang maksud puasa selama berbulan-bulan malah sehingga mencapai bertahun-tahun dan akhirnya saya mendapat inspirasi bahawa perkataan “saum” bermaksud “mengecualikan diri”. Maka sesiapa yang menyaksikan aspirasi saya maka wajar melakukan penyelidikan dengan bersungguh-sungguh dan kalau perlu, lakukan pengecualian diri buat beberapa hari untuk menentukan samada ia benar atau tidak.
Perkara yang sama berlaku apabila saya diperkenalkan kepada buku Mental Bondage oleh Aidid Safar dulu, saya terus menyemak ayat-ayat Al-Quran yang diperbincangkan dalam buku tersebut untuk melihat sendiri samada segala aspirasi Aidid Safar berasas. Saya amat kurang berinteraksi dengan anggota keluarga pada waktu itu. Syukur kerana sekarang saya dapat melihat maksud 2:184-187 dengan kefahaman yang jelas.
2:185 Berbulan-bulan beraspirasi yang diinspirasikan di dalamnya Al-Quran, Petunjuk kepada manusia, Penjelasan-Penjelasan kepada Petunjuk, dan Pembeza. Oleh itu, sesiapa di kalangan kamu yang menyaksikan aspirasi itu wajar mengecualikan diri…
Pendek kata, mesej Tuhan dalam ayat-ayat itu adalah, setiap kali kita menyaksikan atau mendapat tahu aspirasi seseorang atau mungkin aspirasi yang datang dari diri kita sendiri yang di dalamnya boleh dirujuk kepada Al-Quran, maka kita harus menyelidiki aspirasi-aspirasi itu dan melihat samada ia selaras dengan petunjuk dan penjelasan Al-Quran supaya kita dapat membezakan samada ia benar atau salah. Mesej ini kelihatan begitu relevan dan indah apabila di akhir ayat 2:187 Tuhan menyatakan – “Begitulah Tuhan menjelaskan wahyu-wahyuNya kepada manusia supaya mereka beroleh kebenaran”.
Membangunkan Penyelidikan Masing-Masing
Saya berpendapat amatlah penting kita semua faham dan setuju bahawa penyelidikan (haj) dan pembangunan (umra) merupakan dua aktiviti yang disuruhkan oleh Tuhan. Sebagai permulaan setiap orang harus membangunkan penyelidikan mereka sendiri. Bagi golongan yang cepat belajar atau cepat faham atau telah sedia berada dalam masyarakat yang maju dalam aspek ilmu dan budaya tersebut, usaha mereka mungkin lebih mudah dan pantas.
Bagaimanapun bagi golongan yang serba kekurangan, Tuhan ajar bagaimana caranya mereka harus membangunkan penyelidikan mereka. Tuhan kata, mulakannya dengan petunjuk yang mudah sehinggalah ia diterimapakai – maknanya sehingga ia dapat diperjelaskan dan diterima kebenarannya oleh masyarakat.
Bagi golongan yang lebih teruk dari itu pula, iaitu golongan yang tidak mampu atau tidak mempunyai asas pengetahuan yang tersusun – slow learner – Tuhan nasihatkan supaya mereka memperkukuhkan diri mereka dengan melakukan pengecualikan diri atau membuat sumbangan atau pengorbanan lain. Dan apabila mereka sudah mempunyai keyakinan, maka seperti golongan yang kedua tadi, Tuhan nasihatkan supaya mereka mula membangunkan penyelidikan mereka dari petunjuk yang mudah.
Dan akhir sekali, bagi golongan yang gagal dan berada dalam masyarakat yang tidak menekankan kepada masjidilharam atau ketetapan-ketetapan dipersetujui yang direstui – iaitu golongan tidak berada dalam komuniti Muslim yang sebenar, contohnya masyarakat kita sekarang – Tuhan ajar secara spesifik bagaimana mereka harus mengaplikasikan pengecualian diri dalam membangunkan penyelidikan mereka. Tuhan suruh mulakan dengan 3 hari dan jika tempoh itu tidak mencukupi mereka boleh mulakan sekali lagi untuk tempoh 7 hari. Maknanya – menurut Tuhan – jika kita benar-benar mahu berusaha untuk membangunkan penyelidikan sambil memperkukuhkannya dengan mengecualikan diri, paling-paling lambat pun 10 hari kita akan mencapai sesuatu.
Semua ini dijelaskan oleh Tuhan melalui ayat 2:196.
2:196 Dan lakukan penyelidikan (alhajja) dan pembangunan (waalAAumrata) untuk Allah. Dan jika kamu serba kekurangan, mulakan dengan yang mudah dari petunjuk dan jangan terlepas yang asas sehingga petunjuk itu diterimapakai. Maka jika sesiapa dari kamu tidak mampu atau tidak tersusun pengetahuan asasnya maka perkukuhkan diri kamu dengan mengecualikan diri, atau membuat sumbangan atau pengorbanan. Maka, sebaik saja kamu berkeyakinan – kepada yang berminat membangunkan penyelidikan ambillah mana-mana yang mudah dari petunjuk . Bagaimanapun bagi sesiapa yang gagal – kecualikanlah diri selama 3 hari semasa membuat penyelidikan dan 7 (hari) apabila kamu mula sekali lagi. Itu bermakna 10 (hari) secara keseluruhannya. Ini adalah untuk mereka yang tiada ahli menekankan ketetapan-ketetapan dipersetujui yang direstui. Dan beri perhatian kepada Tuhan dan kamu akan tahu bahawa sesungguhnya Tuhan sangat berat hukumanNya.
