Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for the ‘Puasa’ Category

Puasa adalah Mengecualikan diri

with 100 comments

Tidak berapa lama lagi orang Islam akan menyambut bulan puasa. Entri kali ini sekali lagi tentang “puasa” tetapi bukanlah kerana saya berasa tidak sabar mahu berlapar dan dahaga di siang hari selama sebulan. Sebaliknya saya hanya mahu berkongsi pemahaman baru saya terhadap perkataan saum atau puasa. Sebelum ini saya menterjemah atau mentafsirkan saum atau puasa sebagai membendung diri dari berinteraksi atau bercakap dengan orang lain. Bagaimanapun sekarang saya yakin telah menemui perkataan yang lebih baik untuk menterjemah atau mentafsirkan saum atau puasa.

Perkataannya adalah “mengecualikan diri”. Saya tidak akan menulis artikel baru bagi menjelaskan terjemahan atau tafsiran ini kerana berpendapat artikel saya mengenainya sebelum ini sudah cukup sesuai untuk menjelaskan apakah saum/puasa dan bagaimanakah ia harus diaplikasikan dalam kehidupan seseorang manusia.

Klik link artikel yang dimaksudkan untuk ulangkaji. Dan berikut adalah kemaskini artikel berkenaan berdasarkan terjemahan atau tafsiran saum/puasa kepada mengecualikan diri. Para pembaca budiman akan melihat pembaikan terhadap isikandungan artikel dan terjemahan ayat-ayat Al-Quran selaras dengan kefahaman yang lebih baik tentang saum/puasa.

TAJUK: PUASA – MENGECUALIKAN DIRI – ADALAH HAK INDIVIDU DEMI KESEJAHTERAAN SEMUA

Saya ada menulis tentang puasa sebelum ini. Artikel dan perbincangan mengenainya boleh di baca di sini. Artikel lain yang berkaitan boleh dibaca di sini. Pada dasarnya puasa menurut petunjuk Al-Quran adalah satu praktis mengecualikan diri – dan bukannya tentang tidak makan dan minum di waktu siang.

Seperti yang telah diperbincangkan sebelum ini, puasa tidak bersifat ritual dan ia juga tidak ada kena mengena dengan bulan atau hari yang khusus. Oleh itu, selepas kita memahami apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan puasa maka wajarlah kita fahami pula apakah sebenarnya fungsi atau peranan puasa kepada seseorang.

Saya berpendapat puasa sebagaimana yang dianjurkan Al-Quran – iaitu mengecualikan diri – dapat membantu seseorang manusia sekurang-kurangnya dalam tiga situasi. Ketiga-tiga situasi ini sebenarnya telah dijelaskan di dalam Al-Quran. Situasi pertama boleh kita fahami dari puasa yang perintahkan oleh Isa ke atas Maryam.

Situasi 1 : Situasi Maryam – Mengecualikan Diri Sebagai Mekanisma Untuk Mengatasi Ketegangan Emosi

19:22  Jadi dia melahirkannya; kemudian dia membawanya ke suatu tempat yang tersorok.

19:23 Dan kesakitan memaksanya (Maryam) berehat di bawah sepohon kurma; dia berkata: Oh, kalaulah aku mati sebelum ini, tentulah ia akan dilupakan!

19:24 Kemudian bersuara dari bawahnya: Janganlah bersedih, sesungguhnya Tuhanmu telah menyediakan air yang mengalir di bawahmu;

19:25 Dan goncangkanlah pohon kurma ini, ia akan menjatuhkan buah-buah kurma segar;

19:26 Jadi makan dan minum dan segarkan diri. Kemudian jika kamu bertemu dengan seseorang, kata; Sesungguhnya aku sedang “mengecualikan diri” untuk Tuhan yang Pemurah, jadi aku tidak akan bercakap dengan sesiapa pada hari ini.

19:27 Dan dia kembali kepada kaumnya, membawa bersama bayinya. Mereka berkata; Wahai Maryam! Sesungguhnya kamu telah membuat sesuatu yang pelik.

19:28 Wahai adik Harun, ayah kamu bukan seorang yang jahat dan bukan pula ibu kamu seorang yang kotor.

19:29 Tetapi dia (Maryam) menuding kepada bayinya. Mereka berkata: Bagaimana kami nak bercakap dengan seorang bayi di dalam buaian?

