Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for December 2010

Adakah benar haiwan untuk makanan hanya boleh dibunuh dengan cara menyembelih di leher?

with 4 comments

Sebelum ini saya pernah membincangkan tentang babi – yang mana pada pendapat saya, melalui semua petunjuk Al-Quran, ia bukan haiwan yang dilarang untuk kita makan. Semua dalilnya sudah saya bentangkan. Jadi samada para pembaca budiman mahu percaya atau tidak ia terpulang kepada pilihan masing-masing. Jika mahu mengulangkaji perbincangan yang saya maksudkan, sila klik link ini.

Kali ini saya mahu mengajak para pembaca sama-sama memikirkan cara membunuh haiwan untuk dimakan pula. Pada umumnya kita diberitahu bahawa haiwan yang mahu dimakan perlu disembelih. Cara yang diajar adalah dengan mengerat leher haiwan untuk memutuskan saluran darah utamanya. Itu dikatakan satu-satunya kaedah membunuh haiwan yang dibenarkan oleh Tuhan jika ia untuk makanan.

Adakah Tuhan benar-benar menetapkan kaedah itu sebagai satu-satunya cara membunuh haiwan untuk makanan? Jika kita cari di dalam Al-Quran, kaedah menyembelih haiwan dengan memotong leher sebenarnya tidak ada disebut langsung. Oleh itu wajarkah kita kata menyembelih haiwan dengan memotong lehernya sebagai satu ketetapan Tuhan yang mutlak?

Mari kita lihat bagaimana Tuhan menyatakan cara kematian haiwan yang kita tidak boleh makan.

5:3 Ditegah ke atas kamu bangkai, darah, daging yang membusuk, dan yang mana nama selain Tuhan telah disebut. Yang telah dicekik sehingga mati, yang dipukul sehingga mati, yang mati akibat jatuh dari tempat tinggi, yang ditanduk sehingga mati, yang telah dimakan sebahagiannya oleh haiwan lain kecuali kamu selamatkan semasa ia masih hidup, yang dikorbankan kepada berhala, yang dibahagikan melalui anak panah nasib. Semua ini menjijikan….”.

Melalui 5:3, Tuhan memberitahu kita bahawa haiwan yang mati dicekik, haiwan yang dipukul sehingga mati, haiwan yang mati jatuh dari tempat tinggi, haiwan yang mati ditanduk dan haiwan yang mati kerana dimakan oleh haiwan lain, haiwan yang dikorbankan kepada berhala atau haiwan yang diperjudikan nasibnya adalah dilarang untuk kita makan. Ayat ini sebenarnya memberi petunjuk tentang cara membunuh haiwan yang dilarang oleh Tuhan jika kita mahu memprosesnya menjadi makanan.

Ringkasnya, kita tidak boleh makan haiwan itu jika ia dibunuh dengan cara:

1. Turut disebut nama selain Tuhan
2. Dicekik
3. Dipukul
4. Jatuh atau dijatuhkan dari tempat tinggi
5. Ditanduk (saya berpendapat ditikam juga dalam kategori ini)
6. Menjadi mangsa haiwan lain
6. Dikorbankan kepada berhala
7. Pertaruhan nasib

Dan ayat berikut pula adalah panduan yang Tuhan beri jika haiwan yang mahu kita makan itu adalah haiwan yang perlu kita bunuh dengan cara memburu.

5.4 “Mereka bertanya kamu apakah yang dibenarkan kepada mereka. Katakan: Semua benda yang baik adalah dibenarkan kepada kamu dan apa yang telah ditangkap oleh anjing-anjing yang telah kamu ajar sebagaimana Tuhan telah mengajar kamu. Dan sebutlah nama Allah ke atasnya. Kamu harus patuh kepada Tuhan, hukuman Tuhan sangatlah keras”.

5:94 “Wahai kamu yang percaya, Tuhan mahu menguji kamu melalui aktiviti memburu yang mampu kamu lakukan menggunakan tangan atau peralatan kamu. Tuhan mahu memastikan mereka di antara kamu yang takut kepada Tuhan walaupun Dia tidak kelihatan. Sesiapa yang melanggar batasan selepas ini layak menerima hukuman yang menyakitkan”.

22:36 “Ingati nama Tuhan ke atasnya semasa kamu mensasarkannya dan apabila ia jatuh dari kejauhan…” (sebahagian ayat).

Dari semua ayat yang dikemukakan di atas, sekarang kita tahu cara kematian haiwan yang Tuhan tidak benarkan kita jadikan makanan dan juga bagaimana caranya supaya haiwan yang kita bunuh dengan cara buruan boleh kita jadikan makanan. Dalam satu ayat lain, Tuhan turut memberi petunjuk bahawa haiwan yang mati dengan sendiri juga tidak boleh dimakan.

6:145 Katakan: Aku tidak menemui di dalam yang telah diwahyukan kepadaku sebarang larangan kepada seorang pemakan untuk makan kecuali apa yang mati dengan sendirinya, atau darah yang mengalir, atau daging yang membusuk – kerana sesungguhnya ia kotor – atau yang melampaui batas di mana selain Tuhan telah diucapkan ke atasnya, tetapi bagi sesiapa yang terpaksa, bukan hendak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pemaaf dan Mengasihani.

Tetapi bagaimana dengan hukum yang mengatakan haiwan yang kita hendak makan mesti disembelih sepertimana yang kita semua diberitahu? Seperti yang saya telah katakan di atas – ia tidak disebut di dalam Al-Quran. Tuhan tidak menetapkan satu kaedah khusus membunuh haiwan untuk kita makan. Dia hanya memberitahu kita cara kematian haiwan yang tidak dibenarkan untuk kita jadikan makanan. Itulah petunjukNya.

Saya berpendapat asalkan sesuatu haiwan itu dibunuh dengan niat untuk dimakan, tidak dibunuh dengan kaedah yang ganas dan zalim, tidak disebut selain nama Tuhan atau untuk dipersembahkan kepada berhala atau dibunuh kerana pertaruhan nasib, maka kita boleh memakannya apatah lagi jika pemprosesannya dilakukan dengan cara yang elok dan higenik.

Makan makanan orang lain atau makan di negara asing sepatutnya bukan satu masalah kepada seseorang yang benar-benar faham dan percaya kepada petunjuk Tuhannya.

Written by tolokminda

December 31, 2010 at 10:07 pm

Posted in Kehidupan Harian, Makanan

Tagged with

Lagi perbincangan tentang poligami..

with 5 comments

Blog ini pernah membincangkan perihal poligami. Para pembaca budiman boleh mengulangbaca mengenainya di sini.

Kita semua tahu bahawa kepercayaan kononnya Tuhan membenarkan seseorang lelaki berkahwin lebih dari satu, iaitu berpoligami sehingga empat orang isteri dalam satu masa adalah disandarkan ayat 4:3. Bagaimanapun, selepas melihat secara dekat ayat berkenaan ia jelas tidak ada kena mengena dengan kebenaran berpoligami. Ayat itu hanyalah merujuk kepada satu cadangan jalan keluar bagi mereka yang menjadi penjaga kepada anak-anak yatim perempuan yang telah matang.

4:3  Dan jika kamu bimbang kamu tidak dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim itu, maka kamu boleh kahwinkan mereka yang kamu rasa sesuai dari yang perempuan – dua, dan tiga dan empat. Tetapi jika kamu bimbang kamu tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah satu atau yang mana telah kamu beri perjanjian. Ini lebih baik supaya kewangan kamu tidak terbeban – (terjemahan semula dari Free-minds.org)

Pada dasarnya ayat 4:2-5 menjelaskan hak anak-anak yatim apabila mereka telah matang. Anak-anak yatim yang sudah matang berhak untuk menguruskan harta dan diri mereka sendiri. Dan perkahwinan juga boleh menjadi satu pilihan yang berpatutan buat mereka.

Maka berdasarkan kepada ayat 4:3, anak-anak yatim – khususnya yang perempuan dan telah matang dan dirasakan sesuai, bolehlah dikahwinkan oleh para penjaga mereka seorang demi seorang atau mungkin secara berkumpulan – dua atau tiga atau empat atau lebih dari itu sekaligus. Bagaimanapun seperti yang disebut juga di dalam 4:3, keputusan mutlak samada ada untuk mengahwinkan anak-anak yatim itu secara seorang demi seorang atau secara berkumpulan adalah terpulang kepada pihak yang menjaga mereka.

Membuat majlis perkahwinan untuk beberapa pasangan sekaligus sudah pastilah memerlukan belanja yang lebih besar. Jadi pihak penjaga tentu lebih maklum telah kemampuan mereka. Jika tiada kemampuan buatlah satu-satu. Dan jika mana-mana anak yatim itu telah pun dipinang orang, maka ia termasuk sebagai satu perjanjian yang boleh diutamakan perkahwinannya.

Itulah yang dapat saya fahami dari 4:3. Ia langsung tidak ada kena mengena dengan kebenaran berpoligami. Saya berpendapat poligami bukanlah satu amalan yang boleh disandarkan kepada Tuhan atau Nabi. Tidak ada satu ayat pun di dalam Al-Quran yang boleh dirujuk untuk mempromosikan amalan itu.

Sebaliknya Tuhan menasihatkan para lelaki supaya hidup dengan isteri mereka atas dasar kasih sayang dan persamaan. Sesuatu perkara yang mereka tidak suka mengenai isteri mereka mungkin mengandungi pelbagai kebaikan lain yang Tuhan kurniakan tanpa disedari. Walaupun begitu Tuhan tidak menghalang jika mereka benar-benar mahu bertukar isteri. Apa yang mereka perlu lakukan hanyalah menceraikannya dengan cara baik dan memberikan segala hak bekas isterinya. Kita boleh menyemak semua ini dalam Surah yang sama, ayat 19 & 20.

4:19  Wahai kamu yang percaya! Kamu dilarang memiliki perempuan tanpa kerelaan mereka. Tidak sepatutnya juga kamu melayan mereka dengan kekerasan yang kamu mungkin mengambil sebahagian dari hadiah perkahwinan yang telah kamu berikan kecuali di mana mereka didapati bersalah melakukan kecurangan. Sebaliknya hiduplah dengan mereka atas dasar kasih sayang dan persamaan. Jika kamu tidak suka sesuatu mengenai mereka ia mungkin hanya kerana kamu tidak suka satu perkara, dan Tuhan membawakan melaluinya pelbagai kebaikan lain.

4:20  Tetapi jika kamu memutuskan untuk mengambil seorang isteri mengantikan yang lain, walaupun kamu telah memberi semua milik kamu sebagai hadiah perkahwinan kepada yang terdahulu, janganlah ambil kembali sedikit pun daripadanya. Adakah kamu mahu mengambilnya melalui fitnah dan membuka kesalahan?

Melalui ayat 4:20 Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa lelaki boleh menggantikan isteri mereka jika itu yang mereka mahu – tetapi bukan cadangan supaya menambah isteri.

4:20 menjelaskan hak menceraikan isteri untuk berkahwin lain adalah hak mutlak seseorang suami. Bekas isteri hanya berhak mendapat harta yang telah diberikan kepadanya di sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Pendek kata, jika seorang suami memutuskan untuk menceraikan isterinya kerana mahu berkahwin lain, maka si isteri tidak mempunyai pilihan selain menerima penceraian yang dimahukan suaminya. Apa boleh buat, kalau dah suami tidak mahu mendengar nasihat Tuhan.

Tetapi bagaimana jika si suami mahu berkahwin baru namun tidak mahu menceraikan isteri sedia ada? Saya berpendapat jawapannya terdapat di dalam permulaan 4:19.

4:19  Wahai kamu yang percaya! Kamu dilarang memiliki perempuan tanpa kerelaan mereka…

Saya melihat ayat di atas membawa maksud bahawa seorang suami akan hilang hak terhadap isterinya jika si isteri tidak lagi rela untuk meneruskan perkahwinan mereka – walau apapun sebabnya. Dalam konteks yang diperbincangkan dalam artikel ini misalnya, jika kerana si suami mempunyai hubungan dengan wanita lain dan isteri tidak merelakannya maka di situlah sempadannya. Jika isteri minta cerai, suami ada alasan untuk menolaknya.

Dengan kata lain, jika suami diberi hak untuk menceraikan isterinya dengan alasan seperti mahu berkahwin lain, isteri juga sebenarnya diberi hak yang sama di mana mereka boleh melepaskan diri secara tidak langsung apabila mereka hilang kerelaan diri terhadap suami. Seorang lelaki tidak boleh memiliki wanita yang tidak rela.

Ketetapan ini selaras dengan saranan Tuhan bahawa suami isteri itu perlu hidup di atas dasar persamaan seperti yang disebut di dalam 4:19.

Seorang suami boleh menceraikan isteri yang sudah tidak disukainya dan dalam masa yang sama beliau tidak boleh memiliki isteri yang sudah tidak lagi rela hidup bersamanya. Saya berpendapat, tidak ada sesiapa boleh membantah hak yang telah diberikan oleh Tuhan kepada kedua-dua belah pihak, iaitu kaum lelaki dan kaum wanita berkenaan perkara ini. Ia “fair and square”. Perkahwinan paksa, gantung tak bertali? No way Jose!

Bagaimana pula jika si isteri rela untuk “hidup bermadu”?

Dari pendapat yang telah saya kemukakan merujuk kepada ayat-ayat 4:3, 4:19 dan 4:20 – marilah kita sama-sama bincangkan soalan yang satu ini. Saya percaya kekhilafan masyarakat terhadap kebenaran berpoligami dan undang-undang keluarga yang tidak berasaskan Al-Quran telah banyak menyumbang kerosakan di kalangan masyarakat Islam dan institusi kekeluargaan mereka. Tidak ada pilihan lain, kerosakan hanya boleh diatasi dengan usaha pembaikan berasaskan kebenaran.

Berikut adalah beberapa ayat berkaitan lain yang mungkin boleh kita turut sama fikir-fikirkan.

30:21  “Di antara tanda-tandaNya ialah Dia telah mencipta untuk kamu dari diri kamu sendiri pasangan untuk berharmoni dengannya – dan untuk membina/mencipta sesama kamu perasaan cintai mencintai. Sesungguhnya pada yang demikian adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.”

4:129  “Kamu sekali-kali “TIDAK” akan bersikap adil walaupun kamu benar-benar inginkannya”.

4:26-27  “Allah ingin menjelaskan kepada kamu dan memberi petunjuk kepada kamu dan arah tuju orang-orang dari sebelum kamu. Dia ingin menerima taubat kamu dan Allah amat menggetahui dan Bijaksana. Dan Allah sanggup menerima taubat kamu sedangkan orang-orang yang mengikuti “HAWA NAFSU” (Shahwat) mereka – mereka ingin melihat kamu menyeleweng sejauh-jauhnya.”

Written by tolokminda

December 16, 2010 at 2:58 am

Posted in Isu Semasa, Kehidupan Harian

Tagged with