Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘sumber pendapatan

Nabi, rasul dan mereka yang percaya tidak menjana sebarang pendapatan dari wahyu-wahyu Tuhan

with 134 comments

Tuhan telah melantik ramai nabi dan rasul di kalangan umat manusia untuk menyampaikan peringatan, pedoman dan berita baik dalam bentuk wahyu dan Al-Kitab  supaya mereka mengamalkan cara hidup yang direstui Tuhan. Sebahagian darinya kita ketahui nama, bangsa dan pekerjaan mereka. Dan sebahagian pula hanya Allah yang mengetahui siapa mereka.

Dan dari semua nabi dan rasul yang diceritakan kepada kita oleh Tuhan, tidak ada seorang pun dari mereka menyara hidup dengan apa yang mereka sampaikan. Nabi dan rasul tidak menerima sebarang upah atau ganjaran dari sebarang “majikan dunia” untuk menjalankan tugas mereka menyampaikan wahyu Tuhan. Sebagai contoh mari kita lihat apa kata para nabi mengenai upah atau ganjaran mereka.

Nabi Nuh:

26:109 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.

Nabi Hud:

26:127 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.

Nabi Saleh:

26:145 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.

Nabi Luth:

26:164 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.

Nabi Syuib:

26:180 Dan aku tidak meminta dari kamu sebarang ganjaran untuknya – ganjaranku hanyalah dari Pemilik sekelian yang berpengetahuan.

Keadaan ini berlawanan dengan pembesar-pembesar agama golongan penyekutu Tuhan yang biasanya merupakan individu-individu yang mendapat upah atau ganjaran di atas kedudukan mereka. Dari zaman Firaun sehinggalah ke era abad ke 21 – para pembesar agama merupakan golongan yang dinaungi pemerintah dan  mereka menjana sumber pendapatan dalam bentuk upah, gaji, elaun dan sebagainya kerana peranan mereka “menjaga” agama masyarakat.

Tetapi cuba kita lihat apa yang Tuhan suruh Nabi katakan dalam hal ini.

38:86  Katakan: Aku tidak meminta kamu sebarang ganjaran untuknya; tidak juga aku dari kalangan yang mengada-adakan.

38:87  Ia tidak lain adalah satu Peringatan kepada semua yang berpengetahuan.

38:88 Dan sesungguhnya kamu akan mengetahuinya apabila masanya tiba.

Jelas sekali Nabi juga menuruti jejak nabi-nabi terdahulu – ganjaran untuk dirinya di atas tugas sebagai rasul yang menyampaikan wahyu Tuhan hanya disandarkan kepada Allah semata-mata. Untuk menyara kehidupan, Nabi bekerja sebagaimana orang lain.

6:135  Katakan: Wahai kaumku, kerjakanlah pekerjaan yang sesuai, kerana aku juga bekerja. Nanti Kamu akan mengetahui siapakah yang akan mendapat hasilnya. Sesungguhnya tidak akan berjaya mereka yang membuat salah.

Begitu juga Tuhan menggambarkan kepada kita berkenaan orang-orang yang percaya – mereka tidak mengambil apa-apa keuntungan dari wahyu Tuhan yang telah sampai kepada mereka.

3:199 Dan sesungguhnya di kalangan ahli Kitab, yang percaya kepada Allah dan apa yang telah didedahkan kepada kamu dan yang telah didedahkan kepada mereka – mereka merendah diri terhadap Allah – mereka tidak menukar ayat-ayat Tuhan dengan harga yang sedikit; kepada mereka ganjaran mereka adalah dari Pemelihara mereka – sudah tentu Allah sangat cepat membuat perkiraan.

Bagaimana pula pendapat para pembaca semua mengenai perkara ini? Wajarkah kita mengambilnya sebagai satu petunjuk untuk kita membuat penilaian siapa yang patuh kepada Allah – yang mengikuti jejak para nabi dan rasul – dan siapa yang sebaliknya?

Written by tolokminda

March 19, 2010 at 5:14 pm