19:30 Dia (iaitu bayinya, Isa) berkata; Sesungguhnya aku adalah hamba Allah; Dia telah memberikan aku Al-Kitab dan menjadikan aku seorang nabi;

Dari kisah Maryam yang diceritakan dalam ayat-ayat di atas, Maryam tidak disuruh berpuasa kerana ketika itu “bulan puasa”. Maryam juga tidak disuruh mulakan puasanya dari waktu sebelum subuh sehingga ke senja. Maryam juga tidak disuruh berlapar malah disuruh makan, minum dan segarkan diri. Tetapi apa yang disuruh Isa kepada Maryam adalah supaya ibunya mengecualikan diri dari berinteraksi dengan orang lain.

Saya berpendapat tujuan Maryam disuruh mengecualikan diri adalah untuk membendung tekanan emosi yang sedang dihadapi oleh beliau pada ketika itu. Ayat 19:22-24 memberikan kita satu gambaran jelas tentang keadaan emosi Maryam seperti sedih, bingung, takut sehingga merasakan lebih baik mati dari menghadapi masyarakat. Dengan mengecualikan diri dari sebarang interaksi dengan orang ramai, Maryam dapat meredakan segala kebimbangannya dan seterusnya membina kekuatan diri untuk menghadapi kenyataan sebagai persediaan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Oleh itu jika kita menghadapi tekanan emosi, sepertimana yang telah dialami oleh Maryam, dan tidak kiralah apa sebabnya, maka eloklah kita mengecualikan diri. Bendung interaksi dengan orang lain dan ambil masa untuk menyembuh dan membina kekuatan diri. Dengan kata lain, mengecualikan diri boleh menjadi satu mekanisme pemulihan kepada seseorang yang berada dalam tekanan. Jadi selepas ini, jika kita mendengar seseorang mengatakan bahawa dia sedang mengecualikan diri, maka kita harus memahami dan menghormati bahawa beliau memerlukan masa untuk diri sendiri dan wajarlah kita berikan haknya itu dengan tidak mengganggu sehinggalah dia bersedia untuk kembali berinteraksi seperti biasa.

Situasi 2: Situasi Menyelidik Atau Belajar – Mengecualikan Diri Sebagai Mekanisma Untuk Memperkukuhkan Minda Dan Memberi Sepenuh Tumpuan

Di dalam Al-Quran, pengecualian diri turut disarankan dalam usaha menyelidik dan membangunkan penyelidikan.

2:183 Wahai kamu yang percaya! Pengecualian diri ditetapkan ke atas kamu, sebagaimana ia telah ditetapkan kepada mereka sebelum kamu, supaya kamu menumpukan perhatian.

2:184 Untuk beberapa hari yang tertentu, tetapi bagi yang sakit atau dalam perjalanan, gantikannya dengan hari-hari lain. Dan bagi sesiapa yang tidak dapat melakukannya, gantikan dengan memberi makan seorang fakir, yang demikian sesiapa yang berbuat baik, ia mendatangkan kebaikan kepadanya dan mengecualikan diri adalah lebih baik jika kamu faham.

2:185 Berbulan-bulan beraspirasi yang diinspirasikan di dalamnya Al-Quran, Petunjuk kepada manusia, Penjelasan-Penjelasan kepada Petunjuk, dan Pembeza. Oleh itu, sesiapa di kalangan kamu yang menyaksikan aspirasi itu wajar mengecualikan diri. Dan bagi yang sakit di antara kamu, atau sedang dalam perjalanan, gantikan dengan hari yang lain, Allah mahu memudahkan kamu, dan Dia tidak mahu menyukarkan kamu, dan supaya kamu dapat memenuhinya, dan supaya kamu mengagungkan Tuhan kerana memberi kamu pedoman, supaya kamu menghargai.

2:186 Dan jika hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, Aku sentiasa hampir, Aku menerima panggilan dari sesiapa yang memanggilKu. Oleh itu, mereka harus menerima Aku, dan patuh kepadaKu, semoga mereka mendapat pedoman.

