Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘penyelidikan dan pembangunan

Safa & marwah bukan nama bukit

with 32 comments

2:151 Sebagaimana Kami mengutuskan di antara kamu seorang utusan dari kalangan kamu sendiri, membacakan kepada kamu ayat-ayat Kami dan memurnikan kamu dan Dia mengajar kamu Kitab dan common sense. Dan Dia mengajar kamu apa yang kamu tidak ketahui.

2:152 Maka, kamu ingatilah Aku – Aku akan mengingati kamu dan berterimakasihlah kepadaKu dan jangan tidak percaya kepadaKu.

2:153 Wahai kamu yang percaya, mintalah pertolongan melalui daya tahan dan kesabaran dan berpeganglah kepada komitmen. Sesungguhnya Tuhan sentiasa bersama sesiapa yang sabar.

2:154 Dan jangan kata mereka yang terbunuh di jalan Tuhan itu mati – tidak, sesungguhnya mereka sentiasa hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.

2:155 Dan Kami sesungguhnya akan menguji kamu dengan sesuatu dari ketakutan dan kelaparan dan kekurangan dari kemakmuran – dan dari yang hidup dan bijirin. Berilah berita baik kepada mereka yang teguh dengan kesabaran.

2:156 Mereka yang apabila dilanda bencana – mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah milik Tuhan dan kepadaNyalah kami akan kembali.

2:157 Mereka adalah orang-orang yang mendapat restu dari Pemelihara mereka dan belas kasihan – dan mereka adalah orang-orang yang menerima petunjuk.

2:158 Sesungguhnya proses penyaringan – diffussion (alssafa) dan bebanan jiwa – anguish (waalmarwata) merupakan suatu ketetapan Tuhan. Oleh itu bagi sesiapa yang menyelidik (hajja) sistem ini atau jika mereka produktif, maka tidak salah bagi mereka membiasakan diri dengan kedua-duanya. Dan sesiapa yang membuat kebaikan secara sukarela maka sesungguhnya Tuhan menghargainya – dengan pengetahuan penuh.

2:159 Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan ayat-ayat Kami yang jelas dan petunjuk – selepas Kami menjelaskannya kepada orang-orang di dalam Kitab, merekalah yang dilaknat Tuhan dan laknat dari mereka yang berhak melaknat.

Saya melihat 2:151-159 merupakan satu dorongan supaya kita bergerak ke depan sebagai manusia yang cenderung melakukan penyelidikan atau hajj. Kepada mereka yang sudah pun berada dalam bidang itu, ia adalah berita baik buat mereka. Bagi yang belum melihat pandangan saya mengenai Hajj dan Umra, para pembaca budiman boleh memeriksanya di sini.

Berikut adalah pandangan saya terhadap ayat-ayat 2:151-159.

2:151 Sebagaimana Kami mengutuskan di antara kamu seorang utusan dari kalangan kamu sendiri, membacakan kepada kamu ayat-ayat Kami dan memurnikan kamu dan Dia mengajar kamu Kitab dan common sense. Dan Dia mengajar kamu apa yang kamu tidak ketahui.

Ayat 2:151 adalah supaya kita memikirkan hakikat bagaimana Tuhan mengutuskan seorang rasul yang telah membacakan KitabNya dan melalui Kitab itu Dia (Tuhan) mengajar kita sehingga kita beroleh common sense dan Dia (Tuhan) mengajar kita apa yang kita tidak ketahui.

2:152 Maka, kamu ingatilah Aku – Aku akan mengingati kamu dan berterimakasihlah kepadaKu dan jangan tidak percaya kepadaKu.

Kemudian dalam 2:152 Tuhan mengingatkan supaya kita berterima kasih kepadaNya dan jangan menjadi orang yang tidak percaya kepadaNya. Berterima kasih dan percaya kepada Tuhan maknanya kita harus memanfaatkan Kitab Tuhan itu dengan melakukan penyelidikan berdasarkan pelbagai petunjuk yang telah Tuhan berikan. Tanpa membuat penyelidikan kita tidak mungkin akan menjadi seorang yang memiliki common sense yang banyak yang pastinya akan memudahkan kita mendapat pengetahuan baru.

2:153 Wahai kamu yang percaya, mintalah pertolongan melalui daya tahan dan kesabaran dan berpeganglah kepada komitmen. Sesungguhnya Tuhan sentiasa bersama sesiapa yang sabar.

Dalam 2:153, Tuhan memberi tip kepada sesiapa yang percaya tentang cara untuk mendapat pertolongan atau kejayaan dalam apa jua usaha penyelidikan yang mereka lakukan. Tuhan menggariskan pertolongan adalah untuk mereka yang berdaya tahan, sabar dan komited. Tidak ada jalan lain untuk berjaya dalam sesuatu penyelidikan selain dari melalui proses berkenaan.

2:154 Dan jangan kata mereka yang terbunuh di jalan Tuhan itu mati – tidak, sesungguhnya mereka sentiasa hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.

Seterusnya 2:154, Tuhan menekankan bahawa mereka yang mati di jalan Tuhan – dalam konteks ayat-ayat ini, jalan Tuhan yang dimaksudkan adalah melakukan penyelidikan – sebenarnya tidak mati bahkan mereka sentiasa hidup. Hakikat ini hanya boleh kita gambarkan apabila kita faham apa yang sebenarnya berlaku apabila kita mati. Bahawa orang yang mati akan merasakan bahawa dia telah dihidupkan semula di akhirat effectively immediately selepas kematiannya boleh di baca dalam artikel saya di sini.

2:155 Dan Kami sesungguhnya akan menguji kamu dengan sesuatu dari ketakutan dan kelaparan dan kekurangan dari kemakmuran – dan dari yang hidup dan bijirin. Berilah berita baik kepada mereka yang teguh dengan kesabaran.

Dalam 2:155 Tuhan menyatakan bahawa Dia akan menguji kita dalam pelbagai aspek misalnya ketakutan kepada kelaparan atau kekurangan sumber makanan dari jenis yang hidup seperti tanaman mahupun ternakan dan juga dari jenis bijirin. Tetapi bagi mereka yang percaya kepada Tuhan dan berpegang kepada kesabaran, pasti ada berita baik kepada mereka – sudah tentu jika mereka melakukan penyelidikan seperti yang digalakkan oleh Tuhan.

2:156 Mereka yang apabila dilanda bencana – mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah milik Tuhan dan kepadaNyalah kami akan kembali.

Golongan penyelidik sebenarnya adalah golongan yang sentiasa menyerahkan diri mereka kepada Tuhan kerana mereka sedar bahawa pengetahuan yang mereka cari dan perolehi sebenarnya adalah milik Tuhan – termasuklah diri mereka sendiri. Bencana apa pun yang datang kepada mereka bukanlah satu masalah kerana mereka faham bagaimana alam ini berfungsi. Mereka tidak akan menyalahkan Tuhan atas sebarang musibah yang berlaku bahkan mereka akan mencari jalan bagaimana untuk mengatasinya.

2:157 Mereka adalah orang-orang yang mendapat restu dari Pemelihara mereka dan belas kasihan – dan mereka adalah orang-orang yang menerima petunjuk.

Orang-orang yang berilmu seperti inilah yang Tuhan restui dan beri belas kasihan. Mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

2:158 Sesungguhnya proses penyaringan (alssafa) dan bebanan jiwa yang kuat (waalmarwata) merupakan suatu ketetapan Tuhan. Oleh itu bagi sesiapa yang menyelidik (hajja) sistem ini atau jika mereka produktif, maka tidak salah bagi mereka membiasakan diri dengan kedua-duanya. Dan sesiapa yang membuat kebaikan secara sukarela maka sesungguhnya Tuhan menghargainya – dengan pengetahuan penuh.

