Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘Pembeza

Kebergantungan mutlak kepada ulama mungkin menyesatkan kita terus ke neraka

with 156 comments

Dalam artikel sebelum ini saya menulis tentang Al-Quran sebagai dokumen perjanjian di antara kita, orang yang percaya, dengan Tuhan dan Tuhan dengan kita. Oleh itu, saya berpendapat setiap Muslim yang mengaku percaya, perlulah membaca dan memahami Al-Quran kerana bagaimana mungkin kita boleh menunaikan semua komitmen yang terkandung dalam dokumen perjanjian kita itu jika kita tidak berinisiatif langsung untuk mengetahuinya. Perkara paling asas apabila kita memasuki sesebuah perjanjian sudah tentulah membaca, mengetahui dan memahami isi kandungan perjanjian berkenaan.

Malangnya idea membaca perjanjian seperti tidak laku di kalangan masyarakat Islam. Majoriti orang Islam langsung tidak peduli isi kandungan Al-Quran. Mereka sudah berpuashati jika dapat ‘mengaji Al-Quran sehingga khatam’ dan mampu menghafal beberapa surah ringkas. Itu pun kerana ia diperlukan dalam bacaan sembahyang mereka. Mereka bukan saja tidak merasa perlu untuk memahami Al-Quran walaupun melalui naskah terjemahan, tetapi turut percaya sesiapa yang mencubanya secara sendirian berkemungkinan akan disesatkan Syaitan berbanding mendapat hidayah Tuhan. Akibatnya, dalam masyarakat Islam jarang sekali kita jumpa mereka yang berani menyentuh terjemahan Al-Quran dalam bahasa masing-masing.

Sebenarnya, jika ada yang berani pun usaha mereka belum tentu dapat membawa mereka ke jalan yang lurus. Kepercayaan yang mengatakan mereka akan bertambah sesat mungkin ada betulnya. Ini kerana terjemahan yang disogokkan kepada umat tidaklah bebas dari tangan para ulama yang mengepalai kepercayaan mereka. Para ulama nampaknya telah mengambilkira semua sudut supaya usaha menggembala umat mematuhi Islam versi mereka tidak dapat dihidu. Selepas berjaya menyakinkan orang-orang Islam bahawa Al-Quran dalam bahasa Arab cukup sekadar menjadi kitab untuk dinyanyi-nyanyikan, mereka kemudiannya menggodam terjemahan dan tafsirannya supaya selaras dengan kitab-kitab ciptaan mereka sendiri.

Kalau para pembaca budiman tidak percaya, mari kita lihat satu contoh. Dan saya sangat berharap pembaca budiman boleh bersabar sedikit untuk membaca dengan teliti apa yang saya mahu kongsi dalam artikel ini kerana sesungguhnya ia amat penting. Kita mulakan dengan terjemahan Surah An-Najm, ayat 1-18 dari sumber ini.

[1] Demi bintang semasa ia menjunam, –

[2] Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah).

[3] Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.

[4] Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

[5] wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, –

[6] Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, –

[7] Sedang ia berada di arah yang tinggi (di langit);

[8] Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit,

[9] Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi;

[10] Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukanNya.

[11] Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.

[12] Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?

[13] Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi,

[14] Di sisi “Sidratul-Muntaha”;

[15] Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.

[16] (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.

[17] Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas.

[18] Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.

Mari kita semak satu persatu.

1.  Melalui petikan terjemahan di atas, kita melihat ayat 1 – 18, Surah An-Najm itu dirujuk kepada Nabi Muhamad. Lihat ayat 2, kononnya ayat ini ditujukan kepada para sahabat Nabi dan “rakan kamu” yang dimaksudkan oleh ayat berkenaan adalah Nabi Muhamad sendiri.

2. Melalui ayat 4 – 10, Nabi Muhamad dikatakan menerima wahyu dari Jibril yang turun ke bumi. Dan wahyu yang disampaikan kepada Muhamad kononnya bukan sekadar Al-Quran, bahkan hadis juga (ayat 4).