2:187 Pada malam pengecualian diri, kamu dibenarkan bermesra dengan isteri-isteri kamu. Mereka adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian mereka. Tuhan tahu kamu juga membuat kesilapan, dan Dia telah menebus kamu dan mengampunkan kamu; sekarang khabarkan kepada mereka berita baik ini dan teruskan mendalami apa yang Tuhan telah tuliskan (kataba Allahu) untuk kamu dan cernakanlah ia sehingga jelas kepada kamu sebagaimana benang putih boleh dibezakan dengan benang hitam di waktu subuh, kemudian teruskan mengecualikan diri sehingga ke malam. Dan jangan kamu bergaul dengan mereka (isteri-isteri) ketika kamu sedang mengerjakan ketetapan yang telah dipersetujui ke atas kamu. Inilah batasan-batasan Tuhan, jadi jangan dekati mereka. Begitulah Tuhan menjelaskan wahyu-wahyuNya kepada manusia supaya mereka memberi perhatian.

Melalui ayat 2:184-187 Tuhan mengajar kita secara khusus supaya mengecualikan diri untuk beberapa hari tertentu apabila kita menyaksikan sebarang aspirasi yang diinspirasikan di dalamnya Al-Quran, seperti yang Tuhan nyatakan dalam ayat 2:184. Walaupun begitu pengecualian diri itu bukanlah satu pengasingan penuh. Sebaliknya kita dibenarkan mengauli pasangan pada waktu malam – 2:187. Kita cuma perlu mengecualikan diri dari mereka sewaktu kita sedang giat melakukan penyelidikan (haj) terhadap sesuatu bahan yang mungkin telah dihasilkan melalui proses pemikiran selama berbulan-bulan oleh seseorang atau mungkin juga sekumpulan orang.

Ini bermakna apa yang perlu kita selidik itu tidak semestinya Al-Quran per se. Bahkan ia adalah apa saja bahan yang pada dasarnya lahir dari aspirasi seseorang atau diri kita sendiri yang boleh dirujuk kembali kepada Al-Quran – samada dalam bentuk buku, artikel, jurnal, idea dan sebagainya. Sebagai contoh, sebelum menulis artikel ini saya telah memikirkan tentang maksud puasa selama berbulan-bulan malah sehingga mencapai bertahun-tahun dan akhirnya saya mendapat inspirasi bahawa perkataan “saum” bermaksud “mengecualikan diri”. Maka sesiapa yang menyaksikan aspirasi saya maka wajar melakukan penyelidikan dengan bersungguh-sungguh dan kalau perlu, lakukan pengecualian diri buat beberapa hari untuk menentukan samada ia benar atau tidak.

Perkara yang sama berlaku apabila saya diperkenalkan kepada buku Mental Bondage oleh Aidid Safar dulu, saya terus menyemak ayat-ayat Al-Quran yang diperbincangkan dalam buku tersebut untuk melihat sendiri samada segala aspirasi Aidid Safar berasas. Saya amat kurang berinteraksi dengan anggota keluarga pada waktu itu. Syukur kerana sekarang saya dapat melihat maksud 2:184-187 dengan kefahaman yang jelas.

2:185 Berbulan-bulan beraspirasi yang diinspirasikan di dalamnya Al-Quran, Petunjuk kepada manusia, Penjelasan-Penjelasan kepada Petunjuk, dan Pembeza. Oleh itu, sesiapa di kalangan kamu yang menyaksikan aspirasi itu wajar mengecualikan diri…

Pendek kata, mesej Tuhan dalam ayat-ayat itu adalah, setiap kali kita menyaksikan atau mendapat tahu aspirasi seseorang atau mungkin aspirasi yang datang dari diri kita sendiri yang di dalamnya boleh dirujuk kepada Al-Quran, maka kita harus menyelidiki aspirasi-aspirasi itu dan melihat samada ia selaras dengan petunjuk dan penjelasan Al-Quran supaya kita dapat membezakan samada ia benar atau salah. Mesej ini kelihatan begitu relevan dan indah apabila di akhir ayat 2:187 Tuhan menyatakan – “Begitulah Tuhan menjelaskan wahyu-wahyuNya kepada manusia supaya mereka beroleh kebenaran”.

Membangunkan Penyelidikan Masing-Masing

Saya berpendapat amatlah penting kita semua faham dan setuju bahawa penyelidikan (haj) dan pembangunan (umra) merupakan dua aktiviti yang disuruhkan oleh Tuhan. Sebagai permulaan setiap orang harus membangunkan penyelidikan mereka sendiri. Bagi golongan yang cepat belajar atau cepat faham atau telah sedia berada dalam masyarakat yang maju dalam aspek ilmu dan budaya tersebut, usaha mereka mungkin lebih mudah dan pantas.

Bagaimanapun bagi golongan yang serba kekurangan, Tuhan ajar bagaimana caranya mereka harus membangunkan penyelidikan mereka. Tuhan kata, mulakannya dengan petunjuk yang mudah sehinggalah ia diterimapakai – maknanya sehingga ia dapat diperjelaskan dan diterima kebenarannya oleh masyarakat.

Bagi golongan yang lebih teruk dari itu pula, iaitu golongan yang tidak mampu atau tidak mempunyai asas pengetahuan yang tersusun – slow learner – Tuhan nasihatkan supaya mereka memperkukuhkan diri mereka dengan melakukan pengecualikan diri atau membuat sumbangan atau pengorbanan lain. Dan apabila mereka sudah mempunyai keyakinan, maka seperti golongan yang kedua tadi, Tuhan nasihatkan supaya mereka mula membangunkan penyelidikan mereka dari petunjuk yang mudah.

Dan akhir sekali, bagi golongan yang gagal dan berada dalam masyarakat yang tidak menekankan kepada masjidilharam atau ketetapan-ketetapan dipersetujui yang direstui – iaitu golongan tidak berada dalam komuniti Muslim yang sebenar, contohnya masyarakat kita sekarang – Tuhan ajar secara spesifik bagaimana mereka harus mengaplikasikan pengecualian diri dalam membangunkan penyelidikan mereka. Tuhan suruh mulakan dengan 3 hari dan jika tempoh itu tidak mencukupi mereka boleh mulakan sekali lagi untuk tempoh 7 hari. Maknanya – menurut Tuhan – jika kita benar-benar mahu berusaha untuk membangunkan penyelidikan sambil memperkukuhkannya dengan mengecualikan diri, paling-paling lambat pun 10 hari kita akan mencapai sesuatu.

Semua ini dijelaskan oleh Tuhan melalui ayat 2:196.

2:196 Dan lakukan penyelidikan (alhajja) dan pembangunan (waalAAumrata) untuk Allah. Dan jika kamu serba kekurangan, mulakan dengan yang mudah dari petunjuk dan jangan terlepas yang asas sehingga petunjuk itu diterimapakai. Maka jika sesiapa dari kamu tidak mampu atau tidak tersusun pengetahuan asasnya maka perkukuhkan diri kamu dengan mengecualikan diri, atau membuat sumbangan atau pengorbanan. Maka, sebaik saja kamu berkeyakinan – kepada yang berminat membangunkan penyelidikan ambillah mana-mana yang mudah dari petunjuk . Bagaimanapun bagi sesiapa yang gagal – kecualikanlah diri selama 3 hari semasa membuat penyelidikan dan 7 (hari) apabila kamu mula sekali lagi. Itu bermakna 10 (hari) secara keseluruhannya. Ini adalah untuk mereka yang tiada ahli menekankan ketetapan-ketetapan dipersetujui yang direstui. Dan beri perhatian kepada Tuhan dan kamu akan tahu bahawa sesungguhnya Tuhan sangat berat hukumanNya.

Saya berpendapat, amalan mengecualikan diri merupakan satu kebiasaan kepada para penyelidik dan ilmuan dalam pelbagai bidang secara universal. Kebanyakan para saintis yang tersohor dunia tanpa mengira bangsa dan zaman, sememangnya diketahui sebagai orang-orang yang sangat fokus dan lebih banyak menghabiskan masa mengecualikan diri untuk membangunkan penyelidikan yang mereka usahakan.

Situasi 3:  Sebagai Hukuman – Mengecualikan Diri Sebagai Mekanisma Untuk Menimbulkan Keinsafan Dalam Diri

Sebagaimana yang kita tahu pengecualian diri juga merupakan salah satu pilihan hukuman kepada beberapa kesalahan tertentu seperti kesalahan membunuh seseorang yang percaya- 4:92, melanggar sumpah – 5:89 dan membunuh haiwan yang dilarang – 5:95.

4:92  Jangan sekali-kali seorang yang percaya membunuh seorang yang percaya kecuali kerana tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang yang percaya tanpa sengaja maka dia wajar membebaskan seorang hamba dan memberi gantirugi kepada keluarganya kecuali mereka menolaknya secara sukarela. Jika dia seorang dari musuh kamu dan dia seorang yang percaya, maka kamu harus membebaskan seorang hamba yang percaya. Dan jika dia dari mereka yang mempunyai hubungan dengan kamu, maka beri gantirugi kepada keluarganya dan bebaskan seorang hamba. Sesiapa yang tidak mampu, maka kecualikanlah diri selama 2 bulan terus menerus sebagai jalan keampunan kepada Tuhan; sesungguhnya Tuhan Mengetahui, Bijaksana.

5:89  Tuhan tidak akan mengambilkira apa yang tidak berguna dalam janji kamu, tetapi Dia akan mempertanggungjawabkan  kamu ke atas janji yang kamu nyatakan; sebagai penebusnya beri makan sepuluh orang miskin, pada kadar purata makanan untuk keluarga kamu atau beri mereka pakaian atau bebaskan seorang hamba. Jika ia di luar kemampuan kamu, kecualikanlah diri tiga hari. Itulah penebus-penebus kepada janji-janji yang telah kamu sumpahkan. Tetapi teruskanlah janji kamu. Maka Tuhan menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya, supaya kamu bersyukur.

5:95  Wahai kamu yang percaya! Jangan membunuh hidupan liar yang telah dilarang kepada kamu. Jika sesiapa membunuh dengan sengaja, dia perlu menebus dengan haiwan yang setara dihakimi dua orang yang adil di kalangan kamu untuk memastikan kematangan buku lali (haiwan yang dibunuh). Atau tebus dengan memberi makan orang miskin atau mengecualikan diri, supaya dia merasai akibat dari perbuatannya. Tuhan telah memaafkan kesalahan terdahulu (sebelum peraturan ini ditetapkan). Barang sesiapa mengulangi kesalahannya, Tuhan akan menghukumnya. Tuhan Berkuasa, Pemberi Hukuman.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, jika kita lihat dari petunjuk Al-Quran “puasa” bukanlah suatu ritual yang berteraskan lapar dan dahaga. Ia juga bukanlah amalan common yang perlu dilakukan oleh setiap orang dalam satu masa. “Puasa” yang sebenarnya adalah satu mekanisme yang boleh dipraktikkan oleh sesiapa saja, pada bila-bila masa jika wujud keadaan di mana beliau memerlukan ruang untuk diri sendiri seperti ketika dalam keadaan emosi yang tertekan atau sedang giat dalam sesuatu penyelidikan atau apabila beliau memerlukannya untuk merenung kembali kesalahan dan seterusnya membangkitkan penyesalan atau penginsafan diri.

Tuhan yang mencipta kita. Tentulah Dia lebih tahu mengapa mekanisma “puasa” – iaitu pengecualian diri dari berinteraksi dengan orang lain ditetapkan kepada manusia dalam situasi-situasi yang tersebut. Ia adalah hak yang telah Tuhan berikan kepada setiap individu.

Saya percaya jika kita faham mesej Tuhan mengenai puasa/pengecualian diri, banyak kes melibatkan tekanan emosi sehingga ada yang membawa kepada gila, membunuh diri dan sebagainya dapat dikurangkan dalam masyarakat kita. Hak untuk mengecualikan diri merupakan suatu mekanisme unik yang dapat membantu proses penyembuhan emosi dan memperkukuhkan diri. Jika hak ini kita gunakan dengan bijak dan dalam masa yang sama kita dapat menghormati hak orang lain apabila mereka berada dalam situasi yang serupa, kesejahteraan jiwa dan hidup setiap anggota masyarakat tentu akan menjadi lebih terjamin.

Dalam pada itu aplikasi ,engecualikan diri (puasa) juga akan menjadi pemangkin yang berkesan untuk menjadikan manusia membangunkan budaya penyelidikan. Dengan aktiviti penyelidikan yang aktif tentulah lebih banyak manfaat dapat dijana dalam pembangunan tamadun manusia supaya mereka dapat merasai kurniaan Tuhan yang tidak terkira banyaknya. Dan semoga dengan itu mereka akan menjadi manusia yang tahu bersyukur kepada Pemelihara mereka.

