Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘solat jumaat

Solat Jumaat: Apa sebenarnya kata Tuhan?

with 28 comments

Surah Al-Jumuah

62:1 Segala yang di langit dan segala yang di bumi mengakui keagungan Tuhan, Yang Berdiri Sendiri, Yang Suci, Yang Berkuasa, Yang Bijaksana.

62:2 Dialah yang telah mengutuskan di kalangan orang-orang yang belum pernah mengenal Tuhan seorang rasul dari kalangan mereka sendiri untuk membacakan wahyu Tuhan dan memurnikan mereka dan mengajar mereka Al-Kitab dan kebijaksanaan, sesungguhnya mereka dulu dalam kesesatan.

62:3 Dan begitu juga dari kalangan mereka yang lain, yang belum menyertai mereka, dan Dialah Yang Berkuasa, Yang Bijaksana.

62:4 Begitulah Kemurahan Allah. Dia memberi kurnia kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah adalah Tuhan Yang Amat Pemurah.

62:5 Perbandingan mereka yang telah disampaikan Taurat, kemudian mereka tidak mematuhinya adalah seperti kaldai mendapat buku, zalim adalah persamaan bagi orang-orang yang tidak mahu menerima wahyu-wahyu Allah dan Allah tidak memberi pedoman kepada orang yang zalim.

62:6 Katakan: Wahai orang-orang Yahudi, jika kamu fikir kamu disayangi Allah dan tidak orang-orang lain, mohonlah kematian jika kamu berkata benar.

62:7 Dan mereka tidak akan memohonnya kerana apa yang telah tangan mereka lakukan, dan Allah tahu siapa yang zalim.

62:8 Katakan: Kematian yang kamu elakkan akan tetap mengatasi kamu, kemudian kamu akan dibawa ke hadapan Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, dan Dia akan memberitahu kamu apa yang telah kamu lakukan.

62:9 Wahai orang-orang yang percaya! Apabila diminta komitmen kamu di hari berkumpul, maka segeralah kepada Peringatan Allah dan tinggalkan urusan kamu, itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui.

62:10 Kemudian selepas komitmen itu selesai, bersurailah mencari kemurahan Tuhan di atas mukabumi, dan banyakkanlah mengingati Tuhan, semoga kamu mendapat kejayaan.

62:11 Dan apabila mereka melihat barangan atau hiburan mereka berbondong ke arahnya, dan meninggalkan kamu berdiri berseorangan. Katakan: Apa yang bersama Allah adalah lebih baik dari hiburan atau barangan, dan Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.

Surah Al-Jumuah terkenal kerana di dalamnya mengandungi ayat yang dikatakan dalil kepada perintah mengerjakan solat Jumaat. Bagaimanapun apabila saya lihat dengan lebih dekat, notasi mengenai solat Jumaat itu sebenarnya tidak meyakinkan langsung. Apa yang Tuhan nyatakan bukanlah perintah supaya kita solat Jumaat.

Dengan kandungan ayat yang sedikit, iaitu 11 ayat sahaja, Surah Al-Jumuah tidak begitu sukar untuk difahami.

Secara spesifik, melalui surah ini Tuhan memerintahkan masyarakat Nabi supaya mendengar apa yang disampaikan oleh rasul-Nya itu apabila mereka diajak berkumpul untuk tujuan berkenaan. Pergi mendengar apa yang Nabi sampaikan merupakan satu komitmen kepada mereka yang percaya kepada Al-Quran. Tuhan kata Al-Quran itu merupakan manifestasi kemurahan-Nya kepada manusia. Ia memurnikan jiwa, memupuk kebijaksanaan dan menyuluh jalan keluar dari kesesatan.

Atas sebab itu, Tuhan berpesan supaya umat Al-Quran jangan menjadi seperti pengikut Nabi Musa yang diibaratkan Tuhan seperti kaldai mendapat kitab, mereka dikurniakan Taurat tapi tidak mematuhi kandungannya. Kata Tuhan sikap seperti itu merupakan satu kezaliman dan Tuhan tidak memberi pedoman kepada orang-orang yang zalim.

Begitu juga Tuhan berpesan supaya umat Al-Quran tidak menjadi orang yang sombong seperti Yahudi yang mendabik dada kononnya mereka saja yang disayangi Tuhan sehinggakan Tuhan mencabar mereka supaya memohon untuk mati kalau mereka benar-benar yakin  dengan apa yang mereka dakwa. Tuhan kata mereka tidak mungkin berani berbuat demikian kerana orang-orang Yahudi tahu perbuatan-perbuatan jahat yang telah mereka lakukan. Bagaimanapun Tuhan menegaskankan bahawa orang-orang Yahudi tetap tidak akan terlepas dengan perbuatan mereka.

Selepas memperingatkan masyarakat Nabi (yang percaya kepada Al-Quran) mengenai perilaku buruk kaum Nabi Musa dan orang Yahudi, maka dalam ayat ke 9 Tuhan menyeru mereka supaya datang apabila diajak berkumpul pada hari-hari di mana Nabi mahu menyampaikan wahyu Tuhan kepada mereka. Tuhan suruh mereka tinggalkan urusan harian mereka untuk tujuan berkenaan kerana ia merupakan satu komitmen bagi mereka. Mereka boleh kembali meneruskan urusan harian mereka selepas menunaikan komitmen tersebut dan Tuhan kata mereka akan menjadi orang-orang yang berjaya apabila banyak mengingati Tuhan.

Dalam ayat akhir Surah Al-Jumuah (62:11) Tuhan menggambarkan kepada kita suasana yang biasa berlaku di hari berkumpul itu.  Tuhan kata mereka yang datang mudah tertarik kepada benda-benda lain seperti tawar-menawar barangan atau hiburan yang terdapat di sekitar lokasi mereka berhimpun sehinggakan Nabi ditinggal keseorangan tidak dipedulikan. Berikutan itu, Tuhan berpesan kepada Nabi supaya memberitahu kaumnya bahawa memilih untuk bersama Allah adalah lebih baik daripada tawar-menawar barang atau hiburan yang mereka sukai.

Jadi, fikir-fikirkanlah. Jika benar seruan berkumpul yang dimaksudkan oleh Tuhan dalam Surah Al-Jumuah merupakan solat Jumaat sebagaimana amalan umat Islam hari ini, adakah mungkin Nabi boleh ditinggalkan berkhutbah sendirian sedangkan kaumnya sibuk dengan tawar-menawar barangan dan berseronok dengan hiburan?

62:11 Dan apabila mereka melihat barangan atau hiburan mereka berbondong ke arahnya, dan meninggalkan kamu berdiri berseorangan. Katakan: Apa yang bersama Allah adalah lebih baik dari hiburan atau barangan, dan Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik.

Written by tolokminda

December 25, 2009 at 6:34 pm