Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Lagi perbincangan tentang poligami..

with 5 comments

Blog ini pernah membincangkan perihal poligami. Para pembaca budiman boleh mengulangbaca mengenainya di sini.

Kita semua tahu bahawa kepercayaan kononnya Tuhan membenarkan seseorang lelaki berkahwin lebih dari satu, iaitu berpoligami sehingga empat orang isteri dalam satu masa adalah disandarkan ayat 4:3. Bagaimanapun, selepas melihat secara dekat ayat berkenaan ia jelas tidak ada kena mengena dengan kebenaran berpoligami. Ayat itu hanyalah merujuk kepada satu cadangan jalan keluar bagi mereka yang menjadi penjaga kepada anak-anak yatim perempuan yang telah matang.

4:3  Dan jika kamu bimbang kamu tidak dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim itu, maka kamu boleh kahwinkan mereka yang kamu rasa sesuai dari yang perempuan – dua, dan tiga dan empat. Tetapi jika kamu bimbang kamu tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah satu atau yang mana telah kamu beri perjanjian. Ini lebih baik supaya kewangan kamu tidak terbeban – (terjemahan semula dari Free-minds.org)

Pada dasarnya ayat 4:2-5 menjelaskan hak anak-anak yatim apabila mereka telah matang. Anak-anak yatim yang sudah matang berhak untuk menguruskan harta dan diri mereka sendiri. Dan perkahwinan juga boleh menjadi satu pilihan yang berpatutan buat mereka.

Maka berdasarkan kepada ayat 4:3, anak-anak yatim – khususnya yang perempuan dan telah matang dan dirasakan sesuai, bolehlah dikahwinkan oleh para penjaga mereka seorang demi seorang atau mungkin secara berkumpulan – dua atau tiga atau empat atau lebih dari itu sekaligus. Bagaimanapun seperti yang disebut juga di dalam 4:3, keputusan mutlak samada ada untuk mengahwinkan anak-anak yatim itu secara seorang demi seorang atau secara berkumpulan adalah terpulang kepada pihak yang menjaga mereka.

Membuat majlis perkahwinan untuk beberapa pasangan sekaligus sudah pastilah memerlukan belanja yang lebih besar. Jadi pihak penjaga tentu lebih maklum telah kemampuan mereka. Jika tiada kemampuan buatlah satu-satu. Dan jika mana-mana anak yatim itu telah pun dipinang orang, maka ia termasuk sebagai satu perjanjian yang boleh diutamakan perkahwinannya.

Itulah yang dapat saya fahami dari 4:3. Ia langsung tidak ada kena mengena dengan kebenaran berpoligami. Saya berpendapat poligami bukanlah satu amalan yang boleh disandarkan kepada Tuhan atau Nabi. Tidak ada satu ayat pun di dalam Al-Quran yang boleh dirujuk untuk mempromosikan amalan itu.

Sebaliknya Tuhan menasihatkan para lelaki supaya hidup dengan isteri mereka atas dasar kasih sayang dan persamaan. Sesuatu perkara yang mereka tidak suka mengenai isteri mereka mungkin mengandungi pelbagai kebaikan lain yang Tuhan kurniakan tanpa disedari. Walaupun begitu Tuhan tidak menghalang jika mereka benar-benar mahu bertukar isteri. Apa yang mereka perlu lakukan hanyalah menceraikannya dengan cara baik dan memberikan segala hak bekas isterinya. Kita boleh menyemak semua ini dalam Surah yang sama, ayat 19 & 20.

4:19  Wahai kamu yang percaya! Kamu dilarang memiliki perempuan tanpa kerelaan mereka. Tidak sepatutnya juga kamu melayan mereka dengan kekerasan yang kamu mungkin mengambil sebahagian dari hadiah perkahwinan yang telah kamu berikan kecuali di mana mereka didapati bersalah melakukan kecurangan. Sebaliknya hiduplah dengan mereka atas dasar kasih sayang dan persamaan. Jika kamu tidak suka sesuatu mengenai mereka ia mungkin hanya kerana kamu tidak suka satu perkara, dan Tuhan membawakan melaluinya pelbagai kebaikan lain.

4:20  Tetapi jika kamu memutuskan untuk mengambil seorang isteri mengantikan yang lain, walaupun kamu telah memberi semua milik kamu sebagai hadiah perkahwinan kepada yang terdahulu, janganlah ambil kembali sedikit pun daripadanya. Adakah kamu mahu mengambilnya melalui fitnah dan membuka kesalahan?

Melalui ayat 4:20 Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa lelaki boleh menggantikan isteri mereka jika itu yang mereka mahu – tetapi bukan cadangan supaya menambah isteri.

