Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘pemurnian

Zakat – benarkah Tuhan suruh kita bayar untuk memurnikan jiwa dan harta?

with 70 comments

Membayar zakat merupakan amalan yang dianggap sebagai salah satu tiang agama oleh penganut agama Islam. Pada dasarnya tujuan pembayaran zakat diwajibkan atas alasan untuk membersihkan jiwa dan harta. Untuk memersihkan jiwa kita diwajibkan membayar zakat fitrah dan untuk membersihkan harta kita perlu membayar zakat harta.

Adakah konsep pembersihan jiwa dan harta melalui amalan membayar wang ini satu ketetapan dari Tuhan?

Saya berpendapat tidak. Mungkin kita boleh merasuah pegawai agama, tetapi tidak mungkin kita dapat melakukan yang sama kepada Tuhan. Di dalam Al-Quran tidak ada perintah yang menyuruh kita membayar atau membelanjakan wang atau harta kita kepada institusi agama atau pemerintah bagi tujuan memurnikan diri dan harta. Sebagai orang yang berada di landasan kebenaran, Tuhan suruh membelanjakan wang atau harta kita begini:

2:177 “Ia bukanlah kebenaran yang kamu perlu memalingkan muka menghadap timur dan barat, tetapi kebenaran adalah bahawa seseorang perlu percaya kepada Allah, dan hari kiamat dan para malaikat dan Al-Kitab dan para nabi – dan yang mengeluarkan harta yang mereka sayang untuk keluarga dan anak-anak yatim dan yang memerlukan dan mereka yang dalam perjalanan dan para pengemis dan menebus tawanan – dan yang mereka melaksanakan komitmen mereka dan menjaga kemurniannya dan mereka yang berpegang pada janji apabila mereka berjanji dan yang sabar dalam kecemasan dan kesukaran dan di dalam konflik – mereka inilah yang jujur dan mereka inilah yang memberi perhatian.”

Senarai yang panjang kepada siapa kita patut membelanjakan wang atau harta. Tetapi tidak ada suruhan untuk kita mewakilkan sumbangan kita itu kepada pihak-pihak tertentu khususnya institusi agama. Saya yakin kita boleh membuat sumbangan secara terus. Kita boleh menyumbang kepada mana-mana individu atau pihak yang Tuhan telah beri restu. Dan sudah tentu sumbangan kita tidak perlu tertakluk kepada sebarang jumlah yang telah dijadualkan.

Jadi bagaimana dengan zakat?

Perkataan yang sebenarnya adalah zakaa – bukan zakat.  Sama juga seperti solaa – bukan solat. Dan saya percaya ramai akan setuju bahawa dasar maksud perkataan zakaa adalah permurnian atau purification. Jadi mengapa kita tidak berpegang saja kepada perkataan dan maksud asal zakaa dan berlepas diri dari golongan yang suka mengada-adakan di atas apa yang sudah jelas dan terang pelbagai hukum-hakam dan kesempitan yang langsung tidak dimaksudkan oleh Tuhan.

Zakaa bukanlah tentang pemurnian jiwa atau harta dengan membayar wang kepada institusi agama. Ia adalah tentang pemurnian ke atas niat setiap perbuatan, amalan atau usaha kita – di sepanjang masa dan di mana saja – hanya untuk Allah, Tuhan yang mencipta kita – Yang akan memberi balasan setimpal ke atas setiap apa yang kita kerjakan di atas dunia ini.

Sudah tentu kita tidak perlu membayar apa-apa untuk memiliki jiwa yang bersih. Apa yang kita perlu hanyalah keikhlasan dan keinsafan dalam setiap perbuatan dan amalan yang kita lakukan. Keikhlasan dan keinsafan yang membawa kepada kerendahan diri dan kepatuhan tidak berbelah bagi kepada Tuhan. Begitu juga sudah tentu kita tidak perlu membayar apa-apa untuk membersihkan harta kita kerana apabila jiwa kita bersih, sudah tentulah dari awal lagi kita akan berusaha mendapatkan harta melalui jalan yang bersih dan direstui Tuhan.

