Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘masalah sosial

Golongan agama merupakan pencetus kepada fenomena pembuangan bayi dan masalah tidak akan selesai selagi kita bergantung kepada mereka

with 51 comments

Hari ini masyarakat kita – masyarakat Islam di Malaysia – sedang dilanda wabak kejam membuang bayi atau dengan perkataan lain – membunuh bayi. Setiap dua-tiga hari dalam seminggu kita akan dapat melihat sekurang-kurangnya satu kes di mana mayat bayi ditemui di sana-sini; di dalam lubang tandas, dihanyutkan sungai, di dalam tong sampah, di surau dan masjid.

Apakah punca sebenar di sebalik kegilaan dan kekejaman ini?

Majoriti orang kita, apabila ditanya pendapat mereka mengenainya, mereka dengan mudah akan menyifatkan ia sebagai berpunca dari pengetahuan agama yang cetek. Perlu kembali kepada ajaran agama, kata mereka. Ironinya mereka lupa bahawa sebenarnya kerana agama merekalah bayi-bayi malang itu dibuang dan menemui ajal. Tidakkah mereka pernah terfikir perkara itu?

Kita semua tahu bahawa semua bayi yang dibuang atau dibunuh itu pada umumnya merupakan bayi-bayi yang dilahirkan hasil perbuatan zina dan mengikut definasi para ulama anak hasil dari zina adalah anak haram. Anak-anak haram ini menurut cerdik pandai Islam, adalah sangat hina tarafnya dan tidak memiliki hak sebagaimana “anak-anak halal” yang lahir dalam suatu ikatan perkahwinan.

Akibatnya, anak-anak hasil zina atau perhubungan luar nikah dianggap tidak bernilai, keji dan memalukan. Seterusnya masyarakat Islam bukan sahaja memandang keji kepada anak haram tetapi yang lebih memburukkan keadaan adalah apabila mereka turut memandang serong kepada keluarga yang berkenaan. Untuk mengelakkan pandangan buruk masyarakat, maka yang terlibat cenderung mengambil jalan keluar mudah – iaitu buang atau bunuh “bayi haram” mereka.

Fenomena ini sebenarnya telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran.

6:137 Dan kepada mereka yang mempersekutukan Tuhan, sekutu-sekutu mereka telah menyebabkan mereka melihat elok untuk mereka membunuh anak-anak mereka sebagai cara untuk merosakkan dan untuk mengelirukan mereka dari cara hidup (deen) mereka. Kalaulah Tuhan berkehendak tentulah mereka tidak akan melakukannya, jadi biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.

Melalui ayat di atas, Tuhan memberitahu kita bahawa perbuatan membunuh bayi atau anak-anak merupakan satu fenomena biasa dalam sesebuah masyarakat yang menyekutukan Tuhan di mana orang-orang yang mereka jadikan sekutu kepada Tuhan (golongan agamawan) memberi justifikasi kepada perbuatan membunuh anak-anak sebagai satu cara untuk mereka merosakkan dan mengelirukan masyarakat dari cara hidup sebenar yang direstui Tuhan.

Golongan agamawan yang dimaksudkan mungkin tidak akan mengakui peranan jahat mereka dalam fenomena pembunuhan bayi atau anak-anak yang tidak berdosa, tetapi itulah hakikat yang sebenarnya.

Samada sekarang atau pun di zaman Arab Jahiliah dulu, golongan agamawanlah yang telah menjadi pencetus kepada diskriminasi masyarakat terhadap  anak-anak malang dalam kelompok tertentu. Misalnya di zaman jahiliah dahulu kecenderungan mereka adalah membunuh anak-anak perempuan kerana agama mereka menyebabkan mereka percaya anak-anak perempuan hanya layak untuk Tuhan.

Akibatnya orang-orang Arab jahiliah malu apabila mendapat anak perempuan dan mereka lebih rela membunuhnya dari menerima ejeken masyarakat.

16:58  Dan apabila dimaklumkan anak perempuan kepada seorang dari mereka, mukanya menjadi hitam dan penuh kemarahan.
16:59 Dia menyembunyikan diri dari orang lain kerana berita buruk yang telah diberitakan kepadanya. Adakah wajar dia memeliharanya dengan rasa malu atau menanamnya di dalam pasir? Sesungguhnya kejahatanlah yang menjadi pertimbangan mereka.

43:17 Dan apabila seseorang dari mereka mendapat berita yang dia dipersamakan dengan Tuhan Yang Pemurah, mukanya menjadi hitam dan penuh kemarahan.

Nasib yang menimpa anak-anak perempuan Arab zaman jahiliah sebenarnya sama dengan anak-anak yang lahir di luar ikatan perkahwinan dalam masyarakat kita sekarang. Jika golongan agama masyarakat jahiliah telah menyebabkan masyarakatnya merasa malu apabila mereka mendapat anak perempuan, golongan agamawan kita sekarang pula telah membuatkan kita berasa malu apabila mendapat anak luar nikah.

Saya fikir masyarakat Islam harus menilai semula kepercayaan mereka dalam perkara ini. Mereka perlu mengambil inisiatif untuk menyemak samada Tuhan benar-benar ada membuat ketetapan tentang “anak haram” dan “anak halal”. Atau adakah kepercayaan mereka selama ini sekadar bersandar kepada persepsi yang ditanamkan oleh golongan agama ke atas mereka sebagaimana orang-orang Arab jahiliah dulu juga telah menjadi mangsa kepada persepsi yang serupa?

Bagi saya secara peribadi, hukum tentang anak haram ini adalah suatu yang telah diada-adakan kerana saya tidak menemui apa-apa tentang “anak haram” di dalam Al-Quran. Pandangan serong kita kepada “anak haram” sebenarnya langsung tidak berasas. Ia hanya wujud dalam presepsi masyarakat Islam akibat doktrinisasi yang berpanjangan mengenainya di atas label agama mereka. Dan hanya kerana persepsi ini, anak-anak dibunuh begitu saja.

Mari kita renungkan kenyataan Tuhan berikut:

6:140  Rugilah mereka yang telah membunuh anak-anak mereka dengan kejahilan, tanpa pengetahuan dan mereka mengharamkan apa yang telah direzekikan dengan menipu tentang Tuhan. Mereka telah sesat dan mereka tidak mendapat petunjuk.

Dari ayat di atas, adalah sangat jelas  sesiapa yang membunuh anak-anak mereka kerana kejahilan akibat menurut membuta tuli orang-orang yang telah menipu mereka tentang Tuhan (golongan agamawan) – yang mengharamkan apa yang telah Tuhan rezekikan,  iaitu dalam konteks ayat 6:140 – ANAK.  Tuhan kata mereka itu adalah golongan yang rugi, sesat dan tidak mendapat petunjuk.

Penyelesaian kepada masalah zina, penzina dan anak menurut perspektif Al-Quran

Di kalangan pembaca mungkin akan ada yang membantah apa yang saya utarakan di atas dengan alasan jika anak-anak luar nikah tidak boleh didiskriminasikan, ia ibarat memberi approval kepada perbuatan zina. Saya berpendapat kita boleh selesaikan masalah ini satu persatu bersandarkan kepada Al-Quran. Ini kerana Al-Quran telah menyediakan beberapa ketetapan khusus yang jelas mengenai perkara-perkara yang melibatkan zina, penzina dan juga anak.

Saya melihat penyelesaian yang kita cari-cari selama ini terdapat dalam ketetapan-ketetapan berikut:

  1. Hukuman terhadap penzina
  2. Tanggungjawab ibubapa terhadap anak yang dilahirkan
  3. Perkahwinan di antara penzina

Hukuman terhadap penzina

Tuhan telah memberi satu ketetapan yang jelas tentang kesalahan berzina.

24:2  Perempuan penzina dan lelaki penzina, kamu harus sebat setiap dari mereka dengan seratus sebatan dan jangan biarkan belas kasihan mengatasi kamu dalam cara hidup yang telah ditetapkan Tuhan jika kamu percaya kepada Tuhan dan Hari Kiamat. Dan biarkan sekumpulan orang-orang yang percaya menyaksikan hukuman ke atas mereka.

Jika kita berpegang kepada ayat di atas, maka para penzina tidak ada pilihan lain kecuali disebat 100 kali setiap seorang – yang lelaki dan yang perempuan. Dalam dunia kita yang serba moden hari ini, perlaksanaan undang-undang zina ini sebenarnya menjadi lebih mudah – sangat mudah khususnya bagi mana-mana kes yang melibatkan kandungan. Apa yang diperlukan hanyalah DNA yang padan di antara ibu, bapa dan anak.

Apabila seseorang perempuan mengandung atau melahirkan anak di luar perkahwinan, kita perlu mengenalpasti bapa kepada kandungan atau anak itu. Ia adalah kunci kepada keadilan dan ia boleh dilakukan dengan mendapatkan kenyataan atau pengakuan perempuan yang terlibat dan kemudian pengesahan boleh diperolehi dari bukti forensik seperti padanan DNA. Setelah pengesahan berjaya dilakukan – kedua-duanya wajar dijatuhkan hukuman sebat 100 kali.

Begitupun hukuman sebat ke atas perempuan yang sedang mengandung mungkin wajar dilakukan selepas dia melahirkan dan sudah berada dalam keadaan sihat. Ia selaras dengan prinsip keadilan dalam Islam. Menyebat ibu yang sedang mengandung mungkin akan memberi kesan kepada anak di dalam kandungan. Jika itu berlaku maknanya kita bersikap tidak adil kepada bayi tersebut.

Tanggungjawab ibubapa terhadap anak yang dilahirkan

Hukuman terhadap penzina tidak ada kena mengena dengan anak yang mereka hasilkan. Saya berpendapat samada anak itu mempunyai ibu dan bapa yang telah berkahwin atau belum berkahwin, keperluan dan hak anak ke atas ibu dan bapanya adalah sama.

Dia perlu dibesarkan – diberi makan dan minum, pakaian dan tempat tinggal, pendidikan dan pelajaran. Oleh itu tanggungjawab ibu dan bapa anak tersebut tidak boleh dilepaskan dari mereka berdua. Dalam hal ini kita perlu merujuk kepada ayat 233 – Surah Al-Baqarah yang sebenarnya sesuai untuk mendefinasikan hak dan tanggungjawab ibu atau bapa terhadap anak tanpa mengira status perkahwinan mereka. Sebagai ibu dan bapa kepada anak, mereka tidak boleh terlepas dari tanggungjawab yang terpikul secara automatik di atas bahu mereka.

2:233  Dan ibu-ibu patut menyusukan anak-anak mereka dalam tempoh 2 tahun jika dia (si bapa) yang ingin tempoh penyusuan penuh. Dan lelaki yang telah menyebabkan kelahiran anak itu adalah bertanggungjawab ke atas sara hidup serta pakaian secukupnya. Satu jiwa tidak akan dibebankan kecuali apa yang ia mampu. Tidak ada ibu yang patut ditekan kerana anaknya, tidak juga seorang bapa ditekan kerana anaknya. Begitu juga keperluan kepada penjaganya. Jadi jika mereka ingin berpisah menurut persetujuan dan perbincangan bersama, tidak ada salah ke atas mereka. Dan jika kamu mahu mengupah ibu-ibu asuhan, maka tidak menjadi kesalahan ke atas kamu jika kamu kembalikan apa yang telah diberi ke atas kamu secukupnya. Dan ingatlah Allah sentiasa dan ketahuilah Tuhan melihat apa yang kamu lakukan.

Perkahwinan di antara penzina

Perkara ini juga sebenarnya telah ditetapkan oleh Tuhan tetapi kita terlepas pandang kerana tafsiran yang tidak cukup objektif.

24:3  Lelaki penzina hanya akan mengahwini seorang perempuan penzina atau seorang yang mempersekutukan Tuhan. Dan perempuan penzina dia hanya akan berkahwin kepada seorang lelaki penzina atau seorang yang mempersekutukan Tuhan. Dan yang seperti itu dilarang kepada orang-orang yang percaya.

Kita sebenarnya sangat perlu mengambil berat ayat di atas. Kita harus memastikan penzina berkahwin dengan penzina atau mereka yang mempersekutukan Tuhan kerana  sebagai golongan yang percaya kita dilarang mengahwini mereka.

Maknanya apabila kita berdepan dengan pasangan zina yang telah didapati bersalah, kita harus menasihatkan supaya mereka berkahwin kerana ia adalah tindakan yang paling wajar untuk mereka. Namun jika mereka tidak mencapai persetujuan ke atas perkara itu, maka ia tetap terpulang kepada mereka. Bagaimanapun soal tanggungjawab ke atas anak masih perlu menuruti apa yang telah ditetapkan oleh Tuhan secara universal.

Sebagai penutup, saya percaya jika kita berani melihat masalah zina dan pembuangan bayi yang begitu berleluasa sekarang dari perspektif Al-Quran, kita akan dapat mencari jalan penyelesaiannya. Bagaimanapun itu bermakna kita terpaksa membersihkan perspektif diri dan masyarakat kita dari belenggu persepsi yang telah ditanamkan oleh golongan agama sejak sekian lama. Dan ia adalah satu usaha yang pastinya sangat sukar untuk dilakukan.

Written by tolokminda

April 13, 2010 at 5:38 am