3. Melalui ayat 11 – 12 kononnya Nabi Muhamad melihat Jibril dalam bentuk asalnya.

4. Melalui ayat 13  Nabi dikatakan bertemu Jibril buat kali kedua dan ayat 14 – 18 hanya Tuhan saja yang tahu apa yang cuba disampaikan oleh penterjemah.

Kepada mereka yang tidak berhati-hati, terjemahan di atas tiada cacat celanya. Malangnya ia tidak semudah itu. Terjemahan di atas sebenarnya telah memesongkan ayat-ayat Allah pada kadar di luar jangkaan. Selepas habis membaca artikel ini saya yakin pembaca budiman tentu tidak menyangka sebuah terjemahan rasmi Al-Quran boleh menjadi seburuk itu.

Ayat-ayat di atas sebenarnya bukan dirujuk kepada Nabi Muhamad. Ia adalah rujukan kepada Nabi Musa. “Rakan kamu” yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat 2 adalah Nabi Musa. Dalam konteks hubungan antara rasul, Allah sifatkan Nabi Musa sebagai rakan atau sahabat kepada Nabi Muhamad. Kita kena ingat, ayat ini diturunkan kepada Nabi Muhamad dan bukan kepada para sahabat sebagaimana yang cuba diajukan oleh penterjemah iiu.edu.my.

Di bawah adalah bagaimana terjemahan Surah An-Najm, ayat 1 – 18 sepatutnya dibaca. Sebagai makluman terjemahan ini adalah terjemahan semula oleh saya dari terjemahan bahasa Inggeris oleh Syakir.

53:1 “Demi bintang apabila ia jatuh”

53:2 “Sahabatmu tidak salah dan tidak juga dia sesat”

53:3 “Tidak juga dia bercakap dengan nafsu”

53:4 “Ia bukan kecuali wahyu yang telah diwahyukan”

53:5 “Tuhan yang Maha Berkuasa yang telah mengajarnya”

53:6 ” Tuhan yang Memberi Kekuatan, supaya dia berjaya melaksanakan”

53:7 “Dan Dia berada tinggi di kaki langit”

53:8 “Kemudian Dia semakin hampir dan merendahkan diriNya”

53:9 “Dia hanya berjarak 2 panahan panah atau lebih dekat”

53:10 “Dan Dia mewahyukan kepada hambaNya apa yang Dia wahyukan”

53:11 “Hatinya seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya”

53:12 “Apa? Kamu pertikaikan apa yang dia lihat?”

53:13 “Dan sesungguhnya dia telah melihatNya di penurunan yang satu lagi”

53:14 “Di sisi Sidratul Muntaha”

53:15 “Yang hampir kepadanya syurga, tempat yang dituju”

53:16 “Sidratul Muntaha yang dilitupi”

53:17 “Matanya tidak berkelip, namun ia tidak salah”

53:18 “Sesungguhnya dia melihat mukjizat-mukjizat terbesar dari Tuhannya”

Dalam sejarah Nabi-Nabi, hanya seorang Nabi saja yang telah menerima mukjizat dan wahyu dari Tuhan secara terus, di mana Tuhan turun ke bumi menemuinya. Dan Nabi itu adalah Nabi Musa. Tuhan telah turun ke bumi dalam dua peristiwa untuk menemui Nabi Musa. Peristiwa pertama adalah apabila Tuhan memperlihatkan dan memberi Nabi Musa mukjizat untuk beliau berdepan dengan Firaun dan peristiwa kedua adalah apabila Tuhan menyampaikan wahyunya kepada Nabi Musa. Dan ayat-ayat surah An-Najm menepati gambaran tentang pengalaman yang telah dilalui oleh Nabi Musa.

Nabi Muhamad tidak pernah menerima mukjizat selain dari Al-Quran dan tidak menerima wahyu secara terus dari Tuhan sebaliknya melalui perantaraan Jibril. Oleh itu mengatakan ayat 1 – 18, Surah An-Najm sebagai merujuk kepada Nabi Muhamad adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan keterlaluan.

Pertemuan pertama Nabi Musa dengan Tuhan diceritakan di dalam Al-Quran dengan jelas melalui Surah Ta-Ha (Surah ke 20).

20:9    “Dan sudahkan cerita tentang Musa sampai kepada kamu?”