Saya berpendapat, amalan mengecualikan diri merupakan satu kebiasaan kepada para penyelidik dan ilmuan dalam pelbagai bidang secara universal. Kebanyakan para saintis yang tersohor dunia tanpa mengira bangsa dan zaman, sememangnya diketahui sebagai orang-orang yang sangat fokus dan lebih banyak menghabiskan masa mengecualikan diri untuk membangunkan penyelidikan yang mereka usahakan.
Situasi 3: Sebagai Hukuman – Mengecualikan Diri Sebagai Mekanisma Untuk Menimbulkan Keinsafan Dalam Diri
Sebagaimana yang kita tahu pengecualian diri juga merupakan salah satu pilihan hukuman kepada beberapa kesalahan tertentu seperti kesalahan membunuh seseorang yang percaya- 4:92, melanggar sumpah – 5:89 dan membunuh haiwan yang dilarang – 5:95.
4:92 Jangan sekali-kali seorang yang percaya membunuh seorang yang percaya kecuali kerana tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang yang percaya tanpa sengaja maka dia wajar membebaskan seorang hamba dan memberi gantirugi kepada keluarganya kecuali mereka menolaknya secara sukarela. Jika dia seorang dari musuh kamu dan dia seorang yang percaya, maka kamu harus membebaskan seorang hamba yang percaya. Dan jika dia dari mereka yang mempunyai hubungan dengan kamu, maka beri gantirugi kepada keluarganya dan bebaskan seorang hamba. Sesiapa yang tidak mampu, maka kecualikanlah diri selama 2 bulan terus menerus sebagai jalan keampunan kepada Tuhan; sesungguhnya Tuhan Mengetahui, Bijaksana.
5:89 Tuhan tidak akan mengambilkira apa yang tidak berguna dalam janji kamu, tetapi Dia akan mempertanggungjawabkan kamu ke atas janji yang kamu nyatakan; sebagai penebusnya beri makan sepuluh orang miskin, pada kadar purata makanan untuk keluarga kamu atau beri mereka pakaian atau bebaskan seorang hamba. Jika ia di luar kemampuan kamu, kecualikanlah diri tiga hari. Itulah penebus-penebus kepada janji-janji yang telah kamu sumpahkan. Tetapi teruskanlah janji kamu. Maka Tuhan menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya, supaya kamu bersyukur.
5:95 Wahai kamu yang percaya! Jangan membunuh hidupan liar yang telah dilarang kepada kamu. Jika sesiapa membunuh dengan sengaja, dia perlu menebus dengan haiwan yang setara dihakimi dua orang yang adil di kalangan kamu untuk memastikan kematangan buku lali (haiwan yang dibunuh). Atau tebus dengan memberi makan orang miskin atau mengecualikan diri, supaya dia merasai akibat dari perbuatannya. Tuhan telah memaafkan kesalahan terdahulu (sebelum peraturan ini ditetapkan). Barang sesiapa mengulangi kesalahannya, Tuhan akan menghukumnya. Tuhan Berkuasa, Pemberi Hukuman.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, jika kita lihat dari petunjuk Al-Quran “puasa” bukanlah suatu ritual yang berteraskan lapar dan dahaga. Ia juga bukanlah amalan common yang perlu dilakukan oleh setiap orang dalam satu masa. “Puasa” yang sebenarnya adalah satu mekanisme yang boleh dipraktikkan oleh sesiapa saja, pada bila-bila masa jika wujud keadaan di mana beliau memerlukan ruang untuk diri sendiri seperti ketika dalam keadaan emosi yang tertekan atau sedang giat dalam sesuatu penyelidikan atau apabila beliau memerlukannya untuk merenung kembali kesalahan dan seterusnya membangkitkan penyesalan atau penginsafan diri.
Tuhan yang mencipta kita. Tentulah Dia lebih tahu mengapa mekanisma “puasa” – iaitu pengecualian diri dari berinteraksi dengan orang lain ditetapkan kepada manusia dalam situasi-situasi yang tersebut. Ia adalah hak yang telah Tuhan berikan kepada setiap individu.
Saya percaya jika kita faham mesej Tuhan mengenai puasa/pengecualian diri, banyak kes melibatkan tekanan emosi sehingga ada yang membawa kepada gila, membunuh diri dan sebagainya dapat dikurangkan dalam masyarakat kita. Hak untuk mengecualikan diri merupakan suatu mekanisme unik yang dapat membantu proses penyembuhan emosi dan memperkukuhkan diri. Jika hak ini kita gunakan dengan bijak dan dalam masa yang sama kita dapat menghormati hak orang lain apabila mereka berada dalam situasi yang serupa, kesejahteraan jiwa dan hidup setiap anggota masyarakat tentu akan menjadi lebih terjamin.
Dalam pada itu aplikasi ,engecualikan diri (puasa) juga akan menjadi pemangkin yang berkesan untuk menjadikan manusia membangunkan budaya penyelidikan. Dengan aktiviti penyelidikan yang aktif tentulah lebih banyak manfaat dapat dijana dalam pembangunan tamadun manusia supaya mereka dapat merasai kurniaan Tuhan yang tidak terkira banyaknya. Dan semoga dengan itu mereka akan menjadi manusia yang tahu bersyukur kepada Pemelihara mereka.
