Archive for June 2011
Poligami lagi..
Kita bukan nak galak lelaki poligami, kata Nik Aziz
KOTA BARU, 23 Jun – Langkah kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan insentif kepada lelaki yang tidak merahsiakan perkahwinan secara poligami tidak bermaksud kerajaan negeri menggalakkan mereka supaya berpoligami, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Aziz (gambar) berkata pendekatan itu lebih kepada usaha mencari kedamaian pasangan yang mempunyai niat untuk berkahwin lebih daripada satu supaya tidak menimbulkan masalah kepada keluarga apabila mereka merahsiakan sesuatu perkahwinan.
“Kita tidak galakkan lelaki berpoligami, tetapi ia bertujuan mencari kaedah bagaimana perkahwinan poligami itu dapat dilaksanakan secara tersusun dan tidak menimbulkan masalah kepada pasangan terbabit, kerana ia adalah sesuatu yang sensitif baik bagi lelaki atau wanita,” katanya dipetik Bernaam Online.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri dua hari lepas bahawa kerajaan negeri bercadang memberi insentif kepada lelaki yang mendedahkan niat mereka untuk berkahwin secara poligami bagi menjamin kerukunan rumah tangga yang bakal dibina.
Nik Aziz bagaimanapun berkata kerajaan negeri belum dapat menerangkan apakah bentuk insentif yang bakal diberikan itu.
Katanya, cadangan kerajaan negeri ini bukan sahaja tidak dihalang oleh agama, malah kaedah itu boleh membantu anak dara tua atau janda berkahwin dan mendapat pembelaan suami.
————————————————————————————————————————————————
Petikan di atas adalah berita hangat yang terbaru mengenai poligami. Sekarang ada pembesar agama mahu ia diberi insentif pula. Hebat sungguh! Saya tidak faham kenapa amalan poligami ini sangat mendapat perhatian orang Islam sedangkan melalui pemerhatian umum pun kita boleh nampak bahawa ia merupakan satu amalan yang membawa lebih banyak keburukan dari kebaikan.
Jika kita jujur membuat penilaian, tidak susah untuk kita melihat hubungkait amalan poligami dengan begitu banyak pergolakan dalam rumah tangga, penceraian, pengabaian tanggungjawab terhadap anak-anak, masalah sosial dan sebagainya. Saya telah menulis 2 kali mengenai poligami melalui petunjuk-petunjuk Al-Quran dalam laman ini; di sini dan di sini.
Saya bukan mahu memaksa orang percaya kefahaman saya. Tetapi sekurang-kurangnya fikirkanlah. Selidiklah sendiri dengan teliti mesej telah diwahyukan. Jangan mudah-mudah saja terjebak dengan kedangkalan golongan yang menuntut hak sebagai wakil Tuhan sedangkan mereka sendiri tidak memahami mesej yang diamanahkan kepada mereka.
Tidak ada sebarang petunjuk bahawa Tuhan telah menetapkan poligami sebagai satu bentuk “amal soleh”. Malah Tuhan memberitahu kita jika mahu berkahwin lain kita boleh ceraikan isteri kita.
4:20 Tetapi jika kamu memutuskan untuk mengambil seorang isteri mengantikan yang lain, walaupun kamu telah memberi semua milik kamu sebagai hadiah perkahwinan kepada yang terdahulu, janganlah ambil kembali sedikit pun daripadanya. Adakah kamu mahu mengambilnya melalui fitnah dan membuka kesalahan?
Dan dalam masa yang sama jika isteri kita tidak lagi rela untuk bersama kita, Tuhan menegaskan bahawa kita perlu membebaskannya. Lelaki DILARANG memiliki perempuan/isteri tanpa rela mereka.
4:19 Wahai kamu yang percaya! Kamu dilarang memiliki perempuan tanpa kerelaan mereka. Tidak sepatutnya juga kamu melayan mereka dengan kekerasan yang kamu mungkin mengambil sebahagian dari hadiah perkahwinan yang telah kamu berikan kecuali di mana mereka didapati bersalah melakukan kecurangan. Sebaliknya hiduplah dengan mereka atas dasar kasih sayang dan persamaan. Jika kamu tidak suka sesuatu mengenai mereka ia mungkin hanya kerana kamu tidak suka satu perkara, dan Tuhan membawakan melaluinya pelbagai kebaikan lain.
Tuhan beri nasihat kepada kita bahawa hubungan di antara suami dan isteri mestilah atas dasar kasih sayang dan persamaan. Bukannya dengan jalan yang bersifat paksaan atau penipuan seperti yang biasa berlaku dalam kes-kes poligami. Mesej Tuhan dalam 4:19-20 amat jelas dan mudah difahami. Tidak ada konotasi yang boleh membawa kepada kesimpulan bahawa Tuhan menetapkan poligami sebagai jalan keluar.
