Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Ibrahim, Ismail, lembah tandus, empangan, buah-buahan dan lembu

with 10 comments

Menurut cerita yang sering dijaja para agamawan, Nabi Ismail adalah anak kepada Nabi Ibrahim dari salah satu dari dua isterinya. Bagaimanapun selepas saya meneliti kisah Ibrahim dan Ismail yang disampaikan melalui Al-Quran, saya dapati kisahnya berlainan sama sekali. Menurut Al-Quran, Ismail bukanlah anak biologi Ibrahim.

Ismail sebenarnya diperkenalkan dan dipertemukan oleh Tuhan kepada Ibrahim semasa beliau masih kecil, iaitu ketika Ibrahim mengambil keputusan untuk berhijrah keluar dari kampung halamannya selepas beliau dihukum bakar oleh kaumnya yang marah kerana beliau memecahkan berhala-berhala di kuil mereka.

37:99 Dan dia berkata: Sesungguhnya aku akan pergi kepada PemeliharaKu. Dia akan memberiku petunjuk.

37:100 Pemeliharaku, kurniakanku daripada orang-orang yang bertanggungjawab.

37:101 Maka kami berikan dia berita gembira dengan seorang budak lelaki yang toleran.

Ayat-ayat di atas menggambarkan apa yang telah berlaku. Ibrahim mengambil keputusan untuk berhijrah meninggalkan kaumnya dan memohon supaya Tuhan mengurniakan orang-orang yang bertanggungjawab untuk menyertai beliau. Dan Tuhan menyahut permintaan Ibrahim dengan memperkenalkan seorang budak lelaki yang memiliki sifat toleran kepadanya. Dan kita terus boleh tahu bahawa budak lelaki ini adalah Ismail.

Apabila Ibrahim mengambil Ismail dan membawanya bersama, maka bolehlah dikatakan Nabi Ismail telah menjadi anak angkat kepada Nabi Ibrahim. Samada Ibrahim sudah beristeri atau belum kita tidak diberitahu mengenainya tetapi Tuhan ada memberi gambaran yang menunjukkan Ibrahim masih muda pada ketika itu.

21:59 Mereka berkata: Siapa telah lakukan ini dengan tuhan-tuhan kita? Sesungguhnya dia seorang dari orang-orang yang jahat.

21:60 Mereka berkata: Kami dengar seorang lelaki muda menyebutnya. Dia dipanggil Ibrahim.

Satu lagi fakta yang dapat kita ketahui adalah bahawa selain Ismail, terdapat juga orang-orang lain yang telah turut sama bersama Ibrahim dan antaranya adalah Lut.

21:71 Dan Kami telah selamatkannya dan Lut ke bumi yang Kami berkati di dalamnya untuk orang-orang yang berpengetahuan.

Maka Ibrahim, Ismail, Lut dan lain-lain yang turut menyertai mereka keluar meninggalkan kaum mereka yang tidak boleh melepaskan diri dari kepercayaan nenek moyang yang menyekutukan Tuhan. Dan akhirnya Ibrahim telah memilih satu kawasan lembah yang tandus yang tidak mempunyai sebarang tumbuhan untuk menjadi tempat tinggal barunya.

14:37 Pemelihara kami, sesungguhnya aku telah memutuskan dari keturunanku dengan lembah tanpa sebarang tanaman berdekatan sistemMu yang direstui. Pemelihara kami, supaya mereka mendirikan komitmen mereka. Maka jadikanlah hati-hati daripada manusia cenderung kepada mereka dan rezekikan mereka daripada buah-buahan supaya mereka berterima kasih.

Dari semua petunjuk yang berkaitan dengan lokasi yang dipilih oleh Ibrahim ini, saya berpendapat walaupun ia sebuah lembah tandus tanpa tumbuhan tetapi ia berada berdekatan dengan sebuah eko-sistem yang sesuai – besar kemungkinan ia merupakan sebatang sungai utama – dan ia dilihat oleh Ibrahim sebagai suatu sumber yang boleh dimanipulasi untuk mengubah dan membangunkan lembah tandus itu menjadi sebuah lembah yang subur untuk kegiatan pertanian jika mereka komited menjayakannya.

