Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘sistem Tuhan

Tuhan & sistemNya yang sempurna

with 148 comments

Dalam sebahagian besar dari ayat-ayat Al-Quran, Tuhan menggunakan gantinama “Kami”. Saya berpendapat Tuhan gunakan gantinama “Kami” untuk merujuk kepada Dia dan “sistem”Nya. Dalam konteks sesuatu ayat, sistem Tuhan yang dimaksudkan mungkin boleh ditafsirkan secara khusus. Tetapi pada dasarnya sifat sistem Tuhan – menurut kemampuan akal manusia – adalah tidak terbatas.

Segala-gala yang Tuhan cipta dalam alam ini merupakan sebahagian dari sistem Tuhan. Dan manusia biar segigih manapun berusaha mungkin tidak berpeluang untuk mengetahui semuanya. Walaupun begitu Tuhan menjelaskan sistemNya itu merupakan satu kurniaan kepada seluruh manusia dan kita harus menuruti jejak Ibrahim yang berdedikasi untuk memahaminya.

2:125 “Dan Kami jadikan sistem ini sebagai satu kurniaan kepada manusia dan satu keharmonian – dan kamu harus mengambil teladan legasi-legasi Ibrahim yang komited. Dan kami perintahkan Ibrahim dan Ismail supaya mereka bersihkan sistemKu untuk mereka yang mahu mendekatkan diri dan mereka yang berdedikasi dan mereka merendah diri dan bersetuju”.

Sistem Tuhan adalah sebuah sistem yang sempurna. Ini kerana semua ciptaan Tuhan yang terdapat di dalam sistemNya itu sentiasa akur kepada perintah Tuhan. Baik yang wujud di langit mahupun yang wujud di bumi – yang kelihatan mahupun yang ghaib – semuanya patuh kepada ketetapan-ketetapan yang Tuhan telah restui (masjidillah) ke atas mereka. Itulah komitmen (solaa) mereka terhadap Tuhan.

Malah anggota badan kita sendiri pun sebenarnya merupakan sebahagian dari sistem Tuhan yang tidak pernah gagal berfungsi menurut kehendakNya. Setiap zarah yang membina tubuh badan kita akur kepada ketetapan Tuhan pada setiap masa di mana sahaja. Kita tidak sekali-kali dapat menghalang tubuh badan kita dari kepatuhannya kepada Tuhan kecuali kita akan merosakkannya.

Tanyalah doktor. Adakah mereka perlu bekerja menurut sistem tubuh pesakit atau tubuh pesakit yang perlu patuh kepada sistem mereka? Saya fikir jawapannya jelas kepada kita semua. Sebab itulah di akhirat nanti anggota badan kita akan turut menjadi saksi bagi pihak Tuhan. Anggota tubuh badan kita sendiri tidak akan menjadi saksi bagi pihak kita.

36:65  Hari ini, Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka akan bercakap kepada Kami, dan kaki mereka akan menjadi saksi kepada apa yang telah mereka lakukan.

Pendek kata, apabila Tuhan menggunakan gantinama “Kami” ia merujuk kepada Tuhan dan seluruh sistemNya yang maha luas lagi sempurna. Dan ia mungkin turut melibatkan anggota tubuh badan kita sendiri.

Oleh itu jika sekarang jantung kita boleh memahami sesuatu – cubalah fahami betul-betul. Kalau mata kita boleh melihat sesuatu – berusahalah lihat betul-betul. Jika telinga kita boleh mendengar sesuatu – dengarlah betul-betul. Jika deria-deria kita boleh membaca Al-Quran – bacalah betul-betul supaya kita beroleh petunjuk.

Kita harus sedar bahawa semua kemampuan yang ada pada setiap anggota tubuh badan kita adalah kerana mereka mematuhi ketetapan-ketetapan yang telah Tuhan restui ke atas mereka. Jika seluruh anggota badan kita sendiri pun sentiasa patuh kepada Tuhan, apakah wajar kita membiarkan jiwa kita berada dalam keingkaran dan kesesatan?

7:179  Dan Kami telah memberikan neraka ramai dari kalangan Jin dan manusia; mereka ada jantung yang dengannya mereka tidak memahami, dan mereka ada mata yang dengannya mereka tidak melihat dan mereka mempunyai telinga yang dengannya mereka tidak mendengar. Mereka seperti binatang ternak, tidak, mereka lebih jauh sesat. Mereka adalah orang-orang yang tidak sedar.

Nota:
Artikel ini merupakan jawapan saya kepada pertanyaan tentang gantinama “Kami” yang Tuhan gunakan di dalam Al-Quran oleh seorang peserta yang menggelar dirinya “Budak Bodoh”.

Written by tolokminda

April 15, 2010 at 12:26 am