Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘Puasa

Apa yang sebenarnya Tuhan suruh tahan sewaktu berpuasa?

with 114 comments

Puasa merupakan satu lagi ritual (amalan agama yang dilakukan mengikut rukun atau kaedah tertentu yang ditetapkan oleh para ulama agama sesuatu agama) yang dianggap wajib oleh orang Islam. Mereka melakukan ibadat puasa sekurang-kurangnya sebulan dalam setahun iaitu di bulan Ramadan. Ada yang melakukannya lebih dari itu, yang mana mereka panggil puasa sunat. Puasa mengikut definasi para ulama Islam adalah seperti berikut;

Puasa (bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara’ bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu. – Rujukan di sini.

Saya menerima definasi puasa sebagai menahan diri. Tetapi apa yang patut ditahan oleh diri mengikut ulama dan pengikut mereka tidak dapat saya terima kerana saya mempunyai kefahaman yang berbeza. Ulama memberitahu kita bahawa apa yang diri kita perlu tahan ketika berpuasa adalah dari menjamah makanan dan minuman.

Kita tidak boleh makan dan minum dari sebelum subuh hingga tiba waktu maghrib. Selain dari makan dan minum kita turut ditegah dari melakukan beberapa perkara lain seperti berjimak dengan isteri dan lain-lain perkara kecil seperti tidak boleh korek hidung, lubang telinga dan sebagainya. Pendek kata, ketika puasa semua jenis lubang atau saluran di badan kita perlu dipastikan bebas dari sebarang kemasukan.

Bagaimanapun saya mendapati jika definasi puasa ulama ini diterima, ia bercanggah dengan kisah puasa Maryam yang ada diceritakan oleh Allah di dalam Al-Quran. Percanggahan ini tidak sepatutnya berlaku kerana menurut Tuhan “puasa” yang ditetapkan ke atas kita adalah sama dengan “puasa” yang telah ditetapkan kepada pengikut Al-Kitab sebelum kita. Dengan kata lain, “puasa” kita mestilah sama dengan “puasa” Maryam.

Mari kita lihat bagaimana Maryam berpuasa.

19:22 Jadi dia melahirkannya; kemudian dia membawanya ke suatu tempat.

19:23 Dan kesakitan memaksanya (Maryam) berehat di bawah sepohon kurma; dia berkata: Oh, kalaulah aku mati sebelum ini, tentulah ia akan dilupakan!

19:24 Kemudian bersuara dari bawahnya (iaitu suara bayinya Isa); Janganlah bersedih, sesungguhnya Tuhanmu telah menyediakan air yang mengalir di bawahmu;

19:25 Dan goncangkanlah pohon kurma ini, ia akan menjatuhkan buah-buah kurma segar;

19:26 Jadi makan dan minum dan segarkan diri. Kemudian jika kamu bertemu dengan seseorang, kata; Sesungguhnya aku sedang berpuasa untuk Tuhan yang Pemurah, jadi aku tidak akan bercakap dengan sesiapa pada hari ini.

19:27 Dan dia kembali kepada kaumnya, membawa bersama bayinya. Mereka berkata; Wahai Maryam! Sesungguhnya kamu telah membuat sesuatu yang pelik.

19:28 Wahai adik Harun, ayah kamu bukan seorang yang jahat dan bukan pula ibu kamu seorang yang kotor.

19:29 Tetapi dia (Maryam) menuding kepada bayinya. Mereka berkata: Bagaimana kami nak bercakap dengan seorang bayi di dalam buaian?

19:30 Dia (iaitu bayinya, Isa) berkata; Sesungguhnya aku adalah hamba Allah; Dia telah memberikan aku Al-Kitab dan menjadikan aku seorang nabi;

Perhatikan ayat 24, 25 dan 26. Ayat itu menceritakan bagaimana Isa yang baru saja dilahirkan menyuruh ibunya supaya tidak bersedih. Dia memberitahu ibunya bahawa ada air yang mengalir di bawahnya untuk diminum dan juga buah kurma untuk dimakan. Kemudian dia menyuruh ibunya jangan berkata apa-apa (diamkan diri) jika bertemu dengan sesiapa dengan mengatakan sedang berpuasa. Maryam menurut apa yang disuruh, iaitu makan, minum dan menyegarkan dirinya dan selepas itu kembali semula ke tempatnya.