4:20 menjelaskan hak menceraikan isteri untuk berkahwin lain adalah hak mutlak seseorang suami. Bekas isteri hanya berhak mendapat harta yang telah diberikan kepadanya di sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Pendek kata, jika seorang suami memutuskan untuk menceraikan isterinya kerana mahu berkahwin lain, maka si isteri tidak mempunyai pilihan selain menerima penceraian yang dimahukan suaminya. Apa boleh buat, kalau dah suami tidak mahu mendengar nasihat Tuhan.

Tetapi bagaimana jika si suami mahu berkahwin baru namun tidak mahu menceraikan isteri sedia ada? Saya berpendapat jawapannya terdapat di dalam permulaan 4:19.

4:19  Wahai kamu yang percaya! Kamu dilarang memiliki perempuan tanpa kerelaan mereka…

Saya melihat ayat di atas membawa maksud bahawa seorang suami akan hilang hak terhadap isterinya jika si isteri tidak lagi rela untuk meneruskan perkahwinan mereka – walau apapun sebabnya. Dalam konteks yang diperbincangkan dalam artikel ini misalnya, jika kerana si suami mempunyai hubungan dengan wanita lain dan isteri tidak merelakannya maka di situlah sempadannya. Jika isteri minta cerai, suami ada alasan untuk menolaknya.

Dengan kata lain, jika suami diberi hak untuk menceraikan isterinya dengan alasan seperti mahu berkahwin lain, isteri juga sebenarnya diberi hak yang sama di mana mereka boleh melepaskan diri secara tidak langsung apabila mereka hilang kerelaan diri terhadap suami. Seorang lelaki tidak boleh memiliki wanita yang tidak rela.

Ketetapan ini selaras dengan saranan Tuhan bahawa suami isteri itu perlu hidup di atas dasar persamaan seperti yang disebut di dalam 4:19.

Seorang suami boleh menceraikan isteri yang sudah tidak disukainya dan dalam masa yang sama beliau tidak boleh memiliki isteri yang sudah tidak lagi rela hidup bersamanya. Saya berpendapat, tidak ada sesiapa boleh membantah hak yang telah diberikan oleh Tuhan kepada kedua-dua belah pihak, iaitu kaum lelaki dan kaum wanita berkenaan perkara ini. Ia “fair and square”. Perkahwinan paksa, gantung tak bertali? No way Jose!

Bagaimana pula jika si isteri rela untuk “hidup bermadu”?

Dari pendapat yang telah saya kemukakan merujuk kepada ayat-ayat 4:3, 4:19 dan 4:20 – marilah kita sama-sama bincangkan soalan yang satu ini. Saya percaya kekhilafan masyarakat terhadap kebenaran berpoligami dan undang-undang keluarga yang tidak berasaskan Al-Quran telah banyak menyumbang kerosakan di kalangan masyarakat Islam dan institusi kekeluargaan mereka. Tidak ada pilihan lain, kerosakan hanya boleh diatasi dengan usaha pembaikan berasaskan kebenaran.

Berikut adalah beberapa ayat berkaitan lain yang mungkin boleh kita turut sama fikir-fikirkan.

30:21  “Di antara tanda-tandaNya ialah Dia telah mencipta untuk kamu dari diri kamu sendiri pasangan untuk berharmoni dengannya – dan untuk membina/mencipta sesama kamu perasaan cintai mencintai. Sesungguhnya pada yang demikian adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.”

4:129  “Kamu sekali-kali “TIDAK” akan bersikap adil walaupun kamu benar-benar inginkannya”.

4:26-27  “Allah ingin menjelaskan kepada kamu dan memberi petunjuk kepada kamu dan arah tuju orang-orang dari sebelum kamu. Dia ingin menerima taubat kamu dan Allah amat menggetahui dan Bijaksana. Dan Allah sanggup menerima taubat kamu sedangkan orang-orang yang mengikuti “HAWA NAFSU” (Shahwat) mereka – mereka ingin melihat kamu menyeleweng sejauh-jauhnya.”

Written by tolokminda

December 16, 2010 at 2:58 am

Posted in Isu Semasa, Kehidupan Harian

Tagged with

5 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam semua.

    Oleh kerana tiada larangan yang jelas tentang poligami saya tidak dapat bersetuju dengan pendapat yang tuhan melarang poligami.

    Pada pendapat saya ialah sifat rela hati dan tidak menzalimi (atau mengelakkan kezaliman) yg patut ditekankan, dimana kebebasan diberi kepada manusia yg berakal untuk mendirikan struktur keluarga samada dengan satu atau lebih pasangan dgn dua panduan diatas.

    Keadilan memang tak patut ditekankan atau digunakan sebagai ukuran kerana keadilan tidak terletak pada manusia. Oleh itu, membazir waktu dan akal kalau nak bincangkan atau menegakkan keadilan dlm poligami.

    Sesuatu yg tak dilarang tuhan dengan jelas janganlah dijadikan satu batasan seolah-olah ianya dilarang; ada kebaikan disebalik poligami dan yg jelasnya satu perspektif yg lain harus diambil kira dan tentunya bukan dari segi keadilan tetapi dari segi mengelakkan kezaliman dan sifat rela hati.

    Saya harap tiada yg keliru dgn pendapat saya, jikalau keliru tak payahlah pening nak memahaminya.

    Salam semua. Kita sama-sama mendalami Quran, tak payahlah bermusuhan kerana tak sependapat.

    Tolokminda – saya menghargai apa yg ditulis.

    Azlan

    December 16, 2010 at 11:34 am

  2. Salam Azlan,

    Perbincangan yang saya ajukan kali ini hanya untuk menjelaskan dua perkara. Yang pertama, untuk menekankan semula bahawa Tuhan tidak memberi kebenaran secara spesifik kepada lelaki untuk berkahwin lebih dari satu. Manipulasi ayat 4:3 yang kononnya dalil kepada amalan poligami adalah tidak betul. Ini satu fakta dan saya percaya tuan Azlan juga boleh melihatnya dengan jelas.

    Yang kedua, ia menjelaskan tentang hak untuk berpisah dengan pasangan. Atau dengan kata lain bercerai. Dari ayat 4:19-20 kita dapat merumuskan bahawa sebenarnya kedua-dua gender – baik lelaki atau perempuan, berhak untuk mendapatkan penceraian. Bezanya lelaki boleh mendapatkan penderaian secara direct sedangkan wanita pula perlu dilepaskan jika dia tidak lagi rela dengan suaminya. Suami tidak berhak “menyimpan” isteri yang tidak merelakan dirinya.

    Dua perkara ini jika dihayati dengan baik oleh masyarakat pasti akan dapat membaiki banyak permasalahan yang berlegar dalam sistem kekeluargaan yang semakin bercelaru sekarang. Misalnya budaya lelaki berangan nak kahwin lebih dari satu sambil membuat pelbagai tipudaya yang merosakkan banyak institusi keluarga boleh dikurangkan. Begitu juga masalah isteri-isteri yang makan hati kerana teraniaya hidup rela dalam paksa dan digantung tidak bertali akibat kebodohan, keegoan dan kezaliman lelaki yang bergelar suami dapat dileraikan. Setiap orang perlu sedar bahawa Tuhan telah melakar jalan hidup yang ideal buat mereka. Mereka hanya perlu komited terhadap ketetapan Tuhan dan bukan menurut golongan yang cenderung berlumur dengan hawa nafsu.

    Jika tuan Azlan teliti, saya sebenarnya tidak mengatakan Tuhan melarang poligami. Memang tidak ada larangan khusus terhadap poligami. Penekanan saya terhadap ayat 4:3 hanya untuk mengingatkan bahawa ayat itu bukan satu kebenaran atau lesen untuk berpoligami sepertimana yang dipercayai secara membuta tuli oleh masyarakat Islam. Ayat itu adalah tentang pengurusan anak yatim khususnya yang perempuan apabila mereka sudah dewasa. Ia tidak ada kaitan langsung dengan poligami. Salah faham atau manipulasi terhadap ayat ini harus dihentikan. Ia adalah penyumbang kepada banyak masalah berkaitan keluarga yang kononnya hari ini kita mahu selesaikan.

    Di akhir artikel di atas saya buka satu persoalan, iaitu bagaimana jika seorang wanita itu sanggup bermadu untuk kita sama-sama bincangkan. Persoalan tersebut boleh membawa kita meneroka isu poligami secara lebih mendalam supaya satu kebenaran dapat dirungkaikan. Saya harap tuan Azlan dapat bersama-sama mencari jawapannya.

    tolokminda

    December 16, 2010 at 1:51 pm

  3. Salam Tuan

    Terima kasih atas penjelasan tuan dan saya sgt setuju dgnnya. Maaf, pada saya artikel tuan lebih cenderung kepada memberi hukum dan penjelasan tuan lebih tepat kepada niat tuan untuk perbincangan.

