Archive for May 2012
Ibrahim, Ismail, lembah tandus, empangan, buah-buahan dan lembu
Menurut cerita yang sering dijaja para agamawan, Nabi Ismail adalah anak kepada Nabi Ibrahim dari salah satu dari dua isterinya. Bagaimanapun selepas saya meneliti kisah Ibrahim dan Ismail yang disampaikan melalui Al-Quran, saya dapati kisahnya berlainan sama sekali. Menurut Al-Quran, Ismail bukanlah anak biologi Ibrahim.
Ismail sebenarnya diperkenalkan dan dipertemukan oleh Tuhan kepada Ibrahim semasa beliau masih kecil, iaitu ketika Ibrahim mengambil keputusan untuk berhijrah keluar dari kampung halamannya selepas beliau dihukum bakar oleh kaumnya yang marah kerana beliau memecahkan berhala-berhala di kuil mereka.
37:99 Dan dia berkata: Sesungguhnya aku akan pergi kepada PemeliharaKu. Dia akan memberiku petunjuk.
37:100 Pemeliharaku, kurniakanku daripada orang-orang yang bertanggungjawab.
37:101 Maka kami berikan dia berita gembira dengan seorang budak lelaki yang toleran.
Ayat-ayat di atas menggambarkan apa yang telah berlaku. Ibrahim mengambil keputusan untuk berhijrah meninggalkan kaumnya dan memohon supaya Tuhan mengurniakan orang-orang yang bertanggungjawab untuk menyertai beliau. Dan Tuhan menyahut permintaan Ibrahim dengan memperkenalkan seorang budak lelaki yang memiliki sifat toleran kepadanya. Dan kita terus boleh tahu bahawa budak lelaki ini adalah Ismail.
Apabila Ibrahim mengambil Ismail dan membawanya bersama, maka bolehlah dikatakan Nabi Ismail telah menjadi anak angkat kepada Nabi Ibrahim. Samada Ibrahim sudah beristeri atau belum kita tidak diberitahu mengenainya tetapi Tuhan ada memberi gambaran yang menunjukkan Ibrahim masih muda pada ketika itu.
21:59 Mereka berkata: Siapa telah lakukan ini dengan tuhan-tuhan kita? Sesungguhnya dia seorang dari orang-orang yang jahat.
21:60 Mereka berkata: Kami dengar seorang lelaki muda menyebutnya. Dia dipanggil Ibrahim.
Satu lagi fakta yang dapat kita ketahui adalah bahawa selain Ismail, terdapat juga orang-orang lain yang telah turut sama bersama Ibrahim dan antaranya adalah Lut.
21:71 Dan Kami telah selamatkannya dan Lut ke bumi yang Kami berkati di dalamnya untuk orang-orang yang berpengetahuan.
Maka Ibrahim, Ismail, Lut dan lain-lain yang turut menyertai mereka keluar meninggalkan kaum mereka yang tidak boleh melepaskan diri dari kepercayaan nenek moyang yang menyekutukan Tuhan. Dan akhirnya Ibrahim telah memilih satu kawasan lembah yang tandus yang tidak mempunyai sebarang tumbuhan untuk menjadi tempat tinggal barunya.
14:37 Pemelihara kami, sesungguhnya aku telah memutuskan dari keturunanku dengan lembah tanpa sebarang tanaman berdekatan sistemMu yang direstui. Pemelihara kami, supaya mereka mendirikan komitmen mereka. Maka jadikanlah hati-hati daripada manusia cenderung kepada mereka dan rezekikan mereka daripada buah-buahan supaya mereka berterima kasih.
Dari semua petunjuk yang berkaitan dengan lokasi yang dipilih oleh Ibrahim ini, saya berpendapat walaupun ia sebuah lembah tandus tanpa tumbuhan tetapi ia berada berdekatan dengan sebuah eko-sistem yang sesuai – besar kemungkinan ia merupakan sebatang sungai utama – dan ia dilihat oleh Ibrahim sebagai suatu sumber yang boleh dimanipulasi untuk mengubah dan membangunkan lembah tandus itu menjadi sebuah lembah yang subur untuk kegiatan pertanian jika mereka komited menjayakannya.
Di sini saya nampak kaliber Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang berwawasan, berani dan innovatif. Saya percaya beliau juga telah bertindak seperti seorang penyelidik, seorang jurutera dan dalam masa yang sama masih bekerja seperti seorang petani dan penternak sebagaimana orang lain di zamannya. Juga dapat dilihat bagaimana beliau telah mengambil masa bertahun-tahun membuat perancangan sebelum proses sebenar mentransformasikan lembah itu dapat dimulakan – sekurang-kurangnya sehingga Ismail telah mencapai umur yang membolehkannya membantu beliau bekerja.
37:102 Maka apabila dia (Ismail) cukup matang untuk berusaha bersamanya, dia (Ibrahim) berkata: Wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat dalam impianku bahawa aku mengorbankan kamu maka lihatlah apa yang kamu nampak? Dia (Ismail) berkata: Wahai bapaku, lakukanlah apa yang kamu telah diperintahkan. Kamu akan dapati aku, jika diizinkan Tuhan, daripada orang-orang yang berdaya tahan.
Ayat di atas telah ditafsirkan oleh golongan agamawan bahawa Ibrahim telah mendapat mimpi supaya mengorbankan dalam ertikata menyembelih Ismail. Tetapi saya melihat ayat 37:182 sebenarnya menceritakan perihal Ibrahim yang mengadakan man-to-man-talk dengan Ismail apabila anak angkatnya itu sudah mencapai umur bekerja. Dalam perbincangan mereka Ibrahim membentangkan impian beliau yang mahu mentransformasikan lembah tandus yang mereka diami dan melihat dirinya akan mengorbankan Ismail dalam konteks Ismail mungkin terpaksa bekerja sangat keras bersama-samanya. Dan Ismail pula faham kedudukan Ibrahim dan beliau tidak ada masalah untuk sama-sama bekerja ke arah menjayakan wawasan Ibrahim dengan sedaya upayanya.
Maka mereka pun memulakan projek yang menjadi impian Ibrahim dan salah satu perkara utama yang mereka laksanakan adalah meninggikan asas sistem.
2:127 Dan apabila Ibrahim meninggikan asas dari sistem bersama Ismail: Pemelihara kami, terimalah dari kami. Sesungguhnya Engkau Mendengar, Melihat.
Seperti yang saya telah sebut di atas, sistem yang dikatakan berdekatan dengan lembah tandus yang menjadi pilihan Ibrahim berkemungkinan merujuk kepada sebatang sungai utama. Oleh itu apabila dikatakan mereka meninggikan atau menaikkan asas sistem, saya percaya mereka sebenarnya membina empangan supaya paras air sungai itu naik dan membolehkan lembah tandus mereka diairi dan seterusnya mereka dapat membangunkan kegiatan pertanian serta penternakan secara terkawal dan produktif.
Dan kita diberitahu usaha Ibrahim bersama Ismail itu akhirnya berjaya dilaksanakan. Impian Ibrahim telah tercapai dan pada suatu ketika apabila ketenteraman telah menyelubungi lembah mereka di mana Ibrahim sedang baring melungkupkan badannya (laying on his forehead), Tuhan memberi pengesahan kepada Ibrahim tentang kejayaannya merealisasikan wawasan beliau sambil memberi jaminan bahawa mereka akan diberi ganjaran yang hebat dan antaranya adalah haiwan-haiwan ternakan untuk sembelihan.
37:103 Maka apabila telah tenteram dan baring dia kepada dahinya
37:104 Dan Kami memanggilnya: Wahai Ibrahim..
37:105 Kamu telah merealisasikan wawasan itu. Sesungguhnya Kami, yang demikian memberi ganjaran kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.
37:106 Sesungguhnya ini tidak lain adalah suatu ujian yang jelas.
37:107 Dan maka Kami telah tebus dia dengan sembelihan yang hebat.