Begitu juga ayat 4:3. Ia terang-terang merujuk kepada kaedah menyelesaikan permasalahan berkaitan pengurusan harta anak-anak yatim khususnya yang perempuan. Dan mengahwinkan mereka yang sudah cukup dewasa adalah satu jalan yang Tuhan cadangkan kepada kita. Semua konteks berkaitan hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila Tuhan turut menegaskan supaya kita pastikan mereka itu benar-benar cukup dewasa sebelum diberi tanggungjawab sendiri. Jangan hanya kerana nak lepas tangan maka kita hantam saja. Kita mesti amanah. Semua ini dapat kita renungi jika kita baca ayat 4:3 bersama keseluruhan ayat 4:1-5.
4:1 Wahai manusia, patuhi Tuhan kamu yang mencipta seseorang. Dan satu lagi Dia mencipta pasangannya dan Dia memperkembangkan dari keduanya, lebih banyak lelaki dan perempuan. Dan patuhi Tuhan yang kamu sentiasa memohon untuk keluarga. Sesungguhnya Tuhan, Dia mengambilberat tentang kamu.
4:2 Dan serahkanlah harta pusaka anak-anak yatim, dan kamu tidak wajar menukarkan yang buruk untuk yang baik, dan kamu tidak wajar menyerap harta mereka ke dalam harta kamu, kerana sesungguhnya ia akan menjadi sangat tidak adil.
4:3 Dan jika kamu bimbang kamu tidak dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim itu, maka kamu boleh kahwinkan mereka yang kamu rasa sesuai dari yang perempuan – dua, dan tiga dan empat. Tetapi jika kamu bimbang kamu tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah satu atau yang mana telah kamu beri perjanjian. Ini lebih baik supaya kewangan kamu tidak terbeban
4.4 Dan serahkan ke atas yang perempuan harta pusaka mereka dengan jujur. Maka jika mereka bermurah hati terhadap kamu, pemberian peribadi darinya, maka terimalah dengan baik.
4.5 Dan jangan kamu serahkan kepada yang belum matang harta pusaka itu, yang mana Tuhan telah amanahkan kepada kamu. Belanjakanlah untuk mereka darinya, dan sediakan pakaian mereka, dan berinteraksi dengan mereka dengan elok.
Tidak ada Tuhan kata kita boleh kahwin untuk diri kita sendiri ibu-ibu anak yatim atau mana-mana perempuan lain sampai empat. Tuhan sudah jelaskan kepada kita siapakah perempuan-perempuan yang tidak boleh kita kahwini. Dan Tuhan juga ada menggariskan sifat dan kualiti perempuan yang wajar kita kahwini. Tetapi tidak ada Tuhan menetapkan berapa orang perempuan yang kita boleh kahwini. Malah melalui 4:20, Tuhan sebenarnya tidak ketinggalan menunjukkan jalan yang sebaik-baiknya jika kita mahu kahwin lain. Dan kalau semua ayat-ayat berkenaan tidak cukup sebagai petunjuk, mungkin ayat berikut boleh membantu minda berfungsi dengan betul.
24:32 Dan kahwini yang bujang di antara kamu atau dari kalangan hamba lelaki kamu yang “soleh” dan hamba perempuan kamu. Jika mereka dalam kemiskinan, Tuhan akan memperkayakan mereka dari kekayaanNya. Tuhan Mengetahui segala-galanya.
Ayat 24:32 ditujukan kepada kedua-dua gender – lelaki dan perempuan. Maknanya kalau hendak kahwin, kahwinilah yang bujang walaupun mereka hanya berstatus hamba.
Dengan begitu banyak petunjuk dan nasihat yang Tuhan telah beri kepada kita berkaitan perkahwinan saya amat hairan mengapa amalan poligami yang tidak disuruh pula yang diperbesar-besarkan dan mahu diberi insentif. Rosak sungguh akal mereka.
Masjidilharam, masjid, “amal soleh” dan melampaui batas
Saya telah menulis beberapa kali pandangan saya mengenai apa yang dimaksudkan dengan “masjidilharam” dan juga “masjid”. Antaranya di sini, di sini, di sini dan di sini. Ia mungkin agak sukar difahami konsepnya. Maka saya kemukakan pula pandangan saya itu berasaskan grafik ringkas.
Seperti yang dapat kita lihat melalui grafik yang dipaparkan, bulatan besar mewakili “batasan ketetapan yang direstui” (masjidilharam). Bulatan-bulatan kecil yang berada di dalamnya pula mewakili “ketetapan yang direstui” (masjid). Secara ringkas “ketetapan yang direstui” atau masjid adalah mana-mana ketetapan yang Tuhan telah sebut secara khusus di dalam KitabNya.
Aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan di dalam “masjidilharam” – kawasan yang diwarnakan hijau – mewakili apa saja aktiviti yang direstui. Sudah tentulah sebarang aktiviti yang direstui Tuhan merupakan aktiviti yang elok dan membawa manfaat. Iaitu pekerjaan-pekerjaan yang baik dalam istilah bahasa Melayu normal atau “amal soleh” dalam istilah orang Melayu beragama Islam.
Dan sesiapa yang menegakkan ketetapan atau melakukan aktiviti di luar batasan ketetapan yang direstui (masjidilharam) maka mereka adalah dari golongan yang melampaui batas.
Tuhan suruh bersihkan diri selepas dan sebelum melaksana sesuatu komitmen atau pekerjaan
Saya telah menulis kefahaman saya terhadap “ayat wuduk” 5:6 dalam blog ini pada peringkat awal dulu. Bagaimanapun saya dapati kefahaman saya pada ketika itu sudah tidak sama lagi dengan kefahaman yang baru saya perolehi. Sekarang saya percaya seruan Tuhan kepada orang-orang yang percaya di awal ayat 5:6 tidak sepatutnya diterjemahkan sebagai,
“5:6 Wahai kamu yang percaya! Apabila kamu bangun untuk memulakan komitmen-komitmen kamu..”
Sebaliknya ia seharusnya diterjemahkan sebagai,
“5:6 Wahai kamu yang percaya! Apabila kamu telah mengerjakan komitmen-komitmen kamu..”
Saya kemukakan transliterasi penuh ayat 5:6 dan terjemahan/tafsiran baru saya.
Transliterasi 5:6 Ya ayyuha allatheena amanoo itha qumtum ila alssalati faighsiloo wujoohakum waaydiyakum ila almarafiqi waimsahoo biruoosikum waarjulakum ila alkaAAbayni wain kuntum junuban faittahharoo wain kuntum marda aw AAala safarin aw jaa ahadun minkum mina alghaiti aw lamastumu alnnisaa falam tajidoo maan fatayammamoo saAAeedan tayyiban faimsahoo biwujoohikum waaydeekum minhu ma yureedu Allahu liyajAAala AAalaykum min harajin walakin yureedu liyutahhirakum waliyutimma niAAmatahu AAalaykum laAAallakum tashkuroona
5:6 Wahai kamu yang percaya! Apabila kamu telah mengerjakan komitmen-komitmen (alsalati), basuhlah muka kamu dan tangan kamu sehingga ke siku, dan basuh kepala kamu dan kaki kamu sehingga ke buku lali dan jika keadaan kamu memerlukan pembersihan sepenuhnya, mandilah dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan, atau selepas kamu membuang air, atau kamu telah bersama dengan perempuan, dan kamu tidak menemui air, dapatkan tanah yang bersih dan sapukan muka dan tangan kamu dengannya. Allah tidak berhasrat untuk meletakkan kamu dalam kesulitan, tetapi Dia ingin kamu membersihkan diri dan Dia mahu melengkapkan kurnianya ke atas kamu, supaya kamu menghargainya.
Apakah yang telah menyebabkan kefahaman saya berubah dari “memulakan komitmen” kepada “telah mengerjakan komitmen”?
Kerana saya bersetuju bahawa perkataan “qumtum” merujuk kepada kata kerja yang telah diselesaikan (perfect verb). Maknanya kita disuruh membasuh muka, tangan, kepala dan kaki BUKAN SEBELUM kita melaksanakan komitmen-komitmen (alsalati), TETAPI sebenarnya kita disuruh melakukannya SELEPAS melaksanakannya. Saudara Faried mengemukakan link berikut sebagai rujukan. Para pembaca budiman juga mungkin boleh memeriksanya dengan mana-mana kenalan yang amanah dan arif dalam tatabahasa Arab.
Melalui pelurusan mesej 5:6 ini maka kepercayaan bahawa “wuduk” adalah ritual pembersihan diri sebelum melaksanakan “alsalati” terbatal dengan sendirinya. Mereka memberitahu kita bahawa “wuduk” perlu dilakukan SEBELUM melaksanakan “alsalati”, tetapi ayat 5:6 menyatakan bahawa “wuduk” perlu dilakukan SELEPAS melaksanakan “alsalati”. Percanggahannya terlalu mencucuk akal. Jadi, nak percaya kepada Al-Quran atau nak percaya sipolan?