Nota: Pemahaman baru saya mengenai puasa sebagai “mengecualikan diri diperolehi ketika berusaha menterjemahkan ayat berikut:
22:40 Mereka yang telah dihalau dari rumah mereka secara tidak adil hanya kerana mereka berkata: Pemelihara kami adalah Tuhan. Dan jika tidak kerana Tuhan menghapuskan sebahagian manusia melalui yang lain, pengecualian-pengecualian dan urusan-urusan perniagaan dan jamiman-jaminan (salawatun) dan ketetapan-ketetapan yang dipersetujui di mana nama Tuhan sering disebut di dalamnya tentu tidak berguna. Tuhan akan memberi kemenangan kepada mereka yang menyokongNya. Tuhan Berkuasa, Terhormat.
2 billion yang lebih teruk dari binatang ternak?
Walaupun Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, saya percaya ia boleh difahami menggunakan bahasa-bahasa lain. Ia hanya soal terjemahan atau tafsiran. Jika kita terjemahkan atau tafsirkan Al-Quran dengan amanah di mana setiap perkataan diberi maksud yang sepatutnya, saya yakin kebanyakan orang tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk memahami mesej-mesej yang terkandung di dalamnya.
Saya percaya pada dasarnya proses penterjemahan Al-Quran di seluruh dunia dikawalselia oleh pihak tertentu. Sebarang bentuk penerbitan terjemahan perlu melalui proses pentauliahan oleh mereka. Jika apa yang diterjemahkan tidak selari dengan apa yang dimahukan oleh pihak yang menyelia, maka terjemahan itu tidak akan diluluskan untuk sebaran. Sebab itulah kita dapati terjemahan-terjemahan Al-Quran yang berjaya diterbitkan dan dianggap terjemahan standard, semuanya membawa kepada satu tafsiran yang sehala.
Masalahnya, adakah pihak yang mengawalselia penterjemahan Al-Quran itu benar-benar amanah? Adakah pihak yang mengawalselia penterjemahan Al-Quran itu benar-benar mahukan umat memahami mesej-mesej Al-Quran dengan sejernih-jernihnya? Saya berpendapat soalan-soalan seperti ini adalah valid. Kerana apa yang kita pertaruhkan adalah besar. Tuhan telah memberikan kita gambarannya.
7:179 Dan sesungguhnya Kami telah ciptakan untuk Jahanam ramai dari jin dan manusia, yang mana mereka diberi hati – mereka tidak faham, diberi untuk mereka mata – mereka tidak melihat dengannya, dan diberi untuk mereka telinga – mereka tidak mendengar dengannya. Mereka seperti binatang ternak. Tak – malah lebih teruk sesat – kerana mereka langsung tidak peduli.
Adakah kita mahu termasuk ke dalam golongan mereka yang lebih teruk dari binatang ternak dan menjadi penghuni Jahanam akibat langsung tidak mahu ambil peduli? Kalau tidak mahu, maka kita perlu ambil peduli. Kita mesti berusaha untuk faham apabila kita membaca Al-Quran. Kita perlu gunakan hati dengan sebaik-baiknya untuk menilai dengan common sense setiap informasi yang kita ada. Kita mesti gunakan mata untuk meneliti, supaya yang kabur menjadi jelas. Dan kita perlu gunakan telinga untuk mendengar semua pendapat supaya kita boleh memilih yang terbaik.
Melalui laman ini saya telah berkongsi banyak penemuan terjemahan atau tafsiran yang tidak sepatutnya. Misalnya penyelewengan maksud perkataan solaa dan zakaa, perkataan kaaba, perkataan haj dan umra, perkataan saum, perkataan khinzir, perkataan safa dan marwa dan sebagainya. Dan saya percaya jika kita terus mengkaji Al-Quran, kita akan menemui lebih banyak lagi penyelewengan dan percanggahan.
Mungkin perlu dijelaskan bahawa saya sebenarnya berpegang kepada pandangan bahawa ruang untuk membuat kesilapan dalam menterjemah atau mentafsir sentiasa wujud. Sebab itulah saya tidak takut untuk mengemukakan terjemahan saya sendiri kerana saya percaya, tidak ada terjemahan atau tafsiran yang boleh sempurna seratus peratus. Kelemahan boleh datang dari pelbagai aspek. Misalnya dari kefahaman individu, dari pemilihan perkataan atau mungkin juga dari keterbatasan perbendaharaan kata dalam sesuatu bahasa.
Jadi kita tidak perlu risau sangat. Yang penting kita harus utarakan apa yang kita faham. Kalau salah, betulkan sajalah. Saya fikir ia lebih baik dari menurut buta sesuatu yang dah terang-terang nampak tak kena. Lagi pun bila percanggahan terjemahan atau tafsiran untuk sesuatu perkataan itu terlalu teruk, saya tidak fikir ia suatu yang tidak disengajakan. Mana boleh satu perkataan yang jelas sama tetapi diberi makna yang amat jauh berbeza.
Sebagai satu contoh, saya bawa ayat 22:40. Berikut adalah terjemahan yang disalin dari IIU.edu.my berserta transliterasinya.
22:40 Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; –
Transliterasi: Allatheena okhrijoo min diyarihim bighayri haqqin illa an yaqooloo rabbuna Allahu walawla dafAAu Allahi alnnasa baAAdahum bibaAAdin lahuddimat sawamiAAu wabiyaAAun wasalawatun wamasajidu yuthkaru feeha ismu Allahi katheeran walayansuranna Allahu man yansuruhu inna Allaha laqawiyyun AAazeezun
Melalui ayat ini saya ingin para pembaca budiman perhatikan kepada bahagian yang saya tonjolkan, iaitu – “dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi)“. Mengapa saya pilih bahagian berkenaan? Sebab saya percaya perkataan “waṣalawātun” atau وَصَلَوَاتٌ yang diterjemahkan sebagai “dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi)” itu amat mudah dikenalpasti oleh sesiapa saja yang mengaku Muslim. Tidak ada orang mengaku Muslim yang tidak pernah mendengar perkataan “salawat”. Mereka “bersalawat” berkali-kali setiap hari. Tetapi kenapa dalam 22:40 ia diterjemahkan sebagai “tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi)”?
