Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘pengurusan mayat

Adakah ritual kematian dan pengasingan kawasan kubur mengikut agama anutan dapat membantu si mati?

with 54 comments

Kali ini saya mahu mengajak para pembaca budiman melihat satu topik yang mungkin agak menakutkan – iaitu tentang kubur dan pengurusan mayat. Takut atau tidak kita tidak akan dapat lari dari hakikat yang sememangnya berada di hadapan kita. Jadi saya berpendapat ia adalah satu topik yang wajar kita bincangkan.

Kita semua tahu bahawa Tuhan menghidupkan kita dan Dia juga akan mematikan kita.

23:12  Dan sesungguhnya Kami telah cipta manusia dari ekstrak tanah liat,

23:13  Dan Kami jadikan dia dari benih yang halus di dalam ruang bergantung yang kukuh,

23:14  Kemudian benih itu Kami jadikan embrio, kemudian Kami jadikan embrio itu fetus, kemudian Kami jadikan fetus itu tulang, kemudian Kami salut tulang itu dengan daging, kemudian Kami membesarkannya sebagai satu makhluk baru. Jadi pujian kepada Allah, Pencipta yang terbaik.

23:15  Kemudian selepas itu kamu pasti akan mati.

Kemudian Dia akan menghidupkan kita kembali dari kubur masing-masing untuk dihakimi dan diberi balasan yang setimpal di akhirat kelak.

36:51  Dan sangkakala akan ditiup, bilamana dari kubur-kubur mereka mereka akan bergegas ke hadapan Tuhan mereka.

Ayat 36:51 menggambarkan kepada kita bagaimana proses menghidupkan semula setiap manusia yang telah mati akan dilakukan pada hari kiamat nanti. Selepas Sangkakala ditiup kita semua akan bangkit dari kubur masing-masing dan bergegas ke hadapan Tuhan untuk menerima penghakiman.

Tidak ada sesiapa yang akan terlepas dari proses ini. Tidak ada pengecualian. Tidak ada perbezaan. Tidak ada keistimewaan. Dan setiap orang akan bangkit dari kubur dan terus bergegas menuju ke hadapan Tuhan.

70:43  Pada hari di mana mereka akan datang dari kubur-kubur mereka dengan tergesa-gesa seperti mereka sedang bergegas ke arah suatu matlamat,

Jika begitulah keadaannya maknanya di mana pun kita dikuburkan sebenarnya tidak penting.  Samada kita dikuburkan di Amerika atau di Malaysia – tidak ada beza. Samada kita dikuburkan di halaman rumah atau di tanah perkuburan yang direzabkan – kita akan dibangkitkan juga.

Oleh itu soalan cepu emas saya dalam perkara ini – apakah relevannya pengkhususan kawasan perkuburan mengikut agama yang diamalkan oleh masyarakat manusia selama ini? Jika semasa hidup kita boleh tinggal dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama dalam satu bangunan atau kawasan – mengapa bila mati tak boleh pula?

Kemudian, tentang amalan-amalan ritual kematian atau pengkebumian. Setiap bangsa atau umat memiliki kaedah ritual kematian dan pengkebumian masing-masing. Dan amalan ritual ini boleh dianggap antara amalan yang paling diambilberat dan sentiasa dipatuhi dalam sesebuah masyarakat – kebiasaannya ia berkait rapat dengan kepercayaan agama mereka.

Umat Islam hari ini juga tidak terlepas dari memiliki set ritual berkaitan kematian. Bermula dari pengurusan mayat sehingga kepada pengkebumian – semua telah ditetapkan syarat dan caranya. Tetapi benarkah ritual-ritual kematian ini benar-benar perlu? Kita lihat bagaimana Tuhan mengajar kita menguruskan mayat.

5:31 Maka Tuhan menghantar seekor gagak untuk menggali tanah dan menunjukkan kepadanya bagaimana dia harus menguruskan mayat adiknya. Dia berkata: Celakalah aku! Aku tidak mampu walaupun untuk menjadi seperti gagak ini dan menguruskan mayat adikku? Maka dia menjadi antara mereka yang menyesal.

Melalui ayat 5:31 di atas Tuhan menjadikan anak Adam yang pertama mati di atas mukabumi ini sebagai contohnya. Si abang telah membunuh si adik dan dia tidak tahu bagaimana mahu menguruskan mayat adiknya. Lalu Tuhan hantar seekor burung gagak untuk mengajar caranya – dipendekkan cerita – caranya adalah korek lubang dan tanam. Semudah itu saja.

Bagaimanapun saya yakin ramai yang tidak akan dapat menerima kaedah yang Tuhan ajar melalui ayat 5:31. Ini kerana mereka sudah terbiasa dengan ritual kematian yang diajar oleh para ulama sejak turun temurun.  Tetapi bukankah Tuhan telah menjelaskan status si mati melalui ayat berikut.

6:94 Dan kamu telah datang kepada Kami secara bersendirian sama seperti ketika Kami mencipta kamu pada kali pertama; dan kamu telah meninggalkan di belakang kamu semua yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak nampak semua pengantara yang selama ini kamu dakwa sebagai sekutu-sekutu kamu; semuanya telah terpisah di antara kamu dan segala yang kamu dakwa telah meninggalkan kamu.

Mari kita bincangkan.

Written by tolokminda

March 26, 2010 at 4:19 am

Posted in Kehidupan Harian, Quran

Tagged with , ,