Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Sains dan pengabdian diri kepada Tuhan

with 5 comments

Saya melihat kisah Adam pada peringkat awal penciptaannya mengandungi petunjuk yang amat penting untuk kita memahami apakah sebenarnya faktor yang melayakkan kita menjadi khalifah di bumi berbanding makhluk lain. Setelah mengetahui kemampuan kita yang sebenarnya, barulah mudah untuk kita memahami apakah bentuk pengabdian yang Tuhan ingin lihat dari kita. Mari kita periksa satu persatu apa yang Tuhan telah ceritakan.

2:31 Dan Dia mengajar Adam sifat semua benda; kemudian Dia membawanya ke hadapan para malaikat dan berkata: “Beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

Melalui 2:31 kita dapat tahu bahawa Tuhan telah mengajar Adam tentang sifat/nature semua benda sebelum membawa Adam ke hadapan para malaikat supaya mereka melihat sendiri kemampuan dirinya sebagai calon khalifah. Dan sebelum menguji Adam, Tuhan mulakan dengan menguji para malaikat dengan berkata, “beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

Mengapa Tuhan menyebut “jika kamu benar” kepada malaikat? Kerana sebagaimana yang kita semua tahu sebelum itu para malaikat telah mempertikaikan rancangan Tuhan untuk menjadikan Adam khalifah di bumi kerana beranggapan mereka adalah makhluk yang lebih baik dari Adam. Bagaimanapun malaikat gagal memberi jawapan yang diminta oleh Tuhan sebaliknya mengakui kelemahan mereka. Mereka hanya tahu tentang sesuatu jika Tuhan mengajar mereka.

[Nota: Sebelum ini saya beranggapan bahawa proses demonstrasi Adam di hadapan para malaikat telah membuktikan bahawa Adam merupakan makhluk yang lebih baik berbanding para malaikat kerana dia dapat menjawab apa yang malaikat tidak dapat jawab. Tetapi melalui penulisan artikel ini saya dapati anggapan itu tidak benar. Sebenarnya Adam tahu menjawab kerana Tuhan mengajar perkara yang ditanya sedangkan para malaikat tidak berpeluang mempelajarinya. Ini dijelaskan melalui kenyataan para malaikat, “kami langsung tidak mempunyai pengetahuan seperti itu kecuali apa yang Engkau telah ajar kepada kami”.]

2:32 Mereka berkata: Pujian kepada Engkau, kami langsung tidak mempunyai pengetahuan seperti itu kecuali apa yang Engkau telah ajar kepada kami: Sesungguhnya Engkaulah yang sempurna dengan pengetahuan dan bijak.

Lalu Tuhan kembali kepada Adam dan bertanya kepadanya soalan yang berkaitan. Dan Adam berjaya menunjukkan kemampuannya dengan menjawab soalan yang dikemukakan. Ini membuktikan bahawa Adam juga mampu belajar seperti para malaikat jika dia diajar. Jadi tiada kurangnya Adam berbanding para malaikat. Anggapan para malaikat bahawa mereka lebih baik dari Adam tertangkis dan Tuhan menekankan kepada mereka bahawa Dia mengetahui segala-galanya sedangkan makhluknya tidak begitu.

2:33 Dia berkata: Wahai Adam! Beritahu mereka (para malaikat) sifat-sifat mereka (benda-benda). “Apabila dia sudah memberitahu mereka, Tuhan berkata: Tidakkah Aku telah memberitahu kamu bahawa Aku mengetahui rahsia-rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?

Apabila sudah jelas kemampuan Adam yang diuji di hadapan mereka, Tuhan meminta para malaikat merendah diri kepada Adam (tidak meneruskan anggapan salah mereka sebelum itu). Para malaikat terus patuh kepada suruhan Tuhan dan mereka merendah diri kepada Adam kecuali Iblis. Iblis – menurut Tuhan – menolak untuk merendah diri kepada Adam dan terus bersikap sombong. Dan dengan penolakan dan sifat sombongnya itu Tuhan menyatakan Iblis telah menempatkan dirinya di kalangan mereka yang kafir.