Tidak percaya perkataan “salawatun” telah diterjemahkan sebagai “tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi)”? Mari kita semak melalui Corpus.
(22:40:21)
waṣalawātun
and synagogues
Sebenarnya perkataan “salawatun” bukan disebut sekali di dalam Quran. Ada lagi, misalnya di dalam 2:157. Tetapi di dalam 2:157 perkataan yang sama diterjemahkan oleh Corpus begini:
(2:157:3)
ṣalawātun
(are) blessings
Perbezaan di antara 22:40 dan 2:157 cuma perkataan “wa” di depan “salawatun” 22:40. Perkataan “wa” hanyalah satu sendi nama yang bermaksud “dan”. Ia tidak sepatutnya mengubah maksud perkataan “salawatun”. Tetapi kenapa kita nampak 2 terjemahan yang begitu jauh berbeza dari satu perkataan yang sama? Kita lihat bagaimana IIU.edu.my menterjemahkan ayat 2:157.
2:157 Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
Transliterasi: Olaika AAalayhim salawatun min rabbihim warahmatun waolaika humu almuhtadoona
Kenapa IIU.edu.my tidak menterjemahkan 2:157 begini?
2:157 Mereka itu ialah orang-orang yang “tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi)” dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
Adakah para pembaca budiman percaya percanggahan maksud seperti yang berlaku ke atas perkataan “salawatun” ini berlaku secara tidak sengaja? Kalau tidak sengaja bagaimana ia boleh berlaku di dalam semua “terjemahan standard”? Lebih teruk lagi, bagaimana hampir 2 billion manusia di atas muka bumi ini yang mengaku sebagai Muslim dan mendakwa percaya, membaca dan berpegang kepada Al-Quran tidak ada yang perasan percanggahan tersebut? Atau mereka semua sebenarnya tidak pernah ambil peduli pun? Fikir-fikirkanlah.
Sebelum menutup entri ini saya kemukakan terjemahan saya untuk 22:40 dan 2:157. Saya buka terjemahan saya kepada kritik dan pembetulan. Jangan takut untuk mengkritik, bertanya atau membetulkan terjemahan saya kerana ia tidak sekali-kali bermaksud menghina Al-Quran. Al-Quran sentiasa kekal sifatnya sebagai petunjuk untuk seluruh manusia. Tetapi terjemahan saya atau sesiapapun sentiasa boleh diperbaiki.
22:40 Mereka yang telah dihalau dari rumah mereka secara tidak adil hanya kerana mereka berkata: Pemelihara kami adalah Tuhan. Dan jika tidak kerana Tuhan menghapuskan sebahagian manusia melalui yang lain, pengecualian-pengecualian dan urusan-urusan perniagaan dan jamiman-jaminan (salawatun) dan ketetapan-ketetapan yang dipersetujui di mana nama Tuhan sering disebut di dalamnya tentu tidak berguna. Tuhan akan memberi kemenangan kepada mereka yang menyokongNya. Tuhan Berkuasa, Terhormat.
2:157 Begitulah mereka yang mendapat jaminan-jaminan (salawatun) dari Pemelihara mereka dan belas kasihan. Dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.
Lebih elegan jika masjid bermaksud “ketetapan yang dipersetujui” dan masjidilharam bermaksud “ketetapan dipersetujui yang direstui”
Dalam entri yang bertajuk Masjidilharam, masjid, “amal soleh” dan melampaui batas erti yang wajar bagi perkataan “masjid” telah dibincangkan di ruangan komen. Jika pembaca budiman telah mengikuti laman ini sejak beberapa lama tentu sedar bahawa saya telah menterjemahkan perkataan “masjid” sebagai “ketetapan yang direstui” dan “masjidilharam” sebagai “batasan ketetapan yang direstui”. Dan untuk membantu kita sama-sama melihat konsep masjid dan masjidilharam yang dimaksudkan dengan mudah, saya telah kemukakan satu ilustrasi grafik dalam entri di atas.
Saya melihat konsep masjid dan masjidilharam yang saya ilustrasikan itu masih boleh diterima untuk memudahkan kefahaman khususnya bagi mereka yang masih belum tahu bahawa masjid bukanlah merujuk kepada “rumah Tuhan”. Pada dasarnya konsep yang saya telah kemukakan itu tidak salah, sekurang-kurangnya ia tidak akan menyebabkan orang menyekutukan Tuhan. Tetapi ia telah diasaskan melalui tafsiran perkataan yang kurang tepat. Maka walaupun logik tetapi ia tidak cukup elegan. Saya telah menemui kefahaman yang lebih elegan. Dan saya ingin berkongsi kefahaman baru saya dengan para pembaca semua.
