Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Menguji pandangan Kassim Ahmad tentang sembahyang

with 18 comments

Saya harap entri ini akan diterima dan dilayan sebagai satu wacana ilmiah dan aman oleh para pembaca budiman.

Dalam bukunya “Hadis: Satu Penilaian Semula”, Kassim Ahmad ada mengutarakan satu bahagian yang diberi tajuk “Kaedah Sembahyang”. Mari kita sama-sama uji pandangan-pandangan Kassim Ahmad dalam perkara ini. Bahagian yang diquote dan diboldkan adalah salinan dari pandangan Kassim Ahmad yang dimaksudkan.

Kaedah Sembahyang

Pendukung-pendukung Hadis bertanya: Jika kita menolak Hadis, bagaimana kita bersembahyang? Sebenarnya, jawapannya ada di dalam Quran sendiri. Sesiapa yang mengkaji Quran mengetahui bahawa ibadah-ibadah agama, salat, puasa, zakat dan haji telah diajar oleh Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya dan diperturunkan daripada mereka, generasi, kepada Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya.

Tuhan kami, jadikanlah kami Muslim (tunduk) kepadaMu, dan daripada keturunan kami biarlah lahir suatu bangsa Muslim (yang tunduk) kepadaMu. Ajarkanlah kami bagaimana hendak mengamalkan ibadah-ibadah agama kami, dan ampunilah kami; Kau maha pengampun, maha penyayang. (2:128)

Komen Saya:

Saya tidak nampak bagaimana ayat 2:128 boleh dijadikan bukti atau dalil bahawa Tuhan telah mengajar Nabi Ibrahim ibadah-ibadah agama seperti salat, puasa, zakat dan haji sebagaimana salat, puasa, zakat dan haji yang diamalkan oleh orang Islam hari ini. Saya berpendapat Kassim Ahmad terlalu klise dan dangkal apabila hanya mampu menyebut, “sebenarnya, jawapannya ada di dalam Quran sendiri. Sesiapa yang mengkaji Quran mengetahui bahawa ibadah-ibadah agama, salat, puasa, zakat dan haji telah diajar oleh Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya..”, tanpa mengutarakan dan menghujahkan dengan jelas bukti-buktinya.

Quran juga memberitahu kepada kami bahawa orang-orang Arab sebelum Muhammad sudah mengamalkan salat:

Salat mereka di rumah suci tidak lain daripada penipuan dan kesesatan. (8:35);

Komen Saya:

Tuhan telah membuat satu penjelasan mudah melalui ayat 8:35, iaitu solaa orang-orang Arab kaum Nabi hanyalah siulan dan bertepuk tangan – iaitu amalan yang tidak membawa apa-apa faedah. Jadi apa kena-mengena dengan solaa Nabi Ibrahim? Bukan Nabi Ibrahim yang mengajar mereka solaa seperti itu dan sudah tentu Tuhan juga tidak mengajarnya.

dan wahyu-wahyu Quran yang paling awal sudah menyebut salat dan zakat, membukttikan bahawa ibadah-ibadah ini sudah terkenal di kalangan orang Arab. Wahyu ketiga, Surah Al-Muzzammil (73) ayat 20, menyatakan:

Oleh yang demikian bacalah apa yang mampu olehmu darinya (Quran), dan amalkanlah salat dan berikanlah zakat, dan pinjamkanlah Tuhan satu pinjaman kebajikan.

Komen Saya:

Saya ada membincangkan Surah Al-Muzzammil di sini.

Dan berikut adalah terjemahan dan tafsiran saya untuk ayat 73:20

Sesungguhnya Tuhanmu tahu bagaimana kamu berjaga kadangkala dua pertiga dari waktu malam, atau kadangkala separuh atau sepertiga seperti yang dilakukan juga oleh segolongan yang bersama kamu. Tuhan menetapkan siang dan malam. Dia tahu kamu tidak mengiranya dan membalas untukmu dengan belas kasihan. Jadi bacalah Al-Quran yang mudah kepada kamu. Dia tahu ada di antara kamu yang tidak sihat, sebahagian pula sedang mengembara di atas muka bumi untuk mencari anugerah pemberian Tuhan, dan yang lain sedang berjuang demi Tuhan. Jadi bacalah (Al-Quran) seberapa banyak kerana ia mudah, dan jadikan ia satu komitmen dan jagalah sentiasa kemurniannya, dan belanjakan untuk Tuhanmu pelaburan yang baik-baik. Apa saja yang baik kamu berikan untuk diri kamu nescaya kamu akan temuinya di sisi Tuhan, malah lebih baik lagi sebagai balasannya. Dan minta keampunan dari Tuhan. Sesungguhnya Tuhan Pengampun dan Mengasihani.

