Posts Tagged ‘Nabi’
Peranan Yahudi dan Arab munafik dalam membentuk agama Islam yang kita kenali hari ini
Walaupun umat Islam mengaku meletakkan Al-Quran sebagai sumber rujukan yang paling diutamakan, hakikatnya formasi agama Islam yang mereka anuti sekarang sebenarnya lebih bersumberkan kepada hadis dan sunnah di samping pendapat serta ajaran para imam mereka. Tanpa hadis dan sunnah yang disampaikan dan ditekankan oleh para imam mereka itu, agama Islam dalam bentuk yang kita kenali hari ini tidak mungkin wujud.
Buktinya, semua amalan ritual dan hukum-hakam fekah mahupun syariah yang menjadi pegangan umat Islam – tanpa mengira mazhab mereka – sebenarnya tidak ada di dalam Al-Quran. Kita hanya boleh merujuknya kepada kitab-kitab hadis dan sunnah serta kitab-kitab karangan para imam dan ulama favorite mereka.
Secara umumnya hadis dan sunnah dirujuk kepada himpunan cerita-cerita riwayat Nabi semasa dia masih hidup – kononnya diriwayatkan secara verbatim oleh para periwayat yang telah ditapis dan dijamin kewibawaan dan kejujuran mereka – mereka tidak mungkin menyeleweng. Bagaimanapun dalam sejarah Islam yang sampai kepada kita, pengumpulan hadis dan sunnah ini tidak dilakukan sehinggalah 200 – 300 selepas Nabi wafat.
Oleh itu sebagai seorang yang benar-benar meyakini Al-Quran, saya ingin mengajak para pembaca budiman berfikir dan merenung ayat berikut sedalam-dalamnya. Saya berpendapat ia memberikan kita satu clue yang agak jelas tentang kedudukan himpunan kisah riwayat Nabi serta latarbelakang penyelewengan maksud perkataan-perkataan penting di dalam Al-Quran.
5:41 Wahai Rasul, jangan bersedih dengan mereka yang semakin teruk tidak percaya dari kalangan mereka yang berkata; “Kami percaya”, dengan mulut mereka sedangkan hati mereka tidak percaya. Dan dari kalangan mereka orang-orang Yahudi, ada di antara mereka yang mendengar pembohongan – mereka mendengar dari orang-orang yang tidak pernah menemui kamu, mereka menyelewengkan perkataan-perkatan dari konteksnya dan mereka berkata: Jika kamu diberikan ini, maka ikutlah tetapi jika kamu diberikan selainnya, maka berhati-hatilah. Dan sesiapa sahaja yang Tuhan ingin uji, maka kamu tidak mampu berbuat apa-apa untuk dia yang menentang Tuhan. Mereka inilah yang hati mereka Tuhan tidak ingin bersihkan; di dunia ini mereka akan dihina dan di akhirat kelak mereka akan mendapat balasan yang berat.
Melalui ayat di atas kita mendapat satu gambaran bagaimana pada ketika Nabi masih hidup dan menyampaikan Al-Quran pun beliau telah berhadapan dengan ramai dari kalangan kaumnya yang bersifat hipokrit (munafik). Keadaan itu menyebabkan Nabi berasa kecewa. Mereka mengaku percaya tetapi hakikatnya tidak. Pengakuan mereka hanya berada di mulut tetapi hati mereka sebenarnya tidak percaya.
Di kalangan orang-orang Yahudi pula, Tuhan kata mereka gemar mendengar cerita-cerita bohong tentang Nabi padahal mereka yang bercerita itu sebenarnya tidak pernah bertemu Nabi pun. Selain itu mereka turut melakukan penyelewengan terhadap maksud perkataan-perkataan dan mendoktrinasi orang lain kepada pembohongan dan penyelewengan mereka dengan berkata, “jika kamu diberikan ini, maka ikutlah tetapi jika kamu diberikan selainnya, maka berhati-hatilah”.
Oleh itu, antara kesimpulan yang dapat saya gariskan dari penelitian terhadap 5:41 adalah;
- Orang-orang Arab kaum Nabi yang kebanyakannya munafik tidak peduli tentang Nabi ataupun Al-Quran. Mereka hanya mahu mengekalkan kepercayaan agama tradisi mereka tetapi buat-buat percaya kepada apa yang disampaikan apabila berada di depan Nabi.
- Orang Yahudi adalah pihak yang mula-mula menyebarkan riwayat-riwayat palsu mengenai Nabi sejak beliau masih lagi hidup dan menyampaikan Al-Quran.