20:10   “Apabila dia melihat api dan dia berkata kepada keluarganya, “Berhenti! Sesungguhnya aku melihat api, mungkin aku dapat membawa bara kepada kamu atau mendapatkan panduan di api itu”.

20:11   “Jadi apabila dia datang kepadanya, satu suara kedengaran: “Wahai Musa:

20:12  “Sesungguhnya akuTuhanmu, oleh itu bukalah kasutmu, sesungguhnya kamu berada di lembah suci, Tuwa”.

20:13   “Dan Aku telah memilihmu, jadi dengarlah apa yang akan diwahyukan”.

20:14   “Sesungguhnya Aku Allah, tidak ada Tuhan lain selain Aku, oleh itu berbaktilah kepadaKu dan tunaikan komitmen sebagai ingatan kepadaKu”.

20:15   “Sesungguhnya masanya akan tiba – Aku akan memperlihatkannya – supaya setiap jiwa akan diberi ganjaran atas usahanya”.

20:16   “Oleh itu jangan biarkan sesiapa yang tidak percayakannya dan menurut nafsu dangkalnya memalingkan kamu daripadanya supaya kamu gagal”.

20:17   “Dan apakah yang ada di tangan kanan kamu, wahai Musa?”

20:18   “Dia berkata; Ini tongkatku. Aku bersandar kepadanya dan aku menggunakannya untuk memukul daun-daun supaya jatuh sebagai makanan biri-biriku, aku juga menggunakanya untuk tujuan lain”.

20:19   “Dia berkata: Campakkannya, wahai Musa!”

20:20  “Jadi dia mencampakkannya, dan lo! Ia menjadi ular yang menjalar”.

20:21   “Dia berkata: Peganglah ia dan jangan takut, Kami akan kembalikan ia kepada bentuk asalnya”.

20:22   “Dan tekan tangan kamu ke sisi kamu, ia akan menjadi putih bersih: satu lagi mukjizat”.

20:23   “Semoga Kami akan tunjukkan mukjizat yang lebih hebat kepada kamu”.

20:24   “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas”.

20:25   “Dia (Musa) berkata; Wahai Tuhanku! Lapangkanlah dadaku”.

20:26   “Dan mudahkanlah urusanku”.

20:27   “Dan bebaskan kelu lidahku…”

Kisah mengenai Nabi Musa yang terpukau pada satu malam di mana dia telah bertemu Tuhan yang memperlihatkan kepadanya mukjizat-mukjizat dalam 20:9 – 27 di atas selaras dengan konteks ayat-ayat 53:13 – 18.

Pertemuan seterusnya pula berlaku apabila Tuhan turun ke bumi untuk menyampaikan wahyu kepada Musa.  Kisah mengenai pertemuan ini  diceritakan dalam Surah Al-A’raf ayat142-145.

7:142 “Dan kami menetapkan pertemuan dengan Musa selama 30 malam dan menyudahkannya dengan 10 lagi, jadi tempoh pertemuan dengan Tuhannya selesai dalam 40 malam, dan Musa berkata kepada adiknya Harun: Ambil tempatku di kalangan orang-orangku dan uruskan dengan baik dan jangan ikut cara mereka yang membuat kerosakan”.

7:143 “Dan apabila Musa datang pada masa yang telah ditetapkan dan Tuhannya menegurnya dan beliau berkata:  Tuhanku! Tunjukkanlah, supaya aku dapat melihat Dirimu. Dia (Tuhan) berkata: Kamu tidak akan mampu melihat Aku tetapi lihatlah gunung itu, jika ia kekal di tempatnya, maka kamu akan melihat Aku, tetapi apabila Tuhan menzahirkan kebesarannya kepada gunung itu Dia membuatnya runtuh dan Musa jatuh pengsan; kemudian bila dia kembali pulih, dia berkata: Keagungan untukMu, aku patuh kepadaMu dan akulah di antara mereka yang percaya”.

7:144 “Dia berkata: Wahai Musa! Sesungguhnya aku telah memilih kamu di atas yang lain untuk menyampaikan pesanan-pesanan dan perkataan-perkataanKu, oleh itu peganglah apa yang Aku berikan kepadamu dan jadilah antara mereka yang menghargai”.

7:145 “Dan kami perintahkan untuk dia dalam bentuk senarai peringatan yang pelbagai dan penjelasan dalam semua perkara; jadi peganglah semuanya dengan teguh dan ajaklah orang-orang kamu untuk berpegang kepada apa yang terbaik, aku akan tunjukkan kepadamu tempat tinggal yang kekal untuk mereka yang melampaui batas.”

Kisah yang diceritakan melalui ayat 7:142 – 145 di atas selaras dengan konteks ayat 53:2 -12.

Kesimpulan

Selepas melihat semua rujukan ayat 20:9 – 27 dan 7:142 – 145, maka bukti yang jelas telah kita lihat sendiri bahawa Surah An-Najm, ayat 1 – 18 tidak syak sememangnya merujuk kepada Nabi Musa dan bukan Nabi Muhamad sebagaimana yang cuba dipesongkan oleh penterjemah  iiu.edu.my dan penterjemah “bertauliah” yang lain.

Jika pembaca budiman fikir pemesongan tentang Nabi Musa ini berakhir di sini, bersedialah untuk terkejut. Ia tidak berakhir di sini. Tetapi ia berakhir di tikar sembahyang  orang-orang Islam.

Para ulama memberitahu umat Islam bahawa sembahyang merupakan satu ibadat yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada Nabi Muhamad secara terus, di mana Nabi telah diterbangkan dari Mekah ke Baitul Muqqaddis dan kemudian menemui Tuhan di langit ke tujuh dalam peristiwa ajaib yang diberi nama Israk dan Mikraj. Saya rasa tidak perlu saya bercerita panjang tentang perjalanan “adventure” ala hikayat 1001 Malam Nabi itu kerana saya yakin para pembaca budiman tentu lebih maklum mengenainya.

Untuk cerita mereka itu, para ulama hanya menggunakan dalil ayat 1, Surah Al-Israa.

17:1  “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Sekali lagi terjemahan oleh iiu.edu.my)

Bayangkan hanya melalui satu ayat ini, para ulama mampu mencipta sebuah cerita yang memukau jutaan manusia di serata dunia dan memastikan penganut Islam  sembahyang 5 kali sehari dengan cara yang mereka (ulama) sendiri tetapkan. Kalau ini bukan pencapaian yang menakjubkan, apa lagi? Memang hebat!

Tetapi betulkah ayat 1, Surah Al-Israa itu merujuk kepada Nabi Muhamad? Mari kita lihat, periksa dan teliti baik-baik. Dari terjemahan Syakir, saya terjemahkan semula begini:

17:1 “Pujian adalah untuk Yang Satu yang telah memperjalankan hambaNya pada satu malam daripada persetujuan yang direstui kepada persetujuan yang jauh, yang Kami telah berkati, supaya Kami perlihatkan dia tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia Mendengar dan Melihat”.

17:2 “Dan kami berikan Musa Kitab dan dijadikan ia Petunjuk untuk bani Israel. Kamu tidak patut mengambil selain dari aku sebagai penaung”.

17:3 “Keturunan seseorang yang telah Kami bawa bersama Nuh, sesungguhnya dia adalah hamba yang berterima kasih”.

Baca betul-betul ayat 17:1: Yang Satu (Tuhan) telah memperjalankan hambaNya pada satu malam untuk memperlihatkan mukjizat-mukjizatnya dan meletakkan status hambaNya itu dari seorang biasa ke arah menjadi seorang rasul.

