Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for the ‘Analogi’ Category

Memahami analogi 24:35

with 10 comments

24:35 “Tuhan adalah Cahaya langit dan bumi. Perumpamaan CahayaNya adalah seperti sebuah ruang yang di dalamnya ada lampu. Lampu itu diserkup di dalam kaca. Kaca itu bersinar seumpama ia sebutir bintang yang terang. Dinyalakan dari pokok yang penuh rahmat, zaitun. Tanpa mengira timur atau barat, minyaknya seumpama membara walaupun tidak disentuh api. Cahaya demi cahaya! Tuhan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia inginkan kepada CahayaNya. Tuhan melontarkan analogi kepada manusia dan Tuhan mengetahui segala-galanya”.

Apabila Tuhan menyifatkan Dia sebagai cahaya kepada langit dan bumi, ia membawa maksud Tuhan adalah pemberi manfaat kepada seluruh alam. Tetapi apabila Tuhan mengecilkan konteks cahaya atau manfaat itu kepada cahaya dari sebuah lampu minyak zaitun di dalam sebuah ruang kecil seperti dalam analogiNya, saya berpendapat analogi itu dimaksudkan secara khusus kepada perananNya sebagai pemberi manfaat kepada manusia yang mendiami sebahagian kecil dari alamNya yang maha luas.

Jika cahaya adalah manfaat, maka minyak zaitun adalah sumber mentah atau sumber asas. Bagi membolehkan minyak zaitun bertukar menjadi cahaya, ia perlu melalui proses pembakaran menggunakan api. Dan jika kita sabitkan proses pembakaran minyak zaitun itu sebagai satu aplikasi memproses sumber mentah atau sumber asas kepada penghasilan cahaya atau manfaat, maka proses pembakaran atau penyalaan api bolehlah kita sifatkan sebagai suatu bentuk aplikasi teknologi – teknologi asas yang ringkas.

Kemudian apabila Tuhan menyatakan minyak zaitun itu boleh diperolehi tanpa mengira di timur atau di barat dan ia seperti membara walaupun tidak disentuh api, maknanya sumber-sumber mentah atau asas yang boleh menghasilkan pelbagai manfaat kepada manusia sebenarnya boleh didapati di mana-mana saja dan sentiasa terserlah walaupun belum berlaku sebarang aplikasi teknologi ke atasnya.

Misalnya, perihal minyak zaitun yang boleh dijadikan bahan api lampu atau pelita itu pun mungkin telah mengambil masa untuk diketahui kegunaannya oleh manusia.

Pendek kata – apa yang boleh kita simpulkan melalui mesej 24:35 adalah – jika tidak ada manfaat, itu tidak bermakna tidak ada sumber. Ketiadaannya berkemungkinan besar adalah akibat ketiadaan pengetahuan di pihak kita kerana sesungguhnya sumber yang dikurniakan oleh Tuhan sebenarnya ada di mana-mana. Dan Tuhan sendiri bersedia untuk memberi kita manfaat demi manfaat tanpa berkira.

Kefahaman dari 24:35 ini amat menarik sekali kerana kita dapat melihat relevannya dengan pelbagai penemuan oleh manusia ke atas pelbagai sumber mentah atau sumber asas yang tidak terkira banyaknya. Melalui aplikasi teknologi yang berjaya dibangunkan dari pengetahuan-pengetahuan yang dikumpul, sumber-sumber mentah atau asas itu kemudiannya berjaya diolah menjadi produk-produk yang amat bermanfaat dan menjadi tulang belakang di sebalik perkembangan tamadun dan kesejahteraan manusia.

Melalui kefahaman ini juga kita dapat melihat satu lagi sisi mengapa Nabi Ibrahim Tuhan jadikan contoh kepada seluruh manusia. Apabila beliau meninggalkan kaumnya dan memulakan kehidupan baru bersama keluarganya yang kecil di sebuah lembah yang tandus, nampaknya beliau memang seorang yang amat menyakini bahawa “cahaya” Tuhannya ada di mana saja asalkan dia tidak melalaikan diri dengan amalan tidak berasas dan sia-sia. Nabi Ibrahim adalah bapa kepada sebuah sistem yang berdiri di atas amalan atau aplikasi penyelidikan dan pembangunan.

Jadi, selamat menyelidik dan membangunkan sesuatu, para pembaca budiman! Sesungguhnya anda sebenarnya tidak pernah kekurangan sumber untuk memulakannya.

Written by tolokminda

June 12, 2011 at 1:00 am

Posted in Analogi, Quran