Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘Petunjuk

Apa yang berlaku apabila kita mati

with 131 comments

Kali ini saya ingin berkongsi kefahaman saya mengenai kematian selepas memikirkannya melalui petunjuk Al-Quran. Sebelum ini saya pernah menulis tentang ritual kematian dan kubur. Ia boleh dibaca di sini. Jadi, apakah yang sebenarnya berlaku apabila kita mati? Adakah akan berlaku perkara-perkara sepertimana yang digambarkan oleh para ustaz misalnya?

Benarkah roh kita akan dikembalikan ke jasad sebaik saja orang terakhir meninggalkan kubur kita sejauh 7 langkah? Adakah kita akan didatangi malaikat yang bernama Munkar dan Nankir? Adakah kubur kita akan berubah menjadi ruang yang selesa jika kita seorang yang baik? Atau adakah kita akan dipukul dan kubur kita akan disempitkan jika kita seorang yang jahat?

Selepas memikirkan tentang mati menurut petunjuk yang ada di dalam Al-Quran, saya berasa yakin dan tenteram mengenainya. Jika para pembaca budiman ingin tahu apakah yang berlaku apabila kita mati, saya berpendapat caranya mudah saja. Bayangkan tidur. Pada pendapat saya itulah sebenarnya yang akan kita lalui. Blank. Shut off. Total black out. Bagaimana keadaannya apabila kita tidur atau malah sewaktu kita belum lahir, begitulah juga keadaannya apabila kita mati. Tidak ada apa-apa!

Petunjuk bahawa keadaan mati adalah sama dengan keadaan di waktu tidur boleh difahami dari ayat berikut.

39:42  Tuhan mengambil jiwa-jiwa apabila tiba masa kematian mereka dan juga mereka yang belum mati semasa mereka tidur. Justeru Dia menahan mereka yang telah ditetapkan kematiannya dan mengembalikan yang lain sehingga tiba waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda kepada mereka yang memikirkannya.

Saya berpendapat tidak ada bezanya keadaan jiwa ketika diambil Tuhan apabila seseorang itu mati atau tidur. Perbezaan hanya berlaku di peringkat badan. Badan fizikal mereka yang mati akan berhenti berfungsi sedangkan badan fizikal mereka yang tidur terus berfungsi seperti biasa walaupun buat sementara waktu jiwa mereka tiada di situ. Maka apabila jiwa mereka yang tidur itu dikembalikan, mereka akan mendapat kembali kesedaran dan kesinambungan hidup diteruskan.

Ini bermakna kesedaran memanifestasikan kehidupan. Sewaktu tidur kita tidak memiliki kesedaran. Dan melalui petunjuk 39:42, saya percaya keadaan yang sama berlaku apabila kita mati. Dalam kedua-dua keadaan, dunia tiga dimensi tidak wujud. Dengan kata lain, dimensi ruang-waktu tidak memberi sebarang impresi kepada mereka. Jiwa yang sedang tidur atau mati tidak tahu samada dia telah melaluinya selama 10 minit atau 10 jam. Malah kalau 10 juta tahun atau 10 billion tahun pun tempohnya, ia tetap tidak memberi sebarang makna.

Tuhan ada menggambarkan keadaan ini melalui reaksi sekumpulan lelaki yang dibangkitkan semula oleh Tuhan selepas tidur di dalam sebuah gua selama beratus tahun.

18:19  Begitulah, Kami bangkitkan mereka supaya mereka tertanya-tanya di antara satu sama lain. Kata seorang dari mereka: Berapa lama kita telah berada di sini? Mereka berkata: Kita mungkin telah berada di sini selama sehari atau kurang dari sehari. Berkata: Pemeliharamu lebih tahu berapa lama kamu telah berada di sini. Sekarang suruhlah seorang dari kamu dengan syiling yang kamu miliki ke bandar, supaya dia mendapatkan makanan yang elok dan membawa bekalan untuk kamu. Dan suruh dia berhati-hati dan jangan beritahu sesiapa tentang kamu.

