Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘syafaat

Siapa saja boleh menawarkan syafaat tetapi syaratnya…

with 38 comments

Secara umumnya umat Islam mentafsirkan perkataan syafaat sebagai pertolongan atau favour. Khususnya pertolongan atau favour dari Nabi kepada umatnya. Dan dalam artikel saya sebelum ini yang bertajuk “Tidak ada manusia berhak menjadi pelindung di samping Allah” saya masih berpandangan yang sama dan dari pandangan saya itu saya telah membuat kesimpulan bahawa tidak ada siapa – walaupun Nabi Muhamad – yang boleh memberi pertolongan kepada orang lain di akhirat kelak.

Bagaimanapun selepas para peserta perbincangan mengemukakan beberapa ayat yang berkaitan, saya berasa agak keliru kerana pendapat saya mengenai syafaat rasul itu tidak selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Tuhan melalui ayat-ayatNya. Namun selepas membaca berulang-ulang kali, akhirnya saya dapat membuat kesimpulan bahawa maksud perkataan syafaat yang sebenarnya bukanlah bermaksud pertolongan atau favour.

Sebaliknya ia membawa maksud “pengantaraan”. Pendek kata jika kita dengar orang kata Nabi memberi syafaat, kita perlu mentafsirkannya sebagai Nabi menawarkan pengantaraan – dan bukan Nabi memberi favour atau pertolongan bagi pihak kita.

Mari kita lihat semula beberapa ayat yang berkenaan. Dan selepas saya mentafsirkan perkataan syafaat dengan perkataan pengantaraan, barulah mesej Tuhan menjadi jelas dan mudah.

20:109 Pada hari itu tiada pengantaraan yang bermanfaat kecuali sesiapa yang dibenarkan oleh Tuhan Yang Pemurah dan mereka yang perkataannya Dia restui.

53:26 Dan berapa ramai malaikat di langit yang pengantaraan mereka tidak memberi manfaat langsung kecuali selepas Tuhan memberi kebenaran kepada sesiapa yang Dia restui dan pilih.

2:254 Wahai kamu yang percaya! Berbelanjalah dari apa yang Kami telah berikan kepadamu sebelum hari itu datang di mana tiada tawar menawar, juga tiada sekutu, juga tiada pengantaraan dan mereka yang tidak percaya – merekalah orang-orang yang zalim.

Kefahaman saya kemudian dibantu oleh ayat 21:27-28. Dalam ayat 21:27 Tuhan menggambarkan kepada kita sikap para rasul apabila mereka berhadapan dengan Tuhan. Mereka adalah individu-individu yang takut, hormat dan patuh sepenuhnya kepada Tuhan. Dan dalam 21:28 – barulah satu clue mengenai kebolehan para rasul menawarkan pengantaraan menjadi benar-benar jelas dan muktamad.

21:27 Mereka (para rasul) tidak bercakap sebelum Dia bercakap, dan mereka bertindak hanya dengan perintah Dia.

21:28 Dia tahu apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka, dan mereka tidak menawarkan pengantaraan kecuali kepada mereka yang direstui dan kerana perasaan takut kepadaNya mereka menggigil.

Perhatikan ayat 21:28 yang menyebut para rasul tidak menawarkan pengantaraan KECUALI kepada mereka yang direstui Tuhan. Inilah cluenya. Nampaknya memang benar para rasul memiliki kelebihan untuk menjadi pengantara bagi menolong kepada orang lain – iaitu orang-orang yang Tuhan restui. Tetapi siapakah orang-orang yang direstui Tuhan dan Tuhan benarkan ke atas mereka pertolongan dari rasul-rasul?

Selepas mencari, saya percaya jawapannya ada dalam ayat ini.

4:69 Dan sesiapa yang patuh kepada Allah dan rasul, mereka akan bersama dengan kalangan yang Allah telah anugerahkan dengan pertolongan dari rasul-rasul dan mereka yang berpegang kepada kebenaran dan para syahid dan mereka yang membuat kebaikan. Betapa indahnya gabungan mereka!

Sekarang terlerailah kekeliruan saya.

Ayat 4:69 memberitahu kita dengan jelas siapakah mereka yang Tuhan restui dan layak mendapat pertolongan dari pengantaraan rasul-rasul. Mereka adalah orang-orang yang patuh kepada Allah dan rasul. Bagaimanapun penemuan fakta yang lebih menarik adalah apabila kita turut diberitahu bahawa kelebihan melakukan pengantaraan bukan hanya eksklusif kepada para rasul, tetapi turut boleh dilakukan oleh orang-orang yang berpegang kepada kebenaran dan orang-orang yang syahid dan orang-orang yang membuat kebaikan.

Pendek kata, bukan rasul saja yang boleh menawarkan pengantaraan, tetapi orang-orang dari kelompok yang Tuhan sebut secara khusus itu juga memiliki kelebihan untuk menawarkan pengantaraan. Jika kita renungkan mereka yang dimaksudkan itu semuanya merupakan individu-individu yang mendapat restu Tuhan – maknanya siapa pun yang diterima Tuhan untuk menyertai kelompok manusia terpilih berkenaan sebenarnya mempunyai kemampuan untuk saling tolong menolong dan saling menjadi pengantara di antara satu sama lain. Dan Tuhan menyifatkan gabungan mereka itu sebagai satu gabungan yang indah, hebat, cantik!

Dengan kata lain, saya berpendapat mereka adalah gabungan orang-orang yang berhak menjadi saksi sesama mereka. Iaitu menjadi saksi kepada kebenaran yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan Yang Satu.

3:81 Dan apabila Allah membuat satu perjanjian di antara nabi-nabi: Sesungguhnya apa yang Aku berikan dari Al-Kitab dan kebijaksanaan – kemudian datang kepada kamu seorang rasul mengesahkan apa yang ada pada kamu, kamu mesti percaya kepadanya, dan kamu mesti membantunya. Dia berkata: Adakah kamu setuju dan terima syaratKu mengenai ini? Mereka berkata: Kami setuju. Dia berkata: Oleh itu bersaksilah, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.

3:53 Wahai Tuhan kami! Kami percaya di dalam apa yang telah Engkau wahyukan dan kami menuruti rasul, oleh itu senaraikanlah kami bersama mereka yang menjadi saksi.

2:143 Dan maka kami telah menjadikan kamu umat yang diutamakan yang kamu akan menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi ke atas kamu…

Akhir kata, dengan tersiarnya artikel ini maka saya mengakui pandangan saya dalam artikel yang bertajuk “Tidak ada manusia berhak menjadi pelindung di samping Allah”  bahawa Nabi tidak boleh menawarkan pengantaraan untuk orang lain adalah kurang tepat. Sekarang saya percaya bukan saja Nabi Muhamad, bahkan semua rasul lain dan semua individu yang Tuhan telah restui dan beri kebenaran boleh menawarkan pengantaraan di antara di antara satu sama lain.  Ini kerana persaksian mereka diterima Allah begitu juga perkataan-perkataan mereka.

20:109 Pada hari itu tiada pengantaraan yang bermanfaat kecuali sesiapa yang dibenarkan oleh Tuhan Yang Pemurah dan mereka yang perkataannya Dia restui.

Bagaimanapun saya masih berpegang kepada kepercayaan bahawa kita tidak boleh mengambil sesiapa pun sebagai pelindung. Untuk melayakkan diri menjadi individu yang diterima persaksian dan percakapan kita di sisi Tuhan, kita tidak boleh menggunakan jalan mudah. Kita tidak boleh menumpang atau meminta perlindungan dari sesiapa. Amalan mengampu Nabi dan menyekutukan beliau dengan Tuhan adalah sia-sia.

21:29 Jika ada sesiapa dari mereka (para rasul) berkata, “aku tuhan di samping Dia”, yang begitu kami akan balas dengan neraka. Begitulah kami membalas mereka yang membuat salah.

Saya harap para pembaca budiman boleh terus bincangkan topik ini melalui perspektif yang baru ini. Sama-sama kita mencari kebenarannya.

Written by tolokminda

March 4, 2010 at 8:12 pm