Di sini saya nampak kaliber Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang berwawasan, berani dan innovatif. Saya percaya beliau juga telah bertindak seperti seorang penyelidik, seorang jurutera dan dalam masa yang sama masih bekerja seperti seorang petani dan penternak sebagaimana orang lain di zamannya. Juga dapat dilihat bagaimana beliau telah mengambil masa bertahun-tahun membuat perancangan sebelum proses sebenar mentransformasikan lembah itu dapat dimulakan – sekurang-kurangnya sehingga Ismail telah mencapai umur yang membolehkannya membantu beliau bekerja.

37:102 Maka apabila dia (Ismail) cukup matang untuk berusaha bersamanya, dia (Ibrahim) berkata: Wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat dalam impianku bahawa aku mengorbankan kamu maka lihatlah apa yang kamu nampak? Dia (Ismail) berkata: Wahai bapaku, lakukanlah apa yang kamu telah diperintahkan. Kamu akan dapati aku, jika diizinkan Tuhan, daripada orang-orang yang berdaya tahan.

Ayat di atas telah ditafsirkan oleh golongan agamawan bahawa Ibrahim telah mendapat mimpi supaya mengorbankan dalam ertikata menyembelih Ismail. Tetapi saya melihat ayat 37:182 sebenarnya menceritakan perihal Ibrahim yang mengadakan man-to-man-talk dengan Ismail apabila anak angkatnya itu sudah mencapai umur bekerja. Dalam perbincangan mereka Ibrahim membentangkan impian beliau yang mahu mentransformasikan lembah tandus yang mereka diami dan melihat dirinya akan mengorbankan Ismail dalam konteks Ismail mungkin terpaksa bekerja sangat keras bersama-samanya. Dan Ismail pula faham kedudukan Ibrahim dan beliau tidak ada masalah untuk sama-sama bekerja ke arah menjayakan wawasan Ibrahim dengan sedaya upayanya.

Maka mereka pun memulakan projek yang menjadi impian Ibrahim dan salah satu perkara utama yang mereka laksanakan adalah meninggikan asas sistem.

2:127 Dan apabila Ibrahim meninggikan asas dari sistem bersama Ismail: Pemelihara kami, terimalah dari kami. Sesungguhnya Engkau Mendengar, Melihat.

Seperti yang saya telah sebut di atas, sistem yang dikatakan berdekatan dengan lembah tandus yang menjadi pilihan Ibrahim berkemungkinan merujuk kepada sebatang sungai utama. Oleh itu apabila dikatakan mereka meninggikan atau menaikkan asas sistem, saya percaya mereka sebenarnya membina empangan supaya paras air sungai itu naik dan membolehkan lembah tandus mereka diairi dan seterusnya mereka dapat membangunkan kegiatan pertanian serta penternakan secara terkawal dan produktif.

Dan kita diberitahu usaha Ibrahim bersama Ismail itu akhirnya berjaya dilaksanakan. Impian Ibrahim telah tercapai dan pada suatu ketika apabila ketenteraman telah menyelubungi lembah mereka di mana Ibrahim sedang baring melungkupkan badannya (laying on his forehead), Tuhan memberi pengesahan kepada Ibrahim tentang kejayaannya merealisasikan wawasan beliau sambil memberi jaminan bahawa mereka akan diberi ganjaran yang hebat dan antaranya adalah haiwan-haiwan ternakan untuk sembelihan.

37:103 Maka apabila telah tenteram dan baring dia kepada dahinya

37:104 Dan Kami memanggilnya: Wahai Ibrahim..

37:105 Kamu telah merealisasikan wawasan itu. Sesungguhnya Kami, yang demikian memberi ganjaran kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.

37:106 Sesungguhnya ini tidak lain adalah suatu ujian yang jelas.

37:107 Dan maka Kami telah tebus dia dengan sembelihan yang hebat.

Dalam satu kisah yang Tuhan ceritakan, kita dapat membayangkan betapa hebat dan makmurnya kegiatan penternakan Ibrahim sehingga apabila Tuhan mengutuskan 2 orang malaikat datang ke rumahnya untuk mengkhabarkan berita yang beliau dan isterinya yang bakal mendapat 2 orang anak mereka sendiri, Ibrahim terus menghidang seekor anak lembu panggang untuk mereka.

11:69 Dan tidak syak telah datang utusan-utusan kami kepada Ibrahim dengan berita gembira. Mereka berkata: Yang tenteram! Dia berkata: Tenteram! Maka tidak berlengah dia untuk membawa seekor anak lembu panggang.

Dan selain dari sembelihan yang hebat hasil dari haiwan-haiwan ternakan yang bermutu seperti lembu, kita juga diberitahu bahawa kawasan lembah mereka juga menjadi kawasan pertanian yang subur dengan pelbagai tanaman buah-buahan.

2:126 Dan apabila berkata Ibrahim: Pemeliharaku, jadikanlah negara ini aman dan kurniakanlah penduduknya dari buah-buahan sesiapa yang mempercayai dari kalangan mereka – dengan Tuhan dan hari akhir. Kami berkata: Dan sesiapa menafikan Aku beri juga mereka keseronokan sedikit – kemudian Aku akan paksa mereka kepada siksaan neraka dan amat menyakitkan destinasi itu.

Kejayaan Ibrahim mentransformasikan sebuah kawasan lembah yang tandus menjadi sebuah kawasan lembah yang subur dengan pelbagai tanaman buah-buahan dan haiwan ternakan merupakan suatu epik dan Tuhan menyatakan legasi Ibrahim itu dikekalkan untuk menjadi contoh kepada generasi kemudian.

37:108 Dan kami tinggalkan baginya di kalangan orang-orang yang kemudian.

Ini bermakna kita sebenarnya masih boleh menjejaki kawasan lembah yang pernah dibangunkan dan didiami oleh Ibrahim dan Ismail serta keturunan mereka. Seperti yang saya bentangkan dalam artikel ini, Al-Quran sebenarnya sudah memberi pelbagai petunjuk mengenai lembah berkenaan. Antaranya:

  1. Lembah itu pada dasarnya adalah sebuah lembah yang tandus jika tiada sebarang campurtangan manusia.
  2. Lembah itu terletak berhampiran dengan sebuah sistem sungai utama.
  3. Lembah itu berubah menjadi sebuah kawasan pertanian yang subur selepas empangan dibina untuk menaikkan paras air sungai yang membolehkan lembah berkenaan diairi secara sistematik.
  4. Lembah itu berkembang menjadi sebuah pusat ketamadunan yang makmur dan terkenal dan kesannya masih boleh dilihat sehingga hari ini.
  5. Lembah itu menjadi sebuah kawasan pertanian yang subur dengan pelbagai tanaman buah-buahan.
  6. Lembah itu merupakan sebuah kawasan penternakan yang hebat dan antara ternakan utama yang diusahakan adalah lembu.
  7. Lembah itu terletak tidak terlalu jauh dari penempatan Nabi Lut.

POSTSCRIPT

39°09’43.20” N, 27°12’36.00” E. Itulah lokasi yang dicadangkan.

Seperti yang dinyatakan dalam komen pertama tuan Mat Guyver untuk entry ini, beliau akhirnya telah berkongsi penemuan berkenaan lokasi lembah tandus yang telah menjadi pilihan Nabi Ibrahim untuk tinggal bersama keturunannya melalui kaedah pengiraan latitud dan logitud di permukaan bumi berdasarkan formula yang beliau device sendiri dari Al-Quran.

Lokasi yang dicadangkan oleh tuan Mat Guyver terletak di Turki – negara yang sememangnya terkenal sebagai antara pengeluar produk buah-buahan utama dunia dan lembu merupakan haiwan ternakan yang common. Lokasi itu juga menunjukkan empangan dibina untuk menguruskan sistem pengairan di seluruh kawasan lembah berkenaan. Di bawah adalah beberapa screenshot dari GoogleEarth yang disediakan oleh tuan Mat Guyver.

null

null

null

null

Para pembaca budiman boleh terus ke blog Mat Guyver untuk maklumat lanjut. Klik di sini.

