Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘penyelewengan

Jangan ikut tabiat orang Yahudi atau Kristian

with 155 comments

2:120 Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu – rujukan di sini.

Saya percaya ayat yang dikemukakan di atas adalah antara ayat Quran yang paling sering kita dengari. Melalui ayat di atas kita diberitahu kononnya orang-orang Yahudi ataupun Nasrani (Kristian) tidak akan gembira dengan kita selagi kita tidak ikut “agama” mereka. Maka kita melihat tentang perbezaan agama. Tentang jangan masuk Yahudi atau Kristian, atau tentang orang Yahudi atau Kristian cuba mempengaruhi kita supaya percaya kepada ajaran-ajaran agama mereka. Pendek kata ia berkenaan usaha meyahudikan atau mengkristiankan orang Islam. Ia berkisar tentang persaingan antara “agama”.

Sebenarnya ayat di atas langsung tidak membawa maksud yang sedemikian. Ayat di atas adalah tentang supaya kita jangan ikut tabiat orang Yahudi atau Kristian – bukan jangan ikut agama mereka. Tuhan tidak pernah menurunkan agama kepada manusia. Tuhan hanya menurunkan Petunjuk supaya manusia hidup mengikut peraturan, program atau cara hidup -deen – yang sepatutnya untuk mereka. Sebaliknya agama adalah suatu sistem kepercayaan ciptaan manusia.

Mari kita kembali kepada ayat 2:120 dan lihat mesej Tuhan yang sebenarnya.

Transliterasi 2:120: Walan tarda AAanka alyahoodu wala alnnasara hatta **tattabiAAa millatahum qul inna huda Allahi huwa alhuda wala-ini **ittabaAAta ahwaahum baAAda allathee jaaka mina alAAilmi ma laka mina Allahi min waliyyin wala naseerin

2:120 Dan Yahudi tidak akan gembira dengan kamu, begitu juga Kristian sehinggalah kamu menurut **tabiat mereka. Katakan: Sesungguhnya Petunjuk Tuhan, itulah panduan yang sebenar. Dan jika kamu menurut **tabiat mereka selepas pengetahuan yang sampai kepada kamu, kamu tidak akan mendapat petunjuk dari Tuhan dan tidak juga sebarang pertolongan.

Perhatikan perkataan yang digunakan dalam teks asal. Ia tidak menyebut “agama” tetapi ia menyebut tabiat atau perangai. Seperti yang telah saya katakan tadi, mesej Tuhan melalui 2:120 bukanlah supaya kita jangan masuk Yahudi atau Kristian atau mengadaptasikan “agama” mereka ke dalam “agama” kita. Tuhan hanya berpesan supaya kita jangan ikut tabiat atau perangai mereka dalam menegakkan peraturan atau cara hidup yang benar. Tuhan kata, ikut KitabNya dan bukan ikut tabiat atau perangai orang Yahudi atau Kristian.

Bagaimanakah tabiat atau perangai orang Yahudi atau Kristian yang Tuhan suruh kita jangan ikut? Sebenarnya banyak petunjuk yang telah Tuhan berikan tentang mereka di dalam Al-Quran. Apa yang perlu kita lakukan adalah baca Kitab Tuhan dan kenalpasti apakah tabiat-tabiat mereka itu. Sebagai permulaan, berikut saya bawakan beberapa contohnya;

2:113  Dan yang Yahudi kata yang Kristian tidak mempunyai asas dan yang Kristian kata yang Yahudi tidak mempunyai asas sedangkan kedua-duanya membaca Kitab. Serupalah, mereka yang tidak berpengetahuan bercakap perkara yang sama. Tuhan akan mengadili di antara mereka pada hari Kiamat apa yang mereka perselisihkan.

Tabiat yang disebut dalam 2:113 adalah Yahudi dan Kristian saling menuduh satu sama lain tidak berasas atau tidak betul. Maknanya jika kita pun ada tabiat seperti itu terhadap penganut “agama” lain atau mungkin juga sesama “agama” sendiri maka itu adalah tabiat Yahudi dan Kristian yang kita ikut. Tuhan kata, jangan ikut tabiat seperti itu.

2:135 Dan mereka berkata; Jadilah Yahudi atau Kristian, kamu akan berada di jalan yang benar. Katakan: Tidak! Sebenarnya kami menuruti kepercayaan Ibrahim yang berpendirian, dan dia bukanlah seorang yang menyekutukan.

Tabiat Yahudi dan Kristian yang disebut dalam 2:135 adalah mereka menyuruh orang masuk agama mereka kalau mahu berada dalam jalan yang lurus. Sebaliknya Tuhan suruh kita jangan ikut tabiat mereka itu. Cukuplah kita menjadi seorang yang berpendirian dan tidak menjadi seorang yang menyekutukan Tuhan sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Ibrahim.

2:140  Tidak! Adakah kamu kata Ibrahim dan Ismail dan Yaakub dan keturunan mereka itu Yahudi atau Kristian? Katakan: Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Tuhan? Dan siapa yang lebih zalim dari mereka yang menyembunyikan keterangan dari Tuhan yang ada padanya? Dan Tuhan langsung tidak leka dari apa yang kamu kerjakan.

Tabiat orang Yahudi dan Kristian yang disebut dalam 2:140 adalah mereka mendakwa para nabi dan rasul menganuti “agama” mereka padahal mereka sebenarnya menyembunyikan kebenaran yang Tuhan telah sampaikan kepada mereka. Para nabi dan rasul tidak menganut sebarang agama baik ia dinamakan Yahudi atau Kristian atau pun dalam konteks kita – Islam. Tuhan  menyifatkan perbuatan menggunakan nama-nama nabi untuk menyokong kepercayaan palsu dan menutup kebenaran adalah perbuatan orang-orang yang zalim. Jadi masihkah kita mahu ikut tabiat orang Yahudi atau Kristian?

Sebagai mengakhiri artikel kali ini, saya percaya kita boleh mendapat lebih banyak petunjuk tentang tabiat-tabiat buruk dan sesat orang-orang Yahudi atau Kristian dan kaum-kaum seumpamanya di dalam Al-Quran. Saya fikir tiga contoh yang saya kemukakan di atas mampu mengundang inisiatif para pembaca budiman untuk mengenalpasti lebih banyak tabiat mereka supaya kita dapat menghindari dari terjerumus ke dalam lubang yang sama. Renungkanlah nasihat Tuhan tentang peri pentingnya membaca KitabNya dengan kefahaman.