Sekarang saya mahu membuat pembetulan tafsiran terhadap perkataan “masjid” dan “masjidilharam”. Saya yakin dan percaya bahawa perkataan masjid wajar ditafsir atau diterjemahkan sebagai “ketetapan yang dipersetujui” dan masjidilharam pula sebagai “ketetapan dipersetujui yang direstui”. Begini;
Perkataan “masjid” merupakan satu derivatif dari perkataan “sajada”. Sajada pada dasarnya bermaksud “setuju”. “Sujud” juga merupakan satu derivatif dari perkataan “sajada’ dan ia bermaksud “mempersetujui” dan bukannya perbuatan menonggengkan diri mencecahkan dahi ke lantai. Bagaimana pula masjid boleh jadi “ketetapan yang dipersetujui’? Dalam hal ini, saya berpendapat Aidid Safar telah memberi satu penjelasan yang baik.
Dan oleh kerana saya tidak ada masa yang cukup untuk menterjemahkan penjelasan Aidid Safar apatah lagi menulis kembali menggunakan kata-kata saya sendiri, maka sesiapa yang mahu membaca penjelasan beliau boleh klik di sini.
Saya harap para pembaca budiman puashati dengan penjelasan Aidid Safar berkenaan perkataan masjid dan mengapa maksudnya wajar begitu. Dan untuk mengetahui bagaimana saya boleh membuat kesimpulan bahawa perkataan “haram” dalam masjidilharam sebagai “yang direstui”, saya salin pandangan yang saya mengenai perkara itu dalam perbincangan saya dengan Tuan Simpang Lawin di entri yang saya sebut di atas.
Saya nampak ada beza di antara perkataan setuju dengan restu. Saya berasakan tafsiran saya yang asal untuk masjidilharam iaitu “ketetapan dipersetujui yang direstui” lebih tepat maksudnya berbanding “batasan ketetapan yang direstui”.
Perkataan masjid memang jelas membawa maksud ketetapan yang dipersetujui. Bagaimanapun perkataan haram apabila ia diterjemahkan sebagai sanctioned tidak semestinya bermaksud sekatan. Sebaliknya sanctioned juga boleh bermaksud direstui.
Di dalam Quran kita dapat melihat 2 jenis masjid atau, ketetapan yang dipersetujui. Pertama, masjid yang direstui Tuhan dan yang kedua, masjid yang tidak direstui. Pada dasarnya memang sangat banyak ketetapan yang dipersetujui atau masjid yang telah sampai kepada kita.
Misalnya, ketetapan-ketetapan dalam agama Hindu ramai yang bersetuju. Ketetapan-ketetapan dalam agama Kristian pun ramai juga setuju. Ketetapan-ketetapan agama orang Arab pun sama – berduyun-duyun orang bersetuju.
Atas hakikat itu maka soalan yang wajar ditanya kepada diri kita sendiri adalah, dalam banyak-banyak ketetapan yang dipersetujui itu yang mana satukah yang direstui Tuhan? Kalau setakat ramai yang setuju tetapi Tuhan tidak “haramkan” atau sanction atau restu, maka tidak wajarlah kita menurutinya.
– Tolokminda
Baiklah, sekarang kita kembali kepada mengapa “sujud” dengan maksud “ketetapan yang dipersetujui” dan masjidilharam dengan maksud “ketetapan dipersetujui yang direstui” lebih elegan berbanding apa yang telah saya kemukakan dalam entri berilustrasi itu. Kuncinya adalah perkataan “haram” dalam “masjidilharam”.
Tuan Simpang Lawin dalam jawapan beliau kepada pendapat yang saya pastekan di atas, tidak bersetuju kerana beliau melihat “haram” bermaksud “sekatan”. Jika ditimbang-teliti pandangan Tuan Simpang Lawin tentang konsep masjid dan masjidilharam tidak berbeza dengan konsep yang saya utarakan melalui ilustrasi grafik itu walaupun menterjemahkan perkataan “haram” sebagai “sekatan”.
Oleh itu samada perkataan yang digunakan “batasan” atau “sekatan”, konsepnya tetap sama dan bagi saya ia kurang elegan berbanding jika perkataan “haram” itu diterjemahkan sebagai “yang direstui”. Setelah menilai dari pelbagai sudut, saya yakin “haram” dalam “masjidilharam” bermaksud “yang direstui”.
Saya melihat apa yang berlaku di sini serupa dengan apa yang berlaku kepada Newton dan Einstein apabila mereka menterjemahkan graviti. Newton menterjemahkan graviti sebagai daya (force) yang dihasilkan oleh sesuatu “badan” yang berjisim. Bagaimanapun Einstein berpendapat graviti bukan disebabkan oleh daya (force) sesuatu “badan” yang berjisim, sebaliknya ia adalah akibat dari lenturan fabrik ruang-waktu yang terhasil dari kewujudan “badan” berkenaan.
Kita semua tahu hari ini konsep graviti Einstein lebih elegan dan pada dasarnya telah menggantikan konsep graviti Newton. Begitupun, konsep graviti Newton tidak dibuang sepenuhnya kerana di sebalik ketidaktepatan terjemahan beliau, matematiknya masih berguna. Jadi apa yang menyebabkan konsep graviti Einstein lebih elegan dan lebih tepat berbanding dengan konsep graviti Newton?
Saya berpendapat petunjuknya terletak di perkataan “daya” atau “force”. Konsep graviti Newton mencadangkan graviti berfungsi kerana wujud “daya” atau “force” yang dikenakan oleh sesuatu “badan” berjisim ke atas “badan” berjisim yang lain. Tetapi konsep graviti Einstein mencadangkan graviti terjadi kerana Tuhan telah merestui satu peraturan – iaitu apabila wujud sesuatu “badan berjisim” di sesuatu lokasi dalam dimensi ruang-waktu, maka fabrik ruang-waktu itu akan melentur atau dengan kata lain, ia memberi ruang.
