Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘Ibrahim

Ibrahim memurnikan kepercayaan kepada Tuhan

with 2 comments

Saya ada menulis tentang Nabi Ibrahim sebelum ini. Tentang mengapa beliau Tuhan jadikan contoh untuk seluruh manusia. Bagaimanapun tidak sehingga masa terdekat ini saya memahami apakah pencapaian sebenar Ibrahim. Sekarang saya berasa semakin jelas tentang Ibrahim dan apakah pencapaian-pencapaian beliau dalam hidup sehingga beliau layak mencapai status yang begitu tinggi.

Salah satu pencapaian Ibrahim adalah beliau memurnikan kepercayaanNya kepada Tuhan. Jika kita mahu memurnikan kepercayaan kepada Tuhan, contohilah Ibrahim.

Tuhan telah menetapkan supaya manusia memurnikan kepercayaan mereka kepadaNya. Bagaimana mereka boleh memurnikan, Tuhan menjelaskannya kepada kita di dalam Al-Quran. Berikut adalah penjelasan Tuhan mengenainya.

18:51. Aku tidak menjadikan mereka saksi kepada ciptaan yang ada di langit dan di bumi. Tidak juga saksi kepada ciptaan mereka sendiri dan tidak juga Aku mengambil mereka yang sesat sebagai pembantu.

Dari ayat di atas, saya membuat kesimpulan bahawa:-

  1. Tuhan tidak mahu manusia memberhalakan ciptaanNya yang ada di langit mahupun di bumi – misalnya bulan, bintang, matahari, gunung, bukit, pokok dan sebagainya.
  2. Tuhan tidak mahu manusia memberhalakan ciptaan mereka sendiri – misalnya patung, bangunan, mesin dan sebagainya.
  3. Dan Tuhan tidak mengambil sesiapa yang sesat sebagai pembantu.

Sekarang kita dapat lihat kaitan Ibrahim dengan ayat di atas. Walaupun beliau lahir dan hidup di tengah-tengah masyarakat yang serba sesat, Ibrahim mampu menonjol sebagai seorang yang berjaya memurnikan kepercayaannya kepada Tuhan mengikut standard yang Tuhan telah tetapkan.

Kejayaan beliau mengelak dari memberhalakan ciptaan Tuhan ada direkodkan di dalam Al-Quran.

6:76 Apabila malam menyelubunginya, Dia melihat sebuah bintang. Dia berkata: Inilah Pemeliharaku. Tetapi apabila ia hilang, dia berkata: Aku tidak suka apa yang boleh hilang.

6:77 Apabila dia melihat bulan terbit, dia berkata: Inilah Pemeliharaku. Tetapi apabila ia hilang dia berkata: Jika Pemeliharaku tidak memberiku petunjuk, tentu aku akan termasuk dari kalangan mereka yang sesat.

6:78 Apabila dia melihat keindahan matahari terbit, dia berkata: Inilah Tuhanku, inilah yang paling hebat. Tetapi apabila matahari terbenam dia berkata, Wahai kaumku! Aku sesungguhnya berlepas diri dari menyekutukan Tuhan seperti kamu.

Begitu juga kejayaan Ibrahim mengelak dari memberhalakan ciptaan manusia juga direkodkan. Berikut adalah dialog Ibrahim dengan kaumnya selepas beliau memusnahkan patung-patung yang mereka jadikan berhala.

21:66 Dia berkata: Kamu mengabdi di samping Tuhan sesuatu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kamu dan tidak juga mendatangkan mudarat?

21:67 Aku jijik dengan kamu dan apa yang kamu abdikan di samping Tuhan! Tidakkah kamu mempunyai akal?

Dan kejayaan Ibrahim melepaskan diri dari pengaruh orang-orang yang meletakkan diri mereka sebagai pembantu Tuhan – yang mana walaupun mereka dihormati mengikut standard masyarakatnya  – biarpun antara orang itu adalah bapanya sendiri. Ibrahim tidak ragu-ragu untuk melontarkan ketidakpercayaannya kepada mereka. Ini juga direkodkan di dalam Al-Quran.

21:52 Apabila dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Patung-patung apakah ini yang kamu sembah?

21:53 Mereka berkata: Kami dapati bapa-bapa kami menyembah mereka.

21:54 Dia berkata: Kamu dan bapa-bapa kamu sesungguhnya telah sesat.

21:55 Mereka berkata: Adakah kamu datang kepada kami dengan sesuatu yang benar atau kamu cuma main-main?

21:56 Dia berkata: Tidak, Pemelihara kamu yang sebenar adalah Pemelihara apa yang di langit dan di bumi, Yang Satu yang telah mencipta mereka. Aku bersaksi seperti itu.

Begitulah Ibrahim – contoh yang Tuhan paparkan bagi sesiapa saja yang ingin tahu bagaimana carannya untuk memurnikan kepercayaan kepada Tuhan Yang Satu.

Written by tolokminda

February 11, 2011 at 6:10 pm

Posted in Nabi | Rasul

Tagged with ,

Mengapa Nabi Ibrahim seorang yang perlu kita contohi?

with 33 comments

Di dalam Al-Quran Tuhan menyuruh kita supaya menjadikan Nabi Ibrahim sebagai contoh. Mengapakah Tuhan memberi status yang begitu istimewa kepada Ibrahim? Apakah kelebihan yang telah Ibrahim capai berbanding nabi-nabi lain?

Saya berpendapat Tuhan menjadikan Ibrahim sebagai contoh kepada seluruh manusia kerana kejayaannya menyempurnakan ujian yang disebut dalam 2:124.

2:124 Dan bila Tuhannya menguji Ibrahim dengan perkataan-perkataan tertentu dia menyempurnakannya…

Saya yakin melalui ayat di atas Tuhan sebenarnya memberitahu kita bahawa Nabi Ibrahim adalah manusia pertama yang berjaya mentafsir dan memahami perkataan-perkataan yang Allah uji atau wahyukan kepadanya. Hasil dari kejayaannya memahami perkataan-perkataan Allah, Nabi Ibrahim percaya kepada Tuhan Yang Satu dan menolak dari termasuk ke dalam golongan yang menyekutukan Tuhan.

Jika kita lihat dengan mendalam, sungguhnya pencapaian Ibrahim ini adalah satu milestone dalam sejarah bangsa manusia di mana Tuhan membuktikan bahawa kita – manusia – mempunyai keupayaan untuk memahami apa yang disampaikan oleh Allah melalui perkataan-perkataan. Sebab itulah selepas Ibrahim, barulah Tuhan mula menurunkan Kitab-Kitab untuk memberi pedoman kepada manusia.

Dan sebab itulah apabila pengikut-pengikut Al-Kitab selepas Ibrahim bertelagah sesama mereka mengenai beliau, Tuhan mengingatkan mereka siapakah Ibrahim sebenarnya.

3:65  Wahai pengikut-pengikut Al-Kitab! Mengapa kamu bertelagah mengenai Ibrahim, sedangkan Taurat dan Injil tidak diwahyukan sehingga selepas dia; kenapa kamu tidak boleh faham?

Di atas kejayaan Ibrahim membuktikan keupayaannya mentafsir dan memahami perkataan-perkataan Tuhan, Tuhan membuat pengisytiharan berikut:

2:124 “…Dia berkata: Sesungguhnya Aku akan menjadikan kamu contoh kepada seluruh manusia…”

Tetapi apakah kaedah yang telah digunapakai oleh Ibrahim dalam usahanya memahami perkataan-perkataan Tuhan sehingga Tuhan menetapkan ia sebagai contoh untuk seluruh manusia selepasnya?  Tuhan tidak menceritakan dengan panjang lebar mengenainya tetapi tidak syak lagi Ibrahim telah menjayakannya melalui kaedah penyelidikan. Ia dijelaskan melalui ayat 3:97 apabila Tuhan menyatakan dan menetapkan:

3:97 Di dalamnya adalah bukti-bukti yang nyata, legasi Ibrahim dan sesiapa memasukinya akan selamat dan penyelidikan terhadap sistem adalah tanggungjawab manusia demi Tuhan ke atas setiap orang yang mampu menemui kaedahnya. Dan kepada sesiapa yang tidak percaya, maka sesungguhnya Tuhan wujud dengan Sendiri, mengatasi semua keperluan alam.

Saya melihat kisah tentang Nabi Ibrahim yang diuji dengan perkataan-perkataan tertentu oleh Tuhan dan berjaya mengatasinya melalui penyelidikannya sendiri adalah kisah yang amat penting dan amat relevan kepada kita semua.

Sesungguhnya hari ini kita sedang menghadapi ujian yang sama, iaitu untuk memahami Al-Quran. Jika dilihat dalam konteks Ibrahim, Al-Quran yang ada di depan kita hari ini juga adalah “perkataan-perkataan Tuhan”. Dan kita mesti berusaha memahaminya seperti mana Ibrahim telah menunjukkan caranya. Iaitu kita kena buat penyelidikan sendiri.

Kita tidak boleh percaya membuta tuli apa yang di bawa oleh ibu bapa, datuk nenek dan moyang tempoyang kita. Kita mesti jadikan Ibrahim sebagai contoh. Kita mesti mengelak dari amalan menyekutukan Tuhan. Kita mesti selidiki sendiri perkataan-perkataan Tuhan yang terkandung di dalam Al-Quran sehingga kita mempunyai keyakinan dan pendirian yang jelas mengenainya.

3:95 Katakan: Allah telah berkata yang benar, oleh itu ikutilah cara hidup Ibrahim – yang berpendirian – dia bukanlah di antara penyekutu Tuhan.

3:96 Sesungguhnya sistem pertama yang ditetapkan kepada manusia di Bakka, diberkati dan petunjuk seluruh alam.

Written by tolokminda

February 9, 2010 at 4:19 pm

Posted in Quran

Tagged with ,