Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘kiblat

Kiblat kita adalah batasan ketetapan yang telah direstui Tuhan

with 36 comments

Kita tahu golongan penyekutu Tuhan sentiasa mempunyai kiblat atau arah sembahan masing-masing. Tetapi sebagai Muslim kita tidak memerlukan kiblat atau arah sembahan seperti mereka. Sebagai Muslim kita tidak menyembah apa-apa.

Hidup kita adalah semata-mata untuk berbakti atau berkhidmat kepada Tuhan melalui kepatuhan kepada ketetapan-ketetapan yang telah direstui Tuhan (masjidillah). Kita tidak memerlukan arah sembahan yang bersifat menyekutukan Tuhan.

Surah Al-Fatihah:

Dengan nama Tuhan, yang Pemurah dan Penyayang.  Pujian bagi Tuhan – Empunya kepada yang berpengetahuan. Yang Pemurah, Yang Penyayang. Yang Berkuasa pada hari pembalasan. Engkau sahaja kami berbakti dan Engkau sahaja kami mohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan mereka yang patuh. Jalan yang Engkau telah berikan nikmat – bukan mereka yang dimurkai – dan bukan juga mereka yang sesat.

6:162  “Katakanlah: “Sesungguhnya komitmenku dan pengorbananku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Tuhan, Empunya yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

Arah tumpuan atau kiblat kita adalah berkaitan prinsip dan nilai, aturan dan peraturan, contoh dan teladan, penyelidikan dan pembangunan dan sebagainya – yang semuanya boleh kita kembalikan kepada Al-Quran dan rasul dan hasilnya akan membawa manusia kepada nikmat Allah  – melihat keagungan serta kebesaran Tuhan dan menghargai limpah kurnia serta belas kasihNya terhadap manusia.

Untuk memahami apakah yang telah Tuhan jelaskan kepada kita tentang arah tumpuan atau kiblat, kita boleh mulakan dengan membaca dari ayat 2:142.

2:142  Yang bodoh di kalangan orang akan bertanya: “Apa yang membuatkan mereka mengubah arah tumpuan di mana mereka berada?” Beritahu mereka: “Kepada Tuhan kepunyaan Timur dan Barat. Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan mereka yang patuh.”

Maknanya kalau golongan penyekutu Tuhan tanya kita, habis kalau tak ada kiblat kamu nak berkiblatkan apa? Maka kita kena jawab sepertimana Tuhan ajar iaitu, beritahu mereka apa saja di Timur dan Barat adalah milik Tuhan. Kita tak perlu arah tumpuan atau kiblat untuk disekutukan secara spesifik kepada Tuhan.

Kita harus berpegang kepada rasional dalam perkara ini supaya kita dapat menjelaskan kepada kepada orang lain dan menjadi saksi kepada mereka dan di akhirat nanti rasul juga akan menjadi saksi bersama-sama kita.

Malah Tuhan turut membuat penegasan bahawa Dia tidak menetapkan sebarang arah tumpuan atau kiblat yang berada di mukabumi (yang mana kita di atasnya). Tuhan kata memang susah (berat) untuk menerima hakikat ini, kecuali jika kita mendapat petunjuk Tuhan.

2:143  Dan begitulah kami menjadikan kamu umat yang diutamakan supaya kamu menjadi saksi kepada orang lain dan supaya rasul bersama kamu sebagai saksi. Dan Kami tidak menjadikan arah tumpuan yang kamu sendiri di atasnya – tetapi Kami tahu siapa yang akan menuruti rasul – dari mereka yang berpaling di atas tumit mereka. Sesungguhnya ia adalah berat kecuali kepada mereka yang telah diberi petunjuk oleh Tuhan. Dan Tuhan tidak akan mensia-siakan kepercayaan kamu. Sesungguhnya Tuhan Penyayang, Mengasihani manusia.

Selain dari itu, Tuhan juga memberitahu kita bahawa semua umat penerima Al-Kitab Allah sebenarnya kenal kiblat atau arah tumpuan – yang hak – yang Tuhan tetapkan melalui Al-Quran kerana ia menepati apa yang telah disampaikan kepada mereka sebelum ini. Tuhan kata mereka mengenalinya seperti mereka mengenali anak sendiri.

Begitulah universalnya ketetapan tentang kiblat atau arah tumpuan kepada semua umat penerima Al-Kitab.

Tuhan kata sebenarnya ramai di kalangan mereka yang tahu mengenai perkara itu tetapi menyembunyikan kebenaran mengenainya. Mungkin mereka dikaburi  kecenderungan terhadap amalan-amalan mempersekutukan Tuhan atau mungkin juga kerana tidak mahu melepaskan keuntungan yang dapat dijana akibat penyembunyian itu.

2:146  Mereka yang telah kami berikan Al-Kitab – mereka mengenalinya sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri. Sebenarnya ramai di kalangan mereka – tetapi mereka menyembunyikan kebenarannya – dan mereka tahu dengan sebenar-benarnya.

Oleh itu kita tidak harus ragu-ragu terhadap kebenaran yang Tuhan sendiri telah bawakan kepada kita melalui Al-Quran dan tidak terjerumus ke dalam perangkap kekufuran yang dipasang oleh golongan penyembunyi kebenaran yang hanya mahu mempergunakan kita.