Pendek kata, kesedaran memerlukan jiwa digabungkan dengan badan fizikalnya. Dan dengan adanya kesedaran barulah dimensi ruang-waktu memberi impresi dan nilai yang kita panggil realiti.

Apabila kita faham konsep tidur/mati yang sebenar, maka kita akan faham hakikat kehidupan dan kematian dengan mudah. Dalam perspektif setiap jiwa manusia yang Tuhan beri peluang hidup di dunia ini secara silih berganti sejak generasi pertama sehinggalah ke generasi terakhir – sebelum tibanya kiamat – satu-satunya pengalaman hidup yang akan dikenali dan dilalui oleh seseorang hanyalah hidupnya yang bermula dari saat dilahirkan sehinggalah saat dia dimatikan. Itulah realiti baginya. Itulah tempoh kewujudan yang mempunyai makna kepadanya.

Selain tempoh berkenaan setiap jiwa, tidak mempunyai kesedaran terhadap sebarang bentuk kehidupan atau kewujudan lain sehinggalah apabila mereka dibangkitkan kembali di akhirat nanti – di mana pada ketika itu jiwa dikembalikan semula kepada badan fizikalnya. Sebab itulah menurut Tuhan, kita akan mendengar dialog seperti ini dalam kesibukan kebangkitan semula di akhirat nanti.

36:52  Celakalah ke atas kami! Siapakah yang telah membangkitkan kami dari tempat tidur? Inilah yang telah dijanjikan oleh Yang Pemurah dan para rasul telah berkata benar.

Saya bina satu analogi melalui satu watak yang saya namakan Abdullah.

Jika Abdullah lahir di kalangan generasi pertama manusia dan dia mati pada umur 50 tahun, apabila dia dibangkitkan semula oleh Tuhan selepas kiamat nanti, dia sebenarnya tidak akan berasa yang dia telah menunggu lebih lama berbanding dengan orang lain yang lebih kemudian – misalnya berbanding dengan orang yang lahir 100 tahun sebelum kiamat. Walaupun pada skala masa yang diukur oleh mereka yang sedang melalui realiti kehidupan di dunia Abdullah mungkin telah mati selama sejuta tahun, tapi kepada jiwa Abdullah realiti itu tidak wujud.

Malahan jika pada skala masa mereka yang hidup kiamat berlaku 10 billion tahun selepas Abdullah mati sekalipun, apabila dia dibangkitkan semula bersama-sama seluruh manusia lain di akhirat, Abdullah sebenarnya tetap akan merasakan bahawa dia baru saja dibangkitkan dari tidur sebagaimana orang lain – hatta jika dibandingkan dengan mereka yang baru mati akibat trauma kiamat itu sendiri.

Begitu juga sebaliknya jika Abdullah adalah orang yang lahir 100 tahun sebelum kiamat. Dia juga tidak akan berasa telah menunggu lama sebelum dilahirkan walaupun jarak masa di antara dia dengan anak-anak generasi pertama manusia adalah 10 billion tahun. Ini kerana di sepanjang tempoh Abdullah belum dilahirkan, Tuhan tidak memberinya sebarang kesedaran – iaitu keadaan yang sama apabila kita tidur ataupun mati.

Sebagai kesimpulan, sekarang kita nampak bahawa sesungguhnya setiap manusia tidak mempunyai kesedaran di kedua-dua sisi kehidupan mereka di dunia samada sebelumnya atau sebaik saja mati. Kepada setiap orang yang tiba-tiba merasai hidup pasti akan merasai mati dan apabila tiba-tiba sedar kembali mereka sudah pun berada di akhirat. Oleh itu jarak masa di antara setiap orang dengan pengadilan Tuhan sebenarnya amatlah dekat walaupun pada perspektif mereka yang telah hidup jauh lebih awal dari kita.

Dengan ertikata lain, kebangkitan semula di akhirat akan dirasai oleh setiap orang sebagai “effectively immediately” selepas kematian mereka. Berikut adalah laluan perjalanan kehidupan setiap jiwa manusia secara ringkas.