2:121 Mereka yang telah Kami berikan Kitab membacanya sebagaimana ia sepatutnya dibaca, mereka inilah mereka yang mempercayainya. Dan sesiapa yang tidak mempercayainya mereka adalah orang-orang yang rugi.

**Pencerahan:

TattabiAAa/IttabiaaAAa bukan bermaksud tabiat. Salah faham telah berlaku di pihak saya. Para pembaca budiman boleh menyemak ruangan komen untuk mendapatkan pencerahan kepada perkataan yang dimaksudkan. Terima kasih kepada semua yang telah membincangkan kesilapan ini dan berkongsi pengetahuan – Tolokminda.

Written by tolokminda

October 6, 2010 at 10:14 am

Posted in Agama, Nabi | Rasul, Quran

Tagged with , ,

Perbezaan di antara dua terjemahan: Ayat-ayat 22:23-31

with 61 comments

Dalam kesempatan kali ini saya hanya mahu mengemukakan 2 set terjemahan untuk kita sama-sama buat perbandingan. Dari kedua-dua terjemahan ini, mari kita sama-sama kongsikan perkara-perkara yang mungkin dapat kita pelajari. Transliterasi juga disediakan. Manalah tahu ia dapat membantu.

Terjemahan pertama disalin dari http://www.iiu.edu.my dan terjemahan kedua pula adalah terjemahan semula oleh saya berasaskan terjemahan Aidid Safar.

Terjemahan iiu.edu.my:

22:23 Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.

22:24 Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.

22:25 Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) – sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.

22:26 Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).

22:27 “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

22:28 “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

22:29 “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu”.

22:30 Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta, –

22:31 (Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).

Terjemahan semula oleh saya berasaskan terjemahan Aidid Safar:

22:23 Sesungguhnya Tuhan akan menjadikan mereka yang percaya dan melakukan amalan-amalan baik memasuki taman-taman yang di bawahnya sungai-sungai mengalir, mereka akan diperhiasi di dalamnya dengan rantai-rantai emas dan mutiara dan pakaian mereka di dalam sana adalah sutera.

22:24 Dan mereka adalah yang mendapat petunjuk kepada perkataan-perkataan yang baik dan mereka mendapat petunjuk ke dalam jalan Tuhan Yang Terpuji.

22:25 Sesungguhnya mereka yang tidak percaya dan mereka menghalang orang lain dari batasan ketetapan-ketetapan yang telah direstui yang telah didedikasikan kepada seluruh manusia supaya dipatuhi bersama-sama – yang sememangnya jelas. Dan sesiapa yang menokok-tambah di dalamnya kejahatan Kami akan pastikan mereka merasai balasannya.

22:26 Dan apabila kami memutuskan kepada Ibrahim tempatnya di dalam sistem, “Kamu tidak boleh menyekutukan Aku dengan apa pun, pastikan sistemKu sentiasa dibersihkan untuk mereka yang mahu mendekatkan diri dan yang merendah diri dan bersetuju.

22:27 Dan maklumkan kepada manusia tentang penyelidikan yang telah dikurniakan kepada kamu sebagai seorang individu dan ke atas setiap individu yang bertanggungjawab yang telah dikurniakan dari sumber yang sangat luas;

22:28 Supaya mereka menyaksikan manfaat-manfaat untuk mereka dan supaya mereka mengingati nama Tuhan pada setiap hari di atas apa saja rezeki untuk mereka dari haiwan ternakan.

22:29 Oleh itu makanlah darinya dan beri makan orang-orang yang memerlukan dan miskin. Dan kemudian mereka patut membersihkan kotoran dan menunaikan janji-janji mereka supaya mereka mendekatkan diri dengan sistem yang asal.

22:30 Dan sesiapa yang tunduk kepada peringatan Tuhan maka ia lebih baik untuknya di sisi Tuhan. Dan dibenarkan kepada kamu haiwan ternakan kecuali yang telah dibacakan kepada kamu dan hindarilah kekotoran menyembah berhala dan jauhkan diri dari percakapan bohong.

22:31 Berpendirian benarlah terhadap Tuhan dan jangan sekutukan apa pun dengan Dia dan sesiapa yang menyekutukan Tuhan ia adalah seperti dia terjatuh dari tempat yang tinggi dan burung-burung menyambarnya pergi atau angin membawanya ke tempat yang amat jauh.

Transliterasi:

22:23 Inna Allaha yudkhilu allatheena amanoo waAAamiloo alssalihati jannatin tajree min tahtiha al-anharu yuhallawna feeha min asawira min thahabin walu/lu-an walibasuhum feeha hareerun

22:24 Wahudoo ila alttayyibi mina alqawli wahudoo ila sirati alhameedi

22:25 Inna allatheena kafaroo wayasuddoona AAan sabeeli Allahi waalmasjidi alharami allathee jaAAalnahu lilnnasi sawaan alAAakifu feehi waalbadi waman yurid feehi bi-ilhadin bithulmin nuthiqhu min AAathabin aleemin

22:26 Wa-ith bawwa/na li-ibraheema makana albayti an la tushrik bee shay-an watahhir baytiya liltta-ifeena waalqa-imeena waalrrukkaAAi alssujoodi

22:27 Waaththin fee alnnasi bialhajji ya/tooka rijalan waAAala kulli damirin ya/teena min kulli fajjin AAameeqin

22:28 Liyashhadoo manafiAAa lahum wayathkuroo isma Allahi fee ayyamin maAAloomatin AAala ma razaqahum min baheemati al-anAAami fakuloo minha waatAAimoo alba-isa alfaqeera

22:29 Thumma lyaqdoo tafathahum walyoofoo nuthoorahum walyattawwafoo bialbayti alAAateeqi

22:30 Thalika waman yuAAaththim hurumati Allahi fahuwa khayrun lahu AAinda rabbihi waohillat lakumu al-anAAamu illa ma yutla AAalaykum faijtaniboo alrrijsa mina al-awthani waijtaniboo qawla alzzoori

22:31 Hunafaa lillahi ghayra mushrikeena bihi waman yushrik biAllahi fakaannama kharra mina alssama-i fatakhtafuhu alttayru aw tahwee bihi alrreehu fee makanin saheeqin

Written by tolokminda

April 7, 2010 at 1:06 am

Adakah dua kalimah syahadah satu korupsi pewaris golongan munafik zaman Nabi?

with 256 comments

Dalam blog ini kita telah membincangkan semua rukun Islam, iaitu rukun yang melibatkan ritual-ritual yang disifatkan wajib  ke atas orang-orang Islam – sembahyang, puasa, zakat, haji – kecuali satu – mengucap dua kalimah syahadah.