Walaupun begitu, saya setuju jika para pembaca budiman berpendapat keraguan dan kebimbangan itu sukar diatasi kerana ia bermakna kita terpaksa menolak atau membuang semua kepercayaan kita sebelum ini dan menjadi terasing dalam masyarakat atau mungkin dalam keluarga sendiri. Tetapi kita tidak ada pilihan. Kita tidak boleh ragu-ragu dalam perkara ini.

2:147  Kebenaran adalah dari Tuhan kamu, jadi elakkan dari menjadi mereka yang ragu-ragu.

Dan Tuhan meyakinkan kita supaya jangan bimbang tentang orang lain. Kita patut tumpu kepada diri kita sendiri. Tuhan suruh kita berlumba ke arah berbuat kebaikan berasaskan kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai murni pada setiap masa dan di mana saja. Jika itu yang kita lakukan, Tuhan akan letakkan kita di hadapan atau dengan kata lain, Tuhan akan bantu kita menjadi seseorang atau satu umat yang berjaya.

2:148  Dan setiap orang adalah tumpuannya sendiri. Maka kamu harus berlumba ke arah nilai-nilai yang murni – setiap masa dan di mana saja kamu berada Tuhan akan meletakkan kamu di hadapan, semua kamu bersama-sama. Sesungguhnya Tuhan mengatasi setiap apa saja – sangat jitu.

Jadi apakah prinsip-prinsip dan nilai-nilai berkenaan? Tentulah semuanya berkaitan batasan ketetapan yang direstui Tuhan iaitu, masjidilharam.

2:149  Dan dari mana pun kamu pergi – maka kamu harus tumpukan kepada batasan ketetapan yang telah direstui (masjidilharam). Dan sesungguhnya ia adalah kebenaran dari Tuhan kamu dan Tuhan tidak akan gagal untuk memberi perhatian kepada apa saja perbuatan kamu.

Sekarang lebih jelaslah kepada kita bahawa perkataan masjid bermaksud ketetapan yang direstui dan masjidilharam bermaksud batasan ketetapan yang direstui. Semua perincian mengenai kedua-duanya terdapat di dalam Al-Quran. Itulah tujuan Al-Quran diturunkan. Supaya kita membacanya. Supaya kita tidak sesat. Supaya kita sentiasa berada dalam batasan ketetapan yang telah direstui Tuhan.

Kita tidak perlu mendongak ke langit atau ke mana-mana pun untuk berada dalam batasan cara hidup yang direstui Tuhan.  Baca sajalah Al-Quran yang Tuhan bekalkan kepada kita. Di dalamnya mengandungi semua perkara yang kita perlu tahu. Petunjuk jalan yang lurus.

Itulah yang sepatutnya menjadi tumpuan kita supaya kita menjadi manusia yang fokus  kepada nilai-nilai dan amalan-amalan yang membawa manfaat di bumi Allah. Supaya kita berjaya menjadi khalifah seperti yang dimatlamatkan Tuhan terhadap kita. Yang Tuhan yakin kita mampu melakukannya. Supaya kita dapat buktikan bahawa Tuhan betul dan iblis salah.

2:144 Sesungguhnya kami nampak kamu mengolah tumpuan kamu ke arah langit. Jadi kami palingkan kamu ke satu arah yang kamu sukai. Oleh itu tumpukan tumpuan kamu ke arah batasan ketetapan yang direstui (almasjidi alharami). Dan di mana pun kamu berada maka tumpukan perhatian kamu kepadanya. Dan sesungguhnya mereka yang telah kami berikan Al-Kitab pasti tahu yang ia sememangnya kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Tuhan tidak pernah gagal untuk memberi perhatian dari semua perbuatan mereka.

Jika kita sudah faham hakikat kiblat yang diajar Allah ini, kita akan dapat memahami dan melihat dengan jelas bahawa pertelagahan golongan penyekutu Tuhan yang mengaku kononnya kiblat masing-masing sahajalah yang betul sebenarnya hanyalah palsu dan sia-sia belaka.

Bagaimanapun kalau kita tunjuk semua bukti tentang kepalsuan dan penipuan yang mereka bawa tentang kiblat kepada para penyekutu Tuhan, mereka tidak akan menerima bukti-bukti atau hujah kita. Malah di kalangan mereka sendiri pun masing-masing ada kiblat sendiri dan masing-masing kata mereka saja yang betul. Menurut Tuhan, mereka adalah orang-orang yang sombong atau ego. Oleh itu biarlah mereka dengan kepalsuan dan ego mereka dan jangan sekali-kali kita menuruti mereka membuat zalim.

2:145 Dan walaupun jika kamu membawa kepada mereka yang telah diberi Al-Kitab segala bukti – mereka tidak akan menurut arah tumpuan kamu – dan kamu – mestilah tidak menurut arah tumpuan mereka. Dan mereka (di antara umat penerima Al-Kitab) tidak menurut arah tumpuan satu sama lain. Dan jika kamu ikut ego mereka – dari apa yang telah sampai ke pengetahuan kamu – sesungguhnya kalau kamu buat begitu – kamu akan tergolong dalam golongan orang-orang yang zalim.

Sebagai penutup, cuba renungkan dalam-dalam mengapa Tuhan menggunakan istilah “mereka yang telah diberi Al-Kitab” dalam 2:145 di atas? Kenapa bukan Kristian atau Yahudi dan seumpamanya?

2:145 Dan walaupun jika kamu membawa kepada mereka yang telah diberi Al-Kitab segala bukti – mereka tidak akan menurut arah tumpuan kamu….

Written by tolokminda

February 7, 2010 at 12:45 pm