2:28 Bagaimana kamu boleh tidak percaya kepada Tuhan sedangkan kamu telah mati (Mati 1) kemudian Dia menghidupkan (Hidup 1) kamu kemudian Dia matikan (Mati 2) kamu kemudian Dia menghidupkan kamu kemudian kepadaNya kamu akan kembali (Hidup 2).

Mati 1 : Kematian pertama – sebelum lahir
Hidup 1 : Kehidupan pertama – lahir ke dunia
Mati 2 : Kematian kedua – akhir usia kehidupan dunia
Hidup 2 : Kehidupan kedua – dibangkitkan di akhirat/kembali kepada Allah dan hidup berkekalan

Written by tolokminda

February 19, 2011 at 12:52 am

Posted in Kehidupan Harian, Quran

Tagged with , ,

Ceramah agama adalah aktiviti golongan yang tidak percaya?

with 469 comments

Dari tajuk yang dikemukakan, tentu ramai yang merasa sukar untuk menerimanya. Bagaimana ceramah agama – majlis ilmu yang sentiasa disifatkan sebagai penuh dengan keberkatan – dikatakan sebagai majlis bagi golongan orang yang tidak percaya atau dengan kata lain, ingkar atau kafir?

Tetapi petunjuk Tuhan amatlah jelas. Jadi sebelum melemparkan tuduhan dan kemarahan, adalah lebih baik kita renung apa yang dinyatakan oleh Tuhan melalui ayat-ayat yang dikepilkan di bawah ini.

2:170 Dan jika mereka diberitahu: Patuhilah apa yang Tuhan telah turunkan. Mereka berkata: Tidak kami akan menuruti apa yang kami dapati bapa-bapa kami lakukan. Bagaimana jika bapa-bapa mereka tidak faham satu apa pun dan tidak mendapat petunjuk?

2:171 Dan contoh mereka yang tidak percaya adalah seperti seorang yang mengulang-ulang apa yang dia telah dengari dari laungan dan doa; pekak, bodoh dan buta, mereka langsung tidak faham.

Pada pandangan para pembaca budiman, apakah yang dimaksudkan dengan mendengar dari “laungan dan doa”?. Saya berpendapat ia adalah majlis ceramah agama. Kita boleh mendengar laungan penceramah dan juga doa. Mari bincangkan.

Written by tolokminda

May 14, 2010 at 12:43 am

Budaya saintifik Vs kisah-kisah hikayat

with 66 comments

Kali ini saya mengajak para pembaca budiman meneliti beberapa ayat awal dari Surah 45,  Surah Al-Jatsiyah – maka eloklah kita sama-sama berpesan-pesan tentang kebenaran yang telah sampai kepada kita. Tuhan membuka Surah ini dengan membuat pengisytiharan mengenai status Al-Quran. Sebuah Kitab yang diwahyukan oleh Tuhan yang Terpuji dan Bijaksana.

45:1 Ha Mim

45:2 Wahyu Kitab ini adalah dari Tuhan, Yang Terpuji, Yang Bijaksana.

Kemudian ia diikuti dengan satu pesanan yang cukup ringkas tetapi amat jelas maksudnya – iaitu Tuhan mahu kita menjadi individu atau masyarakat yang menjadikan budaya saintifik sebagai cara hidup. Tuhan kata – jika kita percaya, jika kita yakin dan jika kita faham – semua yang ada di sekeliling kita:  isi alam, fenomena alam, segala makhluk termasuklah diri kita sendiri – sebenarnya mengandungi petunjuk-petunjuk Tuhan.

45:3 Apa yang di langit dan di bumi adalah petunjuk-petunjuk kepada mereka yang percaya.

45:4 Dalam dalam penciptaan kamu, dan apa jua makhluk yang Dia adakan adalah petunjuk-petunjuk untuk mereka yang yakin.