Apabila kaumnya melihat Maryam mereka terus bertanya dan berpandangan serong (ayat 27 & 28). Maka Maryam, tanpa berkata apa-apa terus menuding kepada bayinya sehingga mereka kehairanan bagaimana mungkin mereka boleh bercakap dengan seorang bayi di dalam buaian. Tetapi kehairanan mereka terjawab apabila bayi tersebut berkata kepada mereka; “Sesungguhnya aku adalah hamba Allah; Dia telah memberikan aku Al-Kitab dan menjadikan aku seorang nabi”. (Ayat ke 28)

Dari ayat ini kita dapat penjelasan mengenai apa yang sepatutnya menjadi definasi “puasa”. Oleh kerana Tuhan kata “puasa” yang ditetapkan kepada kita oleh Allah adalah sama dengan “puasa” yang ditetapkan kepada orang beriman sebelum kita maka “puasa” yang disuruh oleh Nabi Isa kepada ibunya dalam ayat-ayat di atas adalah “puasa” yang sama untuk kita laksanakan. Nabi Isa dengan jelas menyuruh ibunya makan dan minum. Apa yang dilarang adalah bercakap dengan orang lain. Oleh itu definasi sebenar “puasa” pada pendapat saya adalah menahan diri dari bercakap/berinteraksi/berkomunikasi dengan orang lain.

Jadi selepas kita faham apakah definasi sebenar puasa, mari kita lihat apakah pula yang dikatakan Tuhan dalam ayat-ayat 2:183-187;

2:183 Wahai kamu yang percaya! Puasa (menahan diri dari bercakap dengan orang lain) ditetapkan ke atas kamu, sebagaimana ia telah ditetapkan kepada mereka sebelum kamu, supaya kamu terpelihara.

2:184 Untuk beberapa hari yang tertentu, tetapi bagi yang sakit atau dalam perjalanan, gantikannya dengan hari-hari lain. Dan bagi sesiapa yang tidak dapat melakukannya, gantikan dengan memberi makan seorang fakir, yang demikian sesiapa yang berbuat baik, ia mendatangkan kebaikan kepadanya dan berpuasa adalah lebih baik jika kamu faham.

2:185 Bahang manifestasi (shahru ramadan) yang mana ia datang bersama Al-Quran, Petunjuk kepada manusia, bukti-bukti mengenainya, dan Pembeza. Oleh itu, sesiapa di kalangan kamu yang merasai manifestasi tersebut wajar berpuasa. Dan bagi yang sakit di antara kamu, atau sedang dalam perjalanan, gantikan dengan hari yang lain, Allah mahu memudahkan kamu, dan Dia tidak mahu menyukarkan kamu, dan supaya kamu dapat memenuhinya, dan supaya kamu mengagungkan Tuhan kerana memberi kamu pedoman, supaya kamu menghargai.

2:186 Dan jika hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, Aku sentiasa hampir, Aku menerima panggilan dari sesiapa yang memanggilKu. Oleh itu, mereka harus menerima Aku, dan patuh kepadaKu, semoga mereka mendapat pedoman.

2:187 Pada malam berpuasa, kamu dibenarkan bermesra dengan isteri-isteri kamu. Mereka adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian mereka. Tuhan tahu kamu juga membuat kesilapan, dan Dia telah menebus kamu dan mengampunkan kamu; sekarang khabarkan kepada mereka berita baik ini dan teruskan mendalami apa yang Tuhan telah tulis (kataba Allahu) untuk kamu dan hadamkanlah (cernakanlah) ia sehingga jelas kepada kamu sebagaimana benang putih boleh dibezakan dengan benang hitam di waktu subuh, kemudian teruskan berpuasa sehingga ke malam. Dan jangan kamu bergaul dengan mereka (isteri-isteri) ketika kamu sedang mengerjakan ketetapan yang telah direstui ke atas kamu. Inilah batasan-batasan Tuhan, jadi jangan dekati mereka. Begitulah Tuhan menjelaskan wahyu-wahyunya kepada manusia supaya mereka beroleh kebenaran.

Selepas membaca ayat-ayat di atas kita akan dapati puasa yang Tuhan tetapkan kepada kita adalah sama dengan yang telah ditetapkan kepada Maryam. Iaitu, menahan diri dari bercakap dengan sesiapa sebaik kita menerima ilham atau hidayah berkenaan Al-Kitab. Dalam kes Maryam, beliau baru saja melahirkan seorang nabi yang membawa kitab – dan oleh yang demikian dia juga baru saja menerima kebenaran atau hidayah yang datang bersama Al-Kitab yang dibawa anaknya, Isa.

Dalam kes kita pula,  Tuhan kata kita akan merasai satu “bahang manifestasi” (syahru ramadan) apabila diberi hidayah ketika membaca Al-Quran. Jika merasainya, kita ketika itulah kita disuruh berpuasa supaya kita dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha memahami Al-Quran dan supaya kita dapat menghargai pedoman yang Tuhan kurniakan kepada kita. (Ayat 2:185).

Berapa hari kita perlu berpuasa? Tuhan kata beberapa hari (2:184). Saya berpendapat ia mengikut kadar kecepatan masing-masing memahami ayat-ayat Tuhan. Jadi jumlah hari itu tidak sama dari satu orang ke satu orang. Mungkin ada orang memerlukan satu hari dan ada orang lain memerlukan lebih dari itu. Saya juga berpendapat usaha memahami Al-Quran ini tidak semestinya satu usaha “one-off” tetapi boleh berlaku secara beransur-ansur. Apa yang penting pada pendapat saya, setiap kali kita menerima sesuatu hidayah mengenai Al-Quran, kita perlu komited mengenainya dan berpuasa untuk menumpukan perhatian.

  • Nota:  Sewaktu membuat kajian untuk menulis tentang Haji dan Umrah, saya telah menemui jawapan kepada jumlah hari yang dtetapkan Tuhan supaya kita berpuasa dalam usaha mendalami Al-Quran. Ia terkandung dalam ayat 2:196 yang mana artikel mengenainya boleh di sini.

Apabila kita telah memahami apa yang disampaikan Tuhan melalui Al-Quran itu, maka apabila ada orang bertanya kepada kita mengenai Dia, kita disuruh beritahu mereka bahawa Tuhan adalah hampir dengan sesiapa saja dan sesiapa saja yang mahu berhubung denganNya Tuhan akan terima. Maknanya sesiapa saja boleh mendapat hidayah Tuhan jika dia memohon kepadaNya. (2:186)

Tuhan menjelaskan lagi dalam tempoh berpuasa, kita dibenarkan menyempurnakan hubungan kita dengan isteri kita pada sebelah malam (tidur dengan isteri) walaupun di waktu lain dalam tempoh berkenaan kita tidak dibenarkan berinteraksi dengan mereka (2:187). Tuhan juga menyuruh kita memberitahu isteri tentang apa yang telah kita fahami hasil dari ketekunan kita membaca Al-Quran. Tuhan kata sebelum Dia beri hidayah kepada kita, kita pun buat silap, jadi sewajarnyalah kita berkongsi dengan isteri apa yang kita tahu, selepas kita mengetahuinya. Saya fikir, secara semulajadinya isteri biasanya akan ikut cakap suami dalam hal seperti ini.

Kemudian Tuhan suruh kita teruskan berpuasa untuk menghadam (mendalami) Al-Quran sehingga ibaratnya kita dapat bezakan benang putih dan benang hitam di waktu subuh. (Baca betul-betul ayat 2:187)

Ini pendapat saya mengenai ibadat puasa berdasarkan kepada ayat-ayat Allah di dalam Al-Quran. Terima kasih kepada Penulis kerana mengemukakan persoalan mengenainya di sini. Saya harap para pembaca budiman boleh sama-sama mengemukakan pendapat melalui ruangan komen.

Written by tolokminda

January 4, 2010 at 6:30 pm

Posted in Puasa

Tagged with , ,