Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘tuhan orang arab

Peranan Yahudi dan Arab munafik dalam membentuk agama Islam yang kita kenali hari ini

with 44 comments

Walaupun umat Islam mengaku meletakkan Al-Quran sebagai sumber rujukan yang paling diutamakan, hakikatnya formasi agama Islam yang mereka anuti sekarang sebenarnya lebih bersumberkan kepada hadis dan sunnah di samping pendapat serta ajaran para imam mereka. Tanpa hadis dan sunnah yang disampaikan dan ditekankan oleh para imam mereka itu, agama Islam dalam bentuk yang kita kenali hari ini tidak mungkin wujud.

Buktinya, semua amalan ritual dan hukum-hakam fekah mahupun syariah yang menjadi pegangan umat Islam – tanpa mengira mazhab mereka – sebenarnya tidak ada di dalam Al-Quran. Kita hanya boleh merujuknya kepada kitab-kitab hadis dan sunnah serta kitab-kitab karangan para imam dan ulama favorite mereka.

Secara umumnya hadis dan sunnah dirujuk kepada himpunan cerita-cerita riwayat Nabi semasa dia masih hidup – kononnya diriwayatkan secara verbatim oleh para periwayat yang telah ditapis dan dijamin kewibawaan dan kejujuran mereka – mereka tidak mungkin menyeleweng. Bagaimanapun dalam sejarah Islam yang sampai kepada kita, pengumpulan hadis dan sunnah ini tidak dilakukan sehinggalah 200 – 300 selepas Nabi wafat.

Oleh itu sebagai seorang yang benar-benar meyakini Al-Quran, saya ingin mengajak para pembaca budiman berfikir dan merenung ayat berikut sedalam-dalamnya. Saya berpendapat ia memberikan kita satu clue yang agak jelas tentang kedudukan himpunan kisah riwayat Nabi serta latarbelakang penyelewengan maksud perkataan-perkataan penting di dalam Al-Quran.

5:41  Wahai Rasul, jangan bersedih dengan mereka yang semakin teruk tidak percaya dari kalangan mereka yang berkata; “Kami percaya”, dengan mulut mereka sedangkan hati mereka tidak percaya. Dan dari kalangan mereka orang-orang Yahudi, ada di antara mereka yang mendengar pembohongan – mereka mendengar dari orang-orang yang tidak pernah menemui kamu, mereka menyelewengkan perkataan-perkatan dari konteksnya dan mereka berkata: Jika kamu diberikan ini, maka ikutlah tetapi jika kamu diberikan selainnya, maka berhati-hatilah. Dan sesiapa sahaja yang Tuhan ingin uji, maka kamu tidak mampu berbuat apa-apa untuk dia yang menentang Tuhan. Mereka inilah yang hati mereka Tuhan tidak ingin bersihkan; di dunia ini mereka akan dihina dan di akhirat kelak mereka akan mendapat balasan yang berat.

Melalui ayat di atas kita mendapat satu gambaran bagaimana pada ketika Nabi masih hidup dan menyampaikan Al-Quran pun beliau telah berhadapan dengan ramai dari kalangan kaumnya yang bersifat hipokrit (munafik). Keadaan itu menyebabkan Nabi berasa kecewa. Mereka mengaku percaya tetapi hakikatnya tidak. Pengakuan mereka hanya berada di mulut tetapi hati mereka sebenarnya tidak percaya.

Di kalangan orang-orang Yahudi pula, Tuhan kata mereka gemar mendengar cerita-cerita bohong tentang Nabi padahal mereka yang bercerita itu sebenarnya tidak pernah bertemu Nabi pun.  Selain itu mereka turut melakukan penyelewengan terhadap maksud perkataan-perkataan dan mendoktrinasi orang lain kepada pembohongan dan penyelewengan mereka dengan berkata, “jika kamu diberikan ini, maka ikutlah tetapi jika kamu diberikan selainnya, maka berhati-hatilah”.

Oleh itu, antara kesimpulan yang dapat saya gariskan dari penelitian terhadap 5:41 adalah;

