Archive for the ‘Undang-Undang’ Category
Undang-undang jenayah Islam yang sebenar bersifat universal – bukan untuk “orang Islam” saja
Undang-undang Islam merupakan satu topik yang sering menghangatkan persekitaran politik mahupun sosial negara-negara Islam. Kepada “ekstremis Islam” undang-undang Islam adalah wajib dan mesti ditegakkan. Ada di antara mereka yang sanggup mengambil jalan kekerasan dan kekejaman untuk melihat kepercayaan mereka tercapai. Ada yang bergelumang dengan permainan politik kotor untuk mencapai matlamat yang sama.
Sebenarnya cita-cita golongan ini untuk hidup berundang-undangkan hukum Allah bukanlah tidak pernah mendapat peluang. Melihat kepada realiti yang ada di depan mata kita, peluang untuk mereka sentiasa terbuka. Kebanyakan negara Islam hari ini sebenarnya mempunyai set perundangan Islam masing-masing. Masalahnya mereka bukan tidak boleh melaksanakan undang-undang Tuhan, tetapi mereka sebenarnya tidak tahu caranya.
Kalau “tidak tahu” bagaimana nak laksana? Kejahilan mereka sebenarnya amat nyata melalui kontroversi-kontroversi yang timbul setiap kali mereka cuba melaksanakan “hukum Tuhan”. “Hukum Tuhan” mereka bukan saja sering dikritik, dilihat tidak adil atau zalim oleh masyarakat bukan Islam malah di kalangan umat Islam sendiri pun ada yang tidak terlepas dari perasaan yang sama. Kemudian, bagaimana mungkin “hukum Tuhan” boleh berbeza dari satu negara ke satu negara? Di Malaysia misalnya, “hukum Tuhan” di antara negeri pun tidak dapat diselaraskan.
Jika hukum Tuhan yang merangkumi setiap ciptaan Tuhan dari neutrino yang sangat kecil sehinggalah galaksi yang sangat besar bersifat begitu universal dan mampu membawa keharmonian kepada seluruh alam, bagaimana “hukum Tuhan” yang dikatakan diprogramkan khusus kepada manusia boleh menjadi begitu cacamarba sehingga membawa kepada ketidakadilan dan kezaliman sesama mereka? Tentulah ada yang tidak kena. Kemungkinan besar “hukum Tuhan” yang mereka dakwa sebenarnya bukanlah hukum Tuhan.
Dalam artikel ini saya ingin mengajak para pembaca budiman melihat bagaimana hukum Tuhan berkaitan jenayah sebenarnya bersifat sangat universal. Jika umat Islam boleh mempercayai sepenuhnya kepada petunjuk Tuhan dan benar-benar serius mahu mematuhinya, mereka bukan sahaja tidak akan menghadapi masalah untuk melaksanakan keadilan kepada sesama sendiri malah mereka dapat memberi keadilan yang sama kepada yang bukan Islam.
Negara Islam tidak perlu mempunyai dua set sistem perundangan seperti yang diamalkan kebanyakan mereka ketika ini. Mereka tidak perlu ada sistem perundangan konvensional dan sistem perundangan Islam. Kewujudan dua jenis sistem perundangan untuk penduduk dalam satu negara itu sendiri pun sudah cukup untuk memberi gambaran wujudnya ketidakadilan.
Jika kita teliti, Tuhan sebenarnya tidak memberikan hak kepada manusia untuk melaksanakan undang-undang sendiri dalam konteks jenayah yang dilakukan sesama manusia. Para hakim di dalam sistem perundangan Islam yang patuh kepada ketetapan Tuhan tidak mempunyai hak menghukum. Saya melihat peranan mereka sebenarnya terhad sebagai fasilitator kepada proses pengadilan sahaja. Tugas mereka adalah untuk memastikan proses mendapatkan keadilan di antara mangsa dan yang dituduh dapat dilaksanakan dengan sempurna. Bukannya menjatuhkan hukum.
Saya berpendapat, jika sabit kesalahan jenayah yang dilakukan oleh seseorang penjenayah terhadap mangsanya, Tuhan memberi hak menghukum kesalahannya itu kepada mangsa atau waris mangsa. Bukannya kepada hakim.
Maknanya jika seseorang penjenayah didakwa di dalam mahkamah kerana satu jenayah dan dapati bersalah selepas proses pengadilan dijalankan, hakim yang bertugas perlu mengembalikan hak menghukum penjenayah terbabit kepada mangsanya. Jika mangsanya mati akibat jenayahnya itu maka hakim perlu memberi hak kepada warisnya untuk menentukan hukuman. Mangsa atau waris sebenarnya diberi hak untuk menghukum, memaafkan atau menerima gantirugi yang ditawarkan kepada mereka. Bagaimanapun perbincangan ini hanya akan menumpukan kepada hak menghukum yang diberikan kepada mangsa atau warisnya.
Kita boleh mulakan renungan terhadap petunjuk Tuhan dalam perkara ini melalui ayat-ayat berikut.
5:45 Dan Kami aturkan kepada mereka di dalamnya bahawa nyawa untuk nyawa dan mata untuk mata dan hidung untuk hidung dan telinga untuk telinga dan gigi untuk gigi dan kecederaan yang bersamaan. Tetapi sesiapa yang membatalkan pembalasan itu, ia adalah satu penebusan kepada dirinya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diwahyukan Tuhan, mereka adalah orang-orang yang tidak percaya.
Frasa “sesiapa yang membatalkan pembalasan itu” sebagai satu bentuk penebusan diri dalam ayat di atas menunjukkan hak untuk menghukum atau memaafkan penjenayah terletak di tangan mangsa. Selain ayat 5:45, kita juga boleh merujuk kepada ayat berikut untuk mendapat kesimpulan yang sama – di mana mangsa atau waris mangsa diberikan hak untuk menghukum penjenayah yang menganiayai mereka.
17:33 Dan janganlah membunuh, sesungguhnya Tuhan telah menjadikan ia satu larangan, kecuali di atas sebab keadilan. Dan sesiapa membunuh secara tidak adil, maka Kami beri kepada warisnya kuasa (menghukum), jadi jangan biarkan dia melampaui batas dalam melakukan pembunuhan kerana dia telah diberi pertolongan.
Peluang membalas sendiri penganiayaan penjenayah oleh mangsa atau waris mangsa pada dasarnya merupakan satu bentuk keadilan yang optimum jika dilihat dari perspektif mangsa. Jika penjenayah membunuh, mereka juga boleh dibunuh. Jika penjenayah menyebabkan kecederaan secara khusus maka mangsa boleh mengenakan kecederaan yang sama. Pastinya dengan kaedah ini tidak ada mangsa atau waris mangsa yang boleh mempertikaikan bahawa mereka tidak mendapat keadilan atau tidak diberi peluang menebus penganiayaan yang telah dilakukan ke atas diri mereka.
Dari sisi lain pula, proses penghukuman jenayah yang dianjurkan Tuhan ini turut menjadikan faktor agama atau bangsa tidak lagi mempunyai signifikan kerana perhitungan akhirnya dikembalikan kepada mangsa atau waris mangsa ke atas orang yang telah menganiayainya tanpa mengira agama atau bangsa mereka. Tidak akan timbul lagi soal ini undang-undang Islam atau ini undang-undang konvensional. Di bawah undang-undang Tuhan semua manusia mendapat peluang yang sama dalam memperolehi keadilan terhadap penjenayah. Maka akan adakah sesiapa yang waras mahu menolak kesejagatan (universality) hukum yang Tuhan tetapkan untuk mereka?
Mungkin ada orang yang akan mempertikaikan bahawa ketetapan Tuhan ke atas kesalahan jenayah dalam 5:45 merujuk kepada ketetapan yang diturunkan kepada orang-orang Yahudi. Bagaimanapun jika kita teliti ayat-ayat lain yang berkenaan, Tuhan sebenarnya telah menurunkan ketetapan yang sama ke atas semua umat Al-Kitab. Mari kita lihat beberapa ayat tersebut.
5:44 Sesungguhnya Kami telah mewahyukan Taurat yang di dalamnya terkandung pedoman dan cahaya, dengannya nabi-nabi yang menyerahkan diri mereka mengadili dengannya mereka yang Yahudi – mereka yang berkuasa dan para pembesar yang dipertanggungjawabkan menjaga Kitab Tuhan dan mereka menjadi saksi ke atasnya, oleh itu janganlah takut kepada manusia dan takutilah Aku dan jangan menjual ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit dan sesiapa yang tidak mengadili dengan apa yang telah Tuhan wahyukan maka mereka itulah golongan yang tidak percaya.
Dari ayat 5:44 kita mendapat tahu walaupun Tuhan telah menurunkan wahyu tentang hukuman ke atas kesalahan jenayah melalui Taurat tetapi itulah ketetapan yang telah digunakan oleh para nabi untuk mengadili orang-orang Yahudi dan ia adalah kebenaran yang boleh disahkan oleh mereka yang berkuasa dari kalangan pembesar agama yang diwariskan kepada mereka Kitab Tuhan itu. Penjelasan Tuhan berkenaan hal ini sebenarnya adalah untuk memberi keyakinan kepada kita bahawa kita tidak akan mendapat bantahan dari golongan ahli Kitab yang lain jika kita melaksanakan hukum Tuhan itu. Sebab itulah Tuhan kata jangan takut kepada manusia. Tegakkanlah hukum yang telah Dia tetapkan. Jadi, bagaimanakah Tuhan menyuruh kita menghukum sesuatu kesalahan jenayah? Sekali lagi,
5:45 Dan Kami aturkan kepada mereka di dalamnya bahawa nyawa untuk nyawa dan mata untuk mata dan hidung untuk hidung dan telinga untuk telinga dan gigi untuk gigi dan kecederaan yang bersamaan. Tetapi sesiapa yang membatalkan pembalasan itu, ia adalah satu penebusan kepada dirinya dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diwahyukan Tuhan, mereka adalah orang-orang yang tidak percaya.
Jika ia belum cukup meyakinkan kita boleh teruskan bacaan,
5:46 Dan Kami telah mengutuskan di jejak mereka Isa, anak Maryam, mengesahkan apa yang sebelumnya iaitu Taurat dan Kami memberinya Injil yang di dalamnya pedoman dan cahaya dan mengesahkan yang sebelumnya iaitu Taurat dan petunjuk dan amaran kepada mereka yang bertakwa.
5:47 Dan para pengikut Injil sepatutnya mengadili dengan apa yang telah Tuhan wahyukan di dalamnya. Dan sesiapa yang tidak mengadili dengan apa yang Tuhan telah wahyukan, mereka adalah dari kalangan yang fasik.
5:48 Dan Kami telah mewahyukan kepada kamu Kitab dengan kebenaran, mengesahkan apa yang sebelumnya iaitu Kitab dan penjaganya, oleh itu hukumlah di antara mereka dengan apa yang telah Tuhan wahyukan dan jangan menuruti nafsu mereka dari kebenaran yang telah sampai kepada kamu. Bagi setiap dari kamu Kami telah menetapkan satu peraturan dan satu jalan terbuka dan jika Tuhan berkehendak Dia tentu telah menjadikan kamu sebagai satu bangsa, tetapi Dia menguji kamu terhadap apa yang telah diberikan kepada kamu, oleh itu berusahalah dengan satu sama lain untuk bersegera kepada pekerjaan yang baik – kepada Tuhan kamu akan kembali, semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu tentang apa yang telah kamu perselisihkan.
Perhatikan bagaimana Tuhan menyakinkan bahawa kaedah hukuman yang sama telah diwahyukan dari nabi ke nabi. Dari Taurat ke Injil sehinggalah ke Quran. Perhatikan juga bagaimana Tuhan mengulang-ulang perintah supaya mengadili dengan apa yang telah wahyukan itu. Dan perhatikan juga bagaimana Tuhan menyifatkan mereka yang tidak menghukum dengan apa yang telah diwahyukan sebagai orang-orang yang tidak percaya, fasik dan melampaui batas. Dan renungkan pula betapa indahnya apabila Tuhan memberitahu kita walaupun Dia tidak menjadikan kita sebagai satu bangsa tetapi Dia telah menetapkan satu peraturan dan satu jalan yang terbuka untuk semua.
Sebagai penutup elok kita teruskan dengan dua ayat lagi.
5:49 Dan maka kamu harus mengadili di antara mereka dengan apa yang telah Tuhan wahyukan, dan jangan menurut nafsu mereka dan berhati-hatilah dengan mereka kalau-kalau mereka mendorong kamu dari apa yang telah Tuhan wahyukan kepada kamu. Tetapi jika mereka berpaling, maka ketahuilah Tuhan mahu menimpakan kesusahan ke atas kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan, dan sesungguhnya ramai manusia adalah mereka yang melampaui batas.
5:50 Adakah selepas ini pengadilan berasaskan kejahilan yang mereka inginkan? Dan siapakah yang lebih baik dari Tuhan untuk menjadi hakim kepada bangsa yang yakin?
Mari kita bincangkan.