Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Sihir bermaksud tipudaya

with 27 comments

Entry kali ini adalah respon kepada pertanyaan Niasarah mengenai sihir di sini. Mula-mula saya ingat nak respon pendek saja. Tetapi apabila membuat semakan ayat-ayat Quran yang berkaitan, rupanya ia telah mendedahkan sesuatu yang saya fikir amat menarik. Jadi saya ambil keputusan untuk menjadikan jawapan kepada Niasarah ini sebagai entry utama untuk kita sama-sama fikirkan.

Baiklah. Saya berpendapat, “sihir” sebenarnya tidak wujud. Ia sama seperti hantu yang juga sebenarnya tidak wujud. Ramai orang percaya hantu wujud tetapi jika kita teliti tidak ada orang yang pernah dapat tengok hantu sepertimana orang dapat tengok lembu melintas jalan. Maksudnya tidak ada seorang pun yang pernah nampak hantu secara jelas dan nyata di depan mereka. Kepercayaan bahawa hantu wujud hanya berlegar dalam fantasi yang berakar dari amalan dengar-cakap saja.

Masyarakat kita ada banyak hantu. Ada hantu golek, hantu pocong, hantu kum-kum, hantu kopek, hantu penanggal dan sebagainya. Tapi siapa yang benar-benar pernah nampak hantu-hantu itu? Tidak ada. Kita cuma dengar sipolan dari kampung sana nampak. Adik dia nampak, Jiran dia nampak. Tapi tuan badan sendiri tidak pernah nampak. Kalau mereka kata mereka nampak pun, mereka tidak akan berani mengesahkan bahawa mereka telah nampak hantu itu seperti mereka boleh nampak lembu melintas jalan. Kesimpulannya, hantu memang tidak wujud.

Sama juga seperti sihir. Sebenarnya tidak ada tukang sihir yang benar-benar memiliki kelebihan atau kuasa atau mentara yang hebat sehingga mereka boleh terbang dengan penyapu atau bertukar-tukar rupa atau boleh menentukan nasib orang lain. Kisah tukang sihir terbang pakai penyapu dalam masyarakat barat sebenarnya sama dengan kepercayaan masyarakat kita kepada hantu. Tiada siapa pun di kalangan mat saleh pernah nampak tukang sihir terbang naik penyapu sebagaimana orang kita tidak pernah nampak hantu penanggal terbang hanya dengan kepala dan isi perut.

Saya percaya kebanyakan tukang sihir barat dahulu menggunakan “kaedah silap mata” yang diolah dari kefahaman dan aplikasi sains yang disembunyikan atau yang belum diketahui umum. Mereka menggunakan helah yang memanipulasi elemen mekanikal, elektrikal, kimia dan sebagainya. Kepada masyarakat yang rata-rata jahil, kesan tindakbalas kimia yang berlaku di antara 2 bahan pun boleh menyebabkan mereka berasa takjub. Sampai hari ini pun ramai bomoh masih lagi menggunakan kaedah-kaedah silap mata untuk menipu pelanggan mereka yang tidak ada akal.

Contohnya seperti yang boleh kita lihat dalam video ini.

Ahli-ahli sihir Firaun yang disebut di dalam Al-Quran pun sebenarnya sama. Mereka juga menggunakan kaedah silap mata. Apabila mereka menukar tongkat mereka menjadi ular, ia bukanlah apa yang sebenarnya berlaku. Ia trick saja. Sebab itulah apabila tongkat Musa benar-benar menjadi ular dan telan semua peralatan mereka, mereka terus mengaku kalah dan percaya kepada Musa. Mereka tahu sampai mati pun mereka tidak akan dapat buat apa yang Musa buat. Ini dapat kita bayangkan melalui ayat-ayat berikut.

7:113-121 Maka datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun. Mereka berkata: Sesungguhnya kami mahukan ganjaran jika kami menang. Dia berkata: Sudah tentu dan kamu akan menjadi orang yang rapat denganku. Mereka berkata: Wahai Musa! Kamu lempar dulu atau kami lempar dulu? Dia kata: Kamu lemparlah. Maka mereka melempar, mereka menakjubkan mata-mata manusia dan menimbulkan ketakutan kepada mereka dan mereka membawa sihir yang hebat. Kami menginspirasi Musa: Lemparkan tongkatmu dan tiba-tiba ia menelan semua yang mereka cipta. Maka kebenaran terbukti dan sia-sia apa yang telah mereka usahakan. Jadi mereka tewas di sana dan pada ketika itu dengan rasa malu. Dan ahli-ahli sihir itu berasa takjub dan menjadi orang-orang yang bersetuju. Mereka berkata: Kami percaya kepada Pemelihara sekalian alam.

Dari semua petunjuk tentang “sihir”, saya berpendapat perkataan sihir sebenarnya bermaksud tipudaya. Misalnya, mari kita teliti betul-betul ayat 2:102. Oleh kerana ia ayat yang agak panjang, saya letak dalam kurungan siapa yang dimaksudkan sebagai “mereka” supaya lebih mudah kita memahaminya.

2:102 Dan mereka (manusia) menurut apa yang syaitan telah ceritakan berkenaan kerajaan Sulaiman. Sulaiman bukanlah seorang yang menafikan tetapi syaitanlah yang menafikan. Mereka (syaitan) mengajar manusia “sihir” dan mengajar mereka apa yang telah diturunkan kepada dua malaikat di Babil – Harut dan Marut. Mereka (Harut & Marut) tidak mengajar sesiapa kecuali mereka telah berkata; Kami hanya melakukan ujian, oleh itu jangan jadi orang yang menafikan. Tetapi mereka (manusia) belajar dari keduanya apa yang boleh memisahkan seseorang dengan pasangannya tetapi mereka tidak boleh menyebabkan musibah dengannya kepada sesiapa kecuali dengan izin Tuhan. Dan mereka (manusia) belajar apa yang menyebabkan musibah kepada mereka dan bukan yang membawa manfaat kepada mereka. Dan mereka mengetahui sesiapa yang melanggan perkara seperti itu tidak mempunyai tempat di akhirat. Teruk sungguh apa yang mereka jual dengan jiwa mereka jika mereka tahu.

Perhatikan bahawa Harut dan Marut sebenarnya adalah malaikat yang ditugaskan untuk melakukan ujian dan bukan mengajar sihir kepada sesiapa. Sebab itulah sebelum mereka menjalankan tugasan mereka, mereka memaklumkan bahawa mereka hanya melakukan ujian dan berpesan supaya jangan menjadi orang yang menafikan. Pendek kata, malaikat-malaikat itu tidak melakukan sebarang kesalahan pun.

Malangnya, dari mulut agamawan kedua-dua malaikat itu telah mendapat reputasi yang amat buruk. Kononnya mereka telah mengajar sihir kepada manusia. Sedangkan yang mengajar “sihir” adalah syaitan iaitu mereka yang telah memilih untuk mempelajari aspek yang tidak elok dari ujian yang telah dilakukan oleh Harut dan Marut dan menyampaikannya pula kepada orang lain untuk menipudaya mereka. Dan melihat kepada konteks ayat inilah, saya berpendapat apa yang dimaksudkan dengan “sihir” dalam 2:102 sebenarnya adalah “tipudaya” dan bukannya sihir yang boleh dikaitkan dengan mentera dan jampi serapah.

Sebagaimana yang saya katakan tadi, ujian yang dilakukan oleh Harut dan Marut bukanlah bertujuan supaya manusia menjadi golongan yang menafikan atau untuk menyebabkan mereka berpecah-belah. Malangnya apa yang manusia pilih untuk pelajari dari mereka hanyalah sesuatu yang boleh memisahkan seseorang dengan pasangannya. Saya berpendapat apa yang dimaksudkan dengan “memisahkan seseorang dengan pasangannya” tidak boleh kita tafsirkan secara lateral. Sebaliknya ia adalah untuk menggambarkan betapa mendalam dan berkesannya apa yang mereka pilih untuk pelajari itu dalam memecahbelahkan masyarakat manusia sehingga ke peringkat unit yang paling kecil.

Banyak perkara boleh menyebabkan seseorang berpisah dengan pasangannya atau manusia berpecah sesama mereka. Tetapi saya melihat yang paling relevan dan yang paling jelas untuk kita kaitkan dengan ayat 2:102 adalah, kepercayaan agama. Tidak ada suatu kaedah yang lebih mendalam dan berkesan untuk memecah-belahkan manusia selain kepercayaan agama masing-masing. Kita boleh nampak dengan jelas bagaimana kepercayaan-kepercayaan agama yang wujud di dunia hari ini telah menyebabkan perpecahan masyarakat manusia berlaku di setiap peringkat dari sekecil-kecil unit keluarga sehinggalah kepada unit negara.

Pendek kata, 2:102 bukanlah menceritakan asal usul ilmu sihir berasaskan jampi mentera. Ia bukan tentang malaikat sesat. Tetapi ia merupakan satu peringatan supaya kita tidak ikut ajaran syaitan, iaitu manusia yang mengambil pelajaran yang buruk dari ujian Harut & Marut dan kemudian mengajar manusia lain apa yang mereka pelajari itu dengan cara “sihir” iaitu tipudaya. Kita harus fahamkan betul-betul apabila Tuhan menyatakan “…dan mereka (manusia) belajar apa yang menyebabkan musibah kepada mereka dan bukan yang membawa manfaat kepada mereka. Dan mereka mengetahui sesiapa yang melanggan perkara seperti itu tidak mempunyai tempat di akhirat. Teruk sungguh apa yang mereka jual dengan jiwa mereka jika mereka tahu”.

Saya berterima kasih kepada Niasarah yang bertanya tentang sihir. Di atas pertanyaan itu saya mendapat banyak pengetahuan baru hari ini. Misalnya, sihir bermaksud tipudaya. Harut & Marut bukan malaikat sesat. Fitna bermaksud ujian. Dan kufur bermaksud menafikan.

Written by tolokminda

July 16, 2011 at 6:36 pm

27 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam,

    7:123. Berkatalah Firaun, “Kamu percaya kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu. Sesungguhnya ini satu tipu daya (makrun) yang kamu memperdayakan (makar) di kota supaya kamu mengusir penduduknya daripadanya. Sekarang kamu akan tahu!

    Dalam terjemahan e-Bacaan, perkataan “makara” juga diterjemahkan sebagai tipu daya. Jadi jika sihir adalah tipu daya, apakah TM merasakan perkataan “makara” itu ada maksud lain?

    Juang

    July 16, 2011 at 11:19 pm

  2. taaaaapi….TM,

    lepas saya post soalan,saya google n baca beberapa material yang mengatakan sihir tu wujud.

    kemudian saya buka laman darul shifa,Dr Haron Din.Ada penulisan tentang sihir,tentang makhluk halus dll.

    kemudian pukul 9.50pm tadi saya tengok harry potter pulak.

    Info yang saya dapat kumpul adalah :

    i.Allah swt jadikan malaikat( dari cahaya), jin( dari api), manusia n haiwan.

    Malaikat sifatnya konpem menurut 100 percent perintah Allah,ada diperihalkan dalam beberapa ayat quran( jgn tanya ayat mana satu,saya benak hati skit tapi saya tahu n baca di Quran)

    Jin,dlm satu ayat yg mana Allah menyuruh semua makhluk malaikat n iblis tunduk menyembah adam ( tapi bukan macam kita sembah Allah swt).Malaikat semua on aje kecuali iblis so ditetapkan tuhan iblis termasuk dlm golongan sesat.Iblis pun kata,ok lah dah alang2 sesat…baik trus jadikan sbg ‘kerjaya’.So tuhan kata, ok n nego punya nego umur iblis pun dipanjangkan sampailah tiupan sangkakala pertama nanti.

    Perlu ingat,syaitan iblis adalah api…sebab asalnya dari golongan jin.yang tak sama,keturunan syaitan diberi umur hingga kiamat,manakala keturunan jin berhidup macam kita manusia.Spt mana manusia ada baik,ada jahat…jin pun sama.Ada yg menyembah Allah,ada yang kafir.Disebabkan sifat kejadian,jin n syaitan tak ada jisim…invisible,unseen n copycat ( boleh berubah bentuk)

    niasarah

    July 17, 2011 at 3:03 am

  3. sambungan…

    niasarah

    July 17, 2011 at 5:16 am

  4. bukan jisim…jirim( kalau tak salah).Manusia pula dijadikan dari tanah,bermakna kita mempunyai jirim,bentuk fizikal,dapat dilihat.

    Dan paling pasti,samada dapat dilihat atau tidak…kedua-duanya mempunyai unsur tenaga.

    ii.dalam babak terakhir harry potter,Harry tidak mempunyai senjata utk melawan musuh.Tapi kemudian jawab pengetua aka tok guru harry( lebih kurang macam ni) ” tak perlu alat senjata,tak perasan ke kekuasaan dan kehebatan ‘perkataan’? Perkataan boleh membina dan juga memusnahkan.

    Dari kedua ini,saya berpendapat

    a.Tipudaya boleh dilakukan oleh manusia biasa hanya dengan memanipulasikan perkataan dan frasa.Seorang manusia mampu menyesatkan manusia lain,mampu mempengaruhi dan mengawal manusia lain dengan menggunakan pengaruh manipulasi kata,akal dan fizikal ( nyata).

    Tapi untuk melakukan lebih,manusia perlu bantuan tenaga.Kerana tenaga manusia terbatas berbanding tenaga makhluk lain.Sihir mengikut kefahaman saya adalah satu level lain untuk tujuan tipudaya.Sihir adalah kombinasi mentera ( himpunan kata,words),dan kekuatan n kelebihan jin yang bersekutu dgn syaitan bagi tujuan mempengaruhi,menyesatkan.

    Katakan ali memanipulasi kata dgn tujuan ingin mempengaruhi minah.Ayat punya ayat….tak jalan jugak,minah tidak berjaya dipengaruhi.Ali kemudian meminta pertolongan dari bomoh ka apa ka.Jin yg bersekutu dgn syaitan lalu masuk kedalam jiwa,tubuh dan fikiran minah.Jika minah mempunyai hati fikiran yg tak solid…mudahlah jin n syaitan itu menempati ruang2 kosong dalam tubuh dan minda.Ketika ini,keadaan minah adalah disihir.

    niasarah

    July 17, 2011 at 6:07 am

  5. kemudian saya berfikir,jika perkataan adalah senjata paling power…bukankah al quran juga adalah as shifa? Pengubatan islam spt di darul shifa bersandarkan kata dan ayat al Quran.Lalu mengapa manusia masih boleh dipengaruhi atau di sihir biarpun mengamal bacaan kata dan ayat quran,kursi, 3 qul,9 ayat pertama yaasin,ayat 285 al baqarah kalau tak silap lah dan banyak lagi ayat2 lain bg tujuan mengelak menghalang dan melawan sihir?

    Baru saya dapat jawapan,kata dan ayat di dalam Quran adalah senjata,malangnya ianya senjata yg tidak kuat kerana makna kata itu tidak difahami sesungguhnya,makna kata itu tidak diucapkan dengan hati yang percaya,ikhlas dan tawakal dan mengakui sepenuhnya segala di langit dan dibumi di bawah kekuasaan Allah.

    Kurangnya semua di atas menyebabkan manusia lemah dari yang sepatutnya

    niasarah

    July 17, 2011 at 6:22 am

  6. TM dan Juang,terima kasih utk masa dan kesudian membantu saya memahami lebih sedikit dari sebelumnya.

    Salam.

    niasarah

    July 17, 2011 at 6:31 am

  7. 7:123. Berkatalah Firaun, “Kamu percaya kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu. Sesungguhnya ini satu tipu daya (makrun) yang kamu memperdayakan (makar) di kota supaya kamu mengusir penduduknya daripadanya. Sekarang kamu akan tahu!

    Dalam terjemahan e-Bacaan, perkataan “makara” juga diterjemahkan sebagai tipu daya. Jadi jika sihir adalah tipu daya, apakah TM merasakan perkataan “makara” itu ada maksud lain?

    Salam Juang,

    Saya berpendapat perkataan makrun sesuai diterjemahkan sebagai “rancangan jahat” dan makar sebagai rancang (rancangan yang jahat itu). Jika saya terjemahkan 7:123 saya akan terjemahkan begini:

    7:123 Firaun berkata: Kamu telah percaya kepadanya sebelum aku memberi kebenaran? Ini tentu satu konspirasi/komplot yang kamu telah rancang di dalam bandar untuk mengusir penduduknya. Tetapi sekejab lagi kamu akan tahu!

    Jika tuan Juang semak terjemahan-terjemahan bahasa Inggeris mereka menggunakan perkataan plan/ scheme/plot dan sebagainya. Perhatikan konteks ayat menjadi lebih jelas jika kita terjemahkan seperti itu. Tuan Juang boleh semak semua ayat yang mengandungi perkataan “sihir” dan cuba gantikannya dengan “tipudaya”. Ia mungkin membantu.

    tolokminda

    July 17, 2011 at 9:03 am

  8. Salam TM,

    Terima kasih kerana memberi idea baru bagi saya tentang terjemahan perkataan “makrun” tersebut. Makna “konspirasi” dalam ayat 7:123 memang menjadikan ayat tersebut kuat, apatah lagi dalam senario politik tanahair, ada pihak suka berprasangka tentang konspirasi.

    Saya juga setuju dengan pendapat TM bahawa sihir bukanlah satu mantera atau jampi serapah yang boleh menghasilkan satu kuasa yang hebat. Ia hanya permainan psikologi yang menyebabkan jiwa yang lemah ditipudaya sehingga merasakan sesuatu perkara itu benar-benar wujud, sedangkan ia hanyalah khayalan yang bermain di kotak fikiran orang yang diperdayakan itu.

    Mengatakan seperti “undi parti aku nanti masuk syurga” juga satu bentuk sihir (tipudaya). Orang yang lemah jiwanya, pasti terpesona dengan kata-kata sebegitu sehingga jiwa mereka mudah dikawal untuk kepentingan peribadi pihak2 tertentu.

    Juang

    July 17, 2011 at 9:45 am

  9. Salam Niasarah,

    Saya bersetuju kalau puan kata memahami perkataan-perkataan dalam mesej Tuhan akan memberi kekuatan kepada seseorang untuk mengharungi apa saja cabaran dalam kehidupan. Tetapi bagi saya, ia bukan bermakna kita boleh menggunakan ayat-ayat Tuhan sebagai jampi dan mentera. Ia tidak berfungsi begitu. Kalau ada pun kesan kepada sesiapa yang mengamalkan sedemikian, kesan itu mungkin bersifat placebo saja kerana dia telah mendapat keyakinan itu dari kepercayaannya kepada dakwaan orang lain.

    Sebaliknya ayat-ayat Tuhan berfungsi sebagai petunjuk, penjelas dan pembeza – bukannya untuk menjadi jampi mentera atau pendinding kepada “sihir”. Ayat-ayat Tuhan membantu manusia dengan cara menjadikannya bijak – yang penuh dengan common sense sehingga mudah baginya untuk membezakan apa yang elok dan apa yang buruk, apa yang wajar dan apa yang tidak wajar, apa yang jahat dan apa yang baik, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

    Kepercayaan kepada “sihir” dalam sesebuah masyarakat sebenarnya boleh mengukur tahap kebijaksanaan masyarakat itu. Jika kepercayaan dan amalan kepada “sihir” kuat, percayalah masyarakat itu pasti lebih bodoh berbanding dari masyarakat yang kurang percaya dan kurang mengamalkan “sihir”. Dulu di zaman mat saleh-mat saleh sangat percaya kepada “sihir” pun masyarakat mereka bodoh melantun-lantun.

    tolokminda

    July 17, 2011 at 9:47 am

  10. Salam Nia,

    Pada pemahaman saya setakat ini, syaitan adalah perwatakan jahat. Ia boleh wujud dalam diri manusia mahupun jin. Kenapa syaitan itu wujud sehingga ke hari kiamat? Sebab, selagi wujud generasi manusia dan jin, selagi itulah perwatakan jahat tersebut terus wujud.

    Saya setuju dengan saudari bahawa iblis dan keturunan jin juga mati seperti Adam dan keturunan manusia mati. Namun perwatakan jahat (syaitan) itu sentiasa diwarisi (tidak mati) kerana adanya golongan yang menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah untuk mendapat nama, kemegahan, pengaruh, wang, harta dan pangkat.

    Jika semua manusia bersifat seperti para rasul yang tidak mengambil upah dalam menyampaikan peringatan Allah, sudah pasti akan pupus watak jahat (syaitan) di dalam generasi manusia. Tetapi realitinya ia amat sukar hendak berlaku. Bayangkan baru kita bincangkan ayat-ayat Allah di blog ini pun sudah banyak watak-watak jahat yang membencinya, macam manalah perwatakan jahat ini hendak diBERSIHkan daripada keturunan Adam? Di situlah logiknya kenapa syaitan terus kekal sehingga Allah musnahkan langit dan bumi.

    Juang

    July 17, 2011 at 9:54 am

  11. Salam TM,

    Mungkin diwujudkan cerita Avatar dan Harry Potter itu sebagai perbandingan kaum yang bijak dan kaum yang bodoh melantun-lantun itu. 🙂

    Juang

    July 17, 2011 at 9:59 am

  12. Salam Juang,

    Ya. Jika kita lihat senario politik negara kita pun kita akan dapat melihat dengan jelas elemen-elemen sihir atau tipu daya serta elemen-elemen makrun atau konspirasi. Bagaimanapun sama seperti senario yang dapat kita lihat dalam konteks kita sebagai orang-orang yang percaya sepenuhnya kepada Al-Quran – orang-orang yang tidak mahu percaya kepada Al-Quran pun tidak berasa janggal untuk menuduh kita sebagai orang-orang yang memutarbelitkan Al-Quran.

    Ini bermakna kepercayaan dan keyakinan itu tidak semestinya berasaskan kepada kebenaran. Hanya mereka yang menggunakan akal dengan sebaik-baiknya saja akan dapat membezakan yang mana satukah kebenaran yang sebenarnya.

    tolokminda

    July 17, 2011 at 10:05 am

  13. Salam Juang,

    Tentang hubungan manusia, syaitan dan jin saya dapat pencerahan baru. Saya akan tulisnya sebagai entri penuh kerana ia suatu perkara besar.

    tolokminda

    July 17, 2011 at 10:09 am

  14. Salam TM,

    Al Quran ada mengatakan, jika ia bukan daripada Allah, pasti kita akan jumpa percanggahan yang banyak di dalamnya. Di situ sebenarnya ada kunci untuk menilai sama ada sesuatu terjemahan/tafsiran itu benar atau tidak.

    Seandainya kita memutarbelitkan Al Quran, sebenarnya mereka mudah sahaja membuktikannya dengan menunjukkan berlakunya banyak percanggahan dalam apa yang kita terjemahkan/tafsirkan itu. Tetapi realitinya mereka tidak dapat menunjukkan wujudnya percanggahan itu kerana mereka tahu sebenarnya kepercayaan tradisi mereka itulah yang menyebabkan ayat-ayat Al Quran bercanggahan antara satu sama lain.

    Juang

    July 17, 2011 at 10:11 am

  15. Salam Juang,

    Benar. Mereka tidak mengambil berat percanggahan yang terdapat dalam terjemahan-terjemahan atau tafsiran-tafsiran Al-Quran mereka kerana percaya ia sesuatu yang perlu dijelaskan oleh hadis-hadis. Padahal tidak ada apa yang tidak jelas dengan ayat-ayat Al-Quran kalau in the first place mereka tidak menyelewengkan terjemahan atau tafsirannya.

    tolokminda

    July 17, 2011 at 10:20 am

  16. Salam TM,

    Mungkin mereka tidak nampak bahawa kaedah menyilang sesama ayat Al Quran itulah cara terbaik untuk mendapat penjelasan Al Quran. Malah kaedah itu juga dapat membantu kita mengesan sesuatu penyelewengan makna sesuatu perkataan.

    Kalau mereka nampak pun, mungkin kerana mereka tidak sanggup menerima hakikat bahawa kepercayaan tradisi mereka selama ini tidak sama seperti yang ada dalam Al Quran kerana sudah beranggapan, apa yang tok guru agama mereka ajar, itulah yang ada dalam Al Quran.

    Persangkaan mereka itu sama seperti apa yang kebanyakan orang Yahudi dan Nasrani sangka bahawa apa yang guru-guru agama mereka ajar, itulah yang diajar melalui Taurat dan Injil.

    Juang

    July 17, 2011 at 10:27 am

  17. Salam Juang,

    Benar. Siapa sangka ayat-ayat Al-Quran yang berulang-ulang itu merupakan satu kaedah yang menjadikan Kitab itu bersifat anti-penyelewengan jika mereka tidak menelitinya betul-betul. Selagi kita menggantungkan kepercayaan kita kepada golongan agamawan – tidak kiralah brand apa agama yang mereka bawa – selagi itulah kita berhadapan dengan risiko menjadi pengikut golongan yang menyelewengkan Kitab-Kitab Tuhan. Dari agama Hindu, Buddha, Kristian, Yahudi, Islam – semua sama saja. Yang berbeza di antara semua agama itu adalah bagaimana mereka mengolah cerita-cerita agama mereka dan kepada siapakah cerita-cerita itu mereka sandarkan. Dalam setiap agama, ada watak utamanya selain dari Tuhan.

    tolokminda

    July 17, 2011 at 10:54 am

  18. saya tak sabar menunggu pencerahan hubungan manusia,jin,syaitan.

    Syaitan bukan character,pada pandangan saya.

    kalau kita lihat ayat 112,113 al an ‘am, kat situ jelas Allah memberitahu syaitan dari golongan manusia dan dari golongan jin.Tugas syaitan adalah menipu(sihir,tipudaya) melalui bisikan perkataan.

    Atas logik ini,kita dapat lihat segala jenis kezaliman dan kerosakkan dan pemikiran yg tak masuk akal.Kerana yang melakukan semua itu,bukan manusia tetapi syaitan yang dilahirkan dalam golongan manusia.

    Semalam saya ingin memberi contoh tipudaya politik melalui manipulasi perkataan.Tapi saya batalkan,takut kena tempelak lari topik 😛

    kita rujuk al baqarah,14.Syaitan dlm kalangan manusia adalah kaum munafik,pemimpin munafik yg berusaha menyesatkan manusia lain.Manusia adalah manusia,namun golongan munafik ini adalah syaitan yg dilahirkan sebagai manusia.

    dan di surah al hijr,42.Allah swt mengatakan tak ada satu hambanya yang ada kekuasaan kecuali manusia yang memilih untuk mengikut.ayat ni pada Sarah,jelas memberitahu manusia adalah manusia.Diberi akal dan hati untuk memikir,menolak atau mengikut syaitan dan jin yg menyesatkan.

    TM mengatakan masyarakat yg kuat percaya sihir,masyarakat mundur.Saya setuju,masyarakat yg kuat menipu,melakukan tipu daya selamanya akan mundur.

    Orang barat dulu2 kuat percaya sihir ke?Nanti ada masa,saya akan cari maklumat ttg ini.Sebabnya kita tahu barat itu advance dari banyak segi berbanding masyarakat errrmm….malaysia khususnya.Cerita animasi avatar,harry potter mengikut pemahaman saya…tidaklah tentang sihir,ianya menunjukkan tahap imaginasi manusia yg amat luas.Namun luas manapun,di alam manapun ( nyata atau tidak),tetap wujud golongan jahat dan golongan baik.Kuasa jahat tak akan mati kerana dlm dlm surah al hijr,37,38 Allah telahpun menangguhkan kematian kuasa jahat( syaitan,iblis) sehingga sampai hari kebangkitan.

    Mempercayai sihir,bukanlah sebab utama masyarakat jadi bodoh atau mundur.Yang menjadikan masyarakat itu bodoh dan mundur kerana manusia itu sendiri memilih ( malas berfikir,malas mencari ilmu,malas mencari kebenaran.Sifat malas mencambahkan sifat penakut). Makanya,akibat malas manusia mudah menjadi hamba tunggangan syaitan,diperbodohkan dan takkan maju.

    niasarah

    July 17, 2011 at 1:05 pm

  19. Salam,

    Nia menulis: kalau kita lihat ayat 112,113 al an ‘am, kat situ jelas Allah memberitahu syaitan dari golongan manusia dan dari golongan jin.

    Pada pendapat saya, oleh kerana syaitan boleh wujud dalam makhluk yang berbeza, itu menunjukkan ia adalah perwatakan atau sifat. Seperti mana sifat ganas boleh wujud dalam manusia dan haiwan, tetapi manusia dan haiwan adalah makhluk yang berbeza.

    Dan kerana syaitan itu perwatakan, maka manusia mampu untuk mengubahnya. Sedangkan kalau kita anggap syaitan itu adalah sejenis makhluk yang diciptakan (seperti manusia dan jin), maka sesiapa yang dilahirkan sebagai syaitan, sudah pasti mereka tidak boleh mengubah fitrah kejadiannya seperti mana kita dilahirkan sebagai manusia tidak boleh mengubah bentuk menjadi jin (atau sebaliknya). Dan di akhirat nanti mereka boleh salahkan Allah balik kerana mencipta mereka sebagai syaitan.

    Tetapi jika syaitan itu adalah perwatakan, maka manusia (atau jin) yang berwatakan syaitan tidak boleh menyalahkan Allah di akhirat kelak kerana mereka ada kuasa untuk mengubah watak tersebut (semasa hidup), tetapi mereka sengaja mahu terus berwatakkan syaitan sehingga mati.

    Inilah logik yang saya nampak tentang apa itu syaitan, namun saya tetap berlapang dada dengan pendapat Nia tersebut.

    Juang

    July 17, 2011 at 2:36 pm

  20. Salam Niasarah & Juang,

    Saya telah mengemukakan entri tentang manusia, jin dan syaitan. Kesimpulannya, syaitan adalah manusia dan jin yang bergabung menjadi musuh nabi-nabi kerana tidak bersetuju dengan mesej Tuhan yang mereka sampaikan. Oleh itu sesiapa sahaja yang menentang mesej Tuhan bolehlah dianggap sebagai syaitan. Sebab itulah dikatakan syaitan itu berada di sekeliling kita.

    tolokminda

    July 17, 2011 at 2:42 pm

  21. samalah…Saya pun berlapang hati dgn penjelasan Juang.Mekasih…

    niasarah

    July 17, 2011 at 8:51 pm

  22. Kalau diperhatikan, Al Quran ada mengisahkan bagaimana Nabi Adam dihasut syaitan sehingga melanggar perintah Allah jangan menghampiri pohon. Sebabnya kerana Adam lupa dan tidak mempunyai tekad yang kuat sehingga dia percaya bila syaitan membisikkan bahawa dia (syaitan) tahu rahsia mengapa Allah larang menghampiri pohon, katanya tiada lain kerana ia akan menjadikan Adam malaikat dan akan hidup selamanya. Janji sebegini yang kita perlu sedar kebenaran atau kepalsuannya. Selain itu untuk mengelakkan kita lupa dan tidak mempunyai tekad yang kuat, perlu dibanteras semua berhala dari kehidupan kita termasuk hadis palsu…

    Gertim

    July 18, 2011 at 7:46 am

  23. Salam Gertim,

    Maknanya syaitan (jin atau manusia yang menghasut supaya manusia menafikan – kufur) menggunakan kaedah tipudaya dalam mempengaruhi manusia untuk menafikan apa yang Tuhan telah wahyukan kepada mereka. Mereka meyakinkan bahawa mereka lebih tahu, lebih baik, lebih dekat dengan Tuhan dan dengan itu ia melalaikan manusia sehingga take for granted mesej sebenar yang Tuhan telah sampaikan melalui nabi-nabi.

    tolokminda

    July 18, 2011 at 8:01 am

  24. Salam Tolokminda

    “It is simply too difficult for the idolaters to comprehend what you advocate”. Jangan kita tak faham apa yang Nabi sampaikan (Al Quran) kerana kesalahan kita sendiri menyekutukanNya. Ini sebab Allah nasihati kita jangan terpengaruh tipudaya syaitan kerana akan terjerumus menyekutukanNya.

    Gertim

    July 18, 2011 at 10:37 am

  25. Salam Gertim,

    Melalui Al-Quran kita diberitahu bahawa golongan yang menafikan akan mendakwa ayat-ayat Al-Quran yang dijelaskan kepada mereka sebagai tipudaya/sihir yang nyata. Mereka tidak boleh menerima apabila Al-Quran menyebut perkara yang benar mengenai mereka. Itulah yang menyebabkan hati mereka tertutup dan hidayah tidak sampai kepada mereka.

    46:6-7 Dan apabila dikumpulkan manusia akan ada di kalangan mereka musuh-musuh yang menafikan penghambaan mereka (kepada Tuhan). Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas, berkata mereka yang menafikan yang benar mengenai mereka; Ini tipudaya (sihir) yang nyata!

    tolokminda

    July 18, 2011 at 11:25 am

  26. Salam,

    Sifat utama syaitan adalah penipu. Apabila kita tidak mudah mempercayai sesuatu yang tiada bukti kukuh, ia dapat membentengi diri kita daripada disihir (tipu-daya) oleh syaitan. Kerana itu usaha mencari kebenaran adalah amalan utama orang yang beriman untuk menjauhkan kita daripada syaitan-syaitan.

    Sebaliknya bagi pengikut-pengikut syaitan, mereka malas nak mencari kebenaran kerana mereka menyangka apa yang diwarisi oleh bapa-bapa mereka sudah semestinya benar dan tidak perlu diselidiki lagi. Penyakit inilah yang menyebabkan ramai manusia akan bersama-sama syaitan di dalam Api tidak kiralah mereka lahir daripada keturunan Hindu, Buddha, Yahudi, Kristian mahupun Islam. Asal sahaja mereka hidup menurut membuta-tuli tanpa mahu menapis benar-palsu, hakikatnya mereka adalah sama perangainya.

    Juang

    July 18, 2011 at 11:26 pm

  27. ramainya bodo kat sini…ajaib sungguh..tak kena sihir lagi cakap pandaila…hehehe.

    tj

    December 8, 2013 at 10:27 am


Leave a comment