45:5 Dan di pertukaran malam dan siang, dan apa yang Tuhan turunkan dari langit sebagai kurnia untuk menyuburkan tanah selepas kematiannya dan perolakan angin – merupakan petunjuk-petunjuk kepada mereka yang faham.

Pendek kata, Tuhan tidak mahu kita menjadi manusia atau umat yang hidup berteraskan kejahilan. Kita tidak boleh mendirikan kepercayaan di atas andaian atau anggapan semata-mata. Ia mestilah mampu disokong dengan bukti-bukti. Melalui 45:3-5, Tuhan maklumkan kepada kita bahawa semua ciptaanNya mengandungi kebenaran Tuhan yang boleh dibuktikan jika kita menyelidik dan mempelajari petunjuk-petunjuknya.

Saya ambil satu contoh.

Entah sejak bila, secara umumnya bangsa manusia telah melalui satu zaman di mana mereka percaya bahawa bumi ini leper. Boleh dikatakan setiap bangsa mempunyai mitos tersendiri berkenaan kepercayaan bumi leper mereka. Ada yang percaya bumi ini berada di atas sebuah pangkin, ada yang percaya ia diletakkan di atas seekor kura-kura, ada pula yang kata bukan kura-kura tetapi gajah. Ada juga yang kata ia terletak di hujung tanduk. Kepada setiap bangsa – mereka mempercayai sifat bumi mereka berdasarkan kepada cerita-cerita hikayat yang telah diwariskan dari generasi ke generasi.

Bagaimanapun hari ini kita tahu – tidak ada satu pun cerita mereka betul. Bumi tidak leper dan tidak terletak di atas pangkin atau kura-kura atau gajah atau tanduk. Tetapi ia bulat seperti bola dan bergerak di dalam orbit sebuah sistem cakerawala yang elegan. Tetapi kepada tindanan generasi yang telah menjadikan cerita-cerita hikayat bangsa mereka sebagai asas kepercayaan, mereka tidak menyedari kesilapan mereka. Bahawa kebenaran yang mereka sangka hanyalah pada anggapan mereka saja. Mereka hidup  tanpa berusaha mendapatkan bukti sendiri dan akibatnya mereka mati membawa kepercayaan palsu.

Adakah Tuhan tidak memberikan sebarang petunjuk kepada mereka?

Sebenarnya petunjuk-petunjuk tentang bulatnya bumi ini telah sedia ada untuk sesiapa saja menyelidikinya tanpa mengira zaman. Antaranya – bentuk objek-objek cakerawala berhampiran seperti bulan dan matahari yang bulat. Kejadian gerhana. Perubahan musim. Siang dan malam. Perolakan angin. Pemerhatian terhadap kapal di laut – semua ini adalah petunjuk Tuhan yang boleh membawa kepada kesimpulan bahawa bumi ini bulat. Jika sekarang petunjuk-petunjuk yang sama boleh digunakan untuk membuktikan hakikat itu mengapa hujah yang sama tidak boleh digunapakai dalam masyarakat 2000, 3000, 4000 tahun dulu?

Jawapannya kita semua dah tahu. Kerana majoriti manusia sememangnya cenderung mengambil mudah dan take for granted – menerima cerita-cerita hikayat yang kononnya telah disampaikan oleh golongan manusia yang mereka sifatkan lebih pandai tanpa soal. Jika mereka ada inisiatif untuk minta bukti tentang wujudnya pangkin atau kura-kura atau gajah atau tanduk yang dikatakan menyokong bumi, saya fikir tentu mereka dapat mengesan penipuan dan kepalsuan yang telah disampaikan kepada mereka. Tetapi mereka tidak pernah merasa ingin bertanya. Sebaliknya mereka mewariskan kepalsuan itu kepada anak-anak mereka pula.

