Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘sujud

Sujud bermaksud merendah diri

with 54 comments

Perkataan sujud secara umumnya ditafsirkan sebagai perbuatan membongkokkan diri di atas lutut dengan muka menyentuh lantai. Kononnya ia satu manifestasi kepatuhan kepada Tuhan. Tetapi adakah perbuatan seperti itu yang Tuhan suruh kita amalkan?

Saya melihat maksud perkataan sujud  mudah saja, iaitu merendah diri. Apabila Tuhan suruh para malaikat sujud kepada Adam, ia bukan bermakna mereka perlu membongkokkan-diri-di atas-lutut-dengan-muka-menyentuh-lantai kepada Adam. Ia juga tidak bermakna mereka perlu patuh kepada Adam. Apa yang berlaku, mereka sebenarnya telah merendah diri kepada Adam dan secara tidak langsung kepada Allah juga.

Ini kerana sebelum itu para malaikat telah beranggapan mereka adalah lebih baik dari Adam dan tidak nampak mengapa Allah mahu menjadikan dia khalifah di bumi. Namun selepas Tuhan membuktikan di hadapan mereka perihal kelebihan Adam, mereka sedar kesilapan mereka dan terus merendah diri apabila Tuhan menyuruh mereka berbuat demikian.

Bagaimanapun Iblis memilih untuk terus dengan kesombongannya dan tidak mahu merendah diri kepada Adam. Ini bermakna dia juga telah gagal untuk merendah diri kepada Allah. Akibatnya dia dilaknat Tuhan.

Berikut adalah apa yang diceritakan Tuhan kepada kita:

2:34 “Dan apabila Kami katakan kepada para malaikat: Bersetujulah kepada Adam (lalu) mereka telah bersetuju tetapi Iblis, dia menolak dan dia sombong dan dia adalah antara mereka yang tidak percaya”.

17:61 “…Dia berkata: Patutkah aku bersetuju kepadanya yang Engkau telah perbuat dari tanah?”

Saya percaya jika kita fahami intipati kisah Adam dan Iblis ini, kita akan melihat betapa pentingnya kita mengelak menjadi orang yang sombong. Kerana sifat sombong itu tidak lain adalah sifat Iblis yang tidak mahu merendah diri walaupun Tuhan telah menunjukkan bukti yang nyata.

Mari kita bincangkan.

Written by tolokminda

February 12, 2010 at 5:21 am