Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘merendah diri

Sains dan pengabdian diri kepada Tuhan

with 5 comments

Saya melihat kisah Adam pada peringkat awal penciptaannya mengandungi petunjuk yang amat penting untuk kita memahami apakah sebenarnya faktor yang melayakkan kita menjadi khalifah di bumi berbanding makhluk lain. Setelah mengetahui kemampuan kita yang sebenarnya, barulah mudah untuk kita memahami apakah bentuk pengabdian yang Tuhan ingin lihat dari kita. Mari kita periksa satu persatu apa yang Tuhan telah ceritakan.

2:31 Dan Dia mengajar Adam sifat semua benda; kemudian Dia membawanya ke hadapan para malaikat dan berkata: “Beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

Melalui 2:31 kita dapat tahu bahawa Tuhan telah mengajar Adam tentang sifat/nature semua benda sebelum membawa Adam ke hadapan para malaikat supaya mereka melihat sendiri kemampuan dirinya sebagai calon khalifah. Dan sebelum menguji Adam, Tuhan mulakan dengan menguji para malaikat dengan berkata, “beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

Mengapa Tuhan menyebut “jika kamu benar” kepada malaikat? Kerana sebagaimana yang kita semua tahu sebelum itu para malaikat telah mempertikaikan rancangan Tuhan untuk menjadikan Adam khalifah di bumi kerana beranggapan mereka adalah makhluk yang lebih baik dari Adam. Bagaimanapun malaikat gagal memberi jawapan yang diminta oleh Tuhan sebaliknya mengakui kelemahan mereka. Mereka hanya tahu tentang sesuatu jika Tuhan mengajar mereka.

[Nota: Sebelum ini saya beranggapan bahawa proses demonstrasi Adam di hadapan para malaikat telah membuktikan bahawa Adam merupakan makhluk yang lebih baik berbanding para malaikat kerana dia dapat menjawab apa yang malaikat tidak dapat jawab. Tetapi melalui penulisan artikel ini saya dapati anggapan itu tidak benar. Sebenarnya Adam tahu menjawab kerana Tuhan mengajar perkara yang ditanya sedangkan para malaikat tidak berpeluang mempelajarinya. Ini dijelaskan melalui kenyataan para malaikat, “kami langsung tidak mempunyai pengetahuan seperti itu kecuali apa yang Engkau telah ajar kepada kami”.]

2:32 Mereka berkata: Pujian kepada Engkau, kami langsung tidak mempunyai pengetahuan seperti itu kecuali apa yang Engkau telah ajar kepada kami: Sesungguhnya Engkaulah yang sempurna dengan pengetahuan dan bijak.

Lalu Tuhan kembali kepada Adam dan bertanya kepadanya soalan yang berkaitan. Dan Adam berjaya menunjukkan kemampuannya dengan menjawab soalan yang dikemukakan. Ini membuktikan bahawa Adam juga mampu belajar seperti para malaikat jika dia diajar. Jadi tiada kurangnya Adam berbanding para malaikat. Anggapan para malaikat bahawa mereka lebih baik dari Adam tertangkis dan Tuhan menekankan kepada mereka bahawa Dia mengetahui segala-galanya sedangkan makhluknya tidak begitu.

2:33 Dia berkata: Wahai Adam! Beritahu mereka (para malaikat) sifat-sifat mereka (benda-benda). “Apabila dia sudah memberitahu mereka, Tuhan berkata: Tidakkah Aku telah memberitahu kamu bahawa Aku mengetahui rahsia-rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?

Apabila sudah jelas kemampuan Adam yang diuji di hadapan mereka, Tuhan meminta para malaikat merendah diri kepada Adam (tidak meneruskan anggapan salah mereka sebelum itu). Para malaikat terus patuh kepada suruhan Tuhan dan mereka merendah diri kepada Adam kecuali Iblis. Iblis – menurut Tuhan – menolak untuk merendah diri kepada Adam dan terus bersikap sombong. Dan dengan penolakan dan sifat sombongnya itu Tuhan menyatakan Iblis telah menempatkan dirinya di kalangan mereka yang kafir.

2:34 Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat: Bersetujulah kepada Adam dan mereka bersetuju tetapi tidak Iblis. Dia menolak dan sombong. Dia adalah dari kalangan yang kafir.

Sebagai kesimpulan, saya berpendapat melalui ayat 2:31-34 di atas, kita dapat melihat dengan jelas apakah sebenarnya faktor yang menjadikan Adam/manusia layak dan wajar menjadi khalifah di bumi.