- Orang Yahudi juga mempunyai tabiat menyelewengkan maksud perkataan-perkataan di luar dari konteks mungkin untuk disesuaikan dengan cerita-cerita bohong mereka.
- Umat Islam yang mengambil mudah dan cenderung menurut membuta tuli terperangkap dalam sebuah agama yang theologinya berasaskan kisah-kisah riwayat palsu serta perkataan-perkataan yang diselewengkan maksudnya oleh Yahudi.
- Umat Islam yang mengambil mudah dan cenderung menurut membuta tuli terperangkap dalam sebuah agama yang amalan ritualnya berlegar di sekitar kepercayaan orang Arab yang munafik.
- Umat Islam yang rata-ratanya celaru, ditindas dan dihina tidak sedar bahawa nasib yang menimpa mereka sebenarnya adalah akibat kejahilan dan kesombongan mereka sendiri.
- Elakkan menjadi seperti orang Yahudi yang percaya kepada golongan yang membawa cerita tentang Nabi sedangkan mereka sendiri tidak pernah menemuinya.
Adakah dua kalimah syahadah satu korupsi pewaris golongan munafik zaman Nabi?
Dalam blog ini kita telah membincangkan semua rukun Islam, iaitu rukun yang melibatkan ritual-ritual yang disifatkan wajib ke atas orang-orang Islam – sembahyang, puasa, zakat, haji – kecuali satu – mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam perbincangan-perbincangan yang dimaksudkan, kita telah melihat bagaimana ritual sembahyang (solat), puasa, haji dan zakat sebenarnya tidak wujud di dalam Al-Quran. Tuhan tidak pernah mengajar kita apa-apa ritual melalui Al-Quran. Yang ada cuma perkataan-perkataan yang disalahtafsirkan. Samada para pembaca budiman mahu percaya atau tidak, hujah-hujah mengenainya telah dikemukakan di atas nas-nas Al-Quran. Maka terpulanglah kepada diri masing-masing untuk membuat kesimpulan.
Sekarang tibalah masanya untuk kita periksa pula kedudukan satu-satunya rukun Islam yang belum kita sentuh – iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Kita semua telah sedia maklum apakah yang dimaksudkan dengan mengucap dua kalimah syahadah. Dilafazkan begini:
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah”
Saya telah cuba mencari kalau-kalau ungkapan ini sesungguhnya telah diwajibkan oleh Allah sebagai pra-syarat kepada sesiapa yang mahu menjadi seorang Muslim. Dan sesungguhnya saya tidak menemui apa-apa yang seumpamanya. Sebaliknya saya menemui ayat-ayat berikut.
63:1 Apabila mereka yang munafik datang kepadamu mereka berkata: Kami bersaksi bahawa sesungguhnya kamu adalah utusan Allah. Dan Tuhan tahu bahawa kamu adalah utusanNya dan Tuhan bersaksi bahawa mereka yang munafik adalah penipu.
63:2 Mereka telah menjadikan sumpah mereka itu sebagai topeng, dengan cara itu mereka menjauhkan jalan Allah. Jahat sungguh apa yang mereka lakukan.
63:3 Itu kerana mereka telah percaya, kemudian tidak percaya. Akibatnya, hati mereka tertutup – mereka tidak faham.
Surah 63 – “Yang Munafik,” memberikan kita gambaran siapakah mereka itu di zaman Nabi. Dan sebagaimana yang kita sama-sama dapat baca melalui tampalan terjemahan di atas, saya fikir ayat pertama surah ini agak memeranjatkan. Ia mendedahkan kepada kita bahawa ungkapan kedua dalam kalimah syahadah iaitu “aku bersaksi Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah” sebenarnya adalah ungkapan orang-orang munafik di zaman Nabi.
Kenyataan Allah dalam 63:1 terlalu jelas untuk kita nafikan.
Soalannya, bagaimana ungkapan orang-orang munafik zaman Nabi boleh menjadi sebahagian dari ungkapan yang diwajibkan ke atas kita? Siapakah yang sebenarnya telah mewajibkannya? Tuhan sudah tentu tidak. Jadi adakah orang-orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah pada hari ini sebenarnya pewaris golongan munafik zaman Nabi?
Jangan kata soalan ini tidak berasas. Saya berpendapat, kita tidak ada pilihan kecuali mendapatkan kepastian mengenainya!
Tidak ada manusia berhak menjadi pelindung di samping Allah
Secara umumnya orang Islam percaya bahawa Nabi Muhamad akan memberi syafaat kepada mereka di hari kiamat kelak.