Saya melihat kefahaman Kassim Ahmad terhadap apa yang dimaksudkan sebagai “solat” dan “zakat” dalam 73:20 tidak kena dengan konteks ayat mahupun Surah 73 secara keseluruhannya tidak kiralah samada Surah itu telah diturunkan awal atau lewat. Melalui Surah 73, Tuhan menyuruh kita menjadikan tabiat membaca Al-Quran pada waktu malam sebagai satu komitmen (solaa). Semudah itu saja. Ia tidak ada kena mengena dengan suruhan supaya mengerjakan ritual yang berbentuk sembah menyembah.

Periwayat Nabi yang pertama, Ibn Ishaq, mencatat dalam sirahnya bahawa sebelum beliau diangkat menjadi rasul, Muhammad mengunjungi Gua Hira’ tiap-tiap tahun dalam bulan Ramadan untuk berhening cipta dan bersembahyang, dan memberi makan kepada orang-orang miskin yang datang kepadanya.19 Ibn Ishaq juga mencatat bahawa sebelum Nabi israk dan mikraj pada malam bersejarah itu, Nabi bersembahyang isyak’ di rumah Umm Hani.20 Kesemua fakta ini menafikan laporan-laporan Hadis yang menyatakan bahawa ibadah sembahyang diperintahkan oleh Tuhan kepada Nabi pada malam israk dan mikraj.

Komen Saya:

Dalam para di atas, Kassim Ahmad menolak hadis-hadis yang mengaitkan Nabi dengan peristiwa Israk & Mikraj kerana berpandangan catatan periwayat Nabi yang pertama, Ibn Ishaq, bahawa Nabi telah bersembahyang sebelum berlakunya peristiwa berkenaan lebih dipercayai beliau. Maknanya, sandaran Kassim Ahmad untuk menolak riwayat Israk & Mikraj adalah dengan riwayat juga – bukan dengan Al-Quran.

Berhubung dengan kaedah-kaedah salat (waktu, rakaat dan gerak-gerinya), tidak syak lagi bahawa amalan yang dilakukan oleh umat Islam sekarang, pada dasarnya, berpunca daripada amalan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, dan kaedah-kaedah ini diperturunkan, generasi demi generasi, hingga kepada Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya.

Dipaparkan di bawah ini adalah petikan para yang sama dalam buku versi Bahasa Inggeris.

A moment’s thought will also make us realize that we do not learn how to pray from the hadith. We learn to do so from our parents and teachers who inherit the practice through the generations from the first source, that is Prophet Abraham.

Komen Saya:

Melalui kedua-dua petikan di atas (dari versi buku Bahasa Melayu & versi Bahasa Inggeris) kita dapat melihat dengan jelas pandangan Kassim Ahmad terhadap asal-usul ritual sembahyang yang beliau amalkan. Beliau mendakwa beliau tidak belajar melalui hadis. Dan di dalam para-para seterusnya nanti, para membaca budiman akan turut menemui pengakuan beliau bahawa “Tuhan tidak memperincikan bentuk dan kaedah salat dalam Quran”.

Maka – pendek kata, Kassim Ahmad tidak mempelajari bentuk dan kaedah sembahyangnya melalui hadis mahupun Al-Quran. Beliau berpandangan ritual sembahyang sebenarnya diajar melalui proses pengamalan secara turun temurun dari generasi ke generasi oleh ibubapa dan guru-guru sejak dari sumber pertama, iaitu Nabi Ibrahim. (Untuk melihat dengan lebih jelas pandangannya itu, perhatikan petikan dari versi Bahasa Inggeris).

Kassim Ahmad nampak seperti serba tidak kena dalam usahanya mempertahankan kepercayaan terhadap ritual sembahyang. Beliau tahu Al-Quran tidak memperincikan bentuk dan kaedahnya. Tetapi dalam masa yang sama beliau tidak mahu menerima jika dikatakan yang ia adalah sesuatu yang bersumberkan hadis. Lalu beliau menyandarkannya terus kepada Nabi Ibrahim, ibubapa dan nenek moyangnya sendiri. Sekali pandang, jalannya nampak macam lurus. Tetapi adakah ritual sembahyang itu benar-benar selari dengan kepercayaan dan legasi Ibrahim?