Faktor itu adalah kemampuan Adam/manusia belajar dan memahami semua elemen yang berada di persekitarannya. Walaupun kita tidak tahu secara terperinci bagaimana Tuhan telah mengajar Adam tentang sifat-sifat benda atau nature of things itu, tetapi hari ini kita tahu hanya satu cara kita dapat mempelajari perkara yang sama iaitu melalui kaedah saintifik.

Jadi petunjuknya sudah jelas. Sains adalah satu keperluan dalam memperlengkapkan pengabdian diri kita kepada Tuhan. Sudah tentu kerana sains dapat membantu kita menjana pekerjaan (dalam bahasa Arab – amalan) dan manfaat yang banyak dari kurniaan Tuhan yang tidak terbatas. Bagaimana pula pengabdian kepada Tuhan itu berlaku? Sudah tentu melalui keinsafan dan penghargaan kita terhadap keagungan dan kemurahan Tuhan yang dimanifestasikan melalui segala ciptaanNya. Hanya yang berpengetahuan akan menghargai hakikat ini.

Pendek kata, mengabdikan diri kepada Tuhan bukan meletakkan diri dalam kebodohan dan kemunduran dan mengada-adakan amalan karut marut. Mengabdikan diri kepada Tuhan adalah memenuhkan diri dengan pengetahuan saintifik supaya kita dapat memanfaatkan dan membangunkan kurniaan Tuhan dengan sebaik-baiknya demi penghargaan kepada Tuhan yang memberi dan umat manusia yang memerlukannya.

Rujukan terjemahan asal Yusuf Ali:

  • 2:31 (Y. Ali) And He taught Adam the nature of all things; then He placed them before the angels, and said: “Tell me the nature of these if ye are right.” 

  • 2:32 (Y. Ali) They said: “Glory to Thee, of knowledge We have none, save what Thou Hast taught us: In truth it is Thou Who art perfect in knowledge and wisdom.” 

  • 2:33 (Y. Ali) He said: “O Adam! Tell them their natures.” When he had told them, Allah said: “Did I not tell you that I know the secrets of heaven and earth, and I know what ye reveal and what ye conceal?” 

  • 2:34 (Y. Ali) And behold, We said to the angels: “Bow down to Adam” and they bowed down. Not so Iblis: he refused and was haughty: He was of those who reject Faith.
  •  

    Written by tolokminda

    January 27, 2011 at 2:46 am

    Tuhan & sistemNya yang sempurna

    with 148 comments

    Dalam sebahagian besar dari ayat-ayat Al-Quran, Tuhan menggunakan gantinama “Kami”. Saya berpendapat Tuhan gunakan gantinama “Kami” untuk merujuk kepada Dia dan “sistem”Nya. Dalam konteks sesuatu ayat, sistem Tuhan yang dimaksudkan mungkin boleh ditafsirkan secara khusus. Tetapi pada dasarnya sifat sistem Tuhan – menurut kemampuan akal manusia – adalah tidak terbatas.

    Segala-gala yang Tuhan cipta dalam alam ini merupakan sebahagian dari sistem Tuhan. Dan manusia biar segigih manapun berusaha mungkin tidak berpeluang untuk mengetahui semuanya. Walaupun begitu Tuhan menjelaskan sistemNya itu merupakan satu kurniaan kepada seluruh manusia dan kita harus menuruti jejak Ibrahim yang berdedikasi untuk memahaminya.

    2:125 “Dan Kami jadikan sistem ini sebagai satu kurniaan kepada manusia dan satu keharmonian – dan kamu harus mengambil teladan legasi-legasi Ibrahim yang komited. Dan kami perintahkan Ibrahim dan Ismail supaya mereka bersihkan sistemKu untuk mereka yang mahu mendekatkan diri dan mereka yang berdedikasi dan mereka merendah diri dan bersetuju”.

    Sistem Tuhan adalah sebuah sistem yang sempurna. Ini kerana semua ciptaan Tuhan yang terdapat di dalam sistemNya itu sentiasa akur kepada perintah Tuhan. Baik yang wujud di langit mahupun yang wujud di bumi – yang kelihatan mahupun yang ghaib – semuanya patuh kepada ketetapan-ketetapan yang Tuhan telah restui (masjidillah) ke atas mereka. Itulah komitmen (solaa) mereka terhadap Tuhan.

    Malah anggota badan kita sendiri pun sebenarnya merupakan sebahagian dari sistem Tuhan yang tidak pernah gagal berfungsi menurut kehendakNya. Setiap zarah yang membina tubuh badan kita akur kepada ketetapan Tuhan pada setiap masa di mana sahaja. Kita tidak sekali-kali dapat menghalang tubuh badan kita dari kepatuhannya kepada Tuhan kecuali kita akan merosakkannya.