  • Orang-orang Arab kaum Nabi yang kebanyakannya munafik tidak peduli tentang Nabi ataupun Al-Quran. Mereka hanya mahu mengekalkan kepercayaan agama tradisi mereka tetapi buat-buat percaya kepada apa yang disampaikan apabila berada di depan Nabi.
  • Orang Yahudi adalah pihak yang mula-mula menyebarkan riwayat-riwayat palsu mengenai Nabi sejak beliau masih lagi hidup dan menyampaikan Al-Quran.
  • Orang Yahudi juga mempunyai tabiat menyelewengkan maksud perkataan-perkataan di luar dari konteks mungkin untuk disesuaikan dengan cerita-cerita bohong mereka.
  • Umat Islam yang mengambil mudah dan cenderung menurut membuta tuli terperangkap dalam sebuah agama yang theologinya berasaskan kisah-kisah riwayat palsu serta perkataan-perkataan yang diselewengkan maksudnya oleh Yahudi.
  • Umat Islam yang mengambil mudah dan cenderung menurut membuta tuli terperangkap dalam sebuah agama yang amalan ritualnya berlegar di sekitar kepercayaan orang Arab yang munafik.
  • Umat Islam yang rata-ratanya celaru, ditindas dan dihina tidak sedar bahawa nasib yang menimpa mereka sebenarnya adalah akibat kejahilan dan kesombongan mereka sendiri.
  • Elakkan menjadi seperti orang Yahudi yang percaya kepada golongan yang membawa cerita tentang Nabi sedangkan mereka sendiri tidak pernah menemuinya.

Written by tolokminda

April 6, 2010 at 3:17 am

Kaum yang degil, hipokrit dan sesat

with 23 comments

Jika artikel sebelum ini mengulas mengenai konsep ketuhanan orang Arab, kali ini kita tumpukan kepada kaum itu sendiri. Bagi mereka yang percaya kepada kisah-kisah riwayat yang tidak mempunyai authority dari Al-Quran, orang-orang Arab dikatakan telah menerima Islam dan Al-Quran secara total. Kaum yang mereka kagum dan sanjung. Apa saja tentang Arab adalah jalan ke syurga.

Kononnya walaupun pada peringkat awal kaum nabi dikatakan bersikap kritikal, defensif dan dalam masa yang sama agresif kepada nabi di mana mereka telah berusaha membunuhnya dan memeranginya beberapa kali, namun setelah asyik gagal dalam usaha mereka itu dan akhirnya mereka menerima sepenuhnya apa yang nabi sampaikan sehinggalah nabi meninggal dunia.

Bagaimanapun jika kita lihat bukti-bukti dari Al-Quran, tidak ada satu ayat pun yang menyokong keadaan yang sedemikian. Seperti kaum-kaum nabi sebelum Muhamad, Tuhan memberitahu kita kaum Muhamad juga tidak kurang keingkarannya. Mereka degil, hipokrit dan menolak apa yang telah disampaikan kepada mereka. Mereka tidak menerima Muhamad dan apa yang diwahyukan kepadanya kecuali sebahagian kecil.

Hakikat itu dapat kita lihat sehingga hari ini apabila mereka masih lagi mempersekutukan Tuhan dengan bangunan ciptaan mereka sendiri yang dilengkapi dengan pelbagai elemen dan simbol suci yang pada dasarnya hanya mereka sahaja yang tahu rasional di sebaliknya (jika ada). Begitu juga semua amalan ritual yang dipersabitkan kepada apa yang mereka persekutukan itu, adakah benar-benar direstui Tuhan?

Mari kita lihat kedudukan mereka dari kacamata Al-Quran.

25:1 Penuh berkat Dia Yang menurunkan Al-Quran ke atas hambaNya supaya dia menjadi pemberi amaran kepada umat manusia.

25:2 Dia, Yang Memiliki Kerajaan di langit dan di bumi, dan Dia yang tidak memiliki anak, dan Dia tidak memiliki sekutu dalam kerajaanNya, dan Dia yang telah mencipta segala-galanya dan menetapkan pengiraannya.

25:3 Dan mereka telah mengambil selainNya tuhan-tuhan, yang tidak mencipta apa pun sedangkan mereka sendiri dicipta, dan mereka tidak berkuasa untuk memberi diri mereka sendiri kerugian atau keuntungan, dan mereka tidak berkuasa menentukan mati atau hidup, tidak juga menghidupkan kembali.

25:4 Dan mereka yang tidak percaya berkata: Ini (Al-Quran) hanyalah penipuan semata-mata yang dipalsukan dan orang lain telah membantu dia melakukannya – maka sesungguhnya mereka telah berlaku tidak adil dan berbohong.

25:5 Dan mereka berkata: Ini kisah-kisah purbakala – yang dia telah menulisnya – yang telah dibacakan kepadanya pagi dan petang.

25:6 Katakan: Dia yang telah mewahyukannya Dia tahu rahsia di langit dan di bumi – sesungguhnya Dia sentiasa memberi keampunan dan Mengasihani.

25:7 Dan mereka berkata: Apa kena dengan rasul ini yang makan makanan dan berjalan-jalan di pasar, mengapa tidak dihantar seorang malaikat kepadanya supaya dia memberi nasihat kepadanya?

25:8 Atau harta yang banyak dihantar kepadanya atau jadikannya memiliki kebun dari mana dia boleh makan? Dan yang tidak rasional berkata: Kamu jangan ikut kerana dia tidak siuman.

25:9 Lihatlah apa yang mereka persamakan ke atasmu, jadi mereka telah sesat, maka mereka tidak akan dapat mencari jalan kebenaran.

Kesimpulan yang dapat kita perolehi dari ayat-ayat di atas adalah:

  • Orang-orang Arab memilih untuk terus menyekutukan Tuhan dengan tuhan-tuhan mereka walaupun telah disampaikan kepada mereka Al-Quran.
  • Mereka mengatakan Al-Quran itu satu penipuan yang ditulis oleh Muhamad dengan bantuan orang-orang lain.
  • Mereka mengejek dan tidak percaya bahawa Muhamad seorang rasul kerana dirinya yang serba biasa dan tidak termasuk dalam golongan yang mereka anggap layak dihormati.
  • Tuhan menegaskan bahawa mereka adalah kaum yang sesat.

Melalui ayat-ayat serta kesimpulan yang dapat saya fikirkan di atas, adakah wajar kita memberi kepercayaan penuh kepada kaum yang terang-terang telah menolak rasul dan wahyu yang disampaikan kepada mereka sebagaimana dimaklumkan sendiri oleh Tuhan kepada kita?

9:97 Orang-orang Arab adalah paling teruk ketidakpercayaannya dan hipokrit – dan sangat dangkal dengan yang telah diwahyukan oleh Tuhan melalui rasulNya – dan Tuhan Mengetahui dan Menghakimi.

Written by tolokminda

February 17, 2010 at 2:32 am

Konsep ketuhanan orang Arab

with 117 comments

Melalui Al-Quran, Tuhan memberitahu kita tentang konsep ketuhanan yang dipegang oleh orang-orang Arab sejak turun-temurun. Ia merupakan satu konsep di mana Tuhan itu mempunyai rumah, berkeluarga, beristeri dan memiliki anak-anak perempuan. Tuhan memberi gambaran yang agak jelas mengenai kepercayaan tidak berasas orang-orang Arab dalam hal ini.

37:153 Adakah Dia memilih anak-anak perempuan berbanding lelaki?

37:154 Apa kena dengan kamu, bagaimana kamu membuat pertimbangan?

37:155 Adakah kamu tidak berakal?

Akibat kepercayaan mereka itu, mereka sendiri tidak suka anak-anak perempuan. Mereka malu apabila mendapat anak perempuan. Di dalam masyarakat Arab apabila seseorang mendapat tahu dia mendapat seorang anak perempuan, mukanya akan menjadi hitam kerana marah dan merasa terhina tak terkata.

16:58  Dan apabila dimaklumkan anak perempuan kepada seorang dari mereka, mukanya menjadi hitam dan penuh kemarahan.

Menjelaskan lagi penghinaan ke atas mereka yang mendapat anak perempuan ialah apabila orang ramai akan mengejek-ngejek mereka kononnya mereka sama dengan Tuhan (kerana mendapat anak perempuan).

43:17 Dan apabila seseorang dari mereka mendapat berita yang dia dipersamakan dengan Tuhan Yang Pemurah, mukanya menjadi hitam dan penuh kemarahan.

Bukan setakat itu, mereka juga turut menamakan para malaikat dengan nama-nama perempuan.

43:19 Dan mereka menjadikan para malaikat – yang berkhidmat kepada Tuhan Yang Pemurah – berjantina perempuan. Apa! Adakah mereka telah menyaksikan penciptaan mereka? Dakwaan mereka akan ditulis dan mereka akan ditanya mengenainya.

Bayangkan betapa buruknya konsep ketuhanan orang-orang Arab yang mana Tuhan di kelilingi oleh isteri, anak-anak dan para malaikat yang semuanya perempuan. Dan mereka menyembah semua yang mereka sendiri ada-adakan di samping Tuhan tanpa sebarang sandaran kecuali kerana mengikut membuta-tuli apa yang telah diajar oleh bapa-bapa mereka.

43:20 Dan mereka berkata: Jika Tuhan Yang Pemurah mengkehendaki – tentulah kami tidak menyembah mereka – Mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan mereka hanya berbohong.

43:21 Atau sudahkah kami beri mereka Al-Kitab sebelum ini supaya mereka berpegang teguh kepadanya?

43:22 Tidak! Mereka berkata: Kami dapati bapa-bapa kami dalam satu jalan, dan sesungguhnya kami mendapat petunjuk dari langkah-langkah mereka.

43:23 Sama juga, bila saja Kami menghantar seorang Pemberi amaran kepada mana-mana umat, mereka yang kaya di dalamnya berkata: Sesungguhnya kami dapati bapa-bapa kami dalam satu jalan dan sesungguhnya kami adalah pengikut langkah-langkah (agama) mereka.

Tetapi adakah orang-orang Arab berubah selepas Nabi menyampaikan Al-Quran kepada mereka? Menurut Tuhan – Tidak. Mereka langsung tidak berubah.

43:24 Katakan: Apa! Walaupun jika aku membawa kepada kamu pedoman yang lebih baik dari apa yang kamu perolehi dari bapa-bapa kamu? Mereka berkata: Sesungguhnya kami tidak percaya dengan apa yang telah diutuskan kepada kamu.

Al-Lat, Al-Uzza & Al-Manat

Jika apa yang dikemukakan di atas masih belum mencukupi mari kita lihat melalui satu lagi sudut di mana Tuhan telah menyebut secara khusus tentang Al-Lat, Al-Uzza dan Al-Manat. Selaras dengan nama-mana mereka, ketiga-tiganya adalah Dewi (goddess) yang menjadi tonggak sembahan orang Arab menjelaskan kepada ayat-ayat yang telah saya kemukakan di atas.

53:19  Sudahkah kamu pertimbangkan Lat dan Uzza

53:20  Dan Manat, yang ketiga – yang terakhir?

53:21  Apa! Untuk kamu yang lelaki dan untuk Dia yang perempuan?

53:22  Sesunguhnya ini adalah pembahagian yang tidak adil!

Menurut kefahaman saya dari sumber luar Al-Quran, orang-orang Arab menganggap Al-Lat sebagai ibu kepada Dewi-Dewi Al-Uzza dan Al-Manat, iaitu anak-anakNya. Apapun saya berpendapat kita tidak perlu memikirkan sangat tentang ketepatan fakta berkaitan siapa itu Al-Lat, Al-Uzza atau Al-Manat kerana ia tidak penting selepas Allah memberitahu:

53:23  Mereka tidak lebih dari sekadar nama yang telah kamu namakan, kamu dan bapa-bapa kamu – Allah tidak pernah menghantar kepada mereka sebarang pengesahan. Mereka hanya mengikut andaian dan nafsu dangkal yang menjadi kecenderungan jiwa mereka sendiri dan sesungguhnya sekarang telah datang pedoman kepada mereka dari Tuhan mereka.

Tetapi itulah malangnya, orang-orang Arab telah menetapkan pendirian mereka:

43:24 Katakan: Apa! Walaupun jika aku membawa kepada kamu pedoman yang lebih baik dari apa yang kamu perolehi dari bapa-bapa kamu? Mereka berkata: Sesungguhnya kami tidak percaya dengan apa yang telah diutuskan kepada kamu.

Jadi – selepas mengetahui pendirian orang-orang Arab terhadap wahyu yang telah disampaikan kepada mereka oleh Nabi, apakah wajar kita patuh kepada konsep ketuhanan berteraskan binaan-binaan dan lokasi-lokasi “suci” yang mereka bawa kepada kita tanpa membuat penyelidikan terlebih dulu? Adakah kita juga mahu menunggu sehingga Tuhan bertanya kita: Adakah kamu tidak berakal?

Adakah orang Arab terlalu obsesif kepada organ seks wanita sehinggakan mereka merekabentuk pelindung hajar aswad sebegitu rupa? Atau adakah ia simbol gender dewi-dewi yang mendiami binaan berkenaan?

Memang benar hari ini kita tidak mendengar orang-orang Arab menyebut Al-Lat, Al-Uzza atau Al-Manat dalam ritual mereka. Tetapi secara logiknya, jika mereka terus melakukan itu adakah sesiapa yang mahu menuruti mereka? Mereka bukan bodoh sehingga tidak boleh mencongak betapa besarnya keuntungan menjadi penaung kepada sebuah agama besar yang penganutnya hanya tahu mendengar dan menerima apa saja yang mereka sampaikan?

Mengapakah bangunan empat segi memerlukan 3 batang tiang? Adakah sebagai simbol kepada jumlah dewi-dewi tonggak yang mendiaminya?

Tetapi susah sangatkah untuk kita semua melihat Kaabah di Mekah itu – walaupun hanya sebuah kekotak batu empat segi dan berselimut hitam – telah dipersimbolkan kepada gender perempuan melalui bentuk pelindung hajar aswad yang ada di satu sudutnya.

Selain itu di dalamnya terdapat tiga tiang, yang saya fikir agak tidak sepadan dengan binaan yang berbentuk segi empat. Adakah ia sebenarnya melambangkan tiga dewi yang menjadi tonggak sembahan orang-orang Arab?

Sedang Tuhan sudah memberi pelbagai amaran dan peringatan supaya kita tidak memyekutukan Dia dengan apa-apa pun tetapi mengapakah kita masih mahu menuruti apa yang dibawa oleh orang-orang Arab kepada kita tanpa sedikit pun merasa perlu untuk membuat penyelidikan sendiri?

Sekarang saya turut musykil kenapa wanita Arab mesti memakai jubah hitam saja… ermmm. Mari kita bincangkan.

Written by tolokminda

February 15, 2010 at 12:56 pm