Tolokminda belajar…

Perspektifku Mengenai Islam

Posts Tagged ‘budaya saintifik

Budaya saintifik Vs kisah-kisah hikayat

with 66 comments

Kali ini saya mengajak para pembaca budiman meneliti beberapa ayat awal dari Surah 45,  Surah Al-Jatsiyah – maka eloklah kita sama-sama berpesan-pesan tentang kebenaran yang telah sampai kepada kita. Tuhan membuka Surah ini dengan membuat pengisytiharan mengenai status Al-Quran. Sebuah Kitab yang diwahyukan oleh Tuhan yang Terpuji dan Bijaksana.

45:1 Ha Mim

45:2 Wahyu Kitab ini adalah dari Tuhan, Yang Terpuji, Yang Bijaksana.

Kemudian ia diikuti dengan satu pesanan yang cukup ringkas tetapi amat jelas maksudnya – iaitu Tuhan mahu kita menjadi individu atau masyarakat yang menjadikan budaya saintifik sebagai cara hidup. Tuhan kata – jika kita percaya, jika kita yakin dan jika kita faham – semua yang ada di sekeliling kita:  isi alam, fenomena alam, segala makhluk termasuklah diri kita sendiri – sebenarnya mengandungi petunjuk-petunjuk Tuhan.

45:3 Apa yang di langit dan di bumi adalah petunjuk-petunjuk kepada mereka yang percaya.

45:4 Dalam dalam penciptaan kamu, dan apa jua makhluk yang Dia adakan adalah petunjuk-petunjuk untuk mereka yang yakin.

45:5 Dan di pertukaran malam dan siang, dan apa yang Tuhan turunkan dari langit sebagai kurnia untuk menyuburkan tanah selepas kematiannya dan perolakan angin – merupakan petunjuk-petunjuk kepada mereka yang faham.

Pendek kata, Tuhan tidak mahu kita menjadi manusia atau umat yang hidup berteraskan kejahilan. Kita tidak boleh mendirikan kepercayaan di atas andaian atau anggapan semata-mata. Ia mestilah mampu disokong dengan bukti-bukti. Melalui 45:3-5, Tuhan maklumkan kepada kita bahawa semua ciptaanNya mengandungi kebenaran Tuhan yang boleh dibuktikan jika kita menyelidik dan mempelajari petunjuk-petunjuknya.

Saya ambil satu contoh.

Entah sejak bila, secara umumnya bangsa manusia telah melalui satu zaman di mana mereka percaya bahawa bumi ini leper. Boleh dikatakan setiap bangsa mempunyai mitos tersendiri berkenaan kepercayaan bumi leper mereka. Ada yang percaya bumi ini berada di atas sebuah pangkin, ada yang percaya ia diletakkan di atas seekor kura-kura, ada pula yang kata bukan kura-kura tetapi gajah. Ada juga yang kata ia terletak di hujung tanduk. Kepada setiap bangsa – mereka mempercayai sifat bumi mereka berdasarkan kepada cerita-cerita hikayat yang telah diwariskan dari generasi ke generasi.

Bagaimanapun hari ini kita tahu – tidak ada satu pun cerita mereka betul. Bumi tidak leper dan tidak terletak di atas pangkin atau kura-kura atau gajah atau tanduk. Tetapi ia bulat seperti bola dan bergerak di dalam orbit sebuah sistem cakerawala yang elegan. Tetapi kepada tindanan generasi yang telah menjadikan cerita-cerita hikayat bangsa mereka sebagai asas kepercayaan, mereka tidak menyedari kesilapan mereka. Bahawa kebenaran yang mereka sangka hanyalah pada anggapan mereka saja. Mereka hidup  tanpa berusaha mendapatkan bukti sendiri dan akibatnya mereka mati membawa kepercayaan palsu.

Adakah Tuhan tidak memberikan sebarang petunjuk kepada mereka?

Sebenarnya petunjuk-petunjuk tentang bulatnya bumi ini telah sedia ada untuk sesiapa saja menyelidikinya tanpa mengira zaman. Antaranya – bentuk objek-objek cakerawala berhampiran seperti bulan dan matahari yang bulat. Kejadian gerhana. Perubahan musim. Siang dan malam. Perolakan angin. Pemerhatian terhadap kapal di laut – semua ini adalah petunjuk Tuhan yang boleh membawa kepada kesimpulan bahawa bumi ini bulat. Jika sekarang petunjuk-petunjuk yang sama boleh digunakan untuk membuktikan hakikat itu mengapa hujah yang sama tidak boleh digunapakai dalam masyarakat 2000, 3000, 4000 tahun dulu?

Jawapannya kita semua dah tahu. Kerana majoriti manusia sememangnya cenderung mengambil mudah dan take for granted – menerima cerita-cerita hikayat yang kononnya telah disampaikan oleh golongan manusia yang mereka sifatkan lebih pandai tanpa soal. Jika mereka ada inisiatif untuk minta bukti tentang wujudnya pangkin atau kura-kura atau gajah atau tanduk yang dikatakan menyokong bumi, saya fikir tentu mereka dapat mengesan penipuan dan kepalsuan yang telah disampaikan kepada mereka. Tetapi mereka tidak pernah merasa ingin bertanya. Sebaliknya mereka mewariskan kepalsuan itu kepada anak-anak mereka pula.

Bagaimanapun sekarang kita tidak boleh lagi meneruskan budaya jahil itu kerana Tuhan telah membuka jalan kepada kita untuk menerima Al-Quran. Jika kita kata kita percaya kepada Al-Quran – kita tidak ada pilihan selain membuang budaya hidup berlandaskan cerita-cerita hikayat yang pada hakikatnya hanyalah berteraskan kepada andaian dan anggapan semata-mata. Kita mesti memilih cara hidup yang berteraskan budaya saintifik yang sentiasa menjadikan proses pembuktian sebagai kriteria utama dalam menetapkan sesuatu kepercayaan.  Tuhan telah menunjukkan kita jalan ke arah kebenaran jadi tidak ada sebab untuk kita terus menjadi manusia yang bukan saja jahil tetapi turut dilaknat Tuhan.

45:6 Ini adalah wahyu-wahyu Tuhan, Kami membacakannya kepada kamu dengan kebenaran. Jadi dalam hikayat (hadis) yang manakah selepas Tuhan dan wahyu-wahyuNya yang mereka percaya?

45:7 Celakalah kepada setiap pencipta kepalsuan yang penuh dosa.

Sebagai tambahan kepada ayat-ayat 45:1-7, saya fikir ayat berikut juga amat relevan untuk dikepilkan.

6:116  Dan jika kamu ikut majoriti manusia di bumi ini, mereka akan memimpin kamu sesat dari jalan Allah – mereka hanya menuruti andaian dan mereka hanya berdusta.

Baiklah. Mari kita sama-sama perhalusi.

Written by tolokminda

March 9, 2010 at 7:55 pm