Apabila “wuduk” bebas dari unsur ritual, mesej 5:6 menjadi begitu jelas dan bersifat common sense saja. Tuhan hanya menyuruh kita membersihkan diri setiap kali selesai melaksanakan sebarang komitmen, atau dalam konteks yang saya fikir relevan – pekerjaan kita. Lepas buat kerja, bersihkan diri. Itu mesejNya. Jika tidak kotor, cukup sekadar basuh muka, kepala, tangan dan kaki. Tetapi jika kita kotor dan wajar mandi, maka Tuhan suruh kita mandi.
Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, yang disebut secara khusus oleh Tuhan iaitu – jika kita mempunyai masalah kesihatan, dalam perjalanan atau selepas membuang air atau selepas bersama dengan perempuan kita tidak menemui air untuk membersihkan diri, maka Tuhan menyarankan kita supaya menggunakan debu tanah (bedak) sebagai penyelesaian sementara.
5:6 Wahai kamu yang percaya! Apabila kamu telah mengerjakan komitmen-komitmen (alsalati), basuhlah muka kamu dan tangan kamu sehingga ke siku, dan basuh kepala kamu dan kaki kamu sehingga ke buku lali dan jika keadaan kamu memerlukan pembersihan sepenuhnya, mandilah dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan, atau selepas kamu membuang air, atau kamu telah bersama dengan perempuan, dan kamu tidak menemui air, dapatkan tanah yang bersih dan sapukan muka dan tangan kamu dengannya. Allah tidak berhasrat untuk meletakkan kamu dalam kesulitan, tetapi Dia ingin kamu membersihkan diri dan Dia mahu melengkapkan kurnianya ke atas kamu, supaya kamu menghargainya.
Jika melalui 5:6 Tuhan menyuruh kita membersihkan diri SELEPAS melaksanakan komitmen atau kerja, Tuhan juga menyuruh kita membersihkan diri SEBELUM melaksanakan sebarang komitmen. Maknanya tidak kira sebelum atau selepas melaksanakan sesuatu komitmen atau pekerjaan, Tuhan mahu kita membersihkan diri. Jika ayat 5:6 memaparkan suruhan membersihkan diri selepas menyelesaikan komitmen, ayat 4:43 pula melarang kita dari memulakan sesuatu komitmen dalam keadaan kotor – yang mana sepatutnya kita mandi. Tonasinya agak berbeza tetapi mesejnya sama.
4:43 Wahai kamu yang percaya! Jangan mendekati komitmen apabila kamu mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu katakan, dan jangan juga apabila kamu dalam keadaan perlukan mandi – kecuali kamu sedang dalam perjalanan – sehinggalah kamu membersihkan diri kamu; dan jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau kamu membuang air atau kamu telah bersama dengan perempuan dan kamu tidak menemui air, ambillah tanah yang bersih kemudian sapukan ke muka kamu dan tangan kamu. Sesungguhnya Tuhan Mengampun dan Memaafkan.
Maknanya sebelum buat apa-apa komitmen atau pekerjaan – kalau diri tidak bersih – mandi dulu. Bagaimanapun tidak ada kaedah membersih diri ringkas yang disarankan untuk sebelum. Namun dalam keadaan tertentu sepertimana yang disebut juga dalam 5:6 – iaitu jika kita mempunyai masalah kesihatan, dalam perjalanan atau selepas membuang air atau selepas bersama dengan perempuan kita tidak menemui air untuk membersihkan diri sedangkan kita tidak ada jalan keluar dari komitmen yang harus dilaksanakan – maka penyelesaian sementara yang dianjurkan adalah sama, iaitu pakai bedak atau debu tanah.
Sebagai penutup saya berpendapat suruhan supaya kita membersihkan diri samada sebelum atau selepas melaksanakan sesuatu komitmen atau pekerjaan dapat disimpulkan melalui bahagian akhir ayat 5:6.
5:6 (bahagian akhir) …Tuhan tidak berhasrat untuk meletakkan kamu dalam kesulitan, tetapi Dia ingin kamu membersihkan diri dan Dia mahu melengkapkan kurniaNya ke atas kamu, supaya kamu menghargainya.
Dengan artikel ini, maka saya batalkan dua artikel saya yang menyentuh 5:6 dan 4:43 sebelum ini.
Memahami analogi 24:35
24:35 “Tuhan adalah Cahaya langit dan bumi. Perumpamaan CahayaNya adalah seperti sebuah ruang yang di dalamnya ada lampu. Lampu itu diserkup di dalam kaca. Kaca itu bersinar seumpama ia sebutir bintang yang terang. Dinyalakan dari pokok yang penuh rahmat, zaitun. Tanpa mengira timur atau barat, minyaknya seumpama membara walaupun tidak disentuh api. Cahaya demi cahaya! Tuhan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia inginkan kepada CahayaNya. Tuhan melontarkan analogi kepada manusia dan Tuhan mengetahui segala-galanya”.