Written by tolokminda

May 17, 2012 at 11:33 am

Posted in Nabi | Rasul

10 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam TM,

    Satu huraian yang baik. Kita boleh lihat kehebatan sektor pertanian di negara kita seperti FELDA. Kalaulah Allahyarham Tun Razak nampak seperti apa yang TM tulis, pasti beliau akan memasukkan sekali sektor penternakan dan buah-buahan untuk diusahakan oleh para peneroka sekaligus memberi pulangan yang lebih banyak. Jadi takkan adalah projek lembu dalam kondo milik anak beranak Shahrizat. Harap PM Najib akan buat sesuatu untuk mentransformasikan FELDA.

    Saya rasa saya tahu di mana lokasi lembah ini. Berdasarkan kiraan yang saya buat, nilai kordinat yang didapati memang betul-betul di sebuah lembah pertanian dan mempunyai sebuah empangan untuk menakung air bagi tujuan pengairan tanaman. Saya akan tunjukkan analisis topografinya di blog saya nanti dengan menggunakan Google Earth.

    P/S : Thanks to Google 🙂

    Mat Guyver

    May 18, 2012 at 1:29 pm

  2. Salam,

    Dalam filem ‘The Prince Of Egypt’ ketika Musa bertemu dengan Tuhan telah berlaku dialog seperti di bawah :-

    Musa : Siapakah engkau?

    Tuhan : Aku ialah Aku.

    Musa : Aku tidak faham.

    Tuhan : Akulah Pemelihara kepada datuk moyangmu, Ibrahim, Ishak dan Ya’kub.

    Tiada disebut pun nama Ismail atau Ishmael. Dialog di atas membuktikan Ismail bukan anak biologi Ibrahim. Boleh klik pautan di bawah untuk menonton video ini :-

    -Mat Guyver-

    Mat Guyver

    May 18, 2012 at 1:48 pm

  3. Salam MG,

    Saya memang tahu tuan boleh mendapatkan koordinat yang diperlukan. Cuma saya rasa tak sesuai untuk buat permintaan tersebut dalam artikel utama… : )

    tolokminda

    May 18, 2012 at 2:20 pm

  4. Salam para pembaca budiman,

    Mungkin ada yang “tidak nampak” di mana relevannya Ibrahim membina empangan dengan pembangunan aktiviti pertanian dan penternakan di lembah yang dipilihnya untuk tinggal. Sebenarnya kaitannya sangat jelas walaupun hanya dengan melihat kepada 2 petunjuk. Syaratnya kedua-duanya mesti dibaca dengan akal yang berfikir..

    Petunjuk pertama menyebut Ibrahim telah memilih sebuah lembah tandus tanpa sebarang tumbuhan untuk dia dan keturunannya tinggal.

    14:37 Pemelihara kami, sesungguhnya aku telah memutuskan dari keturunanku dengan lembah tanpa sebarang tanaman berdekatan sistemMu yang direstui. Pemelihara kami, supaya mereka mendirikan komitmen mereka. Maka jadikanlah hati-hati daripada manusia cenderung kepada mereka dan rezekikan mereka daripada buah-buahan supaya mereka berterima kasih.

    Perhatikan walaupun ia sebuah lembah tanpa sebarang tumbuhan (tandus) tapi ia berdekatan dengan satu sistem yang Tuhan restui. Dan Ibrahim percaya jika mereka komited, lembah tandus itu boleh bertukar menjadi sebuah lembah yang makmur dengan hasil pertanian. Dan Ibrahim berharap ia akan menjadi tarikan untuk lebih ramai orang datang dan tinggal di situ.

    Baiklah. Cuba kita fikir, kenapa lembah boleh jadi tandus sehingga tumbuhan tidak boleh hidup?

    Sebab paling common adalah, ia kering – tidak ada air. Tapi Ibrahim menyebut, lembah tandus yang dipilihnya itu berdekatan dengan sebuah sistem (al-bayt) yang Tuhan restui atau dengan kata lain – sebuah ekosistem yang sesuai. Jadi apakah sistem yang sesuai untuk menyuburkan sebuah lembah tandus? Tentulah sistem air.

    Jadi apa yang Ibrahim bersama Ismail lakukan untuk membolehkan sistem air itu dimanipulasi supaya ia boleh membekalkan air secara sustainable bagi mentransformasi lembah tandus mereka menjadi sebuah lembah pertanian dan penternakan yang produktif? Kita boleh nampak dari petunjuk kedua.

    2:127 Dan apabila Ibrahim meninggikan asas dari sistem bersama Ismail: Pemelihara kami, terimalah dari kami. Sesungguhnya Engkau Mendengar, Melihat.

    Jadi Ibrahim dan Ismail meninggikan asas sistem. Dengan kata lain, mereka meningkatkan paras air dalam sistem air yang berhampiran dengan lembah tandus mereka – dalam dunia hari ini ia dinamakan membina empangan. Maknanya selepas mereka membina empangan di sistem air berdekatan lembah mereka, maka mereka dapat menguruskan pengaliran air ke lembah mereka secara sustainable bagi membolehkan kegiatan pertanian dan penternakan dimajukan walaupun sebelumnya ia adalah sebuah lembah yang tandus.

    Jika kita lihat kawasan-kawasan pertanian utama dunia hari ini pun dibangunkan dan dimajukan melalui pembinaan sistem pengairan yang sistematik. Dan sebahagiannya memerlukan empangan-empangan dibina. Maknanya pembinaan empangan untuk membantu keberkesanan aktiviti pertanian adalah satu kaedah yang tidak boleh diperkecilkan. Malah di lokasi-lokasi tertentu, ia merupakan keperluan. Dan siapa sangka bahawa orang pertama yang melakukannya adalah Nabi Ibrahim.

    Terima kasih Tuhan, Pemelihara kita semua, kerana telah menurunkan sebuah Kitab yang penuh dengan petunjuk yang jelas.

    tolokminda

    May 22, 2012 at 4:09 pm

  5. Salam para pembaca budiman,

    Cerita tentang Ibrahim dan Ismail yang sering kita dengar mengaitkan mereka dengan Mekah dan kotak batunya. Dan dari kisah Ibrahim, Ismail, Mekah dan kotak batunya itu lahir pelbagai ritual yang kononnya diwajibkan dan disunatkan kepada “manusia yang beriman”. Bagaimanapun bagi diri saya sendiri semua kepercayaan dan ritual yang dirujuk kepada Mekah dan kotak batunya sudah saya tinggalkan sejak saya nampak kepalsuan yang begitu jelas apabila semua itu disuluh dengan petunjuk-petunjuk Al-Quran.

    Jika sebelum ini saya hanya yakin Ibrahim dan Ismail tidak pernah sampai ke Mekah dan membina kotak batu untuk dijadikan rumah Tuhan, sekarang saya sudah tahu di mana Ibrahim dan Ismail sebenarnya tinggal dan apa yang sebenarnya mereka telah bina. Jika semua ini masih belum cukup lagi untuk menjadi bukti, mungkin para pembaca budiman boleh cuba melihat dari sudut sejarah keturunan Ibrahim pula. Kita tahu selepas Ibrahim berjaya mencapai impian beliau – pada umur tuanya beliau telah dikurniakan dua orang anak sendiri iaitu Ishak dan Yaakob.

    11:71 Dan isterinya yang sedang berdiri dan dia ketawa. Maka Kami memberinya berita gembira dengan Ishak, dan selepas Ishak, Yaakob.

    11:72 Dia berkata: Alamak, patutkah aku melahirkan sedangkan aku seorang perempuan tua dan ini suamiku, seorang lelaki tua.

    Jika benar sejarah Ibrahim tinggal di Mekah, bagaimana dengan sejarah Ishak dan Yaakob anak-anak Ibrahim? Adakah sejarah mereka juga di Mekah? Persoalan ini penting kerana jika dilihat dari petunjuk-petunjuk Al-Quran, Ishak dan Yaakob menyambung usaha Ibrahim di lembah itu dan keadaan tersebut berterusan sehingga beberapa keturunan lagi. Pendek kata jika benar Ibrahim membina legasinya di Mekah, maka anak-anak dan keturunan mereka seterusnya sudah tentu meneruskannya di Mekah juga selaras dengan kata-kata beliau berikut.

    14:37 Pemelihara kami, sesungguhnya aku telah memutuskan dari keturunanku dengan lembah tanpa sebarang tanaman berdekatan sistemMu yang direstui. Pemelihara kami, supaya mereka mendirikan komitmen mereka. Maka jadikanlah hati-hati daripada manusia cenderung kepada mereka dan rezekikan mereka daripada buah-buahan supaya mereka berterima kasih.

    Kemudian satu lagi aspek penting yang mesti diambilkira adalah gambaran atau petunjuk mengenai lembah tandus yang telah dipilih oleh Ibrahim untuk menjadi lokasi kediaman beliau dan keturunannya itu. Sepertimana yang kita tahu ketika Ibrahim tiba di lembah tersebut – ia tandus tanpa sebarang tumbuhan. Kemudian, selepas Ibrahim dan Ismail membina empangan, lembah itu menjadi sebuah lembah pertanian dan penternakan yang sangat produktif dan antara haiwan yang diternak oleh Ibrahim adalah lembu.

    Dan Al-Quran menyatakan bahawa legasi Ibrahim di lembah itu dikekalkan oleh Tuhan sebagai bukti dan contoh kepada generasi-generasi yang kemudian.

    37:108 Dan kami tinggalkan baginya di kalangan orang-orang yang kemudian.

    Kalau begitu, maka cara yang paling mudah untuk kita pastikan samada Mekah sesuai dengan gambaran atau petunjuk yang Tuhan telah berikan kepada kita berkenaan lembah Ibrahim adalah dengan bertanyakan soalan berikut. Adakah Mekah pernah atau masih menjadi sebuah lembah pertanian dan penternakan yang produktif serta sustainable ekoran dari pembinaan empangan di sebuah sistem saliran semulajadi yang berdekatan di mana dari kegiatan-kegiatan itu Mekah menjadi pengeluar pelbagai jenis buah-buahan dan lembu menjadi antara haiwan ternakan utamanya?

    tolokminda

    May 22, 2012 at 4:19 pm

  6. Salam TM,

    Hehehehe…. 🙂 terlalu awal utk TM padamkan posting terbaru tu. Saya tak boleh komen sebab internet di area tempat sy tinggal slow sgt sejak 4-5 hari ini. Menjawab soalan TM pada posting tersebut, bukanlah saya tak sudi nak berkongsi segala penemuan saya, tapi saya berasa takut kerana ada beberapa ‘benda’ yg saya jumpa sebenarnya. Tapi tak mahulah saya tulis secara detail kerana ianya mungkin boleh mengancam nyawa saya sendiri. Jadi saya mengambil pendirian utk merahsiakannya terlebih dahulu.

    Pada mulanya saya sendiri berasa seronok dan teruja dengan penemuan ‘benda-benda’ ini, tetapi bila difikirkan dua tiga kali, saya sedar ianya bakal membebankan diri saya sendiri. Saya fikir tiada siapa pun yg sanggup memikul tanggungjawab utk me’reveal’kan ‘benda-benda’ ini kepada manusia. Saya pun berharap agar saya penemuan ‘benda-benda’ ini adalah satu hoax semata-mata.

    -Mat Guyver-

    Mat Guyver

    May 24, 2012 at 7:00 pm

  7. Salam MG,

    Sebenarnya “posting terbaru” tu asalnya saya tulis untuk komen tambahan di posting ini. Tapi sebab saya rasa sangat seronok masa tu maka saya siarkan ia sebagai posting baru dengan menambah penghargaan khusus kepada tuan MG. Tapi bila fikir balik, apa-apa yang kita temui dan fahami ni bukanlah sesuatu yang penting kepada orang lain. Kebanyakan mereka tidak peduli pun. Sebab itulah saya tarik balik “posting terbaru” tu dan ambil bahagian yang saya mula-mula tulis sebagai komen dan siarkan semula di tempat asalnya – di atas tu.

    Saya melihat kedudukan kita hari seumpama orang yang percaya bahawa bumi berbentuk bulat sedang pada ketika itu semua orang lain percaya bumi ini adalah satu hamparan leper. Orang yang percaya bumi bulat pada zaman seperti itu pun sama seperti orang lain di sekelilingnya di mana dia tidak pernah terbang keluar ke angkasa lepas dan melihat bumi dari jauh – untuk mendapatkan tahu bentuk bumi yang sebenarnya. Dia membuat kesimpulan hanya dengan meneliti beberapa petunjuk saja. Kepada dia tentulah apa yang ditemuinya sangat meyakinkan dan sangat mengujakan. Tapi bila dia cerita dengan orang lain di sekelilingnya, saya percaya dia cuma jadi bahan ketawa kebanyakan dari mereka.

    Berbalik kepada kita di sini, saya yakin sepenuhnya bahawa apa yang Nabi Ibrahim telah bina adalah sebuah empangan dan bukannya kotak batu di Mekah. Dan saya percaya tuan MG juga yakin bahawa lokasi yang tuan temui melalui pengiraan tuan adalah tepat. Saya juga sangat yakin. Mungkin pada ketika saya menulis artikel di atas saya membayangkan suatu setting yang agak berbeza – di mana saya bayangkan lembah tandus yang dipilih Ibrahin berparas lebih tinggi dari paras sungai yang membelahnya – mungkin tuan boleh bayangkan sungai Colorado di Grand Canyon – jadi Ibrahim telah membina empangan supaya paras sungai itu meningkat dan sistem pengairan dapat diaplikasi secara berkesan.

    Tetapi selepas saya melihat lokasi yang tuan cadangkan, walaupun settingnya berbeza dari apa yang saya bayangkan, tetapi semakin lama saya tengok, saya semakin faham dan semakin yakin mengenainya. Semua petunjuk mengenai lokasi itu sepadan termasuklah bila dikaitkan dengan sejarah keturunan Ibrahim seperti Ishak dan Yaakob seperti yang tuan nyatakan. Dan setelah difikir-fikir lagi, perspektif saya tentang empangan juga berkembang. Ia boleh dilakukan dalam pelbagai setting. Even negara Belanda yang begitu hebat dari segi pertanian mendapat 70% tanahnya melalui pembinaan empangan.

    tolokminda

    May 25, 2012 at 9:55 am

  8. Terima kasih kepada Tuan berdua kerana memberikan informasi yang sangat berguna. Inilah salah satu petunjuk bagi sesiapa yang membaca dengan bacaan sebenar. Juga terima kasih kerana mengaktifkan kembali laman ini.

    Salam.

    RJ

    May 26, 2012 at 10:39 pm

  9. Tidak mungkin kawasan yang tandus tetapi mempunyai sungai tidak terdapat sebarang tumbuhan. Agak tidak logik di situ

    Mohd khairi

    September 18, 2012 at 1:39 pm

  10. Slama Mohd Khairi,

    Pandangan saya mengenai sungai itu hanya berasaskan andaian. Tetapi saya memang pasti Ibrahim dan Ismail membina empangan untuk mengairi lembah tandus pilihannya untuk dijadikan kampung halaman beliau dan keturunannya secara mapan, sistematik dan berkesan. Dan selepas melihat kedudukan tasik yang di empang di Bergama, Turki itu dan lembah pertanian di bawahnya, saya dapat melihat dengan lebih jelas keadaan lembah dan punca air yang dimaksudkan dan seterusnya memahami apa yang telah diusahakan oleh Ibrahim dan Ismail serta beban kerja yang telah mereka lalui untuk menjayakannya.

    tolokminda

    September 18, 2012 at 6:25 pm


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: