Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘pelindung

Tidak ada manusia berhak menjadi pelindung di samping Allah

with 110 comments

Secara umumnya orang Islam percaya bahawa Nabi Muhamad akan memberi syafaat kepada mereka di hari kiamat kelak.

Sebahagian dari kepercayaan tentang syafaat Nabi itu adalah apabila Nabi dikatakan boleh berunding dengan Tuhan supaya membatalkan atau meringankan hukuman terhadap umatnya di akhirat nanti. Orang Islam percaya bahawa sejahat mana pun mereka di dunia ini, di akhirat nanti mereka tidak akan tinggal kekal di dalam neraka. Idea seperti ini tidak disebut di dalam Al-Quran. Tetapi akibat terlalu mempercayainya, umat Islam cenderung mengampu Nabi dan menyekutukan beliau dengan Tuhan di mana dan bila saja ada peluang.

Apa saja yang disandarkan ke atas Nabi sangat mudah diterima oleh masyarakat Islam. Teks-teks yang didakwa sebagai hadis dan sunnah Nabi menjadi rujukan utama mereka. Orang-orang yang menjaja hadis atau sunnah Nabi diberi tempat yang istimewa dalam kepercayaan dan masyarakat. Walaupun mereka sendiri tidak pernah mengenali mana-mana individu yang menjadi penulis asal hadis-hadis atau sunnah-sunnah itu – dan Tuhan juga tidak pernah mengesahkan tentang peranan atau kedudukan mereka – umat Islam tidak peduli.

Akibat kepercayaan membuta-tuli kepada manusia-manusia yang menjanjikan mereka syurga di atas nama Nabi, maka lahirlah pelbagai amalan ritual, sistem perundangan dan hukum-hakam fekah yang hampir semuanya diolah dari hadis dan sunnah. Jika kita periksa di dalam Al-Quran, ritual-ritual yang mereka amalkan bukanlah sesuatu yang Tuhan suruh kita amalkan, undang-undang yang mereka tegakkan seringkali bersifat bersifat cacamarba walaupun dikatakan undang-undang Tuhan, hukum-hakam fekahnya pula menyempitkan minda dan kehidupan umat.

Saya tahu topik ini bakal menggamit kuat sensitiviti para pembaca. Tetapi ia satu topik yang amat penting – yang kita mesti berani hadapi, selidik dan bincangkan supaya kita tidak menjadi di antara mereka yang menjadikan manusia lain sebagai pelindung (menyekutukan Tuhan) – yang akibatnya semua usaha dan amalan kita di dunia ini menjadi sia-sia – dan di akhirat nanti hanya layak menjadi penghuni neraka sebagaimana yang Tuhan nyatakan dalam ayat-ayat ini.

18.102  Adakah mereka yang tidak percaya fikir mereka boleh mengambil hamba-hambaKu sebagai pelindung di samping Aku? Sesungguhnya kami telah menyediakan neraka sebagai hiburan untuk mereka yang tidak percaya.

18.103  Katakan: Patutkah Kami beritahu mereka siapa yang rugi besar dalam amalan mereka?

18.104  “Mereka yang usahanya sia-sia ketika hidup dunia ini, sedangkan mereka fikir mereka mendapat kebaikan dari kerja-kerja mereka.

18.105  Mereka adalah orang-orang yang menafikan Pedoman-Pedoman Tuhan mereka dan hakikat mereka akan menemui Dia  – sia-sia sajalah amalan mereka – tidak juga Kami di hari kiamat akan memberi sebarang pertimbangan.

18.106  Itulah ganjaran untuk mereka – neraka – kerana mereka menolak kepercayaan dan mengambil Pedoman-PedomanKu dan rasul-rasulKu sebagai olok-olokan.

Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan memperolok-olokkan Pedoman Tuhan dan rasulNya? Saya berpendapat salah satu daripadanya adalah apabila kita mengambil teks-teks yang ditulis oleh orang lain dan kemudian percaya apa yang mereka tulis itu merupakan pelengkap dan penjelas kepada ayat-ayat Allah atas alasan ia adalah hadis dan sunnah rasulullah.

Kerana – bagaimana jika bukan? Bagaimana jika Nabi tidak pernah sebut apa yang kononnya beliau telah sebut? Bagaimana jika Nabi tidak pernah melakukan apa yang kononnya beliau telah lakukan? Siapa yang akan memikul tanggungjawab untuk menjadi saksi ke atas semua dakwaan mereka? Si polan atas si polan atas si polan? Tak payah mahkamah Tuhan, mahkamah manusia pun pasti tak akan terima persaksian seperti ini! Inilah yang dikatakan olok-olokan.

Selain itu patutkah kita memberi gambaran bahawa Tuhan – Pencipta segala apa yang ada di langit dan di bumi – yang nyata dan yang ghaib – mewahyukan sebuah Kitab yang tidak lengkap, tidak jelas atau tidak boleh difahami oleh makhluk yang menerimanya – iaitu manusia? Tuhan yang bodoh atau hanya manusia yang ada sifat itu?

Saya berpandangan kita patut tanya diri kita sendiri sampai lebam sebelum berasa begitu seronok memperolok-olokkan ayat-ayat Tuhan atas nama rasul. Tuhan wahyukan Al-Quran kerana belas kasihanNya kepada kita. Jadi di mana kewajarannya untuk kita bersifat dangkal dan sombong kepada Tuhan? Sudahkah kita membaca KitabNya? Sudahkah kita membuat penyelidikan untuk memahami KitabNya? Sudahkah kita bertekun dan berpuasa sebagaimana yang Tuhan nasihatkan sebelum kita berkata itu dan ini?

Adakah ilmu Tuhan sempit atau adakah Tuhan tidak cukup kaya dengan perbendaharaan kata untuk menyampaikan sebuah Kitab yang lengkap sehingga kita terpaksa merujuk kepada cerita-cerita turun temurun untuk melengkapkan isikandungannya? Mungkin kita patut renung dalam-dalam mengapa Tuhan menyuruh Nabi berkata seperti berikut.

18.109 Katakan: Jika lautan itu dakwat untuk perkataan-perkataan Tuhanku – ia akan habis berbanding perkataan-perkataan Tuhanku – walaupun jika kamu adakan lagi lautan sepertinya sebagai tambahan.

18.110 Katakan: Aku hanyalah seorang lelaki seperti kamu, tetapi inspirasi itu telah sampai kepada aku – bahawa Tuhanmu adalah Tuhan yang Satu – sesiapa saja yang menjangka untuk bertemu Empunyanya, kerjakanlah amalan-amalan yang benar dan dalam berbakti kepada Tuhan, jangan sertakan sebarang sekutu.

Adakah Tuhan melantik Nabi sebagai sekutuNya? Atau adakah Nabi telah menjadikan dirinya sekutu kepada Tuhan? Tidak bolehkah kita faham nasihat Tuhan dan nasihat Nabi yang ringkas dan mudah itu?

Nampaknya kita ada begitu banyak soalan yang perlukan jawapan.

Written by tolokminda

March 1, 2010 at 4:03 pm