Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for the ‘Komentar’ Category

Menguji pandangan Kassim Ahmad tentang sembahyang

with 18 comments

Saya harap entri ini akan diterima dan dilayan sebagai satu wacana ilmiah dan aman oleh para pembaca budiman.

Dalam bukunya “Hadis: Satu Penilaian Semula”, Kassim Ahmad ada mengutarakan satu bahagian yang diberi tajuk “Kaedah Sembahyang”. Mari kita sama-sama uji pandangan-pandangan Kassim Ahmad dalam perkara ini. Bahagian yang diquote dan diboldkan adalah salinan dari pandangan Kassim Ahmad yang dimaksudkan.

Kaedah Sembahyang

Pendukung-pendukung Hadis bertanya: Jika kita menolak Hadis, bagaimana kita bersembahyang? Sebenarnya, jawapannya ada di dalam Quran sendiri. Sesiapa yang mengkaji Quran mengetahui bahawa ibadah-ibadah agama, salat, puasa, zakat dan haji telah diajar oleh Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya dan diperturunkan daripada mereka, generasi, kepada Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya.

Tuhan kami, jadikanlah kami Muslim (tunduk) kepadaMu, dan daripada keturunan kami biarlah lahir suatu bangsa Muslim (yang tunduk) kepadaMu. Ajarkanlah kami bagaimana hendak mengamalkan ibadah-ibadah agama kami, dan ampunilah kami; Kau maha pengampun, maha penyayang. (2:128)

Komen Saya:

Saya tidak nampak bagaimana ayat 2:128 boleh dijadikan bukti atau dalil bahawa Tuhan telah mengajar Nabi Ibrahim ibadah-ibadah agama seperti salat, puasa, zakat dan haji sebagaimana salat, puasa, zakat dan haji yang diamalkan oleh orang Islam hari ini. Saya berpendapat Kassim Ahmad terlalu klise dan dangkal apabila hanya mampu menyebut, “sebenarnya, jawapannya ada di dalam Quran sendiri. Sesiapa yang mengkaji Quran mengetahui bahawa ibadah-ibadah agama, salat, puasa, zakat dan haji telah diajar oleh Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya..”, tanpa mengutarakan dan menghujahkan dengan jelas bukti-buktinya.

Quran juga memberitahu kepada kami bahawa orang-orang Arab sebelum Muhammad sudah mengamalkan salat:

Salat mereka di rumah suci tidak lain daripada penipuan dan kesesatan. (8:35);

Komen Saya:

Tuhan telah membuat satu penjelasan mudah melalui ayat 8:35, iaitu solaa orang-orang Arab kaum Nabi hanyalah siulan dan bertepuk tangan – iaitu amalan yang tidak membawa apa-apa faedah. Jadi apa kena-mengena dengan solaa Nabi Ibrahim? Bukan Nabi Ibrahim yang mengajar mereka solaa seperti itu dan sudah tentu Tuhan juga tidak mengajarnya.

dan wahyu-wahyu Quran yang paling awal sudah menyebut salat dan zakat, membukttikan bahawa ibadah-ibadah ini sudah terkenal di kalangan orang Arab. Wahyu ketiga, Surah Al-Muzzammil (73) ayat 20, menyatakan:

Oleh yang demikian bacalah apa yang mampu olehmu darinya (Quran), dan amalkanlah salat dan berikanlah zakat, dan pinjamkanlah Tuhan satu pinjaman kebajikan.

Komen Saya:

Saya ada membincangkan Surah Al-Muzzammil di sini.

Dan berikut adalah terjemahan dan tafsiran saya untuk ayat 73:20

Sesungguhnya Tuhanmu tahu bagaimana kamu berjaga kadangkala dua pertiga dari waktu malam, atau kadangkala separuh atau sepertiga seperti yang dilakukan juga oleh segolongan yang bersama kamu. Tuhan menetapkan siang dan malam. Dia tahu kamu tidak mengiranya dan membalas untukmu dengan belas kasihan. Jadi bacalah Al-Quran yang mudah kepada kamu. Dia tahu ada di antara kamu yang tidak sihat, sebahagian pula sedang mengembara di atas muka bumi untuk mencari anugerah pemberian Tuhan, dan yang lain sedang berjuang demi Tuhan. Jadi bacalah (Al-Quran) seberapa banyak kerana ia mudah, dan jadikan ia satu komitmen dan jagalah sentiasa kemurniannya, dan belanjakan untuk Tuhanmu pelaburan yang baik-baik. Apa saja yang baik kamu berikan untuk diri kamu nescaya kamu akan temuinya di sisi Tuhan, malah lebih baik lagi sebagai balasannya. Dan minta keampunan dari Tuhan. Sesungguhnya Tuhan Pengampun dan Mengasihani.