Melalui prinsip ini, kita dapati tidak ada mana-mana “badan” memiliki hak untuk mengenakan daya (force) kepada “badan” lain. Sebaliknya mereka hanya bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan ke atas satu sama lain dan masing-masing memberi ruang kepada kewujudan masing-masing dan akhirnya lahirlah sebuah sistem yang aman dan teratur – sistem yang kita kenali sebagai alam semesta.
55:5-8 Matahari dan bulan bergerak dengan perkiraan tepat. Dan bintang-bintang dan pokok-pokok semuanya saling bersetuju (yasjudan). Dan langit yang Dia tinggikan ditentukan timbangannya. Supaya kamu tidak melanggar timbangan-timbangan itu.
Bayangkan apa akan jadi kalau pada suatu hari, salah satu elemen yang membentuk alam semesta membuat keputusan untuk tidak lagi bersetuju dengan ketetapan-ketetapan yang telah direstui Tuhan ke atasnya – misalnya, bayangkan elektron berhenti bersifat seperti elektron – sudah tentu apa saja yang selama ini menjadi tulang dan daging kepada kewujudan alam semesta sepertimana yang kita dapat lihat dan nikmati sekarang akan lenyap.
Mungkin ada yang tidak dapat menggarap bagaimana sebuah sistem sehebat dan sekompleks alam semesta yang luasnya tidak terjangkau dek kita menyandarkan kewujudannya hanya di atas komitmen setiap elemen untuk mempersetujui segala ketetapan yang Tuhan telah restu untuk mereka. Tetapi melalui fakta yang kita ketahui, memang itulah hakikatnya. Sungguh menakjubkan!
Baiklah, mungkin para pembaca budiman sudah mula tertanya-tanya bagaimana menterjemahkan “haram” dalam masjidilharam sebagai “yang direstui” lebih elegan berbanding jika ia diterjemahkan sebagai “sekatan” atau “batasan”?
Jawapannya boleh difikirkan melalui kefahaman kita mengenai kewujudan alam semesta serta dari konsep graviti Einstein. Di manakah wujudnya sekatan atau batasan sehingga alam semesta boleh terbentuk? Dan di manakah wujudnya sekatan atau batasan sehingga fabrik ruang-waktu melentur untuk “badan berjisim” yang melaluinya? Tidak ada. Oleh itu bukanlah sekatan atau batasan yang manusia harus cari untuk mencapai keamanan dan keteraturan. Sebaliknya mereka hanya perlu faham dan bersetuju dengan setiap ketetapan yang Tuhan telah restu ke atas mereka dan ke atas yang lain.
Elegan bukan?
Masjidilharam, masjid, “amal soleh” dan melampaui batas
Saya telah menulis beberapa kali pandangan saya mengenai apa yang dimaksudkan dengan “masjidilharam” dan juga “masjid”. Antaranya di sini, di sini, di sini dan di sini. Ia mungkin agak sukar difahami konsepnya. Maka saya kemukakan pula pandangan saya itu berasaskan grafik ringkas.
Seperti yang dapat kita lihat melalui grafik yang dipaparkan, bulatan besar mewakili “batasan ketetapan yang direstui” (masjidilharam). Bulatan-bulatan kecil yang berada di dalamnya pula mewakili “ketetapan yang direstui” (masjid). Secara ringkas “ketetapan yang direstui” atau masjid adalah mana-mana ketetapan yang Tuhan telah sebut secara khusus di dalam KitabNya.
Aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan di dalam “masjidilharam” – kawasan yang diwarnakan hijau – mewakili apa saja aktiviti yang direstui. Sudah tentulah sebarang aktiviti yang direstui Tuhan merupakan aktiviti yang elok dan membawa manfaat. Iaitu pekerjaan-pekerjaan yang baik dalam istilah bahasa Melayu normal atau “amal soleh” dalam istilah orang Melayu beragama Islam.
Dan sesiapa yang menegakkan ketetapan atau melakukan aktiviti di luar batasan ketetapan yang direstui (masjidilharam) maka mereka adalah dari golongan yang melampaui batas.
Tuhan suruh bersihkan diri selepas dan sebelum melaksana sesuatu komitmen atau pekerjaan
Saya telah menulis kefahaman saya terhadap “ayat wuduk” 5:6 dalam blog ini pada peringkat awal dulu. Bagaimanapun saya dapati kefahaman saya pada ketika itu sudah tidak sama lagi dengan kefahaman yang baru saya perolehi. Sekarang saya percaya seruan Tuhan kepada orang-orang yang percaya di awal ayat 5:6 tidak sepatutnya diterjemahkan sebagai,
“5:6 Wahai kamu yang percaya! Apabila kamu bangun untuk memulakan komitmen-komitmen kamu..”
Sebaliknya ia seharusnya diterjemahkan sebagai,
“5:6 Wahai kamu yang percaya! Apabila kamu telah mengerjakan komitmen-komitmen kamu..”
Saya kemukakan transliterasi penuh ayat 5:6 dan terjemahan/tafsiran baru saya.