Dalam satu kisah yang Tuhan ceritakan, kita dapat membayangkan betapa hebat dan makmurnya kegiatan penternakan Ibrahim sehingga apabila Tuhan mengutuskan 2 orang malaikat datang ke rumahnya untuk mengkhabarkan berita yang beliau dan isterinya yang bakal mendapat 2 orang anak mereka sendiri, Ibrahim terus menghidang seekor anak lembu panggang untuk mereka.
11:69 Dan tidak syak telah datang utusan-utusan kami kepada Ibrahim dengan berita gembira. Mereka berkata: Yang tenteram! Dia berkata: Tenteram! Maka tidak berlengah dia untuk membawa seekor anak lembu panggang.
Dan selain dari sembelihan yang hebat hasil dari haiwan-haiwan ternakan yang bermutu seperti lembu, kita juga diberitahu bahawa kawasan lembah mereka juga menjadi kawasan pertanian yang subur dengan pelbagai tanaman buah-buahan.
2:126 Dan apabila berkata Ibrahim: Pemeliharaku, jadikanlah negara ini aman dan kurniakanlah penduduknya dari buah-buahan sesiapa yang mempercayai dari kalangan mereka – dengan Tuhan dan hari akhir. Kami berkata: Dan sesiapa menafikan Aku beri juga mereka keseronokan sedikit – kemudian Aku akan paksa mereka kepada siksaan neraka dan amat menyakitkan destinasi itu.
Kejayaan Ibrahim mentransformasikan sebuah kawasan lembah yang tandus menjadi sebuah kawasan lembah yang subur dengan pelbagai tanaman buah-buahan dan haiwan ternakan merupakan suatu epik dan Tuhan menyatakan legasi Ibrahim itu dikekalkan untuk menjadi contoh kepada generasi kemudian.
37:108 Dan kami tinggalkan baginya di kalangan orang-orang yang kemudian.
Ini bermakna kita sebenarnya masih boleh menjejaki kawasan lembah yang pernah dibangunkan dan didiami oleh Ibrahim dan Ismail serta keturunan mereka. Seperti yang saya bentangkan dalam artikel ini, Al-Quran sebenarnya sudah memberi pelbagai petunjuk mengenai lembah berkenaan. Antaranya:
- Lembah itu pada dasarnya adalah sebuah lembah yang tandus jika tiada sebarang campurtangan manusia.
- Lembah itu terletak berhampiran dengan sebuah sistem sungai utama.
- Lembah itu berubah menjadi sebuah kawasan pertanian yang subur selepas empangan dibina untuk menaikkan paras air sungai yang membolehkan lembah berkenaan diairi secara sistematik.
- Lembah itu berkembang menjadi sebuah pusat ketamadunan yang makmur dan terkenal dan kesannya masih boleh dilihat sehingga hari ini.
- Lembah itu menjadi sebuah kawasan pertanian yang subur dengan pelbagai tanaman buah-buahan.
- Lembah itu merupakan sebuah kawasan penternakan yang hebat dan antara ternakan utama yang diusahakan adalah lembu.
- Lembah itu terletak tidak terlalu jauh dari penempatan Nabi Lut.
POSTSCRIPT
39°09’43.20” N, 27°12’36.00” E. Itulah lokasi yang dicadangkan.
Seperti yang dinyatakan dalam komen pertama tuan Mat Guyver untuk entry ini, beliau akhirnya telah berkongsi penemuan berkenaan lokasi lembah tandus yang telah menjadi pilihan Nabi Ibrahim untuk tinggal bersama keturunannya melalui kaedah pengiraan latitud dan logitud di permukaan bumi berdasarkan formula yang beliau device sendiri dari Al-Quran.
Lokasi yang dicadangkan oleh tuan Mat Guyver terletak di Turki – negara yang sememangnya terkenal sebagai antara pengeluar produk buah-buahan utama dunia dan lembu merupakan haiwan ternakan yang common. Lokasi itu juga menunjukkan empangan dibina untuk menguruskan sistem pengairan di seluruh kawasan lembah berkenaan. Di bawah adalah beberapa screenshot dari GoogleEarth yang disediakan oleh tuan Mat Guyver.
Para pembaca budiman boleh terus ke blog Mat Guyver untuk maklumat lanjut. Klik di sini.