Aqeemussolatawaatuzzaka..

Ungkapan “waaqeemussolatawaatuzzaka..” merupakan satu ungkapan yang popular di dalam Al-Quran dan terjemahan yang kita terima selama ini adalah “dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat”. Bagaimanapun selepas memahami konsep pemurnian yang wajar di sisi Allah, saya yakin kita akan lebih mudah percaya bahawa ungkapan “waaqeemussolatawaatuzzaka..”  sebenarnya bermaksud “dan berpeganglah kepada komitmen kamu dan jagalah kemurniannya”.

Melalui tafsiran ini barulah kita dapat melihat kaitan serta punca ungkapan “waaqeemussolatawaatuzzaka” sering melatari ayat-ayat di dalam Al-Quran. Ini kerana pada dasarnya keseluruhan isikandungan Al-Quran itu adalah ketetapan serta batasan ketetapan yang telah direstui oleh Tuhan dan sudah tentulah Tuhan mahu kita pegang setiap satunya sebagai komitmen dalam kehidupan kita – di mana Tuhan mahu kita murnikan setiap komitmen itu hanya untuk Dia.

Maka, sekarang jelaslah kepada kita maksud ungkapan “waaqeemussolatawaatuzzaka” – iaitu – “dan peganglah komitmen kamu dan jagalah kemurniannya”. Pendek kata, ia bukan saja tidak ada kena mengena dengan ritual sembahyang tetapi ia juga tidak ada kaitan dengan kewajipan membuat bayaran kepada institusi agama sebagai jalan untuk membersihkan jiwa atau harta.

Jika masih kurang yakin, mungkin para pembaca budiman boleh hayati beberapa contoh ayat yang mengandungi ungkapan yang pada dasarnya begitu ringkas, mudah dan jelas maksudnya tetapi telah diselewengkan sehingga kita menjadi umat yang menyekutukan Tuhan dan membayar wang untuk menyucikan diri dan harta benda.

Contoh 1:-

2:109 Kebanyakan pengikut Al-Kitab berharap mereka boleh memalingkan kamu semula supaya kamu tidak percaya selepas kamu percaya – kerana mereka irihati selepas yang benar diperjelaskan kepada mereka; tetapi maafkanlah mereka dan berlapang dada sehingga Tuhan melaksanakan langkah-langkah seterusnya – sesungguhnya Tuhan berkuasa ke atas segala-galanya.

2:110 Dan berpeganglah kepada komitmen kamu dan jagalah kemurniannya dan apa saja kebaikan yang kamu usahakan, kamu akan dapatinya bersama Allah, sesungguhnya Tuhan melihat apa yang kamu lakukan.

Contoh 2:-

2:277 Sesungguhnya mereka yang percaya dan membuat amalan-amalan kebaikan dan berpegang kepada komitmen dan menjaga kemurniannya akan memperolehi ganjaran dari Empunya mereka, mereka tidak akan berasa takut dan tidak juga mereka gusar.

Contoh 3:-

2:40 Wahai keturunan Israel! Ingatilah kelebihan yang telah Aku berikan kepadamu dan jujurlah kepada perjanjian denganKu, Aku akan tunaikan perjanjian denganmu – dan hanya Aku – Aku sahaja, kamu perlu takut.

2:41 Dan percayalah dalam apa yang telah Aku wahyukan, mengesahkan apa yang ada pada kamu dan jangan menjadi yang pertama menafikannya, jangan juga meletakkan harga yang tinggi sebagai pertukaran untuk wahyu-wahyuKu; dan Aku, Aku sahajalah yang kamu perlu patuh.

2:42 Dan janganlah kamu mencampur-adukkan kebenaran dengan kepalsuan, jangan juga menyembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya.

2:43 Dan berpeganglah kepada komitmen-komitmen kamu dan jagalah kemurniannya dan rendahkan diri sebagaimana orang-orang yang merendah diri.

Baiklah. Apa kata kita mulakan perbincangan…

Written by tolokminda

February 22, 2010 at 5:18 pm