Ayat 2:158 memberi kita satu perspektif yang amat menarik dan amat relevan dalam dunia penyelidikan. Tuhan memberitahu kita bahawa proses penyaringan – dalam usaha mencari apa yang benar atau relevan atau berguna, dsbnya (safa) dan bebanan jiwa yang kuat (marwah) merupakan suatu ketetapan Tuhan yang tidak boleh dielak dalam melaksanakan penyelidikan.

Tanyalah kepada mana-mana penyelidik, adakah mereka ada melalui dua keadaan yang disebutkan itu, saya pasti mereka akan mengesahkannya. Jadi, kepada para penyelidik atau mereka yang berminat untuk memulakan usaha itu, Tuhan kata – biasakanlah diri kepada kedua-duanya – iaitu safa (proses menyaring maklumat yang menjerihkan) dan marwah (bebanan jiwa yang kuat).

Tapi apalah sangat bersusah payah sedikit kerana Tuhan menjamin “sesiapa yang membuat kebaikan secara sukarela maka sesungguhnya Tuhan menghargainya – dengan pengetahuan penuh.” Bagaimana pula yang dimaksudkan dengan membuat kebaikan secara sukarela? Seperti Einstein – tidak ada siapa pun yang menyuruh beliau memikirkan tentang teori relativitinya.

Dan selepas ayat-ayat Tuhan yang jelas itu, maka sesiapa yang mensabitkan perkataan Safa dan Marwah dalam ayat 2:158 dengan dua buah bukit yang menempatkan berhala Arab kuno – Asaf /Na’ilah – dan kisah isteri Nabi Ibrahim sehingga melahirkan ritual berlari-lari yang tidak mendatangkan manfaat kepada sesiapa, maka Tuhan mengingatkan;

2:159 Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan ayat-ayat Kami yang jelas dan petunjuk – selepas Kami menjelaskannya kepada orang-orang di dalam Kitab, merekalah yang dilaknat Tuhan dan laknat dari mereka yang berhak melaknat.


Melihat relevan dan benarnya ayat 2:155 dalam dunia hari ini

2:155 Dan Kami sesungguhnya akan menguji kamu dengan sesuatu dari ketakutan dan kelaparan dan kekurangan dari kemakmuran – dan dari yang hidup dan bijirin. Berilah berita baik kepada mereka yang teguh dengan kesabaran.

Kita dapat melihat dengan mudah betapa relevan dan benarnya ayat 2:155 dalam konteks dunia hari ini. Sebenarnya ketakutan dan kelaparan atau kekurangan sumber – baik dari pelbagai hasil tanaman mahupun ternakan atau sumber makanan ruji seperti bijirin memang sentiasa menghambat ketamadunan manusia.

Kalau tidak kerana penyelidikan-penyelidikan yang dimajukan ke atas begitu banyak tanaman ataupun ternakan yang membolehkan produktiviti dipertingkatkan dan tuaian hasil dipercepatkan, tidak mungkin manusia mampu bertahan dengan apa yang disediakan secara semulajadi oleh Tuhan.

Hari ini kita makan beras yang padinya ditanam 3 kali setahun. Makan ayam yang hanya perlu diternak selama 30 hari. Minum air yang telah diproses dan sebagainya. Bayangkan kalau kita masih bergantung kepada padi tradisional, masih bergantung kepada ayam kampung, masih bergantung kepada air hujan. Bagaimana pula dengan masa depan apabila komuniti manusia bertambah dan berganda lagi?

Lihat sahaja negara-negara mundur yang tidak mengutamakan sebarang penyelidikan mahupun pembangunan – sering mengalami kekurangan dari pelbagai sumber. Kurang makanan, kurang air dan sebagainya. Sudah dibantu masyarakat antarabangsa pun masalah mereka tidak pernah selesai. Mereka tidak peduli berita baik dari Tuhan bahawa mereka boleh menyelesaikan masalah mereka dengan melakukan penyelidikan dan pembangunan. Mereka tidak teguh kepada kesabaran dalam hal ini.

Perang air?

Beberapa hari lepas sebuah blog yang saya ikuti menulis tentang potensi berlakunya perang berebut air di masa depan akibat kekurangan sumber utama kehidupan itu. Ini adalah yang saya maksudkan. Saya berpendapat hanya masyarakat bodoh saja yang akan berperang kerana berebut air. Dan lebih ironi apabila video-video yang mencadangkan kemungkinan berlakunya konflik seperti itu memaparkan orang-orang yang berjubah dan berserban belaka.

Saya berpendapat, air tidak perlu menjadi alasan untuk berperang. Air tidak pernah berkurang di dunia ini. Jumlah air bumi di zaman dinosaur sehingga sekarang sebenarnya tetap sama. Air tidak boleh dilenyapkan. Air boleh berubah bentuk – menjadi ais apabila terlampau sejuk atau menjadi wap apabila terlampau panas – tetapi apabila suhunya sesuai ia akan kembali menjadi air. Air juga tidak habis akibat digunakan. Ia hanya digunakan secara sementara dan akhirnya dikitar semula kerana fungsinya hanyalah sebagai medium dan bukan mengalami peluputan akibat proses penukaran bentuk yang tidak boleh dikembalikan sepertimana berlaku kepada sumber tenaga.

Satu ketika dulu, kita ketawa apabila negara jiran kita di selatan memperkenalkan Newater, iaitu air kitar semula yang diproses dari pelbagai sumber kumbahan domestik/industri. Dengan kata lain, air yang diproses itu diambil dari saluran longkang dan kumbahan najis. Kita kata, kotornya!

Sebenarnya kalau tidak melalui proses penurasan dan penyulingan berteraskan teknologi ciptaan manusia pun, air yang kita perolehi dari alam semulajadi tetap melalui proses yang sama. Cuma secara semulajadi prosesnya lambat sedikit. Air hujan yang turun dari awan itu pun kitaran semula dari air longkang, air kolam kumbahan, air kencing haiwan, air laut dan lain-lain.

Tidak ada siapa boleh menafikan bahawa air yang kita minum hari ini telah diminum juga oleh dinosaur, babi, gajah, anjing, manusia dan sebagainya. Ia juga telah digunakan oleh pokok-pokok dalam proses pertumbuhan mereka. Tanpa sebarang label, tidak ada beza air Newater dengan air bersih yang lain. Angkasawan di stesen angkasa antarabangsa misalnya, mengitar semula air buangan kumbahan mereka – tidak pula mereka mengalami sebarang masalah kerananya.

Jadi mengapa orang-orang berjubah dan berserban itu harus melihat peperangan sebagai jalan penyelesaian kepada masalah air sungai yang tidak cukup? Mengapa tidak lakukan penyelidikan dan pembangunan untuk memproses air bersih melalui kaedah kitar semula? Atau bina saja logi penyulingan air laut sepertimana yang dilakukan oleh Arab Saudi dalam memenuhi keperluan air negara dan perigi zam-zam mereka. Mengapa mahu teruskan cara hidup tradisi yang serba daif sedangkan Tuhan sudah pun memberi berita baik dan petunjuk jalan ke arah kemakmuran?

Written by tolokminda

January 16, 2011 at 2:55 am

Perbezaan di antara dua terjemahan: Ayat-ayat 22:23-31

with 61 comments

Dalam kesempatan kali ini saya hanya mahu mengemukakan 2 set terjemahan untuk kita sama-sama buat perbandingan. Dari kedua-dua terjemahan ini, mari kita sama-sama kongsikan perkara-perkara yang mungkin dapat kita pelajari. Transliterasi juga disediakan. Manalah tahu ia dapat membantu.

