Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘poligami

Kebenaran poligami: Khayalan atau realiti?

with 71 comments

Poligami merupakan satu amalan yang amat digalakkan oleh para ulama dan ustaz. Mereka berkata ia sunnah Rasulullah. Begitu galaknya mereka mempromosikan amalan ini, sehingga sanggup menikahkan pasangan yang datang  kepada mereka secara rahsia walaupun jika mereka tahu lelaki berkenaan sudah pun berkahwin.

Alasan yang biasa kita dengar, mereka tidak mahu menanggung dosa jika pasangan itu membuat maksiat sedangkan poligami bukanlah satu kesalahan dalam Islam.

“Dalam surah An-Nisa ayat 4, Tuhan berfirman, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat..,” kata mereka apabila diminta membentangkan dalil mengenai poligami.

“Nabi juga mengamalkan poligami. Isteri Nabi dulu ramai”, kata mereka dalam mengukuhkan lagi dakwaan supaya nampak ia benar-benar berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.

Tetapi adakah benar Tuhan telah membuat apa-apa ketetapan tentang poligami? Mari kita periksa satu-satunya “dalil poligami” yang disogokkan kepada kita oleh para ulama, ustaz dan ustazah.

4:1 Wahai manusia, patuhi Tuhan kamu yang mencipta seseorang. Dan satu lagi Dia mencipta pasangannya dan Dia memperkembangkan dari keduanya, lebih banyak lelaki dan perempuan. Dan patuhi Tuhan yang kamu sentiasa memohon untuk keluarga. Sesungguhnya Tuhan, Dia mengambilberat tentang kamu.

4:2 Dan serahkanlah harta pusaka anak-anak yatim, dan kamu tidak wajar menukarkan yang buruk untuk yang baik, dan kamu tidak wajar menyerap harta mereka ke dalam harta kamu, kerana sesungguhnya ia akan menjadi sangat tidak adil.

4:3 Dan jika kamu bimbang kamu tidak dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim itu, maka kamu boleh kahwinkan mereka yang kamu rasa sesuai dari yang perempuan – dua, dan tiga dan empat. Tetapi jika kamu bimbang kamu tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah satu atau yang mana telah kamu beri perjanjian. Ini lebih baik supaya kewangan kamu tidak terbeban.

4.4 Dan serahkan ke atas yang perempuan harta pusaka mereka dengan jujur. Maka jika mereka bermurah hati terhadap kamu, pemberian peribadi darinya, maka terimalah dengan baik.

4.5 Dan jangan kamu serahkan kepada yang belum matang harta pusaka itu, yang mana Tuhan telah amanahkan kepada kamu. Belanjakanlah untuk mereka darinya, dan sediakan pakaian mereka, dan berinteraksi dengan mereka dengan elok.

Ok. Sekarang lihat mana dalil poligaminya? Tidak ada. Malah dalam ayat yang pertama Tuhan menyatakan;

4:1 Wahai manusia, patuhi Tuhan kamu yang mencipta seseorang. Dan satu lagi Dia mencipta pasangannya dan Dia memperkembangkan dari keduanya, lebih banyak lelaki dan perempuan. Dan patuhi Tuhan yang kamu sentiasa memohon untuk keluarga. Sesungguhnya Tuhan, Dia mengambilberat tentang kamu.

Tuhan kata bila Dia mencipta seseorang, dia akan mencipta pasangannya sekali. Sebab itulah nisbah antara lelaki dan perempuan di dalam dunia ini sentiasa dalam keadaan seimbang. Campur tolak 50:50. Kalau tak percaya periksalah keputusan bancian penduduk Malaysia atau mana-mana negara dan lihat nisbah di antara penduduk lelaki dan penduduk perempuannya. Ayat 4:1 dan bukti melalui proses bancian adalah satu indikasi jelas bahawa kita sepatutnya mempunyai satu pasangan sahaja pada satu-satu masa.

Malah fitrah manusia secara umumnya turut berpaksi kepada arah yang sama. Tidak ada seorang lelaki atau perempuan pun yang suka berkongsi pasangan dengan orang lain. Ini juga satu indikasi bahawa monogami adalah amalan yang menurut fitrah sedangkan poligami tidak. Sesuatu yang melanggar fitrah jika berleluasa akan merosakkan sistem dan dalam konteks poligami, ia merosakkan sistem kekeluargaan dan masyarakat.

Bagaimanapun monogami tidaklah menjanjikan kesempurnaan mutlak. Kita cuma manusia. Manusia tidak sempurna. Tuhan tahu sebahagian dari kita akan menghadapi masalah dalam perkahwinan. Sebab itulah Tuhan bentangkan ketetapan-ketetapan panjang lebar mengenai proses penceraian seperti yang boleh kita baca dalam Surah Al-Baqarah. Jadi jika kita tidak boleh terus hidup bersama pasangan kita (suami atau isteri) maka Tuhan memberi kita jalan keluar untuk membina hidup baru atau mencari pasangan baru. Apa yang penting semua komitmen berkaitan penceraian yang Tuhan telah tetapkan kita pegang dan tunaikan tanpa alasan.

Keadaan ini amat berbeza dengan yang diajar kepada kita oleh para ulama, ustaz atau ustazah. Mereka kata talak (penceraian) adalah perbuatan halal tetapi dalam masa yang sama ia paling dibenci Tuhan. Dan di atas kepercayaan yang tidak berasas itu mereka membuat undang-undang yang menyusahkan proses tersebut dan biasanya menganiaya isteri-isteri yang digantung tak bertali sehingga bertahun-tahun. Ini adalah perbuatan zalim kerana menutup peluang orang lain mencari jalan bahagia sedangkan Tuhan sendiri memberi kelapangan kepada mereka.

Yang peliknya dalam soal poligami, mereka beria-ia mahu mempermudahkan. Padahal Tuhan langsung tidak menyebut apa-apa tentang poligami apatah lagi menggalakkannya.

Ketetapan tentang harta pusaka dan tanggungjawab ke atas anak-anak yatim

Adalah jelas kesemua ayat 4:2 – 4:5 membincangkan tentang ketetapan-ketetapan tentang harta pusaka dan tanggungjawab kita ke atas anak-anak yatim yang kita jaga.

Dalam 4:2 Tuhan kata kita perlu serahkan harta pusaka anak-anak yatim (apabila mereka sudah matang – lihat syarat ini dalam 4:5) dan jika selepas kita membuat penyerahan harta pusakanya dan anak yatim itu memberi sebahagian dari bahagiannya secara sukarela, kita dibenarkan terima (ayat 4:4). Seterusnya 4:2 mengingatkan kita supaya tidak memberi sesuatu yang buruk kepada anak-anak yatim sedangkan mereka sepatutnya mendapat yang baik. Kita juga dilarang menyerap atau menyimpan harta pusaka anak-anak yatim ke dalam harta atau akaun kita sendiri kerana ia akan menyebabkan ketidakadilan.

Kemudian dalam 4:3 Tuhan kata kalau kita takut tidak dapat berlaku adil kepada semua anak yatim di bawah jagaan kita maka bolehlah kita kahwinkan mereka supaya mereka boleh memulakan hidup sendiri dan kita terlepas dari tanggungjawab ke atas mereka. Tetapi langkah ini tentulah tertakluk kepada kesesuaian, misalnya mereka sudah cukup matang. Jika belum, kita perlu berpegang teguh kepada komitmen yang ditetapkan dalam ayat 4:5.

Dalam soal mengahwinkan anak-anak yatim perempuan, Tuhan nyatakan bahawa kita boleh kahwinkan mereka lebih dari seorang dalam satu masa. Kahwinkan 2 orang sekali atau 3 orang sekali atau 4 orang sekali pun boleh. Malah kalau kita memang memelihara ramai anak-anak yatim, 10 – 20 orang sekali pun boleh.

Namun saya berpendapat, Tuhan sebenarnya cuma mencadangkan supaya kita menggunakan kaedah perkahwinan seperti itu sebagai satu kaedah yang boleh dijadikan pilihan. Tuhan tidak bermaksud bahawa ia adalah satu-satunya cara kerana di akhir ayat 4:3 itu Tuhan kata penyelesaian mutlak terletak di tangan kita untuk membuat keputusan. Yang penting kita mesti hindarkan kemungkinan boleh berlaku salahlaku terhadap anak yatim.

4:2 Dan serahkanlah harta pusaka anak-anak yatim, dan kamu tidak wajar menukarkan yang buruk untuk yang baik, dan kamu tidak wajar menyerap harta mereka ke dalam harta kamu, kerana sesungguhnya ia akan menjadi sangat tidak adil.

4:3 Dan jika kamu takut yang kamu tidak dapat berlaku adil kepada kalangan anak-anak yatim, maka kahwinkan mereka (sebagai jalan) keluar dari kamu. Dari kalangan yang perempuan pasangkan berdua, dan bertiga dan berempat (Of the females pairing in two, and in three, and in four) . Oleh sebab itu jika kamu bimbang tentang keadilan, maka penyelesaian mutlak, adalah keputusan kamu. Itu adalah untuk memastikan kamu mengelak dari sebarang salahlaku.

4.4 Dan serahkan ke atas yang perempuan harta pusaka mereka dengan jujur. Maka jika mereka bermurah hati terhadap kamu, pemberian peribadi darinya, maka terimalah dengan baik.

4.5 Dan jangan kamu serahkan kepada yang belum matang harta pusaka itu, yang mana Tuhan telah amanahkan kepada kamu. Belanjakanlah untuk mereka darinya, dan sediakan pakaian mereka, dan berinteraksi dengan mereka dengan elok.

Jelas. Tidak ada seberang ketetapan mengenai poligami dalam ayat-ayat di atas. Ia hanyalah berkenaan harta pusaka anak-anak yatim dan tanggungjawab kita terhadap mereka.

Tetapi bagaimana boleh berlaku, seperti yang banyak kita lihat hari ini, lelaki-lelaki yang langsung tidak pernah terfikir tentang kebajikan anak yatim malah yang anak-anaknya sendiri pun mungkin tidak terurus boleh menjadi begitu seronok dengan ayat 4.3 sehingga ramai di kalangan mereka sanggup meruntuhkan keluarga sendiri dan membawa lari anak dara orang untuk bernikah secara rahsia?

Lihatlah sajalah bagaimana para ulama kita mentafsirkan ayat-ayat 4.1 – 4.5.

[4:2] Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.

[4:3] Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

[4:4] Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

[4:5] Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Sumber di sini

Padanlah!

Written by tolokminda

January 28, 2010 at 5:07 pm

Posted in Quran

Tagged with , ,