Saya melihat kefahaman Kassim Ahmad terhadap apa yang dimaksudkan sebagai “solat” dan “zakat” dalam 73:20 tidak kena dengan konteks ayat mahupun Surah 73 secara keseluruhannya tidak kiralah samada Surah itu telah diturunkan awal atau lewat. Melalui Surah 73, Tuhan menyuruh kita menjadikan tabiat membaca Al-Quran pada waktu malam sebagai satu komitmen (solaa). Semudah itu saja. Ia tidak ada kena mengena dengan suruhan supaya mengerjakan ritual yang berbentuk sembah menyembah.

Periwayat Nabi yang pertama, Ibn Ishaq, mencatat dalam sirahnya bahawa sebelum beliau diangkat menjadi rasul, Muhammad mengunjungi Gua Hira’ tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadan untuk berhening cipta dan bersembahyang, dan memberi makan kepada orang-orang miskin yang datang kepadanya.19 Ibn Ishaq juga mencatat bahawa sebelum Nabi israk dan mikraj pada malam bersejarah itu, Nabi bersembahyang isyak’ di rumah Umm Hani.20 Kesemua fakta ini menafikan laporan-laporan Hadis yang menyatakan bahawa ibadah sembahyang diperintahkan oleh Tuhan kepada Nabi pada malam israk dan mikraj.

Komen Saya:

Dalam para di atas, Kassim Ahmad menolak hadis-hadis yang mengaitkan Nabi dengan peristiwa Israk & Mikraj kerana berpandangan catatan periwayat Nabi yang pertama, Ibn Ishaq, bahawa Nabi telah bersembahyang sebelum berlakunya peristiwa berkenaan lebih dipercayai beliau. Maknanya, sandaran Kassim Ahmad untuk menolak riwayat Israk & Mikraj adalah dengan riwayat juga – bukan dengan Al-Quran.

Berhubung dengan kaedah-kaedah salat (waktu, rakaat dan gerak-gerinya), tidak syak lagi bahawa amalan yang dilakukan oleh umat Islam sekarang, pada dasarnya, berpunca daripada amalan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, dan kaedah-kaedah ini diperturunkan, generasi demi generasi, hingga kepada Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya.

Dipaparkan di bawah ini adalah petikan para yang sama dalam buku versi Bahasa Inggeris.

A moment’s thought will also make us realize that we do not learn how to pray from the hadith. We learn to do so from our parents and teachers who inherit the practice through the generations from the first source, that is Prophet Abraham.

Komen Saya:

Melalui kedua-dua petikan di atas (dari versi buku Bahasa Melayu & versi Bahasa Inggeris) kita dapat melihat dengan jelas pandangan Kassim Ahmad terhadap asal-usul ritual sembahyang yang beliau amalkan. Beliau mendakwa beliau tidak belajar melalui hadis. Dan di dalam para-para seterusnya nanti, para membaca budiman akan turut menemui pengakuan beliau bahawa “Tuhan tidak memperincikan bentuk dan kaedah salat dalam Quran”.

Maka – pendek kata, Kassim Ahmad tidak mempelajari bentuk dan kaedah sembahyangnya melalui hadis mahupun Al-Quran. Beliau berpandangan ritual sembahyang sebenarnya diajar melalui proses pengamalan secara turun temurun dari generasi ke generasi oleh ibubapa dan guru-guru sejak dari sumber pertama, iaitu Nabi Ibrahim. (Untuk melihat dengan lebih jelas pandangannya itu, perhatikan petikan dari versi Bahasa Inggeris).

Kassim Ahmad nampak seperti serba tidak kena dalam usahanya mempertahankan kepercayaan terhadap ritual sembahyang. Beliau tahu Al-Quran tidak memperincikan bentuk dan kaedahnya. Tetapi dalam masa yang sama beliau tidak mahu menerima jika dikatakan yang ia adalah sesuatu yang bersumberkan hadis. Lalu beliau menyandarkannya terus kepada Nabi Ibrahim, ibubapa dan nenek moyangnya sendiri. Sekali pandang, jalannya nampak macam lurus. Tetapi adakah ritual sembahyang itu benar-benar selari dengan kepercayaan dan legasi Ibrahim?

Mari kita periksa apa kata Ibrahim tentang amalan yang melibatkan perbuatan menyekutukan Tuhan dengan sesuatu sebagaimana yang direkodkan oleh Tuhan melalui Al-Quran.

21:66 Dia berkata: Kamu mengabdi di samping Tuhan sesuatu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kamu dan tidak juga mendatangkan mudarat?

21:67 Aku jijik dengan kamu dan apa yang kamu abdikan di samping Tuhan! Tidakkah kamu mempunyai akal?

Dan berikut pula adalah apa kata Ibrahim tentang perbuatan menuruti kepercayaan dan amalan ibubapa secara membuta tuli.

21:52 Apabila dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Patung-patung apakah ini yang kamu sembah?

21:53 Mereka berkata: Kami dapati bapa-bapa kami mengabdi kepadanya (AAabideena).

21:54 Dia berkata: Kamu dan bapa-bapa kamu sesungguhnya dalam kesesatan yang nyata.

Berdasar dari ayat-ayat di atas, saya melihat percubaan Kassim Ahmad menyandarkan ritual sembahyang terus kepada Nabi Ibrahim tidak boleh disokong. Kepercayaan dan legasi Ibrahim jelas menolak sebarang amalan yang mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu. Ia juga tidak memberi merit kepada amalan yang diikuti secara membuta tuli secara turun temurun. Selain itu kita tidak boleh lupa bahawa Nabi Ibrahim merupakan seorang nabi yang kepercayaan dan legasinya bukan sahaja dituntut oleh “orang Islam” bahkan oleh Yahudi, Kristian dan mungkin oleh yang lain-lain.

3:65 Wahai pengikut-pengikut Al-Kitab! Mengapa kamu bertelagah mengenai Ibrahim, sedangkan Taurat dan Injil tidak diwahyukan sehingga selepas dia; kenapa kamu tidak boleh faham?

Maka jika benar dakwaan Kassim Ahmad bahawa bentuk dan kaedah sembahyang yang diamalkannya merupakan warisan langsung dari Nabi Ibrahim tentulah bentuk dan kaedah ritual yang sama dapat dilihat diamalkan oleh para pengikut Al-Kitab yang lain. Tidak perlulah mereka bertelagah tentang kepercayaan dan legasi Ibrahim.

Di bawah adalah beberapa para seterusnya. Bagaimanapun saya akan memberhentikan komentari saya setakat ini dan saya buka ruang kepada para pembaca budiman untuk terus menguji pandangan Kassim Ahmad dalam hal sembahyang menurut kefahaman masing-masing. Silakan.

Namun demikian, Quran telah juga menyatakan beberapa perincian kaedah salat: umpamanya, semua lima waktunya (11:114, 17:78, 24:58, 2:238, 30:17-18 dan 20:130); perbuatan rukuk dan sujud (22:77); meringkaskan sembahyang dalam perjalanan (4:101); bentuk yang boleh disesuaikan dalam keadaan perang dan keadaan luar biasa (2:239); berpakaian elok (7:31); cara bacaan yang sederhana (17:110); jangan menyerukan selain Allah dalam sembahyang (72:18) dan cara-cara wuduk (5:6 dan 4:43). Jadi, walaupun perincian gerak-geri salat tidak diberi dalam Quran, banyak perincian kaedah ada diberikan.

Juga Quran mengajar kita supaya jangan mempertikai bentuk dan kaedah. Bentuk dan kaedah tidak begitu penting jika dibandingkan dengan tujuan. Apa yang penting ialah kebaikan dan kejujuran untuk melakukan kebaikan.

Kebaikan bukanlah berpaling ke Timur atau ke Barat. Kebaikan ialah beriman kepada Tuhan, hari kiamat, malaikat-malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi; dan mendermakan wang yang kita sayangi kepada kaum keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang asing, pengemis-pengemis, dan membebaskan hamba-abdi, dan melaksanakan salat dan zakat, dan menunaikan janji-janji yang dibuat, dan tetap teguh menghadapi bencana, kesusahan dan peperangan. Inilah mereka yang benar; inilah mereka yang baik. (2:177)

Tahukah engkau siapa yang menolak keimanan? Dia yang mengabaikan anak-anak yatim. Dan tidak pernah menganjurkan diberi makanan kepada orang-orang miskin. Oleh itu, celakalah mereka yang melaksanakan salat. Sedangkan mereka lalai tentang salat mereka. Mereka hanya menunjuk. Dan enggan bersedekah. (107:1-7)

Ada hikmahnya yang besar mengapa Tuhan tidak memperincikan bentuk dan kaedah salat dalam Quran. Pertama, kerana bentuk dan kaedah ini telah diajar kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, dan disahkan untuk diikut oleh umat Muhammad. Kedua, kerana bentuk dan kaedah tidak begitu penting, dan Tuhan ingin memberi kelonggaran kepada umat Muhammad supaya mereka boleh melakukan salat mereka dalam keadaan apa juga, seperti dalam perjalanan jauh, dalam peperangan, di Kutub Utara, atau di angkasa lepas, mengikut cara yang sesuai. Peristiwa Putera sultan Salman dari Arab Saudi yang turut serta dalam kapal angkasa Amerika, Discovery pada Jun 1985 meminta perunjuk daripada tokoh-tokoh agama negaranya bagaimana hendak bersembahyang di dalam kapal angkasa itu bukan saja telah menimbulkan pertentangan di kalangan ulama yang jumud dan anti-sains, tetapi adalah satu peringatan yang amat baik kepada umat Islam supaya kembali dan berpegang kepada Quran dan jangan mempertikai bentuk dan kaedah.

Sumber Salinan Yang DiPerbincangkan Dalam Entri Ini:
Bahasa Malaysia

Bahasa Inggeris

Written by tolokminda

June 9, 2011 at 2:05 am

Posted in Komentar, Solaa | Solat