2:34 Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat: Bersetujulah kepada Adam dan mereka bersetuju tetapi tidak Iblis. Dia menolak dan sombong. Dia adalah dari kalangan yang kafir.

Sebagai kesimpulan, saya berpendapat melalui ayat 2:31-34 di atas, kita dapat melihat dengan jelas apakah sebenarnya faktor yang menjadikan Adam/manusia layak dan wajar menjadi khalifah di bumi.

Faktor itu adalah kemampuan Adam/manusia belajar dan memahami semua elemen yang berada di persekitarannya. Walaupun kita tidak tahu secara terperinci bagaimana Tuhan telah mengajar Adam tentang sifat-sifat benda atau nature of things itu, tetapi hari ini kita tahu hanya satu cara kita dapat mempelajari perkara yang sama iaitu melalui kaedah saintifik.

Jadi petunjuknya sudah jelas. Sains adalah satu keperluan dalam memperlengkapkan pengabdian diri kita kepada Tuhan. Sudah tentu kerana sains dapat membantu kita menjana pekerjaan (dalam bahasa Arab – amalan) dan manfaat yang banyak dari kurniaan Tuhan yang tidak terbatas. Bagaimana pula pengabdian kepada Tuhan itu berlaku? Sudah tentu melalui keinsafan dan penghargaan kita terhadap keagungan dan kemurahan Tuhan yang dimanifestasikan melalui segala ciptaanNya. Hanya yang berpengetahuan akan menghargai hakikat ini.

Pendek kata, mengabdikan diri kepada Tuhan bukan meletakkan diri dalam kebodohan dan kemunduran dan mengada-adakan amalan karut marut. Mengabdikan diri kepada Tuhan adalah memenuhkan diri dengan pengetahuan saintifik supaya kita dapat memanfaatkan dan membangunkan kurniaan Tuhan dengan sebaik-baiknya demi penghargaan kepada Tuhan yang memberi dan umat manusia yang memerlukannya.

Rujukan terjemahan asal Yusuf Ali:

  • 2:31 (Y. Ali) And He taught Adam the nature of all things; then He placed them before the angels, and said: “Tell me the nature of these if ye are right.” 

  • 2:32 (Y. Ali) They said: “Glory to Thee, of knowledge We have none, save what Thou Hast taught us: In truth it is Thou Who art perfect in knowledge and wisdom.” 

  • 2:33 (Y. Ali) He said: “O Adam! Tell them their natures.” When he had told them, Allah said: “Did I not tell you that I know the secrets of heaven and earth, and I know what ye reveal and what ye conceal?” 

  • 2:34 (Y. Ali) And behold, We said to the angels: “Bow down to Adam” and they bowed down. Not so Iblis: he refused and was haughty: He was of those who reject Faith.
  •  

    Written by tolokminda

    January 27, 2011 at 2:46 am

    5 Responses

    Subscribe to comments with RSS.

    1. Salam,

      Saya melihat artikel di atas amat menarik kerana ia mengajak para pembaca budiman sama-sama membincangkan apakah sebenarnya bentuk pengabdian yang Tuhan mahu kita tunaikan.

      Kalau ritual yang berbentuk penyekutuan kepada Tuhan itu bukan pengabdian yang lurus, jadi bagaimanakah pengabdian yang lurus itu? Kita perlu mendapatkan jawapan bagi persoalan ini. Ini perkara asas. Jadi saya berharap untuk memulakan perbincangan. Malangnya tiada sebarang respond sehingga sekarang.

      Saya bimbang ia mungkin kerana para pembaca budiman merasakan terjemahan saya (yang saya terjemahkan semula dari terjemahan Inggeris Yusuf Ali) terhadap perkataan “alasmaa” sebagai “sifat” adalah salah tetapi demi “menjaga hati” tidak ada yang mahu membuat teguran dan memilih untuk mengabaikan saja. Janganlah begitu.