Terjemahan pertama disalin dari http://www.iiu.edu.my dan terjemahan kedua pula adalah terjemahan semula oleh saya berasaskan terjemahan Aidid Safar.

Terjemahan iiu.edu.my:

22:23 Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.

22:24 Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.

22:25 Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) – sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.

22:26 Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).

22:27 “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

22:28 “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

22:29 “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu”.

22:30 Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta, –

22:31 (Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).

Terjemahan semula oleh saya berasaskan terjemahan Aidid Safar:

22:23 Sesungguhnya Tuhan akan menjadikan mereka yang percaya dan melakukan amalan-amalan baik memasuki taman-taman yang di bawahnya sungai-sungai mengalir, mereka akan diperhiasi di dalamnya dengan rantai-rantai emas dan mutiara dan pakaian mereka di dalam sana adalah sutera.

22:24 Dan mereka adalah yang mendapat petunjuk kepada perkataan-perkataan yang baik dan mereka mendapat petunjuk ke dalam jalan Tuhan Yang Terpuji.

22:25 Sesungguhnya mereka yang tidak percaya dan mereka menghalang orang lain dari batasan ketetapan-ketetapan yang telah direstui yang telah didedikasikan kepada seluruh manusia supaya dipatuhi bersama-sama – yang sememangnya jelas. Dan sesiapa yang menokok-tambah di dalamnya kejahatan Kami akan pastikan mereka merasai balasannya.

22:26 Dan apabila kami memutuskan kepada Ibrahim tempatnya di dalam sistem, “Kamu tidak boleh menyekutukan Aku dengan apa pun, pastikan sistemKu sentiasa dibersihkan untuk mereka yang mahu mendekatkan diri dan yang merendah diri dan bersetuju.

22:27 Dan maklumkan kepada manusia tentang penyelidikan yang telah dikurniakan kepada kamu sebagai seorang individu dan ke atas setiap individu yang bertanggungjawab yang telah dikurniakan dari sumber yang sangat luas;

22:28 Supaya mereka menyaksikan manfaat-manfaat untuk mereka dan supaya mereka mengingati nama Tuhan pada setiap hari di atas apa saja rezeki untuk mereka dari haiwan ternakan.

22:29 Oleh itu makanlah darinya dan beri makan orang-orang yang memerlukan dan miskin. Dan kemudian mereka patut membersihkan kotoran dan menunaikan janji-janji mereka supaya mereka mendekatkan diri dengan sistem yang asal.

22:30 Dan sesiapa yang tunduk kepada peringatan Tuhan maka ia lebih baik untuknya di sisi Tuhan. Dan dibenarkan kepada kamu haiwan ternakan kecuali yang telah dibacakan kepada kamu dan hindarilah kekotoran menyembah berhala dan jauhkan diri dari percakapan bohong.

22:31 Berpendirian benarlah terhadap Tuhan dan jangan sekutukan apa pun dengan Dia dan sesiapa yang menyekutukan Tuhan ia adalah seperti dia terjatuh dari tempat yang tinggi dan burung-burung menyambarnya pergi atau angin membawanya ke tempat yang amat jauh.

Transliterasi:

22:23 Inna Allaha yudkhilu allatheena amanoo waAAamiloo alssalihati jannatin tajree min tahtiha al-anharu yuhallawna feeha min asawira min thahabin walu/lu-an walibasuhum feeha hareerun

22:24 Wahudoo ila alttayyibi mina alqawli wahudoo ila sirati alhameedi

22:25 Inna allatheena kafaroo wayasuddoona AAan sabeeli Allahi waalmasjidi alharami allathee jaAAalnahu lilnnasi sawaan alAAakifu feehi waalbadi waman yurid feehi bi-ilhadin bithulmin nuthiqhu min AAathabin aleemin

22:26 Wa-ith bawwa/na li-ibraheema makana albayti an la tushrik bee shay-an watahhir baytiya liltta-ifeena waalqa-imeena waalrrukkaAAi alssujoodi

22:27 Waaththin fee alnnasi bialhajji ya/tooka rijalan waAAala kulli damirin ya/teena min kulli fajjin AAameeqin

22:28 Liyashhadoo manafiAAa lahum wayathkuroo isma Allahi fee ayyamin maAAloomatin AAala ma razaqahum min baheemati al-anAAami fakuloo minha waatAAimoo alba-isa alfaqeera

22:29 Thumma lyaqdoo tafathahum walyoofoo nuthoorahum walyattawwafoo bialbayti alAAateeqi

22:30 Thalika waman yuAAaththim hurumati Allahi fahuwa khayrun lahu AAinda rabbihi waohillat lakumu al-anAAamu illa ma yutla AAalaykum faijtaniboo alrrijsa mina al-awthani waijtaniboo qawla alzzoori

22:31 Hunafaa lillahi ghayra mushrikeena bihi waman yushrik biAllahi fakaannama kharra mina alssama-i fatakhtafuhu alttayru aw tahwee bihi alrreehu fee makanin saheeqin

Written by tolokminda

April 7, 2010 at 1:06 am

Memahami dan mematuhi ketetapan Tuhan (masjidillah) melalui sains adalah dituntut tetapi mematuhi ketetapan (masjid) palsu adalah dilarang sama sekali

with 33 comments

Sebelum ini saya telah menulis tentang perkataan masjid yang pada pendapat saya bukan bermaksud rumah Allah atau bangunan untuk melakukan ibadat. Saya percaya konsep membina bangunan khas untuk melakukan amalan ritual kepada Tuhan sebagaimana yang menjadi kebiasaan dalam struktur agama umat penyekutu Tuhan tidak terdapat di dalam Al-Quran.

Seperti mana yang telah saya kemukakan di dalam artikel ini, perkataan “masjid” sepatutnya bermaksud “ketetapan yang direstui” – iaitu apabila kita merujuk perkataan masjid itu kepada suatu ketetapan Tuhan yang Dia telah beri restu secara khusus atau secara umum melalui Al-Quran. Bagaimanapun jika kita tidak merujuk perkataan masjid untuk dimaksudkan kepada suatu ketetapan Tuhan maka ia bolehlah ditafsirkan sebagai sekadar “ketetapan”.

Dalam usaha mendalami keyakinan saya terhadap perkataan “masjid” sebagai “ketetapan”, saya dapati ayat-ayat 9:107-110 memberi kita satu perspektif yang amat menarik.

9:107  Dan ada di kalangan mereka yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk membuat kejahatan dan keingkaran, dan untuk memecahbelahkan di antara mereka yang percaya dan menjadi bahan untuk mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini. Mereka akan bersumpah bahawa mereka hanya mahu melakukan kebaikan dan Tuhan menyaksikan mereka itu adalah penipu.

Dalam ayat di atas Tuhan memberitahu kita bahawa ada di kalangan manusia yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk menyesatkan atau memecahbelahkan umat serta menjadi penyebab kepada mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini.

Dan oleh kerana ketetapan (masjidan) yang mereka ambil itu Tuhan kata telah turut menjadi alasan kepada mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya, maka ia bolehlah kita sifatkan sebagai satu indikasi bahawa ketetapan (masjidan) yang telah mereka ambil atau gunapakai itu bukanlah ketetapan (masjidan) dari Tuhan. Ia bukan dalam kategori “ketetapan yang direstui”. Ia boleh jadi ketetapan yang mereka olah sendiri atau mungkin juga diambil dari sumber-sumber yang tidak memiliki sebarang authoriti dari Tuhan.

Bagaimanapun “seperti biasa” golongan ini akan sentiasa berkeras mengatakan bahawa amalan-amalan mereka – walaupun sebenarnya langsung tidak disandarkan kepada ketetapan yang direstui Tuhan – adalah demi kebaikan semata-mata. Di dalam blog ini misalnya, ada yang menggunakan ayat seperti “apa salahnya jika ritual itu sesuatu yang baik” atau “saya tidak nampak apa-apa yang buruk dalam ritual itu” – dan seumpamanya. Melalui 9:107 – Tuhan kata orang seperti ini sebenarnya adalah penipu.

Hakikatnya amalan-amalan mereka itu langsung tidak mempunyai faedah kecuali mencanai kejahatan dan perpecahan kepada bangsa manusia.

9:108  Jangan sekali-kali terlibat di dalamnya. Sesungguhnya ketetapan-ketetapan yang diasaskan di atas kepatuhan kepada kebenaran sejak hari pertama adalah lebih bernilai untuk kamu ambil bahagian di dalamnya. Di dalamnya adalah mereka yang ingin membersihkan diri mereka. Dan Tuhan menyukai mereka yang membersihkan diri mereka.

Selaras dengan itu, dalam 9:108 – Tuhan tidak benarkan kita terlibat dalam sebarang ketetapan yang tidak direstuiNya. Dengan kata lain, Tuhan larang kita dari terlibat dengan sebarang amalan yang tidak mendapat authoriti dariNya. Kata Tuhan – jangan sekali-kali! Sebaliknya Tuhan suruh kita ambil bahagian dalam ketetapan-ketetapan yang diasaskan dari kepatuhan kepada kebenaran sejak hari pertama.

Apa maknanya?

Saya berpendapat, maknanya begini:- Ketetapan-ketetapan Tuhan (masjidillah) sebenarnya telah dipatuhi sejak hari pertama alam ini dicipta. Tuhan telah menetapkan bagaimana alam ini akan terbentuk dan segala-gala ciptaanNya patuh kepada hukum-hukum yang telah Dia tetapkan sejak hari pertama lagi.  Letusan Besar (Big Bang), pembentukan kosmos, galaksi, bintang-bintang, planet-planet sehingga kepada tumbuhan, haiwan dan segala sifat mereka merupakan bukti kepada kepatuhan kepada kebenaran Tuhan sejak hari pertama.

Saya berpendapat, ayat 9:108 sebenarnya merupakan satu perintah supaya kita mengambil bahagian dalam bidang sains supaya kita dapat memahami rahsia alam ini dari hari pertama Tuhan menciptakannya.

Kefahaman berdasarkan kepada kaedah sains yang sistematik penting kerana melaluinya kita dapat mengetahui pelbagai ketetapan Tuhan yang benar sifatnya di mana semuanya telah pun dipatuhi oleh setiap yang dicipta sehingga membolehkan alam ini terbentuk seperti mana yang kita kenali sekarang. Dan kefahaman kita kepada ketetapan-ketetapan Tuhan yang benar ini akan membersihkan diri kita dari ketetapan-ketetapan palsu yang langsung tidak memberi sebarang manfaat.

9:109  Adakah seseorang yang mengasaskan bangunannya melalui kepatuhan kepada kebenaran dari Tuhan serta restuNya lebih baik, atau seseorang yang mengasaskan bangunannya di tebing sebuah jurang yang hampir runtuh, yang akan runtuh bersama-samanya ke dalam api Jahanam? Dan Tuhan tidak akan memberi pedoman kepada orang-orang yang membuat salah.

Sememangnya menarik apabila Tuhan turut menggunakan perumpamaan yang berasaskan prinsip sains sebagai pengukuh maksud ayat 9:108 dalam 9:109. Adakah sama seseorang yang membina bangunan berasaskan prinsip-prinsip kejuruteraan dan pengetahuan saintifik – iaitu kepatuhan kepada kebenaran dari Tuhan berbanding dengan seseorang yang membina bangunan tanpa mengambilkira apa jua faktor yang boleh menjadi risiko? – Begitulah Tuhan membuka minda kita.

Tuhan beri contoh orang yang membina bangunan di tebing sebuah jurang yang hampir runtuh sebagai seseorang yang tidak patuh (observe) kepada ketetapan-ketetapanNya. Dan dikiaskan pula sebagai satu peringatan keras di mana andainya bangunan yang dibinanya itu runtuh  maka ia akan runtuh bersama pembinannya sekali terus ke dalam neraka Jahanam.

Saya berpendapat ayat ini secara tidak langsung turut menjadi satu peringatan umum kepada para pembina bangunan supaya menumpukan komitmen mereka untuk membina bangunan yang lebih baik dan selamat dengan mengambilkira semua faktor risiko yang berkaitan.

Misalnya, kalau bina bangunan di kawasan gempa bumi – patuhi juga ketetapan-ketetapan Tuhan berkaitan risiko gempa bumi. Kalau bina bangunan di kawasan pantai – jangan abaikan ketetapan-ketetapan Tuhan tentang elemen-elemen yang boleh mempengaruhi di persekitaran itu. Semua elemen-elemen semulajadi termasuk bencana alam sebenarnya merupakan manifestasi kepatuhan ciptaan kepada kebenaran yang Tuhan telah tetapkan sejak hari pertama penciptaan.

Namun kejahilan dan kesombongan manusia membina bangunan-bangunan mereka tanpa mengambilkira atau memahami elemen-elemen asas ini bukanlah perkara baru. Sudah berapa ramai manusia yang maut akibat kegagalan mereka patuh kepada ketetapan-ketetapan Tuhan dalam hubungan tersebut sejak dulu sehingga ke hari ini. Jadi tidak hairanlah Tuhan menyebut perkara itu sebagai satu contoh bagaimana mematuhi ketetapan Tuhan melalui kefahaman sains adalah lebih baik dari sibuk menuruti ketetapan palsu yang hanya menyesatkan kita dari manfaat dan kebaikan.

Hari ini pun kita dapat melihat siapa yang mampu membina bangunan yang lebih baik dan selamat untuk diri mereka. Sudah tentulah mereka bukan dari kalangan kaum yang mengabaikan ketetapan-ketetapan Allah. Tidak seperti kaum-kaum yang leka bertuhankan pelbagai ketetapan bodoh di mana apabila sesuatu bencana menimpa mereka, mereka hanya mampu mengucapkan – oh sudah takdir!

9:110  Bangunan-bangunan yang mereka bina menyebabkan keraguan di hati-hati mereka sehingga hati-hati mereka terpenggal. Dan Tuhan Mengetahui, Bijaksana.

Seterusnya ayat 9:110 merupakan satu pernyataan yang memerlukan keinsafan yang mendalam dari lubuk hati kita. Tuhan memberitahu kita bagaimana bangunan yang dibina tidak mengikut ketetapan Tuhan boleh menyebabkan keraguan kepada pembinanya sehingga ke mati.  Maknanya mereka sedar mereka tidak melakukan sesuatu dengan betul tetapi mereka tidak berusaha untuk mengubah kepada yang lebih baik iaitu melalui kepatuhan terhadap ketetapan Tuhan.

Maka adakah selepas kefahaman kepada ayat 9:107-110 ini kita tetap mahu mengabaikan ketetapan-ketetapan Tuhan dan kekal menjadi bangsa yang mengutamakan ketetapan-ketetapan palsu yang bukan saja tidak bermanfaat tetapi turut membawa pelbagai kerosakan dalam masyarakat?