Dalam perbincangan-perbincangan yang dimaksudkan, kita telah melihat bagaimana ritual sembahyang (solat), puasa, haji dan zakat sebenarnya tidak wujud di dalam Al-Quran. Tuhan tidak pernah mengajar kita apa-apa ritual melalui Al-Quran. Yang ada cuma perkataan-perkataan yang disalahtafsirkan. Samada para pembaca budiman mahu percaya atau tidak, hujah-hujah mengenainya telah dikemukakan di atas nas-nas Al-Quran. Maka terpulanglah kepada diri masing-masing untuk membuat kesimpulan.

Sekarang tibalah masanya untuk kita periksa pula kedudukan satu-satunya rukun Islam yang belum kita sentuh – iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Kita semua telah sedia maklum apakah yang dimaksudkan dengan mengucap dua kalimah syahadah. Dilafazkan begini:

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah”

Saya telah cuba mencari kalau-kalau ungkapan ini sesungguhnya telah diwajibkan oleh Allah sebagai pra-syarat kepada sesiapa yang mahu menjadi seorang Muslim. Dan sesungguhnya saya tidak menemui apa-apa yang seumpamanya. Sebaliknya saya menemui ayat-ayat berikut.

63:1  Apabila mereka yang munafik datang kepadamu mereka berkata: Kami bersaksi bahawa sesungguhnya kamu  adalah utusan Allah. Dan Tuhan tahu bahawa kamu adalah utusanNya dan Tuhan bersaksi bahawa mereka yang munafik adalah penipu.

63:2  Mereka telah menjadikan sumpah mereka itu sebagai topeng, dengan cara itu mereka menjauhkan jalan Allah. Jahat sungguh apa yang mereka lakukan.

63:3  Itu kerana mereka telah percaya, kemudian tidak percaya. Akibatnya, hati mereka tertutup – mereka tidak faham.

Surah 63 – “Yang Munafik,” memberikan kita gambaran siapakah mereka itu di zaman Nabi. Dan sebagaimana yang kita sama-sama dapat baca melalui tampalan terjemahan di atas, saya fikir ayat pertama surah ini agak memeranjatkan. Ia mendedahkan kepada kita bahawa ungkapan kedua dalam kalimah syahadah iaitu “aku bersaksi Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah” sebenarnya adalah ungkapan orang-orang munafik di zaman Nabi.

Kenyataan Allah dalam 63:1 terlalu jelas untuk kita nafikan.

Soalannya, bagaimana ungkapan orang-orang munafik zaman Nabi boleh menjadi sebahagian dari ungkapan yang diwajibkan ke atas kita? Siapakah yang sebenarnya telah mewajibkannya? Tuhan sudah tentu tidak. Jadi adakah orang-orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah pada hari ini sebenarnya pewaris golongan munafik zaman Nabi?

Jangan kata soalan ini tidak berasas. Saya berpendapat, kita tidak ada pilihan kecuali mendapatkan kepastian mengenainya!

Written by tolokminda

March 11, 2010 at 7:33 pm

Corat-Coret: Tentang solaa @ komitmen

with 455 comments

1.  Solaa @ komitmen adalah aktiviti seharian – sepanjang hidup

Pada kefahaman saya, saya berpendapat – di dalam Al-Quran – secara umumnya Tuhan membahagikan satu hari kepada empat (4) bahagian iaitu;

  • Pagi
  • Petang
  • Awal malam, dan
  • Malam

Kita lihat malam dulu.  Pada dasarnya malam dimaksudkan oleh Allah sebagai waktu tidur atau waktu untuk berehat. Ini dinyatakan dengan jelas dalam ayat-ayat berikut:

6:96  “Dia menyebabkan matahari terbit dan dia telah menjadikan malam untuk berehat…”

10:67  “Dia yang telah menjadikan untukmu malam supaya kamu boleh berehat di dalamnya…”

27:86  “Tidakkah mereka memikirkan yang kami telah menjadikan malam supaya mereka boleh berehat di dalamnya…”

Di bahagian hari yang ini – iaitu malam – kita berehat, kita tidur – jadi ia bukanlah waktu untuk apa-apa komitmen. Kalau boleh dikatakan, komitmen kita di waktu malam adalah berehat iaitu tidur.

Bagaimanapun pada bahagian-bahagian hari yang lain – pagi, petang dan awal malam – iaitu sebelum waktu tidur, Tuhan suruh kita penuhi waktu-waktu itu dengan menunaikan komitmen atau dengan kata lain, Tuhan suruh kita buat kerja – selesaikan semua urusan dan tanggungjawab. Ini dijelaskan dalam ayat berikut.

11:114 “Dan tunaikanlah komitmen-komitmen di dua bahagian siang, dan beberapa jam dari malam, sesungguhnya kerja-kerja yang baik menjauhkan amalan kerja-kerja buruk; ini adalah peringatan kepada mereka yang mahu berfikir”.

Kesimpulan saya:

–> Dua bahagian siang – pagi dan petang

–> Beberapa jam dari malam – awal malam

Kita kena faham bahawa apa yang dimaksudkan dengan solaa @ komitmen bukan saja perkara yang berkaitan ketetapan-ketetapan yang telah direstui Tuhan (masjidillah) secara khusus tetapi turut melibatkan semua komitmen yang berada dalam batasan ketetapan yang direstui (masjidilharam) seperti yang melibatkan kerjaya, perniagaan, mencari ilmu, menguruskan rumahtangga, bersukan, melayan anak-anak dan seribu satu macam hal lagi.