      Terjemahan yang biasa kita dengar bagi perkataan “alasmaa” adalah “nama”. Bagaimana tiba-tiba boleh jadi sifat. Baiklah mari kita lihat semula terjemahan 2:31 dan transliterasinya.

      2:31 Dan Dia mengajar Adam sifat semua benda; kemudian Dia membawanya ke hadapan para malaikat dan berkata: “Beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

      Transliterasi 2:31 WaAAallama adama alasmaa kullaha thumma AAaradahum AAala almalaikati faqala anbioonee biasmai haolai in kuntum sadiqeena

      Saya berpendapat dalam ayat di atas Yusuf Ali sebenarnya telah menterjemahkan perkataan “alasmaa” dengan betul. Perkataan “alasmaa’ lebih tepat diterjemahkan sebagai “nature of” atau “sifat” berbanding “nama”.

      Perhatikan AsmaulHusna. Dikatakan ia bermaksud nama-nama terbaik Tuhan. Saya berpendapat Tuhan tidak ada nama. Tuhan tidak memerlukan nama. Tuhan bukan makhluk yang perlu ada nama.

      Malah Allah pun bukan nama Tuhan. Allah adalah perkataan yang bermaksud Tuhan dalam bahasa Arab sebagaimana ertikata perkataan Tuhan dalam bahasa Melayu atau God dalam bahasa Inggeris.

      Begitu juga dengan nama-nama dalam “asmaulhusna”. Semuanya bukan “nama” Tuhan tetapi “sifat-sifat” Tuhan. Perhatikan betul-betul 99 “nama” Tuhan yang tersenarai dalam asmaulhusna, adakah ia nama atau sifat?

      Jika kita renungkan, yang manakah lebih penting kepada Adam (manusia) – nama bendakah atau sifat benda? Apakah bezanya seseorang yang hanya sekadar tahu nama besi dengan mereka yang tahu sifat-sifat besi?

      Orang yang kenal besi hanya tahu menjual besi buruk. Tetapi orang yang kenal sifat-sifat besi mampu membina kapal, kereta, kapal terbang, bangunan, pelbagai perkakasan yang menjadi tunggak kepada pembangunan dan kemakmuran tamadun dunia.

      tolokminda

      February 4, 2011 at 12:43 am

    2. Salam,

      Dua orang manusia yang diletakkan nama “Muhammad”, apakah pasti mereka memiliki sifat-sifat terpuji? Saya setuju bahawa “alasmaa” lebih sesuai dimaksudkan sebagai sifat-sifat.

      Nama tidak memberi apa-apa nilai. Sifat-sifat yang dikandungi itulah yang menentu nilai di antara dua nama yang sama.

      Jika ada manusia atau objek lain dipanggil “Allah” sekali pun, ia tidak sama dengan Allah yang Mencipta langit dan bumi ini. Ini kerana Allah yang Mencipta itu mempunyai Sifat-sifat yang melayakkan Dia melakukan perkara-perkara yang selainNya tidak mampu melakukannya.

      Juang

      February 4, 2011 at 11:09 pm

    3. Salam Juang,

      Benar. Tuhan menilai hambaNya bukan kerana namanya. Sepertimana manusia menilai sesuatu benda juga bukan kerana namanya tetapi kerana sifatnya. Kita memandang emas sebagai logam berharga bukan kerana namanya emas tetapi kerana sifat-sifat emas. Orang Poland tidak panggil emas – emas, tapi mereka memberi penilaian yang sama kepada logam itu kerana sifat-sifatnya yang sudah dikenali dan diterima secara universal.

      Usaha memahami sifat sesuatu benda atau elemen amat besar nilai dan kepentingannya. Apabila kita mempunyai pengetahuan yang benar mengenai sifat benda atau elemen, barulah kita dapat memanipulasi atau memanfaatkannya untuk kebaikan, pembangunan dan kemakmuran manusia.

      Misalnya apabila kita tahu sifat-sifat gelombang dalam spektrum elektromagnetik, maka kita mampu membangunkan teknologi pencerapan, telekomunikasi dan penyebaran maklumat. Apabila kita tahu sifat-sifat udara kita mampu membina pesawat terbang. Apabila kita faham sifat-sifat haba, ia membantu kita membangunkan industri pembuatan berskala besar.

      Pendek kata, apa saja bidang yang telah, sedang atau akan dimajukan dalam tamadun manusia semuanya memerlukan kefahaman kita kepada sifat-sifat sesuatu benda atau elemen.

      Begitulah pentingnya pengetahuan terhadap sifat-sifat universal yang Tuhan telah tetapkan ke atas setiap benda atau elemen yang wujud di dalam alam ciptaanNya. Hari ini bidang penyelidikan ke arah pengetahuan tersebut dikenali sebagai sains.

      Kerana kepentingannya kepada manusia dalam menjayakan peranan mereka sebagai khalifah maka tidak hairanlah matapelajaran pertama yang diterima Adam sebaik saja penciptaannya disempurnakan adalah sains. Bolehkah siapa dapat menafikan hakikat ini sedangkan ia sudah pun direkodkan oleh Tuhan di dalam Al-Quran?

      tolokminda

      February 5, 2011 at 2:18 am

    4. Salam,

      Kalau kita tidak belajar sains, kita hanya kenal udara. Namun, melalui sains, kita belajar sifat-sifat gas yang wujud dalam udara seperti gas oksigen, gas karbon dioksida, gas hidrogen dan sebagainya.

      Macam mana gas-gas ini boleh dibezakan? Setiap gas ini mempunyai sifat atau karakteristik yang berlainan. Gas-gas ini mempunyai tindakbalas tersendiri. Perbezaan-perbezaan sifat itulah mewujudkan nama-nama yang bermacam-macam.

      Dengan mengetahui perbezaan sifat-sifat tersebut, maka manusia boleh mengeksploitasikan bahan tersebut untuk kegunaan yang lebih besar seperti sebagai bahan api untuk roket (gas hidrogren dan oksigen).

      Bila kita nampak betapa pentingnya dalam kehidupan manusia, kita mengenal perbezaan sifat sesuatu benda, maka kita kena faham bahawa sifat orang beriman dan orang yang kafir juga berbeza. Dan pada sifat itulah yang menentukan siapa yang layak masuk syurga dan siapa yang layak kekal di neraka.

      Jika sifat orang-orang menyekutukan Allah adalah mereka memerlukan objek sebagai perantaraan dengan Allah dan memerlukan pembesar-pembesar agama sebagai sekutu Tuhan, takkanlah orang yang beriman juga bersifat sedemikian?

      Juang

      February 6, 2011 at 1:57 am

    5. Orang yg beriman kpd Tuhan akan belajar dari Tuhan. Orang yg belajar dari Tuhan akan menjadi pandai.

      Tetapi orang yang mempersekutukan Tuhan, akan belajar dari pembesar2 agama. Akibatnya mereka menjadi mundur.

      Sebagai contoh, jika kita bergantung 100% pemahaman Al-Quran daripada pembesar2 agama, pengetahuan kita akan terbantut setakat pengetahuan pembesar agama itu.

      Dan pembesar agama itu juga mengikut ajaran2 tok guru mereka yg hidup 1000 tahun lalu dari generasi ke generasi. Tiada budaya menyelidik melainkan ikut secara membab* buta kerana telah ditakut2kan dgn ancaman2 palsu.

      Berbeza pula jika kita beriman kpd Tuhan Pencipta Alam Semesta, kita akan terus menyelidik Al-Quran tanpa mempersekutukanNya dgn kepercayaan2 tradisional tok2 guru. Akhirnya kita akan menemui byk idea yg boleh kita selidik dan bangunkan utk kebaikkan diri sendiri dan orang ramai.

      Skygyver

      June 2, 2011 at 12:43 pm


    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: