Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Sains atau agama?

with 3 comments

Jika kita fahami mesej Al-Quran betul-betul, sebenarnya Tuhan mahu manusia hidup sebagai saintis dan bukannya mendapatkan status sebagai sekutu Tuhan dan kemudian mengajak pula manusia lain mempersekutukan Dia dengan bermacam-macam benda.

Untuk kita mulakan kefahaman ini, saya ingin mengajak para pembaca budiman kembali membincangkan ayat-ayat 2:31-34. Sebelum ini saya telah bincangkan perihal ayat-ayat yang sama di sini. Baiklah. Mari kita perhatikan semula perkara pertama yang Tuhan ajar kepada Adam:

2:31 Dan Dia mengajar Adam sifat semua benda; kemudian Dia membawanya ke hadapan para malaikat dan berkata: “Beritahu kepada Aku sifat benda-benda ini jika kamu benar”.

2:32 Mereka berkata: Pujian kepada Engkau, kami langsung tidak mempunyai pengetahuan seperti itu kecuali apa yang Engkau telah ajar kepada kami: Sesungguhnya Engkaulah yang sempurna dengan pengetahuan dan bijak.

2:33 Dia berkata: Wahai Adam! Beritahu mereka (para malaikat) sifat-sifat mereka (benda-benda). “Apabila dia sudah memberitahu mereka, Tuhan berkata: Tidakkah Aku telah memberitahu kamu bahawa Aku mengetahui rahsia-rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?

2:34 Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat: Bersetujulah kepada Adam dan mereka bersetuju tetapi tidak Iblis. Dia menolak dan sombong. Dia adalah dari kalangan yang kafir.

Dari kisah pengkomisyenan Adam di hadapan para malaikat yang diceritakan Tuhan dalam ayat-ayat di atas, kita mendapat tahu bahawa pelajaran pertama yang diajar oleh Tuhan kepada manusia adalah sifat benda-benda.

Sebenarnya sampai hari ini pelajaran kita itu belum habis. Kita masih mempelajari sifat benda-benda. Tuhan masih mengajar manusia perkara yang diajarkan kepada Adam dulu. Mungkin bezanya melalui kaedah saja. Kalau dulu Tuhan mengajar Adam secara terus, hari ini kita belajar menggunakan kaedah yang dikenali sebagai sains. Terus atau sains – siapakah yang mengajar manusia kalau bukan Tuhan?

Dan itulah latar sebenar antara mesej utama yang Tuhan sampaikan kepada kita melalui Al-Quran – iaitu supaya kita tidak meninggalkan ajaran pertamaNya. Supaya kita terus mempelajari sifat benda-benda kerana hanya melalui pengetahuan itulah kita dapat membangunkan pelbagai manfaat dari kurniaan Tuhan yang tidak terhitung baik yang berada di langit mahupun di bumi.

Itulah jalan hidup yang sebenarnya. Jalan kemakmuran. Jalan yang selamat dan aman untuk seluruh umat manusia. Di dunia mereka akan dapat menikmatinya dan di akhirat mereka bakal dibalas dengan kebaikan yang berganda-ganda.

Sebab itulah juga di sebaliknya, Tuhan larang kita ikut mereka yang mengajak percaya kepada ajaran-ajaran palsu yang tidak bersandar kepada sunnah Tuhan. Mengerjakan amalan-amalan dari kepercayaan seperti itu bukan saja tidak mendatangkan faedah tetapi ia juga tidak sebarang membawa mudarat kalau tidak dilakukan.

Pendek kata, semua itu kerja buang masa. Lebih buruk lagi kepercayaan dan amalan seperti itu biasanya menjadi menarik kerana ia dihiasi dengan unsur-unsur penyekutuan kepada Tuhan. Langsung Tuhan laknat dan bakal menjadi penghuni neraka yang kekal abadi. Sudahlah hidup di dunia susah, di akhirat pula cuma layak jadi bahan api neraka saja. Teruknya!

Jadi, mahu belajar sains atau agama?

Written by tolokminda

February 8, 2011 at 10:52 pm

Posted in Agama

Tagged with

3 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam,

    Cuba buka minda luas-luas dan perhatikan sumbangan yang diberikan antara ahli sains dan ahli agama.

    Ahli sains mencipta, menerokai, mengkaji dsb benda-benda sama ada yang wujud dan belum wujud di dunia ini. Hasilnya, manusia sejagat dapat manfaatnya.

    Bayangkan jika tiada orang yang mahu menjadi saintis. Sudah tentu manusia mengalami kepayahan dalam hidup. Hendak pergi satu tempat hanya berjalan kaki atau menunggang haiwan ternakan. Seolah-olah hidup di zaman batu. Serba-serbi tak kena.

    Sebab itu Tuhan beri akal supaya manusia dapat memikirkan sesuatu untuk kesenangan manusia sendiri.

