Archive for the ‘Solaa | Solat’ Category
Solat: Sembahyang atau Komitmen?
Ulama-ulama Islam berkata “solat” merupakan tiang agama, diwajibkan oleh Tuhan secara khusus kepada umat Al-Quran. Sebab itulah pada hari ini kita lihat hanya umat Islam yang solat sedangkan umat-umat Al-Kitab terdahulu tidak, kata mereka.
Sebenarnya ulama-ulama Islam telah menipu umat Islam. Jika kita teliti semua rasul terdahulu juga “solat” dan mereka, sama seperti Nabi Muhamad, mengajak umat mereka “solat”. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam Al-Quran. Tidak ada beza “solat” Nabi Muhamad dengan “solat” Nabi Ibrahim, dengan “solat” Nabi Isa, “solat” Nabi Musa, Nabi Ayub dan sebagainya.
Mari kita lihat contoh umat dan Nabi terdahulu dengan “solat” mereka mengikut tafsiran ulama-ulama Islam.
“Solat” Bani Israel
2:83 “Dan, ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil: “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat“. Kemudian kamu berpaling membelakangkannya kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”.
“Solat” Nabi Isa
19:31 “Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup“.
Dua contoh di atas sebenarnya sudah cukup untuk menjelaskan bahawa Nabi-Nabi dan kaum-kaum Al-Kitab terdahulu juga diperintahkan supaya “solat” oleh Tuhan. Tidak ada bezanya perintah “solat” kepada mereka dengan “solat’ yang ditperintahkan ke atas Nabi Muhamad dan kita semua. Periksalah semua ayat-ayat yang mengandungi perkataan “solat” atau sembahyang di dalam Al-Quran dan kita akan dapati “solat” semua Nabi termasuk Nabi Muhamad dan pengikut mereka yang percaya merujuk kepada perkara atau perintah yang sama.
Tetapi mengapa ulama-ulama kata “solat” diperintahkan kepada umat Islam sahaja? Dalam keadaan seperti ini tentulah ada pihak yang tidak bercakap benar. Siapakah agaknya yang tidak bercakap benar? Tuhan atau ulama-ulama ini? Saya percaya ulama-ulama inilah yang telah berbohong. Dan saya memilih untuk percaya kepada Al-Quran.
Sebenarnya perkataan “solat” tidak wujud di dalam Al-Quran. Perkataan yang sebenarnya adalah solaa. Begitulah perkataan itu dibaca di dalam Al-Quran. Bagaimanapun apabila mereka meninggalkan Al-Quran, umat Islam mengubah perkataan berkenaan menjadi “solat” yang membawa maksud sembahyang ritual. Maksud sebenar perkataan solaa adalah komitmen.
Tuhan mahu kita, manusia, menunaikan semua komitmen (solaa) kita. Semua komitmen berkenaan terkandung di dalam Al-Kitab-Nya yang diutuskan melalui rasul-rasul. Apa saja yang diperintahkan, ditetapkan, dibenarkan dan dibataskan oleh Tuhan melalui Al-Kitab perlu menjadi komitmen kepada kita. Nabi-nabi, rasul-rasul dan umat mereka yang percaya kepada Al-Kitab menyerahkan sepenuhnya hidup mereka kepada Tuhan. Mereka komited kepada jalan hidup yang telah dihamparkan oleh Tuhan. Jalan yang lurus untuk kita berkhidmat kepada Tuhan dan seterusnya menjadi khalifah yang berjaya.
6:162 “Katakanlah: “Sesungguhnya komitmenku dan pengorbananku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.
Mari kita lihat kembali contoh ayat-ayat yang telah saya kemukakan di atas. Kali ini kita kembalikan maksud yang hak, iaitu solaa sebagai komitmen.
Komitmen Bani Israel
2:83 “Dan, ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil: “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan tunaikanlah setiap komitmen dan murnikanlah ia (uphold commitments and keep them pure)“. Kemudian kamu berpaling membelakangkannya kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”.
Tidakkah apa yang diperintahkan oleh Tuhan kepada Bani Israel seperti jangan menyekutukan Allah, berbuat baik kepada ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan bercakap perkara-perkara baik itu semuanya sama dengan apa yang Tuhan perintahkan ke atas kita? Semua perkara itulah yang dimaksudkan Tuhan sebagai solaa (komitmen) kita, dan solaa (komitmen) Bani Israel dan solaa (komitmen) semua orang yang percaya, yang Tuhan nak kita tunaikan.
Sementara itu cuba kita tengok siapakah orang yang tidak solaa atau tidak komited kepada apa yang telah Tuhan gariskan.
107: 1-7 Tidakkah kamu lihat orang-orang yang mendustakan deen (cara hidup yang telah ditetapkan Allah)? Mereka mengabaikan anak-anak yatim. Mereka tidak memberi makan orang miskin. Oleh itu celakalah mereka yang telah berjanji tetapi tidak mengambil berat komitmen mereka. Mereka cuma menunjuk-nunjuk dan baghkil.
Komitmen Nabi Isa
19:31 Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku menunaikan setiap komitmen dan memurnikan ia (uphold commitments and keep them pure) selagi aku hidup.
Apakah komitmen-komitmen Nabi Isa? Tidakkah semuanya sama dengan komitmen-komitmen yang telah ditetapkan Tuhan kepada Nabi-Nabi lain juga? Melalui Al-Quran cuba kita periksa apa yang telah diwahyukan oleh Tuhan kepada Nabi Isa.
Dalam posting yang ringkas ini saya yakin apa yang cuba saya sampaikan telah saya sampaikan dengan agak jelas. Dan saya amat berharap supaya sesiapa yang tidak percaya mengambil langkah positif untuk membuat pemeriksaan sendiri.
2:2-3 Al-Kitab ini tiada sebarang keraguan, pedoman kepada mereka yang meneliti, mereka percaya kepada yang ghaib dan memegang teguh komitmen-komitmen mereka dan mereka memberi dari apa yang Kami bekalkan.