Mari kita periksa apa kata Ibrahim tentang amalan yang melibatkan perbuatan menyekutukan Tuhan dengan sesuatu sebagaimana yang direkodkan oleh Tuhan melalui Al-Quran.

21:66 Dia berkata: Kamu mengabdi di samping Tuhan sesuatu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kamu dan tidak juga mendatangkan mudarat?

21:67 Aku jijik dengan kamu dan apa yang kamu abdikan di samping Tuhan! Tidakkah kamu mempunyai akal?

Dan berikut pula adalah apa kata Ibrahim tentang perbuatan menuruti kepercayaan dan amalan ibubapa secara membuta tuli.

21:52 Apabila dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Patung-patung apakah ini yang kamu sembah?

21:53 Mereka berkata: Kami dapati bapa-bapa kami mengabdi kepadanya (AAabideena).

21:54 Dia berkata: Kamu dan bapa-bapa kamu sesungguhnya dalam kesesatan yang nyata.

Berdasar dari ayat-ayat di atas, saya melihat percubaan Kassim Ahmad menyandarkan ritual sembahyang terus kepada Nabi Ibrahim tidak boleh disokong. Kepercayaan dan legasi Ibrahim jelas menolak sebarang amalan yang mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu. Ia juga tidak memberi merit kepada amalan yang diikuti secara membuta tuli secara turun temurun. Selain itu kita tidak boleh lupa bahawa Nabi Ibrahim merupakan seorang nabi yang kepercayaan dan legasinya bukan sahaja dituntut oleh “orang Islam” bahkan oleh Yahudi, Kristian dan mungkin oleh yang lain-lain.

3:65 Wahai pengikut-pengikut Al-Kitab! Mengapa kamu bertelagah mengenai Ibrahim, sedangkan Taurat dan Injil tidak diwahyukan sehingga selepas dia; kenapa kamu tidak boleh faham?

Maka jika benar dakwaan Kassim Ahmad bahawa bentuk dan kaedah sembahyang yang diamalkannya merupakan warisan langsung dari Nabi Ibrahim tentulah bentuk dan kaedah ritual yang sama dapat dilihat diamalkan oleh para pengikut Al-Kitab yang lain. Tidak perlulah mereka bertelagah tentang kepercayaan dan legasi Ibrahim.

Di bawah adalah beberapa para seterusnya. Bagaimanapun saya akan memberhentikan komentari saya setakat ini dan saya buka ruang kepada para pembaca budiman untuk terus menguji pandangan Kassim Ahmad dalam hal sembahyang menurut kefahaman masing-masing. Silakan.

Namun demikian, Quran telah juga menyatakan beberapa perincian kaedah salat: umpamanya, semua lima waktunya (11:114, 17:78, 24:58, 2:238, 30:17-18 dan 20:130); perbuatan rukuk dan sujud (22:77); meringkaskan sembahyang dalam perjalanan (4:101); bentuk yang boleh disesuaikan dalam keadaan perang dan keadaan luar biasa (2:239); berpakaian elok (7:31); cara bacaan yang sederhana (17:110); jangan menyerukan selain Allah dalam sembahyang (72:18) dan cara-cara wuduk (5:6 dan 4:43). Jadi, walaupun perincian gerak-geri salat tidak diberi dalam Quran, banyak perincian kaedah ada diberikan.

Juga Quran mengajar kita supaya jangan mempertikai bentuk dan kaedah. Bentuk dan kaedah tidak begitu penting jika dibandingkan dengan tujuan. Apa yang penting ialah kebaikan dan kejujuran untuk melakukan kebaikan.