Sebahagian dari kepercayaan tentang syafaat Nabi itu adalah apabila Nabi dikatakan boleh berunding dengan Tuhan supaya membatalkan atau meringankan hukuman terhadap umatnya di akhirat nanti. Orang Islam percaya bahawa sejahat mana pun mereka di dunia ini, di akhirat nanti mereka tidak akan tinggal kekal di dalam neraka. Idea seperti ini tidak disebut di dalam Al-Quran. Tetapi akibat terlalu mempercayainya, umat Islam cenderung mengampu Nabi dan menyekutukan beliau dengan Tuhan di mana dan bila saja ada peluang.
Apa saja yang disandarkan ke atas Nabi sangat mudah diterima oleh masyarakat Islam. Teks-teks yang didakwa sebagai hadis dan sunnah Nabi menjadi rujukan utama mereka. Orang-orang yang menjaja hadis atau sunnah Nabi diberi tempat yang istimewa dalam kepercayaan dan masyarakat. Walaupun mereka sendiri tidak pernah mengenali mana-mana individu yang menjadi penulis asal hadis-hadis atau sunnah-sunnah itu – dan Tuhan juga tidak pernah mengesahkan tentang peranan atau kedudukan mereka – umat Islam tidak peduli.
Akibat kepercayaan membuta-tuli kepada manusia-manusia yang menjanjikan mereka syurga di atas nama Nabi, maka lahirlah pelbagai amalan ritual, sistem perundangan dan hukum-hakam fekah yang hampir semuanya diolah dari hadis dan sunnah. Jika kita periksa di dalam Al-Quran, ritual-ritual yang mereka amalkan bukanlah sesuatu yang Tuhan suruh kita amalkan, undang-undang yang mereka tegakkan seringkali bersifat bersifat cacamarba walaupun dikatakan undang-undang Tuhan, hukum-hakam fekahnya pula menyempitkan minda dan kehidupan umat.
Saya tahu topik ini bakal menggamit kuat sensitiviti para pembaca. Tetapi ia satu topik yang amat penting – yang kita mesti berani hadapi, selidik dan bincangkan supaya kita tidak menjadi di antara mereka yang menjadikan manusia lain sebagai pelindung (menyekutukan Tuhan) – yang akibatnya semua usaha dan amalan kita di dunia ini menjadi sia-sia – dan di akhirat nanti hanya layak menjadi penghuni neraka sebagaimana yang Tuhan nyatakan dalam ayat-ayat ini.
18.102 Adakah mereka yang tidak percaya fikir mereka boleh mengambil hamba-hambaKu sebagai pelindung di samping Aku? Sesungguhnya kami telah menyediakan neraka sebagai hiburan untuk mereka yang tidak percaya.
18.103 Katakan: Patutkah Kami beritahu mereka siapa yang rugi besar dalam amalan mereka?
18.104 “Mereka yang usahanya sia-sia ketika hidup dunia ini, sedangkan mereka fikir mereka mendapat kebaikan dari kerja-kerja mereka.
18.105 Mereka adalah orang-orang yang menafikan Pedoman-Pedoman Tuhan mereka dan hakikat mereka akan menemui Dia – sia-sia sajalah amalan mereka – tidak juga Kami di hari kiamat akan memberi sebarang pertimbangan.
18.106 Itulah ganjaran untuk mereka – neraka – kerana mereka menolak kepercayaan dan mengambil Pedoman-PedomanKu dan rasul-rasulKu sebagai olok-olokan.
Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan memperolok-olokkan Pedoman Tuhan dan rasulNya? Saya berpendapat salah satu daripadanya adalah apabila kita mengambil teks-teks yang ditulis oleh orang lain dan kemudian percaya apa yang mereka tulis itu merupakan pelengkap dan penjelas kepada ayat-ayat Allah atas alasan ia adalah hadis dan sunnah rasulullah.
Kerana – bagaimana jika bukan? Bagaimana jika Nabi tidak pernah sebut apa yang kononnya beliau telah sebut? Bagaimana jika Nabi tidak pernah melakukan apa yang kononnya beliau telah lakukan? Siapa yang akan memikul tanggungjawab untuk menjadi saksi ke atas semua dakwaan mereka? Si polan atas si polan atas si polan? Tak payah mahkamah Tuhan, mahkamah manusia pun pasti tak akan terima persaksian seperti ini! Inilah yang dikatakan olok-olokan.
Selain itu patutkah kita memberi gambaran bahawa Tuhan – Pencipta segala apa yang ada di langit dan di bumi – yang nyata dan yang ghaib – mewahyukan sebuah Kitab yang tidak lengkap, tidak jelas atau tidak boleh difahami oleh makhluk yang menerimanya – iaitu manusia? Tuhan yang bodoh atau hanya manusia yang ada sifat itu?
Saya berpandangan kita patut tanya diri kita sendiri sampai lebam sebelum berasa begitu seronok memperolok-olokkan ayat-ayat Tuhan atas nama rasul. Tuhan wahyukan Al-Quran kerana belas kasihanNya kepada kita. Jadi di mana kewajarannya untuk kita bersifat dangkal dan sombong kepada Tuhan? Sudahkah kita membaca KitabNya? Sudahkah kita membuat penyelidikan untuk memahami KitabNya? Sudahkah kita bertekun dan berpuasa sebagaimana yang Tuhan nasihatkan sebelum kita berkata itu dan ini?
Adakah ilmu Tuhan sempit atau adakah Tuhan tidak cukup kaya dengan perbendaharaan kata untuk menyampaikan sebuah Kitab yang lengkap sehingga kita terpaksa merujuk kepada cerita-cerita turun temurun untuk melengkapkan isikandungannya? Mungkin kita patut renung dalam-dalam mengapa Tuhan menyuruh Nabi berkata seperti berikut.
18.109 Katakan: Jika lautan itu dakwat untuk perkataan-perkataan Tuhanku – ia akan habis berbanding perkataan-perkataan Tuhanku – walaupun jika kamu adakan lagi lautan sepertinya sebagai tambahan.
18.110 Katakan: Aku hanyalah seorang lelaki seperti kamu, tetapi inspirasi itu telah sampai kepada aku – bahawa Tuhanmu adalah Tuhan yang Satu – sesiapa saja yang menjangka untuk bertemu Empunyanya, kerjakanlah amalan-amalan yang benar dan dalam berbakti kepada Tuhan, jangan sertakan sebarang sekutu.
Adakah Tuhan melantik Nabi sebagai sekutuNya? Atau adakah Nabi telah menjadikan dirinya sekutu kepada Tuhan? Tidak bolehkah kita faham nasihat Tuhan dan nasihat Nabi yang ringkas dan mudah itu?
Nampaknya kita ada begitu banyak soalan yang perlukan jawapan.
Konsep ketuhanan orang Arab
Melalui Al-Quran, Tuhan memberitahu kita tentang konsep ketuhanan yang dipegang oleh orang-orang Arab sejak turun-temurun. Ia merupakan satu konsep di mana Tuhan itu mempunyai rumah, berkeluarga, beristeri dan memiliki anak-anak perempuan. Tuhan memberi gambaran yang agak jelas mengenai kepercayaan tidak berasas orang-orang Arab dalam hal ini.
37:153 Adakah Dia memilih anak-anak perempuan berbanding lelaki?
37:154 Apa kena dengan kamu, bagaimana kamu membuat pertimbangan?
37:155 Adakah kamu tidak berakal?
Akibat kepercayaan mereka itu, mereka sendiri tidak suka anak-anak perempuan. Mereka malu apabila mendapat anak perempuan. Di dalam masyarakat Arab apabila seseorang mendapat tahu dia mendapat seorang anak perempuan, mukanya akan menjadi hitam kerana marah dan merasa terhina tak terkata.
16:58 Dan apabila dimaklumkan anak perempuan kepada seorang dari mereka, mukanya menjadi hitam dan penuh kemarahan.
Menjelaskan lagi penghinaan ke atas mereka yang mendapat anak perempuan ialah apabila orang ramai akan mengejek-ngejek mereka kononnya mereka sama dengan Tuhan (kerana mendapat anak perempuan).
43:17 Dan apabila seseorang dari mereka mendapat berita yang dia dipersamakan dengan Tuhan Yang Pemurah, mukanya menjadi hitam dan penuh kemarahan.
Bukan setakat itu, mereka juga turut menamakan para malaikat dengan nama-nama perempuan.
43:19 Dan mereka menjadikan para malaikat – yang berkhidmat kepada Tuhan Yang Pemurah – berjantina perempuan. Apa! Adakah mereka telah menyaksikan penciptaan mereka? Dakwaan mereka akan ditulis dan mereka akan ditanya mengenainya.
Bayangkan betapa buruknya konsep ketuhanan orang-orang Arab yang mana Tuhan di kelilingi oleh isteri, anak-anak dan para malaikat yang semuanya perempuan. Dan mereka menyembah semua yang mereka sendiri ada-adakan di samping Tuhan tanpa sebarang sandaran kecuali kerana mengikut membuta-tuli apa yang telah diajar oleh bapa-bapa mereka.
43:20 Dan mereka berkata: Jika Tuhan Yang Pemurah mengkehendaki – tentulah kami tidak menyembah mereka – Mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan mereka hanya berbohong.