Selepas jelas maksud ayat 17:1 kepada kita mari kita sama-sama jawab persoalan-persoalan ini:

  • Adakah Nabi Muhamad pernah berjalan pada satu malam dan Tuhan memperlihatkan mukjizat-mukjizatnya? Tidak.
  • Adakah Nabi Muhamad pernah menerima apa-apa mukjizat selain Al-Quran? Tidak.
  • Adakah Tuhan pernah turun ke bumi untuk menemui Nabi Muhamad secara terus? Tidak.
  • Adakah Nabi Musa pernah terpukau pada satu malam kerana Tuhan memperlihatkan mukjizat-mukjizatnya? Ya.
  • Adakah kedua-dua (bangunan) masjid Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa (Nabi dikatakan sembahyang 2 rakaat di situ sebelum terbang ke langit) telah wujud ketika peristiwa Israk & Mikraj Nabi Muhamad? Tidak.
  • Adakah kedua-dua (bangunan) masjid Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa telah wujud ketika zaman Nabi Musa? Tidak.
  • Adakah konteks ayat 17:2 – 3 selaras atau harmoni dengan ayat 17:1 jika ia dirujuk kepada Nabi Musa? Ya.

Oleh itu ayat 17:1 terbukti merujuk kepada Nabi Musa dan bukan Nabi Muhamad seperti mana yang dikatakan oleh para ulama. Dengan kesimpulan ini, maka peristiwa Israk & Mikraj sebenarnya tidak pernah berlaku. Dan kalau begitu bagaimana dengan sembahyang lima waktu yang kononnya diperintahkan Tuhan melalui peristiwa itu?

Saya berpendapat kita perlu renungkan ayat di bawah supaya tidak kekal menjadi umat yang sesat.

7:146 “Aku akan palingkan dari wahyu-wahyuku mereka yang sombong tidak bertempat di bumi ini dan jika mereka melihat setiap petunjuk mereka tidak akan mempercayainya dan jika melihat jalan yang baik mereka tidak mengambilnya sebagai jalan mereka tetapi jika melihat jalan yang salah, mereka mengambilnya sebagai jalan mereka, ini kerana mereka menolak wahyu-wahyu kami dan langsung tidak peduli akannya”.

Written by tolokminda

January 11, 2010 at 5:47 pm

Al-Quran lengkap – tidak memerlukan kitab lain sebagai penjelas

with 37 comments

Sewaktu memandu untuk menunaikan komitmen-komitmen saya pagi ini, fikiran saya masih berlegar kepada artikel mengenai puasa yang telah saya tulis malam tadi. Sebenarnya setiap artikel yang saya tulis sentiasa mengujakan saya, kerana setiap kali menulisnya saya akan membuat terjemahan semula ayat-ayat Al-Quran yang berkenaan dan hasilnya saya akan dapat memahami dengan lebih jelas apa yang sebelumnya saya kurang jelas atau kadangkala tidak faham langsung.

Jadi seperti yang saya katakan di dalam kata aluan saya untuk blog ini, usaha saya di sini sememangnya tidak lebih dari belajar untuk diri saya sendiri tetapi dalam masa yang sama berkesempatan berkongsi apa yang saya pelajari itu dengan para pengunjung budiman seperti anda. Apabila saya menulis sesuatu ia bukanlah bermakna saya sudah tahu apa yang saya ketengahkan itu sejak sekian lama. Bahkan ia mungkin baru saja saya sedari.

Saya juga terdidik dalam formasi agama Islam seperti mana majoriti orang Islam di Malaysia. Kepercayaan awal saya kepada Islam turut diwarnai dengan pelbagai kepercayaan ritual. Bezanya saya mungkin agak kritikal dalam banyak perkara dan sentiasa cuba memuaskan kehendak minda saya selaras dengan nilai, logik dan kebenaran saya sendiri. Begitupun ia tetap mengambil masa bertahun-tahun untuk saya sampai ke tahap sekarang di mana Islam tidak lagi saya anggap sebagai agama, tetapi saya terima ia sebagai satu cara hidup.

Berbalik kepada artikel mengenai puasa yang saya tulis malam tadi, saya teringat-ingat awal ayat 2:185 yang berbunyi; “Bahang manifestasi (shahru ramadan) yang mana ia datang bersama Al-Quran, Petunjuk kepada manusia, bukti-bukti mengenainya, dan Pembeza.”

Melalui ayat ini Tuhan memberitahu kita bahawa Al-Quran itu mempunyai tiga peranan iaitu;

  • Petunjuk kepada manusia
  • Bukti-bukti atau dengan perkataan lain, penjelasan kepada setiap petunjuk yang dikemukakan, dan
  • Sebagai Pembeza (The Criterion) untuk membantu kita membuat penilaian samada sesuatu yang dibawa kepada kita mengenai agama dan lain-lain perkara itu sesuatu yang sahih atau palsu.

Bagaimanakah kita dapat mempraktikkan ketiga-tiga peranan Al-Quran dalam usaha kita memahami Islam melaluinya? Mudah saja dan hakikat ini mengujakan saya. Kita lihat satu contoh berdasarkan artikel yang saya tulis malam tadi.

Apakah petunjuk yang Tuhan berikan kepada kita? Ia adalah tentang puasa. Tuhan menyuruh kita berpuasa. Suruhan ini terkandung di dalam ayat 2:183.

2:183 Wahai kamu yang percaya! Puasa ditetapkan ke atas kamu, sebagaimana ia telah ditetapkan kepada mereka sebelum kamu, supaya kamu terpelihara.

Dalam beberapa ayat berikutnya Tuhan memberitahu kita beberapa perkara asas mengenai puasa, misalnya bila ia perlu dilaksanakan, pelepasan dan penebusan berkaitannya serta apa yang boleh atau yang tidak boleh kita lakukan sepanjang tempoh berpuasa. Bagaimanapun apakah ianya perbuatan puasa itu agak kurang jelas. Dan oleh yang demikian, kita perlukan penjelasan.

Adakah Tuhan tidak jelaskan apakah ianya perbuatan puasa? Tuhan jelaskan. Tetapi melalui ayat-ayat yang lain. Di sinilah kedudukan peranan kedua Al-Quran. Iaitu Pembawa Bukti atau Penjelas yang menjelaskan sesuatu petunjuk yang kurang jelas. Dalam konteks ayat 2:183 – 187, penjelasan atau buktinya dibawa melalui ayat-ayat 19:22-30.

Jadi bagaimanakah sebenarnya puasa yang telah ditetapkan oleh Tuhan kepada orang beriman terdahulu dari kita sepertimana kita disuruh ikut selepas kita memeriksa sendiri penjelasanNya dalam 19:26? Beginilah caranya;

19:26 Jadi makan dan minum dan segarkan diri. Kemudian jika kamu bertemu dengan seseorang, katakan; Sesungguhnya aku sedang berpuasa untuk Tuhan yang Pemurah, jadi aku tidak akan bercakap dengan sesiapa pada hari ini.

Jadi sekarang perbuatan puasa yang Tuhan kita suruh telah menjadi jelas sebagaimana jelasnya benang yang berwarna putih dari benang yang berwarna hitam di kala subuh. Kita tidak lagi ragu-ragu mengenai apa itu puasa yang sebenar. Kelabu sudah hilang dan kita boleh menentukan dengan yakin yang mana satu putih (benar) dan yang mana satu hitam (palsu).

Di sinilah duduknya peranan Al-Quran sebagai Pembeza. Apabila orang memberitahu kita, tidak kiralah samada dia ayah kita, ustaz atau ulama muktabar, bahawa puasa itu suatu ritual menahan diri dari makan dan minum, kita akan dapat membezakan atau menilai samada apa yang dikatakan itu benar atau palsu.

Dia boleh membawa kepada kita lapan ratus kitab tulisan ulama selama 40 generasi untuk membuktikan dakwaan mereka. Tetapi hakikatnya apabila kita sudah mampu melihat yang putih itu putih dan hitam itu hitam dari kacamata Al-Quran, 800 ulama yang petah berhujah dilengkapi satu perpustakaan kitab tulisan mereka pun tidak akan lagi dapat menggusarkan kepercayaan kita.

Sebagai penutup, saya yakin artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu kita memahami bagaimana Al-Quran distruktur oleh Tuhan supaya ia menepati peranannya sebagai Petunjuk, Penjelas dan Pembeza. Saya secara peribadi menganggap kefahaman ini sesuatu yang baru kepada saya. Dan saya percaya kefahaman ini akan dapat membantu saya belajar dari Al-Quran dengan lebih baik dan saya harap para pembaca budiman juga turut dapat memanfaatkannya.

Written by tolokminda

January 5, 2010 at 3:40 am

Posted in Quran

Tagged with , ,