Oleh itu tidak hairanlah Tuhan memperuntukan supaya kita melaksanakan komitmen-komitmen itu dari waktu pagi, sehingga ke petang dan membawa ke awal malam – iaitu sebelum kita tidur di waktu malam. Dengan kata lain Tuhan suruh kita tunaikan solaa @ komitmen sepanjang hari dari awal pagi sehinggalah kita masuk tidur semula di waktu malam.

2.  Solaa @ komitmen menjauhkan perbuatan buruk dan sia-sia

Solaa atau komitmen yang baik – sebarang kerja atau usaha yang dilaksanakan dalam ketetapan dipersetujui yang direstui (masjidilharam) akan dapat menghindarkan kita dari melakukan kerja-kerja buruk atau tidak berfaedah. Jika jadual harian kita penuh dengan aktiviti positif kita tidak akan ada masa untuk terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti penagihan dadah, merempit siang-malam, kepit kekasih ke hulu ke hilir, berdangdut sampai ke pagi dan sebagainya.

Peranan komitmen sebagai penghindar dari perbuatan atau amalan buruk yang sia-sia juga dijelaskan melalui ayat ini.

11:114 “Dan tunaikanlah komitmen-komitmen di dua bahagian siang, dan beberapa jam dari malam, sesungguhnya kerja-kerja yang baik menjauhkan kerja-kerja buruk; ini adalah peringatan kepada mereka yang mahu berfikir”.

3.  Solaa @ komitmen perlu dilaksanakan mengikut keutamaan – first thing first

Selain mengingatkan kita supaya memenuhkan jadual seharian dengan pelbagai komitmen, Tuhan turut menasihatkan kita supaya melaksanakannya mengikut susunan keutamaan atau dalam istilah moden – first thing first.

2:238  “Sentiasalah tunaikan komitmen-komitmen kamu dan lebih-lebih lagi komitmen yang menjadi keutamaan/prioriti (alwusta) dan berdirilah di atas kepatuhan kepada Allah”.

Mungkin ada yang akan bertanya dari mana saya dapat mentafsirkan perkataan wusta sebagai keutamaan atau prioriti. Saya fikir. Dan saya dapati ia sangat sesuai dengan konteks ayat. Malah sesetengah penterjemah telah menterjemahkan perkataan wusta sebagai “midmost” dan ramai yang menggunakan perkataan “middle”. Midmost lebih menggambarkan perkataan yang saya cari, iaitu yang paling penting atau yang menjadi prioriti. Secara kasarnya, apa yang kita letak di tengah tentulah lebih diutamakan dari yang kita letakkan di tepi.

Sebagai menguatkan lagi pendapat saya, mari kita  lihat satu lagi ayat yang mengandungi perkataan dari akar huruf yang sama dengan wusta.

2:143  Dan begitulah kami menjadikan kamu umat yang diutamakan (wasatan) supaya kamu menjadi saksi kepada orang lain dan supaya rasul bersama kamu sebagai saksi. Dan Kami tidak menjadikan arah tumpuan yang kamu sendiri di atasnya – tetapi Kami tahu siapa yang akan menuruti rasul – dari mereka yang berpaling di atas tumit mereka. Sesungguhnya ia adalah berat kecuali kepada mereka yang telah diberi petunjuk oleh Tuhan. Dan Tuhan tidak akan mensia-siakan kepercayaan kamu. Sesungguhnya Tuhan Penyayang, Mengasihani manusia.

Saya rasa cukup yakin. Maka itu ketetapan Allah supaya kita mendahulukan yang lebih utama apabila melaksanakan solaa @ komitmen dapat dibuktikan apabila secara universal ia adalah selaras dengan tabiat orang-orang yang berjaya di dunia ini.

4.  Solaa @ komitmen perlu dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan.

Satu lagi aspek yang penting tentang perlaksanaan sesuatu komitmen adalah penjadualan masa atau penetapan tempoh atau dateline. Kita buat janjitemu dengan orang, kita tetapkan masa dan kita mesti tunaikan komitmen kita itu tepat pada masanya. Janji pukul 3.00 datanglah pukul 3.00.

Selain dari aspek penjadualan masa, aspek tempoh dan dateline juga berkaitan. Misalnya jika kita telah berjanji untuk menyiapkan projek dalam masa sebulan, kita kena siap sebulan – bukan 3 bulan atau 4 bulan atau tak siap langsung. Begitu juga dengan dateline. Jika kita diarahkan untuk menghantar assignment sebelum pukul 12.00 tengah hari, maka kita perlu siapkan dan hantar assignment kita sebelum pukul 12.00 tengah hari pada tarikh yang berkenaan.

4:103 Dan apabila kamu selesai dengan komitmen tersebut (berperang ), ingatlah Allah sambil berdiri, duduk atau bersandar; tetapi apabila kamu telah benar-benar selamat; tunaikanlah komitmen-komitmen yang rutin, sesungguhnya setiap komitmen mempunyai garismasa (dateline) kepada orang-orang yang percaya.

5.  Solaa @ komitmen perlu dilakukan bersama sifat tekun dan sabar

Satu lagi aspek yang penting untuk menjayakan sesuatu komitmen, kita mestilah tekun dan sabar. Tidak ada kerja yang mudah tetapi biasanya orang-orang yang tekun dan sabar dalam usaha mereka  akan lebih berjaya dari mereka yang tidak cekal hati dan cepat mengalah.

2:153  Wahai kamu yang percaya! Mintalah pertolongan melalui kesabaran dan komitmen, sesungguhnya Tuhan bersama-sama mereka yang sabar.

Dan sebagai penutup, saya harap corat-coret mengenai solaa @ komitmen ini akan menjana perbincangan yang sihat dari para pembaca semua.

Written by tolokminda

February 24, 2010 at 5:33 pm

Zakat – benarkah Tuhan suruh kita bayar untuk memurnikan jiwa dan harta?

with 70 comments

Membayar zakat merupakan amalan yang dianggap sebagai salah satu tiang agama oleh penganut agama Islam. Pada dasarnya tujuan pembayaran zakat diwajibkan atas alasan untuk membersihkan jiwa dan harta. Untuk memersihkan jiwa kita diwajibkan membayar zakat fitrah dan untuk membersihkan harta kita perlu membayar zakat harta.

Adakah konsep pembersihan jiwa dan harta melalui amalan membayar wang ini satu ketetapan dari Tuhan?

Saya berpendapat tidak. Mungkin kita boleh merasuah pegawai agama, tetapi tidak mungkin kita dapat melakukan yang sama kepada Tuhan. Di dalam Al-Quran tidak ada perintah yang menyuruh kita membayar atau membelanjakan wang atau harta kita kepada institusi agama atau pemerintah bagi tujuan memurnikan diri dan harta. Sebagai orang yang berada di landasan kebenaran, Tuhan suruh membelanjakan wang atau harta kita begini:

2:177 “Ia bukanlah kebenaran yang kamu perlu memalingkan muka menghadap timur dan barat, tetapi kebenaran adalah bahawa seseorang perlu percaya kepada Allah, dan hari kiamat dan para malaikat dan Al-Kitab dan para nabi – dan yang mengeluarkan harta yang mereka sayang untuk keluarga dan anak-anak yatim dan yang memerlukan dan mereka yang dalam perjalanan dan para pengemis dan menebus tawanan – dan yang mereka melaksanakan komitmen mereka dan menjaga kemurniannya dan mereka yang berpegang pada janji apabila mereka berjanji dan yang sabar dalam kecemasan dan kesukaran dan di dalam konflik – mereka inilah yang jujur dan mereka inilah yang memberi perhatian.”

Senarai yang panjang kepada siapa kita patut membelanjakan wang atau harta. Tetapi tidak ada suruhan untuk kita mewakilkan sumbangan kita itu kepada pihak-pihak tertentu khususnya institusi agama. Saya yakin kita boleh membuat sumbangan secara terus. Kita boleh menyumbang kepada mana-mana individu atau pihak yang Tuhan telah beri restu. Dan sudah tentu sumbangan kita tidak perlu tertakluk kepada sebarang jumlah yang telah dijadualkan.

Jadi bagaimana dengan zakat?

Perkataan yang sebenarnya adalah zakaa – bukan zakat.  Sama juga seperti solaa – bukan solat. Dan saya percaya ramai akan setuju bahawa dasar maksud perkataan zakaa adalah permurnian atau purification. Jadi mengapa kita tidak berpegang saja kepada perkataan dan maksud asal zakaa dan berlepas diri dari golongan yang suka mengada-adakan di atas apa yang sudah jelas dan terang pelbagai hukum-hakam dan kesempitan yang langsung tidak dimaksudkan oleh Tuhan.

Zakaa bukanlah tentang pemurnian jiwa atau harta dengan membayar wang kepada institusi agama. Ia adalah tentang pemurnian ke atas niat setiap perbuatan, amalan atau usaha kita – di sepanjang masa dan di mana saja – hanya untuk Allah, Tuhan yang mencipta kita – Yang akan memberi balasan setimpal ke atas setiap apa yang kita kerjakan di atas dunia ini.

Sudah tentu kita tidak perlu membayar apa-apa untuk memiliki jiwa yang bersih. Apa yang kita perlu hanyalah keikhlasan dan keinsafan dalam setiap perbuatan dan amalan yang kita lakukan. Keikhlasan dan keinsafan yang membawa kepada kerendahan diri dan kepatuhan tidak berbelah bagi kepada Tuhan. Begitu juga sudah tentu kita tidak perlu membayar apa-apa untuk membersihkan harta kita kerana apabila jiwa kita bersih, sudah tentulah dari awal lagi kita akan berusaha mendapatkan harta melalui jalan yang bersih dan direstui Tuhan.

Aqeemussolatawaatuzzaka..

Ungkapan “waaqeemussolatawaatuzzaka..” merupakan satu ungkapan yang popular di dalam Al-Quran dan terjemahan yang kita terima selama ini adalah “dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat”. Bagaimanapun selepas memahami konsep pemurnian yang wajar di sisi Allah, saya yakin kita akan lebih mudah percaya bahawa ungkapan “waaqeemussolatawaatuzzaka..”  sebenarnya bermaksud “dan berpeganglah kepada komitmen kamu dan jagalah kemurniannya”.

Melalui tafsiran ini barulah kita dapat melihat kaitan serta punca ungkapan “waaqeemussolatawaatuzzaka” sering melatari ayat-ayat di dalam Al-Quran. Ini kerana pada dasarnya keseluruhan isikandungan Al-Quran itu adalah ketetapan serta batasan ketetapan yang telah direstui oleh Tuhan dan sudah tentulah Tuhan mahu kita pegang setiap satunya sebagai komitmen dalam kehidupan kita – di mana Tuhan mahu kita murnikan setiap komitmen itu hanya untuk Dia.

Maka, sekarang jelaslah kepada kita maksud ungkapan “waaqeemussolatawaatuzzaka” – iaitu – “dan peganglah komitmen kamu dan jagalah kemurniannya”. Pendek kata, ia bukan saja tidak ada kena mengena dengan ritual sembahyang tetapi ia juga tidak ada kaitan dengan kewajipan membuat bayaran kepada institusi agama sebagai jalan untuk membersihkan jiwa atau harta.

Jika masih kurang yakin, mungkin para pembaca budiman boleh hayati beberapa contoh ayat yang mengandungi ungkapan yang pada dasarnya begitu ringkas, mudah dan jelas maksudnya tetapi telah diselewengkan sehingga kita menjadi umat yang menyekutukan Tuhan dan membayar wang untuk menyucikan diri dan harta benda.

Contoh 1:-

2:109 Kebanyakan pengikut Al-Kitab berharap mereka boleh memalingkan kamu semula supaya kamu tidak percaya selepas kamu percaya – kerana mereka irihati selepas yang benar diperjelaskan kepada mereka; tetapi maafkanlah mereka dan berlapang dada sehingga Tuhan melaksanakan langkah-langkah seterusnya – sesungguhnya Tuhan berkuasa ke atas segala-galanya.

2:110 Dan berpeganglah kepada komitmen kamu dan jagalah kemurniannya dan apa saja kebaikan yang kamu usahakan, kamu akan dapatinya bersama Allah, sesungguhnya Tuhan melihat apa yang kamu lakukan.

Contoh 2:-

2:277 Sesungguhnya mereka yang percaya dan membuat amalan-amalan kebaikan dan berpegang kepada komitmen dan menjaga kemurniannya akan memperolehi ganjaran dari Empunya mereka, mereka tidak akan berasa takut dan tidak juga mereka gusar.

Contoh 3:-

2:40 Wahai keturunan Israel! Ingatilah kelebihan yang telah Aku berikan kepadamu dan jujurlah kepada perjanjian denganKu, Aku akan tunaikan perjanjian denganmu – dan hanya Aku – Aku sahaja, kamu perlu takut.

2:41 Dan percayalah dalam apa yang telah Aku wahyukan, mengesahkan apa yang ada pada kamu dan jangan menjadi yang pertama menafikannya, jangan juga meletakkan harga yang tinggi sebagai pertukaran untuk wahyu-wahyuKu; dan Aku, Aku sahajalah yang kamu perlu patuh.

2:42 Dan janganlah kamu mencampur-adukkan kebenaran dengan kepalsuan, jangan juga menyembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya.

2:43 Dan berpeganglah kepada komitmen-komitmen kamu dan jagalah kemurniannya dan rendahkan diri sebagaimana orang-orang yang merendah diri.

Baiklah. Apa kata kita mulakan perbincangan…

Written by tolokminda

February 22, 2010 at 5:18 pm

Ka’aba bukan objek tumpuan sembahan tetapi ia bermaksud buku lali

with 160 comments

Di dalam Al-Quran, perkataan  alkaAAba hanya disebut tiga kali iaitu dalam 5:6, 5:95 dan 5:97. Dan bercanggah dengan kepercayaan ramai bahawa ia bermaksud sebuah binaan batu empat segi yang terletak di Mekah, maksud sebenar perkataan itu adalah buku lali.

Ia ditafsirkan dengan betul dalam ayat 5:6.

Saya percaya maksud asal perkataan alkaAAba dalam 5.6 terpaksa dikekalkan oleh para penaung agama Arab Jahiliah yang berlindung di sebalik Al-Quran kerana konteksnya terlalu karut untuk diubah mengikut pembohongan mereka.  Takkan Tuhan suruh kita basuh kaki sampai ke binaan batu di Mekah, kan? Jadi mereka tidak ada pilihan selain mengekalkan maksud sebenarnya.

Saya berpendapat, di sinilah Tuhan menewaskan para penipu dalam konteks perkataan alkaAAba di dalam Al-Quran. Oleh itu di sinilah kita perlu menetapkan keyakinan kita kepada Tuhan dan jangan beri peluang kepada iblis menyesatkan kita.

Baiklah. Mari kita periksa ketiga-tiga ayat yang mengandungi perkataan alkaAAba satu persatu. Kita bandingkan terjemahan puak penaung agama Arab jahiliah, terjemahan semula oleh saya dan transliterasinya sekali supaya para pembaca budiman dapat melihat dengan jelas dan membuat penilaian sendiri.

Terjemahan iiu: 5:6 “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur”.

————————————————————————————————————————————Terjemahan semula saya: 5:6 Wahai kamu yang percaya! Apabila kamu telah mendirikan komitmen, basuhlah muka kamu dan tangan kamu sehingga ke siku dan sapu kepala kamu dan kaki kamu sehingga ke dua buku lali dan jika kamu dalam keadaan kotor, mandilah. Dan jika kamu dalam keadaan sakit atau dalam perjalanan atau sesiapa dari kamu daripada tandas atau kamu telah “menyentuh” perempuan, maka tidak kamu menemui air, maka kenakan tanah yang bersih (bedak) maka sapukan dengan muka dan tangan kamu darinya. Tidak berhasrat Tuhan untuk menjadikan ke atas kamu dari kesulitan, tetapi Dia berhasrat membersihkan kamu dan melengkapkan kurniaNya ke atas kamu, supaya kamu menghargai.

————————————————————————————————————————————Transliterasi: 5:6: “Ya ayyuha allatheena amanoo itha qumtum ila alssalati faighsiloo wujoohakum waaydiyakum ila almarafiqi waimsahoo biruoosikum waarjulakum ila alkaAAbayni wa-in kuntum junuban faittahharoo wa-in kuntum marda aw AAala safarin aw jaa ahadun minkum mina algha-iti aw lamastumu alnnisaa falam tajidoo maan fatayammamoo saAAeedan tayyiban faimsahoo biwujoohikum waaydeekum minhu ma yureedu Allahu liyajAAala AAalaykum min harajin walakin yureedu liyutahhirakum waliyutimma niAAmatahu AAalaykum laAAallakum tashkuroona”

Bagaimanapun perkataan yang sama (alkaAAba) diterjemahkan sebagai “Kaabah” di Mekah dalam 5:95 & 5:97. Cuba lihat betul-betul.

Terjemahan iiu: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.

————————————————————————————————————————————Terjemahan semula saya: 5:95 Wahai kamu yang percaya! Jangan membunuh binatang buruan sedangkan kamu telah disanction. Dan sesiapa membunuhnya dari kalangan kamu dengan sengaja, maka penaltinya sama apa yang dia telah bunuh daripada haiwan ternakan. Akan menghukum di dalamnya dua orang yang adil di kalangan kamu suatu petunjuk kematangan buku lali atau penebusan memberi makan orang miskin atau yang bersamaan itu pengecualian diri supaya dia merasakan akibat dari perbuatannya. Tuhan telah memaafkan apa saja yang telah lepas. Dan sesiapa mengulangi maka akan diambil pembalasan Tuhan darinya. Tuhan Berkuasa, Pemilik segala pembalasan.

————————————————————————————————————————————Transliterasi: 5:95 “Ya ayyuha allatheena amanoo la taqtuloo alssayda waantum hurumun waman qatalahu minkum mutaAAammidan fajazaon mithlu ma qatala mina alnnaAAami yahkumu bihi thawa AAadlin minkum hadyan baligha alkaAAbati aw kaffaratun taAAamu masakeena aw AAadlu thalika siyaman liyathooqa wabala amrihi AAafa Allahu AAamma salafa waman AAada fayantaqimu Allahu minhu waAllahu AAazeezun thoo intiqamin”

Dan 5:97…

Terjemahan iiu: Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

————————————————————————————————————————————Terjemahan semula saya: 5:97 Telah dijadikan Tuhan buku lali suatu sistem yang telah disanction, suatu ketetapan untuk manusia dan bulan-bulan yang telah disanction dan petunjuk (alhadya) dan indikator (al-qolaida). Itu supaya kamu tahu bahawa Tuhan, Dia tahu apa di langit dan apa di bumi. Dan bahawa Tuhan mengetahui semua perkara.

————————————————————————————————————————————Transliterasi: 5:97 “JaAAala Allahu alkaAAbata albayta alharama qiyaman lilnnasi waalshshahra alharama waalhadya waalqala-ida thalika litaAAlamoo anna Allaha yaAAlamu ma fee alssamawati wama fee al-ardi waanna Allaha bikulli shay-in AAaleemun”

Sekali lagi, perhatikan ketiga-tiga ayat 5:6, 5:95 dan 5:97 mengandungi perkataan  alkaAAba. Dalam 5.6 ia ditafsirkan sebagai buku lali, iaitu basuh kaki sampai buku lali. Tetapi kenapa dalam 5:95 dan 5:97 perkataan yang sama ditafsirkan sebagai Kaabah, iaitu kuil batu empat segi warisan kaum Arab Jahiliah?

Begitulah kalau kita tidak berwaspada dengan penyelewengan golongan yang menaungi agama Arab jahiliah. Jadi adakah kita masih mahu menggantung sepenuhnya kepercayaan kita kepada mereka dan membiarkan diri kita menyekutukan Allah?  Tidak ada dosa yang lebih besar dari dosa menyekutukan Tuhan.

Saya yakin dengan sepenuh keyakinan bahawa perkataan alkaAAba dalam ketiga-tiga ayat tidak membawa maksud lain kecuali buku lali. Bezanya, buku lali dalam ayat 5:6 merujuk kepada buku lali kita. Tetapi dalam 5:95 dan 5:97 kedua-duanya merujuk kepada buku lali haiwan yang menjadi buruan. Sila baca artikel saya mengenai ketetapan tentang aktiviti berburu untuk memahami konteksnya.

Secara ringkas, Tuhan telah menetapkan buku lali seseekor haiwan sebagai indikasi samada ia sudah matang atau belum untuk diburu. Tuhan tidak membenarkan kita memburu haiwan yang belum matang. Struktur atau sifat buku lali haiwan belum matang berbeza dengan haiwan yang sudah matang. Dan keadaan itu turut menyebabkan cara berjalan haiwan belum matang dan haiwan yang sudah matang berbeza.

Penetapan ini sebenarnya memudahkan para pemburu. Mereka dapat menentukan kematangan seseekor haiwan hanya dengan melihat cara ia berjalan. Jadi mereka akan dapat mengelak dari membunuh haiwan yang dilarang ke atas mereka kerana faktor kematangannya.

Jika masih sangsi, perhatikan 5:95 yang menyebut “hadyan baligha alkaAAbati“. Saya percaya kita semua amat kenal dengan perkataan baligh. Maksudnya matang. Jadi jelas sekali “Hadyan baligha” itu boleh diterjemahkan sebagai indikasi kematangan dan Alkaabati itu bermaksud buku lali sebagaimana maksud perkataan yang sama dalam 5:6. Takkan kematangan kaabah pula, kan?

Mari kita bincangkan.

Written by tolokminda

February 10, 2010 at 4:08 pm

Bersunat: amalan Islam atau Kristian?

with 94 comments

Bersunat, iaitu membuang kulit bahagian depan kemaluan lelaki dan membuang sebahagian dari klitoris di kemaluan perempuan bukan lagi dianggap pilihan dalam masyarakat Islam. Walaupun ia disebut “sunat” tetapi pengamalannya tidak ubah seperti wajib.

Sunat atau wajib – hakikatnya, adakah amalan itu satu ketetapan Tuhan? Adakah Tuhan menyuruh kita bersunat atau sekurang-kurangnya menggalakkan kita bersunat? Mari kita lihat apa yang Tuhan kata mengenai mahluk ciptaanNya yang dinamakan manusia.

Al-Quran: 40:64.  “Tuhan adalah Dia yang mengamanahkan kepada kamu bumi untuk didiami dan langit sebagai bumbung dan yang mereka kamu dan menyempurnakan bentuk-bentuk  kamu dan telah menyediakan kamu kurniaan dari benda-benda yang baik. Begitulah Allah, Tuhanmu. Jadi pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam”.

Tuhan kata Dia reka kita dan Dia sempurnakan sifat fizikal kita. Jadi, apa yang tidak kena dengan kulit di hujung kemaluan lelaki atau klitoris di kemaluan perempuan?

Kita selalu dengar ustaz dan ustazah ceramah kepada kita bahawa Tuhan larang kita mengubah apa-apa berkaitan dengan anggota badan atau penampilan diri. Warnakan rambut pun tak boleh kata mereka. Tapi kenapa membuang kulit atau sebahagian kemaluan yang telah dilengkapkan oleh Tuhan sejak lahir tidak pula dianggap salah malah menjadi sunat yang diwajibkan?

Adakah orang Islam lebih cenderung mengikut ajaran para penggodam Injil dari mengikut Al-Quran yang ada di depan mereka? Mari kita lihat apa kata Injil mengenai bersunat.

Gen 17: 14. 1 3  “Mana-mana lelaki yang tidak bersunat kulit depan (kemaluan)nya mesti dipulaukan dari masyarakat kerana dia telah melanggar perjanjian. Ini adalah perjanjian tentang bersunat”.

Gen 17:24. 1  “Ibrahim telah berumur 90 tahun apabila dia bersunat kulit depan (kemaluan)nya”.

Gen 17:25. 18  “Dan Ismail anak lelakinya berumur 13 tahun apabila dia bersunat kulit depan (kemaluan)nya”.

Kita tidak akan menemui apa-apa ayat yang seperti itu di dalam Al-Quran. Fikir-fikirkanlah.

Written by tolokminda

February 6, 2010 at 6:26 am

Posted in Kehidupan Harian

Tagged with , ,

Masjid bermaksud ketetapan yang direstui

with 40 comments

Pada umumnya umat Islam percaya perkataan masjid atau masajid membawa maksud sebuah bangunan yang dibina dan didedikasikan sebagai “rumah Tuhan” supaya kita boleh menggunakannya untuk melakukan amalan ritual tertentu seperti solat berjemaah, mendengar ceramah dan sebagainya. Kononnya beribadat “di rumah Tuhan” adalah lebih baik dan Tuhan akan memberi ganjaran lebih besar.

Tetapi benarkah Tuhan menyuruh kita membina “rumah” untukNya di atas muka bumi ini? Hasil semakan saya, tidak ada satu ayat pun di dalam Kitab itu yang menyuruh kita membina masjid.  Kepercayaan bahawa perkataan masjid dirujuk kepada rumah ibadat atau rumah Tuhan tidak mempunyai sebarang asas. Konotasi bahawa kita digalakkan melakukan sesuatu amalan di masjid juga tidak ditemui di dalam Al-Quran.

Saya percaya perkataan masjid atau masajid di dalam Al-Quran bukan bermaksud rumah Tuhan atau rumah ibadat untuk orang Islam. Yang nyata hanya golongan penyekutu Tuhan saja yang mempunyai kegilaan membina rumah untuk tuhan-tuhan mereka. Tuhan yang sebenar tidak perlu rumah. Orang-orang yang percaya kepada Tuhan yang sebenar tidak perlu membina  sesuatu untuk disekutukan dengan Tuhan mereka.

Tuhan bukan macam wakil rakyat yang perlu kepada kemudahan atau premis tertentu sebagai pusat khidmat untuk mendengar masalah para pengundi. Tuhan merangkumi dan mengetahui segala ciptaanNya. Siapa kita untuk menyekutukan Tuhan dengan bangunan yang kita sendiri membinanya? Biar berapa mahal dan besar pun bangunan yang kita bina dalam ukuran dan perspektif kita, adakah Tuhan memerlukannya?

Saya berpendapat, tidak sekali-kali!

Oleh itu mari kita periksa apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh beberapa perkataan berkaitan masjid yang terdapat di dalam Al-Quran dengan contoh-contohnya sekali.

1.  Masjid

Perkataan masjid bukan bermaksud rumah Allah atau rumah ibadat orang Islam, tetapi ia merujuk kepada sesuatu “ketetapan yang direstui” yang disebut atau dinyatakan secara khusus. Misalnya;

2:187 Pada malam berpuasa, kamu dibenarkan bermesra dengan isteri-isteri kamu. Mereka adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian mereka. Tuhan tahu kamu juga membuat kesilapan, dan Dia telah menebus kamu dan mengampunkan kamu; sekarang khabarkan kepada mereka berita baik ini dan teruskan mendalami apa yang Tuhan perintahkan kepada kamu dan cernakanlah ia sehingga jelas kepada kamu sebagaimana benang putih boleh dibezakan dengan benang hitam di waktu subuh, kemudian teruskan berpuasa sehingga ke malam. Dan jangan kamu bergaul dengan mereka (isteri-isteri) ketika kamu sedang berada di dalam ketetapan yang telah direstui (almasajidi) ke atas kamu. Inilah batasan-batasan Tuhan, jadi jangan dekati mereka. Begitulah Tuhan menjelaskan wahyu-wahyunya kepada para lelaki supaya mereka meneliti.

Masjid atau ketetapan yang direstui dalam ayat di atas merujuk secara khusus kepada melaksanakan puasa. Berpuasa untuk memperkukuhkan diri sewaktu membuat penyelidikan terhadap Al-Quran merupakan salah satu ketetapan yang direstui oleh Tuhan.

2.  Masjidilharam

Perkataan ini bukan bermaksud sebuah masjid besar di mana terletaknya Kaabah di Mekah tetapi ia bermaksud “batasan ketetapan yang direstui”. “Batasan ketetapan yang direstui” merujuk kepada semua ketetapan yang direstui Tuhan yang dilihat secara menyeluruh. Mematuhi batasan ketetapan yang direstui akan mengekang seseorang dari termasuk ke dalam golongan mereka yang melampaui batas.

2:144 Sesungguhnya kami nampak kamu mengolah tumpuan kamu ke arah langit. Jadi kami palingkan kamu ke satu arah yang  kamu sukai. Oleh itu tumpukan tumpuan kamu ke arah batasan ketetapan yang direstui (almasjidi alharami). Dan di mana pun kamu berada maka tumpukan perhatian kamu kepadanya. Dan sesungguhnya mereka yang telah kami berikan Al-Kitab pasti tahu yang ia sememangnya kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Tuhan tidak pernah gagal untuk memberi perhatian dari semua perbuatan mereka.

3.  Masjidilaqsa

Perkataan masjidil aqsa bukan bermaksud sebuah masjid yang terletak di Jurusalem tetapi ia membawa maksud dalam lingkungan ketetapan yang direstui. Perkataan ini digunakan dalam 17:1.

17:1 “Pujian adalah untuk Yang Satu yang telah memukau hambaNya pada satu malam dari batasan ketetapan yang direstui (almasjidi alharami) ke arah lingkungan ketetapan yang direstui (almasjidi alaqsa), yang mana ia diberkati, supaya dapat diperlihatkan kepadanya mukjizat-mukjizat Kami. Sesungguhnya Dia Mendengar dan Melihat”.

Semasa Nabi Musa bertemu Tuhan pada satu malam buat pertama kali di mana dia terpukau dengan mukjizat-mukjizat yang diterimanya, Nabi Musa belum lagi dilantik menjadi rasul. Maka itu kedudukan beliau masih lagi dalam batasan ketetapan yang direstui (masjidilharam). Tetapi dengan penerimaan mukjizat pada malam itu bermakna beliau sudah berada dalam lingkungan ketetapan yang direstui (masjidilaqsa) kerana jika Nabi Musa sanggup menerima tanggungjawab yang diperintahkan Allah untuk bersemuka dengan Firaun dengan mukjizat-mukjizatnya, Tuhan berjanji akan menemui beliau sekali lagi untuk memberikan mukjizat yang lebih besar iaitu Al-KitabNya.

Mari kita sama-sama bincangkan.

Written by tolokminda

February 5, 2010 at 5:53 pm