    Tanyalah doktor. Adakah mereka perlu bekerja menurut sistem tubuh pesakit atau tubuh pesakit yang perlu patuh kepada sistem mereka? Saya fikir jawapannya jelas kepada kita semua. Sebab itulah di akhirat nanti anggota badan kita akan turut menjadi saksi bagi pihak Tuhan. Anggota tubuh badan kita sendiri tidak akan menjadi saksi bagi pihak kita.

    36:65  Hari ini, Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka akan bercakap kepada Kami, dan kaki mereka akan menjadi saksi kepada apa yang telah mereka lakukan.

    Pendek kata, apabila Tuhan menggunakan gantinama “Kami” ia merujuk kepada Tuhan dan seluruh sistemNya yang maha luas lagi sempurna. Dan ia mungkin turut melibatkan anggota tubuh badan kita sendiri.

    Oleh itu jika sekarang jantung kita boleh memahami sesuatu – cubalah fahami betul-betul. Kalau mata kita boleh melihat sesuatu – berusahalah lihat betul-betul. Jika telinga kita boleh mendengar sesuatu – dengarlah betul-betul. Jika deria-deria kita boleh membaca Al-Quran – bacalah betul-betul supaya kita beroleh petunjuk.

    Kita harus sedar bahawa semua kemampuan yang ada pada setiap anggota tubuh badan kita adalah kerana mereka mematuhi ketetapan-ketetapan yang telah Tuhan restui ke atas mereka. Jika seluruh anggota badan kita sendiri pun sentiasa patuh kepada Tuhan, apakah wajar kita membiarkan jiwa kita berada dalam keingkaran dan kesesatan?

    7:179  Dan Kami telah memberikan neraka ramai dari kalangan Jin dan manusia; mereka ada jantung yang dengannya mereka tidak memahami, dan mereka ada mata yang dengannya mereka tidak melihat dan mereka mempunyai telinga yang dengannya mereka tidak mendengar. Mereka seperti binatang ternak, tidak, mereka lebih jauh sesat. Mereka adalah orang-orang yang tidak sedar.

    Nota:
    Artikel ini merupakan jawapan saya kepada pertanyaan tentang gantinama “Kami” yang Tuhan gunakan di dalam Al-Quran oleh seorang peserta yang menggelar dirinya “Budak Bodoh”.

    Written by tolokminda

    April 15, 2010 at 12:26 am

    Sujud bermaksud merendah diri

    with 54 comments

    Perkataan sujud secara umumnya ditafsirkan sebagai perbuatan membongkokkan diri di atas lutut dengan muka menyentuh lantai. Kononnya ia satu manifestasi kepatuhan kepada Tuhan. Tetapi adakah perbuatan seperti itu yang Tuhan suruh kita amalkan?

    Saya melihat maksud perkataan sujud  mudah saja, iaitu merendah diri. Apabila Tuhan suruh para malaikat sujud kepada Adam, ia bukan bermakna mereka perlu membongkokkan-diri-di atas-lutut-dengan-muka-menyentuh-lantai kepada Adam. Ia juga tidak bermakna mereka perlu patuh kepada Adam. Apa yang berlaku, mereka sebenarnya telah merendah diri kepada Adam dan secara tidak langsung kepada Allah juga.

    Ini kerana sebelum itu para malaikat telah beranggapan mereka adalah lebih baik dari Adam dan tidak nampak mengapa Allah mahu menjadikan dia khalifah di bumi. Namun selepas Tuhan membuktikan di hadapan mereka perihal kelebihan Adam, mereka sedar kesilapan mereka dan terus merendah diri apabila Tuhan menyuruh mereka berbuat demikian.

    Bagaimanapun Iblis memilih untuk terus dengan kesombongannya dan tidak mahu merendah diri kepada Adam. Ini bermakna dia juga telah gagal untuk merendah diri kepada Allah. Akibatnya dia dilaknat Tuhan.

    Berikut adalah apa yang diceritakan Tuhan kepada kita:

    2:34 “Dan apabila Kami katakan kepada para malaikat: Bersetujulah kepada Adam (lalu) mereka telah bersetuju tetapi Iblis, dia menolak dan dia sombong dan dia adalah antara mereka yang tidak percaya”.

    17:61 “…Dia berkata: Patutkah aku bersetuju kepadanya yang Engkau telah perbuat dari tanah?”

    Saya percaya jika kita fahami intipati kisah Adam dan Iblis ini, kita akan melihat betapa pentingnya kita mengelak menjadi orang yang sombong. Kerana sifat sombong itu tidak lain adalah sifat Iblis yang tidak mahu merendah diri walaupun Tuhan telah menunjukkan bukti yang nyata.

    Mari kita bincangkan.

    Written by tolokminda

    February 12, 2010 at 5:21 am