Kebaikan bukanlah berpaling ke Timur atau ke Barat. Kebaikan ialah beriman kepada Tuhan, hari kiamat, malaikat-malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi; dan mendermakan wang yang kita sayangi kepada kaum keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang asing, pengemis-pengemis, dan membebaskan hamba-abdi, dan melaksanakan salat dan zakat, dan menunaikan janji-janji yang dibuat, dan tetap teguh menghadapi bencana, kesusahan dan peperangan. Inilah mereka yang benar; inilah mereka yang baik. (2:177)

Tahukah engkau siapa yang menolak keimanan? Dia yang mengabaikan anak-anak yatim. Dan tidak pernah menganjurkan diberi makanan kepada orang-orang miskin. Oleh itu, celakalah mereka yang melaksanakan salat. Sedangkan mereka lalai tentang salat mereka. Mereka hanya menunjuk. Dan enggan bersedekah. (107:1-7)

Ada hikmahnya yang besar mengapa Tuhan tidak memperincikan bentuk dan kaedah salat dalam Quran. Pertama, kerana bentuk dan kaedah ini telah diajar kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya, dan disahkan untuk diikut oleh umat Muhammad. Kedua, kerana bentuk dan kaedah tidak begitu penting, dan Tuhan ingin memberi kelonggaran kepada umat Muhammad supaya mereka boleh melakukan salat mereka dalam keadaan apa juga, seperti dalam perjalanan jauh, dalam peperangan, di Kutub Utara, atau di angkasa lepas, mengikut cara yang sesuai. Peristiwa Putera sultan Salman dari Arab Saudi yang turut serta dalam kapal angkasa Amerika, Discovery pada Jun 1985 meminta perunjuk daripada tokoh-tokoh agama negaranya bagaimana hendak bersembahyang di dalam kapal angkasa itu bukan saja telah menimbulkan pertentangan di kalangan ulama yang jumud dan anti-sains, tetapi adalah satu peringatan yang amat baik kepada umat Islam supaya kembali dan berpegang kepada Quran dan jangan mempertikai bentuk dan kaedah.

Sumber Salinan Yang DiPerbincangkan Dalam Entri Ini:
Bahasa Malaysia

Bahasa Inggeris

Written by tolokminda

June 9, 2011 at 2:05 am

Posted in Komentar, Solaa | Solat

18 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam,

    Saya sependapat dengan TM bahawa dalam bab solat, hujah Kassim Ahmad untuk mempertahankan wujudnya solat berbentuk ritual adalah agak lemah. Masih banyak ayat-ayat Al Quran lain yang boleh mencabar kepercayaan beliau seperti yang TM kemukakan.

    Namun, saya melihat pandangan Kassim Ahmad selama ini adalah salah satu tangga ke arah pembebasan diri iaitu daripada belenggu amalan ritual kongkongan pembesar agama kepada pembebasan seperti Nabi Ibrahim yang tidak menyekutukan Allah. Maksudnya, apabila manusia mula yakin yang solat itu bukan satu bentuk sama dan statik, tetapi suatu dinamik mengikut keadaan, maka ia dapat mendorong kita kembali kepada Al Quran.

    Antara penyebab manusia takut kepada pembesar agama adalah kerana mereka merasakan tanpa pembesar agama, macam mana mereka nak lakukan solat dengan cara yang betul. Walhal Allah tidak pernah spesifikkan macam mana cara solat yang betul atau tidak. Yang pentingnya tujuan solat itu membawa ke arah kebaikan. Jadi pendapat Pak Kassim itu dapat meruntuhkan rasa taksub kepada pembesar agama untuk berani mencari kebenaran setelah manusia itu mula menilai kembali apa yang diamalkan selama ini.

    Memang bukan semua orang boleh tinggalkan ketagihan amalan ritual mereka dengan mudah dan sekali gus. Apatah lagi mereka yang memiliki perasaan bangga diri yang tinggi dengan amalan tradisi kaum mereka itu, sudah pasti mereka tidak mahu menolak kepercayaan tradisi itu kerana nanti memalukan keturunan mereka. Maka kewujudan pendapat Pak Kassim hanyalah salah satu peringkat untuk manusia pergi ke pegangan yang lebih teguh seperti yang TM telah capai hari ini.

    Saya nampak fokus beliau hanyalah untuk menarik manusia kembali kepada Al Quran. Bila manusia mula yakin pada Al Quran, macam mana cara bersolat mereka itu sudah tidak penting lagi, sebab mereka sudah ada keyakinan pada diri sendiri (telah bebas daripada belenggu kepercayaan tradisi). Yang pentingnya, apabila manusia itu mula berpegang teguh pada Al Quran, mereka akan terdorong membuat kebaikan seterusnya membangunkan masyarakatnya di samping tahu menjauhi kemungkaran. Itulah yang pentingnya pun.

    Juang

    June 10, 2011 at 6:12 am

  2. Salam Juang,

    Saya adalah seorang peminat Kassim Ahmad semasa tulisan beliau sering keluar di Utusan Malaysia suatu ketika dulu. Saya melihat beliau sebagai seorang yang mempunyai pemikiran yang dinamik. Bagaimanapun saya tidak pernah membaca buku-buku beliau termasuklah buku Hadis: Satu Penilaian Semula yang terkenal itu. Terus terang sampai sekarang pun saya belum baca buku itu dengan ertikata “membaca buku”. Baca secara imbasan saja, itupun dari salinan online.

    Ajakan saya untuk menguji pandangan Kassim Ahmad tentang sembahyang yang diekstrak dari buku Hadis: Satu Penilaian Semula dalam entri ini tidak mempunyai niat bermusuh. Sebab itulah saya mulakan perenggan saya dengan permohonan supaya ia dilayan secara ilmiah. Kassim Ahmad telah mengutarakan pandangannya secara ilmiah jadi adalah wajar untuk kita mengujinya secara ilmiah juga. Saya takut ada orang tidak faham dan marah-marah. Saya lega kerana tuan Juang telah memulakan perbincangan dengan tonasi yang baik.

    Mengapa saya memilih pandangan Kassim Ahmad tentang sembahyang untuk diuji dan diperbincangkan? Mudah saja. Kerana saya percaya sedikit sebanyak platform Kassim Ahmad telah menganjak ke hadapan berbanding golongan mainstream yang biasanya menolak mentah-mentah apabila diajak melakukan ulangkaji.

    tolokminda

    June 10, 2011 at 11:16 am

  3. Salam

    Kassim Ahmad sajakah???

    Lihat;

    http://www.e-bacaan.com/emailf55.htm

    Maka adakah orang yg solat komitmen itu patut menggunakan terjemahan orang yg solat tiga kali sehari??

    Manakah bukti yg mereka telah mengkaji Quran sahaja??

    Jebon

    June 10, 2011 at 12:00 pm

  4. Pada pendapat saya la, tiada individu yg khusyuk 100% semasa bersembahyang. Kalau tgk siaran langsung sembahyang tarawikh di tokong besar Arab Saudi di RTM , saya tgk kebanyakkan jemaah berpura-pura. Ada yg pandang ke atas, ada yg menggaru-garu kepala, ada yg korek hidung, ada yang bercakap telefon, sms, ada juga yg bersembang; semasa imam sedang membaca ayat2 Al-Quran mendayu-dayu kpd batu besar berpintukan emas itu.

    Berkenaan Kassim Ahmad pula, saya pun terkejut apabila beliau menulis dlm komen di blog beliau bahawa dia percaya sembahyang mesti dilakukan walaupun kita sedang naik roket! Punyalah sempit kapsul Soyuz, macam mana angkasawan Melayu tu perform sembahyang. Nampak mcm menyusahkan. Kalau terapung2 dalam ISS, mcm mana pula nak sembahyang dlm keadaan tanpa graviti. Kalau di Bulan pula?

    Teringat saya kisah Galileo Galilei yg mencabar kepercayaan agama Kritsian mengenai konsep kosmologi. Saintis paling hebat dlm sejarah manusia pun tak mampu melawan kejumudan pembesar2 agama.

    Skygyver

    June 10, 2011 at 12:09 pm

  5. Anti hadis bukan sahaja dikalangan pengikut Kassim Ahmad, tetapi juga Othman Ali (ebacaan) yg solat 3 kali sehari…

    Jebon

    June 10, 2011 at 12:16 pm

  6. Salam Jebon,

    Saya berpendapat kita tidak perlu mengongkong diri kita kepada terjemahan sesiapa. Kita boleh mengemukakan terjemahan atau tafsiran sendiri. Bagaimanapun dalam masa yang sama kita harus membuka terjemahan atau tafsiran kita itu untuk diuji. Sebenarnya struktur penyampaian Al-Quran memberi peluang untuk proses ujian itu berlaku secara sistematik. Mana-mana ayat yang mungkin dirasakan kurang jelas pasti ada ayat lain yang boleh membantu penjelasan. Mana-mana maksud perkataan yang mungkin kurang tepat atau diseleweng boleh disemak secara silang menyilang atau melalui pemahaman kepada konteks ayat. Proses memahami Al-Quran sebenar sama dengan proses memahami segala ilmu yang Tuhan hamparkan di alam ini. Kita mungkin tidak akan terus mendapat kefahaman yang betul tetapi setiap kesalahan yang kita sedari dan perbaiki mendekatkan kita selangkah lagi ke arah kebenaran hakiki.