9:107  Dan ada di kalangan mereka yang mengambil sesuatu ketetapan (masjidan) untuk membuat kejahatan dan keingkaran, dan untuk memecahbelahkan di antara mereka yang percaya dan menjadi bahan untuk mereka yang memerangi Tuhan dan rasulNya sebelum ini. Mereka akan bersumpah bahawa mereka hanya mahu melakukan kebaikan dan Tuhan menyaksikan mereka itu adalah penipu.

Written by tolokminda

March 29, 2010 at 3:18 am

Budaya saintifik Vs kisah-kisah hikayat

with 66 comments

Kali ini saya mengajak para pembaca budiman meneliti beberapa ayat awal dari Surah 45,  Surah Al-Jatsiyah – maka eloklah kita sama-sama berpesan-pesan tentang kebenaran yang telah sampai kepada kita. Tuhan membuka Surah ini dengan membuat pengisytiharan mengenai status Al-Quran. Sebuah Kitab yang diwahyukan oleh Tuhan yang Terpuji dan Bijaksana.

45:1 Ha Mim

45:2 Wahyu Kitab ini adalah dari Tuhan, Yang Terpuji, Yang Bijaksana.

Kemudian ia diikuti dengan satu pesanan yang cukup ringkas tetapi amat jelas maksudnya – iaitu Tuhan mahu kita menjadi individu atau masyarakat yang menjadikan budaya saintifik sebagai cara hidup. Tuhan kata – jika kita percaya, jika kita yakin dan jika kita faham – semua yang ada di sekeliling kita:  isi alam, fenomena alam, segala makhluk termasuklah diri kita sendiri – sebenarnya mengandungi petunjuk-petunjuk Tuhan.

45:3 Apa yang di langit dan di bumi adalah petunjuk-petunjuk kepada mereka yang percaya.

45:4 Dalam dalam penciptaan kamu, dan apa jua makhluk yang Dia adakan adalah petunjuk-petunjuk untuk mereka yang yakin.

45:5 Dan di pertukaran malam dan siang, dan apa yang Tuhan turunkan dari langit sebagai kurnia untuk menyuburkan tanah selepas kematiannya dan perolakan angin – merupakan petunjuk-petunjuk kepada mereka yang faham.

Pendek kata, Tuhan tidak mahu kita menjadi manusia atau umat yang hidup berteraskan kejahilan. Kita tidak boleh mendirikan kepercayaan di atas andaian atau anggapan semata-mata. Ia mestilah mampu disokong dengan bukti-bukti. Melalui 45:3-5, Tuhan maklumkan kepada kita bahawa semua ciptaanNya mengandungi kebenaran Tuhan yang boleh dibuktikan jika kita menyelidik dan mempelajari petunjuk-petunjuknya.

Saya ambil satu contoh.

Entah sejak bila, secara umumnya bangsa manusia telah melalui satu zaman di mana mereka percaya bahawa bumi ini leper. Boleh dikatakan setiap bangsa mempunyai mitos tersendiri berkenaan kepercayaan bumi leper mereka. Ada yang percaya bumi ini berada di atas sebuah pangkin, ada yang percaya ia diletakkan di atas seekor kura-kura, ada pula yang kata bukan kura-kura tetapi gajah. Ada juga yang kata ia terletak di hujung tanduk. Kepada setiap bangsa – mereka mempercayai sifat bumi mereka berdasarkan kepada cerita-cerita hikayat yang telah diwariskan dari generasi ke generasi.

Bagaimanapun hari ini kita tahu – tidak ada satu pun cerita mereka betul. Bumi tidak leper dan tidak terletak di atas pangkin atau kura-kura atau gajah atau tanduk. Tetapi ia bulat seperti bola dan bergerak di dalam orbit sebuah sistem cakerawala yang elegan. Tetapi kepada tindanan generasi yang telah menjadikan cerita-cerita hikayat bangsa mereka sebagai asas kepercayaan, mereka tidak menyedari kesilapan mereka. Bahawa kebenaran yang mereka sangka hanyalah pada anggapan mereka saja. Mereka hidup  tanpa berusaha mendapatkan bukti sendiri dan akibatnya mereka mati membawa kepercayaan palsu.

Adakah Tuhan tidak memberikan sebarang petunjuk kepada mereka?

Sebenarnya petunjuk-petunjuk tentang bulatnya bumi ini telah sedia ada untuk sesiapa saja menyelidikinya tanpa mengira zaman. Antaranya – bentuk objek-objek cakerawala berhampiran seperti bulan dan matahari yang bulat. Kejadian gerhana. Perubahan musim. Siang dan malam. Perolakan angin. Pemerhatian terhadap kapal di laut – semua ini adalah petunjuk Tuhan yang boleh membawa kepada kesimpulan bahawa bumi ini bulat. Jika sekarang petunjuk-petunjuk yang sama boleh digunakan untuk membuktikan hakikat itu mengapa hujah yang sama tidak boleh digunapakai dalam masyarakat 2000, 3000, 4000 tahun dulu?

Jawapannya kita semua dah tahu. Kerana majoriti manusia sememangnya cenderung mengambil mudah dan take for granted – menerima cerita-cerita hikayat yang kononnya telah disampaikan oleh golongan manusia yang mereka sifatkan lebih pandai tanpa soal. Jika mereka ada inisiatif untuk minta bukti tentang wujudnya pangkin atau kura-kura atau gajah atau tanduk yang dikatakan menyokong bumi, saya fikir tentu mereka dapat mengesan penipuan dan kepalsuan yang telah disampaikan kepada mereka. Tetapi mereka tidak pernah merasa ingin bertanya. Sebaliknya mereka mewariskan kepalsuan itu kepada anak-anak mereka pula.

Bagaimanapun sekarang kita tidak boleh lagi meneruskan budaya jahil itu kerana Tuhan telah membuka jalan kepada kita untuk menerima Al-Quran. Jika kita kata kita percaya kepada Al-Quran – kita tidak ada pilihan selain membuang budaya hidup berlandaskan cerita-cerita hikayat yang pada hakikatnya hanyalah berteraskan kepada andaian dan anggapan semata-mata. Kita mesti memilih cara hidup yang berteraskan budaya saintifik yang sentiasa menjadikan proses pembuktian sebagai kriteria utama dalam menetapkan sesuatu kepercayaan.  Tuhan telah menunjukkan kita jalan ke arah kebenaran jadi tidak ada sebab untuk kita terus menjadi manusia yang bukan saja jahil tetapi turut dilaknat Tuhan.

45:6 Ini adalah wahyu-wahyu Tuhan, Kami membacakannya kepada kamu dengan kebenaran. Jadi dalam hikayat (hadis) yang manakah selepas Tuhan dan wahyu-wahyuNya yang mereka percaya?

45:7 Celakalah kepada setiap pencipta kepalsuan yang penuh dosa.

Sebagai tambahan kepada ayat-ayat 45:1-7, saya fikir ayat berikut juga amat relevan untuk dikepilkan.

6:116  Dan jika kamu ikut majoriti manusia di bumi ini, mereka akan memimpin kamu sesat dari jalan Allah – mereka hanya menuruti andaian dan mereka hanya berdusta.

Baiklah. Mari kita sama-sama perhalusi.

Written by tolokminda

March 9, 2010 at 7:55 pm

Konsep ketuhanan orang Arab

with 117 comments

Melalui Al-Quran, Tuhan memberitahu kita tentang konsep ketuhanan yang dipegang oleh orang-orang Arab sejak turun-temurun. Ia merupakan satu konsep di mana Tuhan itu mempunyai rumah, berkeluarga, beristeri dan memiliki anak-anak perempuan. Tuhan memberi gambaran yang agak jelas mengenai kepercayaan tidak berasas orang-orang Arab dalam hal ini.