43:21 Atau sudahkah kami beri mereka Al-Kitab sebelum ini supaya mereka berpegang teguh kepadanya?
43:22 Tidak! Mereka berkata: Kami dapati bapa-bapa kami dalam satu jalan, dan sesungguhnya kami mendapat petunjuk dari langkah-langkah mereka.
43:23 Sama juga, bila saja Kami menghantar seorang Pemberi amaran kepada mana-mana umat, mereka yang kaya di dalamnya berkata: Sesungguhnya kami dapati bapa-bapa kami dalam satu jalan dan sesungguhnya kami adalah pengikut langkah-langkah (agama) mereka.
Tetapi adakah orang-orang Arab berubah selepas Nabi menyampaikan Al-Quran kepada mereka? Menurut Tuhan – Tidak. Mereka langsung tidak berubah.
43:24 Katakan: Apa! Walaupun jika aku membawa kepada kamu pedoman yang lebih baik dari apa yang kamu perolehi dari bapa-bapa kamu? Mereka berkata: Sesungguhnya kami tidak percaya dengan apa yang telah diutuskan kepada kamu.
Al-Lat, Al-Uzza & Al-Manat
Jika apa yang dikemukakan di atas masih belum mencukupi mari kita lihat melalui satu lagi sudut di mana Tuhan telah menyebut secara khusus tentang Al-Lat, Al-Uzza dan Al-Manat. Selaras dengan nama-mana mereka, ketiga-tiganya adalah Dewi (goddess) yang menjadi tonggak sembahan orang Arab menjelaskan kepada ayat-ayat yang telah saya kemukakan di atas.
53:19 Sudahkah kamu pertimbangkan Lat dan Uzza
53:20 Dan Manat, yang ketiga – yang terakhir?
53:21 Apa! Untuk kamu yang lelaki dan untuk Dia yang perempuan?
53:22 Sesunguhnya ini adalah pembahagian yang tidak adil!
Menurut kefahaman saya dari sumber luar Al-Quran, orang-orang Arab menganggap Al-Lat sebagai ibu kepada Dewi-Dewi Al-Uzza dan Al-Manat, iaitu anak-anakNya. Apapun saya berpendapat kita tidak perlu memikirkan sangat tentang ketepatan fakta berkaitan siapa itu Al-Lat, Al-Uzza atau Al-Manat kerana ia tidak penting selepas Allah memberitahu:
53:23 Mereka tidak lebih dari sekadar nama yang telah kamu namakan, kamu dan bapa-bapa kamu – Allah tidak pernah menghantar kepada mereka sebarang pengesahan. Mereka hanya mengikut andaian dan nafsu dangkal yang menjadi kecenderungan jiwa mereka sendiri dan sesungguhnya sekarang telah datang pedoman kepada mereka dari Tuhan mereka.
Tetapi itulah malangnya, orang-orang Arab telah menetapkan pendirian mereka:
43:24 Katakan: Apa! Walaupun jika aku membawa kepada kamu pedoman yang lebih baik dari apa yang kamu perolehi dari bapa-bapa kamu? Mereka berkata: Sesungguhnya kami tidak percaya dengan apa yang telah diutuskan kepada kamu.
Jadi – selepas mengetahui pendirian orang-orang Arab terhadap wahyu yang telah disampaikan kepada mereka oleh Nabi, apakah wajar kita patuh kepada konsep ketuhanan berteraskan binaan-binaan dan lokasi-lokasi “suci” yang mereka bawa kepada kita tanpa membuat penyelidikan terlebih dulu? Adakah kita juga mahu menunggu sehingga Tuhan bertanya kita: Adakah kamu tidak berakal?

Adakah orang Arab terlalu obsesif kepada organ seks wanita sehinggakan mereka merekabentuk pelindung hajar aswad sebegitu rupa? Atau adakah ia simbol gender dewi-dewi yang mendiami binaan berkenaan?
Memang benar hari ini kita tidak mendengar orang-orang Arab menyebut Al-Lat, Al-Uzza atau Al-Manat dalam ritual mereka. Tetapi secara logiknya, jika mereka terus melakukan itu adakah sesiapa yang mahu menuruti mereka? Mereka bukan bodoh sehingga tidak boleh mencongak betapa besarnya keuntungan menjadi penaung kepada sebuah agama besar yang penganutnya hanya tahu mendengar dan menerima apa saja yang mereka sampaikan?

Mengapakah bangunan empat segi memerlukan 3 batang tiang? Adakah sebagai simbol kepada jumlah dewi-dewi tonggak yang mendiaminya?
Tetapi susah sangatkah untuk kita semua melihat Kaabah di Mekah itu – walaupun hanya sebuah kekotak batu empat segi dan berselimut hitam – telah dipersimbolkan kepada gender perempuan melalui bentuk pelindung hajar aswad yang ada di satu sudutnya.
Selain itu di dalamnya terdapat tiga tiang, yang saya fikir agak tidak sepadan dengan binaan yang berbentuk segi empat. Adakah ia sebenarnya melambangkan tiga dewi yang menjadi tonggak sembahan orang-orang Arab?
Sedang Tuhan sudah memberi pelbagai amaran dan peringatan supaya kita tidak memyekutukan Dia dengan apa-apa pun tetapi mengapakah kita masih mahu menuruti apa yang dibawa oleh orang-orang Arab kepada kita tanpa sedikit pun merasa perlu untuk membuat penyelidikan sendiri?
Sekarang saya turut musykil kenapa wanita Arab mesti memakai jubah hitam saja… ermmm. Mari kita bincangkan.
Solat Jumaat: Apa sebenarnya kata Tuhan?
Surah Al-Jumuah
62:1 Segala yang di langit dan segala yang di bumi mengakui keagungan Tuhan, Yang Berdiri Sendiri, Yang Suci, Yang Berkuasa, Yang Bijaksana.
62:2 Dialah yang telah mengutuskan di kalangan orang-orang yang belum pernah mengenal Tuhan seorang rasul dari kalangan mereka sendiri untuk membacakan wahyu Tuhan dan memurnikan mereka dan mengajar mereka Al-Kitab dan kebijaksanaan, sesungguhnya mereka dulu dalam kesesatan.
62:3 Dan begitu juga dari kalangan mereka yang lain, yang belum menyertai mereka, dan Dialah Yang Berkuasa, Yang Bijaksana.
62:4 Begitulah Kemurahan Allah. Dia memberi kurnia kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah adalah Tuhan Yang Amat Pemurah.
62:5 Perbandingan mereka yang telah disampaikan Taurat, kemudian mereka tidak mematuhinya adalah seperti kaldai mendapat buku, zalim adalah persamaan bagi orang-orang yang tidak mahu menerima wahyu-wahyu Allah dan Allah tidak memberi pedoman kepada orang yang zalim.
62:6 Katakan: Wahai orang-orang Yahudi, jika kamu fikir kamu disayangi Allah dan tidak orang-orang lain, mohonlah kematian jika kamu berkata benar.
62:7 Dan mereka tidak akan memohonnya kerana apa yang telah tangan mereka lakukan, dan Allah tahu siapa yang zalim.
62:8 Katakan: Kematian yang kamu elakkan akan tetap mengatasi kamu, kemudian kamu akan dibawa ke hadapan Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, dan Dia akan memberitahu kamu apa yang telah kamu lakukan.
62:9 Wahai orang-orang yang percaya! Apabila diminta komitmen kamu di hari berkumpul, maka segeralah kepada Peringatan Allah dan tinggalkan urusan kamu, itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui.
62:10 Kemudian selepas komitmen itu selesai, bersurailah mencari kemurahan Tuhan di atas mukabumi, dan banyakkanlah mengingati Tuhan, semoga kamu mendapat kejayaan.
62:11 Dan apabila mereka melihat barangan atau hiburan mereka berbondong ke arahnya, dan meninggalkan kamu berdiri berseorangan. Katakan: Apa yang bersama Allah adalah lebih baik dari hiburan atau barangan, dan Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.
Surah Al-Jumuah terkenal kerana di dalamnya mengandungi ayat yang dikatakan dalil kepada perintah mengerjakan solat Jumaat. Bagaimanapun apabila saya lihat dengan lebih dekat, notasi mengenai solat Jumaat itu sebenarnya tidak meyakinkan langsung. Apa yang Tuhan nyatakan bukanlah perintah supaya kita solat Jumaat.
Dengan kandungan ayat yang sedikit, iaitu 11 ayat sahaja, Surah Al-Jumuah tidak begitu sukar untuk difahami.
Secara spesifik, melalui surah ini Tuhan memerintahkan masyarakat Nabi supaya mendengar apa yang disampaikan oleh rasul-Nya itu apabila mereka diajak berkumpul untuk tujuan berkenaan. Pergi mendengar apa yang Nabi sampaikan merupakan satu komitmen kepada mereka yang percaya kepada Al-Quran. Tuhan kata Al-Quran itu merupakan manifestasi kemurahan-Nya kepada manusia. Ia memurnikan jiwa, memupuk kebijaksanaan dan menyuluh jalan keluar dari kesesatan.