    Mari kita lihat pula apakah sumbangan ahli agama ini. Tiada apa-apa yang disumbangkan. Mereka hanya menyuruh orang agar beritual mengikut kepercayaan agama mereka masing-masing. Kononnya, itulah cara untuk ‘menyembah’ Tuhan.

    Namun, tidak pula mereka malu menggunakan ciptaan para saintis. Hendak pergi ke tempat ritual mereka, tahu pula mereka menggunakan kenderaan seperti kereta dan kapal terbang. Masa sakit, tahu pula pergi ke hospital mendapatkan rawatan. Apa yang dihasilkan oleh para saintis itu jugalah mereka guna. Tidakkah mereka berasa malu?

    Kalaulah ahli dan pengikut agama ini berubah untuk mempelajari sains dan meninggalkan amalan ritual yang tidak memberi apa-apa manfaat, sudah tentu banyak ciptaan atau penerokaan yang dapat dibangun dan dihasilkan. Nilai mereka di sisi Tuhan sudah tentu akan tinggi. Mereka juga yang dapat ganjaran di akhirat kelak.

    Admin emindakita

    February 9, 2011 at 12:49 am

  2. Salam TM,

    Itulah yang saya nampak sejak mula mengkaji Al Quran. Sebenarnya tujuan manusia dihidupkan untuk menghambakan diri kepada Tuhan dengan menjadi saintis, bukannya menjadi ritualis.

    Kalau kita buat perbandingan di antara manusia dengan makhluk-makhluk lain di muka bumi, makhluk-makhluk lain hanya tahu mengikut peraturan sains yang telah ditetapkan kepada mereka, tetapi mereka tidak tahu mengkaji peraturan sains yang ditetapkan kepada makhluk selain mereka.

    Contohnya, burung hanya tahu tunduk kepada peraturan sains berkaitan daya apungan menggunakan sayap, namun mereka tidak mampu mengkaji daya apungan yang digunakan oleh ikan supaya mereka boleh berenang dalam laut macam ini. Tetapi berbeza dengan manusia, keupayaan akal mereka mampu mengkaji daya apungan yang digunakan oleh burung dan daya apungan yang digunakan oleh ikan. Hasilnya manusia dapat mencipta kapal terbang seperti burung dan kapal selam seperti ikan. Semua itu dirintis oleh para saintis yang rajin menggunakan akal.

    Setelah melihat betapa besarnya sumbangan para saintis dalam kehidupan dan ketamadunan manusia, tidaklah patut saya membuang masa dengan amalan-amalan ritual yang tidak mendatangkan manfaat jika dilakukan dan tidak mendatangkan mudarat jika tidak dilakukan.

    Berbanding dengan amalan para saintis iaitu tekun bereksperimen mengkaji sesuatu ilmu baru, jelas kita nampak kesan manfaatnya jika dilakukan dan kesan mudaratnya jika ditinggalkan. Itu menunjukkan praktis para saintis itulah sebenar-benarnya yang Allah perintahkan kepada manusia kerana makhluk-makhluk lain tidak mampu memikul tugas tersebut.

    Juang

    February 9, 2011 at 12:54 am

  3. Salam,

    Katakan kita membeli dua buah laptop yang sama harga dan sama keupayaan prosesornya. Bezanya laptop pertama dapat menggunakan keupayaan prosesornya untuk menjalankan perisian-perisian pelbagai fungsi dan laptop kedua selalu “crash” yang menyebabkan ia tidak mampu menjalankan perisian-perisian yang canggih.

    Jadi, di antara dua laptop itu, yang mana satu akan menjadi lebih bernilai kepada kita? Laptop yang dapat digunakan semaksimum fungsinya atau laptop yang terbatas keupayaannya? Sudah pasti kita akan letakkan nilai yang tinggi kepada laptop yang lasak dan dapat melakukan banyak fungsi kerana manfaat yang disumbangkan adalah besar.

    Begitulah perumpamaan di antara seorang ahli sains dengan seorang ahli agama. Oleh kerana ahli sains itu menggunakan keupayaan akalnya semaksimum yang mungkin dan dapat menyumbangkan manfaat besar kepada kehidupan manusia lain, sudah pasti di sisi Allah dia dilihat lebih bernilai. Berbeza dengan ahli agama yang malas menggunakan akal semaksimum yang mungkin dan kurang menyumbangkan manfaat besar kepada kehidupan manusia, sudah pastilah nilainya lebih rendah.

    Tidak logik kita akan letakkan nilai yang tinggi pada laptop yang terbatas keupayaannya setelah ada laptop lain yang dapat berfungsi dengan keupayaan yang semaksimun mungkin. Begitulah mustahil Allah letakkan nilai yang tinggi pada manusia yang terbatas keupayaan akalnya (kerana malas) dan kurang sumbangkan manfaat kepada kehidupan setelah adanya ahli-ahli sains yang menggunakan akal semaksimum yang mungkin.

    Juang

    February 9, 2011 at 1:50 am


Leave a comment