37:153 Adakah Dia memilih anak-anak perempuan berbanding lelaki?

37:154 Apa kena dengan kamu, bagaimana kamu membuat pertimbangan?

37:155 Adakah kamu tidak berakal?

Akibat kepercayaan mereka itu, mereka sendiri tidak suka anak-anak perempuan. Mereka malu apabila mendapat anak perempuan. Di dalam masyarakat Arab apabila seseorang mendapat tahu dia mendapat seorang anak perempuan, mukanya akan menjadi hitam kerana marah dan merasa terhina tak terkata.

16:58  Dan apabila dimaklumkan anak perempuan kepada seorang dari mereka, mukanya menjadi hitam dan penuh kemarahan.

Menjelaskan lagi penghinaan ke atas mereka yang mendapat anak perempuan ialah apabila orang ramai akan mengejek-ngejek mereka kononnya mereka sama dengan Tuhan (kerana mendapat anak perempuan).

43:17 Dan apabila seseorang dari mereka mendapat berita yang dia dipersamakan dengan Tuhan Yang Pemurah, mukanya menjadi hitam dan penuh kemarahan.

Bukan setakat itu, mereka juga turut menamakan para malaikat dengan nama-nama perempuan.

43:19 Dan mereka menjadikan para malaikat – yang berkhidmat kepada Tuhan Yang Pemurah – berjantina perempuan. Apa! Adakah mereka telah menyaksikan penciptaan mereka? Dakwaan mereka akan ditulis dan mereka akan ditanya mengenainya.

Bayangkan betapa buruknya konsep ketuhanan orang-orang Arab yang mana Tuhan di kelilingi oleh isteri, anak-anak dan para malaikat yang semuanya perempuan. Dan mereka menyembah semua yang mereka sendiri ada-adakan di samping Tuhan tanpa sebarang sandaran kecuali kerana mengikut membuta-tuli apa yang telah diajar oleh bapa-bapa mereka.

43:20 Dan mereka berkata: Jika Tuhan Yang Pemurah mengkehendaki – tentulah kami tidak menyembah mereka – Mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan mereka hanya berbohong.

43:21 Atau sudahkah kami beri mereka Al-Kitab sebelum ini supaya mereka berpegang teguh kepadanya?

43:22 Tidak! Mereka berkata: Kami dapati bapa-bapa kami dalam satu jalan, dan sesungguhnya kami mendapat petunjuk dari langkah-langkah mereka.

43:23 Sama juga, bila saja Kami menghantar seorang Pemberi amaran kepada mana-mana umat, mereka yang kaya di dalamnya berkata: Sesungguhnya kami dapati bapa-bapa kami dalam satu jalan dan sesungguhnya kami adalah pengikut langkah-langkah (agama) mereka.

Tetapi adakah orang-orang Arab berubah selepas Nabi menyampaikan Al-Quran kepada mereka? Menurut Tuhan – Tidak. Mereka langsung tidak berubah.

43:24 Katakan: Apa! Walaupun jika aku membawa kepada kamu pedoman yang lebih baik dari apa yang kamu perolehi dari bapa-bapa kamu? Mereka berkata: Sesungguhnya kami tidak percaya dengan apa yang telah diutuskan kepada kamu.

Al-Lat, Al-Uzza & Al-Manat

Jika apa yang dikemukakan di atas masih belum mencukupi mari kita lihat melalui satu lagi sudut di mana Tuhan telah menyebut secara khusus tentang Al-Lat, Al-Uzza dan Al-Manat. Selaras dengan nama-mana mereka, ketiga-tiganya adalah Dewi (goddess) yang menjadi tonggak sembahan orang Arab menjelaskan kepada ayat-ayat yang telah saya kemukakan di atas.

53:19  Sudahkah kamu pertimbangkan Lat dan Uzza

53:20  Dan Manat, yang ketiga – yang terakhir?

53:21  Apa! Untuk kamu yang lelaki dan untuk Dia yang perempuan?

53:22  Sesunguhnya ini adalah pembahagian yang tidak adil!

Menurut kefahaman saya dari sumber luar Al-Quran, orang-orang Arab menganggap Al-Lat sebagai ibu kepada Dewi-Dewi Al-Uzza dan Al-Manat, iaitu anak-anakNya. Apapun saya berpendapat kita tidak perlu memikirkan sangat tentang ketepatan fakta berkaitan siapa itu Al-Lat, Al-Uzza atau Al-Manat kerana ia tidak penting selepas Allah memberitahu:

53:23  Mereka tidak lebih dari sekadar nama yang telah kamu namakan, kamu dan bapa-bapa kamu – Allah tidak pernah menghantar kepada mereka sebarang pengesahan. Mereka hanya mengikut andaian dan nafsu dangkal yang menjadi kecenderungan jiwa mereka sendiri dan sesungguhnya sekarang telah datang pedoman kepada mereka dari Tuhan mereka.

Tetapi itulah malangnya, orang-orang Arab telah menetapkan pendirian mereka:

43:24 Katakan: Apa! Walaupun jika aku membawa kepada kamu pedoman yang lebih baik dari apa yang kamu perolehi dari bapa-bapa kamu? Mereka berkata: Sesungguhnya kami tidak percaya dengan apa yang telah diutuskan kepada kamu.

Jadi – selepas mengetahui pendirian orang-orang Arab terhadap wahyu yang telah disampaikan kepada mereka oleh Nabi, apakah wajar kita patuh kepada konsep ketuhanan berteraskan binaan-binaan dan lokasi-lokasi “suci” yang mereka bawa kepada kita tanpa membuat penyelidikan terlebih dulu? Adakah kita juga mahu menunggu sehingga Tuhan bertanya kita: Adakah kamu tidak berakal?

Adakah orang Arab terlalu obsesif kepada organ seks wanita sehinggakan mereka merekabentuk pelindung hajar aswad sebegitu rupa? Atau adakah ia simbol gender dewi-dewi yang mendiami binaan berkenaan?

Memang benar hari ini kita tidak mendengar orang-orang Arab menyebut Al-Lat, Al-Uzza atau Al-Manat dalam ritual mereka. Tetapi secara logiknya, jika mereka terus melakukan itu adakah sesiapa yang mahu menuruti mereka? Mereka bukan bodoh sehingga tidak boleh mencongak betapa besarnya keuntungan menjadi penaung kepada sebuah agama besar yang penganutnya hanya tahu mendengar dan menerima apa saja yang mereka sampaikan?

Mengapakah bangunan empat segi memerlukan 3 batang tiang? Adakah sebagai simbol kepada jumlah dewi-dewi tonggak yang mendiaminya?

Tetapi susah sangatkah untuk kita semua melihat Kaabah di Mekah itu – walaupun hanya sebuah kekotak batu empat segi dan berselimut hitam – telah dipersimbolkan kepada gender perempuan melalui bentuk pelindung hajar aswad yang ada di satu sudutnya.

Selain itu di dalamnya terdapat tiga tiang, yang saya fikir agak tidak sepadan dengan binaan yang berbentuk segi empat. Adakah ia sebenarnya melambangkan tiga dewi yang menjadi tonggak sembahan orang-orang Arab?

Sedang Tuhan sudah memberi pelbagai amaran dan peringatan supaya kita tidak memyekutukan Dia dengan apa-apa pun tetapi mengapakah kita masih mahu menuruti apa yang dibawa oleh orang-orang Arab kepada kita tanpa sedikit pun merasa perlu untuk membuat penyelidikan sendiri?

Sekarang saya turut musykil kenapa wanita Arab mesti memakai jubah hitam saja… ermmm. Mari kita bincangkan.

Written by tolokminda

February 15, 2010 at 12:56 pm

Mengapa Nabi Ibrahim seorang yang perlu kita contohi?

with 33 comments

Di dalam Al-Quran Tuhan menyuruh kita supaya menjadikan Nabi Ibrahim sebagai contoh. Mengapakah Tuhan memberi status yang begitu istimewa kepada Ibrahim? Apakah kelebihan yang telah Ibrahim capai berbanding nabi-nabi lain?

Saya berpendapat Tuhan menjadikan Ibrahim sebagai contoh kepada seluruh manusia kerana kejayaannya menyempurnakan ujian yang disebut dalam 2:124.

2:124 Dan bila Tuhannya menguji Ibrahim dengan perkataan-perkataan tertentu dia menyempurnakannya…

Saya yakin melalui ayat di atas Tuhan sebenarnya memberitahu kita bahawa Nabi Ibrahim adalah manusia pertama yang berjaya mentafsir dan memahami perkataan-perkataan yang Allah uji atau wahyukan kepadanya. Hasil dari kejayaannya memahami perkataan-perkataan Allah, Nabi Ibrahim percaya kepada Tuhan Yang Satu dan menolak dari termasuk ke dalam golongan yang menyekutukan Tuhan.

Jika kita lihat dengan mendalam, sungguhnya pencapaian Ibrahim ini adalah satu milestone dalam sejarah bangsa manusia di mana Tuhan membuktikan bahawa kita – manusia – mempunyai keupayaan untuk memahami apa yang disampaikan oleh Allah melalui perkataan-perkataan. Sebab itulah selepas Ibrahim, barulah Tuhan mula menurunkan Kitab-Kitab untuk memberi pedoman kepada manusia.

Dan sebab itulah apabila pengikut-pengikut Al-Kitab selepas Ibrahim bertelagah sesama mereka mengenai beliau, Tuhan mengingatkan mereka siapakah Ibrahim sebenarnya.

3:65  Wahai pengikut-pengikut Al-Kitab! Mengapa kamu bertelagah mengenai Ibrahim, sedangkan Taurat dan Injil tidak diwahyukan sehingga selepas dia; kenapa kamu tidak boleh faham?

Di atas kejayaan Ibrahim membuktikan keupayaannya mentafsir dan memahami perkataan-perkataan Tuhan, Tuhan membuat pengisytiharan berikut:

2:124 “…Dia berkata: Sesungguhnya Aku akan menjadikan kamu contoh kepada seluruh manusia…”

Tetapi apakah kaedah yang telah digunapakai oleh Ibrahim dalam usahanya memahami perkataan-perkataan Tuhan sehingga Tuhan menetapkan ia sebagai contoh untuk seluruh manusia selepasnya?  Tuhan tidak menceritakan dengan panjang lebar mengenainya tetapi tidak syak lagi Ibrahim telah menjayakannya melalui kaedah penyelidikan. Ia dijelaskan melalui ayat 3:97 apabila Tuhan menyatakan dan menetapkan:

3:97 Di dalamnya adalah bukti-bukti yang nyata, legasi Ibrahim dan sesiapa memasukinya akan selamat dan penyelidikan terhadap sistem adalah tanggungjawab manusia demi Tuhan ke atas setiap orang yang mampu menemui kaedahnya. Dan kepada sesiapa yang tidak percaya, maka sesungguhnya Tuhan wujud dengan Sendiri, mengatasi semua keperluan alam.

Saya melihat kisah tentang Nabi Ibrahim yang diuji dengan perkataan-perkataan tertentu oleh Tuhan dan berjaya mengatasinya melalui penyelidikannya sendiri adalah kisah yang amat penting dan amat relevan kepada kita semua.

Sesungguhnya hari ini kita sedang menghadapi ujian yang sama, iaitu untuk memahami Al-Quran. Jika dilihat dalam konteks Ibrahim, Al-Quran yang ada di depan kita hari ini juga adalah “perkataan-perkataan Tuhan”. Dan kita mesti berusaha memahaminya seperti mana Ibrahim telah menunjukkan caranya. Iaitu kita kena buat penyelidikan sendiri.

Kita tidak boleh percaya membuta tuli apa yang di bawa oleh ibu bapa, datuk nenek dan moyang tempoyang kita. Kita mesti jadikan Ibrahim sebagai contoh. Kita mesti mengelak dari amalan menyekutukan Tuhan. Kita mesti selidiki sendiri perkataan-perkataan Tuhan yang terkandung di dalam Al-Quran sehingga kita mempunyai keyakinan dan pendirian yang jelas mengenainya.

3:95 Katakan: Allah telah berkata yang benar, oleh itu ikutilah cara hidup Ibrahim – yang berpendirian – dia bukanlah di antara penyekutu Tuhan.

3:96 Sesungguhnya sistem pertama yang ditetapkan kepada manusia di Bakka, diberkati dan petunjuk seluruh alam.

Written by tolokminda

February 9, 2010 at 4:19 pm

Posted in Quran

Tagged with ,

Haji dan Umra adalah Penyelidikan dan Pembangunan

with 158 comments

Apakah yang bayangan maksud yang boleh kita tangkap dari perkataan Haji atau Hajah? Saya berpendapat ia adalah hujah. Perkataan haji berkait rapat dengan aktiviti berhujah atau membentangkan sesuatu penemuan atau idea atau cadangan atau apa saja berdasarkan fakta-fakta yang telah diselidik dengan tekun.

Dan selepas mengambilkira maksud konteks yang lebih luas, saya merasakan tafsiran yang paling sesuai dengan perkataan haji adalah penyelidikan. Haji adalah tentang membuat penyelidikan dan hasil penyelidikan perlu dibentangkan kepada umum melalui suatu wadah intelektual (intellectual discourse) untuk dinilai secara terbuka benar salahnya.

Umra pula lahir dari akar huruf yang sama dengan perkataan umur, makmur atau memakmurkan. Oleh itu saya merasakan dalam konteks yang lebih luas dan tepat, perkataan umra adalah tentang membangunkan sesuatu berdasarkan kepada hasil penyelidikan yang telah dibuktikan kebenarannya.

Oleh itu jika kita gabungkan kedua-dua perkataan haji dan umrah, kita adalah dapat satu ungkapan yang biasa kita dengar iaitu penyelidikan dan pembangunan. Dalam bahasa Inggeris –  “research and development” atau singkatannya R & D.

Haji dan umrah tidak ada kena mengena dengan ritual di sekitar Kaabah di Mekah. Sebagaimana yang kita telah selidiki dan bincangkan melalui artikel sebelum ini, maksud sebenar ka’aba adalah buku lali. Jadi kalau ka’aba yang menjadi struktur kunci dalam amalan ritual “haji” dan “umrah” bukanlah ka’aba yang dimaksudkan oleh Tuhan maka ritual “haji” dan “umrah” di Mekah yang kita tahu hari ini secara automatik menjadi tidak lagi valid.

Oleh itu usaha mencari maksud sebenar perkataan haji dan umra merupakan satu tanggungjawab yang tidak boleh kita abaikan. Bagi pihak diri saya, itulah yang saya lakukan dan hasilnya, saya membuat kesimpulan seperti di atas. Haji dan umrah adalah mengenai penyelidikan dan pembangunan.

Satu fakta yang mengujakan, kefahaman baru saya mengenai haji dan umrah (penyelidikan dan pembangunan) telah mempertemukan saya dengan jumlah hari yang Tuhan tetapkan untuk kita berpuasa. Dalam artikel mengenai puasa sebelum ini, saya telah membentangkan puasa bukan mengenai ritual tidak makan dan tidak minum, tetapi ia adalah mengenai menahan diri dari berinteraksi dengan orang lain dalam usaha kita fokus atau khusyuk untuk memahami Al-Quran.

2:183 2:183 Wahai yang percaya telah ditulis ke atas kamu pengecualian diri sebagaimana telah ditulis ke atas orang-orang dari sebelum kamu supaya kamu diberi perhatian.

2:184 Beberapa hari yang ditentukan. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan, tentukan hari lain. Dan ke atas yang berkemampuan tebuslah dengan memberi makan orang-orang miskin dan sesiapa yang membuat kebaikan secara sukarela maka ia lebih baik untuknya. Dan mengecualikan diri lebih baik untuk jika kamu mengetahui.

Ayat di atas tidak menjelaskan berapa jumlah hari di mana kita perlu berpuasa tetapi saya telah menemui jawapannya dalam ayat-ayat yang menyebut tentang haji (membuat penyelidikan). Kita perlu berpuasa, iaitu menahan diri dari berinteraksi dengan orang lain selama 3 hari apabila membuat penyelidikan mengenai ayat-ayat Al-Quran.

Bagaimanapun jika kefahaman kita masih belum mencapai tahap yang memuaskan selepas bertekun membuat penyelidikan dan berpuasa selama tempoh itu, kita perlu memulakan semula penyelidikan dan berpuasa untuk tempoh 7 hari lagi. Dan jika keadaan itu berlaku, tempoh keseluruhan puasa kita akan menjadi 10 hari.

Persoalannya, kenapa kita boleh terlepas pandang perkara yang semudah dan sejelas ini? Kerana tafsiran ulama yang terpesong jauh sehingga menyebabkan amalan haji (membuat penyelidikan) dianggap sebagai satu rantaian amalan ritual mengarut yang perlu dilakukan di sekitar Kaabah di Mekah.

2:196 Dan laksanakanlah penyelidikan dan pembangunan untuk Tuhan maka jika kamu terhalang maka ambil apa saja yang mudah diperolehi dari mana-mana petunjuk dan jangan terlepas pandang asas kamu sehingga petunjuk itu diterimapakai. Maka sesiapa di antara kamu yang tidak berkeupayaan atau kesakitan di kepalanya, maka tebus diri kamu dengan mengecualikan diri atau menyumbang atau merancang. Maka apabila kamu telah pulih maka sesiapa yang mengambil peluang dengan membangunkan penyelidikan maka ambil apa saja yang mudah diperolehi dari mana-mana petunjuk tetapi sesiapa yang tidak menemuinya maka kecualikan diri selama tiga hari ketika dalam penyelidikan dan tujuh apabila kamu kembali. Ia sepuluh hari semuanya. Itu untuk sesiapa yang tiada pihak membentangkan yang telah dipersetujui yang direstui. Dan berilah perhatian kepada Tuhan dan ketahuilah bahawa Tuhan sangat keras sebagai Penghukum.

Sekarang kita tahu, selain bilangan hari berpuasa yang telah ditetapkan, kita juga faham berpuasa itu perlu dilakukan oleh seseorang yang belum kukuh asas kefahamannya terhadap Al-Quran, khususnya dari kalangan mereka yang masyarakatnya belum mengakui ketetapan-ketetapan yang telah Tuhan restui atau dengan kata lain, mereka belum menerima Islam sebagai cara hidup. Proses membuat penyelidikan peringkat awal oleh golongan yang baru mengenal Al-Quran sebenarnya boleh kita katakan sebagai mengerjakan haji.

Selain aktiviti penyelidikan awal, kandungan Al-Quran sebagaimana yang kita tahu memiliki potensi ilmu yang tidak terbatas. Usaha penyelidikan berasaskan ketetapan-ketetapan Tuhan yang terkandung di dalam Al-Quran sentiasa boleh dibuat dari masa ke semasa. Dan Tuhan mahu proses penyelidikan itu dibuka kepada sesiapa saja yang berminat untuk menyertainya.

Saya berpendapat Tuhan sebenarnya suruh kita wujudkan organisasi khusus untuk mentadbir dan menguruskan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam masyarakat kita. Ia boleh jadi organisasi yang diuruskan oleh pemerintah atau pun organisasi bebas yang mempunyai kaliber. Dalam konteks komuniti saintifik moden hari ini, contoh model organisasi yang boleh kita tiru adalah seperti The Royal Society of London atau The National Geographic Society.

Sesiapa saja yang berminat dan berkemampuan boleh mengemukakan hasil penyelidikan mereka untuk dinilai dan dibuktikan kebenarannya secara terbuka. Ia bukan tentang kemampuan kewangan untuk pergi buat ritual “haji” di Mekah. Ia adalah tentang kapasiti intelek untuk bersaing dan bertemu dalam sebuah intellectual discourse yang bersifat terbuka, professional dan tidak bias supaya ilmu Tuhan dapat dibuktikan kebenarannya dan kemudian dapat dibangunkan menjadi ciptaan atau praktis yang berguna untuk kegunaan manusia mahupun alam mereka secara keseluruhannya.

Dan sebab itulah Tuhan ingatkan, dalam membentangkan atau membincangkan penyelidikan kita tidak boleh berkomplot, tidak boleh bertengkar, atau berniat serong. Penilaian dan keputusan mesti berpaksikan kepada kebenaran semata-mata. Sebab itulah juga Tuhan ingatkan supaya kita buat persediaan yang secukupnya.

2:197  Perlaksanaan penyelidikan merupakan manifestasi yang telah diberitahu. Maka sesiapa yang melaksanakan penyelidikan maka jangan berhubungan intim dan jangan menyeleweng dan jangan bergaduh dalam proses penyelidikan dan apa saja yang kamu lakukan dari kebaikan diketahui Tuhan dan buat persediaan sesungguhnya sebaik-baik persediaan adalah pemerhatian. Dan berilah perhatian kepadaKu wahai kamu yang mempunyai kefahaman.

Akhir kata, saya melihat aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang Tuhan mahu kita suburkan dalam masyarakat sebenarnya mempunyai skop yang sangat luas. Sebab itulah apabila umat Islam awal dahulu mula menerima Al-Quran, budaya penyelidikan dan pembangunan melonjak dengan pesat sekali. Mereka mempelopori pelbagai bidang sains, matematik dan lain-lain aspek kemanusiaan. Tamadun Islam subur dan umat islam hidup makmur, berilmu dan selesa.

Bagaimanapun budaya itu lenyap selepas umat Islam menyerap ajaran-ajaran palsu yang mengubah Islam dari satu cara hidup dinamik dan bersifat universal kepada satu cara hidup penuh kepalsuan bertunjangkan amalan-amalan ritual Arab jahiliah, yang pada hakikatnya itulah amalan-amalan yang cuba dibenteras oleh Nabi semasa menyampaikan Al-Quran kepada mereka dulu. Dan akibatnya mesej Tuhan yang jelas seperti 3:97 pun kita tidak berupaya melihat dan memahaminya.

3:97 Di dalamnya tanda-tanda yang jelas, legasi-legasi Ibrahim dan sesiapa memasukinya semua selamat dan untuk Tuhan, ke atas manusia selidikilah sistem. Sesiapa yang mampu untuknya jalan. Dan sesiapa yang menafikan, maka sesungguhnya Tuhan Kaya dari mereka yang berpengetahuan.

Written by tolokminda

January 24, 2010 at 8:05 pm