Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘kalimah syahadah

Adakah dua kalimah syahadah satu korupsi pewaris golongan munafik zaman Nabi?

with 256 comments

Dalam blog ini kita telah membincangkan semua rukun Islam, iaitu rukun yang melibatkan ritual-ritual yang disifatkan wajib  ke atas orang-orang Islam – sembahyang, puasa, zakat, haji – kecuali satu – mengucap dua kalimah syahadah.

Dalam perbincangan-perbincangan yang dimaksudkan, kita telah melihat bagaimana ritual sembahyang (solat), puasa, haji dan zakat sebenarnya tidak wujud di dalam Al-Quran. Tuhan tidak pernah mengajar kita apa-apa ritual melalui Al-Quran. Yang ada cuma perkataan-perkataan yang disalahtafsirkan. Samada para pembaca budiman mahu percaya atau tidak, hujah-hujah mengenainya telah dikemukakan di atas nas-nas Al-Quran. Maka terpulanglah kepada diri masing-masing untuk membuat kesimpulan.

Sekarang tibalah masanya untuk kita periksa pula kedudukan satu-satunya rukun Islam yang belum kita sentuh – iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Kita semua telah sedia maklum apakah yang dimaksudkan dengan mengucap dua kalimah syahadah. Dilafazkan begini:

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah”

Saya telah cuba mencari kalau-kalau ungkapan ini sesungguhnya telah diwajibkan oleh Allah sebagai pra-syarat kepada sesiapa yang mahu menjadi seorang Muslim. Dan sesungguhnya saya tidak menemui apa-apa yang seumpamanya. Sebaliknya saya menemui ayat-ayat berikut.

63:1  Apabila mereka yang munafik datang kepadamu mereka berkata: Kami bersaksi bahawa sesungguhnya kamu  adalah utusan Allah. Dan Tuhan tahu bahawa kamu adalah utusanNya dan Tuhan bersaksi bahawa mereka yang munafik adalah penipu.

63:2  Mereka telah menjadikan sumpah mereka itu sebagai topeng, dengan cara itu mereka menjauhkan jalan Allah. Jahat sungguh apa yang mereka lakukan.

63:3  Itu kerana mereka telah percaya, kemudian tidak percaya. Akibatnya, hati mereka tertutup – mereka tidak faham.

Surah 63 – “Yang Munafik,” memberikan kita gambaran siapakah mereka itu di zaman Nabi. Dan sebagaimana yang kita sama-sama dapat baca melalui tampalan terjemahan di atas, saya fikir ayat pertama surah ini agak memeranjatkan. Ia mendedahkan kepada kita bahawa ungkapan kedua dalam kalimah syahadah iaitu “aku bersaksi Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah” sebenarnya adalah ungkapan orang-orang munafik di zaman Nabi.

Kenyataan Allah dalam 63:1 terlalu jelas untuk kita nafikan.

Soalannya, bagaimana ungkapan orang-orang munafik zaman Nabi boleh menjadi sebahagian dari ungkapan yang diwajibkan ke atas kita? Siapakah yang sebenarnya telah mewajibkannya? Tuhan sudah tentu tidak. Jadi adakah orang-orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah pada hari ini sebenarnya pewaris golongan munafik zaman Nabi?

Jangan kata soalan ini tidak berasas. Saya berpendapat, kita tidak ada pilihan kecuali mendapatkan kepastian mengenainya!

Written by tolokminda

March 11, 2010 at 7:33 pm