Apabila Tuhan menyifatkan Dia sebagai cahaya kepada langit dan bumi, ia membawa maksud Tuhan adalah pemberi manfaat kepada seluruh alam. Tetapi apabila Tuhan mengecilkan konteks cahaya atau manfaat itu kepada cahaya dari sebuah lampu minyak zaitun di dalam sebuah ruang kecil seperti dalam analogiNya, saya berpendapat analogi itu dimaksudkan secara khusus kepada perananNya sebagai pemberi manfaat kepada manusia yang mendiami sebahagian kecil dari alamNya yang maha luas.
Jika cahaya adalah manfaat, maka minyak zaitun adalah sumber mentah atau sumber asas. Bagi membolehkan minyak zaitun bertukar menjadi cahaya, ia perlu melalui proses pembakaran menggunakan api. Dan jika kita sabitkan proses pembakaran minyak zaitun itu sebagai satu aplikasi memproses sumber mentah atau sumber asas kepada penghasilan cahaya atau manfaat, maka proses pembakaran atau penyalaan api bolehlah kita sifatkan sebagai suatu bentuk aplikasi teknologi – teknologi asas yang ringkas.
Kemudian apabila Tuhan menyatakan minyak zaitun itu boleh diperolehi tanpa mengira di timur atau di barat dan ia seperti membara walaupun tidak disentuh api, maknanya sumber-sumber mentah atau asas yang boleh menghasilkan pelbagai manfaat kepada manusia sebenarnya boleh didapati di mana-mana saja dan sentiasa terserlah walaupun belum berlaku sebarang aplikasi teknologi ke atasnya.
Misalnya, perihal minyak zaitun yang boleh dijadikan bahan api lampu atau pelita itu pun mungkin telah mengambil masa untuk diketahui kegunaannya oleh manusia.
Pendek kata – apa yang boleh kita simpulkan melalui mesej 24:35 adalah – jika tidak ada manfaat, itu tidak bermakna tidak ada sumber. Ketiadaannya berkemungkinan besar adalah akibat ketiadaan pengetahuan di pihak kita kerana sesungguhnya sumber yang dikurniakan oleh Tuhan sebenarnya ada di mana-mana. Dan Tuhan sendiri bersedia untuk memberi kita manfaat demi manfaat tanpa berkira.
Kefahaman dari 24:35 ini amat menarik sekali kerana kita dapat melihat relevannya dengan pelbagai penemuan oleh manusia ke atas pelbagai sumber mentah atau sumber asas yang tidak terkira banyaknya. Melalui aplikasi teknologi yang berjaya dibangunkan dari pengetahuan-pengetahuan yang dikumpul, sumber-sumber mentah atau asas itu kemudiannya berjaya diolah menjadi produk-produk yang amat bermanfaat dan menjadi tulang belakang di sebalik perkembangan tamadun dan kesejahteraan manusia.
Melalui kefahaman ini juga kita dapat melihat satu lagi sisi mengapa Nabi Ibrahim Tuhan jadikan contoh kepada seluruh manusia. Apabila beliau meninggalkan kaumnya dan memulakan kehidupan baru bersama keluarganya yang kecil di sebuah lembah yang tandus, nampaknya beliau memang seorang yang amat menyakini bahawa “cahaya” Tuhannya ada di mana saja asalkan dia tidak melalaikan diri dengan amalan tidak berasas dan sia-sia. Nabi Ibrahim adalah bapa kepada sebuah sistem yang berdiri di atas amalan atau aplikasi penyelidikan dan pembangunan.
Jadi, selamat menyelidik dan membangunkan sesuatu, para pembaca budiman! Sesungguhnya anda sebenarnya tidak pernah kekurangan sumber untuk memulakannya.
Menguji pandangan Kassim Ahmad tentang sembahyang
Saya harap entri ini akan diterima dan dilayan sebagai satu wacana ilmiah dan aman oleh para pembaca budiman.
Dalam bukunya “Hadis: Satu Penilaian Semula”, Kassim Ahmad ada mengutarakan satu bahagian yang diberi tajuk “Kaedah Sembahyang”. Mari kita sama-sama uji pandangan-pandangan Kassim Ahmad dalam perkara ini. Bahagian yang diquote dan diboldkan adalah salinan dari pandangan Kassim Ahmad yang dimaksudkan.