    Saya berpendapat keterbukaan pihak E-Bacaan supaya pembacanya menilai sendiri apa yang sampai kepada mereka adalah satu yang harus dihargai dan ia sama dengan prinsip yang saya pegang dalam blog ini.

    tolokminda

    June 10, 2011 at 12:29 pm

  7. Salam

    Tolokminda tulis;
    Kita boleh mengemukakan terjemahan atau tafsiran sendiri. Bagaimanapun dalam masa yang sama kita harus membuka terjemahan atau tafsiran kita itu untuk diuji.

    Komen:
    Sy setuju, itu sebabnya perlu memikirkan ayat2 Quran oleh anjuran Quran itu sendiri, boleh rujuk artikel sy yg ini

    http://doktrinisasi.blogspot.com/2010/05/al-quran-dan-menggunakan-akal.html

    Jebon

    June 10, 2011 at 3:17 pm

  8. Salam TM,

    Jangan risau, bagi saya, saya tidak melihat perbezaan pendapat di antara saudara dengan Kassim Ahmad satu permusuhan tetapi sebagai satu cara bagi orang yang ingin berpegang teguh pada Kitab Allah belajar menangani perbezaan dengan lebih harmoni. Kita tidak boleh meniru kembali perangai lama ketika taksub riwayat hadis iaitu jadi orang yang tidak dapat menerima perbezaan pendapat. Takkan kita nak jadi macam Sunni dan Syiah yang berperang kerana tidak dapat menerima perbezaan pendapat imam-imam mereka? Nanti apa ertinya kita berpegang pada Al Quran jika perangai masih macam dahulu?

    Kassim Ahmad selalu menyebut tentang memahami Al Quran menggunakan sains dan logik. Namun sehingga hari ini kita tidak nampak yang solat itu perlu dibuat secara ritual macam umat Islam hari ini dapat dibuktikan secara sains dan logik. Kenapa solat perlu dihadapkan ke arah kiub batu di Mekkah (contohnya)? Apakah bukti saintifik dan logiknya?

    Berkenaan terjemahan Al Quran pula, biarpun jika kita tidak menerima solat itu adalah amalan ritual mengadap sesuatu objek khusus, namun bukan bermakna kita tidak boleh menggunakan terjemahan mereka (orang yang buat amalan ritual itu). Selagi apa yang mereka terjemahkan itu tidak bercanggah sesama ayat Al Quran, bolehlah kita terima. Seperti yang TM sebut, kita boleh mengujinya menggunakan kaedah silang-menyilang. Jika ia terjemahan yang benar maksudnya, pasti ayat-ayat Al Quran itu tidak bercanggah. Tetapi kalau menyebabkan bercanggah dan maknanya berubah-ubah daripada satu ayat ke ayat yang lain, itu menunjukkan terjemahan ia lemah.

    Contohnya tentang terjemahan perkataan “sollu”. Satu ayat diterjemahkan sebagai sembahyang, dan ayat yang lain diterjemahkan sebagai salawat (kepada Nabi), sedangkan dalam ayat Al Quran lain sudah ada perkataan salawat dalam bahasa Arab. Jika perkataan sollu ditukar jadi salawat (yang juga perkataan Arab), itu bukannya terjemahan, tetapi mengubah perkataan asal dengan perkataan lain. Di situ kita nampak percanggahan yang memerlukan pembetulan jika seseorang itu benar-benar jujur.

    Kita boleh menipu orang lain, tetapi hakikatnya kita menipu diri sendiri kalau percanggahan seperti itu sengaja dipejamkan hanya kerana taksub pada sesuatu amalan penyembahan.