Bagaimanapun sekarang kita tidak boleh lagi meneruskan budaya jahil itu kerana Tuhan telah membuka jalan kepada kita untuk menerima Al-Quran. Jika kita kata kita percaya kepada Al-Quran – kita tidak ada pilihan selain membuang budaya hidup berlandaskan cerita-cerita hikayat yang pada hakikatnya hanyalah berteraskan kepada andaian dan anggapan semata-mata. Kita mesti memilih cara hidup yang berteraskan budaya saintifik yang sentiasa menjadikan proses pembuktian sebagai kriteria utama dalam menetapkan sesuatu kepercayaan.  Tuhan telah menunjukkan kita jalan ke arah kebenaran jadi tidak ada sebab untuk kita terus menjadi manusia yang bukan saja jahil tetapi turut dilaknat Tuhan.

45:6 Ini adalah wahyu-wahyu Tuhan, Kami membacakannya kepada kamu dengan kebenaran. Jadi dalam hikayat (hadis) yang manakah selepas Tuhan dan wahyu-wahyuNya yang mereka percaya?

45:7 Celakalah kepada setiap pencipta kepalsuan yang penuh dosa.

Sebagai tambahan kepada ayat-ayat 45:1-7, saya fikir ayat berikut juga amat relevan untuk dikepilkan.

6:116  Dan jika kamu ikut majoriti manusia di bumi ini, mereka akan memimpin kamu sesat dari jalan Allah – mereka hanya menuruti andaian dan mereka hanya berdusta.

Baiklah. Mari kita sama-sama perhalusi.

Written by tolokminda

March 9, 2010 at 7:55 pm

Al-Quran lengkap – tidak memerlukan kitab lain sebagai penjelas

with 37 comments

Sewaktu memandu untuk menunaikan komitmen-komitmen saya pagi ini, fikiran saya masih berlegar kepada artikel mengenai puasa yang telah saya tulis malam tadi. Sebenarnya setiap artikel yang saya tulis sentiasa mengujakan saya, kerana setiap kali menulisnya saya akan membuat terjemahan semula ayat-ayat Al-Quran yang berkenaan dan hasilnya saya akan dapat memahami dengan lebih jelas apa yang sebelumnya saya kurang jelas atau kadangkala tidak faham langsung.

Jadi seperti yang saya katakan di dalam kata aluan saya untuk blog ini, usaha saya di sini sememangnya tidak lebih dari belajar untuk diri saya sendiri tetapi dalam masa yang sama berkesempatan berkongsi apa yang saya pelajari itu dengan para pengunjung budiman seperti anda. Apabila saya menulis sesuatu ia bukanlah bermakna saya sudah tahu apa yang saya ketengahkan itu sejak sekian lama. Bahkan ia mungkin baru saja saya sedari.

Saya juga terdidik dalam formasi agama Islam seperti mana majoriti orang Islam di Malaysia. Kepercayaan awal saya kepada Islam turut diwarnai dengan pelbagai kepercayaan ritual. Bezanya saya mungkin agak kritikal dalam banyak perkara dan sentiasa cuba memuaskan kehendak minda saya selaras dengan nilai, logik dan kebenaran saya sendiri. Begitupun ia tetap mengambil masa bertahun-tahun untuk saya sampai ke tahap sekarang di mana Islam tidak lagi saya anggap sebagai agama, tetapi saya terima ia sebagai satu cara hidup.

Berbalik kepada artikel mengenai puasa yang saya tulis malam tadi, saya teringat-ingat awal ayat 2:185 yang berbunyi; “Bahang manifestasi (shahru ramadan) yang mana ia datang bersama Al-Quran, Petunjuk kepada manusia, bukti-bukti mengenainya, dan Pembeza.”

Melalui ayat ini Tuhan memberitahu kita bahawa Al-Quran itu mempunyai tiga peranan iaitu;

  • Petunjuk kepada manusia
  • Bukti-bukti atau dengan perkataan lain, penjelasan kepada setiap petunjuk yang dikemukakan, dan
  • Sebagai Pembeza (The Criterion) untuk membantu kita membuat penilaian samada sesuatu yang dibawa kepada kita mengenai agama dan lain-lain perkara itu sesuatu yang sahih atau palsu.