    Pada saya jawapan kepada perbincangan pada persoalan diakhir artikel tersebut terletak kepada prinsip2 rela, mengelakkan kezaliman dan menggalakkan kebaikan. Kalau kita nak memberi parameter yg tepat mungkin menzalimi diri kita sendiri mcm org yahudi yg suka membuat peraturan2 dan sekatan dlm agama mereka. Misalannya sekarang ini ramai wanita meminta keadilan sebagai salah satu parameter untuk poligami tetapi keadilan memang tak wujud.

    Pada saya kalau seorang isteri ingin dimadukan semestinya dia mempunyai sebab. Dan kemungkinan besar, sebab-musababnya menjadi parameter kepada keizinan tersebut. Tapi tak lari dari prinsip takde paksaan (rela), mengelakkan kezaliman dan membawa kebaikan.

    Selalunya jika persoalan poligami ini diajukan secara serius dlm konteks rumahtangga boleh membawa kepada penceraian; dan dlm konteks penceraian pula tuhan memberi kita nasihat utk mengambil org tengah yg neutral untuk menjadi facilitator yg dpt menolong menguraikan masalah dan penyelesaian secara neutral kepada kedua2 pihak.

    Oleh sebab itu, mungkin ada baiknya kalau seorang isteri yg ingin dimadukan pun ada seorang tgh yg dpt menolong pasangan itu melaluinya secara objektif/neutral kalau tidak perasaan selalunya melebihi akal.

    Salam dari saya dan teruskan perbincangan tuan.

    Azlan

    December 16, 2010 at 2:31 pm

  4. Salam,

    1) Saya setuju dengan TM. Kalau kita baca ayat 4.2~4.6, secara konteksnya ia berkaitan pengurusan anak-anak yatim. Perkahwinan yang dirujuk dalam ayat itu adalah mengahwinkan anak-anak yatim perempuan itu bila bimbang tidak dapat menjaga mereka dengan baik (di antara anak sendiri dengan anak yatim, pasti ada perbezaannya). Jadi ayat ini bukannya penggalak kepada poligami.

    2) Berkenaan ayat 4:19~20, isteri yang sudah tidak rela hidup bersama seseorang suami perlu diberi kebebasan (dilepaskan). Seorang lelaki beriman, kalau khidmatnya tidak diperlukan lagi, buat apa nak berharap pada yang tidak sudi itu. Hidup sentiasa pandang ke hadapan.
    Ambil contoh macam mana Allah berhubung dengan manusia. Jika ada manusia yang malas berfikir walaupun ada akal, maka Allah tak berilah kefahaman kepada mereka sebab mereka yang tak sudi.

    3) “4:129. Kamu tidak akan boleh berbuat adil antara isteri-isteri kamu, walaupun kamu ingin sekali; maka janganlah kamu condong dengan seluruh kecondongan sehingga kamu meninggalkannya seperti tergantung. Jika kamu membetulkan dan bertakwa, sesungguhnya Allah adalah Pengampun, Pengasih.”

    Ayat 4:129 memberi peringatan kepada si suami yang sudah beristeri ramai supaya jangan bersikap memilih kasih sehingga ada isteri yang tergantung.

    Kesimpulan yang saya nampak, tiada galakan kepada lelaki untuk berpoligami seperti yang difahami oleh majoriti orang Islam hari ini. Namun tiada larangan Tuhan terhadap poligami. Apa jua “teamwork”, ia memerlukan kerelaan dan kesetiaan daripada semua pihak yang terlibat jika mahu berjaya. Begitulah dalam perkahwinan tidak kira monogami atau poligami.

    Yang menyebabkan kucar-kacir dalam rumahtangga orang Islam hari ini adalah kerana sikap suami tidak berterus-terang ingin beristeri lain. Ramai suami suka berhubungan dengan wanita lain secara sorok-sorok. Ini yang menambah derita pada si isteri bila akhir dapat tahu suaminya telah berkahwin lain. Tetapi kalau si suami dapat berterus-terang daripada peringkat awal kepada isterinya dan tidak menunjukkan sikap seperti hendak meninggalkan isteri itu, perasaan yang menghantui isteri itu tiada lagi.

    Hidup kena jujur walaupun menghadapi jalan yang sukar sebab apa yang kita buat semuanya dilihat oleh Tuhan. Jadi nak hidup berpura-pura buat apa?

    Juang

    December 17, 2010 at 7:25 am

  5. Salam Tolokminda…

    Ia byk kepincangan sebenarnya, cuba lihat di..

    http://www.hmetro.com.my/articles/VIPnikahtanparekod/Article

    Sumber berita HAIRAN METRO…

    Jebon

    February 4, 2011 at 11:54 am


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: