Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Archive for April 2011

Masjidilharam dalam konteks 2:191, 9:13 & 9:28

with 15 comments

Mekah disifatkan sebagai kawasan tanah suci orang Islam. Orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki Mekah. Saya tidak tahu apakah riwayat yang dikaitkan dengan larangan tersebut tetapi saya fikir jika dirujuk kepada Al-Quran, mungkin alasannya disandarkan kepada ayat ini.

9:28 Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini.

Bagaimanapun saya berpendapat ayat di atas tidak ada kena mengena dengan Mekah. Larangan yang dimaksudkan ke atas orang-orang musyrik dalam ayat 9:28 bukanlah larangan memasuki Mekah. Masjidilharam bukan merujuk kepada suatu tempat atau bangunan atau kawasan. Sebagaimana yang pernah saya bincangkan dalam entry-entry sebelum ini, “masjidilharam” sebenarnya bermaksud “batasan ketetapan yang direstui”.

Apakah yang dimaksudkan dengan “batasan ketetapan yang direstui”?

Saya mentafsirkannya sebagai apa saja perbuatan atau perlakuan atau perjanjian atau usaha atau kegiatan atau keadaan yang dialami atau dilaksanakan oleh seseorang individu atau kumpulan individu atau komuniti yang pada umumnya dibenarkan atau direstui oleh Tuhan menurut landasan dan batasan tertentu yang boleh diterima menurut penilaian-penilaian universal atau common sense atau telah ditetapkan secara khusus di dalam KitabNya.

Saya mulakan pencerahan ini dengan ayat 2:190-191.

2:190 Kamu harus berperang di atas landasan Tuhan terhadap mereka yang memerangi kamutetapi jangan mulakan agresi. Sesungguhnya Tuhan, Dia tidak menyukai mereka yang memulakan agresi.

2:191 Dan kamu harus memerangi mereka di mana saja kamu diperangi dan halau mereka dari mana saja mereka menghalau kamu dan memfitnah adalah lebih teruk dari berjuang. Dan jangan perangi mereka di dalam batasan ketetapan yang direstui (almasjidi alharami) kecuali jika mereka memerangi kamu di dalamnya. Maka apabila mereka memerangi kamu – kamu mesti memerangi mereka. Ia adalah balasan yang sesuai untuk mereka yang tidak percaya.

Pada dasarnya ayat-ayat di atas menggariskan ketetapan-ketetapan atau ordinan berkaitan peperangan. Secara ringkasnya ordinan Tuhan tersebut menggariskan bahawa:

  1. Orang-orang yang percaya dilarang menjadi pihak yang memulakan agresi. Maknanya mereka tidak boleh menjadi pihak yang memulakan peperangan.
  2. Walaupun begitu orang-orang yang percaya harus memerangi musuh jika mereka diperangi.
  3. Orang-orang yang percaya harus menghalau musuh dari tempat di mana mereka sendiri telah dihalau. Maksudnya mereka mesti mendapatkan kembali tanah air atau hak mereka dari pihak musuh.
  4. Jika orang-orang yang percaya berada dalam batasan ketetapan yang direstui (masjidilharam) dengan musuh, maka mereka dilarang memerangi musuh mereka itu.
  5. Tetapi jika semasa dalam batasan ketetapan yang direstui (masjidilharam) pihak musuh memerangi mereka, maka orang-orang yang percaya mesti membalas serangan mereka.

Berdasarkan kepada ayat 2:191 itu, apakah yang boleh kita fahami dari perkataan “masjidilharam” atau “batasan ketetapan yang direstui”?

Ia tidak mungkin bermaksud Mekah atau apa-apa binaan yang terletak di dalam kawasan itu kerana peperangan boleh berlaku di mana saja. Tidak semestinya di Mekah saja. Lagi pun sudah jelas dalam ayat yang sama Tuhan menetapkan supaya orang-orang yang percaya memerangi musuh mereka di mana saja mereka diperangi selain menetapkan supaya mereka menghalau musuh mereka dari mana saja mereka telah dihalau.

Saya berpendapat maksud perkataan “masjidilharam” dalam ayat 2:191 dijelaskan melalui ayat 9:13.

9:13 Adakah kamu tidak mahu memerangi kaum yang telah melanggar perjanjian mereka dan yang merancang untuk menghalau rasul dan yang telah terlebih dulu menyerang kamu? Apakah kamu takut kepada mereka? Tuhan mempunyai hak yang lebih di mana kamu patut takutkan Dia, jika kamu adalah orang-orang yang percaya.

Perhatikan bagaimana dalam ayat 9:13 Tuhan mengingatkan semula orang-orang yang percaya tentang ketetapan-ketetapan atau ordinan peperangan yang telah disampaikan kepada mereka (2:190-191) apabila mereka kelihatan keberatan untuk kembali berjuang melawan musuh sedangkan menurut Tuhan musuh mereka telah;

  1. Menyerang mereka (melakukan agresi) terlebih dulu.
  2. Melanggar perjanjian damai @ gencatan senjata
  3. Merancang mahu menghalau rasul keluar.

Dalam ayat 9:13, tiada perkataan “masjidilharam” digunakan, tetapi ia terus menyebut perkataan “perjanjian” di mana saya berpendapat perkataan “perjanjian” itu membawa maksud perjanjian damai atau perjanjian genjatan senjata yang amat jelas selaras dengan apa yang dimaksudkan dengan “masjidilharam” atau “batasan ketetapan yang direstui” dalam ayat 2:191.

Dengan kata lain, perkataan “masjidilharam” atau “batasan ketetapan yang direstui” dalam ayat 2:191 dalam konteks ayat itu adalah membawa maksud perjanjian damai atau perjanjian gencatan senjata sepertimana perkataan “perjanjian” di dalam ayat 9:13.

Apabila kita sudah dapat memahami dengan jelas konteks perkataan “masjidilharam” dalam 2:191 dengan perkataan perjanjian dalam 9:13, maka maksud ayat 9:28 akan turut menjadi mudah.

9:28. Wahai kamu orang-orang yang percaya! Orang-orang musyrik adalah najis, maka jangan benarkan mereka masuk ke dalam batasan ketetapan yang direstui (almasjida alharama) selepas tahun ini dan jika kamu takut akan kemiskinan maka Tuhan akan memperkayakan kamu dari kurniaNya jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Tuhan Mengetahui, Bijaksana.

Kesimpulan saya untuk ayat 9:28 adalah, ia merupakan satu perintah tegas kepada orang-orang yang percaya supaya mereka tidak lagi membenarkan kaum musyrik, iaitu musuh mereka memasuki “masjidiharam” atau “batasan ketetapan yang direstui” atau dengan ertikata lain perjanjian damai atau perjanjian gencatan senjata dengan mereka selepas tahun yang berkenaan kerana sikap orang-orang musyrik itu sendiri yang tidak berpegang kepada janji.

Maknanya melalui ayat 9:28 Tuhan bukan menyuruh orang-orang yang percaya melarang orang-orang musyrik masuk Mekah. Sebaliknya Tuhan menyuruh orang-orang yang percaya supaya tidak membuat sebarang perjanjian damai atau perjanjian gencatan senjata dengan orang-orang musyrik kerana sikap curang mereka terhadap perjanjian.

Dari sudut berbeza, saya melihat perintah itu turut bertujuan untuk membendung kealpaan yang akhirnya membawa kepada perasaan ragu-ragu dan takut di pihak orang-orang yang percaya untuk kembali berperang selepas tamat tempoh perjanjian atau apabila musuh melanggarnya.

Baca Surah 9. Saya percaya para pembaca budiman boleh menemui kesimpulan yang sama.

Written by tolokminda

April 3, 2011 at 4:17 am

Posted in Tafsiran Perkataan

Tagged with ,