Atas sebab itu, Tuhan berpesan supaya umat Al-Quran jangan menjadi seperti pengikut Nabi Musa yang diibaratkan Tuhan seperti kaldai mendapat kitab, mereka dikurniakan Taurat tapi tidak mematuhi kandungannya. Kata Tuhan sikap seperti itu merupakan satu kezaliman dan Tuhan tidak memberi pedoman kepada orang-orang yang zalim.
Begitu juga Tuhan berpesan supaya umat Al-Quran tidak menjadi orang yang sombong seperti Yahudi yang mendabik dada kononnya mereka saja yang disayangi Tuhan sehinggakan Tuhan mencabar mereka supaya memohon untuk mati kalau mereka benar-benar yakin dengan apa yang mereka dakwa. Tuhan kata mereka tidak mungkin berani berbuat demikian kerana orang-orang Yahudi tahu perbuatan-perbuatan jahat yang telah mereka lakukan. Bagaimanapun Tuhan menegaskankan bahawa orang-orang Yahudi tetap tidak akan terlepas dengan perbuatan mereka.
Selepas memperingatkan masyarakat Nabi (yang percaya kepada Al-Quran) mengenai perilaku buruk kaum Nabi Musa dan orang Yahudi, maka dalam ayat ke 9 Tuhan menyeru mereka supaya datang apabila diajak berkumpul pada hari-hari di mana Nabi mahu menyampaikan wahyu Tuhan kepada mereka. Tuhan suruh mereka tinggalkan urusan harian mereka untuk tujuan berkenaan kerana ia merupakan satu komitmen bagi mereka. Mereka boleh kembali meneruskan urusan harian mereka selepas menunaikan komitmen tersebut dan Tuhan kata mereka akan menjadi orang-orang yang berjaya apabila banyak mengingati Tuhan.
Dalam ayat akhir Surah Al-Jumuah (62:11) Tuhan menggambarkan kepada kita suasana yang biasa berlaku di hari berkumpul itu. Tuhan kata mereka yang datang mudah tertarik kepada benda-benda lain seperti tawar-menawar barangan atau hiburan yang terdapat di sekitar lokasi mereka berhimpun sehinggakan Nabi ditinggal keseorangan tidak dipedulikan. Berikutan itu, Tuhan berpesan kepada Nabi supaya memberitahu kaumnya bahawa memilih untuk bersama Allah adalah lebih baik daripada tawar-menawar barang atau hiburan yang mereka sukai.
Jadi, fikir-fikirkanlah. Jika benar seruan berkumpul yang dimaksudkan oleh Tuhan dalam Surah Al-Jumuah merupakan solat Jumaat sebagaimana amalan umat Islam hari ini, adakah mungkin Nabi boleh ditinggalkan berkhutbah sendirian sedangkan kaumnya sibuk dengan tawar-menawar barangan dan berseronok dengan hiburan?
62:11 Dan apabila mereka melihat barangan atau hiburan mereka berbondong ke arahnya, dan meninggalkan kamu berdiri berseorangan. Katakan: Apa yang bersama Allah adalah lebih baik dari hiburan atau barangan, dan Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.
Nabi Muhamad tidak buta huruf
Ulama mengatakan Nabi sebagai seorang yang buta huruf dengan berdalil ayat 62:2. Mereka mentafsirkan perkataan ummiyyin sebagai buta huruf dan menyandarkannya kepada Nabi. Sedangkan maksud sebenar perkataan ummiyyin itu adalah yang tidak kenal Tuhan – Al-Kitab/Nabi/Rasul tak pernah sampai kepada mereka (gentiles). Jom periksa 62:2
huwal-lazi ba’asha – Dialah yang telah mengutuskan
fil-ummyin – di kalangan yang tidak mengenal Tuhan (among the gentiles)
rosulan min-hum – seorang rasul dari mereka
yatlu a’laihem – untuk membacakan kepada mereka wahyu Tuhan
wa-yuzak-kihem – dan memurnikan mereka
wa-yua’limuhumul – dan mengajar mereka
kitaba – Al-Kitab
wal-Hikmata – dan kebijaksanaan
wa-ainkanu – sesungguhnya mereka
min-qoblu – dari dulu
lafi-thola-lin mubin – dalam kesesatan
Ayat di atas menjelaskan bahawa Nabi adalah rasul pertama di kalangan orang Arab. Tidak pernah sampai kepada mereka sebarang Nabi atau Rasul atau Kitab Tuhan sebelum Muhamad. Dan dalam konteks perbincangan, ayat 62:2 jelas tidak mengatakan atau menggambarkan bahawa Nabi seorang yang buta huruf. Ia hanya menjelaskan bahawa Nabi dan kaumnya merupakan mereka yang tidak pernah diutuskan di kalangan mereka rasul mahu pun mereka pernah membaca mana-mana Al-Kitab.
Untuk mengesahkan lagi bahawa orang Arab tidak pernah menerima pedoman Tuhan sebelum Nabi, kita boleh rujuk satu lagi ayat.
34:44 “Dan kami tidak pernah memberi mereka apa-apa Al-Kitab untuk mereka baca dan tidak juga kami telah mengutuskan mereka seorang pemberi amaran”.
Dengan pencerahan ini, sekarang kita tahu perkara yang sebenar mengenai kedudukan orang Arab sebelum Muhamad. Satu persoalan timbul dari pengetahuan baru ini, kalau begitu keadaannya, maknanya cerita bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pernah menjejak kaki di Mekah adalah tidak benar.
Tuhan kata tidak pernah sampai kepada orang Arab walau seorang Nabi/Rasul/Kitab dari kalangan mereka. Oleh itu perkara tentang Kaabah dan sebagainya mungkin perlu kita periksa semula. Dengan serius. Tapi ini sudah topik lain. Kembali kepada perbincangan asal, adakah benar Nabi buta huruf?
Menurut Al-Quran, tidak. Nabi bukan seorang yang buta huruf. Malah Nabi telah menulis Al-Quran apabila ayat-ayatnya diwahyukan kepadanya. Baca surah Al-Furqan dengan teliti. Misalnya;
25:4-5 “Mereka yang tidak percaya (orang-orang Arab) berkata; Ini adalah rekaan yang dibuat dengan bantuan beberapa orang. Sesungguhnya mereka telah mengucapkan kejahatan dan penipuan. Dan mereka juga berkata; Dia (Muhamad) menulis cerita-cerita dongeng dahulu kala yang dibacakan kepadanya pagi dan petang”.
Ayat di atas secara tidak langsung menyatakan Nabi menulis apa yang disampaikannya, iaitu Al-Quran. Sebenarnya orang Arab zaman Nabi sendiri pun menyifatkan Nabi seorang yang terpelajar (learned – mu-a’lamun). Ini boleh kita lihat melalui ayat 44:13-14.
44:13-14 “Bagaimanakah mereka menyambut peringatan itu? Dan sesungguhnya telah seorang yang jelas Rasul, dan mereka menafikannya dan berkata, “dia terpelajar (mua’lamun – learned), (tetapi) gila”.
Melalui dalil-dalil yang terkandung dalam Al-Quran adalah jelas Nabi bukanlah seorang buta huruf. Beliau adalah seorang rasul Tuhan yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada tugasan yang diamanahkan iaitu menerima wahyu, menulis wahyu yang diterima dan menyampaikannya sebagaimana Tuhan nak dia sampaikan.
Sudah jelas dalam dalil-dalil itu bagaimana orang Arab kaum Nabi sebenarnya menolak dan memperlekeh Nabi. Sekarang mereka kata Nabi seorang buta huruf, jadi patutkah kita percaya bulat-bulat apa yang mereka kata tanpa terasa sedikit pun untuk membuat semakan?
Jika kita fikir-fikirkan, tentulah tidak munasabah Allah melantik seorang rasul yang tidak tahu membaca dan menulis sehingga rasul-Nya terpaksa bergantung kepada orang lain untuk menuliskan wahyu yang diterimanya. Dengan kata lain, jika itu keadaannya maka Nabi Muhamad bukanlah seorang rasul yang telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna.
Perlantikan seseorang rasul merupakan suatu yang eksklusif dan setiap rasul berdiri di atas keupayaannya sendiri dalam melaksanakan amanah yang disandarkan Allah kepadanya. Tidak ada seorang pun rasul sebelum Muhamad yang kita tahu bergantung kepada orang lain untuk menyempurnakan tugas mereka, iaitu menerima wahyu dan menyampaikannya kepada kaum mereka.
Sudah tentu, Nabi Muhamad juga telah menyempurnakan kerasulannya beliau tanpa bergantung kepada orang lain. Dan itu termasuk menulis sendiri wahyu yang sampai kepada beliau sesuai dengan apa yang telah dijelaskan oleh Tuhan bahawa Dia mengajar rasul-Nya dan kita semua melalui pena.
96:1-5 “Bacalah dengan nama Tuhan kamu yang mencipta. Dia mencipta manusia dari segumpal darah. Baca dan Tuhanmu yang Pemurah. Dia mengajar dengan pena. Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”.