Kaedah Sembahyang
Pendukung-pendukung Hadis bertanya: Jika kita menolak Hadis, bagaimana kita bersembahyang? Sebenarnya, jawapannya ada di dalam Quran sendiri. Sesiapa yang mengkaji Quran mengetahui bahawa ibadah-ibadah agama, salat, puasa, zakat dan haji telah diajar oleh Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya dan diperturunkan daripada mereka, generasi, kepada Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya.
Tuhan kami, jadikanlah kami Muslim (tunduk) kepadaMu, dan daripada keturunan kami biarlah lahir suatu bangsa Muslim (yang tunduk) kepadaMu. Ajarkanlah kami bagaimana hendak mengamalkan ibadah-ibadah agama kami, dan ampunilah kami; Kau maha pengampun, maha penyayang. (2:128)
Komen Saya:
Saya tidak nampak bagaimana ayat 2:128 boleh dijadikan bukti atau dalil bahawa Tuhan telah mengajar Nabi Ibrahim ibadah-ibadah agama seperti salat, puasa, zakat dan haji sebagaimana salat, puasa, zakat dan haji yang diamalkan oleh orang Islam hari ini. Saya berpendapat Kassim Ahmad terlalu klise dan dangkal apabila hanya mampu menyebut, “sebenarnya, jawapannya ada di dalam Quran sendiri. Sesiapa yang mengkaji Quran mengetahui bahawa ibadah-ibadah agama, salat, puasa, zakat dan haji telah diajar oleh Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya..”, tanpa mengutarakan dan menghujahkan dengan jelas bukti-buktinya.
Quran juga memberitahu kepada kami bahawa orang-orang Arab sebelum Muhammad sudah mengamalkan salat:
Salat mereka di rumah suci tidak lain daripada penipuan dan kesesatan. (8:35);
Komen Saya:
Tuhan telah membuat satu penjelasan mudah melalui ayat 8:35, iaitu solaa orang-orang Arab kaum Nabi hanyalah siulan dan bertepuk tangan – iaitu amalan yang tidak membawa apa-apa faedah. Jadi apa kena-mengena dengan solaa Nabi Ibrahim? Bukan Nabi Ibrahim yang mengajar mereka solaa seperti itu dan sudah tentu Tuhan juga tidak mengajarnya.
dan wahyu-wahyu Quran yang paling awal sudah menyebut salat dan zakat, membukttikan bahawa ibadah-ibadah ini sudah terkenal di kalangan orang Arab. Wahyu ketiga, Surah Al-Muzzammil (73) ayat 20, menyatakan:
Oleh yang demikian bacalah apa yang mampu olehmu darinya (Quran), dan amalkanlah salat dan berikanlah zakat, dan pinjamkanlah Tuhan satu pinjaman kebajikan.
Komen Saya:
Saya ada membincangkan Surah Al-Muzzammil di sini.
Dan berikut adalah terjemahan dan tafsiran saya untuk ayat 73:20
Sesungguhnya Tuhanmu tahu bagaimana kamu berjaga kadangkala dua pertiga dari waktu malam, atau kadangkala separuh atau sepertiga seperti yang dilakukan juga oleh segolongan yang bersama kamu. Tuhan menetapkan siang dan malam. Dia tahu kamu tidak mengiranya dan membalas untukmu dengan belas kasihan. Jadi bacalah Al-Quran yang mudah kepada kamu. Dia tahu ada di antara kamu yang tidak sihat, sebahagian pula sedang mengembara di atas muka bumi untuk mencari anugerah pemberian Tuhan, dan yang lain sedang berjuang demi Tuhan. Jadi bacalah (Al-Quran) seberapa banyak kerana ia mudah, dan jadikan ia satu komitmen dan jagalah sentiasa kemurniannya, dan belanjakan untuk Tuhanmu pelaburan yang baik-baik. Apa saja yang baik kamu berikan untuk diri kamu nescaya kamu akan temuinya di sisi Tuhan, malah lebih baik lagi sebagai balasannya. Dan minta keampunan dari Tuhan. Sesungguhnya Tuhan Pengampun dan Mengasihani.
Saya melihat kefahaman Kassim Ahmad terhadap apa yang dimaksudkan sebagai “solat” dan “zakat” dalam 73:20 tidak kena dengan konteks ayat mahupun Surah 73 secara keseluruhannya tidak kiralah samada Surah itu telah diturunkan awal atau lewat. Melalui Surah 73, Tuhan menyuruh kita menjadikan tabiat membaca Al-Quran pada waktu malam sebagai satu komitmen (solaa). Semudah itu saja. Ia tidak ada kena mengena dengan suruhan supaya mengerjakan ritual yang berbentuk sembah menyembah.