    Juang

    June 11, 2011 at 1:33 am

  9. Dalam ayat 2:177, telah tegas dinyatakan bahawa kebaikan bukannya mengkhususkan arah mengadap sama ada ke Timur atau Barat. Kemudian dalam ayat itu juga disenaraikan contoh-contoh kebaikan termasuk melakukan solat. Tetapi ramai yang tidak perasan, jika kebaikan bukannya dengan cara mengkhususkan arah mengadap, macam mana mereka boleh ertikan solat itu satu upacara mengadap ke sesuatu arah khusus? Di situ sahaja kita sudah boleh nampak berlakunya percanggahan dalam satu ayat Al Quran sahaja jika solat itu diertikan sebagai amalan ritual mengadap ke sesuatu objek khusus. Dengan kata lain, solat yang dianggap sebagai perbuatan mengadap ke arah sesuatu titik di muka bumi ini tidak diiktiraf oleh Allah sebagai satu kebaikan pun.

    Juang

    June 11, 2011 at 2:14 am

  10. Salam Saudara-saudaraku,

    Tolong Jawabkan :

    1. Hajj dan Umrah – Kenapa kamu menunaikan Fardu Haji dan Umrah ke Mekah – beri menafaatnya pada umah/dunia?
    2. Hajj dan Umrah – Kenapa kamu melakukan R&D – beri menafaatnya pada umah/dunia?

    Jawapan tuan-tuan pastinya dapat menjustifikasi – yang mana satu LOJIK dan BENAR. Yang LOJIK dan BENAR adalah milikNYA.

    Terima kasih saudara-saudaraku yang budiman.

    Jagundul

    June 11, 2011 at 9:19 pm

  11. Salam Juang,

    Ya. Mari kita lihat kembali 2:177.

    2:177 ““Ia bukanlah kebenaran yang kamu perlu memalingkan muka menghadap timur dan barat, tetapi kebenaran adalah bahawa seseorang perlu percaya kepada Allah, dan hari kiamat dan para malaikat dan Al-Kitab dan para nabi – dan yang mengeluarkan harta yang mereka sayang untuk keluarga dan anak-anak yatim dan yang memerlukan dan mereka yang dalam perjalanan dan para pengemis dan menebus tawanan – dan yang mereka melaksanakan komitmen mereka dan menjaga kemurniannya (waaqama alssalata waata alzzakata) dan mereka yang berpegang pada janji apabila mereka berjanji dan yang sabar dalam kecemasan dan kesukaran dan di dalam konflik – mereka inilah yang jujur dan mereka inilah yang takut kepada Tuhan..”

    tolokminda

    June 12, 2011 at 8:37 am

  12. 1. Haji dan Umrah dgn cara mengunjungi kiub batu di Mekkah hanya menguntungkan penjaga rumah batu sahaja kerana ramai melancong ke tempat mereka. Dengan kata lain ia hanya menguntung pihak-pihak tertentu sedangkan jika dilihat dari segi ummah, mereka lemah kerana hidup mereka ditumpukan untuk mengumpul duit mengunjungi kiub batu itu sahaja.

    2) Hajj dan umrah dengan cara research dan development pun memberi manfaaat kepada seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa, agama dan adat-kebudayaan.

    Bayangkan apabila populasi manusia semakin bertambah dan bumi semakin terasa sempit, sudah pasti memerlukan manusia berhijrah mencari planet-planet lain. Maka siapakah yang menunaikan tanggungjawab untuk memastikan generasi manusia terus berkembang ketika itu? Orang yang berkunjung ke kiub batu atau orang yang mengorbankan masa dan tenaga membuat R&D membina kapal angkasa?

    Juang

    June 12, 2011 at 11:37 am

  13. Salam Saudara Juang,

    Mudah-mudahan rakan-rakan saya yang masih dalam kekeliruan mengenai perintah Tuhan tentang Hajj dan Umrah dapat membacanya dan saya akan sentiasa meminta mereka melayari blog ini dan blog lain-lain yang membincangkan CARA HIDUP YANG SEMPURNA ini. Bolehlah mereka mendapat kefahaman, perbandingan dan memilih yang mana terbaik.