Nota: Pemahaman baru saya mengenai puasa sebagai “mengecualikan diri diperolehi ketika berusaha menterjemahkan ayat berikut:

22:40 Mereka yang telah dihalau dari rumah mereka secara tidak adil hanya kerana mereka berkata: Pemelihara kami adalah Tuhan. Dan jika tidak kerana Tuhan menghapuskan sebahagian manusia melalui yang lain, pengecualian-pengecualian dan urusan-urusan perniagaan dan jamiman-jaminan (salawatun) dan ketetapan-ketetapan yang dipersetujui di mana nama Tuhan sering disebut di dalamnya tentu tidak berguna. Tuhan akan memberi kemenangan kepada mereka yang menyokongNya. Tuhan Berkuasa, Terhormat.

Written by tolokminda

July 13, 2011 at 1:11 am

Apa yang sebenarnya Tuhan suruh tahan sewaktu berpuasa?

with 114 comments

Puasa merupakan satu lagi ritual (amalan agama yang dilakukan mengikut rukun atau kaedah tertentu yang ditetapkan oleh para ulama agama sesuatu agama) yang dianggap wajib oleh orang Islam. Mereka melakukan ibadat puasa sekurang-kurangnya sebulan dalam setahun iaitu di bulan Ramadan. Ada yang melakukannya lebih dari itu, yang mana mereka panggil puasa sunat. Puasa mengikut definasi para ulama Islam adalah seperti berikut;

Puasa (bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara’ bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu. – Rujukan di sini.

Saya menerima definasi puasa sebagai menahan diri. Tetapi apa yang patut ditahan oleh diri mengikut ulama dan pengikut mereka tidak dapat saya terima kerana saya mempunyai kefahaman yang berbeza. Ulama memberitahu kita bahawa apa yang diri kita perlu tahan ketika berpuasa adalah dari menjamah makanan dan minuman.

Kita tidak boleh makan dan minum dari sebelum subuh hingga tiba waktu maghrib. Selain dari makan dan minum kita turut ditegah dari melakukan beberapa perkara lain seperti berjimak dengan isteri dan lain-lain perkara kecil seperti tidak boleh korek hidung, lubang telinga dan sebagainya. Pendek kata, ketika puasa semua jenis lubang atau saluran di badan kita perlu dipastikan bebas dari sebarang kemasukan.

Bagaimanapun saya mendapati jika definasi puasa ulama ini diterima, ia bercanggah dengan kisah puasa Maryam yang ada diceritakan oleh Allah di dalam Al-Quran. Percanggahan ini tidak sepatutnya berlaku kerana menurut Tuhan “puasa” yang ditetapkan ke atas kita adalah sama dengan “puasa” yang telah ditetapkan kepada pengikut Al-Kitab sebelum kita. Dengan kata lain, “puasa” kita mestilah sama dengan “puasa” Maryam.

Mari kita lihat bagaimana Maryam berpuasa.

19:22 Jadi dia melahirkannya; kemudian dia membawanya ke suatu tempat.

19:23 Dan kesakitan memaksanya (Maryam) berehat di bawah sepohon kurma; dia berkata: Oh, kalaulah aku mati sebelum ini, tentulah ia akan dilupakan!

19:24 Kemudian bersuara dari bawahnya (iaitu suara bayinya Isa); Janganlah bersedih, sesungguhnya Tuhanmu telah menyediakan air yang mengalir di bawahmu;

19:25 Dan goncangkanlah pohon kurma ini, ia akan menjatuhkan buah-buah kurma segar;

19:26 Jadi makan dan minum dan segarkan diri. Kemudian jika kamu bertemu dengan seseorang, kata; Sesungguhnya aku sedang berpuasa untuk Tuhan yang Pemurah, jadi aku tidak akan bercakap dengan sesiapa pada hari ini.

19:27 Dan dia kembali kepada kaumnya, membawa bersama bayinya. Mereka berkata; Wahai Maryam! Sesungguhnya kamu telah membuat sesuatu yang pelik.

19:28 Wahai adik Harun, ayah kamu bukan seorang yang jahat dan bukan pula ibu kamu seorang yang kotor.

19:29 Tetapi dia (Maryam) menuding kepada bayinya. Mereka berkata: Bagaimana kami nak bercakap dengan seorang bayi di dalam buaian?

19:30 Dia (iaitu bayinya, Isa) berkata; Sesungguhnya aku adalah hamba Allah; Dia telah memberikan aku Al-Kitab dan menjadikan aku seorang nabi;

Perhatikan ayat 24, 25 dan 26. Ayat itu menceritakan bagaimana Isa yang baru saja dilahirkan menyuruh ibunya supaya tidak bersedih. Dia memberitahu ibunya bahawa ada air yang mengalir di bawahnya untuk diminum dan juga buah kurma untuk dimakan. Kemudian dia menyuruh ibunya jangan berkata apa-apa (diamkan diri) jika bertemu dengan sesiapa dengan mengatakan sedang berpuasa. Maryam menurut apa yang disuruh, iaitu makan, minum dan menyegarkan dirinya dan selepas itu kembali semula ke tempatnya.

Apabila kaumnya melihat Maryam mereka terus bertanya dan berpandangan serong (ayat 27 & 28). Maka Maryam, tanpa berkata apa-apa terus menuding kepada bayinya sehingga mereka kehairanan bagaimana mungkin mereka boleh bercakap dengan seorang bayi di dalam buaian. Tetapi kehairanan mereka terjawab apabila bayi tersebut berkata kepada mereka; “Sesungguhnya aku adalah hamba Allah; Dia telah memberikan aku Al-Kitab dan menjadikan aku seorang nabi”. (Ayat ke 28)

Dari ayat ini kita dapat penjelasan mengenai apa yang sepatutnya menjadi definasi “puasa”. Oleh kerana Tuhan kata “puasa” yang ditetapkan kepada kita oleh Allah adalah sama dengan “puasa” yang ditetapkan kepada orang beriman sebelum kita maka “puasa” yang disuruh oleh Nabi Isa kepada ibunya dalam ayat-ayat di atas adalah “puasa” yang sama untuk kita laksanakan. Nabi Isa dengan jelas menyuruh ibunya makan dan minum. Apa yang dilarang adalah bercakap dengan orang lain. Oleh itu definasi sebenar “puasa” pada pendapat saya adalah menahan diri dari bercakap/berinteraksi/berkomunikasi dengan orang lain.

Jadi selepas kita faham apakah definasi sebenar puasa, mari kita lihat apakah pula yang dikatakan Tuhan dalam ayat-ayat 2:183-187;

2:183 Wahai kamu yang percaya! Puasa (menahan diri dari bercakap dengan orang lain) ditetapkan ke atas kamu, sebagaimana ia telah ditetapkan kepada mereka sebelum kamu, supaya kamu terpelihara.

2:184 Untuk beberapa hari yang tertentu, tetapi bagi yang sakit atau dalam perjalanan, gantikannya dengan hari-hari lain. Dan bagi sesiapa yang tidak dapat melakukannya, gantikan dengan memberi makan seorang fakir, yang demikian sesiapa yang berbuat baik, ia mendatangkan kebaikan kepadanya dan berpuasa adalah lebih baik jika kamu faham.

2:185 Bahang manifestasi (shahru ramadan) yang mana ia datang bersama Al-Quran, Petunjuk kepada manusia, bukti-bukti mengenainya, dan Pembeza. Oleh itu, sesiapa di kalangan kamu yang merasai manifestasi tersebut wajar berpuasa. Dan bagi yang sakit di antara kamu, atau sedang dalam perjalanan, gantikan dengan hari yang lain, Allah mahu memudahkan kamu, dan Dia tidak mahu menyukarkan kamu, dan supaya kamu dapat memenuhinya, dan supaya kamu mengagungkan Tuhan kerana memberi kamu pedoman, supaya kamu menghargai.

2:186 Dan jika hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, Aku sentiasa hampir, Aku menerima panggilan dari sesiapa yang memanggilKu. Oleh itu, mereka harus menerima Aku, dan patuh kepadaKu, semoga mereka mendapat pedoman.

2:187 Pada malam berpuasa, kamu dibenarkan bermesra dengan isteri-isteri kamu. Mereka adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian mereka. Tuhan tahu kamu juga membuat kesilapan, dan Dia telah menebus kamu dan mengampunkan kamu; sekarang khabarkan kepada mereka berita baik ini dan teruskan mendalami apa yang Tuhan telah tulis (kataba Allahu) untuk kamu dan hadamkanlah (cernakanlah) ia sehingga jelas kepada kamu sebagaimana benang putih boleh dibezakan dengan benang hitam di waktu subuh, kemudian teruskan berpuasa sehingga ke malam. Dan jangan kamu bergaul dengan mereka (isteri-isteri) ketika kamu sedang mengerjakan ketetapan yang telah direstui ke atas kamu. Inilah batasan-batasan Tuhan, jadi jangan dekati mereka. Begitulah Tuhan menjelaskan wahyu-wahyunya kepada manusia supaya mereka beroleh kebenaran.

Selepas membaca ayat-ayat di atas kita akan dapati puasa yang Tuhan tetapkan kepada kita adalah sama dengan yang telah ditetapkan kepada Maryam. Iaitu, menahan diri dari bercakap dengan sesiapa sebaik kita menerima ilham atau hidayah berkenaan Al-Kitab. Dalam kes Maryam, beliau baru saja melahirkan seorang nabi yang membawa kitab – dan oleh yang demikian dia juga baru saja menerima kebenaran atau hidayah yang datang bersama Al-Kitab yang dibawa anaknya, Isa.

Dalam kes kita pula,  Tuhan kata kita akan merasai satu “bahang manifestasi” (syahru ramadan) apabila diberi hidayah ketika membaca Al-Quran. Jika merasainya, kita ketika itulah kita disuruh berpuasa supaya kita dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha memahami Al-Quran dan supaya kita dapat menghargai pedoman yang Tuhan kurniakan kepada kita. (Ayat 2:185).

Berapa hari kita perlu berpuasa? Tuhan kata beberapa hari (2:184). Saya berpendapat ia mengikut kadar kecepatan masing-masing memahami ayat-ayat Tuhan. Jadi jumlah hari itu tidak sama dari satu orang ke satu orang. Mungkin ada orang memerlukan satu hari dan ada orang lain memerlukan lebih dari itu. Saya juga berpendapat usaha memahami Al-Quran ini tidak semestinya satu usaha “one-off” tetapi boleh berlaku secara beransur-ansur. Apa yang penting pada pendapat saya, setiap kali kita menerima sesuatu hidayah mengenai Al-Quran, kita perlu komited mengenainya dan berpuasa untuk menumpukan perhatian.

  • Nota:  Sewaktu membuat kajian untuk menulis tentang Haji dan Umrah, saya telah menemui jawapan kepada jumlah hari yang dtetapkan Tuhan supaya kita berpuasa dalam usaha mendalami Al-Quran. Ia terkandung dalam ayat 2:196 yang mana artikel mengenainya boleh di sini.

Apabila kita telah memahami apa yang disampaikan Tuhan melalui Al-Quran itu, maka apabila ada orang bertanya kepada kita mengenai Dia, kita disuruh beritahu mereka bahawa Tuhan adalah hampir dengan sesiapa saja dan sesiapa saja yang mahu berhubung denganNya Tuhan akan terima. Maknanya sesiapa saja boleh mendapat hidayah Tuhan jika dia memohon kepadaNya. (2:186)

Tuhan menjelaskan lagi dalam tempoh berpuasa, kita dibenarkan menyempurnakan hubungan kita dengan isteri kita pada sebelah malam (tidur dengan isteri) walaupun di waktu lain dalam tempoh berkenaan kita tidak dibenarkan berinteraksi dengan mereka (2:187). Tuhan juga menyuruh kita memberitahu isteri tentang apa yang telah kita fahami hasil dari ketekunan kita membaca Al-Quran. Tuhan kata sebelum Dia beri hidayah kepada kita, kita pun buat silap, jadi sewajarnyalah kita berkongsi dengan isteri apa yang kita tahu, selepas kita mengetahuinya. Saya fikir, secara semulajadinya isteri biasanya akan ikut cakap suami dalam hal seperti ini.

Kemudian Tuhan suruh kita teruskan berpuasa untuk menghadam (mendalami) Al-Quran sehingga ibaratnya kita dapat bezakan benang putih dan benang hitam di waktu subuh. (Baca betul-betul ayat 2:187)

Ini pendapat saya mengenai ibadat puasa berdasarkan kepada ayat-ayat Allah di dalam Al-Quran. Terima kasih kepada Penulis kerana mengemukakan persoalan mengenainya di sini. Saya harap para pembaca budiman boleh sama-sama mengemukakan pendapat melalui ruangan komen.

Written by tolokminda

January 4, 2010 at 6:30 pm

Posted in Puasa

Tagged with , ,