Periwayat Nabi yang pertama, Ibn Ishaq, mencatat dalam sirahnya bahawa sebelum beliau diangkat menjadi rasul, Muhammad mengunjungi Gua Hira’ tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadan untuk berhening cipta dan bersembahyang, dan memberi makan kepada orang-orang miskin yang datang kepadanya.19 Ibn Ishaq juga mencatat bahawa sebelum Nabi israk dan mikraj pada malam bersejarah itu, Nabi bersembahyang isyak’ di rumah Umm Hani.20 Kesemua fakta ini menafikan laporan-laporan Hadis yang menyatakan bahawa ibadah sembahyang diperintahkan oleh Tuhan kepada Nabi pada malam israk dan mikraj.
Komen Saya:
Dalam para di atas, Kassim Ahmad menolak hadis-hadis yang mengaitkan Nabi dengan peristiwa Israk & Mikraj kerana berpandangan catatan periwayat Nabi yang pertama, Ibn Ishaq, bahawa Nabi telah bersembahyang sebelum berlakunya peristiwa berkenaan lebih dipercayai beliau. Maknanya, sandaran Kassim Ahmad untuk menolak riwayat Israk & Mikraj adalah dengan riwayat juga – bukan dengan Al-Quran.
Berhubung dengan kaedah-kaedah salat (waktu, rakaat dan gerak-gerinya), tidak syak lagi bahawa amalan yang dilakukan oleh umat Islam sekarang, pada dasarnya, berpunca daripada amalan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, dan kaedah-kaedah ini diperturunkan, generasi demi generasi, hingga kepada Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya.
Dipaparkan di bawah ini adalah petikan para yang sama dalam buku versi Bahasa Inggeris.
A moment’s thought will also make us realize that we do not learn how to pray from the hadith. We learn to do so from our parents and teachers who inherit the practice through the generations from the first source, that is Prophet Abraham.
Komen Saya:
Melalui kedua-dua petikan di atas (dari versi buku Bahasa Melayu & versi Bahasa Inggeris) kita dapat melihat dengan jelas pandangan Kassim Ahmad terhadap asal-usul ritual sembahyang yang beliau amalkan. Beliau mendakwa beliau tidak belajar melalui hadis. Dan di dalam para-para seterusnya nanti, para membaca budiman akan turut menemui pengakuan beliau bahawa “Tuhan tidak memperincikan bentuk dan kaedah salat dalam Quran”.
Maka – pendek kata, Kassim Ahmad tidak mempelajari bentuk dan kaedah sembahyangnya melalui hadis mahupun Al-Quran. Beliau berpandangan ritual sembahyang sebenarnya diajar melalui proses pengamalan secara turun temurun dari generasi ke generasi oleh ibubapa dan guru-guru sejak dari sumber pertama, iaitu Nabi Ibrahim. (Untuk melihat dengan lebih jelas pandangannya itu, perhatikan petikan dari versi Bahasa Inggeris).
Kassim Ahmad nampak seperti serba tidak kena dalam usahanya mempertahankan kepercayaan terhadap ritual sembahyang. Beliau tahu Al-Quran tidak memperincikan bentuk dan kaedahnya. Tetapi dalam masa yang sama beliau tidak mahu menerima jika dikatakan yang ia adalah sesuatu yang bersumberkan hadis. Lalu beliau menyandarkannya terus kepada Nabi Ibrahim, ibubapa dan nenek moyangnya sendiri. Sekali pandang, jalannya nampak macam lurus. Tetapi adakah ritual sembahyang itu benar-benar selari dengan kepercayaan dan legasi Ibrahim?
Mari kita periksa apa kata Ibrahim tentang amalan yang melibatkan perbuatan menyekutukan Tuhan dengan sesuatu sebagaimana yang direkodkan oleh Tuhan melalui Al-Quran.
21:66 Dia berkata: Kamu mengabdi di samping Tuhan sesuatu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kamu dan tidak juga mendatangkan mudarat?
21:67 Aku jijik dengan kamu dan apa yang kamu abdikan di samping Tuhan! Tidakkah kamu mempunyai akal?
Dan berikut pula adalah apa kata Ibrahim tentang perbuatan menuruti kepercayaan dan amalan ibubapa secara membuta tuli.
21:52 Apabila dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Patung-patung apakah ini yang kamu sembah?
21:53 Mereka berkata: Kami dapati bapa-bapa kami mengabdi kepadanya (AAabideena).
21:54 Dia berkata: Kamu dan bapa-bapa kamu sesungguhnya dalam kesesatan yang nyata.
Berdasar dari ayat-ayat di atas, saya melihat percubaan Kassim Ahmad menyandarkan ritual sembahyang terus kepada Nabi Ibrahim tidak boleh disokong. Kepercayaan dan legasi Ibrahim jelas menolak sebarang amalan yang mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu. Ia juga tidak memberi merit kepada amalan yang diikuti secara membuta tuli secara turun temurun. Selain itu kita tidak boleh lupa bahawa Nabi Ibrahim merupakan seorang nabi yang kepercayaan dan legasinya bukan sahaja dituntut oleh “orang Islam” bahkan oleh Yahudi, Kristian dan mungkin oleh yang lain-lain.
3:65 Wahai pengikut-pengikut Al-Kitab! Mengapa kamu bertelagah mengenai Ibrahim, sedangkan Taurat dan Injil tidak diwahyukan sehingga selepas dia; kenapa kamu tidak boleh faham?
Maka jika benar dakwaan Kassim Ahmad bahawa bentuk dan kaedah sembahyang yang diamalkannya merupakan warisan langsung dari Nabi Ibrahim tentulah bentuk dan kaedah ritual yang sama dapat dilihat diamalkan oleh para pengikut Al-Kitab yang lain. Tidak perlulah mereka bertelagah tentang kepercayaan dan legasi Ibrahim.
Di bawah adalah beberapa para seterusnya. Bagaimanapun saya akan memberhentikan komentari saya setakat ini dan saya buka ruang kepada para pembaca budiman untuk terus menguji pandangan Kassim Ahmad dalam hal sembahyang menurut kefahaman masing-masing. Silakan.
Namun demikian, Quran telah juga menyatakan beberapa perincian kaedah salat: umpamanya, semua lima waktunya (11:114, 17:78, 24:58, 2:238, 30:17-18 dan 20:130); perbuatan rukuk dan sujud (22:77); meringkaskan sembahyang dalam perjalanan (4:101); bentuk yang boleh disesuaikan dalam keadaan perang dan keadaan luar biasa (2:239); berpakaian elok (7:31); cara bacaan yang sederhana (17:110); jangan menyerukan selain Allah dalam sembahyang (72:18) dan cara-cara wuduk (5:6 dan 4:43). Jadi, walaupun perincian gerak-geri salat tidak diberi dalam Quran, banyak perincian kaedah ada diberikan.
Juga Quran mengajar kita supaya jangan mempertikai bentuk dan kaedah. Bentuk dan kaedah tidak begitu penting jika dibandingkan dengan tujuan. Apa yang penting ialah kebaikan dan kejujuran untuk melakukan kebaikan.
Kebaikan bukanlah berpaling ke Timur atau ke Barat. Kebaikan ialah beriman kepada Tuhan, hari kiamat, malaikat-malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi; dan mendermakan wang yang kita sayangi kepada kaum keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang asing, pengemis-pengemis, dan membebaskan hamba-abdi, dan melaksanakan salat dan zakat, dan menunaikan janji-janji yang dibuat, dan tetap teguh menghadapi bencana, kesusahan dan peperangan. Inilah mereka yang benar; inilah mereka yang baik. (2:177)
Tahukah engkau siapa yang menolak keimanan? Dia yang mengabaikan anak-anak yatim. Dan tidak pernah menganjurkan diberi makanan kepada orang-orang miskin. Oleh itu, celakalah mereka yang melaksanakan salat. Sedangkan mereka lalai tentang salat mereka. Mereka hanya menunjuk. Dan enggan bersedekah. (107:1-7)
Ada hikmahnya yang besar mengapa Tuhan tidak memperincikan bentuk dan kaedah salat dalam Quran. Pertama, kerana bentuk dan kaedah ini telah diajar kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, dan disahkan untuk diikut oleh umat Muhammad. Kedua, kerana bentuk dan kaedah tidak begitu penting, dan Tuhan ingin memberi kelonggaran kepada umat Muhammad supaya mereka boleh melakukan salat mereka dalam keadaan apa juga, seperti dalam perjalanan jauh, dalam peperangan, di Kutub Utara, atau di angkasa lepas, mengikut cara yang sesuai. Peristiwa Putera sultan Salman dari Arab Saudi yang turut serta dalam kapal angkasa Amerika, Discovery pada Jun 1985 meminta perunjuk daripada tokoh-tokoh agama negaranya bagaimana hendak bersembahyang di dalam kapal angkasa itu bukan saja telah menimbulkan pertentangan di kalangan ulama yang jumud dan anti-sains, tetapi adalah satu peringatan yang amat baik kepada umat Islam supaya kembali dan berpegang kepada Quran dan jangan mempertikai bentuk dan kaedah.
Sumber Salinan Yang DiPerbincangkan Dalam Entri Ini:
Bahasa Malaysia
Bahasa Inggeris