    Sekiranya tuan ingin tambah lagi ulasan tuan di atas – dengan aras lebih rendah supaya kefahaman untuk kami yang kurang pengetahuan ini – amatlah dialu-alukan. Kerna pada saya ini merupakan perkara pokok – bila ianya difahami dan dikaitkan dengan kisah Adam mengenal sifat-sifat benda (sains) – maka jelaslah sepert tuan katakan dalam blog ini tujuan manusia dicipta oleh Tuhan – sebagai penyelidik dan pencipta supaya dapat mengembangkan potensi diri, menerokai ilmu-ilmu Tuhan hamparkan – membangunkan dan memelihara kemakmuran, kesejahteraan dan keindahan ALAM ini. Seperkara lagi dengan kefahaman yang jitu dan meyakinkan – lojik dan benar mengenai Hajj dan Umrah sebagai R&D – maka melawat Mekah sebagai Fardu Haji menjadi ‘void and null’ bila sedemikian rupa – solaa ritual harian pun turut zero juga, kan begitu jadinya. Maafkan kiranya ada yang tersasar – take care.

    sekian terima kasih.

    Jagundul

    June 12, 2011 at 2:30 pm

  14. Jika ‘bait’ bermaksud rumah Allah berbentuk kotak di Mekah, sepatutnya semua manusia tidak kira bangsa dan agama boleh datang melawat. Sila baca (2:125-126).

    Jika bait diertikan sebagai ‘sistem’ iaitu R&D, semua bangsa manusia dan agama boleh menjalankannya.

    Skygyver

    June 12, 2011 at 3:30 pm

  15. Salam hormat dan terima kasih.

    Adalah lagi hehehe.

    Jagundul

    June 12, 2011 at 6:51 pm

  16. Salam saudara Jagundul,

    Kalau manusia itu ada keinginan memikirkan apa tujuan dia diciptakan sebagai manusia yang dikurniakan keupayaan akal yang hebat berbanding haiwan-haiwan lain di muka bumi, tidak mustahil dia akan dapat kesedaran. Setiap ciptaan ada tujuannya kerana Allah tidak mencipta sesuatu dengan sia-sia. Macam kita cipta kereta ada tujuannya, kapal terbang ada tujuan, komputer ada tujuannya.

    Daripada matlamat tujuan kita diciptakan itulah kita mudah membuat penilaian untuk menentukan benar atau tidak sesuatu amalan yang didakwa kononnya diperintahkan oleh Tuhan, kerana jika amalan itu suatu yang disuruh oleh Tuhan, pasti ia menjurus ke arah matlamat kita diciptakan. Perumpamaannya, kenapa kereta kena memusingkan rodanya? Sebab matlamat kereta diciptakan adalah sebagai alat untuk memudahkan manusia bergerak. Jika tayar kereta tidak berputar, tidaklah mencapai matlamat kereta diciptakan.

    Begitulah kita menguji sesuatu amalan. Apakah dengan mengunjungi kiub batu itu mencapai matlamat kita diciptakan sebagai manusia yang mempunyai akal atau membuat R&D itu lebih sesuai dengan fungsi kita sebagai manusia? Jika kita selalu membuat pertimbangan sebegini, pasti kita akan nampak hidup yang lebih bererti daripada apa yang disuap/disogok oleh penjaja-penjaja agama kepada kita selama ini .

    juangv9

    June 12, 2011 at 7:26 pm

  17. Salam Saudara Juang,

    Terima kasih – Atas peringatan dan penjelasan yang indah dan cantik – hinggakan saya terharu – kenapa????
    Saya amat bersyukur – tanda bersyukur – tahulah saya buatnya – menafaatkan dengan izinNya.

    Take care.

    Jagundul

    June 12, 2011 at 9:06 pm

  18. Persoalan

    1.Terjemahan 2:177 lari dari kalimat asal. Mengenai haji dan umrah ia bukan R&D.Mana dapat kalimat haji dan Umrah sebagai R&D.Ada Allah SWT berfirman sedemikian.Persoalan. Kalau lari terjemahan maka larilah maknanya. Kebenaran dan kebaikan laiin kalimat. dari segi makna bahasa malaysia pun salah emakna perkara yang sama.
    2. Dengan mengatakan Nabi Muhamad SAW bersolat seperti Nabi Ibrahim bila masa Nabi Ibrahim mengajar Nabi Muhamad. Bukankah Jibrail yang mengajar Nabi Muhamad SAW sebagaimana Jibrail turunkan wahyu dan mengajar nabi Muhamad SAW.
    3. Kaabah bukan berhala. Bila masa umat Islam sembah kaabah.Kaabah itu apa dari sudut al-Quran?

    waqsit

    August 19, 2018 at 10:03 pm


Leave a comment