Transliterasi 5:6 Ya ayyuha allatheena amanoo itha qumtum ila alssalati faighsiloo wujoohakum waaydiyakum ila almarafiqi waimsahoo biruoosikum waarjulakum ila alkaAAbayni wain kuntum junuban faittahharoo wain kuntum marda aw AAala safarin aw jaa ahadun minkum mina alghaiti aw lamastumu alnnisaa falam tajidoo maan fatayammamoo saAAeedan tayyiban faimsahoo biwujoohikum waaydeekum minhu ma yureedu Allahu liyajAAala AAalaykum min harajin walakin yureedu liyutahhirakum waliyutimma niAAmatahu AAalaykum laAAallakum tashkuroona
5:6 Wahai kamu yang percaya! Apabila kamu telah mengerjakan komitmen-komitmen (alsalati), basuhlah muka kamu dan tangan kamu sehingga ke siku, dan basuh kepala kamu dan kaki kamu sehingga ke buku lali dan jika keadaan kamu memerlukan pembersihan sepenuhnya, mandilah dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan, atau selepas kamu membuang air, atau kamu telah bersama dengan perempuan, dan kamu tidak menemui air, dapatkan tanah yang bersih dan sapukan muka dan tangan kamu dengannya. Allah tidak berhasrat untuk meletakkan kamu dalam kesulitan, tetapi Dia ingin kamu membersihkan diri dan Dia mahu melengkapkan kurnianya ke atas kamu, supaya kamu menghargainya.
Apakah yang telah menyebabkan kefahaman saya berubah dari “memulakan komitmen” kepada “telah mengerjakan komitmen”?
Kerana saya bersetuju bahawa perkataan “qumtum” merujuk kepada kata kerja yang telah diselesaikan (perfect verb). Maknanya kita disuruh membasuh muka, tangan, kepala dan kaki BUKAN SEBELUM kita melaksanakan komitmen-komitmen (alsalati), TETAPI sebenarnya kita disuruh melakukannya SELEPAS melaksanakannya. Saudara Faried mengemukakan link berikut sebagai rujukan. Para pembaca budiman juga mungkin boleh memeriksanya dengan mana-mana kenalan yang amanah dan arif dalam tatabahasa Arab.
Melalui pelurusan mesej 5:6 ini maka kepercayaan bahawa “wuduk” adalah ritual pembersihan diri sebelum melaksanakan “alsalati” terbatal dengan sendirinya. Mereka memberitahu kita bahawa “wuduk” perlu dilakukan SEBELUM melaksanakan “alsalati”, tetapi ayat 5:6 menyatakan bahawa “wuduk” perlu dilakukan SELEPAS melaksanakan “alsalati”. Percanggahannya terlalu mencucuk akal. Jadi, nak percaya kepada Al-Quran atau nak percaya sipolan?
Apabila “wuduk” bebas dari unsur ritual, mesej 5:6 menjadi begitu jelas dan bersifat common sense saja. Tuhan hanya menyuruh kita membersihkan diri setiap kali selesai melaksanakan sebarang komitmen, atau dalam konteks yang saya fikir relevan – pekerjaan kita. Lepas buat kerja, bersihkan diri. Itu mesejNya. Jika tidak kotor, cukup sekadar basuh muka, kepala, tangan dan kaki. Tetapi jika kita kotor dan wajar mandi, maka Tuhan suruh kita mandi.
Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, yang disebut secara khusus oleh Tuhan iaitu – jika kita mempunyai masalah kesihatan, dalam perjalanan atau selepas membuang air atau selepas bersama dengan perempuan kita tidak menemui air untuk membersihkan diri, maka Tuhan menyarankan kita supaya menggunakan debu tanah (bedak) sebagai penyelesaian sementara.
5:6 Wahai kamu yang percaya! Apabila kamu telah mengerjakan komitmen-komitmen (alsalati), basuhlah muka kamu dan tangan kamu sehingga ke siku, dan basuh kepala kamu dan kaki kamu sehingga ke buku lali dan jika keadaan kamu memerlukan pembersihan sepenuhnya, mandilah dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan, atau selepas kamu membuang air, atau kamu telah bersama dengan perempuan, dan kamu tidak menemui air, dapatkan tanah yang bersih dan sapukan muka dan tangan kamu dengannya. Allah tidak berhasrat untuk meletakkan kamu dalam kesulitan, tetapi Dia ingin kamu membersihkan diri dan Dia mahu melengkapkan kurnianya ke atas kamu, supaya kamu menghargainya.
Jika melalui 5:6 Tuhan menyuruh kita membersihkan diri SELEPAS melaksanakan komitmen atau kerja, Tuhan juga menyuruh kita membersihkan diri SEBELUM melaksanakan sebarang komitmen. Maknanya tidak kira sebelum atau selepas melaksanakan sesuatu komitmen atau pekerjaan, Tuhan mahu kita membersihkan diri. Jika ayat 5:6 memaparkan suruhan membersihkan diri selepas menyelesaikan komitmen, ayat 4:43 pula melarang kita dari memulakan sesuatu komitmen dalam keadaan kotor – yang mana sepatutnya kita mandi. Tonasinya agak berbeza tetapi mesejnya sama.
4:43 Wahai kamu yang percaya! Jangan mendekati komitmen apabila kamu mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu katakan, dan jangan juga apabila kamu dalam keadaan perlukan mandi – kecuali kamu sedang dalam perjalanan – sehinggalah kamu membersihkan diri kamu; dan jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau kamu membuang air atau kamu telah bersama dengan perempuan dan kamu tidak menemui air, ambillah tanah yang bersih kemudian sapukan ke muka kamu dan tangan kamu. Sesungguhnya Tuhan Mengampun dan Memaafkan.
Maknanya sebelum buat apa-apa komitmen atau pekerjaan – kalau diri tidak bersih – mandi dulu. Bagaimanapun tidak ada kaedah membersih diri ringkas yang disarankan untuk sebelum. Namun dalam keadaan tertentu sepertimana yang disebut juga dalam 5:6 – iaitu jika kita mempunyai masalah kesihatan, dalam perjalanan atau selepas membuang air atau selepas bersama dengan perempuan kita tidak menemui air untuk membersihkan diri sedangkan kita tidak ada jalan keluar dari komitmen yang harus dilaksanakan – maka penyelesaian sementara yang dianjurkan adalah sama, iaitu pakai bedak atau debu tanah.
Sebagai penutup saya berpendapat suruhan supaya kita membersihkan diri samada sebelum atau selepas melaksanakan sesuatu komitmen atau pekerjaan dapat disimpulkan melalui bahagian akhir ayat 5:6.
5:6 (bahagian akhir) …Tuhan tidak berhasrat untuk meletakkan kamu dalam kesulitan, tetapi Dia ingin kamu membersihkan diri dan Dia mahu melengkapkan kurniaNya ke atas kamu, supaya kamu menghargainya.
Dengan artikel ini, maka saya batalkan dua artikel saya yang menyentuh 5:6 dan 4:43 sebelum ini.
Memahami analogi 24:35
24:35 “Tuhan adalah Cahaya langit dan bumi. Perumpamaan CahayaNya adalah seperti sebuah ruang yang di dalamnya ada lampu. Lampu itu diserkup di dalam kaca. Kaca itu bersinar seumpama ia sebutir bintang yang terang. Dinyalakan dari pokok yang penuh rahmat, zaitun. Tanpa mengira timur atau barat, minyaknya seumpama membara walaupun tidak disentuh api. Cahaya demi cahaya! Tuhan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia inginkan kepada CahayaNya. Tuhan melontarkan analogi kepada manusia dan Tuhan mengetahui segala-galanya”.
Apabila Tuhan menyifatkan Dia sebagai cahaya kepada langit dan bumi, ia membawa maksud Tuhan adalah pemberi manfaat kepada seluruh alam. Tetapi apabila Tuhan mengecilkan konteks cahaya atau manfaat itu kepada cahaya dari sebuah lampu minyak zaitun di dalam sebuah ruang kecil seperti dalam analogiNya, saya berpendapat analogi itu dimaksudkan secara khusus kepada perananNya sebagai pemberi manfaat kepada manusia yang mendiami sebahagian kecil dari alamNya yang maha luas.
Jika cahaya adalah manfaat, maka minyak zaitun adalah sumber mentah atau sumber asas. Bagi membolehkan minyak zaitun bertukar menjadi cahaya, ia perlu melalui proses pembakaran menggunakan api. Dan jika kita sabitkan proses pembakaran minyak zaitun itu sebagai satu aplikasi memproses sumber mentah atau sumber asas kepada penghasilan cahaya atau manfaat, maka proses pembakaran atau penyalaan api bolehlah kita sifatkan sebagai suatu bentuk aplikasi teknologi – teknologi asas yang ringkas.
Kemudian apabila Tuhan menyatakan minyak zaitun itu boleh diperolehi tanpa mengira di timur atau di barat dan ia seperti membara walaupun tidak disentuh api, maknanya sumber-sumber mentah atau asas yang boleh menghasilkan pelbagai manfaat kepada manusia sebenarnya boleh didapati di mana-mana saja dan sentiasa terserlah walaupun belum berlaku sebarang aplikasi teknologi ke atasnya.
Misalnya, perihal minyak zaitun yang boleh dijadikan bahan api lampu atau pelita itu pun mungkin telah mengambil masa untuk diketahui kegunaannya oleh manusia.
Pendek kata – apa yang boleh kita simpulkan melalui mesej 24:35 adalah – jika tidak ada manfaat, itu tidak bermakna tidak ada sumber. Ketiadaannya berkemungkinan besar adalah akibat ketiadaan pengetahuan di pihak kita kerana sesungguhnya sumber yang dikurniakan oleh Tuhan sebenarnya ada di mana-mana. Dan Tuhan sendiri bersedia untuk memberi kita manfaat demi manfaat tanpa berkira.
Kefahaman dari 24:35 ini amat menarik sekali kerana kita dapat melihat relevannya dengan pelbagai penemuan oleh manusia ke atas pelbagai sumber mentah atau sumber asas yang tidak terkira banyaknya. Melalui aplikasi teknologi yang berjaya dibangunkan dari pengetahuan-pengetahuan yang dikumpul, sumber-sumber mentah atau asas itu kemudiannya berjaya diolah menjadi produk-produk yang amat bermanfaat dan menjadi tulang belakang di sebalik perkembangan tamadun dan kesejahteraan manusia.
Melalui kefahaman ini juga kita dapat melihat satu lagi sisi mengapa Nabi Ibrahim Tuhan jadikan contoh kepada seluruh manusia. Apabila beliau meninggalkan kaumnya dan memulakan kehidupan baru bersama keluarganya yang kecil di sebuah lembah yang tandus, nampaknya beliau memang seorang yang amat menyakini bahawa “cahaya” Tuhannya ada di mana saja asalkan dia tidak melalaikan diri dengan amalan tidak berasas dan sia-sia. Nabi Ibrahim adalah bapa kepada sebuah sistem yang berdiri di atas amalan atau aplikasi penyelidikan dan pembangunan.
Jadi, selamat menyelidik dan membangunkan sesuatu, para pembaca budiman! Sesungguhnya anda sebenarnya tidak pernah kekurangan sumber untuk memulakannya.