Bagaimanakah kita dapat mempraktikkan ketiga-tiga peranan Al-Quran dalam usaha kita memahami Islam melaluinya? Mudah saja dan hakikat ini mengujakan saya. Kita lihat satu contoh berdasarkan artikel yang saya tulis malam tadi.

Apakah petunjuk yang Tuhan berikan kepada kita? Ia adalah tentang puasa. Tuhan menyuruh kita berpuasa. Suruhan ini terkandung di dalam ayat 2:183.

2:183 Wahai kamu yang percaya! Puasa ditetapkan ke atas kamu, sebagaimana ia telah ditetapkan kepada mereka sebelum kamu, supaya kamu terpelihara.

Dalam beberapa ayat berikutnya Tuhan memberitahu kita beberapa perkara asas mengenai puasa, misalnya bila ia perlu dilaksanakan, pelepasan dan penebusan berkaitannya serta apa yang boleh atau yang tidak boleh kita lakukan sepanjang tempoh berpuasa. Bagaimanapun apakah ianya perbuatan puasa itu agak kurang jelas. Dan oleh yang demikian, kita perlukan penjelasan.

Adakah Tuhan tidak jelaskan apakah ianya perbuatan puasa? Tuhan jelaskan. Tetapi melalui ayat-ayat yang lain. Di sinilah kedudukan peranan kedua Al-Quran. Iaitu Pembawa Bukti atau Penjelas yang menjelaskan sesuatu petunjuk yang kurang jelas. Dalam konteks ayat 2:183 – 187, penjelasan atau buktinya dibawa melalui ayat-ayat 19:22-30.

Jadi bagaimanakah sebenarnya puasa yang telah ditetapkan oleh Tuhan kepada orang beriman terdahulu dari kita sepertimana kita disuruh ikut selepas kita memeriksa sendiri penjelasanNya dalam 19:26? Beginilah caranya;

19:26 Jadi makan dan minum dan segarkan diri. Kemudian jika kamu bertemu dengan seseorang, katakan; Sesungguhnya aku sedang berpuasa untuk Tuhan yang Pemurah, jadi aku tidak akan bercakap dengan sesiapa pada hari ini.

Jadi sekarang perbuatan puasa yang Tuhan kita suruh telah menjadi jelas sebagaimana jelasnya benang yang berwarna putih dari benang yang berwarna hitam di kala subuh. Kita tidak lagi ragu-ragu mengenai apa itu puasa yang sebenar. Kelabu sudah hilang dan kita boleh menentukan dengan yakin yang mana satu putih (benar) dan yang mana satu hitam (palsu).

Di sinilah duduknya peranan Al-Quran sebagai Pembeza. Apabila orang memberitahu kita, tidak kiralah samada dia ayah kita, ustaz atau ulama muktabar, bahawa puasa itu suatu ritual menahan diri dari makan dan minum, kita akan dapat membezakan atau menilai samada apa yang dikatakan itu benar atau palsu.

Dia boleh membawa kepada kita lapan ratus kitab tulisan ulama selama 40 generasi untuk membuktikan dakwaan mereka. Tetapi hakikatnya apabila kita sudah mampu melihat yang putih itu putih dan hitam itu hitam dari kacamata Al-Quran, 800 ulama yang petah berhujah dilengkapi satu perpustakaan kitab tulisan mereka pun tidak akan lagi dapat menggusarkan kepercayaan kita.

Sebagai penutup, saya yakin artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu kita memahami bagaimana Al-Quran distruktur oleh Tuhan supaya ia menepati peranannya sebagai Petunjuk, Penjelas dan Pembeza. Saya secara peribadi menganggap kefahaman ini sesuatu yang baru kepada saya. Dan saya percaya kefahaman ini akan dapat membantu saya belajar dari Al-Quran dengan lebih baik dan saya harap para pembaca budiman juga turut dapat memanfaatkannya.

Written by tolokminda

January 5, 2010 at 3:40 am

Posted in Quran

Tagged with , ,